Rabu, 31 Oktober 2012

TAK NAK KEMBALIKAN TANAH...MEREKA JUGA AKHIRNYA KEMBALI KEPADA TANAH

Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz

Rizal Tahir, 30 Okt 2012
KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai ‘Umno buangan’ yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu.

Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda.

Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya  tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah.

Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga.

“Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,”ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

“Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Letak Bekas KP JPA Tanding Di Putrajaya

http://msomelayu.blogspot.com, 30 Okt 2012
KEMILAU RASA

Kadang-kadang nasib malang dan penganiayaan berlaku ke atas seseorang atau kumpulan di negara ini berlalu begitu saja. Kalau tidak ada yang membela kejadian itu akan tertutup dari pengetahuan awam. Sedihnya ia akan jadi seperti mana katak atau ular yang mati dilanggar kereta, bangkainya akan dibiarkan berulat di tengah jalan, dan lama ke lamaan hancur begitu saja diselam tanah.

Abu Bakar Abdullah: Teraniayaan.
Begitu juga dengan nasib sesetengah pegawai kerajaan yang tidak ada kekuatan untuk melawan atau pun ada jiwa membela diri terhadap tindakan politik oleh parti pemerintah. Nasib malang yang yang diterimanya dibiarkan saja dengan meletakkan semua itu atas kehendak takdir untuk tidak mendamaikan jiwa. Sesetengah dari mereka mati beragam begitu saja kerana tidak ada keupayaan untuk membela diri disebabkan berjauhan dengan penguasa-penguasa politik.

Mereka yang dekat dengan penguasa politik apa lagi yang sedia menjadi perkakas akan mendapat manfaat lumayan seperti kenaikan pangkat dan segala macam kemudahan termasuk memakan gaji buta. Walaupun grednya jauh lebih rendah dan perkhidmatannya baru setahun jagung tetapi kerana dekat dengan penguasa, kenaikan pangkatnya secepat kilat di senja hari.

Yang tidak kenal penguasa dan tidak sedia jadi perkakas terus bersembahyang hajat mendoakan  kenaikan pangkat. Setengah sampai berlumut di ruang pejabat tetapi pangkat tetap tidak naik. Lalu mereka pun senyap-senyap mendengangkan lagu, "di manakah keadilan" seorang diri?

Misalnya nasib malang diterima oleh bekas Ketua Pengarah JPA, Abu Bakar Abdullah yang ditamatkan perkhidmatannya sesuka hati oleh kerajaan, hampir terbiar begitu saja, tidak ada mana-mana pihak mempedulikannya. Kesatuan pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa untuk membela atau memberi simpati kepada Abu Ab Bakar kerana beliau pegawai tinggi. Lagipun kesatuan hanya membela orang-orang rendah daripada Abu Bakar. Jadi orang tinggi teraniaya siapa membela?

Mungkin tindakan kerajaan memecat beliau ada alasan, tetapi sejauh mana alasan itu memenuhi ehsan pertimbangan manusia boleh dipertikaikan. Mungkin Abu Bakar dan kita semua dapat menerimanya. Namun keadilan terhadapnya masih boleh dipertikaikan.

Apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar membangkitkan di parlimen isu pemecatan Abu Bakar dianggap zalim itu, ia merupakan satu pembelaan oleh Pas. Tindakan Mahfuz membawa isu ke parlimen sebagai kepedulian terhadap nasib malang diterima Abu Bakar. Saya nak tanya di mana peranan ahli parlimen BN terutamanya ketua pemuda Umno yang tidak ada kuasa, Khairy Jamaluddin? Syabas kepada Mahfuz kerana prihatin mengenai perkara ini.

Saya bersetuju dengan persoalan oleh Mahfuz sebagai menjawab penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz berhubung pemecatan itu; bahawa pemecatan Abu Bakar atas alasan kesalahan berhubung penglibatan Abu Bakar dalam menggubal dan melaksanakan SPBA yang dibuat tanpa mengambil perhatian semua golongan perkhidmatan.

Soal Mahfuz dalam sidang akhbar, adalah tidak adil kalau tindakan itu dipersalahkan kepada Abu Bakar saja sebab yang terlibat dalam menggubal dan melaksanakan SPBA itu bukan Abu Bakar bersendirian. SPBA dibincang dalam mesyuarat gaji kabinet dan dipengerusikan sendiri oleh Najib Razak.

Anihnya pada peringkat awal Najib sendiri bersetuju dan memuji SPBA. Apaklah semasa membuat kelulusan itu Najib tidak menyemak dan bersetuju buta begitu saja? Kalau begitulah caranya macam mana Najib boleh muncul menjadi seorang perdana menteri cemerlang. Seorang perdana menteri seharusnya lebih prihatin, peka daripada mana-mana kumpulan.

Justeru yang perlu bertanggungjawab bukan saja Abu Bakar tetapi Najib juga perlu memikul tanggungjawab sama dengan meletak jawatan? Atau sekaruang-kurangnya Najib perlu memohon maaf dan dia sendiri harus ambil tanggungjawab membela Abu Bakar atau pertahankan dari menamantkan perkhidmatan Abu Bakar begitu saja.

Apakah tindakan itu bukan penganiyaan dan kezaliman ke atas Abu Bakar?

Saya perhati Abu bakar mendiamkan diri berhubung kesnya itu menyebankan orang akan menuduh yang bersalah 100% adalah dia. Beliau seakan tidak ada naluri langsung untuk bangkit membela diri. Di sini apa kata kalau sayang cadangkan Abu Bakar mula bangkit untuk membela penganiyaan itu dengan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Pas mungkin boleh berikan kerusi parlimen Putrajaya kepadanya.

Kalau Abu Bakar sedia terjun ke dalam politik dan bertanding, tujuannya bukan hendak membela dirinya semata-mata tetapi tetapi untuk mengajar kerajaan yang berlaku zalim ke atas orang sepertinya dan para pegawai lain. Saya yakin kalau Abu Bakar sedia menawar dan mengorbankan diri ramai yang menyokongnya.

Abu Bakar boleh cuba merisik perkara ini. Saya rasa kalau kerusi Putrajaya diberikan kepada Abu bakar banyak undi simpati dari kalangan pegawai kerajaan akan masuk ke peti undinya. Kalau kena strategi dan taktik ia boleh menyebabkan Teuku Adnan Teuku Mansor akan mati terkangkang di Putrajaya? Apa kata?

Lagi pun katanya Pas ketiadaan calon yang sesuai untuk diletakkan di Putrajaya. Ada ura-ura untuk meletakkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Nik Mohd Zain Yusuf untuk bertanding di situ tetapi calon itu agak tua bimbang tidak mendapat sokongan golongan muda.  [wm.kl.4:21 pm 30/10/12] - http://msomelayu.blogspot.com

Pembangunan tanah Yayasan Selangor telus

Harakahdaily, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Yayasan Selangor ingin memberikan jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanahnya kini dan akan datang adalah telus dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan projek-projek yang telah dijalankan sebelum ini oleh pengurusan terdahulu.

Demikian ditegaskan oleh Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Sebagaimana yang dimaklumi, tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur milik Yayasan Selangor akan dibangunkan sebagai pusat komersil sebagaimana persekitarannya. Pembangunan tersebut akan dimulakan pada awal tahun 2013.

Sebagai ganti kepada Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL), Yayasan Selangor akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, yang menelan belanja tidak kurang daripada RM50 juta (tidak termasuk kos tanah).

Kos pembinaan SBP di biayai daripada pulangan cadangan projek usahasama memajukan tapak AYSKL, Jalan Kg Pandan dengan pulangan kepada YS tidak kurang daripada RM300juta ("in cash and kind").

Pihak kami ingin memberikan jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanah Yayasan Selangor kini dan akan datang adalah telus dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan projek-projek yang telah dijalankan sebelum ini oleh pengurusan terdahulu.

Yayasan Selangor kini amat berhati-hati dan mensyaratkan pulangan kepada YS daripada sesuatu projek usahasama (joint-venture) adalah 30:70; di mana YS perlu mendapat 30% keuntungan daripada GDV (Gross Development Value) projek tersebut. Ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan rakyat Negeri Selangor.
Ini amat berbeza dengan proses pembangunan semasa pemerintahan Barisan Nasional (UMNO) dahulu, di mana YS hanya mendapat antara 3 – 5% sahaja daripada GDV.

Ini terbukti daripada pembangunan tanah di Persimpangan Jalan Raja Muda/Jalan Tun Razak, Kg. Baru apabila YS hanya mendapat sebuah bangunan bernilai RM54 juta, sedangkan GDV projek tersebut adalah sekitar RM1.8 billion. Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Petaling Jaya, Klang dan Kelana Jaya.
Semua projek kini adalah melalui proses tender terbuka, sedangkan pada zaman BN dahulu ia dijalankan secara rundingan terus (direct negotiation). Disebabkan pulangan yang amat rendah dan proses rundingan terus, pihak kami berpendapat kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses tersebut.

Semua kepincangan proses pembangunan hartanah YS pada masa dahulu akan melalui proses “forensic audit” tidak lama lagi. Pemilihan Auditor kini sedang ditender secara terbuka.

Tuduhan-tuduhan kononnya pihak pengurusan tertinggi YS atau Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kepentingan dan berhasrat untuk menjual tanah milik YS adalah fitnah semata-mata.

Kami menganggap tuduhan liar tersebut hanyalah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu untuk memancing undi dan menjatuhkan image Kerajaan Pakatan Rakyat, memandangkan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi.


Oleh itu, pihak kami ingin mengingatkan kalangan tertentu supaya tidak menyamakan proses tender kini yang dikendali secara telus/terbuka di YS, dengan proses pembangunan secara "runding terus" semasa zaman BN tidak lama dahulu.

NGO mahu penduduk tanah tradisi Terengganu dibela

Salmiyah Harun Foto Fendi SK, 30 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima memorandum daripada NGO Institut Peduli Rakyat (IPR)-Terengganu berhubung tindakan kerajaan Terengganu merampas tanah 36 buah kampung tradisi tanpa mengikut prosedur dan akta pengambilan tanah 1960.

Menurut Abdul Hadi, sebarang pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan sangat dialu-alukan dengan syarat rakyat mesti dilibatkan sama khususnya apabila membabitkan tanah mereka.

"Bukan bermakna kita menolak pembangunan tetapi setiap rakyat mesti dilibatkan untuk pembangunan dengan cara munasabah. Perlu ada makanisme bagaimana untuk turut sama melibatkan rakyat dalam sesuatu pembangunan yang hendak dijalankan," katanya di lobi Parlimen.

Turut sama menerima memorandum tersebut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua IPR Terengganu Salleh Embong, banyak kampung tradisi dalam bandar Kuala Terengganu terhapus kerana pembangunan semula bandar yang tidak mengambil kira kepentingan masyarakat yang tinggal di kampung tersebut.

Katanya, kebanyakkan kampung ini mempunyai nilai warisan yang sepatutnya dijaga oleh kerajaan.

"Disinilah tempatnya perusahaan-perusahaan tembaga dan songket yang terkenal di seluruh Malaysia," katanya.

Tambahnya, 36 kampung yang terdiri daripada puluhan ribu penduduk ini adalah sebahagian dari kampung tradisi yang telah terhapus, sedang terhapus dan akan terhapus ekoran dari kerakusan pembangunan.

Antara kampung yang sudah terhapus, Kampung Daik, Kampung Keling, Kampung Paya Keladi, Kampung Jail, Kampung Aur, Kampung Petani, Kampung Cendering dan Kampung Pantai Pandak.

Manakala kampung yang sedang terhapus Kampung Ladang Mengabang, Kampung ladang Cicar, Kampung Ladang Batu Satu dan Kampung Cabang Tiga.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen Salleh berkata Kampung Ladang antara yang terkenal dengan perusahaan kraf songket dan tembaga.

Kata beliau, sebelum berpindah penduduk kampung berkenaan dijanjikan sewa beli tempat baru dengan kadar RM126 sebulan malangnya mereka terpaksa membayar sewa sebanyak RM300 sebulan.

"Tapak warisan kraf mereka sekarang ini dibangunkan dengan kondominium mewah yang akan menjadi mercu tanda kemegahan Kuala Terengganu, sebaliknya menafikan kemampuan kebanyakkan penduduk asal untuk memilikinya," katanya.

Justeru katanya, pengambilan tanah yang mengabaikan prosedur akta pengambilan tanah dan penghapusan masyarakat kampung tradisi yang berkaitan dengannya adalah isu kemanusiaan dan kemasyarakat yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha mengambil tanah atas nama pembangunan.

"Isu pampasan, penghapusan kampung tradisi dan masyarakatnya, pembangunan yang mengenepikan kepentingan sosio ekonomi dan ekologi penduduk kampung berkenaan mengakibatkan penghapusan masyarakat setempat dan menimbulkan kesulitan hidup," katanya.

Pekebun kecil: Kenapa tergamak ‘sembelih’ kami?

Khairil Abdul Rahim, 30 Okt 2012
TEMERLOH: Seramai 90 pekebun kecil getah Felda Lakum, Lanchang di sini mendakwa kerugian lebih RM3 juta sejak empat tahun lalu akibat persatuan mereka gagal mendapat lesen membeli dan menjual serta pusat mengumpul getah (PMG) daripada Lembaga Pelesenan Getah Malaysia (LPGM).
Dalam aduan mereka kepada Konvoi Cakna Rakyat yang dipimpin Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mereka mendakwa mempunyai bukti permohonan persatuan tersebut telah dikhianati.

(Gambar: Fauzi menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim.)

Dalam memorandum mereka kepada rombongan PAS Pahang itu, mereka menjelaskan persatuan mereka merupakan warga Felda Lakum yang telah berdikari mengusaha dan membangunkan sendiri ladang getah dengan bantuan tanaman semula di bawah Risda, telah mengeluarkan hasil sejak 2009.

Sejak itu telah beberapa kali persatuan tersebut memohon lesen daripada LPGM dengan bayaran sebanyak RM400 berserta pelan tapak PMG, kebenaran oleh tuan tapak dan lain-lain dokumen lengkap telah ditangguhkan pihak Lembaga Pelesenan Getah Malaysia sedangkan permohonan telah dibuat.

Malangnya LPGM telah tiga kali menghantar jawapan bertulis “ditangguhkan” dengan alasan pihak berkenaan tidak membenarkan dan dalam masa yang sama Felda sendiri telah membina PMG tetapi telah lama menutup operasinya.

Ketua Biro Ekonomi Persatuan Pekebun Kecil Felda Lakum Fauzi Omar, 64, memberitahu PMG Felda ‘gulung tikar’ kerana tidak ada sebatang pun getah Felda di situ kerana Felda hanya mengusahakan kelapa sawit.

“Pada masa ini ladang persatuan kami menghasilkan getah sekerap 5 metrik tan sehari dan jika dikira sepanjang empat tahun penghasilan kami kerugian antara RM3 ke RM4 juta kerana terpaksa mengumpul dan menjual melalui pihak lain atau ada masanya dirampas pihak berkuasa.

“Kami telah memajukan industri komoditi Felda tetapi kenapa tergamak ‘menyembelih’ kami?” soalnya.

Fauzi berkata, persatuan mereka yang pernah memenangi anugerah persatuan pekebun kecil terbaik kebangsaan itu mempunyai perancangan lain jika berjaya mengumpul dana melalui perniagaan getah termasuk memajukan hartanah persekitaran yang berstatus lokasi gred satu kerana menjadi laluan utama ke Pahang Barat.

“Apa gunanya kerajaan dan Felda bercakap tentang transformasi Felda dan membawa peneroka ke arena perniagaan antara bangsa sedangkan peneroka sendiri ditindas?” soalnya lagi.

Felda Lakum mula diduduki pada tahun 17 November 1979 dengan 500 peneroka pada masa itu.

Pada tahun 2002 semua peneroka telah habis membayar hutang Felda dan pokok getah ditebang. Tahun 2003 mereka mula mengusahakan tanaman semula.

Bagi yang menyerahkan pengusahaan ladang kepada Felda menanam kelapa sawit sementara 160 peneroka yang terus menanam semula getah memohon bantuan pekebun kecil daripada Risda dan mula mendapat hasil mereka pada 2009.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Ramli Kamal, 64, berharap kelulusan lesen persatuan mereka disegerakan untuk kemudahan jualan getah seharian di samping menggerakkan ekonomi persatuan dengan cara berdikari seperti mana yang dikehendaki oleh matlamat penubuhan Felda itu sendiri.

“Semua tahu bahawa matlamat penubuhan Felda ialah akhirnya membimbing peneroka berdikari dan berjaya, tetapi kes kami ini kejayaan kami mahu disekat,” katanya.

Ramli memberi contoh, Felda Jengka 14 tidak menghalang persatuan pekebun kecil getah mempunyai lesen sendiri sehingga mereka boleh berniaga dengan berjaya.

Beliau turut berharap Pakatan Rakyat dapat memberi perhatian serius kepada masalah mereka seberapa segera daripada sekarang sehinggalah apabila berjaya menubuhkan kerajaan nanti.

Tuan Ibrahim yang memberi respons segera berkata PAS melihat perkara yang tidak telus telah berlaku akibat Felda sendiri telah lari daripada fungsi asal iaitu membawa peneroka berdikari.

“Apa yang berlaku sekarang ialah penindasan Felda terhadap orang Melayu sendiri. Dan kita akan membawa perkara ini ke peringkat atas bagi membela nasib kelompok peneroka yang teraniaya ini,” katanya.

Jambatan Sultan Yahya lambat siap dibisukan

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir, 30 Okt 2012

KOTA BHARU: Umpama bertukar antara orang gemuk dan sembab. Itulah yang berlaku kepada Umno apabila projek kerajaan pusat gagal siap mengikut jadual dibisukan, sebaliknya bising terhadap projek kerajaan negeri.

Sedangkan projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua lebih tiga tahun tersasar daripada jadual asal. Lebih parah lagi apabila terpaksa ditambah lagi peruntukan lebih RM34 juta.

Projek berkenaan dipecah tanah oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Jun 2007 sepatutnya siap pada 31 Disember 2009.

Projek berkenaan melibatkan kos awal sebanyak RM143 juta, sekarang mengikut Laporan Ketua Audit Negara bertambah kepada RM177.76 juta.

Sedangkan projek pembangunan Lembah Sireh tidak melibatkan sebarang kos kerajaan negeri, sebaliknya pembangunan berkenaan ditanggung sepenuhnya syarikat swasta.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan Umno yang berselindungi di sebalik nama NGO membuat laporan SPRM berhubung kelewatan projek pembangunan Lembah Sireh seperti “bertukar orang”.

“Kenapa projek Lembah Sireh yang perlu dibuat laporan SPRM, tidak pula projek Jambatan Sultan Yahya Petra atau kes yang melibatkan penurunan saham Felda Global Venture Holdings (FGVH),” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi Peringkat Negeri, di Dewan Teratai hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra semasa kerajaan PAS di bawah Datuk Asri Muda berjalan lancar tak ada masalah walau pun tak ada wang ketika itu.

“Tetapi zaman kerajaan kaya ni lewat hampir empat tahun Jambatan Sultan Yahya Petra kedua kenapa tak buat laporan SPRM,” katanya.

Pemuda Umno Kelantan dan NGO, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) baru-baru ini mahu SPRM menyiasat projek Lembah Sireh yang didakwa kononnya berlaku penyelewengan.

Ketuanya Anuar Safian dilapor berkata, pihaknya menyifatkan isu Lembah Sireh sebagai skandal terbesar melibatkan kerajaan PAS Kelantan.

Pada persidangan Dun baru-baru ini Timbalan Menteri Besar menjelaskan kelewatan projek pembangunan Lembah Sireh disebabkan masalah teknikal memandangkan kawasan lembah terpaksa ditimbus semula.

Bagaimanapun Menteri Besar bersedia menerima cadangan pihak tertentu untuk mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kelewatan projek pembangunan berkenaan.

Katanya juga beliau cukup terharu wat-wat Siam di Kelantan bergabung menghulurkan sumbangan dana wakaf Lebuh Raya Rakyat Kuala Krai-Kota Bharu berjumlah hampir RM70,000.

“Sedangkan pada masa yang sama ada orang Melayu bawa peralatan pembinaan yang sudah buruk bagi mempersendakan projek lebuh raya. Tak apalah biarkanlah mereka nak buat apa pun.

“Malah mereka juga yang sering membangkitkan isu bekalan air bersih,” ujarnya.

Teknologi membran lebih murah dari Langat 2

Hazayani Zakaria, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum sidang Dun bermula bagi membincangkan isu air di Selangor.

Salah satu perkara yang akan dibincangkan dengan Muhyiddin yang merupakan ketua jawatankuasa kabinet untuk Projek Langat 2 adalah mengenai teknologi membran bagi menggantikan Langat 2.

Khalid menegaskan, kos teknologi membran yang dapat meningkatkan penghasilan air jauh lebih rendah berbanding Langat 2 yang hanya dapat menyelesaikan masalah air pada 2016.

"Saya sudah tulis surat kepada beliau tapi belum ada jawapan tapi saya akan tulis surat lagi dan akan bertemu beliau sebelum sidang Dun pada 19 November ini kerana saya akan menjawab semua soalan berhubung isu air di Selangor.

"Saya sudah siapkan kertas kerja teknologi membran ini dan kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air di Selangor," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu juga berkata, kos teknologi membran hanya menelan belanja RM800 juta berbanding Langat 2 RM300,000 juta.

“Kos lebihan (projek Langat 2) terlalu tinggi sebab itu kerajaan negeri jaga hak rakyat,” katanya.

Turut bersama dalam sidang media ialah Dzulkifly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Azmin Ali (PKR-Gombak).

Terdahalu, Ahli Parlimen Rembau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat menuduh Kerajaan Negeri Selangor degil kerana tidak mahu membenarkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Langat 2.

Suasana menjadi kecoh seketika apabila Khalid bangun memberikan penjelasan.

“Adakah Timbalan Menteri pernah baca kertas kerja untuk menentukan pilihan air dari Pahang? Bagaimana unjuran dan kos bandingan dibuat?

“Ada pilihan lain lebih baik dari segi kos dan kecekapan pengurusan. keluaran air terawat melebihi 5 juta liter sehari, yang dipakai 3.5 juta liter dan 1.5 juta liter bocor,” katanya.

Rakyat desak wakil rakyat BN kembalikan tanah

Salmiyah Harun, 30 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat Terengganu akan sekali lagi berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar bagi menuntut hak milik tanah yang dinafikan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi memberi amaran agar wakil rakyat BN yang dianugerahkan tanah menyerahkan semula kepada kerajaan negeri.

"Sekiranya tidak, rakyat yang tidak memiliki tanah ini akan berhimpun di hadapan pejabat MB bagi mendapatkan tanah mereka yang dirampas sebelum ini," katanya dalam sidang media.

Beliau melahirkan kekecewaan dengan sikap rakus kerajaan BN Terengganu yang tanpa rasa bersalah menganugerahkan tanah kepada wakil rakyatnya dengan minima satu hektar sedangkan ratusan ribu rakyat mereka masih tidak mempunyai tapak kediaman.

"Ini satu yang malang, apabila sebuah negeri yang kaya raya tetapi rakyat terus dibelenggu dengan kemiskinan," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut berkata, Umno Terengganu bertindak merampas semula tanah yang diberikan kepada rakyat sewaktu pentadbiran kerajaan PAS tahun 1999.

"Tanah yang kita bagi pada rakyat miskin malah ada yang sudah membina rumah secara berdikit-dikit, bila PAS kalah Umno ambil balik tanah dan rumah rakyat dirobohkan.

"Dalam masa yang sama pula 13 wakil rakyat BN pula dikurniakan tanah satu hingga dua hektar setiap seorang oleh kerajaan," tegasnya.

Bagi Wahid, tanah yang seluas satu hektar ini sekiranya dipecah kepada lot ianya boleh diagihkan kepada 20 orang di kalangan rakyat Terengganu.

Bahkan katanya, dengan keluasan satu hektar ini seandainya dipecahkan kepada 20 lot dengan keluasan 500 meter selot ia boleh mencecah RM50,000 setiap satu lot.

"Ini bermakna pemilik tanah tersebut mampu menjana sehingga RM 1 juta untuk 20 lot," katanya.

Wahid turut mendedahkan empat orang wakil dan bekas wakil rakyat BN Terengganu mendapat tanah di Kawasan Bukit Dendong Mukim Tembila Daerah Besut.

Masing-masing mereka mendapat tanah seluas satu hektar yang terletak di 'layout' tapak rumah Kawasan Bukit Dendong tepi pantai Laut Cina Selatan yang berlot PT6964, PT6904, PT6903, dan PT6902.

Tiada ulasan: