Rabu, 31 Oktober 2012

BANYAK PILIH JALAN SELAMAT DAN SELESA...ADAKAH RASULULLAH SAW BEGITU...HINGGA BERHIJRAH DAN HENDAK DIBUNUH...ALLAH TAHU SAPE PENAKUT DAN ADA UNSUR SYIRIK...TAKUT TINDAKAN MANUSIA ATAU REZEKI TERJEJAS...AKHIRAT KITA AKAN TAHU...DIDUNIA PUN PUN BOLEH AGAK...MUNGKIN TAK TEPAT

Pemuda Umno desak AES ditangguh
Wartawan Sinar Harian
30 Oktober 2012
AES
Sistem AES
SHAH ALAM –  Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.
"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas
akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.
Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum
bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.
"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia
mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.
Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.
"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.
AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.
Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.
Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya
kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu.
Cuepacs juga gesa tangguh AES, rancang kaji selidik seluruh negara
JAMILAH HAMZAH
30 Oktober 2012
AES
Sistem AES
SHAH ALAM - Cuepacs turut menggesa supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan ekoran desakan yang diterima daripada kakitangan awam, yang jumlahnya lebih 1.3 juta orang.
Semalam, negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) mendesak tindakan sedemikian manakala Pemuda Umno pula mengambil pendirian yang sama hari ini.
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada kakitangan penjawat awam yang berulang-alikdari rumah ke tempat kerja, termasuk mereka yang bergegas atas arahan majikanmasing-masing.
Beliau juga berkata, sistem AES perlu dikaji semula untuk melihat lokasi yang sesuai diadakan kamera dan perlu ada koordinasi di setiap negeri termasuk negeri-negeri ditadbir PR.
“Bukan negeri ini pasang, negeri itu tak mahu pasang, kita terima desakkan daripada ramai kakitangan awam yang berulang-alik untuk bekerja.
“Kadang-kadang keadaan jalan dilihat selamat, cukup sekadar memasang papan tanda had laju, tanpa perlu adakan AES disebabkan keadaan yang 'clear' tanpa sebarang punca kemalangan.
“Seperti waktu balik kampung sempena perayaan baru-baru ini, dari Kuala Lumpur ke Melaka memamakan masa hampir enam jam disebabkan pemandu yang berhati-hati dengan perangkap had laju (AES) itu, ini membuang masa," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Mengulas lanjut, Omar berkata, AES adalah perkara yang barudan  sepatutnya rakyat perlu diberi taklimat terlebih dahulu sebelum perlaksanaannya dikuatkuasakan.
Katanya, Cuepacs telah minta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan lawatan kerja bersama pihaknya di tempat operasi sistem pemasangan AES tersebut.
Selain itu, beliau menggesa keras kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemasangan AES di setiap lokasi dan jika tiada tindakan, Cuepacs akan bertindak mengedarkan soal selidik kepada rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.
“Kita akan bertindak sekiranya pihak bertanggungjawab enggan mengambil tindakan terhadap gesaan kita, kita akan buat sendiri soal selidik '3 in 1' di kalangan rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.
"Melalui soal selidik itu, kita akan tanya sama ada mereka setuju dengan pemasangan AES atau pun tidak," katanya lagi.
Dalam pada itu, Omar juga melahirkan keraguan tentang matlamat pemasangan AES di negara ini kerana kegagalan pihak terlibat memberi taklimat termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan rakyat.
Wacana: Ulama Pas sedia ikut syarat Asri
JAMILAH HAMZAH
30 Oktober 2012
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tentang kaedah dan syarat yang sesuai bagi mengadakan wacana, yang disyorkan pihaknya untuk menyelesaikan kontroversi berkaitan soal teguran dan gaya pimpinan Ayatollah.
Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Dr Mohd Khairuddin A Razali berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk membincangkan secara matang dan profesional dengan Asri yang sudah "terbiasa dengan Pas."
Menurutnya, Pas akan mengambil tindakan susulan untuk berbincang dengan Asri bagi mencapai persetujuan untuk memilih platform yang boleh membincangkan isu pemimpin Ayatollah dalam suasana lebih berilmu dan matang.
Tambah beliau, “kita menyambut baik jika Dr Asri bersetuju.”
“Kita akan bincangkan cara yang akan digunakan untuk membincangkan isu itu, kalau beliau nak guna cara wacana, kita akan ikut.
"Lagi pun kita tidak kekok dengan beliau, kita sudah biasa, dan kita akan berbincang dengan sesiapa sahaja yang mahu pencerahan dalam sesuatu isu yang meragukan.
"Kita yakin perbincangan berilmu ini akan dilakukan dalam keadaan aman,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini, di sini.

[UNTUK SERTAI BANCIAN ONLINE, SILA KLIK DI SINI]

Semalam, Asri berkata, beliau bersedia untuk berwacana dengan Dewan Ulama Pas Pusat berhubung isu pimpinan Ayatollah sekiranya pertemuan itu bagi membincangkan isu dibangkitkan secara “matang dan ilmiah.”
“Jika ada apa-apa wacana ilmiah yang berbincang secara matang, saya sudi untuk pergi. Tetapi, ia perlu dibuat secara perbincangan yang matang,” kata beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jemputan Mohd Khairuddin dan akan memberikan pandangannya kelak.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, sesiapa sahaja yang mahukan pencerahan terhadap sesuatu isu, Pas tidak akan menolak, selagi tidak bercanggah dengan perjuangan Islam.
"Seperti isu Chua Soi lek hina hudud, kita terima kalau pihak Barisan Nasional terutamanya Umno nak berbincang, berdiskusi dengan kita secara matang, kita terbuka," katanya lagi.
MB Selangor sedia tanding 2 kerusi 'jika diarah'
Wartawan Sinar Harian
30 Oktober 2012
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia bertanding merebut dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kawasan mana untuk beliau bertanding perkara itu akan ditentukan oleh sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semua pengumuman pertandingan hanya boleh diumumkan oleh dua orang iaitu ketua umum dan presiden parti.

“Kalau diserahkan tanggungjawab kepada saya maka saya sedia untuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Abdul Khalid terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Anwar yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Selangor.

Abdul Khalid berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana dikatakan ramai yang memintanya untuk menjadi calon di Bandar Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata, tidak menjadi masalah sekiranya menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding merebut dua kerusi.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding mempertahankan Dun Ijok, Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
PRU13: Hasan Ali belum buat keputusan
Wartawan Sinar Harian
30 Oktober 2012
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali masih merahsiakan pendirian sama ada bersedia untuk bertanding pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) atau tidak

“Memandangkan jangkaan pilihan raya  akan diadakan pada Februari (tahun) depan, sekarang masih banyak masa untuk menentukan sama ada saya bertanding atau tidak, di kawasan mana nak bertanding dan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Ditanya jika membuat keputusan bertanding, beliau akan memilih tiket parti mana, Hasan berkata, perkara itu bukan isu.

“Tiket mana boleh saja, apa pun tak penting. Yang penting perjuangan meneruskan agenda iaitu memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat keahliannya oleh Pas kini aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (Jati) yang memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.
NFCorp berhutang dengan NS
HAMIZAH BASIR
30 Oktober 2012
Datuk Seri Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan
SEREMBAN –  Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) didakwa berhutang dengan Kerajaan Negeri Sembilan sehingga mencecah RM200,000 berikutan sewa pajakan tapak projek yang tertunggak, sejak setahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang beroperasi di Gemas itu tertunggak bayaran sewa berikutan isu yang melanda syarikat berkenaan.
“Kita sudah tulis surat kepada NFCorp kerana sudah setahun tertunggak bayaran sewa tanah seluas 1,500 ekar yang dipajakkan.
“Sekiranya pihak NFCorp masih gagal membayar dalam tempoh ditetapkan, kita akan batalkan sewa pajakan projek berkenaan dan kadar bayaran akan dinaikkan dalam kontrak penjanjian baru,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, dekat sini, hari ini.
Warga emas didakwa rogol anak jiran 10 tahun
NORSHIKIN MOHD SALLEH
30 Oktober 2012
[DIKEMAS KINI] JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang layak digelar datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak jiranya berusia 10 tahun.

Tertuduh, Mohamad Soha Abdullah, 65, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah anaknya di sini dalam tiga kejadian berasingan sekitar awal bulan ini.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit kerap ke rumah tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan bagi mendapatkan duit untuk membeli makanan ringan dan abang mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan pernah melihat tertuduh yang  berkahwin dua kali dan bercerai memasukan tangannya ke dalam kemaluan mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan perkara terbabit.
Perbuatan terkutuk itu, hanya disedari mak cik mangsa yang meragui lalu menyoal murid tahun empat itu sehingga pendedahan mengenai kegiatan  terkutuk lelaki terbabit.
Atas kesalahan itu, Mohamad Soha didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman  yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000.

Mohamad Soha yang  memakai kemeja-T berwarna kelabu dan seluar panjang mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhdi.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Mohd Asram Zakaria memohon dikenakan jaminan yang rendah memandangkan faktor usia tertuduh.

Nu’aman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes  20 November ini.
Rafizi: Langkah NS batal status tanah tak sah
ARHIZA AHMAD
30 Oktober 2012
Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - PKR mendakwa tindakan Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan status hutan simpan kekal di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan, Johol, adalah tidak sah.

Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli berkata, tindakan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana melanggar Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Menurutnya, sehingga kini Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, masih belum memberikan sebarang jawapan berhubung pendedahan yang dibuat oleh PKR.

“Kami (PKR) akan membuat laporan polis di Seremban pada Khamis ini, agar satu siasatan dapat dijalankan.

“Tindakan yang dilakukan oleh Mohamad mengenai penggantian hutan simpan adalah untuk cuba menyembunyikan perkara sebenar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Mohamad yang menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Kerajaan Negeri memberi hak milik tanah hutan kepada orang lain adalah tidak berasas.

Beliau memberitahu sejak pentadbirannya, semua tanah hutan simpan yang dikeluarkan adalah di bawah seliaan Yayasan Negeri Sembilan dan tidak pernah diberikan kepada mana-mana pihak luar.

Mohd Rafizi berkata, hasil dari siasatan yang dijalankan mendapati Kerajaan Negeri mempunyai rekod terburuk dalam penggantian hutan.

Katanya, ini dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri menerima teguran dalam Laporan Audit 2010 berkaitan perkara tersebut.
Anggota polis parah ditembak di Gua Musang

30 Oktober 2012
Khalid
Khalid menyampaikan jambangan bunga kepada isteri Mohd Shamsul, Maisarah ketika mengadakan lawatan ke HRPZ II, hari ini.
KOTA BHARU- Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah, selepas ditembak penjenayah dengan beberapa das tembakan di bahagian dada, dalam kejadian di hadapan Balai Polis Paloh 2, Gua Musang, di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Shamsul Anuar Mohd Adnan, 27, bersama beberapa anggota dari balai berkenaan menyertai operasi sekatakan jalan raya di hadapan balai terbabit, setelah mendapat maklumat berkenaan kejadian samun di bandar Gua Musang.

Dipercayai semasa kejadian mangsa yang bertindak nekad memberkas dua suspek di dalam dua kereta berasingan iaitu kereta jenis Honda dan BMW ditembak salah seorang suspek ketika mereka cuba melarikan diri dengan melakukan pusingan U.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan kini ditempatkan di wad rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pembedahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pihak polis sudah mengepung sekitar kawasan Felda terbabit bagi mengesan suspek.

“Walau bagaimanapun, polis berjaya mendapatkan semula kedua-dua kenderaan itu namun suspek yang berada di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri.

“Buat masa ini kita masih memburu suspek dan kita giat menjalankan siasatan bagi menangkap mereka yang terlibat,”katanya kepada pemberita pada sidang media di HRPZ II selepas menemui keluarga isteri mangsa, Maisarah di dewan menunggu.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid berkata di atas keberanian Mohd Shamsul, beliau mengumumkan kenaikan pangkat serta-merta anggota terbabit ke peringkat yang lebih baik sebagai ganjaran terhadap tindakannya itu dalam membenteras jenayah.

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Sementara itu menurut isteri mangsa, Maisarah Kasim, 27, dia hanya mengetahui suaminya mengalami kecederaan parah selepas diberitahu rakan sekerja suaminya, melalui panggilan telefon kira-kira jam 1.30 pagi.

“Terkejut juga apabila menerima berita itu, namun saya tabahkan hati dan berharap agar suami berada dalam keadaan stabil dan dapat menjalani pembedahan dengan selamat.

“Suami saya seorang yang rajin bekerja walaupun bercuti serta tidak pernah merungut dan sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan ikhlas terhadap pasukan,” katanya.

Tiada ulasan: