Jumaat, 30 Ogos 2013

TAKUT JALAN CERITA TAK TEPAT DENGAN PERISTIWA SEBENAR...IA JADI FITNAH...TOKOK TAMBAH JUGA JADI FITNAH...TIADA SAPE MENGAKU BERAK DIJALAN...ALLAH LAH MENGETAHUINYA

Hari-hari akhir di Harakahdaily

Zulkifli Sulong, 30 Ogs 2013

(Selamat tinggal Harakah....ada masa, ada jodoh dan diizinkan Allah bertemu lagi)

31 Ogos 2013, sempena Hari Kemerdekaan negara esok, adalah hari terakhir saya bertugas sebagai Ketua Pengarang Harakahdaily. Ia juga hari terakhir saya bertugas dengan Harakah, selepas bersama organisasi hebat ini selama 26 tahun.


Berdasarkan surat tawaran jawatan (gambar sebelah), saya mula bertugas dengan Harakah pada 10 April 1987. Tulisan saya mula tersiar dalam Harakah edisi ketiga selepas Harakah mendapat permit penerbitannya pada 28 Februari 1987.

Setiap tahun saya akan ingat tarikh ini kerana ia mempunyai nilai tersendiri. Pada peringkat awal, permit Harakah akan tamat tempohnya pada hari 28 Februari ini. Ia perlu diperbaharui pada tarikh itu. Pada tarikh ini juga adalah hari lahir saya, yang akan diingati oleh orang-orang di sekeliling pada setiap tahun.

Masih ingat lagi, saya dilantik sebagai kakitangan sepenuh masa Harakah selepas menyertai satu kursus intensif sebagai pemberita selama seminggu. Ia dibuat untuk melatih bakal wartawan Harakah selepas permit diperolehi. Kursus ini diuruskan oleh Haji Subky Latif bersama dengan Ustaz Nakhaie Ahmad ketika itu.

Selepas kursus seminggu inilah, saya, Ahmad Lutfi dan Mohamad Nasir dilantik sebagai pemberita sepenuh masa di pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

Sepanjang bertugas dengan Harakah, saya pernah berada di puncak kegembiraan dan sudah tentu terasa jatuh terselempot.

Menjelang pilihan raya 1999, Harakah cetak yang saya pimpin pernah mencatat rekod cetakan 380,000 naskah pada satu keluaran. Pada beberapa bulan menjelang pilihan raya 1999 itu, purata cetakan Harakah adalah 350,000 setiap keluaran, menjadikan Harakah akhbar yang paling popular ketika itu

Untuk Harakahdaily pula, media ini mencapai puncak popularitinya menjelang Pilihan raya Umum ke-13 lalu. Pada ketika itu, Harakahdaily menjadi media ke-4 paling popular di Malaysia. Harakahdaily hanya berada di belakang Malaysiakini, Sinar Harian dan The Star online pada ketika itu.

Kami berada di depan media-media online yang lain dari segi rankingnya termasuk Utusan, Berita Harian, Metro, The Malaysian Insider dan juga Kosmo.

Di sebalik kejayaan, sudah tentu ada kegagalan dan kesedihan yang saya hadapi. Paling terasa apabila akhbar Siasah yang saya pimpin terpaksa dibawa keluar oleh pemilik permitnya dari kumpulan Harakah.

Akibatnya sudah tentu ia meninggalkan beberapa kesan dan titik negatif kepada Harakah dan saya sendiri.

Kini saya sudah di penghujung karier saya dengan Harakah, media yang mendidik saya sebagai wartawan.

Saya telah menghantar notis kepada Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar pada 1 Julai 2013 lalu. Notis ini perlu saya berikan dua bulan sebelum saya berhenti.

Alasan yang saya berikan adalah, selepas 26 tahun bersama Harakah, saya perlukan pengalaman baru. Saya tidak pernah bekerja dengan lain-lain media selain Harakah. Apabila ada peluang, saya perlu memanfaatkannya.

Alasan ini juga saya berikan kepada Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali dan juga penasihat editorial Harakahdaily, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kepada ketiga-tiga mereka saya berkata, "Berilah peluang kepada saya untuk mencari pengalaman dengan media lain selain Harakah. Jika Harakah masih memerlukan saya, beritahu saya selepas dua tahun dari sekarang. Saya yakin ketika itu saya akan lebih baik berbanding sekarang. Itupun jika Harakah masih perlukan saya”.

Mulai 1 September 2013 ini, Pengarang Harakah cetak, Taufek Yahya akan mengambilalih tugas saya sebagai Ketua Pengarang Harakahdaily. Beliau akan memimpin pasukan editorial dan seterusnya menentukan hala tuju media ini.

(Penyerahan rasmi tugas kepada Ketua Pengarang Harakahdaily yang baru, Taufek Yahya dengan disaksikan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar dan Herman Firdaus, Pengarang Harakahdaily English yang baru)

Sebagaimana saudara-saudari memberikan kepercayaan kepada saya, saya pohon supaya perkara yang sama diberikan kepada saudara Taufek.

Kepada kakitangan Harakahdaily, saya ucapkan selamat berjaya dan yakinlah apabila kita buat sesuatu dengan hati yang penuh ikhlas kerana Allah dan tugas yang diamanahkan, Allah akan bersama kita walaupun pelbagai badai datang melanda.

Kepada pemimpin PAS dan kakitangan Harakah keseluruhannya, terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang saya menjalankan tugas selama 26 tahun ini.

Kepada pembaca, peminat dan pengkritik Harakahdaily, terima kasih banyak. Kerana anda semualah kejayaan dicapai oleh Harakahdaily dengan izin Allah jua.

Selamat membaca dan seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.



Zulkifli Sulong
Rawang
29 Ogos 2013.

27 Ogos tarikh keramat, usia makin lanjut

Tuan Ibrahim Tuan Man, 30 Ogs 2013
27hb Ogos baru berlalu, tarikh keramat yang mengimbau bagaimana kini usiaku semakin lanjut. 50 tahun lalu aku dilahirkan oleh ibu, Nik Hasanah binti Nik Mat, adik kepada Nik Aziz Nik Mat.

Ibu pernah menceritakan pengalaman bagaimana sewaktu mengandungkanku lebih kurang 3 bulan. Dia mengidam nak makan ubi kayu bakar, terasa sedap jugak. Ibu menceritakan bagaimana dia pada suatu petang hari berjalan ke rumah jiran yang kebetulan ada menanam ubi kayu yang agak luas. Untuk membeli beberapa puluh sen, rasanya tiada masalah sangat. Biasalah orang mengidam tak makan banyak, beliau terus ke rumah jiran tersebut. Bilamana sampai di hadapan rumah jiran ibu memberi salam, dan menjelaskan hajat untuk membeli ubi kayu (dalam 20 sen) sambil menceritakan rasa mengidam nak makan ubi kayu bakar. Masa itu 20 sen dah kira dapatlah seguni ubi kayu.

Tapi sayang tuan rumah menjawab: “Ubi kayu tidak dijual 20-30 sen, jual banyak sekali gus, sikit-sikit tak jual, maaf je lah ye….” Ibu sangat terasa hati dengan jawapan tersebut. Ingatkan dapat percuma, biasalah orang kampung kalau mengidam punya pasal, kita bagi sahaja. Tapi ibu merayu agar dia juallah sedikit, namun jawapannya tetap sama. Ibu terus pulang dalam keadaan sangat kecil hati dan rasa tersinggung dengan tindakan jiran itu.

Sambil balik ibu menceritakan ia mengadu dalam hati alangkah baiknya kalau Allah mengajar agar manusia insaf. Manusia boleh memiliki tanah, tapi yang mengeluarkan isi (hasil) adalah Allah. Kalaulah hujan turun, agaknya baru dia insaf… Bukanlah berdoa, tetapi hanya kerana rasa terkilan. Selepas solat Maghrib, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sehingga Subuh.

Keesokan hari bilamana hujan berhenti hampir 8.00 pagi, ibu membuka tingkap rumah. Didapati seluruh kawasan tanaman ubi ditenggelami air. Ubi kayu memang pantang tenggelam air, akan rosaklah ia.. Apabila ibu membuka pintu rumah, didapati ada beberapa ketul ubi kayu diletakkan di atas pelantar rumah. Maka dapatlah ibu makan ubi bakar, kuranglah rasa mengidamnya.

Itulah sedikit kisah waktu ku dalam kandungan. Masa tu manalah kita tahu. Kisah ini ibu ceritakan kepadaku bilamana beliau mengingatkanku jangan sombong dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nasihat itu masih tergiang-ngiang di telinga. Mengenang hari lahir ini teringat bagaimana seorang ibu menahan penderitaan di saat melahirkan kita. Semoga Allah sentiasa memelihara ibu, ayah dan semua sahabat seperjuangan.

Ini tulisan 3 tahun yang lalu. Sekadar berkongsi. Senyum.

Gempar! Proton Saga Aeroback dalam filem Tanda Putera?

http://omakkau.blogspot.com, 29 Ogs 2013
Dalam satu sedutan filem Tanda Putera terdapat adanya perarakan dengan membawa sepanduk oleh sekumpulan orang di mana sebuah kereta Proton Saga aeroback turut dirakamkan bersama.


# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Muhyiddin selesa dengan jawatan sekarang?

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun belum membuat pengumuman rasmi tentang jawatan yang bakal ditandinginya, tetapi tidak ternampak pula kecenderungan untuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersedia mencabar Najib bagi jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti 19 Oktober depan.

“Dengan tempoh pertandingan tidak sampai dua bulan dari sekarang, Muhyiddin nampaknya cukup selesa dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, jika sebelum pilihanraya dulu, kedengaran juga ura-ura daripada para penyokongnya bahawa keputusan PRU13 akan menentukan gerak langkah dan percaturan Muhyiddin yang seterusnya tetapi kini semua ungkapan itu sudah tidak kedengaran lagi.

“Walaupun masih ada yang mengharapkan Muhyiddin akan mencabar Najib berikutan beberapa perkembangan yang menunjukkan Najib masih tidak berubah, ditambah dengan keputusan PRU13 yang mengesahkan beliau lebih buruk daripada Pak Lah, di sebalik Muhyiddin masih menangguhkan untuk membuat pengumuman tentang jawatan yang bakal ditandinginya, beliau sebenarnya cukup selesa dengan kedudukan dan jawatannya sekarang,” tulisnya lagi.

Baca di sini

Saifuddin layak tanding ketua UmnoTemerloh

Khairil Abdul Rahim, 29 Ogs 2013
TEMERLOH: Gelora pemilihan Umno tahun ini terus terasa bahangnya ke segenap peringkat. Di Pahang paling hangat diperkatakan ialah nasib dan masa depan politik bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Ini kerana beliau yang menyandang kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, bakal bertembung dengan seorang ahli jawatankuasa Umno paling berpengaruh di sini iaitu Datuk Akbar VV Abu kali ini.

Akbar, 51, seorang ahli perniagaan dan Naib Pengerusi Persatuan Bolasepak Pahang, sudah tentu tidak tampil bersendirian kerana beliau selama ini dilihat sebagai ‘orang kuat’ Ketua Bahagian Umno sendiri iaitu Datuk Mohamad Sharkar Shamsudin.

Sharkar juga ialah Timbalan Pengerusi Umno Negeri Pahang dan merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini sudah terdengar desas-desus mengatakan terdapat usaha ‘orang-orang’ Sharkar cuba menyekat Saifuddin daripada melangkah ke hieraki parti yang lebih tinggi.

Saifuddin bertanding pertama kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan menang sebagai Ahli Parlimen Temerloh. Bintangnya cerah apabila terus dilantik sebagai timbalan menteri. Kemudian menang pula jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, pada pemilihan 2009.

Namun kekalahan Saifuddin pada PRU13 kepada calon PAS, Nasruddin Hassan sekali gus gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh, dilihat seolah-olah menjadi isyarat untuk melenyapkan kerjaya politik bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) itu.

Dari segi keperibadian, Saifuddin kelihatan amat disenangi penduduk Temerloh. Apatah lagi beliau juga mudah mesra dengan pemimpin Pakatan Rakyat setempat.

Namun beberapa kenyataan Saifuddin ada kalanya dianggap kontroversi oleh Umno kerana dilihat senada dengan pembangkang. Kesempatan ini telah dieksplotasi oleh kalangan Umno Temerloh untuk memburukkan beliau. Kerana tidak mudah bagi orang Umno untuk menerima seseorang yang berfikiran terbuka.

Di atas kertas memang kelihatannya Saifuddin yang juga tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan jawatannya namun kelebihan Akbar pula ialah beliau menetap di Temerloh dan mempunyai hubungan yang rapat dengan perwakilan-perwakilan daripada Umno cawangan sedangkan Saifudin walaupun berasal dari Temerloh, tetapi menetap di Kuala Lumpur.

Bagi veteran Umno Alang Ahmad, beliau menjangkakan Akbar yang akan menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua itu.

“Pendapat saya Akbar akan menang kerana beliau duduk di Temerloh iaitu kerap mendampingi rakyat dan berpengaruh di kalangan perwakilan Umno Cawangan. Popularitinya lebih berbanding Saifuddin.

“Jika ini benar-benar jadi kenyataan, karier politik Saifuddin mungkin lenyap. Kecuali (Datuk Seri) Najib sendiri turun bertemu Umno Bahagian Temerloh dan mengisytiharkan masih mahukan Saifudin, kerana ketokohannya di peringkat pusat,” katanya.

Tambahnya, ini lebih baik jika dibiarkan boleh merugikan Umno sendiri kerana tidak mustahil Saifuddin andainya kecewa boleh menyertai PAS atau PKR memandangkan arwah kedua ibu bapanya juga merupakan orang PAS.

Keadaan ini mengesahkan bahawa politik cantas mencantas adalah amalan biasa dalam Umno. Ketokohan seseorang tidak menjadikan ukuran kerana yang penting siapa yang boleh ‘bagi banyak’.

Seorang ahli Umno, Jaffri Ramli, mempunyai pendapat yang agak berbeza apabila menyarankan supaya Saifuddin bertindak nekad bertanding jawatan Ketua Bahagian atau sebaliknya kerjaya politiknya ranap.

“Sayanglah tokoh muda macam Saifuddin yang selama ini disegani kawan dan dihormati lawan. Ketokohan beliau bukan saja di Temerloh, malah boleh diketengahkan di peringkat negeri menjadi Menteri Besar sekalipun pada masa akan datang.

“Sebaiknya Saifuddin sendiri tampil menentang Sharkar untuk jawatan Ketua Bahagian Umno Temerloh. Sudah tiba masanya Saifuddin yang berkarisma itu keluar daripada bayang-bayang dan perangkap peringkat bawahan,” ujarnya.

Mahfuz ucap tahniah kepada Adun PR Kedah

Bashir Ishak, 29 Ogs 2013
POKOK SENA: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada semua Adun Pakatan Rakyat negeri kerana berjaya memainkan peranan masing-masing dengan baik semasa  persidangan Dewan Udangan Negeri (Dun) pada 25 hingga 27 Ogos lalu.

Katanya, barisan Adun Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah telah berjaya memiankan peranan masing-masing pada sidang tersebut.

"Ini menampakkan kebolehan dan keupayaan kita walaupun sebahagian dari kita adalah muka baru, tetapi berjaya mengambil bahagian untuk menyentuh perkara-perkara yang membabitkan isu rakyat termasuk yang meyentuh tentang isu Islam itu sendiri.

"Tahniah dan syabas untuk mereka.Adun Pakatan Rakyat selepas ini akan buat pemantauan kepada setiap portfolio Exco kerajaan negeri untuk menyediakan kad laporan yang bakal di sajikan kepada rakyat kelak," katanya pada sidang media yang berlangsung di Markas PAS Pokok Sena, Jalan Langgar dekat sini hari ini.

Pada sidang tersebut, semua Adun Pakatan Rakyat hadir ke sidang Dun kecuali Adun Sungai Limau yang juga mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang masih menjalani rawatan kesihatan di hospital Sultanah Bahiyah.

Tiada ulasan: