Sabtu, 24 Ogos 2013

SUSAH KALAU BODOH LAGI BANGGANG

Jenayah dalam kalangan pelajar semakin parah?

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Sejak tahun 2004 lagi, cadangan menempatkan pegawai polis di sekolah-sekolah untuk menangani masalah disiplin serta gansterisme di kalangan para pelajar telah dilakukan.

Malah, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Kor Kadet Polis juga telah ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia bagi menjadi struktur sokongan dan mekanisme perhubungan menangani kebejatan berkenaan.

Katanya, cadangan yang sama juga berulang daripada Timbalan Menteri Pendidikan baru-baru ini untuk meminta kerjasama daripada pihak polis untuk ditugaskan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi tujuan tersebut.

“Adakah wajar perkara ini dilakukan?

“Adakah peranan kaunselor-kaunselor terlatih dan para guru disiplin masih tidak mampu mengekang masalah disiplin di kalangan pelajar?” ujarnya dalam facebook beliau.

Tambahnya, pendedahan akhbar, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia pula mengambil inisiatif dengan kerjasama pihak sekolah untuk mencambahkan penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah yang dikatakan bertujuan untuk menangani penglibatan pelajar dalam kumpulan kongsi gelap.

“Adakah masalah disiplin dan kelakukan jenayah di kalangan pelajar semakin parah?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurutnya, maklumat yang diperolehi, statistik salah laku disiplin murid yang direkodkan oleh Kementerian Pelajaran dalam tempoh 5 tahun (2008 hingga 2012) menjangkau 107,191 orang yang merangkumi 10 jenis kesalahan.

Katanya, sebanyak 17,343 daripadanya adalah ponteng sekolah, 14,321 daripadanya adalah berunsurkan jenayah dan 14,298 daripadanya adalah merokok.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, 73.09% merupakan pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan penting sebelum menjalani kehidupan sebagai seorang dewasa beberapa tahun selepas itu.

“Isu-isu ini bukan suatu yang baharu. Bahkan ia antara isu utama yang harus diberikan perhatian kritikal berbanding daripada flip flop decision kementerian yang merugikan pelbagai pihak sebelum ini termasuk penggabungan semula Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru pihak Kementerian Pendidikan untuk mendedahkan sejauh mana keseriusan salah laku disiplin di kalangan pelajar dan apakah-apakah sebenarnya langkah-langkah yang telah diambil,” ujarnya.

Ini kerana, kata beliau pihaknya mendapati Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah diterbitkan pada bulan September tahun lalu tidak menyentuh secara eksplisit berhubung isu ini.

Mesir: Dr Asri belasah ulama muda Umno

http://omakkau.blogspot.com, 24 Ogs 2013

ISU MESIR .... MANTAN MUFTI PERLIS BELASAH "ULAMA" MUDA UMNO KERANA KHIANAT MENGGUNAKAN NAS-NAS ISLAM!!!!


Mantan Mufti Perlis Dato' Dr Mohad Asri Zainul Abidin melalui twitternya hari ini telah  belasah "ulama" muda UMNO yang dikatakan memutar belitkan nas dan hukum secara khianat terhadap nas-nas Islam mengenai pergolakan yang sedang berlaku di Mesir.

Inilah dia apabila ilmu agama dijual kerana kejarkan jawatan.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Ulama nafi keluar fatwa 'halal' bunuh demonstran

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
MESIR: Ahli Majlis Ulama Besar, Asy-Syeikh Dr Ali Jumu'ah menafikan sekeras-kerasnya penyebaran fatwa palsu yang disandarkan kepada dirinya yang mengatakan "halal" membunuh penyokong legitimasi dan ahli Ikhwan Muslimin.

Beliau menegaskan bahawasanya khabar angin tersebut tidak berasas dan jauh menyimpang dari kebenaran, sumber Al-Azhar Asy-Syarif menyebut.

Katanya, khabar angin yang telah tersebar itu sangat bertentangan dengan ajaran Islam, yang mana menyeru untuk memelihara nyawa serta kehidupan manusia, mengutuk dengan keras segala bentuk kekejaman.

Fatwa palsu itu sebelum ini tersebar di media khususnya yang pro kerajaan kudeta serta beberapa media antarabangsa.

Asy-Syeikh Dr Ali Jumu'ah juga menyebut bahawasanya beliau ketika menyandang jawatan Mufti Republik Arab Mesir, pernah mengeluarkan fatwa berkenaan keharusan mengadakan demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman  yang tidak akan menyebabkan berlaku sebarang kemudharatan.

Dalam fatwa tersebut, beliau juga menyebut berkenaan pengharaman penggunaan sebarang bentuk senjata semasa demontrasi, dan kesucian darah rakyat Mesir yang tidak boleh dicabuli.

AES: BN ‘jilat' semula cadangan Pakatan

Selangorku, 23 Ogs 2013
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) kini terpaksa menjilat kembali pelbagai alasan mereka ketika menolak hujah Pakatan Rakyat yang menentang kuat langkah menyerahkan pelaksanaan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada pihak swasta di peringkat awal lagi.

Sekiranya, BN mengamalkan sikap terbuka untuk mendengar pendapat pemimpin Pakatan Rakyat dan masyarakat umum sebelum AES dilaksanakan, isu pengambilalihan operasi AES pasti tidak akan timbul sekaligus menyelamatkan wang rakyat.

Langkah pengambilalihan operasi AES seperti yang dinyatakan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini, pasti akan melibatkan pembayaran pampasan yang tidak sedikit kepada dua syarikat pengendali AES swasta.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerajaan sepatutnya menjalankan kajian dari semua aspek termasuk pandangan dari Pakatan Rakyat dan masyarakat awam dengan lebih mendalam sebelum melaksanakan sesuatu termasuk isu perlaksanaan AES ini.

“Salah satu sebab kita marah AES ini, ia satu sistem swasta yang mana mereka akan mengaut keuntungannya dan orang mempersoalkan sama ada akan memberi kesan lebih besar kepada pengguna jalan raya dan sekarang pengambilalihan pula sudah tentu melibatkan wang rakyat.

“Itu antara hujah kita dari awal lagi ketika AES mula-mula hendak dilaksanakan, kita tanya kenapa AES ini perlu diswastakan kalau betul perlu nak buat.

“Kita bukan menentang isu keselamatan jalan raya dan sebagainya tetapi nampaknya ia balik kepada cadangan yang kita suarakan masa mula-mula di peringkat awal perlaksanaan AES dahulu tetapi kalau dari peringkat awal perlaksanaan dengan mengambil sedikit pandangan kita suarakan, tak perlu berhadapan dengan masalah ini,” kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor itu.

Terdahulu, di peringkat awal ketika operasi AES hendak dilaksanakan pada tahun lalu, selain tidak bersetuju perlaksanaan AES yang dibuat secara tergesa-gesa, Pakatan Rakyat dan majoriti pengguna jalanraya juga mempersoalkan langkah memberi konsesi operasi AES kepada dua buah syarikat pengendali swasta.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tetap berdegil dengan meneruskan perlaksanaan operasi AES dengan dikendalikan syarikat swasta terlibat.

Bagaimanapun selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

DAP adakan pemilihan semula CEC 29 Sept

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: DAP menetapkan 29 September depan sebagai tarikh pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan diadakan di Lembah Klang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti juga memutuskan bahawa calon-calon untuk pemilihan semula CEC kali ini adalah daripada senarai yang sama seperti dalam Kongres Kebangsaan 2012 lalu.

“Keputusan mesyuarat kali ini adalah sebulat suara mengadakan pemilihan semula pada tarikh 29 September 2013, bertempat di Lembah Klang  dan ianya berkemungkinan berlangsung di Petaling Jaya. Kami akan putuskan lokasi tetapnya kemudian,” katanya dipetik Roketkini.

Menurutnya, calon-calon dalam pemilihan semula CEC nanti adalah berdasarkan senarai yang sama seperti Kongres Kebangsaan, Disember lalu, kecuali calon-calon itu dengan sukarela menarik diri.

“Ini kerana tidak ada sebarang kontroversi dalam senarai calon-calon dan ROS (Pendaftar Pertubuhan) juga menyatakan hanya pemilihan semula saja harus dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan menegaskan, perwakilan yang telah digantung atau dipecat selepas Kongres Kebangsaan 2012 turut layak mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.

Desak OIC bersidang konflik Mesir, Syria

Hazayani Zakaria, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengutuk sekeras-kerasnya serangan gas saraf yang dilancarkan oleh tentera Bashar Al-Assad ke atas penduduk pinggiran Damsyik di Ghouta, Syria.

Serangan tersebut mengakibatkan kematian ribuan masyarakat awam termasuklah kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, DMPP menyifatkan tindakan tersebut sebagai sangat tidak bertanggungjawab  dan membelakangi tamadun kemanusiaan dan dibenci Islam.

"Ia adalah satu jenayah kemanusiaan dan jenayah tentera (perang) yang sewajarnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya juga, serangan berbentuk gas saraf san bioteknologi telah dikategori sebagai satu jenayah perang dan melanggar norma-norma antarabangsa seperti yang termaktub dalam Protokol Geneva berkenaan Penggunaan Senjata Gas dan Bioteknologi Tahun 1925.

Selain itu, perbuataan itu juga melanggar ketetapan Resolusi 1325 Majlis Keselamatan PBB berhubung impak langsung perang ke atas wanita dan kanak-kanak.

"Adalah sangat malang apabila sejak akhir-akhir ini dunia Islam menderita siksa akibat permusuhan dalaman dan sesama mereka sendiri seperti yang sedang berlaku di beberapa negara umat Islam khususnya Syria dan Mesir.

"Dua kelompok besar yang sebenarnya memainkan peranan melaga-lagakan umat Islam ialah kelompok munafiqin Islam yang berpenyakit hati dan kelompok musyrikin yang selamanya membenci Islam," katanya lagi.

Justeru tegasnya, DMPP mendesak Malaysia dan gerakan-gerakan Islam seperti PAS memainkan peranan mereka dalam mendesak Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) segera mengadakan sidang khas berhubung isu umat Islam.

"OIC juga perlu segera bangkit daripada lena yang panjang dan bertinda secara bermaruah menyelesaikan pelbagai konflik dalaman yang melanda umat Islam.

"Buktikan bahawa kamu adalah 'kuntum khaira ummatin ukhrijat linnass', kamu adalah sebaik-baik umat yang diutuskan kepada manusia," tegasnya.

JK khas rangka Belanjawan Alternatif 2014

Harakahdaily, 23 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat seperti tahun-tahun sebelum ini, akan melancarkan Belanjawan Alternatif 2014 sebagai perbandingan terhadap bajet yang akan dibentang kerajaan.

Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa khas telah dibentuk yang dianggotai golongan profesional, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan dibantu Institut Rakyat, sebuah badan pemikir yang dibarisi pakar ekonomi dan akademik.

Turut serta dalam jawatankuasa itu adalah Bekas Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Selain beliau, ahli-ahli JK khas itu termasuklah Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Dr Ong Kian Ming (Serdang), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G.Manivanan (Kapar), Datuk Dr Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan (Stampin) dan Datuk Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju).

Beberapa sektor akan dinilai termasuk Antarabangsa dan Kebangsaan; Ekonomi dan Kewangan; Keselamatan; Pendidikan dan Pekerjaan; Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar; Pengangkutan dan Pembangunan Bandar; Pengurusan sumber Alam; Masyarakat, Kebajikan dan Gender; serta Polisi melibatkan Sabah dan Sarawak.

Bagi Raja Kamarul, sekretariat katanya memfokuskan keberkesanan belanjawan kepada rakyat dan bukannya semata-mata berapa banyak jumlah wang yang diumum sebagaimana amalan Umno BN.

Awakening: Jawapan Mahathir di luar jangkaan

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Setelah menangguh beberapa lama untuk memberi respons terhadap dakwaan Pak Lah terhadapnya dalam buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Mahathir akhirnya menulis dalam blognya untuk menjawab sebahagian daripada isu-isu yang ditujukan kepadanya.

“Namun tidak sebagaimana biasanya, Mahathir yang sering melawan apabila dicabar dan bertindak lebih keras terhadap orang yang mengkritiknya, kali ini beliau memilih untuk menjawab dengan cara sinis dan sindiran saja,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.

Dalam blognya semalam, Mahathir menjawab bahawa walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah untuk menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya dan mampu menyimpan berbilion ringgit wang kerajaan tetapi lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan telah jatuh ke tangan pembangkang serta menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga.

Kerajaan yang menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya tetapi malangnya rakyat tidak menghargainya, sindir Mahathir lagi.

Baca lagi

Sirul, Azilah bebas tuduhan bunuh Altantuya

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar dan mengubah sabitan terhadap mereka atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, lapor portal The Malaysian Insider.

Panel  tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan mereka.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh model dan penterjemah, Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada 2006.

Tiada lagi solat di dua masjid besar Kaherah

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
(Keadaan masjid Rabaah selepas diserang pihak tentera Mesir dalam operasi "pembersihan" minggu lalu)

MESIR: Selepas terbakar dan rosak teruk diserang pihak tentera yang menggempur penyokong legitimasi, dua masjid antara yang terbesar di Kaherah tidak lagi boleh berfungsi.

Masjid Raba'ah, hampir keseluruhannya bahagiannya terbakar dalam serangan berdarah oleh tentera 14 Ogos lalu yang menyaksikan ribuan penyokong Morsi terbunuh.

Masjid Fath (gambar) di Ramsis juga mengalami nasib sama apabila digempur pihak tentera dan samseng upahan sehingga masjid itu rosak keseluruhannya.

Kedua-dua masjid ini merupakan tempat perlindungan penyokong legitimasi yang telah diserang dengan peluru hidup beberapa minggu lalu.

Semalam, Kementerian Wakaf Mesir mengumumkan tiada solat jumaat di kedua-dua masjid berkenaan minggu ini.

Kementerian itu berkata, pihak mereka telah meminta syarikat pembinaan untuk membaiki kedua-dua masjid terebut  secepat mungkin.

Sementara itu, gabungan parti yang menyokong Presiden Morsi mengumumkan himpunan besar-besaran sempena hari Jumaat hari ini.

Perikatan Kebangsaan bagi pertahankan legitimasi berkata, perhimpunan akan bermula dengan doa kepada rakyat mesir yang telah terkorban dalam serangan tentera sebelum ini di seluruh masjid di Mesir.

"Kami akan tetap berpegang teguh sehingga rampasan kuasa tentera berdarah dikalahkan," kata gabungan itu.

Morsi, presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, telah digulingkan pihk tentera melalui rampasan kuasa.

Tiada ulasan: