Isnin, 23 September 2013

EGO DAN SOMBONG ITU PAKAIAN ALLAH...TAK LAYAK MANUSIA MEMAKAINYA

Budaya samseng menjelang pemilihan Umno

Muhammad Faizal, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan kejadian pukul yang berlaku pada pemilihan Umno semalam membuktikan siapa sebenarnya mengamalkan budaya samseng.

Jelas beliau jika selama ini Umno menuduh PAS, PKR mahupun DAP yang mengamalkan politik samseng ternyata apa yang berlaku itu menunjukkan sikap sebenar Umno selama ini.

"Apa yang berlaku ini jelas membuktikan mereka mengamalkan budaya politik samseng, selama ini Umno menuduh Pakatan Rakyat tetapi sekarang telah membuktikan perkara yang sebenarnya," jelasnya kepada Harakahdaily.

Ahmad Zamrai yang turut memberitahu, Umno sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kuasa sama ada dalam pilihanraya mahupun pemilihan parti mereka sendiri.

Kata beliau, semua maklum bahawa jawatan di dalam Umno merupakan 'lubuk duit' dan mereka yang bertanding akan cuba mengatasi pihak lawan walau dengan apa cara sekali pun.

"Pegang jawatan dalam Umno adalah lubuk duit, masing-masing berebut nakkan jawatan dan inilah peluang untuk penuhkan poket.

"Jadi untuk dapatkan jawatan maka pelbagai perkara dilakukan termasuk samseng, ugut mahupun beli undi," kata beliau lagi.

Beliau yang juga calon PAS Parlimen Titiwangsa pada PRU13 lalu berkata, demokrasi di dalam Umno sudah lama terkubur.

Malah katanya, orang Umno percaya bahawa pemilihan secara demokrasi akan menyempitkan ruang mereka untuk memegang jawatan.

Sebelum itu, Seorang calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mendedahkan kisah sebenar berhubung dakwaan beliau ketika menghantar borang pencalonan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Mohd Ariff Abdul Aziz, 57, yang merupakan calon ke-24 MT itu berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 2 petang ketika beliau berjalan kaki menuju ke PWTC untuk hantar borang calon Ketua Bahagian Titiwangsa.

Beliau mendakwa dicekik, ditendang dan pukul di dada, ketika sedang berjalan dari Wisma Perkim menuju ke Dewan Tun Razak.

Persaingan konservatif dan reformis dalam parti

Dr Mujahid Yusof, 23 Sep 2013
SETIAP kali muktamar menjelang, berbagai isu muncul untuk dijadikan bahan sensasi media mahupun kelompok yang bersaing dalam PAS. Khusus dua tahun sekali , para perwakilan akan mengadakan pemilihan kepimpinan, maka fenomena persaingan dan dinamika sebuah parti Islam akan terselah dalam bentuknya yang tersendiri. Bagi saya ia adalah fenomena biasa yang berlaku dalam mana-mana organisasi politik.


ISU MENDASAR


Persaingan dalam  PAS adalah fenomena. Bagi yang pesimis ia akan melihatnya sebagai 'bala' yang akan menghancurkan parti manakala bagi yang optimis ia melihat ini sebahagian daripada dinamika evolusi perkembangan sebuah parti politik.

Bagi musuh politik PAS ini adalah peluang baik untuk melihat lawannya berpecah sesama sendiri walaupun sesekali dia akan melihatkan simpatinya pada pihak tertentu. Atas apa jua perspektif yang kita lihat, kita harus bertanya apakah isu yang mendasar dalam fenomena ini?

Isu yang mendasar adalah persaingan, merasionalkan kewujudan parti dan evolusi organisasi.

Persaingan adalah bentuk dinamika sesebuah organisasi, faktornya ialah kelompok-kelompok yang terbentuk dengan membawa idea tertentu dalam parti. Selalunya idea ini menampakkkan pihak yang mahukan pembaharuan manakala sebuah kelompok lagi melihat status-quo yang ada mencukupi malah meyakini bahawa keadaan yang ada yang telah membawa parti ke tahapnya hari ini.

Mereka melihat pembaharuan akan mengubah asas dan dasar parti sedangkan golongan pembaharuan mahukan lonjakan besar parti untuk terus mampu berada di persada.

PERSAINGAN DALAM PAS

Apa yang kita saksikan dari berbagai kenyataan dan sensasi majlis tertentu seperti Multaqa Ulamak baru-baru ini mengisyaratkan persaingan kelompok dalam PAS terdiri dari dua kategori besar para konservatif dan reformis.

Saya kurang setuju kategori ulama dan profesional,  ia hanya label yang tidak banyak membantu perspektif yang tepat persaingan dalam PAS, tetapi konservatif dan reformis lebih membawa makna dalam memahami persaingan itu. Konservatif adalah golongan dalam parti yang melihat status-quo dan tidak berani keluar dari status-quo kerana menganggap itulah prinsip dan asas tertegaknya parti ini.

Kelompok reformis mahukan parti keluar dari keadaannya dan melonjak kepada identiti baru untuk menggamit perubahan yang ada di sekelilingnya. Berita baiknya adalah kedua-kedua kelompok yang bersaing ini mahukan kebaikan untuk parti dengan perspektif yang berbeza.

KEPIMPINAN ULAMA

Salah satu tajuk perdebatan kelompok yang bersaing adalah tentang kepimpinan ulama. Gagasan pemikiran organisasi yang diperkenalkan tahun 1980-an ini seiringan dengan krisis besar organisasi PAS yang berlaku semasa era Datuk Mohd Asri Muda.  Sebab kepada krisis dan faktornya telah saya sentuh dalam buku 'Pas Baru' terbitan The Malaysian Insider.

Apapun, krisis itu membuka peluang kepada PAS melalui desakan kepimpinan pemudanya melahirkan idae gagasan baru iaitu 'Kepimpinan Ulama'. Ciri utama kepimpinan ulama adalah wujudnya kuasa baru dalam parti bernama Majlis Syura Ulamak di mana keanggotaanya secara eksklusif ialah mereka yang berstatus ulama.

Pengerusi Majlis Syura ialah Mursyidul Am. Sifat Majlis Syura Ulamak ini lebih kepada legislatif dan nasihat. Bahagian eksekutif parti seperti Jawatankuasa Pusat, Dewan-dewan dan lain-lain sampai ke cawangan kekal seperti sediakala.

Tetapi sepanjang 90-an hingga kini, tiba-tiba isu ulama tidak ulama menjadi perbahasan sampailah kepada persoalan sama ada bahagian eksekutif parti mesti juga di kalangan ulama atau tidak. Secara konvensionalnya juga  Presiden, Timbalan dan salah seorang Naib mesti dari kalangan ulama.

Kecuali Mohamad Sabu, semua Timbalan Presiden PAS sebelum ini dalam kepimpinan ulama dikategorikan sebagai ulama. Kelompok yang bersaing tidak mempertikaikan keahlian ulama dalam Majlis Syura, mereka cuma mempertikaikan kenapa jawatan eksekutif lain mesti di kalangan ulama juga?  Untuk mengenal pasti bukan ulama maka terciptalah label profesional.

Akhirnya isu sebenar yang boleh memajukan parti diabaikan dan isu ulama tidak ulama pula menjadi perdebatan yang tidak produktif.

TUNTUTAN ULAMA

Istilah ulama dalam PAS mesti difahami dari sudut operasinya sebagai mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama secara formal dalam atau luar negara, peringat rendah ataupun tinggi.  Apa yang dituntut dalam Multaqa Ulama untuk diberi ruang kepada ulama agak mengelirukan kerana selama ini mereka ada Dewan Ulamak yang bersifat  eksekutif.

Ketua Dewan Ulamak secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, begitu juga halnya di peringkat negeri dan kawasan. Malah ulama ada dalam jawatankuasa pusat dari sudut mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama, walaupun bukan dari kalangan anggota Dewan Ulamak.

MERIT

Persaingan dalam parti  sepatutnya bukan berdasarkan latarbelakang pengajian tetapi adalah ditentukan oleh merit atau kelayakan.  Dalam PAS corak pemilihan oleh para perwakilan akan terpengaruh dengan ciri tertonjol pada calon-calon antara aktivis, latarbelakang agama dan ilmuwan.

Masalahnya adalah tidak semua aktivis ustaz dan tidak semua ustaz adalah ilmuwan mahupun aktivis dan tidak semua ilmuwan itu ustaz dan aktivis. Corak ini kadang kala terlalu simplistik sehingga asas utama iaitu kelayakan atau merit diabaikan.

Merit atau kelayakan mesti dinilai dari sudut pencapaian dalaman dan luaran parti, kejelasan hendak membawa visi dan misi parti ke hadapan dan tahap pengorbanan dan susah-payah calon sebagai aktivis. Asas 'ulama lwn non-ulama' menjadi tidak relevan jika kita memahami asas kedudukan seseorang ialah kerana kelayakan yang dinilai oleh para perwakilan terhadapnya bukan kerana mereka ulama atau tidak.

Apatah lagi sebagai sebuah parti politik yang inginkan kuasa ke Putrajaya, isu merit sepatutnya menjadi persoalan pokoknya. Hal ini tidak bercanggah dengan kaedah Islam memilih seseorang kepada sesuatu tugasan iaitu al-Qawi dan al-Amin iaitu berkemampuan (berkelayakan) dan beramanah.  Mengapa pula ulama dan non-ulama menjadi isu?

PERSAINGAN SIHAT

Persaingan yang sihat adalah persaingan yang berlumba untuk mengetengahkan idea kepada parti dan membuat perkiraan rasional bagaimana parti harus terus efektif memimpin orang ramai membentuk negara yang diidamkan.

Saya telah membawa idea dalam dua buku saya bagi mewajarkan lonjakan baru yang saya namakan sebagai 'keluk ke-3 untuk PAS'.

Dalam program 'Rejuvenasi PAS', saya telah memperkenalkan empat tingkap atau bahagian organisasi yang perlu diberi penyegaran iaitu Struktur dengan menawarkan Institusi Presiden yang kuat, manakala dalam Sumber Manusia saya mencadangkan Jabatan Sumber Manusia parti untuk mengurus perkembangan parti yang pesat.

Dalam budaya saya mencadangkan pengukuhan akhlak Islam dan profesionalisme manakala dalam persaingan dalaman saya mencadangkan ketelusan dalam proses pemilihan.

Dari sudut strategi luaran, kejelasan tentang penglibatan PAS dalam masyarakat sivil dan demokrasi serta advokasi dasar perlu kepada penyegaran semula. Malangnya parti diheret untuk membincangkan sama ada ulama atau tidak ulama yang layak memimpin PAS. Saya telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa jika ulama itu layak bukan kerana dia ialah ulama dan jikalau bukan ulama, dia layak bukan kerana dia tidak ulama.

Mereka diletakkan di situ kerana para perwakilan melihat Kemampuan (al-Qawi ) dan Amanah (al-Amin) yang mereka miliki untuk membawa bahtera perjuangan PAS di Malaysia. Sepatutnya kepimpinan mendidik ahli kepada budaya memilih kerana kelayakan dan bukan statusnya.

IMPLIKASI

Malangnya perkataan ulama telah diberi makna yang berbeza. Sepatutnya istilah ulama melambangkan keilmuan dan keterbukaan tetapi kini menjadi status yang dipertaruhkan untuk bersaing dalam parti.  Apakah status ulama itu mewajarkan segala-segalanya dari sudut kelayakan?

Penglibatan seseorang yang berstatus ulama dalam sebuah organisasi parti politik Islam bukan menjamin jawatan dan kedudukan dalam parti, malah sebagai ahli parti , dia perlu menunjukkan keberkesanan dan kemampuan membawa visi dan misi parti.

Dalam buku saya, 'PAS Baru' dan 'Rejuvenasi PAS',  isu dikotomi (pemisahan) ulama dan bukan ulama mesti diselesaikan segera melalui penyegaran sistem sumber manusia parti dengan membuat penarafan piawaian ahli yang ada dalam PAS dari berbagai latarbelakang kepada piawaian yang dipersetujui dan jangan biarkan pihak tertentu yang memandai-mandai menarafkan kelayakan hanya berbekalkan status semata-mata.

Inilah yang akan berlaku apabila pengurusan parti tidak ada strategi Sumber Manusia parti yang melihat segenap aspek perkiraan bagi melahirkan kelayakan kepimpinan yang terbuka untuk semua.

MASA DEPAN PAS

Apa yang disaksikan hari ini adalah dinamika sebuah parti politik dan sebagai parti politik Islam, keunikannya menjadikan  evolusi perkembangannya menarik untuk diberi perhatian.

Nama Islam pada parti politik tidak menjamin ianya suci dari kerenah manusia yang menggerakkan parti Islam. Apa yang perlu  adalah kemahiran menguruskan dinamika ini kerana ia akan memberi peluang  cerah kepada perubahan yang amat diperlukan PAS hari ini jika ia mahu kekal relevan.

Mengurus konflik dan krisis tidak memerlukan ulama atau tidak, ia memerlukan seseorang yang mampu melihat secara positif bahawa dalam krisis dan konflik ada peluang untuk penyegaran baru bagi PAS melonjak ke hadapan.

Sudahkah kita yan cintakan pada perjuangan ini memikirkannya?

Ego terlucut di bumi Makkah

http://www.wartautara.com, 23 Sep 2013
Kini lebih sejuta umat Islam berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan rukun Islam kelima. Jemaah dari segenap penjuru dunia kini berada di bumi penuh barakah untuk menyahut seruan Allah SWT.

Meskipun beraneka warna kulit, bangsa dan keturunan, pemimpin negara dan rakyat jelata, mereka bersatu hati dalam ibadah berskala mega. Tiada diskriminasi pangkat atau status sosial kerana mereka melaksanakan ibadah yang sama.

Ibadah haji sememangnya kaya dengan pengajaran bagi yang mahu berfikir. Contohnya, pemakaian ihram. Ibadah lain, kita diberikan kebebasan memilih jenis pakaian asalkan menutup aurat, tetapi tidak ketika menunaikan haji.


Kain putih tanpa jahit

Kita diwajibkan memakai ihram, sehelai kain putih tanpa jahit. Bayangkanlah selama ini kita begitu seronok memperagakan diri dengan aneka jenama pakaian mengikut kemampuan masing-masing. Mereka yang kaya bergaya dengan jenama mahal dan serba anggun dipandang mata.

Sampai di bumi Makkah, kita lucutkan segala ego hati, lalu tunduk kepada perintah Allah SWT dengan hanya berpakaian ihram yang serba putih. Alangkah indahnya pengajaran diberikan Allah SWT bahawa manusia di sisi-Nya adalah sama taraf, yang membezakan mereka adalah kualiti iman dan takwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu, (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah An-Najm, ayat 32)
Pesanan Allah SWT dipatuhi seratus peratus oleh jemaah kerana tidak mahu ibadah haji yang sedang dilakukan tertolak tanpa ganjaran. Namun, sampai tahap mana kepatuhan itu? Seharusnya sebaik menjejaki tanah air, rasa patuh kepada suruhan dan larangan Allah SWT menjadi budaya hidup.

Jika seluruh jemaah yang berada di bumi Makkah mampu menghayati sepenuhnya hikmah di sebalik ibadah yang dilaksanakan, kita yakin tiada sebab umat Islam tidak boleh bersatu padu.

Mengapa kita boleh mendisiplinkan diri dengan segala suruhan dan larangan Allah SWT ketika berada di bumi Makkah, namun tatkala pulang kita tergamak abaikan begitu saja. Seolah-olah kita hanya ‘berlakon’ baik dan penuh patuh ketika mengerjakan ibadah haji, selepas itu tiada lagi istilah untuk patuh dan akur dengan tuntutan Allah SWT.

Bebas virus mazmumah


Haji mabrur ada petandanya dan satu daripadanya ialah perubahan sikap jemaah. Seandainya sebelum berangkat ke Tanah Suci, hati kita berserabut dan berkarat dengan sifat negatif, maka selepas sebulan di Makkah, hati sepatutnya sudah bersih daripada virus mazmumah.

Jika dulu kita jarang ke masjid untuk solat berjemaah, sekembali daripada menunaikan haji kita menjadi ‘rakan masjid’ yang akrab. Seandainya sebelum bergelar ‘tuan haji’ kita begitu sayangkan harta hingga kaku tangan untuk menderma, seharusnya sikap itu dibuang jauh-jauh.

Ibadah haji lambang penyatuan

Sebenarnya ibadah haji lambang penyatuan hati ummah dalam satu kem ibadah terbesar. Sebaik selesai menunaikan fardu haji kita harus bertindak sebagai ‘wakil Allah’ di kawasan masing-masing untuk menyatukan hati-hati ummah.

Pesanan Imam Hasan al-Bana yang dimaksudkan dengan persaudaraan adalah mengikat jalinan antara hati dan roh dengan ikatan akidah iaitu ikatan yang paling ampuh dan berharga. Ukhuwah ialah satu cabang daripada keimanan, manakala perpecahan cabang kekufuran.

Permulaan bagi kekuatan adalah dengan kekuatan kesatuan. Tidak ada kesatuan melainkan dengan wujudnya kasih sayang. Serendah-rendah kasih adalah berlapang dada terhadap saudaranya. Setinggi-tinggi kasih sayang ialah memberikan keutamaan kepada saudara kita.

Begitulah sebenarnya fenomena bersosial dipamerkan seluruh jemaah haji di Makkah. Mereka bersatu hati atas dasar akidah yang satu dengan tidak sedikitpun berselimut rasa iri dan menyala api permusuhan.

Inilah juga sebenarnya yang diperintahkan Allah SWT kepada kita untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian, bukan setakat dalam suasana beribadah haji.

Sememangnya ibadah haji terlalu kaya dengan pengajaran kerana Allah SWT sediakan ruang hikmah yang begitu banyak untuk dihayati seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan.


Ustaz Fuad kekal Ketua Ulamak PAS Kuala Pilah

Anis Nazri, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Kuala Pilah memilih Abdul Karim Shahimi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS kawasan bagi sesi 2013-2015 selepas berlakunya pertandingan dua penjuru dengan penyandangnya, Zaharudin Osman pada mesyuarat agung tahunan kawasan tersebut yang diadakan semalam.

Selain YDP, jawatan Timbalan Yang Dipertua (TYDP) juga turut berubah apabila Norazman Mohamad dipilih oleh perwakilan, menggantikan Mohamad Nor Abdul Rahim.

Semua jawatan dipertandingkan kali ini, melainkan jawatan Ketua Urusan Ulama PAS Kuala Pilah yang menang tanpa bertanding, yang disandang Ustaz Fuad Osman.

Sementara itu, beberapa usul dibentangkan antaranya usul bagi membincangkan dan menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N16 Seri Menanti dari PKR, yang sebelum ini merupakan kerusi PAS pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

Mesyuarat agung tahunan yang disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar itu membabitkan 92 perwakilan daripada 20 cawangan.

Ketika ini, kebanyakan kawasan-kawasan sedang giat menyempurnakan mesyuarat agung di kawasan masing-masing sebagaimana yang dikehendaki PAS Pusat.

PAS Pusat telah menetapkan tarikh bermula 12 Ogos hingga 30 September untuk PAS kawasan menyempurnakan mesyuarat agung kawasan masing-masing.

Bagi Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan adalah bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.

Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan Selangor dipilih menjadi tuan rumah.

Muktamar tahun ini juga akan menyaksikan proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Tiada ulasan: