Sabtu, 24 Ogos 2013

KEKUATAN IMAN@AKIDAH SERTA IBADAH YANG KUAT MEMBUATKAN KEMENANGAN DALAM PERJUANGAN ATAU SUKAR DIKALAHKAN OLEH MUSUH

Biarkan Ordinan Darurat dalam kubur

Mohamed Hanipa Maidin, 23 Ogs 2013
Baik dalam Parlimen atau di luar Parlimen ahli ahli Parlimen BN kuat meneriak agar Ordinan Darurat ( EO )  yang telah dimansuhkan dan kini berehat di dalam kubur untuk dihidupkan semula. Alasan mereka hanya dengan EO gejala jenayah berat dapat diselesaikan. Mantan Ketua Menteri Melaka , Ali Rustam pergi lebih jauh lagi - beliau menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat ( PR ) di atas segala jenayah pembunuhan ala mafia yang berlaku sekarang. Mahathir pula menyatakan Kerajaan BN menggadaikan kebebasan dengan pemansuhan EO.

Mantan Ketua Polis Negara (KPN ), Rahim Noor dan KPN pula mahukan Kerajaan menghidupkan semula EO. Agak lucu juga Rahim Noor bercakap tentang jenayah dalam keadaan beliau sendiri telah gagal memastikan keselamatan orang yang ditahan di lokap polis-tempat yang sepatutnya paling selamat-benar benar selamat. Adakah beliau telah lupa bagaimana beliau sebagai KPN telah mencederakan Anwar Ibrahim di dalam lokap polis. Jika polis melakukan jenayah sudah dikira jijik bagaimana pula jika Ketua Polis  yang melakukan jenayah dan jenayah pula dilakukan di dalam lokap polis?

Adakah benar EO ubat yang mujarab bagi menyelesaikan jenayah berat seperti kongsi gelap? Jika benar sudah pasti sudah lama gejala kongsi gelap telah dapat diselesaikan kerana EO hanya dimansuhkan setelah usia EO  mencapai usia emas.Seperti yang kita tahu EO membenarkan penahanan tanpa bicara seperti ISA, maka sepanjang tempoh EO masih hidup dan bernyawa logiknya sudah tentu sudah ramai ketua ketua kongsi gelap yang berjaya ditahan sekaligus segala kegiatan dan modus operandi mereka sudah boleh dikenal pasti. Jadi mengapakah ketua polis masih mengeluh kita masih masih perlukan EO?

Hakikatnya EO bukan sahaja digunakan ke atas penjenayah berat malahan penjenayah biasa yang terlibat dengan kesalahan yang dikira kecil juga menjadi mangsa EO. Peguam yang biasa mengendalikan jenayah tahu sangat perkara ini. Tapi itu bukan isunya mengapa PR dan mana mana individu yang prihatin meminta EO dimansuhkan.

Ya, jenayah berat isu kita bersama.Namun sejahat mana pun seorang penjenayah mereka masih seorang manusia. Mereka ada hak iaitu hak sebagai seorang manusia. Hak ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia itu. Hak itu wujud sebelum wujudnya mana mana undang undang di negara di dunia ini. Hak itu hak yang sentiasa ada sekalipun tiada apa apa undang undang dalam mana mana negara. Di dalam bahasa ingggeris ianya dikenali sebagai "inalienable rights".

Atas dasar itu apabila Presiden Amerika Thomas Jefferson mengumumkan Perisytiharan Kemerdekaan ( Declaration of Independence ) di dalam perenggan kedua Perisytiharan Kemerdekaaan tersebut wujudnya kata kata ini " kami menerima perkara berikut sebagai satu kebenaran yang nyata iaitu semua manusia dilahirkan sama dan mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka beberapa hak yang tidak boleh dipisahkan dari mereka ..". Ada sarjana undang undang yang menyatakan kata kata tersebut menunjukkan wujudnya pengaruh Islam dalam Perisytiharan Kemerdekaan tersebut. Mereka yang mempelajari sejarah Islam sudah tentu arif dengan kata kata Khalifah Islam Syaidina Umar r.a kepada Gabenor Mesir , Amru Al-As " sejak bilakah kamu diberi izin memperhamba sesama manusia sedangkan ibu ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan bebas". Kata kata syaidina Umar itu ditujukan kepada Gebenornya sendiri apabila anak Gabenor memukul rakyat biasa sambil membanggakan dirinya dengan kata-kata " ana ibnu al -akramin" ( aku anak orang yang mulia).

Antara hak orang yang ditahan yang tidak boleh dipisahkan dari mereka sejahat mana mereka sekalipun adalah hak untuk dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah dan termasuk hak itu adalah hak untuk dibicarakan dan sekaligus hak untuk membela diri. Kerana hak itu bersifat azali maka sebab itu Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf hak tersebut dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin Umno/BN , Rahim Noor dan KPN yang ada ini tidak ambil peduli hak hak ini. Bagi mereka menahan tanpa bicara sekalipun bertentangan dengan prinsip keadilan dan prinsip asas undang undang jenayah iaitu seseorang dianggap tidak bersalah adalah suatu perkara yang remeh dan tidak perlu diambil berat. Persoalannya bagaimanakah kita nak meremehkan sesuatu hak yang Pencipta manusia itu sendiri berikan?

Satu kesilapan dalam berfikir pemimpin Umno , Rahim Noor dan KPN adalah mereka membuat anggapan apabila ada rakyat yang bercakap tentang hak orang yang ditahan mereka dikira tidak ambil berat kepada mangsa jenayah. Anggapan ini amat amat salah. Mana mungkin PR memandang remeh kepada mangsa penjenayah kerana mana mana mangsa penjenayah itu  sudah tentu dalam apa keadaan sekalipun mempunyai hubungan dengan mana mana pemimpin atau ahli ahli PR sama ada saudara mereka atau jiran mereka atau paling kurang rakyat senegara.

PR mahu gejala jenayah berat dibanteras. Mereka perlu ditangkap tetapi mestilah dibicarakan. Jika perbicaraan ke atas mereka sukar disabitkan kerana  masalah untuk dikemukakan keterangan dan bukti apa yang perlu dilakukan bukan menahan mereka tanpa bicara sebaliknya undang undang keterangan bagi pengemukaaan bukti bagi kes berat boleh dikaji semula tanpa kompromi perbicaraan yang adil. Sebagai satu contoh amat sukar untuk membuktikan pengedaran dadah dalam perbicaraan kes dadah. Sebab itulah undang undang dadah dipinda dengan memperkenalkan pembuktiaan melalui anggapan atau pembuktian melalui agen provokator (polis yang menyamar). Ini dilakukan tanpa melenyapkan hak orang yang ditahan untuk dibicarakan.

Apa yang kita  takut dan mempunyai sebab untuk takut apabila didedahkan oleh bekas bekas pegawai polis yang berpangkat tinggi gejala jenayah kongsi gelap dan pembunuhan ala mafia ini terus berlaku kerana penglibatan pegawai pegawai polis  dan ahli ahli politik. Apa yang berlaku kepada mendiang Altantuya membuktikan dakwaan itu bukan suatu yang kosong. Bagaimanakah bom C4 yang digunakan untuk meletup banggunan boleh terlepas begitu sahaja. Bagaimanakah anggota anggota keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan Menteri boleh terlibat dalam pembunuhan ngeri sebegitu. Ini yang patut kita bincangkan bukan beri nyawa sekali lagi kepada EO!!!

*Penulis adalah Ahli Parlimen Sepang

Mumia Firaun

Hana al-Amin, 23 Ogs 2013
Sadarulkalam keberadaan si Maharaja
bersalasilah penaklukan , kuasa dan harta
zalim,mewah dan angkuh.......
tersemadi dimonumen piramid utuh
lambang hamba abdi rakyat yang patuh
dimumia dimuzium kaca
kebesaran si Maharaja pemerintah sahara
legenda susur galur purbakala
di sejarah berkurun masa
sekujur  mayat mumia kaku
di keranda bersama perhiasan lalu
semasa kemewahan duniawi dinikmati
terahsia di piramid gurun kalahari

Hidup dibawah langit terbuka jalur lebar
tidak diawet seperti mumia kaku pejar
kerana keberanian tidak semestinya
diukur gagah perkasa laskarnya
tetapi berani pertahan hak yang dipipis
di dunia bertopeng  demokrasi  imperialis
bangun juang bersama jihad wira
mahsyar lautan manusia menuntut bela
seluruh pelosok  dataran timur dan barat
senyum Raba’ah  al-Adawiyah kafan syuhada


Ini bukan khabar khayalan
mereka pendukung jihad berdemonstran
di setiap dataran dan lorong
tidak hirau peluru dihambur
mensasar himpunan berkampong
hatta rakus sniper menabur
tak peduli bahkan bangga
mengusung syuhada terbujur
bergelumang darah yang membasah
pejuangnya tekad memecah benteng penipuan
walau ramai wiranya terkorban
tragedi terawih, subuh berdarah dan bersahur
solidariti tak akan undur, bahkan akur
menghambat junta penjarah bertopeng mumia
pewaris Mahararaja Firaun angkuh menipu dunia.

Hana al-Amin
Kota Bharu.
30 julai 2013.

XPDC dakwah ambang Merdeka selepas Metallica

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Bagi menyegarkan kembali ekspedisi (XPDC) dakwah di seluruh negara, Pemuda PAS Malaysia mengarahkan agar Pemuda PAS di peringkat negeri dan kawasan untuk melaksanakannya pada ambang malam Merdeka, 30 Ogos ini.

“Anak-anak muda daripada segenap peringkat, aktivis PAS, NGO, mahasiwa, persatuan-persatuan belia dan lain-lain dijemput hadir bersama-sama memeriahkan XPDC Dakwah yang bakal diadakan kelak,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.


Ini, katanya ekoran Dewan Pemuda PAS Malaysia berjaya mengadakan XPDC Dakwah sempena konsert Metallica pada 21 Ogos 2013. XPDC Dakwah diadakan di Stadium Merdeka, lokasi konsert diadakan.

Katanya, XPDC Dakwah bermula sekitar pukul 6.00 petang, dengan aktiviti edaran risalah sekitar lokasi konsert diadakan.

Ia diketuai oleh beliau bersama dengan beberapa orang Exco DPPM yang lain seperti Mohd Sany Hamzan (Pengarah Pilihan Raya DPPM), Kamaruzaman Mohamad (Ketua DPPWP), Mohamad Suhaimi Abdul Aziz Aziz (Timbalan Ketua DPPWP), Yusapiza Yaakob (Ketua Penerangan DPPWP), Zahriezan Jamaluddin (Exco DPPN Selangor)  dan ramai lagi  dari kalangan pemuda WP dan Selangor.

Tambahnya, tujuan program ini diadakan adalah untuk mendekati anak-anak muda peminat kumpulan rock legenda Metal Thrash itu di samping mengedarkan risalah ringkas isu yang sedang melanda Mesir pada ketika ini.

Menurutnya, anak-anak muda diajak selain berhibur, diberi kesedaran mengenai isu-isu sejagat seperti kemanusiaan di Mesir.

Jelasnya lagi, keberadaan Pemuda PAS dalam program-program anak-anak muda amat dirasai dalam program seumpama ini.

"Inilah masanya Pemuda PAS turun mendekati anak-anak muda merapatkan jurang antara DPPM dengan masyarakat," ujarnya.

Ternyata, kata beliau anak-anak muda peminat Metallica memberikan reaksi positif menerima risalah yang diedarkan dan menghargai kehadiran pemuda PAS.

Sebanyak 5,000 risalah ringkas mengenai isu Mesir dicetak dan berjaya diedarkan. XPDC Dakwah berjaya menghimpunkan 50 orang aktivis dari kalangan pemuda dan Muslimat. XPDC Dakwah tamat pada jam 7.15 petang.

Ustaz Azizan angkat sumpah di wad!

Subky Latif, 23 Ogs 2013
Saya tidak pasti tempoh akhirnya. Jika Ustaz Azizan Razak, bekas Menteri  Besar Kedah yang masih uzur di wadnya tidak mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Limau dalam tempoh itu, maka kelayakannya sebagai ADUN gugur secara automatik.

Ia adalah peraturan dan undang-undang yang semua wajar akur.

Saya tidak bercadang untuk memperkatakan keupayaan Ustaz Azizan menjadikan tugasnya sebagai wakil rakyat dalam keuzuran dan kecacatannya yang ada sekarang. Kita tidak nampak dalam keadaan yang ada beliau boleh berperanan seorang ADUN seperti yang semua orang mahu atau seperti yang pernah ditunjukkannya selama beberapa pengggal menjadi ADUN di kawasan itu.

Dalam keadaannya yang ada tidak dapat dipastikan Ustaz Azizan dapat membuat keputusan sendiri sama ada beliau mahu melepaskan jawatannya atau tidak.

Atas alasan menghormati keuzurannya dan apa yang telah disumbangkannya kepada pengundi di kawasannya dan kepada rakyat negeri dan kerajaan Kedah baik sebagai Menteri Besar, sebagai ADUN sebelumnya dan sebagai tokoh masyarakat sepanjang hidupnya, undang-undang tentu boleh menimbangkan satu bentuk keistimewaan kepadanya dengan mengecualikan beliau mesti mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri dan di sisi cokmar kebesaran DUN.

Kadang-kadang kita menyaksikan dalam keadaan tertentu, apa bila yang dituduh tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah, hakim akan turun ke tempat yang dituduh itu berada seperti dalam  wad misalnya bagi mendapatkan keterangannya.

Isu besar bagi kes yang  dituduh itu ialah bagi menjamin keadilan itu dapat dilaksanakan atas nama undang-undang untuk semua dan khasnya bagi yang dituduh tadi. Mahkamah itu tidak semestinya di ruang bilik berhawa dingin dengan segala kelengkapan dan peraturannya. Keadilan itu boleh dilakukan di mana-mana.

Dalam kes Ustaz Azizan ini isunya ialah bagaimana keadilan untuknya dapat diberi supaya  beliau dapat mengangkat sumpah sebagai ADUN dalam keadaannya yang  ada itu. Dalam keadaan yang ada tidak dapat dibayangkan beliau boleh dihadirkan ke DUN atau ke bilik Speaker bagi mengangkat sumpah.

Jika beliau tidak diberi kemudahan mengangkat sumpah sesuai dengan keadaannya yang ada, kelayakannya sebagai ADUN akan gugur.

Persoalan kita bukan bagaimana hendak menggugurkan kelayakan seseorang tetapi bagaimana kita hendak memberikan peluang kepadanya dapat menikmati apa yang patut diperolehnya sebagai ADUN dan sebagai orang yang ada sedikit sebanyak khidmat kepada masyarakat dan negeri/negara.

Apa kiranya kalau Speaker dengan apa yang diperlukan turun ke wadnya menjalan ucapan cara angkat sumpah sesuai dengan keadaannya yang ada itu, moga-moga dengan demikian kedudukannya tidak terlucut dengan sendiri?

Mungkin beliau tidak mampu melafazkan sumpah seperti lain-lain orang yang sihat tetapi Speaker tentu arif dengan apa yang patut dilakukan supaya Ustaz Azizan dapat penghormatan sebagai ADUN hingga beliau dapat membuat keputusan untuk melanjutkan perkhidmatannya atau sebaliknya.

Keadaannya diberitakan sudah ada kemajuan lebih baik dari semalam. Dan mungkin akan lebih baik esoknya. Dulu sekadar dapat melihat dan boleh membaca tanpa  suara pada kadar keupayaannya. Dia sudah pun sesuai dipindahkan ke hospital di negerinya sendiri. Ertinya dia ada kemajuan.

Mana tahu dalam masa enam bulan dari sekarang beliau boleh berkerusi roda ke DUN seperti Karpal Singh ke Parlimen sekarang.

Sesudah ADUN tidak dapat hadir ke sidang DUN, Speaker boleh membenar izin cuti setiap enam bulan kepadanya. Maka selepas beliau mengangkat sumpah, tentu beliau boleh  diberi kemudahan kekal sebagai ADUN. Ada pun  tugas ADUN itu kemajuan dan teknologi yang ada, ada cara untuk menyempurnakannya.

Sesudah beliau benar-benar dapat membuat keputusan sendiri, beliau boleh dengar rela dan tanggugjawab melepaskan jawatan atau mahu meneruskan khidmat dengan kemudahan dan keupayaan yang ada.

Yang penting kepada semua ialah kita dapat memberi penghormatan keapadanya.
Nota: Tan Sri Azizan Abdul Razak, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau, di Hospital Sultanah Bahiyah pada hari Rabu, 21 Ogos 2013.

Di Penjara Perjuangan

Dr Azmi Arifin, 22 Ogs 2013
(Buat Dr Morsi, dan mereka yang tertindas)

Detik bagaikan terhenti
Masa terdiam kaku
Di hujung kelam kau dimamah malam kesepian
Ditemani suram bintang
Suara cengkerik malam menjadi teman bicara
Hati gundah

Suara tangisan dari kejauhan
Bingitnya di hujung resah
Ditelan bunga-bunga hujan
Air mata darah dan keringat yang menitis
Tanpa rasa tanpa suara
Terpenjaralah sendiri
Untuk manusia di luar yang gembira dengan noda
Sedang engkau bergelut ajal
Derita sendiri

Kau pahatkan nasibmu pada dinding keras
Tembok batu kelam membisu
Suara hatimu tangisan sekeping resah dan rindu
Pada dunia di luarmu
Kerana cinta padanya
Kau korbankan seluruh jasad kehidupan
Cahaya yang kaukumpulkan
Permata suci sepanjang kudratmu
Untuk pertiwi

Harapanmu yang tinggal di belakang tabir besi
Dalam tasbihmu yang terganggu seribu erti
Mutiaramu yang lusuh
Gugur setitis demi setitis
Mengharapkan sebuah azimat
Tanpa erti tanpa bicara
Buat perjuanganmu sekelian kalinya dan sekelian kali
Yang kaudambakan menjadi satu
Biarpun kau rebah di sujud kepayahan

Di tangan-tangan keegoaan
Si penguasa yang terpenjara
Dalam duri-duri terpalit dosa melaknat diri
Najis duniawi
Menarilah mereka megah menyambut ajalmu
Dengan sekeping kuasa terbiar tanpa pengadilan

Kini kau rebahkan takdir
Di penjuru hidupmu di penghujung semangat usiamu
Menghabiskan sisa nafas
Lewat menggaris waktu
Perjuanganmu tanpa titik noktah
Seteguh dua abad penuh derita
Sebatas usia sesingkat ingatan

Apalah nasib bangsamu
Yang hidup dalam alpa
Tanpa haluan tanpa perjuangan
Kepuraan demi kepuraan
Berkorbanlah demi imperialis
Sedang kauberikan segenap hatimu
Untuk si anak pertiwi yang tak mengerti
Perjuangan resah hidup dan mati
Tapi kau puas dalam derita zahir batin
Tanpa penyesalan demi mereka!

Tiada yang pasti buat hari-hari terakhirmu
Bilakah penamat derita yang kaupilih...
Hanya Dia yang tahu...

Dr Azmi Arifin

USM, Pulau Pinang
20 Ogos 2013

Kebanyakan manusia dilanda kebimbangan

Tuan Ibrahim Tuan Man, 23 Ogs 2013

Kebanyakan manusia dilanda kerisauan dan kebimbangan...

1. Risau pasal kerja
2. Risau pasal anak
3. Ada yang risau pasal apa yang jiran mereka fikirkan

Malah ada kawan-kawan kita yang suruh - "Kita harus risau" pasal sesuatu....

Tapi merasa risau/bimbang terhadap sesuatu adalah tiada berfaedah - ia melahirkan air liur beracun, membuka pintu untuk melayan bisikan syaitan untuk menakut-nakutkan kita dengan segala bayangan... "Jika itu... Jika ini... apa yang bakal berlaku..."

Ingatlah hidup ini tidak mungkin seperti garisan ufuk - kita akan jatuh sakit, kemalangan berlaku, ditimpa masalah kesempitan duit - namun semua ini tidak patut dijadikan alasan untuk hidup dalam kebimbangan.
Apabila krisis datang, hadapinya sejenak sahaja, ambil satu langkah kecil demi langkah kecil, jika 24 jam terlalu panjang, tempuhi 5 minit....

Kebimbangan ini sama seperti keadaan kita perlu melintas sungai besar melalui satu titi kecil... sekiranya mata kita memandang jauh ke seberang sungai, kita terasa bimbang kita akan jatuh ke sungai semasa menyeberangi titi tersebut...

Orang yang merasa bimbang akan dirinya akan membayangkan apa yang berlaku sekiranya beliau jatuh ke sungai... ada yang terfikir sungai ini ada buaya... bimbang kepada kedalaman air... bimbang kalau jatuh terkena besi, akan luka dan mati... jika mati, siapa yang nak jaga anak, ibubapanya... dan segala jenis bayangan yang menakutkan.

Orang yang menangguhkan bimbangnya, mereka akan fokus mata dia pada langkah seterusnya satu persatu melintas titi tanpa melihat ke seberang... akhirnya dia akan berjaya melintasi titi tersebut tanpa ada masa untuk merasa bimbang, kerana segala tenaga dan fokus dia diberikan kepada pada langkah kecil seterusnya semasa menyeberangi titi.

Sama juga menghadapi kemelut kehidupan, kita akan hancur sekiranya kita memberikan lesen kepada bisikan syaitan untuk membawa minda kita ke masa depan dengan pelbagai bayangan yang menakutkan seperti orang yang berdiri di tepi sungai membayangkan segala kemungkinan semasa naik ke titi.

Apa yang perlu dibuat untuk mengatasi masalah risau/bimbang pintu ke gangguan bisikan syaitan?
Tangguhkan dahulu. Tangguh kebimbangan kita.

Buat sesuatu dulu (lintas titi dengan langkah pertama), tangguh bimbang kita. Jangan dok bimbang, bingkas bangun dan pergi buat sesuatu untuk selesaikan masalah yang ada.

Untuk hindar daripada menghabiskan masa dalam bimbang dan risau, hiduplah dalam keadaan semasa. Buat segalanya yang kita mampu hari ini, dan biar esok untuk hari esok.

Lihatlah kembali kehidupan kita, tanyalah diri, apakah ada situasi yang anda pernah tidak berjaya lalui sehingga hari ini? Tidak kan? Kerana kalau ya, anda tidak mungkin dapat membaca mesej ini.

Sesungguhnya kita mampu menghadapi keadaan semasa, hanya masa depan bayangan minda saja yang mengacau kita.

Sekadar berkongsi motivasi. SENYUM dan ingat Allah selalu.

300 demo di kedutaan AS bantah TPPA

Hazayani Zakaria, 23 Ogs 2013
(Antara yang mengambil bahagian dalam bantahan TPPA di keduataan AS hari ini)

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 300 orang mewakili gabungan NGO Bantah Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) berhimpun di ibu negara hari ini.

Mereka berkumpul di hadapan bangunan Kedutaan Amerika sejurus selesai solat Jumaat bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan.

Mereka menyeru 12 negara yang menyertai TPPA untuk menolak sebarang usaha ke arah 'Penjajahan Korporat' terhadap warga Asia Pasifik dan berusaha untuk melindungi, mengekalkan dan mempromosi sistem perdagangan yang benar-benar bebas, adil dan selamat di antara negara-negara yang terlibat.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Pro Mahasiswa, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan juga beberapa kumpulan NGO lain.

PAS diwakili pakar ekonominya, Dr Rosli Yaacob yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Bank Negara.

Bagaimanapun pihak kedutaan hanya membenarkan dua wakil gabungan masuk ke dalam.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia, Hisham Hussein yang menjadi jurucakap kumpulan tersebut berkata, pihaknya menyerahkan memorandum kepada Pengurus Keselamatan Kedutaan Amerika, yang dikenali sebagai Mr Green.

"Saya membacakan isi kandungan memorandum di hadapan beliau dan pihak kedutaan berkata mereka gembira menerima memorandum kami dan berjaji akan membawa perkara ini kepada bahagian ekonomi mereka dan akan memanggil kami untuk perbincangan lanjut," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan memorandum.

Bagaimanapun katanya, tarikh untuk perbincangan lanjut belum ditetapkan oleh pihak kedutaan.

Isi kandungan memorandum juga menyeru kerajaan-kerajaan yang menyertai TPPA untuk menolak sebarang usaha menundukkan rakyat dan negara ini dengan perangkap ekonomi yang tersembunyi di sebalik tabir oleh syarikat-syarikat transnational Amerika.

Gabungan tersebut berpendirian, TPPA adalah satu perjanjian mudarat yang akan memberi kesan kepada kedaulatan negara, memperjudikan kesejahteraan ekonomi, dan akan menyebabkan kesusahan dan penderitaan kepada rakyat negara ini.

Ia mengkhianati niat tulen kerajaan-kerajaan dan rakyat negara-negara berkenaan untuk meneruskan perdagangan antarabangsa yang adil dan kerjasama ekonomi yang bermanfaat ke arah pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kestabilan dan kesejahteraan bersama.

"Kami, rakyat Malaysia mewakili semua kaum, budaya, kepercayaan, kepentingan, pekerjaan, kerjaya dan dagangan dengan ini mengumumkan bahawa kami tidak akan menerima dan dengan tegas menolak sebarang keputusan perundingan TPPA jika pandangan, kebimbangan dan tuntutan kami tidak dilibatkan dengan cara yang sepatutnya," kata gabungan tersebut.

Himpunan peringati syuhada di Mesir hari ini

Abu Marwan, 23 Ogs 2013
KAHERAH: Para penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi dijangkakan bergerak di masjid-masjid dan mengadakan himpunan besar-besaran selepas solat Jumaat di seluruh Mesir pada hari ini.

Himpunan yang dinamakan sebagai ‘himpunan memperingati syuhada’ dijangka akan menghimpunkan ratusan ribu penyokong ‘anti-rampasan kuasa tentera’ di seluruh Mesir.

Mereka bukan sahaja terdiri dari penyokong Ikhwan Muslimin, tetapi juga dari kalangan golongan intelek, anak-anak muda dan NGO yang menentang keganasan polis dan rampasan kuasa tentera.

Kemarahan kebanyakan rakyat terhadap kezaliman rejim tentera kini kian memuncak apabila ribuan rakyat awam yang berhimpun secara aman terutamanya di Dataran Rabaa dan Dataran Nahdhah telah dibunuh dengan kejam.

Ini ditambah lagi dengan keputusan mahkamah tertinggi Mesir membebaskan bekas Presiden Hosni Mubarak dari penjara dan kini dipindah kepada ‘tahanan rumah’.

Himpunan aman pada hari ini dijangka akan sekali lagi berhadapan dengan keganasan polis dan tentera.

Sebelum ini, selain dari mereka yang ditembak mati, ribuan rakyat awam diseluruh Mesir juga telah tangkap.

Keganasan polis boleh di saksikan dengan menggunakan ‘penembak tepat’ yang menggunakan peluru hidup terhadap rakyat awam yang berhimpun secara aman.

Tembakan gas pemedih mata juga turut dihalakan ke ruang solat di dalam masjid-masjid tempat berhimpun.

Sebelum ini, walaupun perintah berkurung dari jam 7 malam hingga 6 pagi berjalan di lapan daerah, hampir setiap malam rakyat telah keluar ke jalan-jalan raya bagi membantah rampasan kuasa tentera dan keganasan polis dan tentera terhadap rakyat awam.

Himpunan setiap malam bukan sahaja telah diadakan di Kota Kaherah tetapi juga di Alexandria, Giza, Suez, Arish, Sinai dan Fayum.

Kini lambang tangan ‘4 Rabaa’ menjadi simbol anak-anak muda dan rakyat awam menyatakan bantahan mereka terhadap pembunuhan kejam di Dataran Rabaa dan seluruh Mesir.

Himpunan pada hari ini dilihat menjadi penentu kepada masa depan Ikhwan Muslimin dan hala tuju Mesir di bawah junta tentera yang merampas kuasa.

Tiada ulasan: