Khamis, 15 Ogos 2013

GAGAL JUGA MELETAKKAN ISLAM PALING DIATAS....QURAN DAN HADIS RUJUKAN UTAMA...AKHIRAT KAUORANG JAWAB JE LAH

NGO Islam Kedah sokong Kuin kekal di Kuala Ketil

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak Kerajaan Kedah dan pengurusan tertinggi Kolej Universiti Insaniah (KUIN) agar menyemak keputusan untuk memindahkan semula KUIN kembali ke kampus Mergong.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid mempersoalkan langkah pemindahan itu dan kedudukan sebenar kampus KUIN Kuala Ketil yang masih disembunyikan oleh pihak kerajaan negeri sama ada ia akan dijual atau disewa kepada pihak lain.

Katanya, langkah untuk menyembunyikan kedudukan sebenar masa depan kampus KUIN Kuala Ketil adalah suatu tindakan yang membelakangi hak mahasiswa dan rakyat Kedah sebagai pendukung kepada pembinaan kampus ini.

“Tindakan untuk menjual atau menyewa Kampus KUIN Kuala Ketil yang tersergam indah dan kembali ke kampus lama Mergong adalah suatu usaha langkah ke belakang yang sangat merugikan dan mengecewakan rakyat negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan media bersama Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA), Ustaz Ahmad Yahya, Naib Pengerusi Salimah Kedah, Masadah Sajadi, Yang Dipertua ABIM Kedah, Zulazri Mohd Sani, Presiden Pertubuhan Darul Mustafa Kedah, Hafiz Mustafa Lubis dan Pengarah Pusat Santuni Rakyat (PSR) Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman itu sebagaimana di bawah.

Umum mengetahui bahawa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) merupakan institut pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri Kedah yang telah berkembang pesat sejak penubuhan lebih 15 tahun.

Ia adalah pusat pengajian tinggi yang membanggakan seluruh rakyat negeri Kedah dan ianya menjadi pemangkin kepada pengembangan dunia pendidikan dan keilmuan di negeri ini.

Dalam fasa 5 tahun lepas, dalam mencapai prestasi yang cemerlang untuk dianugerahkan mandat Universiti penuh, pihak KUIN telah melaksanakan pelbagai program pembangunan sama ada dalam bidang akademik, pembangunan syahsiah dan kelengkapan kampus  pembelajaran.

Pihak MAPIM telah menerima memorandum dari mahasiswa KUIN Kampus Kuala Ketil yang mendesak pihak Kerajaan Negeri Kedah untuk terus kekalkan Kampus Kuala Ketil sebagai pusat pembelajaran mahasiswa KUIN.

Memorandum itu juga meminta Kerajaan Negeri Kedah yang bertanggungjawab penuh keatas pentadbiran KUIN untuk membatalkan hasrat mengarahkan mahasiswa berpindah ke kampus lama Mergong.


MAPIM bersama beberapa NGO Islam negeri Kedah termasuk Teras Pengupayaan Melayu (TERAS),Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA), Abim negeri Kedah, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Pusat Santuni Rakyat (PSR) Sik dan Pertubuhan Darul Mustafa Negeri Kedah dengan  ini menyokong penuh tuntutan mahasiswa KUIN Kuala Ketil yang terkandung dalam memorandum tersebut.

MAPIM juga bersetuju diatas langkah Jawatankuasa Bertindak Mahasiswa  untuk bertemu mengadap bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku Cancelor KUIN yang telahpun pada 29 Januari 2013 lalu menjunjung kasih hadir perkenan merasmikan kampus KUIN Kuala Ketil.

Hasil pemantauan dan tinjauan yang telah dilakukan oleh pihak MAPIM, beberapa faktor penting yang menjadi pemasalahan besar kepada kebajikan mahasiswa sekiranya mahasiswa kampus Kuala Ketil dipindahkan ke kampus Mergong.

Mahasiswa berdepan dengan risiko keselamatan yang sangat kritikal di kampus Mergong dan Asrama Farabi.

Seperti yang sedia maklum keadaan bangunan yang sangat uzur dan serba kekurangan dari segi kelengkapan dan kemudahan.Kehidupan seharian mahasiswa terpaksa berada dalam keadaan bahaya, infrastruktur bangunan asrama dan kuliyyah kampus Mergong adalah tidak memenuhi syarat kelulusan (CF) seperti yang disyaratkan oleh  pihak berkuasa tempatan(PBT).

Seharusnya pihak pentadbiran mengambil cakna dengan keadaan bangunan yang  sangat tidak selesa untuk diduduki dan risiko berlakunya kebakaran sangat tinggi. Selain daripada itu, kawasan kampus Mergong yang terlalu kecil tidak mampu menampung kuantiti pelajar yang ramai dan semakin bertambah.

2. Mahasiswa akan mengalami gangguan emosi dan mental dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya keputusan perpindahan ini diteruskan juga, ianya sangat menggangu emosi mahasiswa yang telahpun berpindah tiga kali sebelum ini di pelbagai lokasi bermula daripada kampus Mergong ke kampus Stargate Alor Setar kemudian ke kampus Kuala Ketil dan akhirnya kembali ke kampus Mergong semula .

Proses  jadual kelas yang tidak teratur, bebanan tugasan pembelajaran bagi menghabiskan silibus yang tergesa-gesa dan pembelajaran dalam masa yang singkat akan mengganggu emosi dan mental pelajar untuk belajar dengan tenang dan teratur.

3. Mahasiswa terpaksa menanggung bebanan kewangan yang tinggi.

Situasi ini berlaku apabila kebanyakkan mahasiswa yang telah mengikat perjanjian sewa rumah dengan tuan rumah untuk menyewa  rumah  di kawasan Kuala Ketil.
Ini menyebabkan deposit serta kos perbelanjaan yang tinggi perlu ditanggung oleh mahasiswa berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Berdasarkan soal jawab yang telah dibuat sewaktu perjumpaan mahasiswa Kuliyyah Muamalat, seorang mahasiswa telah memaklumkan meraka terpaksa membayar hampir RM4,000 baki sewa rumah sekiranya ingin meningglkan rumah tersebut sebelum tamat tempoh perjanjian selama setahun yang ditetapkan oleh pemilik rumah.

4. Tempat belajar yang kurang kondusif di kampus Mergong.

Penilaian MQA bagi setiap kursus yang telah dipohon mewajibkan pentadbiran sesebuah IPTS menyediakan kemudahan-kemudahan bagi melancarkan proses P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Jika perlu dibandingkan antara kelas yang cukup untuk menampung keperluan dengan kelas yang besar dan selesa, pastilah kelas yang besar dan selesa yang akan dipilih.

MAPIM mendapati kelas yang akan digunakan oleh pelajar apabila berpindah ke kampus Mergong sangat tidak kondusif untuk proses pembelajaran yang selesa dan baik. Sedangkan kelas pembelajaran di KUIN Kuala Ketil adalah terbaik dan setanding dengan kampus IPT terbaik di Malaysia.

5. Penginapan pelajar yang tidak selesa dan bebanan kos deposit rumah.

Situasi di bangunan Asrama Al-Farabi, kampus Mergong yang telah dipetik dari kenyataan rasmi pengerusinya menyatakan bangunan tersebut adalah banggunan rumah flat empat (4) tingkat. Setiap rumah akan dihuni oleh lapan (8) orang pelajar. Untuk menampung bilangan pelajar dari Kampus Kuala Ketil ke Mergong, pentadbiran telah menyediakan 200 tempat untuk pelajar lelaki dan 600 tempat untuk pelajar perempuan di bangunan asrama yang bersebelahan dengannya.

Malangnya, bangunan tersebut yang di laporkan; tiada Certificate Safety (CS), sistem pendawaian dan air yang perlu diselenggara kembali, sudah pasti akan memakan masa yang lama dan menelan sejumlah kos yang tinggi serta mengganggu kosentrasi pelajar untuk belajar dengan lebih selesa.

6. Kampus KUIN Kuala Ketil adalah terbaik, strategik dan kondusif dari segi kemudahan prasarana dan tempat pembelajaran yang telah dan sedang dibangunkan bagi memenuhi syarat-syarat sebuah universiti  berbanding kampus KUIN di Mergong yang masih di tahap lama.

Cadangan Mapim Untuk Peningkatan Kualiti P&P Dan Usaha Penafaran Mahasiswa Kuin Sebagai Mahasiswa Bertaraf Mumtaz.

Memohon agar dikekalkan kampus KUIN Kuala Ketil dan menjadikan ia sebagai kampus tetap  kerana Infrastruktur yang telah dibangunkan memenuhi syarat-syarat sebuah universiti jauh lebih baik, selesa dan lengkap dengan kemudahan berbanding kampus KUIN di Mergong.
Memohon agar penempatan asrama dalam kampus KUIN Kuala Ketil yang telah diberhentikan operasi pembinaanya diteruskan.

Mencadangkan agar pihak pentadbiran KUIN mencari penempatan sementara untuk  menunggu asrama di dalam kampus Kuala Ketil siap sepenuhnya.

Pentadbiran perlu mengariskan pelan jangka masa panjang kolej untuk mencapai taraf universiti penuh.

Meningkatkan  usaha pemasaran dan publisiti  untuk peningkatan kuantiti pelajar pada masa akan datang dengan jumlah yang kompetatif untuk kampus Kuala Ketil.

Meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti kakitangan dalam fasa menjadikan KUIN sebagai tapak medan dakwah Islamiah yang  memerlukan daya usaha yang tinggi dan bersungguh-sungguh.

Meningkatkan inisiatif kebajikan dikalangan mahasiswa dan seluruh kakitangan dan tidak menafikan hak untuk mereka menyuarakan sebarang pandangan dan teguran kepada pihak pengurusan tertinggi KUIN.

Menjadikan kampus  Kuala Ketil sebagai kampus utama dan tunggal sebagai langkah ekonomik untuk mengurangkan bebanan kos pembiayaan dua buah kampus.

MAPIM mendesak pihak Kerajaan Negeri Kedah dan pihak pengurusan tertinggi KUIN untuk menyemak semula keputusan untuk memindahkan semula  KUIN kembali ke kampus Mergong.

MAPIM mempersoalkan langkah pemindahan ini dan kedudukan sebenar kampus KUIN Kuala Ketil yang masih disembunyikan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah sama ada ia akan dijual atau disewa kepada pihak lain.

Langkah untuk menyembunyikan kedudukan sebenar masa depan kampus KUIN Kuala Ketil adalah suatu tindakan yang membelakangi hak mahasiswa dan rakyat Kedah sebagai pendukung kepada pembinaan kampus ini.

Tindakan untuk menjual atau menyewa Kampus KUIN Kuala Ketil yang tersergam indah dan kembali ke kampus lama Mergong adalah suatu usaha langkah ke belakang yang sangat merugikan dan mengecewakan rakyat negeri Kedah.

Kami dengan ini mengesa agar isu kampus KUIN di Kuala Ketil diselesaikan dengan bijak dan keutamaan diberi kepada mengekalkan kampus yang telah dibina di Kuala Ketil.

Kampung Kepayang Ipoh bakal dirodok buldozer?

Hafiz Zainuddin Roketkini, 14 Ogs 2013
DI CELAH kesibukan warga kota Ipoh mencari rezeki, di sebalik ghairah kerajaan dan pemaju membuka taman perumahan dan bandar baru, di situ bersemayam sepi sebuah tanah warisan, kampung tradisi Melayu yang hampir dilupakan, Kampung Kepayang.

Berusia lebih 100 tahun dengan catatan sejarah panjang dan lagenda lampau, kampung ini adalah satu-satunya Kampung Melayu tradisional di tengah kota yang masih bernyawa, hijau dan damai. Di sini juga duduk letaknya sekitar 300 keluarga yang menumpang teduh di atas tanah pusaka warisan nenek moyang mereka.

Mujurlah kampung ini tidak senasib seperti Kampung Paloh dan perkampungan Melayu lain di tengah bandar yang kini hanya terakam dalam sejarah masa dilahap jentolak dan buldozer atas nama pembangunan. Jika nasibnya serupa, maka Kampung Kepayang tidak terkecuali bakal meninggalkan jasa mencatat kelompok demi kelompok keluarga Melayu sebagai statistik yang pernah mendiami bandar Ipoh. Tidak lebih daripada itu.

Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang

Perdu rimbun buluh yang meliuk ditiup angin menyambut saya pada hari raya kedua berkunjung ke sini. Perasaan saya tidak lebih seperti pulang berhari raya ke kampung halaman, apa lagi saya tidak pernah merasa pulang ke kampung memandangkan kedua-dua arwah nenek dan datuk saya memang sudah lama berhijrah ke Ipoh.

Hari itu saya mengambil kesempatan memenuhi jemputan teman, Faizal Zainol ke majlis rumah terbuka keluarga besarnya; Himpunan Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang. Bagi saya, alangkah bertuah jika dapat saya jejak susur galur keluarga keturunan saya, sebab, baka keturunan ini boleh jadi kebanggaan. Walaupun tidak kenal saudara jauh, tidak pula terus hilang jejak mereka, abah saya pernah khabarkan bahawa keturunan keluarga kami berasal daripada suku Bugis yang merantau ke Tanah Melayu dan turut punya pertalian darah dengan Melayu Deli di Medan. Malangnya kami terputus hubungan dengan saudara mara di seberang sebaik sahaja datuk saudara saya, Pak Su yang menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Suasana Kampung Kepayang hampir tidak berubah berbanding dua tahun lalu ketika saya berada di sini melainkan tersergam sebuah masjid baru yang menggantikan masjid lama berhampiran padang anak-anak bermain bola yang berhadapan dengan tanah perkuburan lama. Tidak pula saya perasan kalau-kalau sudah ada pusat kraftangan atau kompleks sejarah dibina. Selain itu, semuanya tak terusik, biasa sahaja kecuali beberapa rumah penduduk yang baru dicat.

Uniknya, biar pun kampung ini berada di tengah kota Ipoh, menjejakkan kaki ke sini menjanjikan satu suasana kontra. “Kampung ni macam satu kampung dekat Bakelalan, Sabah nu,” kata Cikgu Azmi dengan nada seloroh ketika duduk bersembang sambil menjamah kambing bakar.

Cikgu Azmi adalah seorang daripada waris keluarga besar itu. Di suatu ketika tatkala Lembah Kinta masyhur sebagai lubuk perusahaan bijih timah, Dato’ Panglima Kinta adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran daerah ini sebelum bertukar tangan kepada penjajah Inggeris.

Saya mengenali Cikgu Azmi ketika saya dan beberapa orang teman, saudara Kyl Mohamad, Ezham Mohd Noh, dan Faizal Zainol melakukan penyelidikan ketika aktif dengan komuniti bebas dua tahun lalu.

Selain Cikgu Azmi, tidak boleh dilupakan ialah Suhaimi Mohd Nazir atau lebih mesra dipanggil Udik. Beliau adalah Setiausaha Persatuan Keturunan Dato’ Panglima Kinta Pasak Kepayang. Udik adalah antara orang yang paling banyak memberi maklumat kepada kami mengenai sejarah kampung itu. Begitu juga Ketua Kampung, Kampung Kepayang ketika pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Perak, Haji Bakri atau lebih dikenali sebagai Pak Wer. Mereka adalah individu yang banyak membantu kajian kami selain ramai lagi responden penduduk kampung dan ahli akademik yang ditemui.

Peri penting survival Kampung Kepayang Ipoh

Kami (komuniti bebas) mengambil Kampung Kepayang sebagai subjek kajian dan penyelidikan memandangkan ia adalah sebuah kampung tradisional Melayu yang unik kerana berada di tengah bandar dan masih diduduki. Kebetulan, kampung ini juga bukan kawasan asing bagi saya, Kyl dan Faizal. Inilah tempat kami mencari buluh untuk sebarang aktiviti pasukan pengakap kami di zaman sekolah dulu – Pergerakan Pengakap 08 Kinta, Sekolah Menengah Anderson Ipoh.

Melalui kajian itu, hasilnya kami terbitkan melalui penulisan dan sebuah dokumentari berdurasi 32 minit 32 saat berjudul “Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang”. Dokumentari ini merungkai susur galur sejarah Lembah Kinta sebermula abad ke 15 lagi. Ia termasuklah Perang Perak pada 1875 membabitkan Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Dato’ Maharaja Lela dan JWW Birch. Turut diselitkan bersama adalah lagenda popular yang diceritakan orang lama di situ secara lisan mengenai lagenda Gunung Mat Sirat dengan mitos Sang Kelembai dan istana raja yang menjadi batu.

“Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang” merupakan sebuah dokumentari mengenai sejarah dan survival sebuah kampung yang terletak di tengah bandaraya Ipoh. Bagaimanapun, melihatkan keadaannya sekarang, saya kurang pasti masih adakah pihak yang prihatin terhadap keberlangsungan survival kampung ini melainkan daripada perkhabaran penduduk, tanah di Kampung Kepayang ini sentiasa diintai pemaju untuk dibangunkan kawasan perumahan dan bandar baru.

Dokumentari mengenai Kampung Kepayang bukan satu lagi projek syok sendiri ‘wannabe-wannabe’ yang kononnya mahu jadi pembuat filem. Pada 25 November 2011, Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang turut serta dalam Festival Dokumentari Finas bersama 100 penyertaan individu dan syarikat penerbitan perfileman yang lain bertempat di Studio Sound Stage Finas dengan kerjasama Crossing Borders International Forum Pitching Forum dan The 1st Finas Documentary Campus Conference.

Kami tahu, dengan sumber tenaga dan peralatan yang sangat minimum, masakan kami boleh menyaingi pembikin dokumentari berpengalaman dan hebat lain untuk memenangi anugerah. Tetapi, barang diingat, tujuan Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang ini menyertai festival dokumentari ini semata-mata bagi mengetengahkan isu, permasalahan dan sejarah silam yang tidak diketahui orang walhal kampung itu adalah sebuah kampung tertua di Ipoh setaraf dengan kewujudan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Apa nasib Kampung Kepayang selepas ini?

Sehingga kini nasib dan survival Kampung Kepayang menjadi persoalan besar. Jika kampung ini terus terpinggir atau perlahan demi perlahan lenyap dalam keghairahan pemaju dan kerajaan meneroka bandar dan perumahan baru, warisan hanya akan tinggal nama, seperti mana Penjara Pudu yang menyembah bumi, Stadium Merdeka yang terancam, bangunan lama di Jalan Sultan yang tiada masa depan begitu juga dengan nasib Kampung Baru, Kuala Lumpur yang menjadi rebutan taukeh dan pelabur.

Dalam hal ini, masyarakat harus ambil kisah. Wakil rakyat harus peduli. Kerajaan harus cakna. Status tradisi dan warisan bukan hak milik mutlak kuih samperit lemang, ketupat mahu pun dodol.

Benar, Kampung Kepayang wajar dikekalkan imejnya dengan wajah kampung warisan. Tetapi, biarlah wajah kampung warisan ini dihargai, diwartakan sebagai kawasan pelancongan bersejarah seperti harumnya nama Pasir Salak dengan kompleks sejarahnya, begitu juga Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey dan beberapa tempat lain.

Kampung Kepayang perlu melalui sebuah modul pembangunan lestari. Industri desa seperti pembuatan makanan tradisi dan kraftangan harus dibangunkan. Kompleks sejarah walaupun kecil perlu dibina. Makam dan kubur lama biarlah bernisan.

Inilah Kampung yang menjadi saksi jatuh bangun Lembah Kinta sebagai hub bijih timah tersohor suatu ketika dulu. Ini juga kampung yang menjadi bukti kemandirian orang Melayu bersama masyarakat daripada suku dan kaum yang lain membangunkan bandar ini.

Bandar Ipoh yang terkenal sebagai kawasan perlombongan bijih timah tidak akan sempurna dengan peminggiran Kampung Kepayang. Pohon Ipoh beracun yang ditanam berhadapan city hall tidak cukup kukuh untuk menanggung segala cerita suka duka, sejarah jatuh bangun bandar, kaum buruh, petani dan semua suku masyarakat di bumi Perak ini.

Matahari jam 12 sudah hampir condong dan dalam sejam lagi berlangsungnya sembahyang fardu Jumaat. Elok sahaja lepas puas bersembang dengan Cikgu Azmi dan teman, saya minta diri beransur pulang meninggalkan majlis perhimpunan keluarga besar itu. Rasanya, segala yang dikongsi, elok benar kalau ditulis. Terima kasih buat Faizal dan seluruh kaum kerabat Dato’ Panglima Kinta Pasak Kepayang yang menjemput saya. Buat wakil rakyat, jengah-jengahlah bertanya khabar orang di sini. Akhirnya, masih tidak terlewat lagi rasanya untuk saya ucapkan salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Jenayah berleluasa bukti tranformasi Najib gagal

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: DAP menyifatkan kadar jenayah yang berleluasa merupakan bukti kegagalan kerajaan walaupun ia didakwa menjadi keutamaan dalam program tranformasi seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menegaskan kerajaan sudah tidak mempunyai masa lagi untuk berdolak dalik, sebaliknya melakukan segera langkah penyelesaian dan memandang serius kejadian jenayah yang tidak berkesudahan itu.

Katanya, kerajaan harus segera menggerakkan lebih ramai anggota polis di jalanan yang mana kini hanya terdapat 9 peratus daripada 112,583 atau 10,150 pegawai beruniform di Malaysia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, lebih dari 20 orang telah terbunuh dalam peristiwa tembakan sejak April lalu termasuk yang berlaku kepada Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi sehari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak.

“Rakyat ditembak di persimpangan jalan raya yang sibuk, di lampu isyarat dan restoran oleh lelaki bersenjata melepaskan tembakan sehingga dua dozen di mana-mana sahaja, di siang hari,” ujarnya dipetik Roketkini.

Justeru, katanya kenyataan Najib tahun lalu yang menyatakan Malaysia adalah negara paling selamat di rantau ini, jelas tidak ada kebenarannya.

Statistik polis yang dikeluarkan oleh agensi pembaharuan ekonomi negara, Pemandu, menunjukkan bahawa terdapat 15,098 kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, ianya meningkat dari 14,811 dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pembunuhan juga meningkat kepada 322 dalam tempoh enam bulan berbanding dengan 291 pada 2011.

Beliau turut mempersoal dari mana datangnya senjata yang digunakan penjenayah yang seolah-olah begitu mudah diperoleh walhal Malaysia mempunyai undang-undang pemilikan senjata yang ketat.

Tambahnya, terdapat sekurang-kurangnya 370,000 senapang yang dimiliki di Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 28 juta.

Katanya, Jepun mempunyai penduduk seramai 127 juta dan 710,000 senapang.

Menurutnya lagi, Malaysia mempunyai nisbah satu senjata untuk setiap 78 orang, lebih tinggi dari Vietnam yang mempunyai nisbah 80:1.

“Hanya mereka yang mempunyai lesen saja dibenarkan untuk mempunyai senjata sendiri, sesiapa yang ditangkap memiliki senjata tanpa lesen boleh menghadapi hukuman sehingga 14 tahun penjara dan hukuman mati sekiranya mempunyai peluru hidup.

“Jadi, dari manakah senjata yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak baru-baru ini datang?” soal beliau.

Pemuda PAS minta jaga sensitiviti amalan agama

Harakahdaily, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta semua pihak agar menjaga sensitiviti amalan hidup agama masyarakat di Malaysia khususnya agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ia susulan daripada kejadian sebuah surau di kawasan Tanjung Sutera Resort, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor yang dijadikan sebagai tokong Buddha bagi acara ritual mereka.

“Kejadian ini menimbulkan persepsi dan persoalan yang besar kerana jarang terjadi penganut sebuah agama menjadikan rumah ibadat agama lain sebagai tempat ibadat mereka,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Lebih dari itu, ujarnya mengapa pihak resort yang beragama Islam sanggup membenarkan surau dijadikan sebagai tempat ritual penganut Buddha.

“Mengapa tiada sensitiviti bagi pemilik resort tersebut untuk mempertahankan surau di tempat beliau daripada diduduki dan dijadikan tempat ritual penganut Buddha?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

DPPM, katanya menegaskan bahawa ajaran Islam tidak boleh sama sekali disamakan dengan agama lain kerana Islam mempunyai ibadat, amalan dan ajaran serta mempunyai rumah ibadat tersendiri.

Jelasnya, agama Islam sama sekali melarang penganut agama lain menggunakan rumah ibadat agama Islam seperti masjid atau surau (musolla) untuk digunakan sebagai tempat ibadat penganut agama lain.

Menurutnya, menjadikan surau atau masjid sebagai tempat sembahan penganut agama lain adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam.

Bahkan, kata beliau ia juga dianggap sebagai menyamakan agama Islam seperti agama lain. Doktrin ini disebut sebagai pluralisme yang sesat dan terkeluar dari Islam.

“Seharusnya pihak kerajaan menyiasat kejadian ini sedalamnya,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, pemilik resort wajar dikenakan hukuman yang berat sekiranya beliau bersalah kerana gagal menjaga insititusi agama sepenting surau dari dijadikan tempat sembahan penganut agama lain.

Tambahnya, ia juga sebagai pengajaran buat semua rakyat Malaysia agar menghormati rumah-rumah ibadat yang sedia ada.

“Kejadian ini juga menjadi pengajaran berharga kepada penganut agama Islam agar menghormati masjid dan surau,” katanya.

Riduan berkata, rumah Allah wajar dijaga, dihormati serta dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Beliau menambah, rumah-rumah Allah tidak wajar disunyikan dari solat berjemaah, pengajian ilmu, tazkirah serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“Mungkin ada hikmah tersembunyi yang dingin disingkapkan daripada kisah ini untuk pengetahuan masyarakat,” ujarnya.

Warga emas di Kelantan dapat pampasan RM54 juta

Aslani M, 13 Ogs 2013

Shakur menyampaikan senarai penerima Takaful Kifaalah Dun Kijang kepada Wan Ubaidah Omar.

KOTA BHARU: Sejak diwujudkan pada Febuari 2007 sehingga akhir Jun lalu sebanyak RM54 juta pampasan dibayar Kerajaan Negeri Kelantan kepada lebih 29,000 warga emas yang meninggal dunia.

Mereka berusia 60 tahun ke atas didaftar di bawah skim Takaful Kifaalah, merupakan program berkebajikan dikendalikan kerajaan negeri.

Kini program tersebut yang memberi manfaat besar kepada penduduk miskin turut dilaksanakan di Selangor dan Kedah.

Keluarga warga emas yang meninggal dunia akan menerima pampasan sebanyak RM1,500 di mana sebanyak RM500 dibayar pada hari kematian.

Pengurus Besar Kifaalah Sdn Bhd, Abdul Shakur Sharrie berkata, pampasan tersebut dibayar berdasar kepada tujuh polisi ditetapkan kepada peserta berumur 60 hingga 76 tahun ke atas.

“Tuntutan pampasan kematian sehingga 30 Jun lalu membabitkan seramai 29,220 orang warga emas berjumlah RM54.3 juta,” katanya di sini.

Menurutnya sehingga pertengahan tahun ini seramai 148,196 warga emas berdaftar di bawah skim berkenaan.

Kata beliau 50 peratus daripada jumlah peserta yang meninggal dunia dalam tempoh tersebut berusia lebih 76 tahun.

Kumpulan tersebut merupakan 24 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli yang berdaftar.

Manakala kumpulan usia paling ramai berdaftar iaitu berumur antara 66 hingga 75 tahun iaitu sebanyak 41 peratus.

Abdul Shakur juga berkata, pada Ramadhan lalu Takaful Kifaalah memperuntukkan sebanyak RM388,000 dibayar kepada waris keluarga warga emas yang meninggal dunia.

“Peruntukan tersebut merupakan fasa ketiga tahun ini sebagai pampasan kepada peserta yang meninggal dunia,” ujarnya.

Menurutnya juga sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini Takaful Kifaalah Sdn Bhd memberi saguhati sebanyak RM300 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Katanya, pemberian itu sebagai penghargaan Kifaalah Sdn Bhd terhadap kerjasama pihak pengurusan Dun bagi memperkasakan skim Takaful Kifaalah.

Isu surau: PAS Johor dukacita, tak wajar berlaku

Anis Nazri, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Johor melahirkan rasa amat dukacita dengan insiden terkini membabitkan penggunaan sebuah surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, bagi aktiviti yang ada kaitan dengan kepercayaan agama lain.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman, ia tidak seharusnya berlaku jika pihak pengurusan resort dan kumpulan agama tersebut peka dengan soal berkaitan agama dan batas kebebasan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi Islam adalah agama rasmi.

Sambil mengalu-alukan siasatan yang dibuat oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama, Mazlan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berharap orang awam harus bertenang dan jangan menghangatkan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Berlatarbelakangkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, semua pihak diingatkan agar mengawal emosi dan tindak-tanduk masing-masing. Kebebasan beragama bukan tiket untuk melakukan tindakan tertentu yang boleh mengguris perasaan pihak lain," tegas beliau dalam kenyataannya itu.

Apapun, tambah beliau PAS percaya ia adalah kes terpencil yang timbul akibat salah faham dan mampu diselenggarakan oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama.

Dalam pada itu, Mazlan turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Ustaz Abd Mutalib Abd Rahim, seperti disiar dalam Sinar Harian Edisi Johor hari ini yang menuduh PAS membisu dalam isu-isu yang mengaib dan menghina agama Islam.

Dakwaan itu, tegas Mazlan bukan sahaja tidak benar, malah berprasangka buruk.

"Walhal, Ustaz Mutalib sendiri punya maklumat mendalam mengenai PAS kerana hubungan yang baik beliau dengan pemimpin PAS Johor sendiri," kata Mazlan.

Katanya, selaku parti dan gerakan Islam yang dasar perjuangannya berteraskan Al Qur'an dan Sunnah, PAS memang sentiasa prihatin dengan isu-isu yang berkaitan akidah dan permasalahan ummah.

Sebagai contoh, kata Mazlan, isu pemindahan Tanah Perkuburan Islam di Pengerang sebelum ini, bukankah PAS bersama NGO Pengerang yang bertindak proaktif apabila timbul berbagai kontroversi?

Justeru, beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ustaz Mutalib tersebut.

Isytihar harta baik, BN lebih utama - Nasrudin

Anis Nazri, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyambut baik saranan dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar pemimpin Pakatan Rakyat mengisytiharkan harta, bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan politik semasa yang menginginkan ketelusan di kalangan pemimpinnya.

Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hasan, berkata tidak mengapa jika seseorang pemimpin itu hidup dalam kekayaan, jika kekayaan itu diperoleh melalui cara yang betul atau dibenarkan.

"Isytihar harta ini bukan untuk mendedahkan kekayaan atau menunjukkan kemiskinan, sebaliknya ia bertujuan menunjukkan harta yang diperoleh itu melalui cara halal dan betul.

"Rakyat berhak menilai pemimpin yang diamanahkan agar ia tidak menjadi fitnah yang mana jawatan dalam parti atau kerajaan itu sebagai satu batu loncatan untuk mengaut keuntungan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, pengisytiharan harta itu perlu dilaksanakan di semua peringkat, termasuk kepada mereka yang memenangi pilihan raya umum lalu dan diikuti pihak lain, seperti pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Malah menurut beliau, langkah tersebut lebih utama dilakukan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara lebih 50 tahun.

"Sepatutnya bagi pemerintah, isytihar harta ini lebih utama. Mereka terlebih wajar melakukannya supaya benar-benar dilihat telus kerana mereka sebagai pemegang amanah yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia.

"Rakyat boleh audit ketua negara bagi memastikan kekayaan yang diperoleh mereka itu melalui cara benar atau sebaliknya," kata beliau.

Tambah beliau, pelaksanaan isytihar harta itu dapat dilihat ketika zaman Saidina Umar berhubung pembahagian kain rampasan kepada rakyat di Madinah.

Umar selaku khalifah ketika itu dipersoal oleh rakyatnya kenapa beliau dapat membuat sehelai jubah dari kain tersebut sedangkan rakyat hanya dapat membuat sehelai baju sahaja.

Persoalan tersebut kemudian dijawab oleh anak saidina Umar bernama Abdullah bahawa beliau juga mendapat kain dari hasil rampasan perang tersebut, dan bahagian kainnya dihadiahkan kepada bapanya, lalu cukuplah untuk dibuat sehelai jubah buat bapanya.

Jawapan tersebut sekaligus menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat ketika itu.

Tambah Nasrudin, tujuan pengisytihran harta itu bertujuan mengelakkan rasa curiga, selain memberi ruang kepada rakyat untuk menilai ketelusan pentadbiran dan pemerintahan pemimpin negara.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh antara pemimpin terawal pemuda PAS yang mengisytiharkan harta ketika Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Bharu tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersetuju dengan saranan Karpal tersebut.

Tiada ulasan: