Selasa, 13 Ogos 2013

TERUK SANGAT KE TALIBAN NI...AKHIRAT NANTI KITA TAHU SAPE LEBIH MULIA DISISI ALLAH SWT

Isu surau: PAS Johor dukacita, tak wajar berlaku

Anis Nazri, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Johor melahirkan rasa amat dukacita dengan insiden terkini membabitkan penggunaan sebuah surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, bagi aktiviti yang ada kaitan dengan kepercayaan agama lain.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman, ia tidak seharusnya berlaku jika pihak pengurusan resort dan kumpulan agama tersebut peka dengan soal berkaitan agama dan batas kebebasan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi Islam adalah agama rasmi.

Sambil mengalu-alukan siasatan yang dibuat oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama, Mazlan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berharap orang awam harus bertenang dan jangan menghangatkan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Berlatarbelakangkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, semua pihak diingatkan agar mengawal emosi dan tindak-tanduk masing-masing. Kebebasan beragama bukan tiket untuk melakukan tindakan tertentu yang boleh mengguris perasaan pihak lain," tegas beliau dalam kenyataannya itu.

Apapun, tambah beliau PAS percaya ia adalah kes terpencil yang timbul akibat salah faham dan mampu diselenggarakan oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama.

Dalam pada itu, Mazlan turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Ustaz Abd Mutalib Abd Rahim, seperti disiar dalam Sinar Harian Edisi Johor hari ini yang menuduh PAS membisu dalam isu-isu yang mengaib dan menghina agama Islam.

Dakwaan itu, tegas Mazlan bukan sahaja tidak benar, malah berprasangka buruk.

"Walhal, Ustaz Mutalib sendiri punya maklumat mendalam mengenai PAS kerana hubungan yang baik beliau dengan pemimpin PAS Johor sendiri," kata Mazlan.

Katanya, selaku parti dan gerakan Islam yang dasar perjuangannya berteraskan Al Qur'an dan Sunnah, PAS memang sentiasa prihatin dengan isu-isu yang berkaitan akidah dan permasalahan ummah.

Sebagai contoh, kata Mazlan, isu pemindahan Tanah Perkuburan Islam di Pengerang sebelum ini, bukankah PAS bersama NGO Pengerang yang bertindak proaktif apabila timbul berbagai kontroversi?

Justeru, beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ustaz Mutalib tersebut.

Isytihar harta baik, BN lebih utama - Nasrudin

Anis Nazri, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyambut baik saranan dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar pemimpin Pakatan Rakyat mengisytiharkan harta, bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan politik semasa yang menginginkan ketelusan di kalangan pemimpinnya.

Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hasan, berkata tidak mengapa jika seseorang pemimpin itu hidup dalam kekayaan, jika kekayaan itu diperoleh melalui cara yang betul atau dibenarkan.

"Isytihar harta ini bukan untuk mendedahkan kekayaan atau menunjukkan kemiskinan, sebaliknya ia bertujuan menunjukkan harta yang diperoleh itu melalui cara halal dan betul.

"Rakyat berhak menilai pemimpin yang diamanahkan agar ia tidak menjadi fitnah yang mana jawatan dalam parti atau kerajaan itu sebagai satu batu loncatan untuk mengaut keuntungan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, pengisytiharan harta itu perlu dilaksanakan di semua peringkat, termasuk kepada mereka yang memenangi pilihan raya umum lalu dan diikuti pihak lain, seperti pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Malah menurut beliau, langkah tersebut lebih utama dilakukan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara lebih 50 tahun.

"Sepatutnya bagi pemerintah, isytihar harta ini lebih utama. Mereka terlebih wajar melakukannya supaya benar-benar dilihat telus kerana mereka sebagai pemegang amanah yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia.

"Rakyat boleh audit ketua negara bagi memastikan kekayaan yang diperoleh mereka itu melalui cara benar atau sebaliknya," kata beliau.

Tambah beliau, pelaksanaan isytihar harta itu dapat dilihat ketika zaman Saidina Umar berhubung pembahagian kain rampasan kepada rakyat di Madinah.

Umar selaku khalifah ketika itu dipersoal oleh rakyatnya kenapa beliau dapat membuat sehelai jubah dari kain tersebut sedangkan rakyat hanya dapat membuat sehelai baju sahaja.

Persoalan tersebut kemudian dijawab oleh anak saidina Umar bernama Abdullah bahawa beliau juga mendapat kain dari hasil rampasan perang tersebut, dan bahagian kainnya dihadiahkan kepada bapanya, lalu cukuplah untuk dibuat sehelai jubah buat bapanya.

Jawapan tersebut sekaligus menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat ketika itu.

Tambah Nasrudin, tujuan pengisytihran harta itu bertujuan mengelakkan rasa curiga, selain memberi ruang kepada rakyat untuk menilai ketelusan pentadbiran dan pemerintahan pemimpin negara.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh antara pemimpin terawal pemuda PAS yang mengisytiharkan harta ketika Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Bharu tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersetuju dengan saranan Karpal tersebut.

Kelantan akan tubuh Institut Pemikiran Tok Guru

Salmah Mat Husain, 13 Ogs 2013
KOTA BHARU: Institut Pemikiran Tok Guru akan ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan seberapa segera mungkin sebagai ruang rujukan masyarakat negeri ini dan luar untuk mendapatkan ilmu daripada bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Tuan Guru sejak cadangan penubuhannya selepas PRU13 lalu.

Menurutnya lagi, ianya diwujudkan sebagai ruang rujukan masyarakat berhubung ilmu Islam khususnya.

“Semoga idea, pemikiran, ilmu yang selama ini telah dikongsikan oleh tuan guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.

“Dengan cara ini, idea atau pemikiran tok guru selama ini sentiasa segar dan dapat dimanfaatkan untuk semua sebagai teras kepimpinan ulama,” ujarnya.

Institut itu, katanya akan memainkan peranan penting untuk menyebarkan konsep pentadbiran ulama di bawah kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang ada sekarang.

Jelasnya, bagi menjayakan hasrat itu Tuan Guru akan hadir di pejabat Kota Darulnaim selama sebulan, seminggu sekali bagi membolehkan pelbagai pihak bertemu dengannya.

Pada masa yang sama, katanya Tuan Guru juga akan menyampaikan kuliah agama sekali dalam sebulan.

Tuan Guru ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menubuhkan institut itu.

Katanya, penubuhan itu sebagai suatu penghormatan kerajaan negeri dan rakyat kepadanya.

“Insya Allah saya akan penuhi hasrat itu demi untuk Islam, kerana selagi saya hidup, selagi itu saya tetap akan berjuang untuk Islam, untuk masyarakat seluruhnya,” ujarnya.
'Buang stigma negatif pada ibu tunggal'

Stigma perceraian biasanya lebih tertumpu kepada wanita daripada lelaki, menurut beberapa ibu tunggal.
Tidak tahu apa salahnya dan sebab mengapa masyarakat sentiasa berfikiran dan bersikap negatif terhadap wanita yang bercerai terutama ibu tunggal yang sepatutnya diberi sokongan dan pembelaan, kata mereka.

Antara cabaran utama yang sering kali ibu tunggal perlu hadapi ialah dari segi ekonomi dan kalau yang bekerja pula, penjagaan dan membesarkan anak seorang diri.

Bagi Atikah Rodzi, 28, beliau sendiri sudah lali dengan pandangan serong segelintir masyarakat terhadap golongan ibu tunggal, namun tanggapan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadiran seorang suami.

"Tiada siapa pun di dunia ini inginkan gelaran ibu tunggal, tetapi apabila saya tergolong dalam golongan itu, saya sedar saya tidak boleh berasa rendah diri untuk berhadapan dengan masyarakat," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Menurut ibu tunggal yang mempunyai seorang anak berusia setahun itu, beliau diceraikan ketika masih dalam pantang, yang pada ketika itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan kerana menyambung pengajian di universiti tempatan.

Atikah berkata selepas bercerai dengan suaminya, beliau dan anaknya hanya bergantung harap kepada ibu bapa dan adik-beradik yang simpati, namun ketika anaknya berusia lapan bulan, beliau ditawarkan bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

"Syukur Alhamdulillah, berkat doa kedua-dua ibu bapa, saya mendapat tawaran kerja dan saya percaya tawaran ini juga merupakan rezeki anak. Apa yang penting jadikan cabaran dan dugaan itu sebagai batu loncatan untuk lebih berjaya dalam kehidupan," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata masyarakat seharusnya membuang stigma terhadap ibu tunggal terutama yang masih muda kerana mereka memerlukan ruang untuk meneruskan kehidupan.

"Lazimnya keadaan ekonomi mereka tidak semuanya stabil. Jadi mereka memerlukan ruang dan masa untuk mencari rezeki, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak. Kalau mereka tidak ada anak sekali pun, mereka terpaksa membayar makan, minum dan sewa rumah," katanya.

Dalam masa yang sama, Jamil Khir menasihatkan ibu tunggal supaya menjaga batas pergaulan bagi mengelak daripada sebarang tohmahan sekali gus stigma masyarakat.

"Hal-hal yang membawa ibu tunggal kepada fitnah seeloknya dielakkan dan mereka perlu sentiasa beristiqomah dengan menjaga aurat, adab dan akhlak," katanya.

- Bernama
Roboh surau: NGO kata majlis agama 'seperti Taliban'
4:27PM Ogos 13 2013
NGO hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa pihak berkuasa agama Johor bersikap "seperti Taliban" kerana merancang untuk merobohkan satu surau kontroversi di negeri itu yang didakwa dibina dengan tidak menepati arah kiblat.
LFL dalam tulisan di Twitter turut mempersoalkan sekiranya arah kiblat tersebut perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau.
NONE"Surau ‘meditasi’ Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor...  Dah gila – surau kena hadap kiblat bukan manusia?," tulisan itu dipetik.
NGO itu juga mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort itu.

"Taliban dah bertapak di Malysia - syabas BN,"

"MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salahguna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman.

"Agaknya @PDRMsia dah jadi penguatkuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar – sibuk tangkap 'penghina' Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan," kata LFL dalam tulisan berkenaan.

LFL mengulas laporan media petang ini berhubung kenyataan penasihat MAIJ, Datuk Noh Gadut yang mengandaikan surau itu mungkin akan dirobohkan kerana tidak menepati arah kiblat.

Keputusan itu bagaimanapun dilaporkan akan hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam masa sebulan lagi, kata Noh seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi Hasrin Kamal Hashim dalam laporan Sinar Harian hari ini mengakui bahawa pihaknya telah meluluskan pelan bangunan berkenaan.

Dalam laporan sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi  Mohd Noorazam Osman pula berkata surau terbabit dibina atas tanah persendirian dan tidak dimiliki atau diwakaf kepada JAIJ.
Surau yang terletak dalam kawasan sebuah Surau di Kota Tinggi itu meraih kontroversi apabila digunakan untuk satu upacara keagamaan oleh sekumpulan penganut Buddha pada Sabtu.

Pemiliknya, seorang warga Singapura kini ditahan reman mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Ketua sami Buddha mohon maaf kes upacara di surau
4:05PM Ogos 13 2013
Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana Nayake hari ini memohon maaf kepada penganut agama Islam atas tindakan kumpulan penganut fahaman Buddha dari Singapura yang bermeditasi di dalam surau sebuah resort di Kota Tinggi, Johor.
"Kami memohon maaf kepada saudara Muslim kami dengan tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Kota Tinggi," kata Dhammaratana dalam kenyataannya petang tadi.

NONEBeliau turut menasihat penganut Buddha agar menghormati sensitiviti agama lain dalam menunaikan kewajipan agama itu.

“Mustahil kita dapat membina bahagia atas kesedihan orang lain,” katanya dengan bermadah.

"Saya menasihatkan penganut fahaman Buddha di Malaysia dan Singapura agar menghormati sensitiviti penganut agama lain dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipan mereka," katanya lagi.

Kejadian berkenaan dikesan melalui satu video di Youtube, menunjukkan lebih 10 orang sedang menyertai satu upacara yang diketuai seorang individu berpakaian jubah berwarna oren di lokasi berkenaan.

Kumpulan berkenaan ditunjukkan berada dalam keadaan duduk  mengadap satu objek yang didirikan dalam di depan, di ruang tengah dalam surau tersebut.

Video dimuatkan oleh pengguna Youtube yang menggunakan nama 'Sebastianphiu' itu turut menunjukkan hiasan tulisan dalam bahasa Arab di dinding surau terbabit.

Susulan itu, pemilik sebuah resort di Sedili Besar di Kota Tinggi itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau resort itu digunakan untuk upacara keagamaan penganut bukan Islam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.

Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pemilik restoran mati ditembak di Dungun
 
Seorang pemilik restoran nasi kukus ditemui mati ditembak di Kampung Cacar, di Dungun awal hari ini.
Mayat Mohamad Lutpi Mansor, 50, ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di tempat letak kereta di hadapan restorannya pada pukul 7.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati dua kesan tembakan di bahagian atas dada dan di bahu kiri mangsa," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan kepada pemberita di Dungun hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun kerana Toyota Hilux dan beg duit milik lelaki itu dilapor hilang.

Bagaimanapun sejumlah wang ditemui di dalam poket baju mangsa dan polis percaya wang itu adalah sebahagian daripada hasil jualan restoran milik lelaki itu untuk dimasukkan ke dalam bank.

"Polis percaya jenayah itu melibatkan lebih daripada seorang suspek dan polis kini menjalankan gerakan memburu suspek bersama Toyota Hilux berwarna hitam dengan nombor pendaftaran CCL 5445," katanya.

Manoharan berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu menemui dua butir peluru di dada dan bahu kiri lelaki itu.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Nor Zuedawati Umar, 25, berkata lazimnya suaminya akan keluar sekitar pukul 4.30 pagi untuk ke surau seterusnya ke bank.

"Saya terkejut apabila adik saya memberitahu suami telah meninggal dunia. Saya bergegas turun dari rumah dan melihat suami terbaring berlumuran darah...duit hasil jualan dan Toyota Hilux milik suami lesap.

"Saya percaya suami tidak sempat ke bank untuk memasukkan duit hasil jualan dari lima cawangan restoran," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di Dungun hari ini.

- Bernama
'Cuti untuk selama-lamanya'
  • 'Cuti untuk selama-lamanya' Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa.
1 / 3
KUALA BERANG - "Makcik benar-benar terkejut hingga tertolak tong sampah berhampiran ketika menerima berita kejadian yang menimpa anak daripada rakannya.

"Ketika itu makcik sedang bekerja sebagai tukang sapu di Bandar Kuala Berang," kata RokiahChe Jusoh, 52.

Rokiah ialah ibu Saharudin Shahar Alam, 35, dari Kampung Pauh, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi semalam, di Kilometer 8 Jalan Tajin-Telemong, di Kuala Akob, membabitkan dua motosikal jenis  EX5 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Menurut Rokiah, sebelum dia ke tempat kerja kira-kira jam 7 pagi, anak sulung daripada sembilan beradik itu sempat menegurnya dan memaklumkan akan beraya ke Kampung Buluh Gading, Manir, memandangkan dia masih bercuti raya dan belum mendapat arahan majikan untuk ke Kemaman.

“Melihat makcik bersiap-siap untuk ke tempat kerja, dia bertanya makcik sama ada makcik sudah mahu pergi kerja dan makcik hanya mengiyakan sahaja.

"Tidak sangka itulah perbualan yang terakhir dan makcik benar-benar terkejut apabila mendapat tahu dia maut dalam kemalangan," katanya.

Sedia juadah kegemaran anak

Rokiah berkata, anaknya bekerja di bahagian pendawaian di Kemaman dan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.

"Dia masih bercuti dan sedang menunggu arahan majikannya untuk ke Kemaman pada bila-bila masa. Rupa-rupanya dia bercuti untuk selama-lamanya.

"Sebelum kejadian, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan dan sebagaimana biasa, sempena raya, makcik sediakan juadah kegemarannya iaitu nasi himpit. Apa pun, makcik reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham Saharudin Shahar akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Tajin-Kuala Telemong terlanggar sebuah motosikal di hadapannya dari arah belakang.

"Sebelum kejadian, terdapat sebuah motosikal jenis EX5 ditunggang Mohd Anuar Kassim, 41, dari Kampung Kuala Akob yang berhenti dan menyalakan lampu isyarat membelok ke kanan untuk masuk ke satu lorong.

“Berkemungkinan mangsa tidak perasan dengan isyarat lampu tersebut lalu cuba memotong motosikal berkenaan hingga menyebabkan kemalangan. Mohd Anuar terjatuh ke sebelah kiri jalan, manakala mangsa ke kanan jalan iaitu laluan bertentangan," katanya.

Terseret sejauh 15 meter

Menurutnya, ketika itu terdapat sebuah kereta jenis Perodua MyVi dari arah Kuala Telemong menghala ke Kampung Tajin dipandu Mukminah Mohd, 29, berasal dari Kampung Baru Tetambah Manir.

"Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa, yang kemudiannya terseret sejauh kira-kira 15 meter.

"Kereta tersebut terbabas ke dalam parit dan turut merempuh tiang telefon. Mangsa maut di lokasi kejadian, sementara Mohd Anuar pula cedera parah. Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan sentiasa mengawasi jarak kenderaan masing-masing bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terutama sepanjang musim perayaan ini.

Tiada ulasan: