Isnin, 26 Ogos 2013

SAPA YANG BUNUH...TERLEPAS DIDUNIA...AKHIRAT SANGKUT

Majalah The Week dedah siapa Al-Sisi

Harakahdaily, 26 Ogs 2013



MESIR: Amerika Syarikat akhirnya secara tidak langsung membuat pengakuan terang-terangan bahawa mereka terlibat secara langsung dalam rampasan kuasa tentera terhadap Presiden Mesir Dr Muhammad Morsi.

Pengakuan itu dapat dilihat apabila majalah The Week yang berpengkalan di negara itu meletakkan gambar Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi Al-Sisi di muka hadapan dengan tajuk "Our Man in Cairo - Should US cut off aid to Egypt military?".

Sebelum ini, campur tangan Amerika dalam isu rampasan kuasa Mesir dilihat secara jelas melalui kenyataan-kenyataan yang cenderung menyokong tindakan tentera, biarpun tidak mengiktiraf penggulingan Morsi secara rasmi.

Biarpun cuba berselindung disebalik kenyataan yang mendesak Morsi dibebaskan, namun ianya tidak sama sekali memdamkan fakta bahawa kuasa barat itu sememangnya dalang kepada apa yang berlaku di Mesir ketika ini.

Dalam kenyataan terbaru kelmarin, Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata mereka juga menghormati keputusan kerajaan membebaskan Hosni Mubarak.

Umum sudah maklum bahawsa, Amerika Syarikat sebelum ini penyokong kuat rejim Mubarak, sepanjang 30 tahun pemerintahannya sebagai presiden Mesir.

Selepas kebangkitan di rantau Arab, Washington menerima pelantikan Morsi tetapi mengenakan tekanan ke atas presiden itu supaya membawa pembaharuan ekonomi dan sistem demokrasi.

Endless Possibilities: Tiru Israel atau Mongolia?

Harakahdaily, 26 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kalau mengikut hujah dan logik JPM, maka slogan Endless Possibilities ditiru daripada Mongolia kerana mereka lebih awal daripada Najib menggunakannya.

Najib hanya mula mengucapkan Endless Possibilities pada Januari 2013 sedangkan negara kelahiran Altantuya sudah menggunakannya sejak 19 Februari 2012 lagi.

“Setelah Altantuya menjadi isu dan menimbulkan ribut besar kepada negara, kenapa Mongolia lagi menjadi pilihan?” tanya penulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Justeru, baginya penjelasan dari mulut Najib nampaknya semakin dituntut sama ada slogan itu sebenarnya diciplak dari Israel atau Mongolia.

Beliau turut mempersoalkan apakah penasihat-penasihat Najib tidak peka dalam hal itu dan kenapa dalam era kepimpinan Najib ini kita asyik dihadapkan dengan Israel dan Mongolia saja.

“Tidak adakah negara lain yang boleh dijadikan kiblat penjenamaan?” tanya beliau lagi.

Baca lagi

Juham akan pantau kes Altantuya secara dekat

Khairil Abdul Rahim, 26 Ogs 2013

Nasrudin menyantuni para tetamu.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Rayuan semalam sebagai episod malang dalam sejarah perundangan negara.

Ketua DPPM Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ini berikutan kes jenayah berprofil tinggi itu menjadi perhatian antarabangsa dan boleh menjadi bahan ketawa akibat kecacatan kes dan menimbulkan tanya.

Katanya, serentak dengan itu DPPM melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (Juham) akan terus memantau kes ini termasuk menggalakkan keluarga si mati sendiri membawa kes pembunuhan tersebut ke mahkamah.

“Ada dua kesan selepas keputusan kes ini iaitu pertama imej buruk terhadap Malaysia pada kaca mata antarabangsa kerana melibatkan warga Monggolia dan ada kaitan dengan Peranchis.

“Kedua, andaian masyarakat iaitu jika jenayah berprofil tinggipun tertuduh yang sudah sabit kesalahan boleh dilepaskan hakim kerana penyiasatan dan pendakwaan banyak kecacatan, maka tidak mustahil jenayah akan terus berleluasa kerana penjenayah tak takut lagi,” katanya.

Tambahnya andaian yang sedang diperkatakan secara sinis oleh warga siber pada ketika ini ialah ‘Altantuya masuk ke dalam hutan dan meletupkan dirinya sendiri dengan bom C4’ kerana tiada pembunuhnya dan tidak dapat dijejak orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka ‘Eidulfitri Pusat Komuniti Parlimen Temerloh di sini petang ini.

Kira-kira 7,000 penduduk daripada pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis anjuran PAS tersebut.

Kelmarin tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusannya, berkata berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri serta kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Nasrudin berkata, sebelum ini kes semua petisyen pilihan raya yang ditolak mentah-mentah oleh mahkamah hanya kerana masalah teknikal, turut memburukkan institusi kehakiman negara di mata rakyat.

“Rakyat membawa kes (petisyen) sebesar itu untuk perbicaraan dan mendapatkan keadilan malangnya kes sebesar itu hanya ditolak oleh kesilapan teknikal, jadi sudah tentulah membuatkan rakyat tidak puas hati,” ujarnya.

Keselamatan: Pulau Pinang kerjasama dengan polis

Harakahdaily, 26 Ogs 2013
GEORGE TOWN: Sebanyak 125 buah CCTV dengan kos RM3 juta akan disiapkan pada akhir tahun ini, menjadikan keseluruhannya 229 CCTV di seluruh Pulau Pinang.

“Sepanjang ini, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan polis dengan menawarkan sumber untuk melantik pekerja terlatih bagi memantau CCTV supaya polis boleh menumpukan usaha kepada pencegahan jenayah,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, hari ini

Katanya, penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dengan 6,000 anggota sekarang akan dinaikkan kepada sasaran 10,000 anggota untuk membantu pihak polis menjalankan rondaan keselamatan.

Menurutnya, kuliah khas daripada pakar jenayah daripada tempatan dan luar negeri akan diberikan kepada ahli PPS ini.

“Saya percaya dengan perancangan yang baik dan usaha yang gigih serta tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi, negeri ini akan bertambah makmur.

“Oleh itu, saya menyeru agar semua lapisan rakyat  sentiasa bersatu padu, hormat menghormati dan bekerja sama di antara satu sama lain serta berusaha kuat bersama-sama dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada untuk memaju dan meningkatkan lagi kemakmuran negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengucapkan sekalung budi dan segunung intan kepada semua warga pentadbiran, pihak berkuasa keselamatan dan polis atas sumbangan memastikan Pulau Pinang terus aman, damai dan berfungsi lancar.

“Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini, sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas jasa bakti dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam menerajui pemerintahan negeri ini dan mengucapkan Selamat Menyambut  Hari Jadi Yang Ke-75,” ujarnya.

ACC Gombak anjur Kayuhan Solidariti Rakyat Mesir

Harakahdaily, 26 Ogs 2013

GOMBAK: Alternative Cycling Club (ACC) Gombak bakal menganjurkan kayuhan amal sebagai solidariti untuk rakyat Mesir yang sedang berdepan tindakan kekerasan pihak tentera yang merampas kuasa.

Program tersebut akan di adakan pada Sabtu, 7 September ini bermula di hadapan Shell Greenwood menuju ke Genting Sempah.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Pengerusi ACC Gombak, Azlan Omar berkata, program tersebut sebagai usaha pihaknya mengumpul dana sebanyak mungkin untuk disumbangakan kepada rakyat Mesir yang dizalimi oleh Tentera Jeneral As-Sisi.

"Program ini percuma dan terbuka kepada semua, lelaki atau perempuan tanpa mengira had umur dan perlu membawa basikal sendiri.

"Sila bawa duit sumbangan anda pada hari program untuk dimasukkan ke dalam Tabung Prihatin Mesir," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kepada mereka yang tidak berpeluang ke program itu tapi turut mahu menymbang, boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank, 562106636662.

Altantuya: Jangan jadikan Malaysia bahan ketawa

Muhammad Faizal, 26 Ogs 2013
KUALA LUPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berharap agar mahkamah membuat perbicaraan semula berhubung kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu bagi mengetahui siapa sebenar yang mengarah dan membunuh wanita Mongolia itu.

Beliau berkata, perbicaraan semula itu amat penting bagi mengelakkan Malaysia menjadi bahan ketawa negara lain kerana terdapat kes pembunuhan tetapi tidak diketahui siapa pembunuhnya.

"Mahkamah telah memutuskan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar tidak bersalah daripada pertuduhan membunuh wanita Mongolia dan itu satu keputusan yang baik.

"Persoalannya sekarang adalah siapa pembunuh sebenar, mahkamah perlu membuat perbicaraan semula bagi kita mengetahui dalang disebalik kematian ngeri itu.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi bahan ketawa negara luar kerana pembunuhan berlaku tetapi kita tidak mengetahui siapa," jelasnya ketika ditemui di rumah terbuka PAS di Kelab Sultan Sulaiman semalam,.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata, mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk memanggil semula perbicaraan tersebut.

Namun jika mahkamah tidak dapat mencari keadilan kematian Altantuya, kerajaan perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Di Raja bagi menyelesaikan konflik tersebut.

"Mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk memanggil perbicaraan semula kes tersebut, tetapi jika mahkamah tidak dapat mencari pengadilan saya mendesak agar satu Siasatan Di Raja dibentuk.

"Ini adalah bagi mencari keadilan yang sewajarnya serta menyelesaikan konflik pembunuhan dan bukannya ditinggalkan begitu sahaja secara misteri," kata beliau.

Hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini yang dianggotai tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Tiada ulasan: