Jumaat, 20 September 2013

TOL...YANG UNTUNG KRONI ATAU RAKYAT

Segera tangani kemelut badminton negara

Salmiyah Harun, 20 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Pusat (Dacs) menggesa  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengambil inisiatif segera terhadap kemelut yang berlaku dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Pengarah Dacs, Halim Ahmad kemelut yang berlaku di dalam BAM mungkin meruncing sehinggakan jurulatih badminton perseorangan negara Rashid Sidek bertindak meletakkan jawatan serta-merta.

Dacs juga kecewa apabila pengurusan jurulatih yang terlibat hampir dekat 10 tahun itu boleh terasa hati dengan pihak pengurusan BAM.

"Menteri terbabit perlu segera bertindak kerana apa yang berlaku hari ini akan mengganggu prestasi pemain-pemain negara. KJ kena lakukan sesuatu sebelum ianya lebih parah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Malah beliau tidak menolak antara masalah yang berlaku dalam pengurusan jurulatih badminton kerana pihak wakil presiden cuba campur tangan dalam urusan atau kerja jurulatih.

Terdahulu, jurulatih badminton perseorangan negara, Rashid Sidek mengumumkan peletakkan jawatannya dari BAM hari ini.

Rashid dilaporkan sukar bekerja dibawah pucuk pimpinan baru BAM, yang diketuai Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Beliau disahkan menghantar surat peletakkan jawatannya kepada pengurus besar BAM, Kenny Goh.

Selain kesukaran bekerja di bawah pimpinan baru BAM, Rashid juga dilaporkan sukar bekerja di bawah pengarah pengurusan bakat BAM, Tan Aik Mong.

Sebelum ini, seorang lagi abang kepada Rashid, Datuk Misbun Sidek turut mengambil tindakan sama pada 2010.

Q&A: Pengagihan korban nazar dan korban si mati

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil , 20 Sep 2013
Soalan;
Bolehkah daging korban wajib/nazar/wasiat di agihkan kepada orang kaya. Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan;
Masalah di atas terdapat khilaf di kalangan ulama;

1.Menurut mazhab Syafiie dan Hanafi; korban wajib (dengan sebab nazar atau sebagainya) wajib disedekahkan kesemuanya iaitu dengan diberikan keseluruhan daging korban kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya dan tidak boleh diberikan kepada orang kaya.

Namun mazhab Maliki dan Hanbali; korban wajib tidak ada beza dengan korban sunat dari segi pengagihan dagingnya, iaitu boleh dimakan sama oleh orang yang melakukan korban dan keluarganya dan boleh diberikan kepada orang kaya.

2.Korban yang dilakukan bagi pihak orang telah mati (dengan wasiat darinya atau tidak) juga sama hukumnya seperti tadi di sisi mazhab Syafiie dan Hanafi; keseluruhan dagingnya menjadi hak fakir miskin, iaitu wajib disedekahkan kepada mereka, tidak boleh dinikmati oleh orang yang melakukan korban dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya. Adapun di sisi mazhab Maliki dan Hanbali; ia sama seperti daging korban yang lain, cuma pahalanya sahaja pergi kepada si mati.

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Tentera Mesir serang Kerdasa, 68 ditangkap

Harakahdaily, 20 Sep 2013

KAHERAH: Pasukan tentera kudeta Mesir terus melakukan serangan ke atas penyokong Morsi dan terbaru semalam di perkampungan Kerdasa di bandar Giza.

Sehari sebelum serangan, penduduk Giza menjadikan Kerdasa sebagai pusat himpunan membantah rampasan kuasa.

Mereka keluar beramai-ramai berhimpun di segenap jalan menyatakan sokongan kepada Presiden Sah Dr Mohammad Morsi.

Pihak tentera memberi alasan bahawa serangan di Kerdasa adalah bagi memburu "pengganas yang dikehendaki" yang didakwa terlibat dalam serangan balai polis tempatan sebelum ini.

Dalam serangan semalam itu sekurang-kurangnya 68 individu ditangkap. Pihak tentera juga mendakwa menemui bom tangan, mesingan dan peluru.

Sementara itu, Ikhwan dalam satu kenyataan mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkan alasan serangan tersebut sebagai satu pembohongan.

Serangan semalam ujar mereka lebih kepada mahu menghalang kebangkitan rakyat dan mahu memburu ahli-ahli Ikhwan Muslimin di perkampungan tersebut.

Difahamkan lebih 200 anggota Angkatan Khas dan 40 Angkatan Keselamatan Pusat ( rusuhan polis), di samping pasukan tentera , dilaporkan telah mengambil bahagian dalam operasi semalam.

Para saksi berkata pasukan keselamatan menyerbu rumah beberapa pemimpin Ikhwan Muslim tempatan di Kerdasa .

Mereka juga menyuraikan kumpulan penduduk dengan tembakan peluru hidup ke udara.

Mesir: PAS Melaka sumbang RM20,000

Salmiyah Harun, 20 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Peruntukan untuk majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Melaka yang sepatutnya diadakan pada Syawal lalu disumbangkan kepada Tabung Mesir bagi membantu umat Islam negara itu sedang menghadapi krisis jenayah perang.

Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Melaka Asri Shaik Abdul Aziz sebanyak RM20,000 telah disumbangkan orang ramai termasuk bajet rumah terbuka untuk Tabung Mesir yang diusahakan mereka.

"Kita adakan kutipan daripada orang ramai melalui ceramah-ceramah yang diadakan di sekitar Melaka. Alhamdulillah hanya selama seminggu kita dapat jumlah tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Jelas Asri, sumbangan itu telah diserahkan kepada Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah berkenaan Datuk Kamardin Jaffar berkata, sumbangan yang dihulurkan oleh orang ramai yang prihatin dengan nasib rakyat Mesir di sana sangat besar kepada PAS.

"Kita akan sampaikan amanah dan harapan umat Islam negara ini kepada kaum seagama kita di sana, moga sumbangan ini dapat meringankan beban yang sedang ditanggung oleh mereka yang dizalimi," katanya.

Pada 25 Ogos baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Mesir  bagi membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan dengan rejim tentera Mesir.

Terdahulu Lujnah Antarabangsa PAS Pusat telah menghantar sebanyak USD10,000 kepada rakyat Mesir hasil daripada sumbangan orang ramai sebelum ini.

Lanjutan daripada rampasan kuasa dengan menggulingkan Dr Muhammad Morsi selaku Presiden Mesir yang dipilih secara sah, membuatkan rakyat Mesir bangkit untuk membantah tindakan tidak demokratik tersebut.

Sehingga kini ribuan penyokong Morsi telah terkorban ditangan tentera dalam usaha membantah rampasan kuasa.

Tiada plaza tol lebuh raya di Frankfurt

Lan Jusoh, 20 Sep 2013


KARLOVY VARY (Republik Czech): Cuacanya agak dingin sekitar 18 Celcius. Ada peserta kelihatan menggigil ketika sampai di Marttel SPA Hotel petang semalam. 

Begitu juga ketika keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, suasananya dingin. Ada yang terpaksa berpeluk tubuh biarpun sudah mengenakan pakaian tebal.

Keadaan diredakan selepas berada di dalam bas. Haba sejuk dari luar tidak dapat masuk tambahan pula ada alat pemanas bagi mengelakkan penumpang terus diselimuti kesejukan.

Biar pun keadaan matahari memancar, namun gerombongan awan kelihatan seperti hendak hujan memayungi suasana alam di negara industri berat ini. Cahaya matahari masih membuat orang ramai dibaluti kesejukan.

Sepanjang perjalanan dari Frankfurt ke Republik Czech kelihatan treler menguasai jalan raya. Hampir kesemua kenderaan berjenama tempatan dengan didominasi Mercedes, Audi dan BMW.

Malah sekali sekala kelihatan juga kenderaan buatan Negara Matahari Terbit, Toyota, Honda dan Suzuki.

Pemandangan yang jarang diihat di tempat-tempat lain apabila banyak kereta menarik gerabak (kabin) dan turut dilekatkan basikal di bahagian belakang.

Sepanjang laluan dengan jalan dua dan tiga lorong sebelah, belum lagi dijumpai plaza tol seperti yang banyak terdapat di Malaysia. Jalan juga tidak berlaku kesesakan lalu lintas biar pun waktu orang balik kerja.

Kelainan juga dapat  disaksikan apabila bas dilengkapkan kota hitam dan setiap dua jam perjalanan perlu berhenti rehat seketika. Begitu juga selepas melepasi sempadan negara lain kenderaan berat juga perlu rehat seketika.   

Pelancong juga tidak perlu berhenti ketika melintasi sempadan dan perlu dicop passport perjalanan. Difahamkan semua negara Eropah tidak ada halangan Imigresen, seolah-olah tidak wujud sempadan antara negara.

Tiada plaza tol dan Imigresen membolehkan kenderaan melintasi sempadan antara negara dengan lancar. Malah sistem jalan raya juga nampak lebih teratur tanpa banyak lampu isyarat ketika meliwati bandar-bandar kecil.

Inilah kelebihan yang ada di negara maju, biar pun Malaysia pun juga sudah jauh melangkah ke hadapan. Pembangunan di sini tidak bermakna dipenuhi bangunan-bangunan pencakar langit, sebaliknya bangunan lama dikekalkan.

Monumen bersejarah tersebut ternyata membuat Jerman dan Republik Czech menjadi tarikan utama pelancong.

Dakwat 'tak kekal' cemarkan PRU13 - UMcedel

Nazri Abdullah, 20 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) yang dibentangkan semalam turut mendapati bahawa rata-rata responden bersetuju isu dakwat kekal yang tidak kekal telah mencemarkan imej Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Pada soalan "Adakah penggunaan dakwat kekal yang diragui dan pengundi hantu mencemarkan PRU13?", 52 peratus daripada 1546 responden mengatakan 'ya' dan bersetuju dengan argumen itu, manakala yang mengatakan 'tidak' dan 'tidak pasti', berkongsi peratusan sama iaitu masing-masing 24 peratus.

Selain itu, hasil kajian dibawah tajuk kecil 'Persepsi terhadap pejalanan PRU13' itu juga merekodkan sebanyak 46 peratus responden bersetuju bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa oleh BN untuk terus mengekalkan kuasa mereka, manakala 33 peratus lagi tidak bersetuju dan 21 peratus tidak pasti.

Dalam pada itu, kajian juga menunjukkan 69 peratus menyandarkan harapan kepada Pakatan Rakyat agar terus berusaha gigih untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Merumuskan paten keputusan mengikut kaum, Pengarah UMcedel Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian yang dibuat kira-kira tiga bulan selepas PRU13 ini, kaum Cina masih lagi kekal bersama Pakatan Rakyat.

Semalam UMcedel membentangkan hasil kajian terbarunya berhubung 'Politik Malaysia Pasca PRU13' kepada media.

Kajian tersebut dijalankan pada 15 Ogos hingga 10 September lalu yang dibuat secara bersemuka dengan 1546 responden selaku pemilih berdaftar, terdiri daripada Melayu, Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Turut serta mendengar pembentangan UMcedel tersebut semalam adalah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.

Henti pelaksanaan AES hingga semua kajian selesai

Harakahdaily, 20 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan supaya telus dan menghentikan serta merta perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga semua kajian selesai.

Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengumumkan bahawa pelaksanaan AES akan diambilalih oleh kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan [GLC] iaitu AES Solution Sdn Bhd.

Walau bagaimana pun, katanya terdapat beberapa isu yang mengelirukan timbul di dalam pengumuman tersebut.

“Saya melihat pengumuman tersebut adalah suatu pengumuman pra-matang kerana kajian terperinci oleh Jawatankuasa Pemandu masih belum selesai,” ujarnya dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Akhirnya Kerajaan melalui Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengumumkan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik [AES] akan diambilalih oleh kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan [GLC] iaitu AES Solution Sdn Bhd.

Walau bagaimana pun terdapat beberapa isu yang mengelirukan timbul di dalam pengumuman tersebut. Saya melihat pengumuman tersebut adalah suatu pengumuman pra-matang kerana kajian terperinci oleh Jawatankuasa Pemandu masih belum selesai. Antara isu yang masih samar tanpa penjelasan ialah seperti berikut:-

a)   Status dua (2) syarikat.

Kerajaan mengumumkan bahawa AES Solution Sdn Bhd akan mengambil pegangan (share) di dalam kedua-dua syarikat tersebut secara berperingkat. Ini lebih menimbulkan persoalan. Kenapa syarikat berkaitan kerajaan AES Solution Sdn Bhd perlu mengambil pegangan saham kedua-dua syarikat tersebut? Selama ini yang dipertikaikan ialah kenapa penguatkuasaan undang-undang perlu dilibatkan syarikat swasta. Sekiranya AES Solution Sdn Bhd mengambil pegangan saham (share) di dalam Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, ianya masih sama kerana perlaksanaan AES masih dilibatkan pihak swasta walaupun ianya syarikat berkaitan kerajaan. Malah dengan cara ini jelas bahawa Kerajaan sedang “bail-out” syarikat Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

b)   Apakah status saman-saman yang telah dikeluarkan?

Kerajaan tidak menjelaskan status saman-saman yang telah dikeluarkan sejak AES dilaksanakan pada 22 September 2012. Pemangku Menteri hanya menyatakan status saman-saman tersebut hanya akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan tetapi dalam masa yang sama menggesa penerima saman membayar kompaun yang telah dikurangkan sebanyak 50%. Ini suatu tindakan terdesak kerajaan untuk memeras duit rakyat yang sudah sedia tertekan dengan rasionalisasi subsidi minyak yang menyebabkan harga minyak RON95 naik 20sen. Jika saman-saman masih belum diputuskan statusnya kenapa perlu dibayar kompaun yang ditawarkan. Adakah tindakan ini adalah sebahagian kaedah kerajaan mendapatkan duit untuk membayar pampasan kepada syarikat?

c)   Kenapa diserahkan kepada PDRM

Sejak tahun 1995 PDRM telah dibekalkan secara berperingkat kamera perangkap laju dan sehingga tahun 2012 jumlahnya adalah sebanyak 124 unit di mana 85 unit model Laser Digicam yang bernilai RM173,925.00 seunit dan model Laser Trucam berjumlah 39 unit yang bernilai RM223,500.00 seunit. Sejak dari 1995 juga kadar kemalangan tidak menurun malah meningkat begitu mendadak walau pun PDRM telah dibekalkan dengan kamera berteknologi tinggi. Malah PDRM juga gagal menguruskan saman-saman yang telah mereka keluarkan sehinggakan pada awal bulan yang lepas Ketua Polis Negara mencadangkan untuk membatalkan lesen memandu bagi 1.7 juta pemilik saman tertunggak. Sekarang AES pula hendak diserahkan operasinya kepada PDRM. Apakah jaminan PDRM boleh menguruskan AES lebih baik? Adakah selama AES dikuatkuasakan JPJ telah gagal menjalankan tugas mereka dalam operasi AES sehinggakan perlu diserahkan kepada PDRM?

d)   Berapa kos pampasan dan bagaimana pampasan dibuat?

Kerajaan telah memasuki Perjanjian bersama dua (2) syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan. Apabila diumumkan bahawa kerajaan mengambil alih operasi, ini bermaksud kerajaan terpaksa membatalkan perjanjian dengan syarikat. Akibat pembatalan perjanjian, kerajaan terpaksa membayar pampasan dan kos-kos terlibat. Pemangku Menteri hanya memberikan jaminan tiada pihak mengaut keuntungan, tetapi bagaimana pampasan akan dibuat untuk mengelakkan keuntungan? Perlu diambil perhatian bahawa Kerajaan mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kos penyediaan AES oleh syarikat ialah sebanyak RM717 juta. Mengikut Model Kewangan Dengan Formula Tiga Langkah yang dipersetujui kedua-dua pihak, syarikat akan menjana sekurang-kurangnya RM769.6 juta setahu dan selama lima (5) tahun syarikat berupaya menjana RM3,848 juta. Jadi berapa sebenarnya jumlah yang akan dibayar oleh Kerajaan, adakah RM717 juta atau RM3,848 juta?

e)   Butiran perjanjian.

Sejak AES dilaksanakan, KASE mendesak di luar dan di dalam Parlimen agar kerajaan dedahkan butiran perjanjian untuk dilihat dan dinilai oleh rakyat kerana perlaksanaan AES ini melibatkan rakyat secara langsung. Kerajaan bertegas bahawa perjanjian adalah rahsia sehingga hari ini kerajaan akan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat. Jadi adalah wajar kerajaan dedahkan isi perjanjian kerana ianya bukan sesuatu yang melibatkan keselamatan negara.

Justeru, saya mendesak kerajaan supaya telus dan hentikan serta merta pelaksanaan AES sehingga semua kajian selesai.

Tiada ulasan: