Ahad, 20 Januari 2013

HUKUM DIDUNIA DIPEROLEHI DAN HUKUM AKHIRAT SEDANG MENUNGGU...KEMANA KITA NAK LARI SEDANGKAN TARIKH KEMATIAN KIAN HAMPIR

Mantan Ketua Daerah Kinabatangan sertai PAS

Mohd Firdaus, 18 Jan 2013


KINABATANGAN: PAS Sabah sekali lagi mencatat kejayaan besar sebelum bertempur di ‘medan perang’ Pilihanraya Umum ke-13 akan datang apabila mantan Ketua Daerah Kinabatangan menyerahkan borang menyertai PAS dalam satu Himpunan Selamat Tinggal BN di Kg. Batu Putih dekat sini, petang tadi.

Ahdah Sulaiman yang juga bekas calon Bebas dalam PRU 2008 turut mewakili 360 orang lagi menyerahkan borang menyertai PAS kepada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memberikan kata semangat dengan mengajak seluruh rakyat Kinabatangan bersama meninggalkan Barisan Nasional yang sudah lama bertapak di Sabah.

“Kita menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran selama 18 tahun Umno BN di Sabah ini.


“Umno BN telah gagal membawa pembangunan ekonomi kepada rakyat Sabah terutama di kawasan ini,” ujar beliau.


Dalam PRU12, Ahdah bersama lapan calon lain termasuk seorang calon PAS, Imran Ibrahim dan Datuk Saddi Abdul Rahman (BN) merebut kerusi DUN Sukau. Beliau memperoleh undi tertinggi dengan mendapat 1,171 undi berbanding calon PAS, hanya sebanyak 76 undi sahaja. Manakala calon BN pula mendapat 3,278 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 2,107 undi.


Himpunan ini turut dihadiri Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin, Dr. Mohd Hatta Ramli, Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Lahirul Latigu (Ketua Pemuda PAS Sabah), ahli jawatankuasa PAS Sabah dan rakan-rakan Pakatan Rakyat Sabah yang terdiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan masyarakat setempat.

Suhu politik panas, fikiran Mahathir makin kusut

Harakahdaily, 19 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi dapat melihat isu Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI) Sabah dari perspektif yang betul.
“Sekarang baru kita sedar kenapa beliau (Mahathir) tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap isu pendatang asing di Sabah dahulu,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.

Berikut ialah tulisan penuh beliau di dalam blog http://aspanaliasnet.blogspot.com.

Semakin hari semakin panas suhu politik di negara yang dikatakan pimpinan utama kita akan menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi. Entah apa kemajuan yang kita akan capai tidak pula kita ketahui. Tetapi apa yang kita lihat, kita semakin hari semakin ke belakang dan tidak maju ke hadapan. Isu bertambah rumit dan besar, dan semua isu ini berkait dengan tingkah laku dan salah gunakuasa oleh pucuk pimpinan negara dan UMNO.

Deepak pula memberikan reaksi marah-marah apabila Najib memperlekehkan tuduhannya (Deepak) terhadap terhadap Perdana Menteri yang ‘controversial’ itu. Deepak berjanji akan mengeluarkan lagi banyak isu yang belum diketahui umum yang  berkaitan dengan Najib suami isteri itu. Walau sebesar mana pun pawang dan dukun digunakan oleh Rosmah, isu terhadap mereka yang tinggal di Sri Perdana itu tetap datang bertalu-talu.

Nampaknya satu demi satu perkara yang disorokkan oleh pucuk pimpinan sejak tiga puluh tahun dahulu mula keluar dan ia memeranjatkan kepada setengah pihak. Tetapi tidak pula memeranjatkan kepada setengah pihak yang telah melihat dengan dekat perubahan nilai dalam UMNO dan kepimpinannya sejak dari masa itu.

Isu yang terakhir ialah berhubung dengan Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI) Sabah yang telah ditubuhkan oleh kerajaan. Akhirnya Dr Mahathir mengakui yang beliaulah yang terlibat dan membenarkan pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah dahulu.

Dalam pada beliau mengakui kerja yang tidak baik itu, Mahathir cuba mencari tempat sandaran untuk meringankan perasaan bersalah beliau dengan membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra yang pada kononnya telah memberikan sejuta orang Cina taraf kerakyatan semasa sebelum kita mencapai kemerdekaan dahulu.

Ternyata Mahathir ini semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi dapat melihat isu ini dari perspektif yang betul. Sekarang baru kita sedar kenapa beliau (Mahathir) tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap isu pendatang asing di Sabah dahulu.

Membabitkan nama Bapa Kemerdekaan negara oleh Dr Mahathir ini amat memalukan bagi kita yang mendengarnya. Jawapan beliau tidak melambangkan yang beliau seorang yang jujur. Memang benarlah pandangan setengah pihak, Mahathir ini tidak boleh berjalan dengan betul di atas jalan yang lurus.

Tunku Abdul Rahman telah memberikan kerakyatan kepada orang Cina dahulu kerana ia merupakan pra-syarat bagi negara mencari jalan untuk pencapaian kemerdekaan. Pemberian kerakyatan itu juga diberikan kepada kaum India yang datang dari India yang bekerja di ladang-ladang getah semasa kita dalam tadbiran penjajahan dahulu.

Bagaimana Dr Mahathir boleh tergamak membabitkan Tunku dalam hal ini dan menyamakan keadaan semasa itu dengan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Menyamakan beliau dengan Tunku Abdul Rahman serupalah menyamakan buah epal dengan buah sukun atau buah bacang. Pemberian kerakyatan kepada pendatang semasa itu adalah syarat yang telah ditetapkan oleh British bagi mencapai kemerdekaan untuk negara semasa itu. Setelah semua kaum bersatu maka Tunku dan rombongan untuk mencapai kemerdekaan itu terdiri dari rakyat Malaya yang berbilang kaum itu.

Pemberian kerakyatan itu adalah untuk membina sebuah negara baru yang merdeka. Di sebaliknya Dr Mahathir memberikan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah itu adalah untuk meruntuhkan negara. Kad pengenalan yang diberikan kepada pendatang asing di Sabah itu ialah untuk memenangkan parti kerajaan yang sudah lemah dan ia meruntuhkan sistem demokrasi negara ini.

Dr Mahathir tidak dapat membezakan diantara belacan dengan cencaluk. Apa pun, kenyataan Dr Mahathir itu membuktikan tuduhan banyak pihak yang Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya semata-mata. Ada di antara mereka yang berpengaruh dalam negara ini memberikan pendapat apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ini merupakan satu tindakan ‘treason’ yang amat serius. Mereka berpendapat Mahathir perlu disiasat tentang kesetiaannya terhadap negara ini.

Jelas sekarang Mahathir tidak boleh lari dari segala kesalahan beliau terhadap orang Sabah yang asal. Dengan pemberian kad-kad pengenalan kepada rakyat asing semata-mata kerana hendak menjaga kepentingan politik kepartian itu, sememangnya satu tindakan yang ‘treason’ yang sangat besar. Kita berharap RCI yang masih dalam peringkat penyiasatan itu, akan melaksanakan tugas dengan jujur dan baik untuk kepentingan Sabah khususnya dan negara amnya. Kita berharap Suruhanjaya itu akan membuat cadangan tindakan terhadap pelaku kesalahan ini tanpa memilih bulu.

Bagi saya , apa yang saya idamkan bersama dengan ramai yang lain ialah, sebuah negara demokrasi yang benar-benar jujur dan tidak menyelewengkan asas demokrasi itu secara sengaja semata-mata kerana kuasa. Rakyat mengharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan cara untuk membina keyakinan rakyat kita.

Saya berharap Pakatan Rakyat akan mampu melakukan perubahan itu

Projek IC: Pihak berkuasa perlu segera bertindak

Muhammad Yusri Amin, 18 Jan 2013
KOTA BHARU: AJK PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa tindakan segera perlu diambil ke atas skandal ‘projek IC' di Sabah’ membabitkan warga asing, selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri mendakwa jika pengeluaran IC  kepada warga asing untuk  menjadi Warganegara Malaysia itu didapati tidak mengikut peraturan atau tidak teratur, tindakan segera perlu diambil.

“Dan pengeluaran IC ke atas warga terbabit boleh dibatalkan sama ada melalui mahkamah atau melalui Menteri Dalam Negeri sendiri.

Selaras dengan itu, pengamal undang-undang itu juga mendakwa apa-apa juga pengesyoran Suruhanjaya Siasatan Diraja itu hendaklah diambil kira kerajaan bagi tindakan selanjutnya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Majlis Perbandaran Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sempena Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MPKB-BRI 2013 di sini pagi tadi.

“Jadi yang pentingnya tindakan susulan terhadap perbuatan itu terutamanya dalam konteks PRU-13 ini,” ujarnya.

“Kalau pengeluaran IC kepada warganegara asing menjadi Warganegara Malaysia itu didapati tidak mengikut peraturan atau tidak teratur, tindakan perlu diambil.

“Bahkan jika terbukti salah, kewarganegaraan golongan itu boleh dibatalkan sama ada melalui mahkamah atau melalui Menteri Dalam Negeri sendiri, yang boleh membatalkannya," katanya.

Tun Mahathir akui beri IC pada warga asing

Harakahdaily, 17 Jan 2013
SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengaku beliau bertanggungjawab memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing pasa zaman pentadbirannya.

Malah beliau mendakwa tindakannya itu tidak seberapa berbanding bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman yang disifatkan "lebih teruk" dari beliau.

"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang,"

"Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah," katanya ketika ditanya pemberita selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Karangkraf hari ini.

Beliau juga mengakui bahawa projek pemberian kad pengenalan itu dibuat menjelang pilihan raya namun mendakwa ianya mungkin hanya kebetulan.

"Saya buat sebelum pilihan raya. Mungkin kebetulan. Saya tak tahu. Tapi ia mengikut undang-undang. Perkara itu berlaku sebelum pilihan raya tak bermakna melanggar undang-undang," katanya lagi.

Pengakuan Mahathir itu sekaligus sama dengan keterangan yang diberikan saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung 'projek IC' Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah semalam memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Air S'gor: Siapa sebenarnya bermain politik

Harakahdaily, 18 Jan 2013

SHAH ALAM: Tindakan BN Selangor menuduh kerajaan negeri bermain politik dalam isu air seperti memperjudikan nasib lebih 5 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, usaha kerajaan kegeri mengambilalih perkhidmatan air dengan niat semata-mata mahu menjaga kebajikan pengguna yang tidak mendapat pembelaan dari kerajaan sebelum ini hanya mementingkan tembolok dan kroni sendiri.

BN katanya bukan sahaja pandai menuduh, malah juga langsung tidak memberi kerjasama dalam usaha kerajaan negeri mengambil alih pegurusan air di negeri ini.

Katanya, sebagai bukti, sehingga kini rakyat dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang langsung tiada kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tidak munasabah.

“Malangnya, selepas empat tahun berunding usaha pengambilalihan ini masih gagal kerana kerajaan Pusat tidak menyokong usaha ini lantaran lebih mementingkan syarikat konsesi daripada kebajikan rakyat.

“Bukan sekadar itu, syarikat konsesi ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang turut melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu air dan menghentam usaha Menteri Besar, Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim mengambilalih perkhidmatan air,”katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Tuduhan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu air.

Siapa bermain politik

Menurut Faekah, jika sememangnya kerajaan Persekutuan tidak setuju perkhidmatan air diambil alih kerajaan negeri, mengapa kerajaan meluluskan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

"Mengapa penstrukturan air boleh dilaksanakan di Terengganu, Perak dan Melaka dan tidak Selangor,? soalnya.

Faekah juga yakin, sekiranya Kerajaan Negeri diberi peluang mengurus sendiri air ia akan membuktikan dasar penswastaan BN yang diberi kepada kroni adalah gagal.

Oleh itu katanya, tidak hairan pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan konsesi ini dan akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu air ini.

Ini kerana, BN percaya jika kerajaan Selangor dibenar mengambilalih perkhidmatan air maka peluang mereka untuk kembali menang di Selangor akan terus terkubur.

Selangor urus air lebih baik dari Rozali - Khalid

Harakahdaily, 19 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Meskipun gaji beliau sekurang-kurangnya RM425,000 sebulan, Pengerusi Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail gagal menangani isu gangguan air baru-baru ini.

Ini berikutan kenyataan Syabas kepada media pada 9 Januari bahawa gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak hanya dapat dipulihkan pada perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari.

Bagaimanapun, apabila kerajaan negeri campur tangan dengan melakukan pemantauan terhadap kerja-kerja pembaikan, gangguan air dapat dipulihkan pada Jan 15 – empat minggu lebih awal daripada perangkaan Rozali.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ini membuktikan Rozali gagal menguruskan bekalan air di Selangor dengan baik, lapor Selangorku.

“Saya beritahu Datuk Seri Najib Razak supaya beri hak urus air Selangor kepada kerajaan negeri.

“(Kerana) kita mampu urus air lebih baik dan mementingkan kepentingan pengguna berbanding Syabas,” ujar Abdul Khalid di hadapan lebih seribu hadirin dalam Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya di sebuah restoran di Petaling Jaya malam tadi.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, Najib enggan menyerahkan hak pengurusan air kepada kerajaan negeri kerana lebih mengutamakan kepentingan kroni mereka berbanding kepentingan rakyat Selangor.

Abdul Khalid turut menyelar tindakan Syabas yang sebelum ini bertindak menyaman Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan mereka menaikkan tarif air di Selangor.

Pada 29 Disember, kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air selama lebih dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju.

Syabas didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam simpanan untuk gantian di masa kecemasan turut rosak.

Pada 8 Januari, dilaporkan bahawa Rozali berkata gangguan bekalan di ketiga-tiga tempat itu hanya akan selesai pada Tahun Baru Cina.

Sehari selepas itu, Kerajaan Selangor berkata ia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dalam seminggu.

Pada 15 Januari, hampir semua pengguna di kawasan yang terjejas mendapat bekalan air.

Jalan rosak, penduduk rayu laluan alternatif

Khairil Abdul Rahim, 18 Jan 2013

KUALA LIPIS: PAS Pahang mendesak kerajaan negeri bertindak segera menangani masalah jalan rosak, berdebu serta membahayakan penduduk akibat daripada puluhan lori pengangkut bijih yang keluar masuk setiap hari melalui jalan Kampung Sungai Lik Kerambit di sini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, pihak kerajaan juga didesak untuk membina laluan alternatif khusus sama ada untuk laluan lori berkenaan atau untuk kegunaan penduduk kampung itu sendiri.

PAS juga turut menggesa syarikat-syarikat perlombongan yang mengaut keuntungan besar hasil operasi perlombongan di kampung tersebut, melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan membaiki jalan kampung berkenaan supaya kembali pulih seperti asal sebelum adanya aktiviti perlombongan.

“Pakatan Rakyat Pahang yang diketuai Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah membuat lawatan ke kampung tersebut pada Isnin lalu berikutan aduan penduduk. Hasil lawatan mengesahkan masalah yang dihadapi penduduk kampung amat serius kerana menjadi lokasi kepada beberapa lombong bijih besi sejak dua tahun lalu.

“Beberapa bukit di sekitar kampung tersebut kini giat ditarah dan diruntuhkan untuk mengeluarkan khazanah bijih besi yang terpendam di dalamnya. Saban hari berpuluh lori yang berkapasiti tidak kurang 80 tan muatan keluar masuk ke kampung berkenaan sekali gus menyebabkan kerosakan yang serius kepada jalan raya yang menghubungkan penduduk ke pekan Kerambit dan Mela.

“Senario ini dijangka berlarutan sehingga 10 tahun akan datang berdasarkan permit perlombongan yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada kontraktor. Justeru jika tiada sebarang usaha pemuliharaan akan menyebabkan penduduk dalam keadaan bahaya,” jelasnya.

Serentak dengan itu, PAS Pahang juga menggesa Jabatan Alam Sekitar (Jas) agar turun padang bagi menyiasat pencemaran teruk air sungai yang berdekatan dengan salah sebuah lombong di kampung tersebut.

Pencemaran sumber minuman dan keprluan penduduk itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pemprosesan bijih yang menghasilkan sisa air lumpur dan selut yang mengalir ke Sungai Jelai dan terus ke Sungai Pahang hingga ke Laut China Selatan.

“Bayangkan kesannya kepada kualiti air sungai negeri ini jika pencemaran tersebut dibiarkan terus berlarutan sehingga 10 tahun akan datang. Maka bagi mengelakkan kerosakan alam, manusia dan kehidupan yang lebih teruk, PAS menyeru Kerajaan Negeri Pahang bertindak segera,” kata kenyataan tersebut.

Deepak: Najib defensif, cemar negara dan rakyat

Aspan Alias, 18 Jan 2013
Sebagai seorang Perdana Menteri bagi sebuah negara berdaulat seperti negara kita ini, dia mesti menjaga kebersihan imej serta kredibiliti peribadi dengan setinggi dan sebaik mungkin. Jika imej dan kredibiliti seorang Perdana Menteri boleh dicemar oleh seorang penjual karpet atau penjual barangan rumah maka PM itu wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap yang membuat tuduhan secara terbuka itu.


Deepak wajar diambil tindakan undang-undang oleh Najib kerana tuduhan itu amat kotor dan amat hina terhadap seorang Perdana Menteri negara kita ini. Satu-satunya jalan untuk Najib membersihkan nama beliau ialah dengan menyaman dan mengambil tindakan undang-undang dengan secepat mungkin. Jika Najib tidak mengambil tindakan itu maka ia sekali gus membenarkan isu yang dituduh terhadap beliau oleh penjual karpet itu.

Kita perlu ingat tuduhan Deepak terhadap Najib itu melibatkan isu kehilangan nyawa seorang wanita dan juga isu mengubah akuan bersumpah yang dilakukan oleh Balasubramaniam seperti yang dibocorkan oleh Deepak yang suatu ketika dahulu mempunyai hubungan abang-adik dengan isteri Perdana Menteri yang tersohor di dunia itu. Kematian seorang wanita Mongolia yang begitu trajik telah dilakukan oleh dua orang pegawai keselamatan Najib dan telah pun dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi negara kita.

Kita perlu ingat penglibatan dua pegawai keselamatan negara yang hampir dengan Najib dan keluarga ini amat mudah dikaitkan oleh sesiapa dengan Najib dan isteri beliau dan tidak siapa tahu secara undang-undangnya tentang motif pembunuhan itu kerana isu itu tidak di sebut dalam perbicaraan kes ini. Jika tuduhan itu tidak dinafikan dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak maka ia menghampirkan Najib kepada kebenaran tuduhan Deepak terhadap Perdana Menteri itu.

Penafian Najib semalam tidak mempunyai kredibiliti. Jika Najib menganggap tuduhan Deepak itu tidak mempunyai kredibiliti tindakan Najib untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak itu adalah lebih tidak berkredibiliti lagi. Najib mesti bertanya kepada diri beliau sendiri, apakah isu akuan bersumpah Balasubramaniuam ini merupakan isu yang kecil dan tidak payah diambil tindakan terhadap penjual karpet ini?

Kalaulah Najib ini seorang penjual kobis dan bayam di pasar tani, mungkinlah beliau tidak perlu mengambil berat terhadap isu peribadi yang sangat buruk dan hina ini, tetapi beliau adalah seorang Perdana Menteri negara merdeka. Persepsi buruk terhadap Najib itu adalah persepsi buruk terhadap negara dan memalukan rakyat.

Ahli-ahli parti UMNO pimpinan Najib tidak boleh melarikan isu ini dengan membuat tuduhan yang isu ini adalah permainan politik kotor dalaman parti itu kerana ada pihak yang hendak menjatuhkan beliau dari pimpinan negara. Jika benar pun isu ini diperbesarkan oleh Deepak kerana permainan politik cah keting dalam UMNO itu, Najib jugalah yang salah kerana memberikan sebab untuk beberapa pihak dalam UMNO itu untuk melakukannya.

Isu permainan kumpulan Timbalan Perdana Menteri hendak mengambilalih kepimpinan itu merupakan isu yang biasa dalam UMNO. Hussein Onn dahulu bertindak mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri dahulu pun adalah kerana permainan Timbalan beliau semasa itu. Kepada orang-orang lama ini adalah isu yang diketahui umum.

Apabila Hussein Onn mengambil tindakan untuk bersara maka pengganti beliau itu juga sudah merasakan yang beliau akan menghadapi masalah dengan Timbalan beliau. Justeru sebelum Timbalan beliau itu memberikan masalah, beliau telah dengan bijak membuatkan Timbalannya Musa Hitam merajuk dan meletakkan jawatan.

Selepas itu Dr Mahathir ini telah mengganti Timbalan beliau dari seorang dengan seorang yang lain. Selepas Musa digantikan dengan Ghaffar Baba. Selepas Ghaffar Baba Timbalan beliau ialah Anwar Ibrahim yang digalakkan untuk mencabar Ghaffar, juga kerana kemahuan Dr Mahathir.

Selepas itu Anwar sendiri telah bercanggah dengan Dr Mahathir yang menyebabkan Anwar disingkirkan dengan menggunakan isu-isu skandal seks luar tabii dan banyak lagi yang di mainkan oleh Dr Mahathir. Hasilnya Abdullah Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam pada beliau (Mahathir) sibuk mengganti ramai Timbalannya beliau (Mahathir) telah berjaya menjadi Perdana Menteri lebih dari dua puluh tahun.

Rakyat mula ada kecenderungan untuk menolak Dr Mahathir maka Mahathir memberikan jawatan itu kepada Abdullah Badawi yang beliau sangkakan akan tunduk dan berterima kasih kepada beliau dengan memenuhi segala kehendak beliau. Beliau kemudiannya sedar yang Abdullah yang beliau anggap sebagai seorang yang lemah dan lembut itu adalah seorang yang sangat degil dan keras kepala. Maka Mahathir mengambil tindakan untuk menaikkan Timbalan kepada Abdullah pula dengan menggunakan Muhyiddin untuk menolak Abdullah dan memberikan Timbalan Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin mendapat upah dengan menjawat jawatan Timbalan kepada Najib yang bakal memberikan masalah kepada beliau (Najib). Isu yang melibatkan masalah yang dilakukan oleh Timbalan ini memang perkara biasa dan Najib wajar menerimanya sebagai satu hakikat yang tidak boleh di nafikan oleh sesiapa pun.

Oleh itu Najib tidak boleh menyalahkan Muhyiddin atau Dr Mahathir melakukan cah keting ini kerana bagi Dr Mahathir beliau memang berpengalaman melakukan cah keting sesama sendiri ini sejak dahulu lagi.

Najib patut fokus untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak untuk membersihkan nama beliau. Jika tidak diambil tindakan sebegitu maka akan berjayalah Mahathir untuk mempraktikkan kemahiran beliau dalam menaik dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan negara itu. Najib menggantikan Abdullah dahulu pun dengan cara yang sama seperti yang akan dilakukan ke atas beliau selepas pilihanraya nanti.

Hanya kali ini Dr Mahathir akan gagal untuk melakukannya kerana jika UMNO itu kalah dalam pilihanraya kali ini, beliau yang ingin menggunakan Muhyiddin untuk menyungkurkan Najib itu akan tidak berjaya. Sebab apa?...kerana UMNO akan kalah dan tidak menjadi parti yang berkuasa lagi.

Apabila sampai ke episod ini maka akan tamatlah drama kotor bersiri UMNO yang telah bermula sejak tiga dekad yang lalu. Selepas itu akan bermula drama bersiri yang akan dilakonkan oleh pelakon-pelakon baru dari Pakatan Rakyat dan diharap drama bersiri selepas ini merupakan drama yang lebih baik dan sedap ditonton oleh hampir 30 juta rakyat negara ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Pampasan: Kementerian perlu jelaskan pendedahan Nizar

Harakahdaily, 18 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mendesak Kementerian Kewangan menjelaskan berapakah jumlah sebenar pampasan yang dibayar kepada mangsa Landasan Keretapi Maut oleh Kerajaan Jepun, sekiranya mereka mendakwa memo kementerian yang diterima seperti yang didedahkan oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah dipalsukan.

“Kalau jumlah RM207 bilion itu didakwa palsu dan tidak benar, berapa jumlah sebenar?” tanya beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau berkata kerajaan BN tidak boleh berlepas tangan membiarkan mangsa yang kini hidup menderita akibat kekejaman tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua,

Katanya, semua mangsa dan waris berhak mengetahui dan mereka mempunyai hak perundangan dan syarat di atas wang tersebut.

“Kerajaan BN jangan hanya menunjukkan baik dengan pelbagai bantuan menjelang PRU, andainya wang pampasan mangsa tidak dikembalikan. Kerajaan BN sepatutnya merasa malu apabila kedutaan Jepun menulis surat bertanyakan hal tersebut kerana ia melibatkan maruah negara,” kata beliau.

Kini, kata Tuan Ibrahim mangsa juga berhadapan dengan berita yang sangat menyedihkan bilamana wang sepatutnya dibayar kepada mereka telah disalahgunakan oleh kerajaan bagi membina projek perkapalan MISC sebagaimana didakwa (merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh “11/05/2007” bertajuk “Kes Tuntutan Buruh Paksa”).


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_05.htm.#ixzz2I6nZYP4O

Dalam laporan tersebut, Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek berkata wang tersebut telah digunakan untuk menubuhkan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

PAS, kata Tuan Ibrahim, akan terus menuntut penjelasan dan desakan sehingga wang pampasan tersebut dikembalikan kepada yang berhak.

Dr Abdul Rani ketuai rombongan ke Gaza

Saidah Hairan, 18 Jan 2013


SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk menyampaikan sumbangan kewangan kepada rakyat Gaza dari cengkaman tangan khianat regim Zionis Israel.

Menurut beliau, kerajaan negeri Selangor menyumbang RM61,000 untuk membina projek pembinaan makmal membuat anggota palsu (Prosthesis) di bumi Gaza.

Katanya, rombongan kerajaan Selangor dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia akan bertolak dari KLIA jam 11 malam ini dan dijangka pulang ke Malaysia pada 28 Januari nanti.

Beliau memaklumkan lebih 10 orang ahli rombongan akan berada di wilayah bergolak itu bagi menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan membangunkan bengkel pembuatan anggota palsu.

"Saya bersyukur kerana mendapat sumbangan daripada orang ramai khususnya umat Islam di seluruh negara terutama rakyat di Selangor melalui tabung-tabung di masjid," katanya.

Beliau berkata sesiapa yang berminat untuk menyumbang ke Tabung Palestine boleh terus di atas nama Yayasan Amal Malaysia di MAYBANK  (AC 553010122090)  atau   CIMB ISLAMIC (AC 14680000191108 )

Jentera muslimat perlu hadam tawaran Pakatan

Anis Nazri, 18 Jan 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengarahkan setiap ahli jentera dewan itu memahami susur galur tawaran-tawaran Pakatan Rakyat, termasuk enam tuntutan wanita.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah al-Jundi, menegaskan semua tawaran itu, termasuk tuntutan Agenda Perubahan Wanita wajib dikuasai setiap jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat agar mudah difahami rakyat.

"Jentera parti perlu faham, bukan sahaja tawaran kita, tetapi apa sebab tawaran itu dikemukakan serta kesannya kepada rakyat," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, apa yang berlaku, terdapat kesilapan yang kerap dilakukan jentera parti apabila hanya 'menghafal' tawaran tanpa memahami intipatinya yang menyebabkan rakyat tidak dapat memahami secara tuntas mengenainya.

Biarpun menyedari penerangan daripada PAS Pusat berkaitan tawaran itu telah diadakan hampir setiap hari, Athirah berkata pada peringkat ini tawaran tersebut perlu diulang-ulang dengan intipatinya agar ia benar-benar terkesan di hati rakyat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah menyarankan jentera parti, khususnya muslimat melalui Hal Ehwal Wanita (Halwa) agar menjadikan topik tawaran berkenaan sebagai bahan perbincangan dalam usrah mingguan.

Dalam pada itu, beliau menambah Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS Pusat telah menyediakan modul khusus program sehari berkaitan tawaran tersebut, yang ditawarkan kepada mana-mana DMP.

"Setakat ini sambutan sangat baik. Saya tidak nafikan ada negeri yang kawasan-kawasannya sangat pro aktif panggil kita turun, dan terdapat juga yang masih sepi," kata beliau.

Tegas Athirah, apa yang paling penting, semua program dan usaha dilakukan perlu ditumpukan ke peringkat akar umbi pengundi seperti lokaliti, Unit Peti Undi (UPU) di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen.
"Semarakkan program di situ kerana sama ada kita betul-betul berjaya ke Putrajaya, ianya bergantung sebahagian besarnya ke atas usaha kita di situ," tegas beliau.

Sebelum ini, Wanita Pakatan Rakyat menggariskan tujuh tumpuan wanita sebagai usaha memperkasa dan memberdaya ekonomi, politik dan sosial golongan itu di negara ini.

Agenda digunakan sebagai dasar dan polisi utama Wanita Pakatan Rakyat bagi mengangkat martabat kumpulan itu sebagai salah satu komponen dalam masyarakat, sekaligus melaksanakannya jika berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuntutan tersebut diulang semula Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat, 12 Jan lalu.

136 rumah mampu milik Sungai Long siap Mac ini

Selangorku, 18 Jan 2013
KAJANG: Exco Perumahan Selangor, Iskandar Abdul Samad memaklumkan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Jalan Sungai Long 12/2, Bandar Sungai Long dijangka siap dua bulan lagi.

Melibatkan 136 unit dibawah tanggungjawab pemaju Sin Heap Lee Development Sdn Bhd, ini merupakan projek RMM ketiga yang dibina Kerajaan Negeri Selangor.

“Asalnya kawasan ini merupakan kawasan rumah kos rendah. Oleh kerana jarak jauh dari bandar maka kita benarkan pertukaran status. Maka harga kita kawal sementara nama pembeli datang daripada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mempunyai satu peraturan di mana boleh dimiliki mereka yang mempunyai pendapatan dibawah RM5000.

“Kita menetapkan mereka tidak boleh menjual dalam masa lima tahun bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

“Mereka juga mesti mempunyai satu rumah sahaja dan wajib menduduki rumah berkenaan serta tidak boleh disewakan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja sambil diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman.

Jelas Iskandar, rumah tingkat bawah diutamakan kepada pemohon Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dengan keluasan 820-880 kaki persegi, harga jualan dijangkakan sekitar RM100,00 kebawah dan akan diputuskan Kerajaan Negeri.

Dua projek RMM yang disiapkan Kerajaan Negeri sebelum ini terletak di Bukit Botak dan Bandar Baru Bangi.

Kedua-dua projek berkenaan dijangka siap dan boleh mula diduduki tahun ini.

RMM Bandar Sungai Long ini dibina dengan reka bentuk tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Terdapat 150 tempat letak kereta disediakan dengan 10 peratus daripadanya diperuntukkan untuk orang awam selain pejabat pentadbiran, surau, taman permainan dan dewan kecil.

Selain itu, pemaju juga sedang merancang pembinaan 536 unit RMM di U10 Shah Alam dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun .

Ujar Iskandar lagi, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga dalam usaha membina 280 unit RMM di Sutera Damansara manakala 400 unit lagi di Sabak Bernam.

Imuniti: Deepak setuju bincang dengan Mahfuz segera

Harakahdaily, 18 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan bersedia bertemu dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berhubung permohonannya mendapatkan jaminan imuniti dari Pakatan Rakyat.

Dalam email yang dihantar kepada media sebaik sahaja media menyiarkan kenyataan Mahfuz, Deepak berkata, dia menyambut baik jemputan itu.

"Saya menyambut baik jemputan oleh Datuk Mahfuz untuk bertemunya berkaitan dengan permohonan imuniti kepada Pakatan dan berharap dapat bertemu beliau esok di Pejabat Agung PAS," kata Deepak dalam email itu.

Mahfuz pagi tadi dalam kenyataan medianya dari Sabah berkata, beliau sedia bertemu dengan Deepak bagi mendengar permohonannya untuk mendapatkan imuniti dari Pakatan Rakyat.

Mahfuz berkata, beliau sedia meluangkan masa untuk Deepak bagi mendengar permohonan itu. Kenyataan ini dibuat oleh beliau ekoran kenyataan Perdana Menteri, Deepak tidak ada kredibiliti.

"Jika sesuai saya akan membawa perkara ini ke majlis pimpinan Pakatan untuk dipertimbangkan," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz memang ada peruntukan dalam undang-undang tentang perlindungan sebagai saksi ini dalam akta petlindungan saksi.

Sebelum ini, ketika temubual dengan Harakahdaily,  Deepak berjanji akan mendedah semua salahlaku yang dibuat pemimpin negara jika diberikan jaminan perlindungan oleh Pakatan Rakyat .

Deepak berkata, beliau bersedia menjadi saksi negara dan rakyat (State Witness) terhadap kesemua kebejatan negara yang berlaku khasnya yang melibatkan Perdana Menteri dan keluarganya.


Pertemuan dengan Deepak


Sementara itu, Mahfuz ketika dihubungi berkata, beliau hanya akan pulang ke Semenanjung pagi esok dan akan terus ke Alor Setar.

Beliau akan sibuk dengan majlis hari ulang tahun Tuanku Sultan sehingga beberapa hari ini di Alor Setar.

"Jadi selepas itu baru saya akan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Deepak," kata Mahfuz.

Deepak: PAS sedia jumpa, bincang perlindungan

Harakahdaily, 18 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS bersedia bertemu dengan usahawan karpet Deepak Jaikishan bagi mendengar permohonannya untuk mendapatkan perlindungan sebagai saksi.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau sedia meluangkan masa untuk Deepak bagi mendengar permohonan itu.

"Jika sesuai saya akan membawa perkara ini je majlis pimpinan Pakatan untuk dipertimbangkan," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz memang ada peruntukan dalam undang-undang tentang perlindungan sebagai saksi ini dalam akta petlindungan saksi.

Sebelum ini, ketika temubual dengan Harakahdaily,  Deepak berjanji akan mendedah semua salahlaku yang dibuat pemimpin negara jika diberikan jaminan perlindungan oleh Pakatan Rakyat .

Deepak berkata, beliau bersedia menjadi saksi negara dan rakyat (State Witness) terhadap kesemua kebejatan negara yang berlaku khasnya yang melibatkan Perdana Menteri dan keluarganya.

Jamuan nasi dagang Perantau di Sabah 20 Jan

Harakahdaily, 18 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) akan mengadakan program Jamuan Nasi Dagang pada Ahad, 20 Januari ini di Sri Al-Hafiz, No 1, Lorong Sierra 3/1B,  Taman Bandar Sierra Jalan Tuaran-Menggatal Kota Kinabalu bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sehubungan itu, pengarah program, Azman Mustafa, menjemput anak-anak Ganu Kite yang berada di Sabah dan berharap semua yang berkelapangan dapat menghubungi beliau (013-5402589) atau Anuar Ali (013-8560679) untuk  turut serta BAGI memeriahkan program itu.

“Program ini juga merupakan inisiatif baru yang diambil bersama rakan-rakan pada awal tahun 2013 untuk merapatkan ukhwah dan silaturrahim sesama warga Perantau Anak Tranung  yang berada di Sabah terutama yang tinggal sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Barat pedalaman,” katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Teruskan program asalkan berpakaian sopan - Azizan

Harakahdaily, 18 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Garis panduan persembahan hiburan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah telah sedia ada sejak 2008 serta tiada pihak yang mempertikaikannya.

Namun, mengapa hampir kepada Pilihanraya Umum ke-13, ia menjadi ‘isu’.

Demikian penegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) bagi mengulas mengenai garis panduan persembahan hiburan yang dibangkitkan oleh MCA serta Gerakan Kedah, lapor portal rasmi kerajaan negeri semalam.

Berhubung penganjuran program ‘1 Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013’ yang dijadualkan pada 15 Februari depan di Star Walk, Alor Setar, kerajaan negeri membenarkan program tersebut diteruskan dan penganjur hendaklah memastikan bahawa setiap peserta yang terlibat dengan persembahan di pentas sama ada lelaki dan perempuan (kanak-kanak dan dewasa) mestilah berpakaian sopan atau tidak menjolok mata.

“Pokok utama garis panduan itu memastikan bahawa semua persembahan di Kedah adalah terkawal tak kiralah pada orang bukan Islam ataupun Islam untuk menghormati budaya dan adat setempat.

“Jadi kita dah beritahu mereka boleh terus persembahan, sama ada lelaki dan perempuan tetapi pastikan pakaian mereka itu tidak menjolok mata, itu saja, tak lebih dari tu,” jelas beliau bagi merungkai segala kekeliruan pelbagi pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penanaman Pokok Peringkat Daerah Yan yang diadakan di Kampung Permatang Buluh, Yan.

Tambah beliau, pihak penganjur program tersebut boleh berjumpa Exco berkenaan bagi membincangkan masalah tersebut, bukannya mengadu kepada MCA yang hanya mahu jadikannya ‘isu’.

“Dulu dah ada yang buat dan bincang dengan Exco, ada yang bersetuju, ada yang batalkan konsert bimbang gagal mengikut garis panduan.

“Tapi mengapa yang ini mengadu pada MCA yang tak ada modal, jadi dia nak cari isu yang boleh tunjuk dia adalah ‘hero’ pada orang Cina,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Abd Isa Ismail, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail.

Tiada ulasan: