Jumaat, 30 Ogos 2013

KAYA MENGUNUNG LANGIT PUN...AKHIRNYA TINGGAL APABILA KITA MATI...PANGKAT TINGGI MELANGIT JUGA TINGGAL ATAU TERLEPAS APABILA MATI...YANG DIBAWA AKIDAH YANG BENAR DAN IBADAH YANG SAH...SELAIN ILMU MANFAAT...AMAL JARIAH SERTA ANAK YANG SOLEH@SOLEHA

Abim anjur Konferen Dunia Kebangkitan Islam

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) akan menganjurkan World Conference On Islamic Resurgence: Challenges, Prospects And The Way Forward pada 7 September ini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

“Konferen antarabangsa ini diadakan sebagai respons terhadap perkembangan semasa yang berlaku di dunia Islam terutama sekali sekitar kawasan Timur Tengah,” ujar Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Katanya, fenomena Arab Spring yang melanda Timur Tengah semenjak 2011 telah membuka dimensi baru wacana Islamic Resurgence (Kebangkitan Islam) yang diisi oleh pelbagai pihak dengan pelbagai telahan serta pandangan berbeza.

Menerusi penganjuran Konferen itu, jelasnya Abim ingin mengemukakan perspektif yang lebih segar mengenai wacana berkaitan dengan kebangkitan Islam.

Katanya, perspektif tersebut turut mengambil kira perkembangan terkini yang melanda Timur Tengah seperti rampasan kuasa di Mesir, ketidakstabilan politik di Tunisia dan perang saudara di Syria.

Konferen itu, ujarnya akan menampilkan pengarang buku yang sensasi ketika ini iaitu Inside Muslim Brotherhood: The Truth About The World’s Most Powerful Political Movement, Douglas Thompson dari United Kingdom.

Buku itu, katanya ditulis berdasarkan kepada biografi Youssef Nada, salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir.

“Beliau dijangka akan membicarakan secara mendalam mengenai kisah dalaman Ikhwan Muslimin dan peranannya di peringkat antarabangsa dalam konteks hubungan Islam-Barat,” ujarnya.

Beliau menambah, program itu turut menampilkan tokoh-tokoh berwibawa untuk membincangkan halatuju kebangkitan Islam pasca Arab Spring di seluruh dunia pada masa akan datang.

Antara mereka yang dijangka hadir ialah pemimpin Hamas, Usamah Hamdan, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Bapak Din Syamsuddin, ilmuwan terkemuka Islam dari Amerika Syarikat, Dr Ahmed Tontoji, pakar politik Islam dari Australia, John Funston, dan Dr Syed Khairuddin Al-Junied dari Singapura.

Segala makluman lanjut berhubung program bolehdibuatdengan merujuk pada laman web rasmi seminar (http://iresurgence.webs.com/) serta menghubungi Sekretariat Seminar di talian 03-41084500 ataupun sms kepada 019-3836700 dan emel ( seminar@abim.org.my)

PAS ragu pemilihan kakitangan Kuisas

Muhammad Faeez Azahar, 29 Ogs 2013
IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa, terdapat pelbagai kepincangan yang berlaku dalam urus tadbir Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas).

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu, pentadbiran kolej di bawah urus tadbir kerajaan negeri itu seolah-olah bersifat kroni.

Adun Changkat Jering itu berkata, beliau meragui akan pemilihan kakitangan dan pensyarah yang dilihat tidak mengikut pekeliling perkhidmatan awam.

Menurutnya, pelbagai pihak musykil tentang kenaikan pangkat empat orang pegawai tadbir gred N41 telah dinaikkan pangkat N44 secara mengejut dan tergesa-gesa dalam jangka masa pendek.

Proses kenaikan pangkat tersebut juga, katanya mempunyai kesalahan antaranya tiada ujian kelayakan ataupun penilaian kompitesi kenaikan pangkat dan dilakukan secara eksklusif, berkelompok dan menafikan hak pegawai-pegawai lain yang jauh lebih senior serta tiada polisi kenaikan pangkat.

"Kami melihat berlaku keadaan tidak telus dalam perkara ini, pengambilan juga tidak berdasarkan kepada merit dan kelayakan tetapi lebih berunsur kroni.

"Pengambilan itu juga tidak berdasarkan keperluan penjawatan dan permintaan suatu jabatan pengajian ataupun fakulti," katanya selaku Ketua Pembangkang ketika berucap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, semalam.

Tambahnya, oleh kerana pengambilan secara rambang ini, terdapat kakitangan kolej yang tidak berkelayakan, tidak berkualiti dan tidak berakhlak sehingga berlaku kes-kes yang tidak diingini.

1.4 juta Bangla: 'Anak di rumah mati kelaparan'

Hazayani Zakaria, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan 1.4 juta pekerja Bangladesh dibawa masuk secara berperingkat ke negara menjelang awal tahun hadapan seperti 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.

Pengerusi Lajnah Buruh PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata, tindakan kerajaan itu menggambarkan sikap kerajaan yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

"Lajnah Buruh PAS membantah keras keputusan kerajaan ini kerana malang kepada pekerja Malaysia apabila lebih mempercayai warga bangladesh berbanding pekerja tempatan.

"Program ini tidak dapat menyelesaikan masalah ketiadaan pekerjaan dalam kalangan rakyat sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, pekerja Bangladesh yang akan diberikan kad pengenalan khas itu dibimbangi akan disalahgunakan pihak tertentu bagi kepentingan mereka.

"Kita bimbang mereka yang mempunyai kad pengenalan khas ini akan dibenarkan mengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan pengambilan pekerja Bangladesh itu merupakan satu helah majikan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minima.

"Tidak mustahil ini satu helah bagi syarikat swasta untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minima kerana mereka fikir pekerja luar tida terlalu mementingkan gaji yang tinggi berbanding pekerja tempatan yang akan menuntut gaji minima antara RM900 hingga RM1,000," katanya lagi.

Justeru tegasnya, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri harus memikirkan semula keputusan tersebut bagi mengelakkan kebajikan pekerja tempatan terabai.

"PAS harap kerajaan fikir semula baik buruk keputusan ini sebelum sebarang insiden buruk terjadi kerana kemasukan beramai-ramai warga asing ke negara kita akan mengundang pelbagai masalah sosial seperti jenayah dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

Menurutnya, kemasukan pekerja Bangladesh tersebut telah dipersetujui semasa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan perkhidmatan.

Syabas perlu beri pampasan kepada pengguna

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Langkah untuk memaksa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bertanggungjawab kepada rakyat perlu bermula dengan memastikan Syabas memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

“Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa Syabas memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah Syabas tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku,” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Sehubungahn itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan telah menghubungi beberapa ahli parlimen dan Adun seperti Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Hannah Yeoh (Subang Jaya), Tiew Way Keng (Teratai), Iskandar Abdul Samad (Cempaka), Wong Chen (Kelana Jaya) dan Gobind Singh Deo (Puchong) untuk memulakan kempen tersusun memaksa Syabas memberikan pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

“Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Syabas untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada penduduk sebab-sebab kegagalan Syabas membekalkan air dengan baik seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Baginya, kegagalan Syabas menyelia dan menyenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa) benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang melibatkan rumah pam yang sama.

Ini, ujarnya memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas.

Syabas, kata Rafizi sering kali hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit.

Beliau berkata, kegagalan Syabas untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi Syabas.

Menurutnya lagi, sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna.

“Syabas mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini, perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

“Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999,” ujarnya.

Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, “Jika perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah".

Beliau menambah, jika Syabas mempunyai ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.

Rafizi memberitahu, Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap Syabas untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna.

Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blognya www.rafiziramli.com/tribunalpengguna dan mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap Syabas bermula minggu depan.

NGO baru bawa isu masyarakat Parit Buntar

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Cetusan positif semasa berkumpul bersama dan bertukar-tukar fikiran memungkinkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal ditubuhkan di Parit Buntar.

Menurut laman web rasmi PAS Parit Buntar, NGO yang bakal diberi nama Kelab Permuafakatan D’Lima akan dipengerusikan Mohamad Diah, seorang pesara guru.

Kelab Permuafakatan D’Lima akan menjadi sebuah NGO yang bukan hanya menumpukan kepada hal menjaga kebajikan ahli sahaja, malah kebajikan masyarakat awam termasuk golongan anak yatim dan fakir miskin.

NGO ini juga akan membangkitkan masalah dan isu-isu masyarakat di peringkat akar umbi termasuk yang melibatkan golongan pesara, pekerja kilang dan pemandu teksi.

Hasrat menubuhkan NGO berkenaan dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semasa kunjungan Ahli Parlimen berkenaan ke lokasi berkumpul mereka di belakang D’Lima Parit Buntar.

Semasa kunjungan berkenaan Mujahid menyumbang dua buah meja dan sepuluh buah kerusi kepada NGO yang bakal ditubuhkan itu.

Mujahid semasa ditemui menyokong usaha menubuhkan NGO yang sah dan berdaftar, mempunyai dasar dan peraturan pertubuhan seperti mana ditetapkan dalam perlembagaan dan undang-undang.

“Saya yakin dengan kemampuan NGO yang bakal ditubuhkan ini kerana anggotanya terdiri dari pelbagai golongan termasuk golongan profesional dan pesara kerajaan.

“Sebelum ditubuhkan NGO pun, sudah ada aktiviti kebajikan yang dilakukan termasuk menyalurkan bantuan kepada fakir miskin melalui Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong,” katanya.

Beliau berharap NGO yang bakal ditubuhkan boleh membawa suara rakyat, menjadi mata dan telinga rakyat serta mampu membantu melancarkan pentadbiran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong

Selangor sasar bina 35,000 rumah dalam 5 tahun

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan untuk membina sejumlah 35,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Perumahan Ir. Iskandar Abdul Samad berkata, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedang giat menyiapkan projek rumah mampu milik yang telah dilancarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita telah melancarkan beberapa projek seperti di Seksyen U12 Shah Alam, Ladang Air Manis Sabak Bernam, Antara Gapi, Serendah dan di Sutera Damansara,” katanya.

“Polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri adalah harga yang termahalnya adalah RM150,000, tapi kalau kita lihat Kerajaan Pusat, rumah PR1MA sampai RM300,000, jadi bermakna polisi Kerajaan Negeri lebih tepat berbanding Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak 60 blok pangsapuri telah diceriakan di bawah Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) sejak dilancar dua tahun lalu.

Ianya termasuk 45 blok pangsapuri untuk tahun ini sahaja.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM15.8 juta bagi tujuan tersebut.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri. Kerajaan Negeri membantu membiayai 80 peratus kos kerja baikpulih dan selebihnya ditanggung penduduk.

“Untuk peringkat seterusnya, sebanyak 89 buah pangsapuri masih menunggu kelulusan untuk dibaikpulih,” katanya.

Gangguan lagi, Syabas terbukti gagal - MB

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kejadian gangguan air yang terus berlaku akibat kegagalan fungsi Rumah Pam Wangsa Maju memperlihatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) gagal dan tidak kompeten dalam menguruskan air di Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun kegagalan fungsi pam itu telah menyebabkan  gangguan bekalan air di Cheras dan Bandar Tun Razak.

Menurutnya, sejak kejadian henti tugas rumah pam untuk kerja-kerja pemulihan pada Julai 2012, lebih sepuluh kali berlaku kejadian gangguan bekalan air kerana kegagalan fungsi.

“Walaupun beberapa langkah pemulihan telah dipersetujui untuk dilaksanakan Syabas, namun sehingga hari ini operasi Rumah Pam Wangsa Maju sering kali gagal dan menyebabkan gangguan bekalan air,” tegas beliau dipetik Selangorku.

Kerajaan Negeri awal tahun ini menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor bagi menyiasat punca kegagalan Rumah Pam Wangsa Maju.

Hasil siasatan mendapati Syabas gagal menyelenggara aset dan kemudahan bekalan air bermula dari 1 Januari 2005 seperti di dalam perjanjian konsesi, gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di rumah pam sehingga menyebabkan kerosakan lebih serius, gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam serta gagal memaklumkan kejadian sebenar kepada Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan kejadian sama daripada terus berulang, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri kini mengambil langkah mengarahkan pembuat pam untuk membaiki kerosakan dan kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Beliau juga menyeru Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses rundingan pengambilalihan bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengambil alih proses pengurusan dan operasi Syabas.

“Ini bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin untuk mendapatkan bekalan air terawat yang lebih cekap, tanpa gangguan kerana kelemahan pengurusan dan pada kadar tarif yang munasabah,” katanya.

Tiada ulasan: