Isnin, 14 Januari 2013

JAGA JAWATAN YANG ADA LEBIH BAIK....KERANA RAMAI NAK AMBIK...JIKA BENAR KUAT BUBARKAN PARLIMEN...JANGAN KITA JADI TIN2 KOSONG...TUNGGU UNTUK DIBUANG ATAU DIJUAL


Deepak: Saya hanya mahu dedah penyelewengan

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan menafikan bahawa siri serangannya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bermotifkan kepentingan peribadi.
Katanya, beliau melakukan pendedahan berkenaan secara ikhlas untuk mendedahkan penyelewengan kerajaan.

"Saya melakukannya untuk kepentingan awam; saya tiada apa-apa keuntungan daripada ini... Kesemuanya disokong oleh dokumen," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa tindakan berkenaan dilakukannya untuk memeras ugut.

"Saya tidak diberikan apa-apa dan saya tidak meminta apa-apa sebagai balasan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini pada hari Jumaat lalu.

Beliau seterusnya ditanya mengenai pengambilalihan syarikatnya, AstaCanggih Sdn Bhd oleh Lembaga Angkatan Tentera Malaysia dengan jumlah RM30 juta selepas beliau tidak putus-putus menyerang perdana menteri.

Menjawab persoalan itu, Deepak menunjukkan beberapa dokumen dan menegaskan bahawa beliau dipaksa untuk menerima urusniaga berkenaan untuk menutup mulutnya.

Satu daripada dokumen berkenaan, bertarikh 26 Disember menunjukkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri menjalankan siasatan ke atasnya di antara 2004 hingga 2009 berhubung isu mengelak bayaran cukai dan juga notis rampasan bertarikh 12 Disember, kata Deepak.

Tambahnya, beliau boleh memilih untuk menerima tawaran tersebut atau menderita akibat rampasan harta berkenaan.

Selain itu, beliau mendakwa bahawa LHDN turut menyerbu premisnya hampir tiga tahun lalu dan merampas dokumen daripadanya, yang menyebabkan beliau sukar untuk membuktikan kewangannya.

Pengambilalihan syarikat Deepak oleh LTAT diumumkan di Bursa Malaysia pada 27 November.

Deepak menegaskan bahawa beliau hanya mampu menampung kos dengan bayaran RM30 juta itu dan ia juga bermakna beliau tidak berjaya memperolehi tanah bernilai tinggi di Bukit Raja yang dijanjikan olehnya olehy Ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.

"Tiada siapa tahu berapa malam saya tidak tidur disebabkan semua tekanan yang saya perlu hadapi.

"Jika ini adalah untuk kepentingan peribadi, saya tidak mahu melalui segala proses ini. Saya tidak fikir sesiapapun akan mahu laluinya," katanya.
'Mengapa ada kanak-kanak di himpunan Najib?
4:18PM Jan 13 2013
Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) menyelar kerajaan kerana bertindak dwistandard dengan membenarkan anak kecil dan siswa hadir ke satu program bersama perdana menteri semalam, tetapi menghalang golongan berkenaan hadir di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

Setiausaha agung Mipas S Barathidasan berkata acara perdana menteri di Semenyih semalam disertai kanak-kanak dan golongan pelajar.

Namun, polis mengumumkan untuk menyiasat penganjur berhubung kehadiran kanak-kanak di perhimpunan dihadiri 100,000 orang di stadium bersejarah itu semalam.

Beberapa universiti turut mengeluarkan larangan kepada siswa supaya tidak hadir ke perhimpunan di Kuala Lumpur itu.

“Mipas mempersoalkan kenyataan menteri pengajian tinggi yang tidak menggalakkan pelajar institusi pengajian tinggi daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan ini.

“Pada masa sama, polis memberi amaran bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan ini. Persoalannya mengapa wujud dwistandard seperti ini?

“Mengapa tiada larangan atau amaran daripada polis atau menteri pengajian tinggi, mengapa ada kanak-kanak dan pelajar dilihat di acara bertemu rakyat dengan Najib anjuran IPF (Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia) di Dataran Tesco di Semenyih?

“Secara asasnya, kedua-dua acara perhimpunan perhimpunan orang ramai," kata Barathidasan.
Chua persoal garis panduan sambutan Tahun Baru Cina
6:54PM Jan 13 2013
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyifatkan garis panduan kerajaan PAS Kedah mengenai sambutan Tahun Baru Cina, sebagai menggugat serta menghakis hak dan kebebasan golongan bukan Islam di negeri itu.
Beliau berkata garis panduan dikeluarkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 9 Jan lepas antaranya melibatkan aspek pemakaian, nyanyian dan tarian, dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya MCA berpendapat isu tersebut bukan sesuatu yang remeh kerana ia berkaitan dengan sikap menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak golongan bukan Islam.

"DAP akan katakan ini adalah isu remeh...apabila kita katakan ia adalah kembiri politik, ia adalah betul dan berpatutan tapi dia (DAP) senyap sahaja dan untuk mengelirukan rakyat, DAP akan sentiasa timbulkan isu-isu lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ulang tahun MCA Perak ke-64 di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada garis panduan mengenai penganjuran program '1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013' yang akan berlangsung di Star Walk Alor Setar, Kedah, pada 15 Feb depan.

Garis panduan itu antara lain menggariskan cara pemakaian pegawai dan artis yang terlibat hendaklah bersopan, tidak menjolok mata, artis digalakkan membuat persembahan nyanyian dan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau dan jika berlaku nyanyian dan tarian yang melampau, pihak kerajaan berhak memberhentikan program yang dijalankan dengan serta merta.

Dr Chua berharap masyarakat Cina tidak menyokong perjuangan DAP kerana parti itu sering menyebabkan masyarakat itu berbalah selain mempengaruhi mereka untuk mengundi PAS dan sekali gus menyokong garis panduan yang menggugat kebebasan golongan bukan Islam.

Katanya pakatan pembangkang tidak mempunyai masa depan kerana mereka sanggup menjadikan rakyat sebagai mangsa demi kepentingan politik selain tiada strategi membangunkan negara malah menimbulkan isu dan demonstrasi.

"Kalau kita undi BN kita ada kepastian Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, kita ada kepastian kestabilan politik, sosial, ekonomi, agama.

"Kita ada kepastian yang mana setiap tahun ada pembangunan, kadar pertumbuhan yang memuaskan, negara membangun ke arah mencapai pendapatan tinggi, kebebasan kita tidak tergugat atau terancam," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan golongan petani di Perak agar  tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang yang hanya pandai menabur janji manis untuk menyelesaikan isu permohonan tanah.

"Mereka (pembangkang) buta huruf dari segi selok belok dan kesulitan tanah. Kita akan terus bantu 1,500 petani di negeri ini yang memohon tanah tanpa ugutan dan tanpa menabur janji-janji manis yang tidak dapat ditunaikan," katanya.

Katanya MCA membantu 1,150 petani daripada pelbagai kaum di negeri itu menyelesaikan permohonan tanah melibatkan keluasan hampir 4,000 hektar.

- Bernama
Himpunan 12 Jan: Akhbar tonjol sikap berbeza
4:46PM Jan 13 2013
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menarik penyertaan 100,000 orang di Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya semalam merupakan perhimpunan paling besar anjuran pembangkang sejak beberapa lama.
Berbeza dengan perhimpunan besar yang dihalang polis sebelum ini, ia juga merupakan perhimpunan pertama yang berlangsung dengan aman dan lancar.

kl112 coverage 130112 nstIa secara umumnya dilaporkan secara negatif oleh akhbar pro-kerajaan berbahasa Inggeris dan Melayu namun akhbar harian berbahasa Cina memberi laporan yang positif.

Akhbar New Sunday Times melaporkan perhimpunan itu di muka depan dengan tajuk "Memang tak bertanggungjawab" (Simply irresponsible) dan turut menampilkan gambar yang tak berkaitan.

Gambar yang ditonjolkan di ruang paling atas menunjukkan seorang wanita mengintai dari celah pintau kedai – kemungkinan menunjukkan bahawa beliau memandang kumpulan peserta perhimpunan.

Gambar kedua pula menunjukkan sampah yang bertaburan di atas jalan manakala gambar ketiga menunjukkan kanak-kanak berbaju-T kuning terlelap di atas basikal.

Tiada gambar yang menunjukkan suasana perhimpunan di muka depan.

kl112 coverage 130112 starAkhbar Sunday Star pula mengambil sikap lebih neutral dengan tajuk besar "Bebas insiden" (Incident-free).

Laporannya menyatakan tiada kejadian tidak diingini berlaku semasa perhimpunan dan polis turut menjaga keamanan.

Ia turut melaporkan bahawa penganjur melanggar tiga syarat perhimpunan – membawa kanak-kanak, membawa kain provokatif dan menghimpunan lebih 30,000 orang di Stadium Merdeka.

Akhbar itu turut menonjolkan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat di pentas utama bersama timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang berucap.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menggunakan tajuk utama "Penganjur langgar syarat" dan tajuk kecil "Polis berjaya kawal himpunan pembangkang" di muka depan.

kl112 coverage 130112 utusanDalam intisarinya, akhbar tersebut menyebut polis bertindak dengan "bijaksana" namun peserta melanggar syarat dengan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dan juga "sepanduk menghasut dan boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan".

Ia juga menyebut dakwaan satu blog bahawa peserta dibayar RM200 hingga RM700.

Muka depan itu dihiasi gabungan tiga gambar ibu bapa bersama anak masing-masing dengan kapsyen "Undang bahaya".

Akhbar Berita Harian pula langsung tidak menonjolkan apa-apa berhubung perhimpunan berkenaan di muka depannya.

112 rally newspaper 130113 02 malay and englishSebaliknya, ia hanya menampilkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan krisis air dalam satu perhimpunan di Semenyih.

Gambar menunjukkan Najib bersalaman dengan penyokong juga ditampilkan di muka depannya.

Tajuk besarnya di muka depan hari ini adalah berhubung amaran oleh penasihat Majlis Agama Islam Johor berhubung tindakan membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah "Allah".
SYABAS jangka selesai pasang paip pintasan esok

Operasi Rumah Pam Wangsa Maju yang mengeluarkan 180 Juta Liter Sehari (JLH) masih belum dapat menampung permintaan di kawasan terjejas.
Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Lee Miang Koi berkata buat masa ini 97 peratus masalah bekalan air di Gombak telah pulih, manakala di wilayah Kuala Lumpur 27,000 pengguna masih terjejas.

Sebahagian pengguna telah menerima bekalan air sokongan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang kini beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya, katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Lee, kerja pemasangan paip pintasan di Rumah Pam Wangsa Maju yang dilaksanakan sejak 8 Jan lepas dijangka siap Isnin ini.

Pemasangan paip pintasan itu dianggar dapat menyalurkan lebih 30 JLH air terawat dari Kolam Dusun Kubung ke kawasan terlibat selewat-lewatnya Khamis ini, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Syabas menambah 86 lori tangki menjadikan jumlah keseluruhan 2,891 buah lori tangki beroperasi sejak 29 Dis lepas.

Selain itu, Syabas juga menugaskan 950 pekerja bahagian operasi dan kontraktor untuk membantu golongan kurang upaya mengangkut air ke rumah mereka selain mengagihkan bekalan.

Dalam perkembangan lain, Syabas telah mengaktifkan ERP Kod Hijau di wilayah Petaling pada pukul 9.30 malam semalam berikutan penurunan paras air di kolam Lapangan Terbang Subang dan kolam Air Bukit Dengkil yang dikesan dua hari lalu.

"Penurunan paras air di kolam-kolam utama Syabas berlaku ekoran peningkatan kapasiti penggunaan bekalan air terawat oleh pengguna dan ia tidak dapat menampung permintaan  yang semakin meningkat," katanya.

Antara kawasan terjejas ialah Subang Jaya iaitu SS12, SS13, SS14, SS15, SS16, SS17, SS18, SS19, sebahagian SS & Kelana Jaya, Lembah Subang, Hyatt Saujana Glenhill, Jalan Subang Airport, Saujana O Lot (Temasya) dan Taman Industri Hicom.

- Bernama
Md Zin: BN S'gor tak gentar dengan himpunan 12 Jan

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata BN Selangor tidak gentar dengan jumlah kehadiran di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur semalam kerana kebanyakan peserta menurutnya merupakan anggota parti yang dikerah daripada negeri lain.

Beliau mendakwa, perhimpunan itu tidak mendapat sokongan signifikan daripada penyokong daripada masayarat India dan Cina.

80 peratus daripada peserta merupakan anggota PAS, dakwanya lagi.

Tambahnya, BN sebelum ini mengadakan acara lebih besar di Stadium Bukit Jalil pada 31 Ogos tahun lalu yang menarik 130,000 peserta.
Najib: Pertahan Putrajaya, ubah k'jaan S'gor

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat Selangor supaya mengubah kepimpinan kerajaan negeri Selangor kepada BN selain mengekalkannya sebagai kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Jangan ubah kerajaan Persekutuan, ubah kerajaan negeri (Selangor). Kita ubah (kerajaan) di Selangor, kekalkan BN di Putrajaya," katanya semasa berucap pada Himpunan Rakyat Pesta Ponggal 2013 di Padang Cetti di Klang, hari ini.

Beliau berkata jika pembangkang mengajak rakyat mengubah kerajaan, rakyat Selangor telah pun berbuat demikian dengan memilih kepimpinan pakatan pembangkang sebelum ini.

Namun, beliau meminta rakyat Selangor untuk menilai sama ada pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang itu benar-benar boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka termasuk masyarakat India di negeri ini.

Perkara itu ketara apabila kerajaan pakatan pembangikang gagal menyelesaikan banyak masalah di Selangor seperti bekalan air bersih dan kutipan sampah selain tidak mengotakan banyak janjinya dalam Manifesto Pilihan Raya 2008.

Beliau berkata antara janji yang tidak ditunaikan Kerajaan negeri Selangor ialah pemberian elaun kepada ibu tunggal.

"Pembangkang di Selangor kata nak buat macam-macam untuk Sekolah Tamil tapi 'elek' (tiada dalam Bahasa Tamil). Saya boleh sebutkan satu per satu Sekolah Tamil yang kita bantu," katanya.

Selain Sekolah Tamil, Najib berkata kerajaan juga membantu badan bukan kerajaan (NGO) India seperti Sri Murugan Centre (SMC) meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan masyarakat India.

Perdana Menteri berkata sudah lebih empat tahun rakyat Selangor tertipu dengan janji manifesto pakatan pembangkang dan beliau melabelkan janji pembangkang sebagai "Janji Kampung Buah Pala" sempena sebuah kampung di Pulau Pinang, di mana kerajaan pembangkang gagal mengotakan janjinya untuk memastikan ia tidak diambil pemaju.

"Kita jangan kena tipu, kita boleh kena tipu sekali tetapi jangan berkali-kali. Jangan nak merendahkan intelek kaum India untuk berfikir," katanya.

Najib berkata jika BN diberi mandat mentadbir negeri Selangor, kerajaan pimpinan BN akan memastikan negeri ini lebih hebat, maju dan berjaya.

Perdana Menteri juga berkata sepanjang empat tahun lepas, BN telah banyak membantu kaum India seperti bantuan kepada sekolah-sekolah Tamil, skim mikro-kredit dan peningkatan kemasukan pelajar-pelajar India ke matrikulasi.

Walaupun pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat termasuk kaum India sudah berubah, Najib berkata beliau tidak boleh mengatakan masalah itu telah selesai.

"Ia bagaikan sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di mana rangka-rangkanya telah dibangunkan, cuma kerajaan memerlukan mandat dari rakyat bagi menyiapkan rumah itu sehingga tercapai Wawasan 2020 di mana Malaysia akan berstatus negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau memberi jaminan jika kekayaan negara meningkat, ia akan diagih-agihkan kepada rakyat.

Najib juga berkata menerusi program turun padangnya di Pasar Jawa di Klang, beliau dapat menyaksikan usaha BN selama 55 tahun memerintah di mana setiap  kaum berpeluang mencari rezeki dengan adanya sokongan kerajaan.

Dengan kaum India cenderung menceburi bidang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera, beliau berharap golongan India kelas pertengahan akan turut maju selain kerajaan akan membantu pekerja-pekerja India di ladang-ladang.

"Sebab itu kerajaan melakukan transformasi dari aspek penyampaian, sosio dan politik. Dalam empat tahun lepas, Malaysia menjadi sebuah negara hebat daripada segi kemajuan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan memberi perhatian kepada semua kaum dan berusaha menunaikan janji-janjinya.

Berbanding pakatan pembangkang, beliau berkata BN menunaikan tanggungjawabnya dengan mengotakan janji yang boleh ditepati dan berusaha meningkatkan perbendaharaan negara untuk mendapatkan mandat rakyat.

Najib berkata BN juga memerlukan lebih masa untuk mencapai Wawasan 2020 selain sokongan rakyat menerusi gagasan 1Malaysia dan 'nambikei' iaitu konsep saling percaya mempercayai dan yakin di antara satu sama lain yang diamalkan oleh kaum India.

Perdana Menteri juga berkata kehadirannya bersama-sama para pemimpin parti komponen BN pada perayaan Ponggal itu menunjukkan BN amat peka dan prihatin terhadap semua rakyat pelbagai kaum.

"Jika kita hadir majlis seperti Ponggal, kita akan lebih faham, kita akan rasa aspirasi, sensitiviti, setiap kaum, agama,  keturunan, komuniti besar atau kecil yang ada di Malaysia," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G Palanivel, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim, Timbalan Menteri Luar Senator A Kohilan Pillay, dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas.

- Bernama
Kerjasama pihak berkuasa lancarkan perhimpunan

Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik Stadium Merdeka, Merdeka Heritage Trust menjamin kelancaran perhimpunan aman di Stadium Merdeka semalam.
Ia sekali gus mencerminkan sikap keterbukaan agensi kerajaan pusat dalam menghormati hak rakyat untuk bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kali ini amat bertegas kepada pihak penganjur agar mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) kerana keutamaan polis adalah menjamin ketenteraman awam dan tidak mahu insiden rusuhan berlaku seperti  dalam perhimpunan Bersih 3, pada 28 April lalu.

Dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk pengerusi penganjur dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ismail menegaskan jenis kesalahan seperti bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan.

Mereka juga melanggar APA jika menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan.

Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.

PDRM turut menyebarkan pematuhan APA kepada peserta melalui media massa, laman Twitter dan Facebook.

Manakala DBKL turut terlibat dalam mengawal selia beberapa kawasan di ibu negara bagi melicinkan perjalanan perhimpunan seperti memastikan keadaan lalu lintas terkawal.

Kesanggupan Merdeka Heritage Trust membuka pintu kepada pembangkang untuk mengadakan perhimpunan di stadiumnya turut menyelesaikan masalah tempat perhimpunan dan mengelakkan berlakunya demonstrasi jalanan dan menjauhi insiden rusuhan.

Malah pemimpin pembangkang termasuk Mohamed Sabu mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Stadium Merdeka kerana membenarkan perhimpunan diadakan di stadium berkenaan dan menghargai kerjasama DBKL.

"Tidak lupa dengan PDRM melalui perundingan demi perundingan, pertemuan demi pertemuan memberi kerjasama kepada kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan dihadiri 45,000 peserta perhimpunan di Stadium Merdeka, di Kuala Lumpur semalam.

- Bernama

Tiada ulasan: