Khamis, 31 Januari 2013

TULISLAH ATAU BUATLAH...AGAR MANUSIA MEMAHAMI ISLAM...MENJADIKAN SEBAB TULISAN KITA ATAU APA KITA BUAT MENJADIKAN ORANG MENDAPAT HIDAYAH DARI ALLAH ATAU MULA MENDEKATI ISLAM

"Satukan perkara sama, raikan perkara berbeza"

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang penuh yakin, konsep pakatan yang dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat akan memberikan hasil yang terbaik untuk rakyat dan negara ini.

Ini kerana, kata beliau, konsep yang diterima oleh Pakatan adalah "mengambil pendekatan menyatukan perkara yang ada persamaan dan meraikan perkara yang berbeza.

"Memang kita ada perbezaan tetapi dengan pakatan kita akan dapat capai yang terbaik," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas pendapat yang mengatakan Pakatan sukar untuk memerintah negara akibat dari perbezaan yang ada dalam Pakatan Rakyat.

Bagi beliau, sekiranya Pakatan  tidak boleh bersama, sudah lama berkecai Pakatan Rakyat ini tetapi sampai kini masih boleh bersama.

"Kita masih dapat bermesyuarat bersama, berhimpun bersama, dapat anjur Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka secara bersama dan pelbagai lagi.

"Apa yang berlaku adalah berbeza pendapat. Ya memang ada perbezaan pendapat, tetapi kita memilih titik-titik pertemuan yang boleh menyatukan.

"Kita menerima konsep pilihan raya yang adil, yang telus, pilihanraya yang sebenarnya, menentang kezaliman, keadilan untuk semua. Ini konsep yang diterima oleh semua pihak," jelas beliau.

Beliau mengakui memanglah halal dan haram berbeza antara Islam dan bukan Islam "tetapi Islam membenarkan kita berniaga dengan bukan Islam, membenarkan kita bermuamalah dengan bukan Islam. Ini semua diajar oleh Islam."

Menurut beliau, Pakatan mengambil pendekatan menyatukan perkara yang ada persamaan dan meraikan perkara yang berbeza.

"Dengan sebab itu kita namakan Pakatan bukan Barisan. Pakatan ini bermakna kita berpakat dalam perkara yang sama. Dalam perkara yang berbeza masing-masing berpakat juga," katanya.

Bagi beliau, konsep ini wujud sejak zaman Nabi Muhamad saw lagi apabila menyatu Islam dan bukan Islam di bawah negara Madinah.

"Semua diizinkan bebas dengan syarat tidak menimbulkan huru hara. Apa yang penting tidak menimbulkan huru hara," katanya.

Bagi beliau perbezaan pendapat dan perbalahan ada di mana-mana.

"Dalam satu keluarga pun ada tetapi jangan bercerai. Inilah pendekatan yang kita ambil dalam Pakatan," katanya.

Menurutnya, dalam melaksanakan semua ini, ada flexible dan ada juga konsisten.

Dalam pelaksanaan sebuah kerajaan jika Pakatan memerintah juga satu perkara yang mudah, tegasnya.

"Ini perkara mudah. Kita apa sistem federalisme. Ada kuasa negeri ada kuasa pusat.

"DAP misalnya boleh melaksanakan dasarnya di negeri Pulau Pinang yang dia perintah. Dalam masa yang sama kerajaan negeri memberikan hak kepada orang Islam dalam bidang agama kita.

"Kita (PAS) pula boleh menunjukkan konsep Islam di Kelantan yang kita perintah. Dalam masa yang sama orang bukan Islam tidak tertindas di Kelantan," katanya.

Di peringkat pusat pula, katanya, pelaksanaan dibuat secara pakatan.

"Dalam masa yang sama, kita ada kerajaan pusat yang boleh menyelaraskan perkara-perkara yang umum. Saya yakin ia sangat mudah," katanya.

Bagi beliau, ia tidak berlaku semasa BN kerana tidak menangani hal ini dengan baik dan berlaku kecelaruan.

"Negeri-negeri yang kaya seperti Sabah, Sarawak, Terengganu paling miskin rakyatnya, paling ketinggalan infrastruktornya daripada negeri-negeri lain.

"Negeri pantai barat lebih maju dari negeri pantai timur. Negeri Malaysia Timur lebih teruk, ini warisan British dan Umno dan BN tidak boleh selesaikan warisan Bristih ini dalam kadar yang sepatutnya selepas 50 tahun kita mencapai kemerdekaan," jelas beliau lagi.

Deepak setuju jumpa Mahfuz 6 Februari

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan bersetuju untuk bertemu dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bagi membincangkan isu imunitinya 6 Februari ini.

Dalam satu pesanan ringkas yang diterima Harakahdaily dari ahli perniagaan itu, Deepak berkata dia bersetuju untuk bertemu.

"Saya memang setuju. Lagipun 6 is my nombor bertuah," tulis Deepak kepada Harakahdaily.

Mahfuz sebelum ini bersetuju untuk berbincang dengan Deepak berhubung dengan permohonannya untuk mendapatkan perlindungan saksi (imuniti) dari Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sedia mendengar apa yang dikehendaki oleh Deepak dan akan membawanya kepada pimpinan Pakatan jika didapati sesuai.

Dalam sidang medianya semalam, Mahfuz berkata, beliau sedia berjumpa dengan Deepak 6 Februari ini.

"Saya hari ini menyatakan kesediaan saya untuk bertemu dengan Deepak pada 6 Februari nanti, dan turut hadir pada pertemuan tersebut adalah penasihat undang-undang (peguam).

"Saya harap Deepak akan bersedia sepenuhnya untuk memberi segala keterangan berhubung dengan apa yang ingin beliau dedahkan, mengenai imuniti perkara tersebut akan dibincangkan setelah mendapat khidmat nasihat dari pihak guaman," jelas beliau.

Deepak sebelum ini memohon jaminan dari Pakatan Rakyat untuk memberikan imuniti di bawah akta perlindungan saksi kepadanya bagi membolehkan beliau mendedahkan semua yang beliau tahu mengenai pelbagai jenis penyelewengan.

SAHARA: Dakwah Islamik yang tidak kena cara

Siti Fatimah Azzahra Mohd Nazri,
Tidak dinafikan industri perfileman kini menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa. Filem dan drama berunsurkan Islam semakin banyak dihasilkan, ini adalah sesuatu yang harus dipuji. Namun sejauh manakah kualiti drama Islamik tersebut dapat memberi impak yang benar-benar berkesan kepada penonton.

Penghasilan sesebuah drama Islamik perlulah menepati syariat yang betul dan selari dengan panduan yang telah digariskan dalam Islam. Namun, apa yang dilihat kini, drama-drama Islamik yang dihasilkan tidak memperlihatkan ciri-ciri Islam tetapi menggambarkan imej Islam yang tidak sempurna di mata masyarakat. Promo Drama Islamik berjudul “Sahara” yang sedang ligat ditayangkan di Astro Prima telah mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat Islam apabila didapati terdapat unsur-unsur yang tidak selari dan bertentangan dengan syariat Allah swt. Ia seolah-olah menimbulkan persepsi bahawa wanita muslimah yang berhijab dan berpurdah juga ‘sama’ seperti wanita lain apabila berdating dan berpegangan tangan.

Drama ini benar-benar merosakkan imej wanita muslimah yang berhijab lebih-lebih lagi berpurdah. Perlulah difahami bahawa imej wanita ditonjolkan melalui pemakaian dan sikapnya. Ia sebenarnya mencerminkan Islam itu sendiri. Jadi, sekiranya imej itu telah dicalari, ia sebenarnya mencalarkan imej Islam itu sendiri.

Penghasilan sesebuah filem dan drama yang berunsurkan Islam wajib didasari dengan pelbagai cabang ilmu. Akibat daripada kejahilan individu-individu yang terlibat dalam penghasilan sesebuah filem atau drama, maka terhasillah drama sebegini yang secara terang-terangan telah mencemarkan nilai-nilai Islam. Pihak yang bertanggungjawab seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) seharusnya menguatkuasakan pantauan sesebuah filem dan drama yang dihasilkan dari segenap aspek.

Berikut merupakan tuntutan kami kepada pihak-pihak yang berkenaan:
1. Desakan ke atas pihak Astro supaya menghentikan tayangan drama tersebut dengan serta-merta.
2. Gesaan terhadap pihak yang berautoriti supaya menapis dan memantau semula keseluruhan skrip, adegan dan babak yang terkandung di dalam drama Sahara.

Kami juga ingin menyeru seluruh masyarakat yang beragama Islam khususnya mahasiswa supaya bersama-sama mempertahankan kesucian Islam dengan membantah tayangan drama Sahara kerana drama tersebut bukan sahaja telah menimbulkan fitnah tehadap pembawa imej Islam bahkan kepada agama Islam itu sendiri.

Siti Fatimah Azzahra Mohd Nazri
Spirituality & Islamization Secretariat,
Students’ Representative Council 2012/2013,
International Islamic University Malaysia.

Ahli Umno terima geran tanah daripada MB

Aslani M | Foto Mijie Yusoff, 31 Jan 2013

(Mat Omar menerima geran dari Tuan Guru Nik Aziz)

GUA MUSANG: Tanpa mengendahkan amaran Umno, sebahagian besar ahli dan penyokong Umno di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lebir tetap hadir pada majlis penyampaian geran tanah semalam.

Lebih menggembirakan lagi apabila 54 ahli Umno yang hadir pada program berkenaan semalam menerima sendiri geran tanah disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seorang peneroka Mat Omar, 60 yang mendiami RKT Lebir sejak 1981 berkata, Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah sudah lama menjanjikan mahu menyelesaikan masalah pemilikan tanah.

“Namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan. Beliau hanya cakap sahaja. Selepas lama menunggu kami mengusahakan sendiri dengan menyertai jawatankuasa khas ditubuh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri hanya mengenakan bayaran premium RM10 sahaja bagi lot rumah seluas suku ekar. Kalau ikut proses biasa saya difahamkan kena bayar RM2,000 bagi setiap lot,” katanya di sini semalam.

Beliau mengakui peneroka dibawa ke RKT Lebir pada 1980 bagi menguatkan Umno di Gua Musang. Malah tapisan dibuat memastikan hanya ahli Umno diterima sebagai peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Pada majlis semalam Mat Omar juga menyerahkan sumbangan yang dikutip dalam kalangan peneroka bagi mengisi dana lebuh raya rakyat kepada Menteri Besar.

Adun Paloh dalam kenyataan media hari ini memberitahu kerajaan negeri tidak sepatutnya memberi geran tanah kepada peneroka kerana kawasan itu diurus Kesedar sejak sekian lama.

Kemarahan Nozula dapat dilihat apabila kira-kira 40 peneroka warga emas dikumpul di simpang tiga di Paloh 2 membantah penyampaian geran tersebut. (gambar)

Mereka berhimpun dengan membawa pelbagai sepanduk yang ditulis tidak mahu kerajaan negeri campurtangan di Kesedar.

Ahli Umno di RKT Lebir, Mahmud Abdul Rahman, 61 berkata, beliau juga menerima panggilan telefon daripada seorang pemimpin Umno supaya keluar menyertai demontrasi.

“Saya pun pelik dengan perbuatan mereka, sedangkan kita susah payah datang dari kampung sejak berpuluh tahun lalu untuk mendapatkan tanah sendiri.

“Sebelum ini macam-macam pemimpin Umno buat tomahan termasuk kononnya geran tanah palsu. Biar pun sebagai ahli Umno saya tidak boleh terima tindakan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, geran hak tanah lebih penting berbanding demontrasi yang tidak ada tujuan dan merugikan peneroka sendiri.

Penghulu Mukim Chalil, Norazmi Abdullah berkata, kesemua 172 peneroka diberi peluang untuk memohon mendapatkan geran lot kediaman mereka tanpa mengira menyokong parti mana.

Katanya, sebahagian besar peneroka termasuk ahli dan penyokong Umno mengisi borang permohonan kecuali mereka yang mempunyai jawatan dalam Umno.

“Mereka takut kerana ada tekanan pemimpin Umno di atas. Namun saya percaya mereka juga akan mengikut jejak 54 ahli Umno yang sudah mendapat geran hari ini,” katanya

Keputusan pertandingan menulis Harakahdaily 3 Feb

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Pemenang hadiah Peraduan menulis esei berdasarkan ayat Al-Quran yang dianjurkan oleh Harakahdaily akan diumumkan Ahad, 3 Februari ini.

Hari ini, para juri pertandingan telah mengadakan mesyuarat mereka dan telah membuat keputusannya.

Namun keputusannya akan diumumkan Ahad ini di mana hadiahnya akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyampaian hadiah ini dibuat di Hotel De Palma, Ampang sempena dengan Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS.

"Kita telah membuat keputusannya, namun pengumuman rasmi akan dibuat Ahad ini," kata Dr Fauzi Zakaria, Ketua Juri peraduan menulis ini.

Hadiah pertama tulisan ini adalah berupa wang tunai RM10,000 di samping cenderahati dari Harakahdaily.

Hadiah kedua wang tunai RM5,000 manakala hadiah ketiga adalah RM3,000.

Sebanyak 17 tulisan terbaik juga akan diberikan hadiah saguhati berupa wang tunai RM100.00 setiap tulisan.

Semua 20 peserta terbaik ini akan diraikan dalam majlis makan tengahari di hotel De Palma yang akan diadakan Ahad ini sempena penyampaian hadiah ini.

Mahkamah putus pecat penghulu tidak sah

Harakahdaily, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang Penghulu ke atas Kerajaan Melaka apabila hakim memutuskan hukuman buang kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri ke atasnya tidak sah dan terbatal.

Di dalam keputusan bertulisnya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Puan Diana binti Md Razali petang tadi (4.30 petang) Hakim Hakim Tuan Abang Iskandar bin Abang Hashim menyatakan bahawa hukuman buang kerja atau pemecatan ke atas Penghulu, Encik Shamsudin bin Mohd Bakhid adalah menggunakan peruntukkan undang-undang yang salah.

Oleh itu segala keputusan yang dibuat oleh Responden iaitu Lembaga Tatatertib Bagi Kumpulan Sokongan (No 1) dan Kerajaan Melaka adalah salah di sisi undang-undang.

Justeru itu Hakim telah memerintahkan perintah certiorari membatalkan keputusan buang kerja tersebut dan juga perintah mandamus bagi memaksa  Responden-Responden mengambil langkah –langkah yang perlu dan wajar untuk menempatkan semula penghulu tersebut ke jawatan asal beliau sebelum keputusan tersebut dibuat.

Mahkamah juga memerintah Kerajaan Melaka membayar segala gaji, elaun dan emolument yang layak diterima oleh penghulu tersebut dari 1/4/2011 sehingga tarikh perintah hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Kerajaan Melaka membayar gantirugi am, gantirugi tauladan (exemplary damages)  dan gantirugi melampau (aggravated damages) kepada penghulu tersebut serta kos.

Fakta kes tersebut adalah pada 2/5/2000 pemohon telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) di Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah, Melaka yang mana beliau adalah seorang Penjawat Awam yang berjawatan tetap dan berpencen.

Melalui surat bertarikh 10/8/2001 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kepada pemohon, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah meluluskan pengesahan lantikan pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) Gred 6 bermula 2/5/2000.

Gaji terakhir Pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) adalah berjumlah RM2,202.80 sebulan.

Melalui surat bertarikh 17/1/2011 yang dikeluarkan oleh Responden ke atas Pemohon, Responden memaklumkan kepada pemohon bahawa beliau patut dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dua pertuduhan yang berasingan.

Pertuduhan pertama pemohon di tuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 manakala bagi pertuduhan kedua Pemohon dikenakan pertuduhan di bawah Peraturan 4 (2) (i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Melalui surat bertarikh 7/2/2011 pemohon telah membuat representasi bertulis kepada Responden.

Melalui surat bertarikh 31/3/2011 yang diterima oleh Pemohon pada 6/4/2011 Responden Pertama iaitu Pengerusi Lembaga Tatatertib memaklumkan kepada pemohon bahawa Lembaga Tatatertib telah memutuskan bahawa beliau telah didapati bersalah ke atas pertuduhan yang pertama dan pemohon dikenakan hukuman buang kerja mengikut Peraturan 38 (g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi pertuduhan Pertama berkenaan yang berkuatkuasa pada 15/3/2011.

Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut telah melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Februari 2012 yang lalu.

Di dalam penghujahan di Mahkamah sebelum ini peguam pemohon telah berhujah bahwa wujudnya "procedural impropriety" yang dilakukan oleh Responden apabila mereka mengambil tindakan tatatertib ke atas pemohon di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tanpa mengambil kira bahawa bagi pertuduhan pertama yang dikenakan ke atas pemohon prosedur yang wajib dipatuhi dan diikuti oleh adalah Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan bukannya Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Peguam pemohon juga berhujah bahawa memandangkan Responden telah gagal mematuhi Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  bagi pertuduhan pertama ke atas pemohon maka keputusan tersebut adalah satu keputusan yang “illegal” (tidak sah) kerana Responden-Responden telah gagal mengambil kira dan menimbangkan laporan ke atas  pemohon, rekod perkhidmatan pemohon dan perakuan Ketua Jabatan pemohon sepertimana yang ditetapkan atau dikehendaki oleh Peraturan 32 (2) dan Peraturan 33 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Penghulu tersebut amat bersyukur dengan keputusan Mahkamah tersebut kerana beliau tetap percaya bahawa tindakan yang dikenakan ke atas beliau mempunyai unsur-unsur politik yang mengakibatkan beliau terpaksa menganggur selepas dipecat oleh Kerajaan Ali Rustam itu.

Menurutnya, sebelum pemecatan tersebut, beliau pernah beberapa kali tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana mesyuarat di peringkat daerah dan juga tidak dibenarkan mewakili jabatan beliau untuk menghadiri mesyuarat di peringkat negeri.

Penghulu tersebut diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin bersama-sama Cik Azhana Mohd Khairudin manakala Kerajaan Negeri Melaka diwakili oleh Puan Norhasmiza bin Othman.

Belum setahun beroperasi, baunya menusuk hidung

Harakahdaily, 31 Jan 2013

IPOH: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa kesal berhubung kejadian pencemaran yang berlaku di Papan, Perak baru-baru ini walau pun tapak pelupusan sampah di tempat itu memulakan operasinya tidak sampai setahun.


(Belum setahun beroperasi, baunya memualkan penduduk sekitar)

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris dalam kenyataannya berpendapat, masalah ini tidak akan berlaku jika perancangan awal projek berkenaan dibuat secara teliti dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perkara tersebut dilaksanakan dengan tegas.

CAP menegaskan adalah penting bagi kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat kajian tentang kesan ke atas alam sekitar dan maklum balas dari penduduk tempatan terlebih dulu sebelum projek ini dilaksanakan.

Selain penduduk Papan, penduduk-penduduk di enam buah buah kampung berhampiran turut diancam masalah itu. Kampung-kampung tersebut ialah Lahat, Siputih,Pusing,Bemban, Bukit Merah dan Menglembu.

Kerana tidak tahan ancaman bau busuk yang di alami dan masalah kesihatan yang mungkin berlaku lebih kurang 500 orang mewakili 2,000 penduduk yang terlibat telah mengadakan tunjuk perasaan membantah pencemaran ini.

Jika masalah tersebut berlarutan kesan buruk yang lebih serius akan berlaku ke atas alam sekitar, kesihatan dan kehidupan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

"CAP beranggapan nasib penduduk-penduduk di sini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana mereka sebelum ini pernah hidup menderita kerana diancam pencemaran bau kimia dari kilang memproses nadir bumi di kawasan itu," kata Presiden CAP itu.

Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang ada perlu diambil ke atas pihak yang terlibat agar kejadian seperti ini tidak berulang, katanya.

PRU13: Calon PAS selesai hampir 100%

Hazayani Zakaria, 31 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS sudah hampir seratus peratus selesai meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS lebih mementingkan kerusi Parlimen dan Dun boleh menang berbanding kuantiti kerusi yang ditandingi.

"Sehingga kini lebih 90 peratus (calon) kita sudah selesai. Yang masih tinggal hanya masalah yang terlalu kecil yang boleh diselesaikan walaupun pilihan raya diadakan bila-bila masa.

"Kawasan bertanding sebahagian besar sudah selesai cuma sedikit sahaja kerusi yang masih dalam perbincangan dan itu bukan masalah besar.

"PAS memikirkan seberapa banyak kerusi yang menang bukan seberapa banyak kerusi yang bertanding," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Ustaz Hadi juga berkata, kerusi yang akan ditandingi PAS juga bertambah setelah berjaya di beberapa buah negeri.

"Insya Allah kerusi kita akan bertambah dan kita akan usahakan. Pilihan raya yang lalu kita tumpu kepada negeri-negeri dan PAS telah berjaya memimpin tiga buah negeri dari lima negeri yang menang iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.

"Kita mendapat 82 kerusi Dun, DAP dapat 70, PKR 40 dalam keadaan kita agak kecil jumlah di Parlimen kerana lebih tumpu kepada Dun masa itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru katanya, berdasarkan pencapaian PAS di beberapa buah negeri sebelum ini, PAS sudah bersedia mengambil alih pemerintahan daripada BN.

"Kita telah berjaya mencapai (kejayaan) di tiap-tiap negeri ada wakil rakyat sekurang-kurangnya di Dun kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak.

"Ini menunjukkan pengaruh kita sudah masuk ke setiap negeri termasuk Johor yang dianggap kubu Umno.

"Kewujudan wakil rakyat kita di negeri ini mengembangkan lagi pengaruh PAS di samping negeri-negeri yang belum mendapat tapak," katanya.

Tambahnya, PAS sudah mula bertapak di Sabah dan Sarawak dan akan meletakkan kerusi di kedua-dua negeri tersebut.

Tiada ulasan: