Khamis, 17 Januari 2013

GARIS PANDUAN ALLAH PUN DILANGGAR .....GITU2 AJE...MEREKA AKAN BERTANGGUNG JAWAB DIAKHIRAT...TAKUT PENGHINAAN DIDUNIA JUGA ALLAH PERLIHATKAN...SEDARLAH KITA MAKHLUK JANGAN LAWAN ALLAH

Kalimah Allah: Impian Umno perdaya umat Islam ranap

Harakahdaily, 16 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Umno BN telah mengalami kekecewaan demi kekecewaan menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) untuk memperdayakan umat Islam negara ini.

“Yang terbaru ialah berkenaan isu yang berkaitan kalimah Allah,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan keluarnya kenyataan Majlis Syura Ulamak PAS, ianya secara langsung meletakkan Umno BN dalam keadaan serba salah menjelang persiapan PRU13.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Umno BN telah mengalami kekecewaan demi kekecewaan menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) untuk memperdayakan umat Islam negara ini. Yang terbaru ialah berkenaan isu yang berkaitan kalimah Allah. Dengan keluarnya kenyataan Majlis Syura Ulamak PAS, ianya secara langsung meletakkan Umno BN dalam keadaan serba salah menjelang persiapan PRU13.

Maka terserlahlah kepada rakyat Malaysia bagaimana peranan Umno yang cuba memecahbelahkan umat Islam melalui tindakan terdesak memutar belitkan kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS walaupun mereka tahu sebenarnya tiada percanggahan yang wujud dalam kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Presiden dengan mana mana pimpinan PAS.

Kenyataan Presiden PAS adalah jelas tetapi ianya telah sengaja disalahertikan oleh Umno yang dimainkan oleh media media arus perdana untuk survival hari hari terakhir mereka. Dengan kenyataan terbaru Majlis Syura Ulamak PAS ini, ianya meranapkan sama sekali cita-cita Umno untuk megikis kepercayaan umat Islam negara ini terhadap PAS.

Dengan kenyataan Majlis Syura Ulamak PAS ini juga, ianya menunjukkan bahawa kepimpinan PAS tidak berbeza pandangan berkenaan Isu kalimah Allah ini,sebaliknya ianya saling melengkapi di antara satu sama lain. Huraian Tuan Guru Presiden PAS berkenaan penggunaan kalimah Allah di dalam Al-Quran telah secara sengaja difahami luar daripada konteksnya yang sebenar oleh Umno BN untuk memperdayakan Umat Islam negara ini. Namun rakyat Malaysia sudah pun cerdik menilai siapa Umno yang sebenarnya. Umno sekali lagi terpaksa 'gigit jari'.

Seluruh umat Islam di negara ini amat mengetahui tentang sumbangan PAS terhadap Islam dan amat arif tentang kegagalan Umno untuk memartabatkan Islam di negara ini.

Dewan Ulamak PAS amat yakin bahawa Allah pasti akan menolong hamba-hamba-Nya yang ikhlas memperjuangkan Islam dan akan menggagalkan perancangan sesiapa sahaja yang cuba memecahkan perpaduan di antara umat Islam khususnya di negara ini.

Berkenaan isu ‘Amanat’ Tuan Guru Presiden, Dewan Ulamak PAS mendesak supaya TV1 dan TV3 memberikan ruang kepada Tuan Guru Presiden untuk memberikan penjelasan sekurang-kurangnya satu jam kepada beliau. Sekiranya kerajaan enggan untuk berbuat demikian, kami yakin insya Allah umat Islam negara ini akan menghukum kerajaan Umno BN dalam PRU13 yang akan datang setelah Tuan Guru yang disayangi oleh seluruh umat Islam negara ini diperlakukan dan dizalimi sedemikian rupa.

Listen: Video dedah apa yang berlaku di universiti

Muhammad Faeez Azahar, 16 Jan 2013


Bawani menceritakan apa yang berlaku sewaktu beliau memberikan pandangan pada forum tersebut.

KAMPAR: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang mencetuskan fenomena listen berkata, penyebaran video tersebut menunjukkan kepada rakyat tentang usaha pihak tertentu untuk menarik sokongan mahasiswa di universiti dalam suasana PRU13 yang semakin hampir.

Menurutnya, program tersebut adalah salah satu agenda untuk brainwash mahasiswa supaya tidak memberi sokongan kepada pembangkang.

"Kini rakyat di seluruh Malaysia telah membuka mata dan mengetahui apa yang berlaku di dalam universiti," katanya kepada Harakahdaily yang bertemu beliau di kediamannya di Air Kuning, Kampar semalam.

Bawani menjelaskan, program yang diberi tajuk Forum Mahasiswa dan Politk itu membangkitkan pelbagai isu politik di negara ini khususnya melibatkan mahasiswa.

Program yang bermotif politik itu, katanya turut diisi dengan pelbagai video yang mengutuk pembangkang seperti Himpunan Bersih, isu kontroversi melibatkan Nurul Izzah dan Himpunan Hapus PTPTN.

Jelasnya, pelbagai isu telah diceritakan oleh panelis termasuklah mempertikai protes PTPTN oleh mahasiswa dan mengatakan tuntutan pendidikan percuma tidak masuk akal.

"Saya cuba bangun mencelah untuk memberikan pandangan tetapi tidak dilayan dan saya menunggu sesi soal jawab.

"Namun semasa sesi soal jawab saya tidak sempat kerana hanya dua soalan yang boleh ditanya dan saya mengambil keputusan ke pembesar suara dan memberikan pandangan berhubung apa yang dibangkitkan.

"Saya terus memberikan hujah-hujah terutama isu pendidikan percuma tetapi belum sempat menghabiskan ucapan, moderator yang juga Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin telah enggan memberi saya peluang untuk menghabiskan ucapan saya dengan mengatakan listen, listen, listen seperti yang dapat dilihat di video itu," jelasnya lagi.

Tegas beliau, ini adalah satu penindasan kepada mahasiswa yang berhak bersuara dan memberikan pandangan.

Bawani berkata, sepatutnya moderator memberi peluang kepadanya menghabiskan ucapan kerana ia berkaitan isu yang dibangkitkan.

Ketika ditanya apakah respons daripada rakan mahasiswa yang lain, beliau menjelaskan, pada mulanya semua memberikan respons negatif terhadap saya yang dilihat tidak respect kepada Sharifah Zobra.

Namun katanya, selepas menonton kembali video tersebut, rakan-rakan memberikan sokongan padu kepadanya dan melihat tindakan Sharifah seolah-olah menyekat suara mahasiswa.

Beliau yang diminta mengulas tentang video yang menjadi buah mulut masyarakat itu, Bawani sangat terkejut dengan sambutan tersebut dan menganggap ianya menggambarkan masyarakat prihatin dengan isu mahasiswa.

"Ketika ini saya mendapat panggilan tanpa henti daripada rakan-rakan terutama daripada UUM yang memberikan sokongan padu kepada saya," jelasnya.

Bawani secara peribadi berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan padu kepadanya dan berharap suara mahasiswa terus menjadi perhatian masyarakat.

Masalah tiada bekalan air juga berlaku di Sabah

Mohd Firdaus, 16 Jan 2013


BEAUFORT: Pemuda PAS Sabah mendesak pihak Umno Barisan Nasional agar lebih menumpukan perhatian mereka terhadap permasalahan di peringkat negeri yang dikuasainya daripada berterusan ‘menyerang’ dan ‘memperbodohkan’ rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata masalah kemudahan dan infrastruktur dilihat lebih bermasalah di Sabah berbanding negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, antara yang paling ketara ialah, masalah ketiadaan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menurutnya, masalah air turut sering berlaku di daerah Beaufort yang dikatakan daerah maju oleh sesetengah wakil rakyatnya.

“Ada wakil rakyat di Beaufort mendakwa banyak kemajuan sudah dibuat, tapi saya nak beritahu bahawa wakil rakyat ini cuba untuk membohongi rakyat setempat.

“Sudah bertahun-tahun penduduk kampung terseksa dengan bekalan air yang sering terputus ditambah elektrik yang ‘sekejap ada sekejap tiada’ seolah-olah ini kemajuan yang dibangga-banggakan pemimpin Umno,” jelasnya.

Lahirul mendakwa, pemasangan saluran paip ke Labuan melalui Beaufort turut menghampakan sebilangan besar penduduk setempat di daerah itu yang lebih memerlukan bekalan air untuk kegiatan harian.

“Saluran pemasangan paip air dipasang melalui Beaufort ke Labuan, tetapi apa yang penduduk sekitar dapat.

“Masalah air di sini masih keadaan kritikal, sedangkan air merupakan sumber utama kegiatan rakyat... nak mandi, nak berniaga... apa semua orang Beaufort ni tak perlukan air ke,” dakwa Lahirul yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort.

Beliau turut kecewa dengan pentadbiran negeri ini yang langsung tidak mempedulikan nasib rakyat, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

“Inilah satu kezaliman yang dibuat oleh Umno. Saban hari mereka memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat... TV1, TV2, TV3... saling bersilih ganti memutarbelitkan isu.

“Tapi masalah rakyat yang ada di negeri mereka sendiri, mereka tidak nampak,” ujar Lahirul.

Azrul: PAS desak Bank Islam tarik balik

Anis Nazri, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS mendesak pihak Bank Islam supaya menarik semula penggantungan Ketua Ekonomi bank itu, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Pengerusi Lajnah Buruh PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata penggantungan tersebut tidak perlu, lebih-lebih lagi ia tidak membabitkan penyalahgunaan wang.

"Siasatan dalaman boleh dilakukan terhadap beliau, tetapi tindakan menggantung tugas itu tidak perlu. Isunya perbezaan pendapat, bukan ada penyelewengan atau pecah amanah," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan pihak bank akur dengan 'telunjuk orang politik' berkata tindakan menggantung Azrul itu satu tindakan tidak adil, sekaligus mengkhianati hak pekerja.

Mempersoalkan insiden tersebut berlaku ketika negara dikatakan cuba melakukan transformasi, Anuar mendesak mana-mana kesatuan sekerja tidak hanya berdiam diri dalam menangani isu ini.

"Kesatuan sekerja, atau badan hak asasi tidak boleh berdiam diri dalam hal ini. Begitu juga dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana isu ini membabitkan hak-hak bersuara, hak bekerja," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata PAS akan terus memperjuangkan nasib Azrul sekiranya berlaku sebarang kemungkinan hasil siasatan dalaman tersebut.

Kerana meramalkan BN akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, telah digantung kerja.

Ekoran itu, pelbagai pihak menyifatkan tindakan itu sebagai zalim, "kerana betindak ke atas mereka yang berkata benar".

Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah dalam PRU13 nanti.

Beliau berkata, BN akan kalah tipis dalam pilihan raya yang dijangka sengit itu.

Azrul berkata, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.

Apabila teringat Mahathir, teringat pula kelindan lori

Aspan Alias, 15 Jan 2013


UMNO begitu gusar dengan apa yang berlaku di Stadium Merdeka pada Sabtu lepas. HKR112 sangat berjaya dan kejayaan perhimpunan itu bukannya kejayaan menghimpunkan seramai ratusan ribu umat semata-mata, tetapi kejayaan rakyat yang mahukan perubahan menunjukkan manifestasi mereka hendak mengalih dan menganjak kepimpinan negara dengan pimpinan dari parti pilihan mereka. Kalau kita ikut hukum akal UMNO telah pun merudum jika pilihanraya ke-13 di adakan setahun sebelum HKR112 itu atau bila-bila selepas perhimpunan bersejarah itu.

Tetapi ada seorang bekas pemimpin kita yang lebih gusar dari pucuk pimpinan yang rakyat hendak ambil alih ini. Nama pemimpin itu ialah Dr Mahathir Mohammad dan beliau secara deras telah memberikan reaksi beliau tentang HKR112 itu. Beliau menyamakan himpunan itu sebagai bukti yang parti-parti pembangkang sedang membina gerakan untuk menumbangkan kerajaan BN seperti yang berlaku dalam siri Arab Spring di negara-negara Timur Tengah.

Komen Dr Mahathir itu tidak melambangkan beliau sebagai seorang pemimpin yang berpuas hati setelah begitu lama menjadi Perdana Menteri negara ini. Walaupun masyarakat dunia telah menganggap beliau sebagai bekas pemimpin yang kedua terkaya di dunia ini, nampaknya masih ada yang merunsingkan bekas PM yang ‘famous’ ini..  Semua tindakan dan pemikiran beliau amat mudah dibaca oleh sesiapa yang berkemampuan untuk berfikir. Rakyat sudah mahir membaca Dr Mahathir dan rakyat faham apa yang mencelarukan pemikiran beliau.

Kata perpatah, rakyat ‘sudah dapat menyelam air dalam tunggak’. Apa yang terselindung dalam hati dan benak beliau itu difahami oleh rakyat yang ramai dengan mudah. Otak beliau nampaknya belum bersara lagi walaupun tubuh dan fizik beliau sudah bersara. Pemikiran beliau lebih kencang berfikir dari semasa beliau dalam jawatan lagi. Sesungguhnya Mahathir sememangnya sudah terlalu susah untuk bersara seperti PM-PM lain yang telah tamat perkhidmatannya.

Tetapi itu semua bukannya dilakukan oleh pembangkang yang bakal mengambilalih pimpinan kerajaan ini, tetapi itu adalah hasil dari tingkah laku politik beliau sendiri. Bukan tidak pernah rakyat khususnya ahli-ahli UMNO sendiri pernah berusaha untuk menyelamatkan beliau menghadapi apa yang beliau sedang hadapi sekarang. Partinya sendiri pernah cuba untuk merehatkan beliau untuk mengelakkan beliau terus-terusan untuk merosakkan diri beliau sendiri dengan cara memberhentikan beliau.

Beliau tidak mahu akur dengan kehendak sebilangan besar ahli-ahli partinya sendiri dan sebaliknya beliau telah membunuh partinya itu semata-mata untuk beliau melakukan kerosakan bukan sahaja kepada negara tetapi terbukti beliau merosakkan pemikiran dan kehidupan beliau sendiri.

Kekalahan UMNO itu merupakan igauan beliau kerana beliau telalu takut dengan perbuatan beliau sendiri. Menganggapkan himpunan Sabtu lepas sama seperti Arab Spring yang telah menjatuhkan banyak Ketua Kerajaan di Timur Tengah adalah tidak bermoral. Rakyat keluar untuk ke Stadium bagi menunjukkan sikap mahu berubah dengan pihak kerajaan membetulkan sistem pilihanraya kita yang terlalu ‘out moded’ yang berat sebelah itu. Kita hendak merubah melalui pilihanraya dan kita hendakkan pilihanraya terlaksana dengan telus dan adil.

Perarakan ke Stadium Merdeka itu adalah untuk berkumpul dan tidak boleh menganggap perjalanan ramai-ramai ke stadium itu sebagai demonstrasi jalanan. Kita telah berarak dengan aman kerana tiada provokasi dari pihak FRU seperti yang berlaku semasa perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Dr Mahathir terlalu banyak agenda. Selain dari agenda mempertahankan UMNO untuk mempertahankan diri beliau, beliau juga mempunyai agenda tersendiri di dalam UMNO itu sendiri. Beliau sedang bertindak untuk menjatuhkan seorang pimpinan UMNO dan diambil alih pimpinan itu oleh seorang yang lain. Mahathir telah sentiasa bermain politik ‘intra-parti’ sejak dari dulu sampailah sekarang.

Tetapi sekarang Mahathir berhadapan dengan masalah kerana permainan politik intra-parti beliau tidak pasti menjadi kerana UMNO itu sendiri dijangka akan gugur dalam pilihanraya itu nanti. Justeru kekuatan PR yang bertambah-tambah itu sangat menggusarkan Mahathir kerana keadaan itu merupakan ‘spoiler’ kepada rancangan beliau untuk menaik dan menurunkan pimpinan UMNO sebelum pilihanraya kali ini.

Beliau ini tidak ubah seperti seorang kelindan lori yang menaikkan dan menurunkan barangan dari lori yang beliau naiki itu. Itulah kerja beliau selama ini. Justeru adalah penting bagi rakyat melakukan sesuatu yang baru dalam politik negara khususnya dalam pilihanraya nanti .- http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Selebriti berang dengan garis panduan k'jaan Kedah

Pelakon dan personaliti radio, Patrick Teoh, mencetus rasa kurang senang pengguna laman sosial semalam apabila beliau mengeluarkan kritikan keras ke atas garis panduan pentadbiran PAS Kedah berhubung persembahan sempena Tahun Baru Cina.
Hinggakan, Teoh terpaksa meminta maaf dan membuang tulisan berkenaan selepas mendengar nasihat dan pandangan atas kritikan kerasnya itu.
instant cafe theater 101104 patrick teoh in actionGaris panduan itu antara lainnya menetapkan artis yang membuat persembahan agar berpakaian sopan, tidak menjolok mata, dan digalakkan menyanyikan lagu berunsur ketuhanan dan nasihat.

Teoh yang tidak puas hati dengan garis panduan tersebut berkata: "Menyanyikan lagu-lagu motivasi!!! Motivasi jenis apa yang mereka mahukan? Abaikan identiti dan jadi pak turut? Sembahyang lima kali sehari? Selubung seluruh badan perempuan? Apa ni???"
Tulisan itu turut disulami dengan kata-kata kesat dan lucah yang tidak dapat disiarkan semula di sini
Beliau kemudiannya memadamkan tulisan berkenaan apabila ia mengundang gelombang kemarahan pengguna laman Facebook dan juga Twitter.

Tidak ketinggalan, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyampaikan rasa kurang senang menerusi Twitter berhubung kritikan Teoh.

"Patrick Teoh sewajarnya boleh mengkritik kerajaan PAS Kedah tanpa komen keras terhadap orang Islam. Tolong jangan jadi seperti beliau," kata Khairy.

NONEMenyedari kemarahan dan rasa kurang senang orang ramai terhadapnya, Teoh turut membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Facebook dan Twitter-nya.

"(Tulisan asal) saya tidak menggambarkan perkara yang saya ingin sampaikan dan ia terzahir seperti kenyataan seorang yang mementingkan diri dan taksub.

"Untuk itu, saya mohon maaf kepada semua umat Islam. Saya minta maaf," kata Teoh dalam laman Facebooknya.

"Atas nasihat yang diterima, saya dengan ini membuang (tulisan) itu dengan serta merta. Ia dilakukan kerana saya tidak mahu melukakan hati rakan-rakan warganegara Malaysia yang lain yang saya hormati, dan bukan kerana saya menapis diri saya sendiri," kata Teoh di Facebook.
Nik Nazmi dihalang berceramah

Pergelutan yang tercetus antara penyokong PKR dan BN di Johor Baru malam tadi, menghalang pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad daripada mengadakan ceramah.

NONENik Nazmi (kanan) berkata kira-kira 70 belia memakai baju-T BN dan
Umno kemeja-T serta membawa bendera BN dua kali menghalangnya memasuki tempat ceramah di Taman Sri Stulang pada kira-kira jam 8 malam.

Pada percubaan pertama, katanya, beliau telah didatangi sekumpulan kira-kira 20 penduduk dan mereka yang memakai baju-T Umno dan terpaksa beredar apabila keadaan menjadi tegang.

"Polis memberitahu mereka bahawa mereka tidak ada hak untuk menghentikan ceramah kami, tetapi mereka memanggil lebih ramai rakan-rakan mereka ldan keadaan menjadi tegang," kata Nik Nazmi, yang juga ADUN Seri Setia, kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Pada percubaan keduanya melalui pintu masuk lain, katanya, beliau dihalang sekali lagi dan kali ini beliau dan kenderaannya ditendang, sehingga polis datang untuk meleraikan pergelutan tersebut.

NONEKenderaan tersebut kemik tetapi katanya, tiada seorang pun,
termasuk dirinya mengalami sebarang kecederaan.

Beliau membuat laporan di balai polis Majidee pada jam 10 malam sebelum meminta polis mengiringi mereka untuk mengambil barangan yang ditinggalkan di tempat kejadian, seperti khemah dan sebuah kereta pemimpin PKR tempatan.

Katanya, kumpulan tersebut masih cuba untuk mengepung mereka tetapi dengan kehadiran pihak, mereka dapat meninggalkan tempat itu bersama barangan mereka sekitar jam 11 malam.

Nik Nazmi juga turut memuji pihak polis sebagai profesional.
4 NGO buat laporan polis terhadap LGE, Hadi, Anwar

Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap tiga pemimpin Pakatan Rakyat berhubung cadangan menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
  
azlanLaporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar itu dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
Empat pertubuhan berkenaan adalah Pertubuhan Silat Garuda Malaysia (PSGM), PSGM Kedah serta Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kota Setar dan Kedah.
  
Yang Dipertua PSGM Kedah, Mansor Ahmad yang mewakili NGO terbabit berkata laporan itu menuntut pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap ketiga-tiga mereka bagi memastikan perkara itu tidak berulang.
  
Mereka juga mahu mendengar pendirian Lim selepas PAS menarik balik sokongan mereka terhadap saranan Lim dan keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang.

- Bernama
Pemuda MCA, Gerakan turut kecam penalis
5:20PM Jan 16 2013
Biro pendidikan Pemuda MCA dan Gerakan turut tampil mengecam layanan penalis Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin terhadap pelajar undang-undang, KS Bawani dalam sebuah forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8  Disember lalu.
Ketua biro pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata ia tidak sepatutnya berlaku dan mengingatkan penalis tersebut bahawa pelajar universiti hari ini tidak lagi seperti "Katak di bawah Tempurung".

NONESebaliknya, tegas Chong, pelajar universiti mampu untuk berfikir
secara kritis mengenai isu-isu semasa dan adalah hak mereka untuk mempunyai pandangan dan pendirian mereka sendiri.

Dalam satu kenyataan, Chong berkata, Bawani menunjukkan keberanian dan tidak mencelah ketika berdepan dengan apa yang didakwanya sebagai pelakuan dan sikap meninggi diri Sharifah.

Sementara itu, ketua biro pendidikan Gerakan, Thor Teong Gee menggesa universiti awam supaya menyaring secara terperinci penalis yang akan dipanggil bercakap di forum dan persidangan anjuran mereka.

Jika tiada calon yang sesuai, kata Thor, maka jangan adakan langsung forum
Guru saman JAIS, MAIS atas fitnah 'ajaran sesat'

Seorang guru memfailkan saman ke atas pihak berkuasa agama Islam Selangor atas dakwaan fitnah kerana mendakwa beliau seorang pengikut ajaran sesat.

Guru tersebut Shahriah Omar berkata beliau memfailkan saman berkenaan hari ini ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Agama Daerah Sepang yang enggan memenuhi tuntutannya agar meminta maaf berhubung tuduhan berkenaan.

NONEMenurut Shahriah, beliau tidak pernah dipanggil atau disiasat oleh JAIS berhubung tuduhan berkenaan – yang dinyatakan melalui satu surat pada Mei 2011.

"Saya sangat terkejut dan kecewa dengan perkara ini. Implikasi yang saya dapat daripada tuduhan melulu ini bukan sahaja menyebabkan hidup saya musnah malah pelajar, rakan sekerja, jiran dan semua orang menjauhkan diri mereka," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

"Surat Pengesahan Siasatan Kes Ajaran Sesat" bertarikh 16 Mei 2011 itu diterimanya bersama "Laporan  Mengenai Aduan Ajaran Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam" daripada JAIS.
JAIS kemudiannya menghantar satu lagi surat bertarikh 11 Julai 2011 yang meminta maaf daripadanya dan menyatakan bahawa tuduhan itu adalah satu kesilapan.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, beliau menuntut JAIS meminta maaf dan membayar gantirugi kepadanya melalui satu surat bertarikh 5 November 2011 dan satu lagi susulan bertarikh 13 Disember 2011 apabila tuntutan itu tidak dilayan.
NONEKatanya beliau menuntut demikian memandangkan tuduhan berkenaan menyebabkan anggota keluarganya menanggung malu.
"Perkara  ini juga menyebabkan keluarga saya, anak-anak terkejut dan berasa malu. Saya tanpa disiasat, dibicarakan terus mendapat surat yang menuduh saya mengikut ajaran sesat," katanya.
Writ samannya hari ini menyatakan tuntutan gantirugi sebanyak RM100,000 sebagai gantirugi teruk dan gantirugi teladan atas tuduhan berkenaan.

"Saya berharap dan berdoa agar agama saya tidak lagi dijadikan sebagai bahan jenaka oleh sesiapa. Keadilan perlu ditegakkan. Tiada siapa yang boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu sebagai sesat terutamanya kepada wanita, ibu dan isteri," katanya lagi.

Bank Islam pula percaya Azrul 'langgar polisi bank'
8:46PM Jan 16 2013
Bank Islam hari ini menegaskan institusi kewangan itu mempunyai asas untuk percaya bahawa pakar ekonominya Azrul Azwar Ahmad Tajudin melanggar polisi dalaman bank.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Bank Islam lewat petang ini juga menyebut, tindakan berkenaan "tidak ada kaitan dengan tindakan menyuarakan pandangan politik peribadinya".

"Bank Islam Malaysia Bhd ingin menegaskan bahawa ketua ekonomisnya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin digantung daripada tugas kerana kami memiliki asas munasabah untuk percaya bahawa beliau melanggar polisi dalaman bank.

"Bentuk pelanggaran itu akan dikenalpasti apabila selesai siasatan kami," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung penggantungan tugas Azrul susulan pembentangan pakar ekonomi itu di Singapura pada 10 Januari lalu berhubung senario pilihan raya umum di negara ini.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan tempoh siasatan yang akan dijalankan pihak bank ke atas Azrul.

Azrul yang mengesahkan menerima surat penggantungannya kelmarin, juga tidak menyatakan tempoh pergantungan tugas berkenaan.

Pakar ekonomi itu mendakwa ketuanya menerima tekanan daripada "pemimpin atasan BN" sehingga bertindak demikian ke atasnya.

Tindakan penggantungan Azrul mendapat perhatian naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga  percaya kerajaan BN memberi tekanan politik ke atas Bank Islam untuk menggantung tugas Azrul.
SPR ulangi jaminan tak sekat pemerhati bebas

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan tidak akan menyekat kebebasan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati untuk menjalankan tugas mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata langkah SPR melantik pemerhati bebas bertujuan memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan memuaskan hati semua pihak.

"Ini ruang yang sangat baik untuk rakyat Malaysia memantau proses pilihan raya dan sepatutnya juga beri kepuasan kepada parti-parti politik. Lantikan NGO ini sebagai pemerhati merupakan satu lonjakan transformasi politik negara.

"Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya kita dipantau NGO bebas yang boleh tulis apa sahaja dan laporkan kepada SPR," katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.

Turut bersama Wan Ahmad ialah penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar dan dipengerusikan Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd Datuk Ahmad Talib.

Wan Ahmad berkata proses lantikan empat NGO yang dikenal pasti sebagai pemerhati iaitu Merdeka Centre, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan dilakukan bulan ini juga.

Sementara itu, Chandra berkata sebarang rasa tidak puas hati berhubung proses pilihan raya oleh mana-mana pihak boleh disuarakan mengikut saluran yang betul berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukannya dibawa ke jalan raya.

"Jika kita protes tentang sesuatu ketidakadilan dan berhimpun secara aman, itu tidak salah.

"Tapi jika lepas pilihan raya kita tak setuju dan buat protes ikut cara lain dengan matlamat untuk gulingkan kerajaan yang dipilih, itu bertentangan sama sekali dengan amalan demokrasi," katanya.

- Bernama
NGO mahu Guan Eng tarik balik gesaan isu kalimah Allah

Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali semalam mengemukakan tiga syarat sebelum isu penggunaan kalimah Allah boleh dimatikan.

Antara syarat ditetapkan Hasan ialah mereka yang mengusulkan agar kalimah Allah diizin pakai dalam Bible versi bahasa Melayu mesti bersedia mematuhi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen-enakmen Negeri yang telah dikeluarkan berhubung isu itu.

Beliau turut menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang menimbulkan semula isu tersebut supaya menarik balik gesaan beliau dan memohon maaf secara terbuka.

"Ternyata gesaan beliau itu telah menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara kita," kata Hasan dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Syarat ketiga menurut Hasan adalah semua pihak perlu menghormati keputusan Majlis Syura Ulama PAS dan Fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini di peringkat Persekutuan dan Negeri mengenai penggunaan kalimah Allah.

"Saya menganggap selagi ketiga-tiga perkara di atas tidak dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran selagi itulah isu ini dan lain-lain isu yang berkaitan dengan agama khususnya Islam akan dijadikan modal politik yang akan terus dipolemikkan," tegasnya.

Dalam pada itu, Hasan turut menempelak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sehingga kini belum mengeluarkan kenyataan rasmi atau respons berhubung keputusan dibuat Majlis Syura PAS.

"Sekiranya pemimpin-pemimpin DAP dan PKR tersebut mendiamkan diri maka tidak salah bagi rakyat membuat anggapan bahawa sikap sedemikianlah yang akan terus diambil oleh mereka dalam hal-hal seperti ini sekiranya mereka berjaya ke Putrajaya seperti yang diigau-igaukan itu," katanya.

Sementara itu Kongres India Muslim mahu perbuatan mencampuri urusan agama Islam oleh  pihak lain sehingga mencetuskan kontroversi dan menyentuh sensitiviti kaum dihentikan segera.

Presidennya Datuk Syed Ibrahim Kader berkata isu itu sekiranya terus digembar-gemburkan akan mengeruhkan hubungan dengan kaum lain dan menggugat keamanan masyarakat setempat.

- Bernama
Nik Aziz anggap isu kalimah Allah selesai

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menganggap isu kalimah Allah selesai selepas Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan kalimah itu tidak lagi boleh digunakan bukan Islam.
  
Beliau berkata semua anggota parti perlu akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang dianggotai orang alim, peringkat doktor dan universiti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan kepada 599 penghulu mukim, 131 penghulu tanpa mukim dan 59 wakil kaum di Kota Bharu semalam.

Isu kalimah Allah timbul apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak kerajaan membenarkan kalimah itu digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.
  
Pakatan pembangkang yang disertai PAS, DAP dan PKR kemudiannya membuat ketetapan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi dengan syarat tidak disalahgunakan.

Ahad lepas, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.
  
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom  dilaporkan berkata semua pihak diingat untuk mematuhi peraturan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penggunaan kalimah itu.

- Bernama
Remove |
Remove |
Remove |

Tiada ulasan: