Khamis, 31 Januari 2013

YANG AJAIB MUNGKIN KITA TUNGGU...WALAUPUN BAGAIMANA CARA DIBUAT...ALLAH BERI KEMENANGAN...INSYAALLAH

Lagang Gemilang bukan pangsapuri transit

Harakahdaily, 31 Jan 2013


KUALA TERENGGANU: Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, konsep pangsapuri ‘transit’ di Ladang Gemilang bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Menurutnya, pihak Amanah dengan wakil Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) pada 27Januari lalu telah mengadakan pertemuan dengan SUK (gambar atas) untuk cuba membantu penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang yang dalam keadaan susah membayar sewa mereka dan tidak tahu masa depan mereka selepas tamat perjanjian sewa mereka pada Oktober 2013.

Katanya, pada pertemuan tersebut Mazlan telah menyatakan pangsapuri tersebut bukan merupakan pangsapuri ‘transit’ dan ia merupakan rumah kos sederhana.

“Itu adalah di antara perkara-perkara yang dibincang bersama,” ujarnya dalam satu kenyatan yang dikeluarkan di sini.

Pada 28 Januari, sebuah rencana akhbar Berita Harian menyiarkan kenyataan seorang Pegawai Pembangunan Dun Ladang yang menyatakan pangsapuri itu dijadikan rumah transit dengan kadar sewa RM300 dan ada yang membayar RM850.

Raja Baharin berkata, perbandingan kos sewaan dengan pangsapuri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan hanya dengan kos RM125 sebulan mereka dapat kemudahan buang sampah, dewan serbaguna, surau di pangsapuri dan pejabat penyelenggaraan yang tidak terdapat di Ladang Gemilang.

Katanya, ketiadaan kemudahan buang sampah amat mendukacitakan kerana ia merupakan keperluan asas.

“Dalam tiga siasatan pasukan kami menziarahi penghuni Ladang Gemilang dari tingkat 1 hingga 12, tidak ada yang membayar kurang dari RM300 sebulan,” jelasnya.

Tambahnya, di dalam perjanjian penduduk Ladang Gemilang dengan pihak kerajaan negeri memang sah dan nyata bahawa ia merupakan semata-mata perjanjian sewa sahaja dan tidak ada disebut sewa beli.

“Kami amat bersimpati dengan kebimbangan mereka yang hanya tinggal tempoh beberapa bulan lagi untuk menyewa dan tidak ada tempat lain untuk tinggal setelah rumah mereka di Ladang Tok Pelam telah dirobohkan oleh kerajaan,” katanya.

Institut OEKO Eropah – operasi Lynas tidak selamat

Huzir Sulaiman, 31 Jan 2013
Memetik kenyataan akhbar yang dikeluarkan Institut OEKO Eropah yang berpangkalan di Jerman pada 28hb Januari 2013, Kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan dikatakan mempunyai beberapa kelemahan dari aspek operasinya termasuk kesan daripada operasi Kilang itu kepada alam sekitar.

Laporan kajian setebal 114 mukasurat yang disediakan oleh Gerhard Schmidt, seorang pengkaji senior yang mempunyai 23 tahun pengalaman dalam Pengurusan dan Pelupusan Sisa Nuklear, Pembersihan dan Pemulihan Lokasi Tercemar khususnya yang berkait rapat dengan lokasi perlombongan Uranium dan lokasi simpanan sisa, Perlindungan Radiasi, Isu Keselamatan Kemudahan Infrastruktur termasuklah berpengalaman luas di dalam Kajian Impak Alam Sekitar dan Kajian Sisa Merbahaya merumuskan hasil penemuan ini.

Selaku wakil kepada badan bebas yang terlibat secara langsung dalam projek yang melibatkan penggubal undang-undang negeri dan persekutuan di negara itu, beliau menyenaraikan beberapa hasil daripada kajian saintifik beliau di dalam laporan tersebut, diantaranya ialah:

1.    Kawasan sekitar telah dicemari bahan asid pada kepekatan yang tinggi yang tersebar melalui udara dalam bentuk zarah habuk.

2.    Pusat simpanan sisa radioaktif dan sisa toksik tidak dapat mencegah pengaliran keluar sisa itu daripada mencemari tanah dan air bawah tanah.

3.    Cadangan pelupusan sisa buangan jangka panjang yang berkait rapat dengan keselamatan radiasi pada situasi atau keadaan yang diterima pakai masih tidak kelihatan.

4.    Harapan bahawa sisa buangan boleh diguna semula oleh pihak awam adalah mengarut/merepek dari aspek saintifik dan teknikal. Tindakan ini akan membahayakan orang awam dan tidak seharusnya diteruskan.

5.    Anggaran kasar 1.2 juta tan sisa WLP yang dihasilkan daripada Kilang LYNAS haruslah dilupuskan dengan segera di Pusat Pelupusan Kekal atau ‘Permanent Disposal Facility(PDF)’ yang masih tidak kelihatan sehingga ke hari ini. Operasi Kilang LYNAS tidak seharusnya diluluskan tanpa Pusat Pelupusan Kekal atau ‘Permanent Disposal Facility(PDF)’ itu.

6.    Agensi Tenaga Atom Antarabangsa(IAEA), LYNAS, AELB dan MOSTI tidak bertanggungjawab apabila tidak mengenalpasti, mengambilkira malah menghormati kriteria dos.

7.    Kemudahan Simpanan Residu atau ‘Residue Storage Facilities(RSF)’ yang dibina di Kilang LYNAS di Gebeng Kuantan untuk menyimpan Residu/Sisa dengan menggunakan hanya 1mm lapisan HDPE dan satu lapisan 30cm tanah liat tidak akan diluluskan di Negara Jerman malah untuk sisa toksik yang paling rendah kategorinya sekalipun. Isu kelembapan lapisan RSF ketika waktu hujan dan ketika musim tengkujuh termasuklah keperluan pengeringan untuk simpanan sisa WLP di atas RSF yang tidak diambil kira oleh LYNAS, Kemudahan Simpanan Residu atau ‘Residue Storage Facilities (RSF)’ itu tidak seharusnya diluluskan oleh agensi yang berkaitan(AELB).

8.    Peralatan Penapisan yang kini digunapakai Kilang LYNAS untuk mengurangkan pelepasan gas ketika operasi tidak mencukupi/memadai. Malah berdasarkan teknologi terkini di Eropah, penggunaan peralatan yang sedia ada tidak akan diluluskan.

9.    Sisa Air yang dihasilkan daripada Kilang LYNAS mengandungi kandungan garam yang tinggi yang hampir sama dengan air laut. Kandungan bahan ini tidak pernah disebut malah tidak pernah dikaji di dalam Kajian Impak Alam Sekitar(PEIA) yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar(DOE) pada tahun 2008.

10.     Lokasi pengaliran air sisa yang terbuka sejauh beberapa kilometer boleh dimasuki manusia dan binatang.

11.     Kandungan garam malah nadir bumi dari sisa air itu tidak dihadkan malah tidak diawasi. Sesuatu yang sukar difahami kenapa isu alam sekitar yang amat serius seperti ini tidak dikesan malah diperiksa oleh pihak yang berkenaan ketika Kajian Impak Alam Sekitar ini dilakukan pada tahun 2007 lagi.

12.     Kajian dan Kawalan Ancaman ketika proses pengeluaran/operasi tidak dilakukan sepenuhnya khususnya yang berkait rapat dengan langkah kawalan kebocoran tangki simpanan, pelepasan wap asid sulfurik ke udara dan kebakaran akibat penggunaan bahan mudah bakar dari penggunaan bahan kimia (asid sulfurik dan asid hidroklorik) pada kuantiti yang banyak.

Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang dan Pengerusi Stop LYNAS Coalition(SLC), Sdr. Andansura Rabu ketika dihubungi selepas pendedahan laporan kajian saintifik ini mengakui wujudnya kepincangan perancangan rekabentuk dan operasi Kilang LYNAS semenjak awal lagi malah sebahagian hasil kajian yang dilakukan Institut OEKO dari Jerman itu mirip beberapa isu yang pernah dibangkitkan PAS dan Kumpulan Anti-LYNAS sebelum ini.

Beliau mencabar semua pihak yang berkenaan khususnya AELB, Menteri Besar Pahang, Mustapa, Maximus Ongkili dan Najib untuk menjelaskan setiap butiran kajian itu dengan terperinci kerana jelas semua isu yang dibangkitkan Gerhard Schmidt yang mewakili Institut OEKO Eropah itu mempunyai asas saintifik dan fakta teknikal yang kukuh. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa Lesen Sementara Operasi(TOL) perlulah dibatalkan dan operasi Kilang LAMP milik LYNAS haruslah dihentikan serta-merta demi Keselamatan dan Kesihatan penduduk setempat termasuklah ancaman kepada Alam Sekitar.

Dalam hal ini Andansura juga kecewa dengan sikap AELB, MITI dan MOSTI yang tidak mengendahkan tuntutan untuk membatalkan Lesen Sementara Operasi(TOL) semenjak penyerahan memorandum ke MITI akhir tahun yang lalu.

Hanya perubahan tampuk pemerintahan yang sedia ada di peringkat persekutuan dan negeri kepada PAKATAN RAKYAT sahaja satu-satunya kaedah yang tinggal untuk menghalau LYNAS keluar dari negara ini. Rakyat Malaysia khususnya di Pahang harus menghukum keangkuhan UMNO/BN pada PRU yang ke-13 ini.

Perubahan Di Tangan Anda!
Kajian Penuh Institut OEKO Eropah boleh dicapai di http://www.oeko.de/oekodoc/1628/2013-001-en.pdf
Kenyataan Akhbar Institut OEKO Eropah boleh dicapai di http://www.oeko.de/press/press_releases/dok/1484.php

Penulis adalah Setiausaha LPPAS PAS Pahang.

Sekat kebebasan bergerak di Felda tidak sah

Harakahdaily, 31 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Suatu deklarasi yang menyatakan arahan dari Felda, Pengurus Wilayah dan Pengurus Felda yang menyekat aktiviti di mana-mana rancangan Felda adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Fasal 9(2) Perlembagaan Persekutuan.

Demikian dijelaskan oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Menurutnya, permohonan untuk Semakan Kehakiman di bawah aturan 53 Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, telah selesai dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuantan sekitar jam 10.45 pagi ini.

“Pemohon iaitu saya selaku Penyelaras Kembara Oren dan Hashim Ahmad, Ketua PAS Cawangan Felda Jengka 12, memohon untuk satu perintah interim agar mahkamah menggantung kesemua arahan oleh responden terhadap sekatan atau halangan kebebasan bergerak di mana-mana tanah rancangan Felda seluruh negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Permohonan untuk Semakan Kehakiman di bawah aturan 53 Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, telah selesai dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuantan sekitar 10.45 pagi ini.

Suatu deklarasi yang menyatakan arahan dari Felda, Pengurus Wilayah dan Pengurus Felda yang menyekat aktiviti di mana-mana rancangan Felda adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Fasal 9(2) Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon iaitu saya selaku Penyelaras Kembara Oren dan Hashim Ahmad, Ketua PAS Cawangan Felda Jengka 12, memohon untuk satu perintah interim agar mahkamah menggantung kesemua arahan oleh responden terhadap sekatan atau halangan kebebasan bergerak di mana-mana tanah rancangan Felda seluruh negara.

Tuntutan ganti rugi juga dibuat terhadap Felda selaku responden pertama dan Mohd Yazid Abdullah (Pengurus Felda Jengka 12) iaitu responden kedua.

Peguam Haris Abdullah dari The Law Office of Mohd Harris mewakili saya dan Hashim.

Esok, peguam Haris akan mendapatkan tarikh untuk mendengar permohonan dan serahan permohonan agar kes ini didengar secepat mungkin juga dilampirkan.
Adalah sangat penting untuk diketahui, jika permohonan ini berjaya, ia menjadi rujukan utama terhadap semua aktiviti di Felda seluruh negara.

Mana-mana pengurus termasuk JKKK yg cuba menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun dianggap menghina mahkamah.

Bukan itu sahaja, menariknya, permohonan boleh dilakukan untuk memenjarakan Pengurus Felda dan JKKK yang engkar dengan keputusan mahkamah!

Bersama-sama memberi sokongan pada hari ini ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusof Embong, Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saat, bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantation, Md Said Jonit, Pengerusi Anak Pahang, Yohanis Ahmad dan wakil-wakil peneroka.

Siasat bawa kanak-kanak langgar konvensyen PBB

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengingatkan polis bahawa tindakannya menyiasat individu yang membawa kanak-kanak dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) lalu adalah melanggar Perkara 15 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di mana perkara 15 itu kata NGO itu telah mengiktiraf hak kanak-kanak kepada kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun secara aman.

Malah menurut Penyelaras Suaram R.Thevarajan tindakan polis juga melanggar perkara 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang menjamin hak untuk berhimpun secara aman.

Apatah lagi katanya, perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia turut menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman.

Katanya, satu perkembangan positif  dan ke arah langkah yang betul untuk masa depan perhimpunan aman apabila polis memenangi hati ramai dengan mengambil pendekatan mudah semasa perhimpunan Kebangkitan Rakyat lalu.

Namun katanya, adalah salah apabila menyatakan perbuatan mengambil kanak-kanak untuk ke perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PPT) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelas Thevarajan Akta Perhimpunan Aman  2012 jelas bercanggah dengan konvensyen dan lain-lain instrumen hak asasi manusia antarabangsa dan merupakan penghalang kepada hak asasi untuk berhimpun secara aman.

Justeru Suaram dalam kenyataan menggesa polis melaksanakan tugas mereka selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Semalam polis di laman Facebooknya mengeluarkan 14 gambar mereka orang yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke HKR di Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu.

KL112: Juham sedia peguam hadir ke balai polis

Hazayani Zakaria, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Seramai 14 orang yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu dinasihatkan tidak takut untuk membantu siasatan polis.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi berkata, 14 orang tersebut hanya dipanggil untuk membantu siasatan polis, bukan untuk didakwa.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak perlu hadir secara terburu-buru selagi notis pemberitahuan tidak dikeluarkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Dari sudut perundangan, mereka tidak perlu serah diri sehingga polis mengeluarkan notis pemberitahuan.

"Polis harus mengeluarkan notis pemberitahuan meminta mereka hadir untuk membantu siasatan. Polis ada prosedur siasatan, tidak boleh terus dakwa. Jadi mereka tidak perlu takut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Zamri juga berkata, Juham akan menyediakan peguam untuk menemani mereka ke balai polis selepas menerima notis.

"Juham akan sediakan peguam untuk menemani mereka kerana ikut prosedur, orang yang dipanggil ke balai polis boleh ditemani peguam," katanya.

Jika terdapat pendakwaan pula katanya, Juham akan memberikan khidmat guaman percuma kepada mereka.

"Juham akan ambil tanggungjawab ini untuk menyediakan peguam mewakili mereka," katanya.

Polis harus profesional

Sementara itu, Zamri mengingatkan pihak polis agar bersikap profesional dan tidak mengikut telunjuk Umno BN.

Katanya, tindakan mencari orang yang membawa kanak-kanak dilihat seolah-olah sengaja mencari kesalahan penganjur.

"Himpunan berlangsung aman dan tak ada apa-apa kerosakan kenapa selepas sebulan tiba-tiba polis cari mereka.

"Ini menunjukkan Umno BN yang sebenarnya takut melihat kehadiran rakyat ke himpunan, jadi mereka cari kesalahan," katanya.

Tambahnya lagi, pihak polis harus mengutamakan isu keselamatan rakyat berbanding mencari kesalahan begini.

"Saya ingatkan polis lebih profesional dan bertindak mengikut keutamaan.

"Banyak lagi kes orang hilang, jenayah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang ni," katanya.

Menurut polis, perbuatan membawa kanak-kanak ke himpunan melanggar Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman denda maksimum RM20,000 di bawah PAA, dan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Kanak-kanak.

Perjuangan Islam sentiasa ada keajaiban

Rossem, 31 Jan 2013
Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Tengku Razaleigh Hamzah merupakan tokoh politik Umno yang berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS di era pemerintahan Datuk Asri Haji Muda. Putera raja berjiwa rakyat itu menggunakan pengaruh, kekuatan, kebijaksanaan dan tipu daya yang licik akhirnya pada tahun 1978 kerajaan PAS Kelantan tumbang setelah memerintah selama 16 tahun. Lalu putera raja itu disanjung sebagai wira penyelamat Kelantan.

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada, hanya orang Melayu mudah lupa! Tepat jam 1.05 pagi, Ahad, 21 Oktober 1990 tokoh yang merampas Kelantan iaitu Tengku Razaliegh atau akrab Ku Li mengembalikan semula Kelantan kepada PAS, setelah sang bangsawan itu keluar Umno kerana berselisih faham dengan Presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad, lalu menubuhkan Partai Melayu Semangat 46, kemudian membentuk gabungan bersama PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk melawan parti lamanya Umno BN. Gelombang tsunami politik Kelantan yang ditiup Ku Li itu memberi pikulan KO kepada Barisan Nasional (BN) tanpa meninggalkan sebarang kerusi buat mereka.

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Keresahan pemimpin dan pendukung PAS menyerang kembali apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan Presiden ABIM dan sertai Umno. Dalam konteks Kelantan, kejayaan awal Anwar ialah merampaskan Dun Semerak dari tangan PAS dalam satu pilihan raya kecil. Lalu PAS menilai kekuatan yang ada pada Anwar bisa mengancam masa depan politik PAS.

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Krisis politik dalam rumahtangga Umno kembali bergelora (1998/1999) dengan Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dipecat Dr Mahathir. Anwar lalu bersama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Kekuatan PAS jadi berganda. Dan sekarang sedang menuju destinasi idaman, Putrajaya.

Keajaiban dalam perjuangan Islam insya Allah akan berlaku lagi selepas ini!

Mahkamah benarkan bicara perjanjian air Selangor

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan akan membicarakan permohonan untuk mengklasifikasikan laporan audit dan perjanjian konsesi yang dimeterai Syabas dan Kerajaan Selangor pada 15 Disember 2004 sebagai dokumen awam.

Permohonan itu sebelum ini difailkan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) yang meminta butiran perjanjian itu tidak diklasifikasikan sebagai rahsia.

Pengerusi CAWP, Charles Santiago berkata keputusan tersebut adalah satu langkah yang baik kerana memberikan peluang kepada orang ramai mengetahui butiran tentang ‘projek kepentingan awam’.

Katanya, pihaknya akan menulis surat kepada pihak mahkamah supaya menetapkan satu tarikh untuk kes itu dibicarakan.

“Keputusan itu merupakan satu tindakan bagus kerana pihak mahkamah menyatakan bahawa kerajaan negeri mempunyai kepentingan.

“Jadi tidak ada asas untuk menteri tidak membenarkan pendedahan dokumen itu kerana laporan audit tidak pernah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972,” katanya ketika dihubungi Selangorku.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa CAWP memfailkan permohonan meminta laporan audit dan perjanjian konsesi itu diisytiharkan bukan sulit tetapi dokumen awam.

Mereka berhujah laporan audit Syabas menjadi asas kepada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang pada 14 Oktober 2006.

Permohonan gabungan pengguna ini bagaimanapun ditolak Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada 4 Disember tahun yang sama atas alasan laporan audit dan perjanjian konsesi tersebut adalah sulit dan rahsia kerajaan Malaysia.

Pada 2011, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen-dokumen tersebut.

Sekaligus, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu menetapkan bahawa dokumen berkenaan tidak didedahkan.

Susulan daripada itu, CAWP memfailkan satu permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menimbang semula keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

CAWP terdiri dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 badan bukan kerajaan yang mewakili pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kalau nak tipu biarlah logik – Tuan Ibrahim

Basiron Abd Wahab, 31 Jan 2013

Tuan Ibrahim bersama Pengarah Pilihan raya PAS Pahang, Abd Majid Hassan dan Roslan Zainal menunjuk poster haram berkenaan.

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan penyebaran poster haram memaparkan wajahya bersama pemimpin Pakatan Rakyat memakai topi ‘Bintang Tiga’ menunjukkan betapa lemahnya pemikiran politik pihak berkenaan.

Katanya, penyebaran  poster seperti itu menggambarkan mereka terdesak dan kehabisan modal untuk menghadapi Pakatan Rakyat.

“Kalau nak tipu pun biarlah munasabah bukannya menyebar poster dan risalah fitnah seperti itu yang jelas membohongi orang ramai,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika ditemui di pejabatnya dekat sini.

Ini, ujarnya kerana Bintang Tiga dan Pakatan Rakyat tidak pernah wujud pada masa yang sama.

Tambahnya, pemimpin Pakatan Rakyat juga tidak pernah menjadi ahli pertubuhan bersenjata yang wujud pada zaman penjajah British itu.

Menurutnya, PAS Kawasan Jerantut menemui poster tersebut dipasang di sekitar bandar itu dan ada yang dimasukan ke dalam peti surat di taman-taman perumahan.

Ekoran itu, PAS Jerantut telah membuat laporan polis dan menggesa diambil tindakan terhadap penyebar poster haram itu.

Wanita dimartabat jika Pakatan kuasai Putrajaya

Salmiyah Harun, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan supaya Pakatan Rakyat meletakkan wanita di setiap kementerian sama ada jawatan menteri atau timbalan menteri sekiranya mendapat mandat dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.


Timbalan Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan BN hari ini tidak menyeluruh mengakibatkan beberapa perkara dibuat tanpa memikirkan soal wanita.

Katanya, ini perlu bagi memastikan agenda wanita yang dirancang bersama dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berpandangan sedemikian ekoran tindakan Umno BN yang memandang ringan soal wanita sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau percaya penglibatan wanita di peringkat kementerian dapat dipertingkatkan selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Kutipan Dana Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) anjuran PKR Lembah Pantai, kelmarin.

Agenda Wanita Malaysia yang diperkenalkan Wanita Pakatan Rakyat pada April tahun lalu mengariskan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan apabila PR berjaya mentadbir negara.

Antaranya adalah caruman berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun untuk golongan suri rumah yang berpendapatan isi rumahnya kurang daripada RM 1,500 sebagai simpanan masa depan.

Selain itu, satu Suruhanjaya Anti-Keganasan Rumah Tangga bakal ditubuhkan bagi melindungi golongan wanita yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, MP Seputeh, Teresa Kok dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadirin turut dihiburkan dengan penampilan khas penyanyi terkenal negara Aishah.

Projek IC: Siasat siapa dalang sebenar

Mohd Firdaus, 31 Jan 2013
KOTA KINABALU: Tindakan beberapa pihak tertentu yang membabitkan Ketua Pemuda PAS Sabah dalam Projek IC dilihat sebagai tindakan terdesak bagi mengalih isu sebenar dalam pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing.
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, tindakan beberapa pihak tertentu yang bertindak mengheretnya bersama Projek IC merupakan tindakan terdesak yang cuba mengalih isu dan dalang sebenar dalam Projek IC itu.

“Sebenarnya, mereka ingin mengalih perhatian dari isu dan dalang sebenar Projek IC yang sanggup menggadai kewarganegaraan demi mendapat undi dalam pilihanraya,” kata Lahirul yang ditemui selepas sesi keterangan RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam sesi pendengaran sesi kedua tersebut, beliau turut memberikan penjelasan berkenaan bapa beliau yang berasal dari Indonesia dan telah berkahwin dengan ibunya, seorang warganegara Malaysia yang bersal dari Beaufort dan berbangsa Murut.

“Setahu saya, kita boleh mengikuti sama ada etnik bapa atau ibu kita,” katanya kepada Pegawai Pengendali Siasatan RCI, Jamil Aripin.


Lahirul turut mempertikai kenapa harus suruhanjaya mempersoal identiti beliau sedangkan mengikut Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Malaysia.

“Bagaimana mereka boleh mempersoalkan identiti saya, sedangkan taraf saya adalah sah mengikut Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 14(1)(b),” kata Lahirul.

Mengikut Perlembagaan Malaysia, Perkara 14(1)(b), “seseorang yang diahirkan pada atau selepas hari Malaysia dan mempunyai mana-mana daripada kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut: (a) Dia dilahirkan di Persekutuan dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurangnya ibu atau bapanya seorang warganegara atau bermastautin tetap di Persekutuan”.

Undang-Undang Sabah

Mengikut Undang-Undang Sabah, Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64) dalam Fasal 2(1)(b) turut menjelaskan bahawa: any person ordinarily resident in Sabah and being and living as a member of a native community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within meaning of paragraph (a) hereof.

Justeru katanya, pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tersebut perlu mencari dan mengenalpasti dalang yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan tersebut.

“Siapa dalang utama, mesti menjadi syarat penting kepada suruhanjaya tersebut dalam bertindak dan menyelesaikan isu.

“Tidak hanya menyiasat dan mengambil keterangan daripada peringkat bawahan sahaja,” tegasnya.

Lahirul memberi keterangan sebagai saksi ke-46 di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendatang tanpa izin di Sabah.

Sehingga kini, seramai 49 saksi telah tampil memberi keterangan sejak RCI memulakan sesi pertama pendengaran pada 14 Januari hingga 18 Januari lalu. Sesi kedua pendengaran yang bermula 28 Januari akan berakhir pada 1 Februari depan.

Kase desak henti operasi AES pada cuti perayaan

Muhammad Faizal, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tetap dengan pendirian bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) perlu ditangguhkan serta merta kerana masih terdapat masalah teknikal dan kepincangan yang belum diselesaikan.
Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff yang dihubungi memberitahu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang mahu meneruskan operasi AES seperti biasa terutamanya menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut beliau lagi, tindakan tersebut juga dilihat bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara (AG) yang telah membekukan prosiding atas alasan perundangan yang mana menjadi bukti jelas bahawa AES mempunyai masalah.

"Kami kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang terus berdegil untuk meneruskan sistem yang terbukti mempunyai kelemahan pada musim perayaan yang akan datang.

"Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh AG yang meminta membekukan prosiding AES kerana terdapat masalah yang serius pelaksanaan AES dan perlu diselesaikan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Jelas beliau lagi, sebelum ini terdapat pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan menangguhkannya namun tiada sebarang respons diberikan.

"Ini jelas membuktikan kerajaan hanya mementingkan syarikat kroni dalam mengaut keuntungan tanpa mempedulikan suara rakyat yang terus terbeban dengan kos kehidupan sekarang ini.

"Saya melihat laungan kerajaan perihatin dan mendengar denyut nadi rakyat hanya satu retorik kosong, hakikatnya rakyat terus terbeban," sambung beliau lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua 14 unit kamera AES akan terus beroperasi seperti biasa, terutamanya menjelang sambutan tahun Baru Cina.

Beliau juga turut memberitahu, kamera tersebut akan membantu program penguatkuasaan trafik oleh beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Pertemuan PAS, gereja tolak prejudis - Mujahid

Muhammad Faeez Azahar, 31 Jan 2013

Mujahid menyampaikan cenderahati kepada wakil paderi.

IPOH: Pertemuan PAS dengan Ketua-Ketua Paderi seluruh Perak hari ini berlangsung dengan penuh mesra dan harmoni.

Perjumpaan selama dua jam yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa itu diadakan di Gereja St Michael, Ipoh.

Dr Mujahid berkata, perjumpaan tersebut bertujuan untuk menyatakan keterbukaan PAS untuk bertemu dengan pihak gereja bagi membincangkan isu-isu sensitif yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan antara agama di negara ini.

“PAS sangat terbuka kepada semua pihak termasuk pihak gereja untuk bertemu bagi membincangkan segala permasalahan dan isu ini dengan penuh harmoni.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pertemuan ini kerana ianya melahirkan perkara positif di antara kedua-dua belah pihak,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas pertemuan tersebut.

AJK PAS Pusat itu menjelaskan, pertemuan tersebut memberi ruang kepada PAS untuk menjelaskan dasar-dasar yang diperjuangkan dan menjelaskan segala prasangka terhadap parti serta momokan daripada pihak-pihak tertentu.

Kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, PAS juga telah memberikan penerangan tentang pendirian PAS berhubung isu kalimah Allah yang dimainkan oleh Umno ketika ini.

Jelas beliau lagi, paderi-paderi yang hadir itu juga mengambil kesempatan itu untuk mengemukakan persoalan tentang isu-isu sensitif yang dimainkan dan tawaran PAS dalam Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk memerintah kelak.

“Pertemuan ini sangat bermakna dan penting untuk kita wujudkan suasana harmoni dan bersih dari segala prejudis di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Saya mengharapkan pertemuan sebegini dapat diteruskan oleh semua pihak kerana ianya sangat bermanfaat,” jelasnya lagi.

Hadir sama ialah Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Perak, Mohammad Saad, Penolong Setiausaha dan Exco Pemuda PAS negeri, Safarizal Saleh dan Hafez Sabri.

Tiada ulasan: