Rabu, 23 Januari 2013

KEBURUKAN2 INN SAA ALLAH AKAN TERBUKA LAGI BANYAK DALAM PRU13 ...SAMA2 KITA TUNGGU

Debat: PR Perak masih tunggu respons Zambry

Muhammad Faeez Azahar, 21 Jan 2013
IPOH: Pakatan Rakyat Perak masih menunggu respons daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tentang jemputan debat yang dianjurkan.


Jurucakap Jawatankuasa Teknikal Debat Darul Ridzuan, Safarizal Saleh berkata, sehingga hari Pengerusi BN negeri itu belum memberi maklum balas rasmi.

Menurutnya, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada Zambry di Pejabat Umno Perak minggu lalu.

Safarizal menjelaskan, pihaknya kesal apabila Zambry hanya membuat kenyataan keengganan berdebat di Utusan Malaysia hari ini.

“Zambry tidak professional kerana hanya memberi respons di akhbar Utusan, sepatutnya membalas surat rasmi yang telah dihantar kepada beliau,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Penerangan PAS Perak menjelaskan, pihaknya masih mengalu-alukan kesanggupan Zambry hadir ke program tersebut walaupun sudah membuat kenyataan ketidakhadirannya di akhbar Utusan.

Jelasnya, Zambry sebagai menteri besar sepatutnya bersifat terbuka dan menyahut pelawaan itu kerana ia memberi peluang kedua-dua belah pihak untuk menjelaskan segala isu-isu yang dibangkitkan khususnya di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak baru-baru ini.

Katanya, debat secara sihat ini akan menjernihkan segala persoalan yang belum dijawab termasuklah pemberian projek perhotelan Rumah Perak di Batu Feringgi dan pemberian kawasan balak kepada 6 syarikat milik seorang individu berumur 28 tahun.

Debat ini juga katanya akan menjawab segala dakwaan yang dilontarkan Adun Umno di sidang Dun yang mengatakan Kerajaan Kelantan memberi tanah kepada Adun DAP Perak untuk melantik Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjadi menteri besar.

“Zambry sepatutnya berani bersemuka menjawab segala tuduhan ini dan saya pasti rakyat di negeri ini sangat berharap kehadiran beliau bagi menjawab segala persoalan,” tegasnya.

Safarizal berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham telah menyatakaan kesediaan untuk berdebat.

Anwar pertimbang ambil tindakan ke atas Hasan Ali

KeadilanDaily, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim pertimbang mengambil tindakan lanjut terhadap Presiden Jati, Datuk Dr Hassan Ali ekoran kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum PKR itu dalam Utusan Melayu.
“Kita akan fikir apa tindakan wajar perlu diambil terhadap Hassan Ali. Saya akan bincang dengan peguam,” kata Anwar ketika ditemui selepas penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau mengulas kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarang, Datuk Abdul Aziz Ishak pagi tadi.

“Alhamdulilah, saya bersyukur atas keputusan itu yang membuktikan ada fitnah jahat terus menerus oleh Utusan.

“Yang penting, keterangan terperinci oleh hakim yang mempertahankan kebebasan badan kehakiman. Dia (hakim) tahu kes ini melibatkan Umno. Dia juga tahu wakil Presiden Umno duduk dalam pengurusan Utusan,” jelas Anwar.

Anwar menyokong ketegasan Hakim Datuk VT Singham yang mempertahan kebebasan media tetapi perlu mengikut etika kewartawanan dan profesionalisme.

“Kebebasan media itu perlu tetapi bukan kebebasan menyebarkan fitnah. Dalam kes ini Utusan berulang kali dan paling tidak bertanggunjawab memfitnah saya kononnya saya menyokong homoseksualiti, mengikut pandangan Hassan Ali yang bertopengkan agama tapi bila ditanya tidak ada asas,” tegasnya.

“Sekali lagi saya bersyukur, berlaku satu lagi episod penegasan bahawa media Umno di bawah pengurusan Datuk Seri Najib Razak terus meningkat fitnah menjelang pilihan raya,” kata Anwar lagi.

Dalam laporan muka depan bertajuk “Tolak Anwar – Hasan” mengatakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu membidas Anwar kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini.

Lagi sekali Utusan kecundang di mahkamah

Aspan Alias, 21 Jan 2013
Datuk VT Singham, Hakim Mahkamah Tinggi hari ini memberikan kemenangan kepada saman DS Anwar terhadap Utusan Malaysia dan ini adalah kekalahan yang terbaru terhadap saman-saman yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Kes terbaru ini merupakan satu kes yang saya berminat untuk menulisnya sedikit sebanyak walaupun saya bukannya mahir dan faham tentang undang-undang secara mendalam.
Saya juga tidak mahu menyentuh tentang isu yang dihakimkan oleh mahkamah itu kerana semua orang tahu apakah isu yang berbangkit yang menyebabkan Anwar membawanya ke mahkamah untuk diadili. Tentulah jika ia membabitkan Utusan ia tidak lain selain dari tindakan Utusan yang membuat laporan dan tulisan yang tidak benar kerana membantu UMNO yang sedang dalam kegeringan sekarang ini.

Isu yang dibawa ke mahkamah oleh Anwar ialah isu penulisan Utusan Malaysia yang cuba mengelirukan rakyat untuk mempercayai Anwar adalah pejuang kepada LBGT. Perkara yang dibangkitkan oleh Utusan itu sememangnya diketahui umum sebagai satu fitnah yang berniat jahat terhadap Ketua Pembangkang itu.

Apa yang menarik bagi saya ialah tentang komen Hakim VT Singham itu semasa pembacaan penghakiman beliau tentang isu Anwar VS Utusan ini. Yang Ariff VT Singham telah berkata semasa memulakan penghakiman beliau, “Judges aren’t party to the state…Judges are beholden to no man…” dan seterusnya beliau memberikan penghakimannya sampai selesai.

Dalam penghakimannya VT Singham telah mengarahkan Utusan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM45 ribu kepada DS Anwar dan ini merupakan kemenangan moral kepada pejuang-pejuang yang mahukan media massa memainkan serta melaksanakan profesyen mereka secara adil dan saksama serta beretika yang tinggi.

Kata-kata Hakim itu yang saya sebut di atas itulah yang saya hendak saya olah sedikit dalam posting ini. Apa yang dimaksudkan oleh VT Singham ialah Badan Kehakiman perlu bebas untuk keadilan yang sebenarnya. Badan Kehakiman merupakan badan yang sepatutnya bebas dari campur tangan Badan Legislatif mahu pun Badan Eksekutif negara.

Pengasingan kuasa ini sudah lama terkubur. Ia tercemar dan terkubur oleh Dr Mahathir Mohammad semasa beliau mengetuai Badan Eksekutif sehinggakan beliau bertindak ganas terhadap hakim-hakim Mahkamah Agung pada tahun 1998 dahulu.

Mahathir telah meruntuhkan sistem kehakiman kerana kepentingan beliau sendiri dan kata-kata VT Singham yang mengatakan secara terang yang ‘Judges are beholden to no man’ itu merupakan kata-kata yang sangat sedap hati orang seperti saya mendengarnya. Bagi Dr Mahathir tidak ada sistem yang baik kecuali sistem yang boleh diperkudakannya dan mempertahankan kepentingan peribadi beliau semata-mata. “Mahathir cares for no one. He is self serving, and appreciates no one but his own selfish self”. Itulah kata-kata yang selalu saya dengar semasa orang ramai berjuang untuk membetulkan isu kehakiman ini dahulu.

Hakim VT Singham juga mengingatkan supaya media massa tidak diperguna oleh pihak yang berkepentingan politik dan melaksanakan profesyen mereka secara benar dan jujur dan beretika.

Jika benih ini boleh disuburkan maka Badan Kehakiman akan dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya dan ia akan lebih mudah untuk dicapai selepas perubahan yang bakal berlaku dalam pilihanraya yang akan datang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Muhyidin dapat 'doktor', USSA dapat projek

Harakahdaily, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Trend untuk menerima anugerah doktor kehormat nampaknya menjadi satu amalan menjelang pilihan raya kali ini.

Selepas Perdana Menteri menerimanya, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin pula menerimanya.

Namun, ijazah kehormat yang diterima Muhyidin menjadi isu sekarang apabila pihak yang menerimanya mendapat kontrak besar dari penerima ijazah ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan kenapa kontrak yang diberikan kepada The United States Sports Academy (USSA) tidak melalui tender terbuka.

Beliau perlu menjelaskan perkara ini selepas  timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin menerima ijazah doktor kehormat dari kolej itu selepas menerima kontrak bernilai RM22.9 juta.

Penganugerahan doktor falsafah kohormat (PhD) kepada Menteri Pelajaran kini menjadi bualan ramai.

Ini kerana, sebelum ini kolej yang tidak ternama dan hanya mempunyai 600 pelajar luar (distance -learning) itu baru saja mendapat kontrak untuk melatih 1,000 pelajar dari Malaysia.

Pembelaan cepat yang dibuat oleh Presiden Akademiknya, Dr Thomas P Rosandich bahawa ia dibuat kerana "pencapaian seumur hidup Muhyidin kepada sukan dan layak untuk menerimanya" juga dipertikaikan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar) dalam kenyataannya berkata, Muhyidin menerima doktor kehormat itu ketika negara jatuh teruk dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011.

Malaysia telah jatuh teruk dalam pencapaian metematik dan sains antara tahun 1999 dan 2011.

Isu yang lebih besar adalah kenapa Muhyidin telah diberikan ijazah itu ketika satu kontrak besar diberikan kepada kolej tidak ternama yang terletak di Daphne Alabama itu.

Muhyidin telah menganugerahkan kontrak untuk melatih semula 1,000 guru-guru sukan di USSA melalui “International Diploma in Physical Education and Scholastic Sports (IDPESS)” dengan nilai RM22.9 juta.

Menurut Tony, USSA mengaku, IDPESS adalah satu promram baru yang direkabentuk khas atas permintaan Muhyidin.

Tony meminta Muhyidin menjelaskan kenapa kos melatih guru sukan di USSA itu empat kali ganda berbanding Diploma in Pengajian Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kos kontrak yang dianugerahkan kepada Syarikat KH Sport Sdn Bhd ini adalah RM22.9 juta.

Sedangkan kos untuk melatih guru sukan di UITM hanya RM5,709 seorang untuk enam semester.

Projek IC: Pengakuan Tun serius, AG perlu tindak

Muhammad Faizal, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak Peguam Negara (AG) berhubung pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan sepatutnya AG mengambil tindakan segera atas pengakuan tersebut termasuk menyiasat sama ada ianya dibuat mengikut undang-undang atau sebaliknya.

"Walaupun pengakuan telah dilakukan tetapi sehingga sekarang kita tidak melihat ada sebarang tindakan diambil oleh pihak Peguam Negara terhadap Maharhir.

"Adakah kerana negara ini di perintah oleh Barisan Nasional (BN) sehinggakan tiada tindakan boleh diambil," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah juga turut memberitahu segala apa yang telah didedahkan oleh Pakatan Rakyat selama ini berhubung dengan pengundi yang meragukan atau pengundi hantu adalah berkemungkinan benar.

Katanya, pengakuan Mahathir itu juga mengesahkan apa didedahkan selama ini, bahawa wujud usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberi kad pengenalan untuk tujuan undi adalah benar.

"Saya tidak menolak kemungkinan di Selangor juga turut ada misi yang sama, untuk mereka menawan balik negeri ini pada PRU13 nanti," sambung beliau.

Selain mengakui beliau memberi kerakyatan kepada warga asing pada zaman pemerintahannya, Mahathir juga mendakwa tindakan serupa oleh Tunku Abdul Rahman adalah 'lebih teruk'.

Mahathir juga mencadangkan agar satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat pemberian kerakyatan kepada pendatang asing ketika pentadbiran perdana menteri pertama itu.

Bagaimanapun, Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari mempersoalkan cadangan itu.

Katanya, parti BN dan Majlis Raja-Raja perlu meminta penjelasan Mahathir kerana cadangan tersebut  bermaksud bahawa golongan terbabit menerima kerakyatan itu dengan cara tidak sah.

"Lucu sekali, Mahathir, dalam cubaannya untuk menyelamatkan diri bagaimanapun menyusahkan Umno.

"Bila dia kata Tunku melakukan jenayah yang sama, dia sebenarnya menjejaskan konsep kontrak sosial yang antara lainnya termasuk penerimaan kedudukan istimewa orang Melayu untuk status kerakyatan orang Cina dan India.

“Umno, MCA dan MIC tidak harus berdiam diri. Mereka perlu nyatakan pendirian. Mahathir  secara tidak langsung menyatakan bahawa orang Cina dan India mendapat kerakyatan secara tidak bermoral dan tidak sah," katanya.

Dikerah sambut Najib, diupah sehelai baju T

Harakahdaily, 21 Jan 2013
KOTA BHARU: Rata-rata mereka yang hadir ke program Janji Ditepati bersama Perdana Menteri di Kelantan semalam didakwa kerana 'arahan pihak atasan'.

Difahamkan, bukan sahaja ahli Umno di setiap kawasan dikerah, malah kesemua agensi kerajaan termasuk imam-imam dan guru takmir juga dipaksa hadir ke program tersebut bagi menampakkan sokongan ramai rakyat Kelantan BN.

Arahan dan kerahan itu juga kononnya bagi 'tidak memalukan' Datuk Seri Najib yang turun berkempen buat kali kedua di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung itu.

Mereka yang diarah hadir itu dibekalkan dengan sehelai baju berwarna oren bertulis 'Janji Ditepati'.

Setiap mukim juga didakwa perlu menghantar sekurang-kurangnya 25 orang ke program tersebut dengan duit minyak RM30 disediakan bagi setiap kereta.

Namun ada juga dikalangan pemilik kereta yang mengangkut peserta itu mendakwa, mereka hanya diberi duit minyak sebanyak RM20 sahaja.

"Biasa la, orang atas dah 'makan' dulu. Kita ni ikut arahan je," kata salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Man.

Sebelum bertolak ke tempat program semalam, mereka juga didakwa perlu berkumpul untuk diambil kedatangan, dan bagi mereka yang gagal hadir didakwa akan berdepan 'tindakan'.

Semalam, media BN melaporkan sambutan rakyat di program Jelajah Janji Ditepati itu dihadiri lebih 50,000 orang.

Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil sahaja golongan muda yang hadir manakala selebihnya adalah golongan dewasa dan warga emas.

Wacana Detik Utopia, Catatan Hujung esok

Saidah Hairan, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Majlis wacana buku-buku Ahmad Lutfi  Othman, Detik Utopia dan Catatan Hujung akan diadakan di Perpustakaan Raja Uda, Seksyen 12, Shah Alam jam 9 pagi, esok.
Tiga panelis terdiri daripada AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; bekas editor bahasa Melayu Merdeka Review dan Kolumunis Harakah, Lim Hong Siang dan aktivis pelajar, Adam Adli.

Fokus wacana anjuran Perpadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu akan membincangkan isu-isu berkaitan dengan politik negara.

Wacana ini percuma semua pemerhati politik dan orang awam dijemput hadir bagi mendengar dan mengambil bahagian dalam wacana ini.

Mereka yang berminat boleh hubungi Kassim Muhamad di talian 012-4753516.

Sekatan Felda: Apabila undang-undang dicabul

Khairil Abdul Rahim, 21 Jan 2013



Harris (memakai kot) selepas selesai satu kes peneroka saman Felda.

Bagaikan satu trend baru, terdapat kecenderungan menyekat kebebasan bersuara dan beraktiviti yang dibenarkan demokrasi di tanah-tanah rancangan Felda mutakhir ini.

Baru-baru ini PAS Cawangan Jengka 12 telah mendapat notis daripada pengurus rancangan berkenaan melarang program ceramah yang telah ditetapkan. Sebelum ini. Akhbar memaparkan beberapa pertubuhan dalam Felda di Lipis menyerahkan resolusi bantahan bagi menghalang parti politik Pakatan Rakyat (PR) daripada masuk ke kawasan mereka.

Sebelum itu, 8 orang ketua-ketua peneroka Felda di Johor, telah menghantar memorandum kepada ketua polis daerah meminta larangan terhadap pergerakan parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR) di kawasan masing-masing.

Timbalan Pengurus Wilayah Felda Jengka tampil di akhbar, melarang parti-parti politik mengibarkan bendera di kawasan tersebut. Sebelum itu Kembara Oren Selamatkan Felda telah disekat secara ganas di pintu masuk Jengka 23 dan Jengka 11.

Di Negeri Sembilan pula, konvoi yang sama bukan saja diusir malah telah dicederakan.

Jadi apakah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang, di manakah letaknya undang-undang? Adakah kawasan Felda menyerupai estet zaman dahulu di mana pengurus mempunyai hak eksklusif tersendiri?

Bagi Pengerusi NGO Angkatan Pembela Hak Rakyat (Hak), Mohd Harris Abdullah, keadaan ini menggambarkan ada segelintir manusia yang menganggap undang-undang berada di tangannya.

Sedangkan, katanya, tindakan menghalang seperti itu sama sekali bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Dalam Fasal 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, undang-undang itu menyebutkan, ‘Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan’.

Kedua, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

“Jadi di mana ada undang-undang yang melarang warganegara ini memasuki kawasan Felda?,” soalnya kepada Harakahdaily ketika berkunjung ke pejabat guamannya di Raub baru-baru ini.

Harris berkata, beliau ada mendengar bahawa tindakan melarang aktiviti PR di Felda adalah bersandarkan kepada Seksyen 34 Akta Group Settlement Area (GSA) yang kononnya memperuntukkan kuasa pengurus rancangan.

Di bawah Seksyen 34. 2 (b) menyebutkan: “that upon such declaration being made, the area shall vest in the development authority” iaitu bahawa apabila perisytiharan dibuat, kawasan itu hendaklah terletak hak pada pihak berkuasa pembangunan.

“Barangkali inilah tafsiran yang dibuat kononnya terdapat kuasa pengurus rancangan. Cuba kita faham betul-betul perkataan ‘vested’ iaitu letak hak. Kalau kita faham letak hak ini, kita kena faham fungsi Felda. Tatkala dikenal pasti satu kawasan untuk dimajukan, maka agensi itu akan mohon kepada kerajaan negeri sebagai pemilik tanah.

“Seterusnya negeri akan letak hak kepada Felda atau pengurus rancangan untuk mengurus, untuk memilih peneroka, menjaga kebajikan peneroka dan sebagainya sedangkan tanah itu masih milik negeri.

“Bahkan kalau kita tengok konsep ini, peneroka mempunyai hak yang lebih berbanding Felda. Apabila peneroka membayar CAC (bayaran premium, upah ukur dan batu sempadan) maka dia sudah boleh kaviet tanah itu, sedangkan Felda tidak ada hak itu,” katanya.

Felda tiada kuasa, bukan pemilik tanah

Jadi apa-apa larangan yang dikeluarkan oleh Felda adalah salah di sisi undang-undang. Sebab Felda bukan pemilik tanah, dia agen pengurusan tanah. Siapa yang keluarkan dokumen hak milik? Bukan Felda tetapi kerajaan negeri, berdasarkan Perkara 20 Perjanjian Peneroka dengan Felda. Felda tidak ada kepentingan benificial dan tidak ada kepentingan legal.

Jelas Harris, kalaupun beliau silap mentafsir kuasa-kuasa pengurus di bawah Seksyen 34 Akta GSA itu, tindakan melarang rakyat Malaysia memasuki Felda itu tetap tidak sah dan terbatal berdasarkan Fasal 4 Perlembagaan.

Fasal 4 di bawah undang-undang utama Persekutuan menyebutkan dengan jelas: (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

“Perlembagaan Persekutuan digubal pada tahun 1957 sedangkan Akta GSA pada tahun 1960, jadi terbatal. Sebab itu saya tegaskan perbuatan melarang pihak bukan proUmno masuk itu tetap bertentangan dengan Fasal 9 bersandarkan Fasal 4 dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

“Jadi saya seru kepada pihak Felda atau Umno atau yang berkaitan dengannya, hentikanlah trend menyekat pembangkang masuk itu kerana ia sangat bahaya.

“Cuba kita bayangkan jika sekiranya Perdana Menteri Malaysia pergi ke negeri-negeri PR kemudian dihalang, bagaimana?. Jangan lupa kalau di Kedah, di Kelantan, di Pulau Pinang dan Selangor BN adalah pembangkang. Pendeknya, tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Jadi hormatilah undang-undang,” tegasnya.

Harris berhujah, tindakan menghalang PAS atau Kembara Oren itu lahir daripada kejahilan terhadap undang-undang negara. Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Fasal tersebut menjelaskan (a) Setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; (c) semua warganegara berhak untuk menubuhkan persatuan.

Parti politik itu ialah persatuan setelah diluluskan Pendaftaran Pertubuhan. Jadi apakah salahnya pemimpin PAS datang untuk bertemu dengan orang-orang PAS, untuk berdialog dengan orang-orang PAS. Begitu juga dengan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berhak untuk bertemu dengan ahli-ahli persatuan mereka.

Semua persatuan berhak temui ahlinya

“Janganlah jadikan undang-undang itu dijadikan sebagai bahan politik. Biarkanlah pengamal undang-undang yang bercakap tentang undang-undang. Jadi yang jelasnya perlembagaan membenarkan sesiapa saja bergerak ke mana-mana termasuk menemui ahli-ahlinya,” jelas Harris.

Bagaimana pula untuk mengatasi masalah pencabulan undang-undang secara nyata ini.

Harris mencadangkan supaya parti-parti pembangkang pergi ke mahkamah dan meminta satu perisytiharan daripada mahkamah tinggi bahawa semua halangan tidak sah kerana bertentangan dengan Fasal 9 Perlembagaan Persekutuan. Melalui perisytiharan itulah yang boleh digunakan untuk didakwa sesiapa yang menghalang kerana menghina ke mahkamah.

Beliau yakin mahkamah akan keluarkan perisytiharan itu kerana mahkamah tidak akan tergamak melacurkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai Rela yang dipergunakan untuk menyekat kemasukan PR ke tanah rancangan, Harris berkata ia amat bercanggah dengan tujuan asal penubuhan Rela. Rela itu sendiri merupakan ‘makhluk yang wujud kerana ciptaan akta’.

Rela sebagai penjaga ketenteraman tidak boleh bertindak di luar daripada undang-undang. Setiap warganegara Malaysia sama. Dalam Fasal 8 Pelembagaan Persekutuan dalam bab kesamarataan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

“Jadi tidak ada istilah orang BN mendapat layanan istimewa dan orang-orang PR dibiarkan teraniaya,” ujar Harris.

Mengenai arahan larangan memasang bendera di dalam Felda, ia juga satu diskriminasi dan salah guna kuasa. Bendera PAS PKR dibuang bendera BN dikekalkan.

“Kita kembali kepada Fasal 8, setiap orang sama di sisi undang-undang. Kenapa tak sama dalam kes ini? Semua itu penting kita tahu. Sebab ini sebenarnya hak kita untuk bergerak, untuk bersuara dan hak untuk hidup.

“Mungkin ada yang kata mereka halang kerana takut orang-orang PR atau Kembara Oren mahu kucar-kacirkan penduduk. Jenayah belum berlaku, tidak apa-apa yang. Andaian tidak boleh dipakai. Satu contoh, saya ialah Pengerusi Hak, takkan saya tak boleh masuk untuk jumpa ahli-ahli saya. Kalau saya ganggu, mungkin itu satu kesalahan. Itupun termasuk kesalahan-kesalahan kecil,” tegasnya.

Apa kesannya kalau perkara ini tidak dibendung, undang-undang itu tidak dipertegaskan. Apa kesannya kepada masyarakat akan datang?

Harris menambah, jika semua orang yang mencabul undang-undang dibiarkan saja, akhirnya undang-undang negara ini tidak akan dihormati lagi dan negara akan menjadi huru-hara.

Katanya, amat tidak wajar hanya kerana ada pihak yang mahu menyekat maklumat daripada disampaikan kepada semua orang, maka dihalang masuk Felda. Ini nampak kecil, tetapi kesannya besar terutama melibatkan hak parti-parti politik untuk berkempen nanti menjelang pilihan raya nanti.

Krisis air S'gor: Penduduk kecewa dengan Syabas

Harakahdaily, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 30 penduduk beberapa blok pangsapuri di Bandar Tun Razak mengadakan bantahan aman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ekoran krisis air yang berlaku di kawasan mereka sebelum ini.

Bantahan tersebut diadakan di hadapan Masjid An-Najihin semalam bagi meluahkan rasa marah mereka terhadap pemegang konsesi air Selangor itu yang didakwa gagal membekalkan air yang cukup kepada mereka sehingga putus bekalan lebih dua minggu minggu sebelum ini.

Dalam bantahan itu, mereka mendesak Kerajaan Selangor diberikan kuasa sepenuhnya mengawal operasi bekalan air dan bukan diswastakan kepada syarikat konsesi.

Mereka melaungkan slogan ‘Syabas Tipu’ selain membawa beberapa sepanduk dan kain rentang yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Mereka juga menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang di situ dengan mengajak mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Dianggarkan hampir setengah juta penduduk di Ampang, Gombak dan Cheras terputus bekalan air selama lebih dua minggu bermula Dec 29 tahun lepas selepas rumah pam Wangsa Maju didakwa gagal berfungsi.

Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor mendapati Syabas yang mengendalikan operasi rumah pam tersebut gagal menyelenggara kelima-lima pam di fasiliti itu dengan baik.

Bekalan air dapat disambungkan semula pada 15 Januari lalu setelah jawatankuasa itu campurtangan dan membantu Syabas memulihkan pam yang gagal berfungsi tersebut.

Najib bertaubat atau bersandiwara di Kelantan?

Harakahdaily, 21 Jan 2013

Antara kain rentang menyambut lawatan Najib ke Kelantan, semalam.

KUALA LUMPUR: Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bertaubat sepenuhnya daripada kesilapan lampaunya dan hanya bersandiwara terhadap rakyat.

“Belum sampai beberapa hari dan air matanya belum kering lagi apabila beliau meminta maaf kepada rakyat, kini beliau menipu pula rakyat Kelantan.

“Dalam keadaan pilihan raya umum ke 13 sudah dekat, beliau mudah menabur janji. Janjinya melangit tinggi dan lumayan harganya,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan Najib yang telah menabur janji baharu yang lebih menarik kepada rakyat Kelantan iaitu untuk membina lebuhraya bagi menghubungkan kawasan Kuala Krai dan Kota Bharu di negeri itu.

Turut diumumkan Najib adalah enam lagi projek mega khusus untuk menambat hati pengundi Kelantan supaya menyokong beliau.

Selain lebuh raya, beliau menjanjikan membina Sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memuatkan 5,000 pelajar, membina  stadium baharu,  masjid terbesar serta projek menyelesaikan masalah air.

Namun demikian, kata Riduan semua itu diyakini hanya tinggal harapan jika BN ranap di Kelantan.

Baginya, Najib mahu menjadi seperti Santa Claus yang akan memberi apa sahaja yang diingini oleh rakyat, namun pemberiannya semua itu bersyarat iaitu mengundi BN pada PRU13.

“Rakyat beliau ibaratkan barang yang tidak berharga, boleh dijual beli, diugut dan diumpan sesuka hati,” ujarnya.

Beliau berkata, sebenarnya tawaran yang beliau jual kepada rakyat Kelantan sebagai sikap paling kejam dan keji bagi pemimpin negara.

Sebagai ketua negara, kata beliau Najib tidak wajar menabur umpan sebegitu yang meletakkan sesuatu dengan bersyarat atau dekat-dekat dengan pilihanraya bukanlah suatu sikap pemimpin yang ikhlas mahu membantu rakyatnya yang menggambarkan kepemimpinannya ala-diktator yang angkuh dan sombong.

“Jika beliau benar ikhlas mahu membantu rakyat khususnya orang Melayu, tidak perlu menanti dekat pilihanraya. Sepatutnya dua tahun lepas beliau sudah umum dan terus jalankan projek tanpa lengah,” katanya.

Hakikatnya, kata Riduan lagi tawaran yang beliau nyatakan tersebut bukan suatu pilihan kepada rakyat Kelantan, melainkan suatu kewajipan.

Menurutnya, mungkin Najib tidak tahu bahawa menyediakan kemudahan yang selesa untuk rakyat adalah suatu kewajipan beliau bersama kerajaan negeri.

“Mana-mana kewajipan atau tanggungjawab yang diabaikan adalah suatu kesalahan dan dosa kepada rakyat dan rakyat wajar menghukum pemimpin seperti ini.

“Apalah malang bagi rakyat yang masih mahu memilih pemimpin seperti ini yang cuai dalam menunaikan kewajipannya serta tidak mengenal erti tanggungjawab yang dipikul,” ujarnya lagi.

118 projek lama dibeku, kini tabur pula janji baru

Aslani M, 21 Jan 2013
KOTA BHARU: Semalam tabur janji baru pula, sedangkan sebelum ini sebanyak 118 projek yang telah diluluskan di Kelantan dibeku angkara politik.

Projek tersebut mendapat kerjasama kerajaan negeri terutamanya aspek kelulusan tanah, sebaliknya kerajaan pusat membeku dan melengah-lengah projek berkenaan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mempersoalkan mengapa sebelum ini kerajaan pusat menyekat lebih 118 projek yang sudah diluluskan di Kelantan.

“Kenapa hendak tunggu BN rampas Kelantan. Meneruskan dasar diskriminasi dan mengkhianati Islam dan demokrasi. Janji nak buat lebuh raya sejak 1986, kini datang tabur janji lagi.

“Inilah dinamakan janji pilihan raya. Perangai biasa BN. Pergi ke Sabah hina rakyat Kelantan paling miskin. Datang ke Kelantan minta sokongan dalam masa sama rampas harta orang Kelantan,” katanya di sini.

Semalam ketika merasmikan program Janji Ditepati di Tunjung, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan janji kerajaan BN untuk membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, masjid terbesar.

Selain itu 3,000 unit rumah rakyat, kampus Bandar UiTM, sistem pengangkutan rapid, stadium baru dan menyelesaikan masalah air.

Dr Fadzli yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berkata, rakyat di sini sudah lama mengenali orang politik yang hipokrit.

Bagaimanapun katanya, cara mudah untuk rakyat Kelantan mendapat apa yang dijanji Perdana Menteri menukar kerajaan persekutuan.

“Kita berjanji untuk memberikan lebih dari itu,” katanya.

Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman berkata, janji ditabur Najib tidak lain hanyalah untuk memperbodohkan rakyat Kelantan yang mungkin pada pandangannya mudah diumpan.

Setiap PM tabur janji

Katanya, sejak lebih dua dekad Kelantan di bawah PAS pelbagai janji ditabur perdana menteri bermula Tun Dr Mahathir Mohammad, kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib.

“Namun rakyat Kelantan tidak pernah termakan umpan sebegini, bahkan terus mempertahan kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

“Sepatutnya Perdana Menteri menyemak terlebih dahulu janji-janji yang dikemukakan pemimpin Umno sebelum ini.

“Janji Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sudah tersenarai dalam Rancangan Malaysia Keenam dan sehingga sekarang janji tersebut sudah berusia 26 tahun,” katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kob berkata, kalau Perdana Menteri benar-benar ikhlas, bayar terlebih dahulu royalti minyak yang sudah termaktub dalam perjanjian pada 1974.

Katanya, perjanjian yang ada dokumen secara jelas pun dinodai dengan mudah, inikah pula janji mulut seorang pemimpin politik sekular.

Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, bukan janji lama yang diulang-ulang dikehendaki rakyat, sebaliknya turunkan kos hidup lebih utama.

Masjid terbesar

“Masjid terbesar tergelak saya mendengarnya. Lebih baik Perdana Menteri fikir bagaimana hendak penuh ahli-ahli jemaah di masjid yang sedia ada sekarang.

“Di Kelantan masjid-masjid besar dibina rakyat melalui gotong royong dan punggutan derma diusahakan mereka. Presiden Umno patut belajar kegigihan rakyat Kelantan,” ujarnya.

Pengerusi Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera (Kerabat) Kelantan, Mejar (B) Yusof Mat Ali mempersoalkan mengapa baru sekarang hendak janji bina lebuh raya, sedangkan janji 1986 tidak ditunai sampai sekarang.

Begitu juga projek Rapid yang dicadangkan hanya hendak menguntungkan kroni dan menafikan rezeki pemandu-pemandu teksi yang ada sekarang.

Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim berkata, semua warga yang waras sudah tentu mempersoalkan janji-janji tersebut berdasar kepada “track record” lalu.

“Lagi pun sekarang ia ditabur menjelang pilihan raya umum ke-13,” ujarnya.

Kalimah: PAS Pulau Pinang tidak terlibat demo esok

Mohd Sabri Said, 21 Jan 2013
PULAU PINANG: PAS Negeri Pulau Pinang tidak terlibat dengan sebarang penganjuran demonstrasi aman di hadapan Dewan Sri Pinang jam 9.00 pagi esok.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Saleh Man menjelaskan demikian ketika diminta mengulas sistem pesanan ringkas (SMS) daripada beberapa individu yang mendakwa ahli PAS mengajak semua ahli dan penyokong PAS menyokong keputusan Majlis Syura dan mendesak Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh supaya senyap berhubung isu kalimah Allah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir menasihatkan ahli dan penyokong PAS supaya jangan melayan SMS berkenaan sebaliknya hendaklah mendapatkan maklumat jelas daripada pucuk pimpinan PAS negeri terlebih dahulu.

Beliau tidak mahu isu tersebut disalahertikan dan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Bagi PAS negeri, jelasnya apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak baru-baru ini sudah terjawab segala-galanya.

"Ahli dan penyokong PAS kena akur apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

“Kita harap jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengajak ahli dan penyokong PAS berhimpun tanpa usul periksa kerana kita ada cara tersendiri untuk mengatasi masalah tersebut ekoran ketidakfahaman bukan Islam berkaitan isu kalimah Allah," jelasnya.

Video Umno 'cuci otak' budak sekolah menengah pula tersebar

Harakahdaily, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dengan bertemakan ‘Anwar Pengkhianat Negara’ seorang penceramah dipercayai dari BTN telah menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan pelajar sekolah menengah.

Demikian ulasan blogger Anak Sungai Derhaka.

Ulasan penuh blogger berkenaan di dalam blognya http://darisungaiderhaka.blogspot.com sebagaimana di bawah.

Jika minggu lepas satu klip video yang menyerlahkan bagaimana sekumpulan Mahasiswa dari UUM telah diperbodohkan oleh sebuah NGO mesra UMNO/BN, ini pula adalah video yang memaparkan bagaimana UMNO mencuci otak pelajar-pelajar Sekolah Menengah pula.


Oleh kerana kini UMNO/BN amat terdesak untuk mengekalkan kuasa, pelajar-pelajar Sekolah Menengah telah paksa mendengar ucapan politik dan dalam masa yang sama para pelajar itu diminta untuk membantu UMNO/BN agar terus kekal berkuasa.


Selain dari diminta untuk terus kekal bersama Kerajaan UMNO/BN, pelajar-pelajar yang masih belum boleh mengundi itu juga diminta untuk menyakinkan ibu-bapa mereka supaya bersama Barisan Nasional menentang Pakatan Rakyat..


Dengan bertemakan ‘Anwar Pengkhianat Negara’ seorang penceramah dipercayai dari BTN telah menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah.


Saksikan!! Pidato kurang cerdik dari individu yang dipercayai wakil BTN Selangor ini..

http://www.youtube.com/watch?v=efX3Lo1Asy0&feature=player_embedded

Tiada ulasan: