Khamis, 9 Disember 2010

SEMUA ADA TALIAN HAYAT...GUNAKAN SEBAIK2NYA UNTUK ALLAH DAN TAKWA....JANGAN SAMPAI TALI HAYAT DAH ABIS...BANYAK CERITA....SEMASA ADA BUATLAH TAKWA

APCO uruskan Najib, Rosmah dan Zahid ke AS
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Blogger kontroversi Raja Petra Kamaruddin mendedahkan bahawa syarikat perunding imej kerajaan, APCO Worldwide telah terlibat penuh dalam penyusunan jadual lawatan untuk Perdana Menteri, isterinya dan Menteri Pertahanan ke Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini.

Dalam satu dokumen yang merupakan pendedahan wajib kepada Jabatan Kehakiman AS, Petra telah mendedahkan bahawa APCO telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur program mereka.

APCO yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat dilantik sebagai perunding citra kerajaan pada Julai tahun lepas, untuk memberikan nasihat tentang konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tahun ini, APCO menerima tamparan hebat kerana diheret dalam pertarungan politik negara apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa lembaga pengarah syarikat tersebut dianggotai oleh beberapa kerat pemimpin Israel di Parlimen. Syarikat juga didakwa pernah melakukan kempen "One Israel" untuk Tel Aviv sebelum ini.

Ekoran pendedahan itu, Anwar dikatakan akan digantung selama enam bulan dari Dewan Rakyat. Para pemimpin PAS juga telah menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja bagi membantah penglibatan APCO ini.

Ogos lepas, ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mendedahkan bahawa Malaysia menjadi pelanggan negara terbesar APCO, dengan bayaran RM 77 juta setahun.

Berdasarkan dokumen yang diledakkan oleh Petra, APCO mendakwa bahawa mereka terlibat dengan penggambaran dan rakaman video program Datin Seri Rosmah Mansor, yang disebut sebagai ‘Wanita Pertama’ di AS untuk kegunaan kerajaan Malaysia.

Syarikat tersebut juga mendakwa bahawa mereka terlibat penuh dalam membantu dalam merancang rundingan pakar-pakar pemikir dan majlis makan malam yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Dalam dokumen itu juga turut didedahkan bahawa semasa lawatan Najib ke AS September lepas, APCO telah memainkan peranan penting dalam mengatur pertemuan Perdana Menteri dengan pelbagai wakil akhbar, lembaga-lembaga akademik, kerajaan AS dan organisasi dasar, serta pelbagai pertemuan dengan media.

“Selama kunjungan Perdana Menteri Najib ke Amerika Syarikat pada akhir September 2010, pendaftar (APCO) memberikan sokongan logistik untuk pertemuan dan wawancara antara Perdana Menteri bersama editorial New York Times, wakil-wakil dari CNN, Wall Street Journal dan Dewan Hubungan Luar Negeri.

"Pendaftar juga menghadiri ceramah Perdana Menteri di Dewan Hubungan Luar Negeri pada September 28, 2010,” tambah surat pendedahan itu.



Khir Toyo korban PRU -13
Muhayat Jasmin

JERAI, 10 Dis Pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed KhirToyo merupakan agenda terancang Barisan Nasional (BN) bagi mencapai aspirasi mereka untuk menang menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, dakwa Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Khir menjadi mangsa politik BN yang terpaksa dikorbankan menjelang pilihan raya yang akan datang.

"BN cuba pamerkan imej bersih mereka dengan mengorbankan Ketua Pembangkang dalam Dun Selangor. Melalui cara ini BN mahu buktikan kepada rakyat mereka seolah-olah telus dalam membasmi rasuah dan penyelewengan," katanya.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan sendiwara ini dan menggesa menolak BN dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan perubahan lebik baik berlaku dalam negara.

Katanya, BN tidak mampu menyelesaikan masalah rasuah kerana mereka telah bergelumang terlalu lama dengan penyelewengan yang melibatkan sebahagian besar dari pemimpin mereka.

"Penyelewengan - penyelewengan yang berlaku sejak dahulu khususnya waktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak pernah pernah dibongkar dan diambil tindakan walaupun berpuluh - puluh aduan maupun laporan polis dibuat.

"Kes Khir Toyo ini langsung tidak menunjukkan mereka (BN) serius melakukan perubahan, ini hanya kes terpilih sama seperti beberapa kes sebelum ini yang disendiwarakan untuk tujuan politik," ujar beliau mengulas isu Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah.

Khir Toyo, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Bagaiamanapun beliau dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni yang turut didakwa tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut yang dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh hari ini.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Dipihak Pakatan Rakyat khususnya, pendakwaan terhadap Khir Toyo masih dilihat sebagai usaha Umno dan BN memulihkan imejnya menjelang saat-saat pilihan raya umum yang dijangka hanya tinggal beberapa bulan lagi.

Pendakwaan terhadap Khir Toyo disifatkan sama dengan pendakwaan terhadap Eric Chia dan Kasitah Gaddam yang pernah diwar-warkan sebagai kes berprofil tinggi untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan menentang rasuah ketika diawal pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Dalam kes Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Eric Chia yang dikatakan skandal penggunaan wang rakyat terbesar yang pernah dibicarakan iaitu melibatkan RM76.4 juta, berakhir dengan keputusan mengejutkan rakyat apabila mahkamah membebaskan beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain yangt turut mengulas perkembagan kes Khir Toyo berkata, strategi politik BN sudah boleh dibaca iaitu menjadikan satu atau dua jerung besar sebagai mangsa menjelang pilihan raya.

"Walau bagaimana pun rentak tari BN, rakyat tidak akan mudah terpedaya. Yang jelas Umno dan BN semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa pemerintahan dalam negeri dan juga negara.

"Pakatan Rakyat (PR) optimis, kekuatan yang terhad dimiliki oleh Umno dan BN itulah yang memaksa mereka bertindak sedemikian terhadap Khir. Bagi Umno dan BN siapa yang menjadi mangsa tidak menjadi keutamaan mereka. Kemenangan dengan apa jua cara sepertimana yang mereka lakukan di Perak adalah agenda utama, " katanya.



Banteras rasuah, Umno tingkat kempen pulih imej
SiasahDaily

Umno kini sedang meningkatkan usaha memulihkan imej buruk yang menyumbang kepada kekalahan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini memberi gambaran lebih jelas kepada usaha terbaharu Umno pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilapor berkata kerajaan serius memerangi rasuah tanpa mengira martabat dan jawatan.

Persoalan terhadap manfaat tindakan itu kepada pemerintah, yang diulas pertama kali oleh SiasahDaily dalam komentar bertajuk Kes Khir Toyo: Peluang Umno Bersih Imej Hadapi PRU 13, semakin menjadi persoalan kini.

Dalam tulisan itu, SiasahDaily menulis: "Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

"Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan."

Najib dilapor berkata martabat dan jawatan bukan jaminan tidak dikenakan tindakan kerana rasuah, merujuk kepada kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Walau bagaimanapun, tindakan terhadap Khir lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan yang pasti.

Tindakan terhadap Khir menimbulkan spekulasi tentang persaingan merebut kedudukan dalam Umno di Selangor, yang berharap merampas negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, tindakan itu kelihatan seperti satu tindakan pembersihan dalaman dicetuskan oleh Umno sendiri.

Tindakan itu juga berlaku terlalu lama - dan selepas Khir tidak lagi menjadi menteri besar - selepas laporan-laporan awal terhadapnya timbul.

Keseriusan membanteras rasuah tidak cukup dengan hanya mendakwa Khir yang kelihatan sebagai satu token, atau hanya untuk memenuhi syarat minima, tetapi perlu dibuktikan dengan pendakwaan seorang yang berjawatan lebih tinggi dan masih lagi memegang jawatan, dan lebih penting, bukan individu kurang penting yang hendak dikorbankan. - siasahdaily.blogspot.com




DAP Selangor lantik Melayu, Ronnie hilang
Harakahdaily

PETALING JAYA, 10 Dis: DAP Selangor telah melantik lima anggota baru kedalam Jawatankuasa Negeri termasuk seorang Melayu, Azman Masri, namun Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu tertinggal dalam senarai pimpinan negeri kali ini.

Menurut Ean Yong Hian Wah (gambar), Setiausaha DAP Selangor yang baru dilantik, kelima-lima mereka dilantik dalam mesyuarat pertama jawatankuasa itu semalam, setelah mereka dipilih dalam konvensyen negeri sebelum ini.

Mesyuarat itu diadakan buat pertama kali selepas kesemua mereka dipilih oleh konvensyen DAP Selangor yang adakan sebelum ini.

Lima ahli yang dilantik adalah Azman Masri (ahli majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Ganabatirau Veraman (peguam, aktivis dan ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam dan bekas tahanan ISA), Lee Kee Hiong (ahli majllis Majlis Perbandaran Kajang), Ang Leng Kiat (ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Lwi Kian Keong (ahli majlis Majlis Perbandaran Sepang).

Barisan penuh DAP Selangor adalah Teresa Kok (pengerusi), Tony Pua (Timbalan Pengerusi), Teng Chang Khim dan Charles Santiago (Naib Pengerusi), Ean Yong Hian Wah (Setiausaha) Ng Suee Lim (timbalan Setiausaha), Hannah Yeoh (Bendahari), Lau Weng San (Setiausaha Program), Teo Nie Ching (Penolong Setiausaha Program), Jenice Lee (Setiuasaha Publisiti), Lim Soon Hong (Penolong Setiausaha Publisiti), Tiew Way Keng (Pengarah Pendidikan Politik).

Ahli-ahli adalah Gobind Singh Deo, S.Ramakrishnan, T.Kannan, Azman Masri, Ganabatirau Veraman, Lee Kee Hiong, Ang Leng Kiat dan Lwi Kian Keong.



PKR jawab tinjauan penyelidik UM
Nik Nazmi Nik Ahmad

Soal selidik yang baru dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya menjelang pemilihan parti telah dibentangkan kepada pimpinan Parti Keadilan Nasional beberapa minggu sebelum disampaikan kepada media.

PKR merupakan parti yang memimpin budaya politik baharu di Malaysia. Sejak awal lagi, parti menyedari risiko yang dihadapai, sekiranya sistem satu anggota satu undi menyebabkan persaingan yang berpanjangan.

Namun walaupun proses pemilihan mencabar, proses tersebut juga perlu bagi memastikan kualiti kepimpinan dan mengurangkan risiko politik wang.

Parti mengambil risiko ini sekarang meskipun wujud kemungkinan persepsi negatif pengundi selepas kempen serangan Umno dan Barisan Nasional untuk memanipulasi pemilihan.

Sebelum in, PKR telah membuat satu lagi keputusan berani. Pada tahun 1999, konsep parti pelbagai kaum yang benar-benar mewakili semua rakyat Malaysia dilihat berisiko, namun PKR tetap istiqamah dan pendekatan ini menyumbang kepada kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan pembentukan Pakatan Rakyat.

Keputusan melalui proses pemilihan langsung telah terbukti keputusan yang baik apabila lebih ramai pimpinan wanita dan muda mendapat tempat di peringkat nasional dan cabang seluruh negara.

Kami yakin dengan kematangan rakyat dan PKR mempunyai kebolehan untuk bertindak berdasarkan kematangan ini.

Kekuatan PKR datangnya daripada rakyat dan kami akan terus berusaha untuk terus memantapkan PKR agar rakyat Malaysia mendapat parti politik yang terbaik.

Justeru kami mengalu-alukan sebarang kritikan membina dan pandangan dengan hati yang terbuka.

PKR akan memulakan siri kempen di peringkat nasional untuk kembali mengenengahkan keadilan sosial dan permasalahan rakyat dalam wacana politik Malaysia. - anwaribrahimblog.com

Penulis ialah pengarah komunikasi PKR.



Gembleng blogger Pakatan jadi media alternatif
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pakatan Rakyat harus memberikan perhatian serius terhadap peranan blogger pro Pakatan dalam menyebarkan maklumat yang tepat berhubung Pakatan dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Pakatan Rakyat harus mempersiapkan pasukan blogger agar lebih berstrategi dalam menyampaikan maklumat dan menjawab segala serangan BN terhadap Pakatan.

Persiapan ini juga, katanya harus dilakukan segera memandangkan terdapat jangkaan PRU akan diadakan tahun hadapan.

Blogger pro Pakatan mestilah digembleng tenaga untuk menjadi media alternatif bagi menjawab serangan BN kepada Pakatan.

"Disebabkan gendang pilihan raya telah dipalu oleh BN, usaha tersebut mestilah disegerakan," kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini bahawa kedudukan 100 blog politik Malaysia berdasarkan Alexa ranking menunjukkan senarai blogger pro kerajaan mendominasi kedudukan teratas blog-blog yang sering dikunjungi oleh pelayar internet.

Senarai ini menggambarkan blogger pro kerajaan kini berjaya mendominasi media baru dalam melancarkan serangan siber.

Khalil juga berkata, tidak dinafikan blogger pro kerajaan melancarkan serangan terhadap Pakatan secara tersusun dan berstrategi.

Justeru ujarnya, blogger pro Pakatan juga harus dibentuk dan disusun secara lebih teratur dan kukuh untuk membalas serangan itu.

"Saya dapati serangan blogger BN agak berstrategi dan semacam ada kesatuan dan perancangan yang rapi yang dilakukan oleh mereka.

"Kerana itu saya berpandangan usaha dari blogger pro Pakatan juga perlu dengan perencanaan dan strategi secara terancang bagi menawan BN," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya juga, peranan blogger juga jelas membantu kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lepas terutamanya menarik minat golongan muda.

Ini juga kerana blogger Pakatan lebih beretika dalam membuat sebarang pendedahan dengan memberikan bukti dan fakta yang jelas, bukan hanya memfitnah.

"Saya melihat semasa PRU ke 12 media pro pembangkang berjaya menarik minat golongan pengundi muda untuk mendapatkan maklumat

"Apalagi segala pendedahan dari blogger Pakatan adalah dengan fakta dan bukan niat untuk memfitnah serta menjaga akhlak Islam.

Katanya lagi, jika Pakatan mengambil ringan usaha ini, tidak mustahil golongan muda beralih kepada BN.

"Jika kita lambat dan silap percaturan mungkin mengakibatkan pengundi yang datang dari kelompok yang mempercayai media ini akan memilih BN," katanya



Kenapa hanya Khir Toyo?
Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya bercadang menyinggung isu bekalan air Selangor yang mendorong demonstrasi besar-besaran Ahad lalu. Kontroversi kenaikan kadar taraf air di negeri termaju itu, sebanyak 37 peratus, saya kira, ada kaitan dengan beberapa aduan awal saya kepada Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) membabitkan bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo, hampir sepuluh tahun lalu, berkaitan kos melampau pembekalan dan pemasangan pair air.

Di negara ini, pelbagai projek kemudahan awam, seperti bekalan air bersih dan tenaga elektrik, juga pembinaan jalan (termasuk longkang), sekolah, klinik kesihatan dan hospital kerap dimanipulasi sebagai sumber utama memperkayakan kroni dan suku-sakat elit penguasa. Nilai pembiayaan projek berkenaan melalui wang rakyat meningkat berkali ganda daripada kos sepatutnya, apatah lagi segalanya diuruskan melalui rundingan terus, sedangkan "gemuruh" tender terbuka hanya gimik politik untuk menunjukkan keterbukaan dan ketelusan.

Dalam kes di Selangor, kos membiayai proses penggantian paip air lama sepanjang 6000km membabitkan lebih RM2 bilion. Malangnya, Syabas (melalui pengerusinya, Rozali Ismail, yang bergaji hampir RM500,000 sebulan) melihat kesempatan itu untuk menimbunkan lagi kekayaan, apatah lagi syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif air yang tinggi oleh kerajaan persekutuan. Bukan saja perjanjian untuk mendapatkan bekalan paip buatan tempatan tidak dipatuhi, malah Rozali sendiri dikatakan bertindak sebagai pembekal paip kepada Syabas!

Bagaimanapun, semasa mengikuti latihan fisioterapi di HUKM, Cheras -- lanjutan pembedahan pintasan jantung tujuh bulan lalu -- pagi Isnin, 6 Dis, saya menerima banyak panggilan telefon dan SMS. Aneh sekali, kebanyakan mereka mengucapkan tahniah kerana Dr Khir bersama seorang lagi (yang juga pernah saya sebutkan nama beliau, Shamsuddin Hayroni, dalam satu aduan kepada BPR) ditahan SPRM untuk didakwa di mahkamah. Ramai mengaitkan dakwaan rasuah membabitkan Dr Khir dengan saya, walhal mungkin kesnya berbeda sama sekali.

Meneliti kes yang dipilih Peguam Negara untuk mendakwa Khir, ia mungkin di antara kes paling kecil yang pernah diadukan.

Saya akui usaha membongkar penyalahgunaan kuasa Khir, tidak sampai setahun selepas beliau dilantik Menteri Besar Selangor, memang mendebarkan dan agak "luar biasa". Tidak cukup dengan puluhan aduan kepada BPR, saya turut mengedarkan risalah, memorandum dan kenyataan akhbar (termasuk mengadakan sidang akhbar di lobi sidang Dun Selangor ketika Khir membentangkan bajet Selangor); menerbitkan akhbar tidak berkala (tetapi semua 43,000 naskhah dirampas di kilang percetakan sebelum sempat diedarkan); menganjurkan forum awam di sebuah hotel dekat Stadium Merdeka; berkempen dalam pilihan raya kecil di Anak Bukit (Kedah) dan Indera Kayangan (Perlis); merakamkan video (dengan bantuan Dinsman dan Nasir Jani), juga berceramah di Tanjung Karang (termasuk di sebelah rumah Khir di Simpang Lima)!

Meneliti kata pengantar dalam buku terbaru saya, yang mengumpulkan kolum Catatan Hujung di Harakah, Dinsman mengungkapkan: "Waktu itu dia (Ahmad Lutfi) semacam obses dengan isu rasuah Khir Toyo itu, hinggakan dalam pilihan raya kecil pun, Kedah, dia menyebarkan maklumat rasuah Khir Toyo ini dalam kempen-kempen pilihan raya di kawasan berkenaan. Barangkali tidak ada orang lain yang sedemikian komitednya dengan sesuatu isu yang diperjuangkan, seperti halnya Ahmad Lutfi dalam isu tersebut."

Petang 6 Dis itu, seorang wartawan TV Selangor minta reaksi awal saya memandangkan Khir ditahan bukan di atas laporan yang saya kumpulkan dahulu. Memang kes yang dipilih SPRM itu tiada kaitan langsung dengan lebih 20 aduan yang pernah saya kemukakan. (Penat saja saya turun naik pejabat SPRM berulang kali, di Putrajaya dan juga Shah Alam). Sebenarnya, saya sendiri sudah lupa perincian kes-kes lama itu. Saya hanya menjalankan tugas selepas dibekalkan dengan begitu banyak dokumen daripada bukan saja sumber yang layak dipercayai, malah cukup dekat dengan Khir. Apa pun, saya cukup gembira dengan pengalaman berharga membongkar kes salahguna kuasa yang membabitkan sejumlah besar dana awam).

Namun, semua pihak maklum dengan fenomena "pendakwaan terpilih kes jenayah" di negara ini khususnya apabila membabitkan tokoh-tokoh politik BN. Saya juga pernah mengkritik penganugerahan darjah kebesaran Selangor kepada seorang pegawai tertinggi SPRM, yang dikhuatiri mempunyai muslihat tertentu. (Difahamkan bahawa di antara tokoh-tokoh yang "dijaga" elit penguasa Umno adalah mereka yang berkaitan pendakwaan dan penguatkuasaan, termasuk pegawai-pegawai kanan polis).

Sesungguhnya "nasib" aduan saya itu tidak penting. Dari awal saya menyedari, usaha membongkar penyelewengan orang besar yang masih berkuasa tidak semudah difikirkan. Pegawai SPRM, dalam banyak hal, bukannya mahu membantu, apatah lagi untuk menghargai usaha kita, malah tambah menyukarkan inisiatif bagi menyelamatkan wang rakyat dan mengangkat integriti. Pihak penyiasat terutama SPRM cawangan Selangor lebih berminat untuk mengorek rahsia siapa yang membocorkan dokumen sulit kepada saya. Beberapa usahawan dan peniaga yang disyaki menyalurkan maklumat itu telah disenaraihitamkan.

Saya telah melakukan segalanya dalam kes tersebut sehingga perniagaan penerbitan saya pun terpaksa ditutup ekoran terlalu banyak halangan melanda. Tidak kurang juga pelbagai "misteri" yang ditimbul sepanjang tempoh yang cukup tegang itu. Biarlah, saya tidak berhasrat untuk mengungkit segala kes lampau. Seperti saya tegaskan dahulu, memang banyak kes Khir yang tersenarai, namun ia tidak pernah beliau merupakan tokoh Umno paling bermasalah dari segi rasuah. Ramai lagi melakukan kesalahan sama, malah mungkin dalam skala lebih besar, tetapi tiada pendedahan dilakukan. Sebagai orang media, saya lebih berpeluang untuk "mensensasikan" laporan rasuah terhadap Khir itu.

Kini, tanpa perlu menunggu tindakan lanjut SPRM, Khir sudah pun dihukum rakyat dalam pilihan raya lalu. Beliau bukan saja kehilangan kuasa dan pengaruh (bukankah posisi MB Selangor itu cukup mengiurkan dan sumber segala kemewahan, selain berpotensi besar menggerakkan sokongan politik dalam Umno kepadanya), malah ditinggalkan kawan-kawan yang dahulunya rapat dan intim. Secara tiba-tiba, tiada lagi kata sanjungan dan pujian seperti dahulu. Itu semua satu bentuk penderaan, yang mungkin lebih dahsyat berbanding diheret ke mahkamah.

Umno sendiri secara terbuka menolak Khir, malah Perdana Menteri Najib Razak mengambil seteru politik beliau, Noh Omar menjadi orang penting dalam perhubungan Umno negeri. Najib adalah ketua perhubungan Umno Selangor dan Noh timbalannya. Walaupun Khir masih dilantik Ketua Pembangkang dalam sidang Dun, seperti nasib bekas dua Menteri Besar lain, iaitu Mahadir Khalid di Kedah dan Tajol Rosli Ghazali di Perak (sebelum rampasan kuasa), namun masa depan kerjaya politiknya ternyata hitam-pekat. Khir menjadi liabiliti besar buat Umno Selangor. Tiada siapa yang rugi jika beliau terpaksa dikorbankan. Selangor merupakan negeri terpenting untuk direbut kembali Umno walau dengan apa kos sekalipun.

Najib pula seperti mahu menjadikan kes Khir sebagai bukti bahawa BN benar-benar serius menangani rasuah dan bersungguh mahu membanteras penyelewengan. Bagaimanapun, saya yakin tidak ramai percaya, malah majoriti rakyat akan memperolok-olokkannya. Tindakan kosmetik seumpama itu sudah ketinggalan zaman dan begitu mudah dibaca motifnya. Umno bukan sahaja memerlukan lebih banyak kes berprofil tinggi dibawa ke mahkamah sebelum imejnya perlahan-lahan dapat dipulihkan, malah perlu melakukan usaha reformasi memperkasakan SPRM.

Abdullah Ahmad Badawi pun melakukan hal sama -- tindakan kosmetik untuk mengelabui mata rakyat -- tujuh tahun lalu. Kali pertama, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya umum 2004, memang ramai tersilau dan memberi kepercayaan kepadanya. Rekod hitam 23 tahun Dr Mahathir Mohamad, dari segi ketelusan dan amalan memerangi rasuah, membuatkan rakyat menaruh sedikit keyakinan buat Abdullah untuk melakukan perubahan. Walaupun berbekalkan sokongan luar biasa pada PRU11, Abdullah cepat lupa diri dan banyak kes rasuah yang dibawa ke mahkamah "gugur" begitu sahaja. Justeru, beliau dihukum pada Mac 2008.

Yang pasti pendakwaan Khir ini tidak mampu menyelamatkan Najib. Oleh itu saya tidak yakin ia ada kaitan dengan pilihan raya awal yang diuar-uarkan banyak pihak. Apatah lagi jika rakyat melihatnya sebagai kes sandiwara atau lakonan semata-mata. Itu hanya menyebabkan orang ramai berasa tertipu dan diperbodohkan. Kalaupun Jabatan Peguam Negara serius mahu "mengenakan" Khir, saya kurang faham mengapa kes-kes lain yang lebih kuat bahan buktinya tidak dipilih. Lebih penting, banyak lagi aduan membabitkan VVIP lain seperti tidak pernah dipedulikan




Selepas konvensyen, BN terus bergeser

Harakahdaily

Konvensyen Barisan Nasional yang diadakan hujung minggu lalu dikemukakan dalam media propemerintah sebagai satu kejayaan, melibatkan perpaduan dan kesediaan gabungan parti pemerintah itu berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau bagaimanapun, di sebalik imej kesatuan yang diuar-uarkan dengan slogan 1 Malaysia dan piagam baharu yang membawa prinsip lebih inklusif, realiti melibatkan parti-parti komponen utama BN sendiri mendedahkan imej perpaduan itu agak jauh daripada yang sebenarnya terlaksana.

Kebelakangan ini, BN berhadapan isu-isu berbaur perkauman yang tidak putus-putus, mengundang perdebatan terbuka melibatkan pemimpin-pemimpin parti komponen.

Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam angkatan tentera mencetuskan rasa tidak senang yang mendalam pada parti-parti komponen bukan Melayu.

Sehingga minggu ini, berdasarkan kenyataan susulan yang dibuat Zahid, isu ini kelihatan masih jauh daripada penyelesaian, malah mungkin akan terus menjadi api dalam sekam bagi BN.

Belum pun reda kontroversi kenyataan Zahid, konvensyen BN digegarkan dengan kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengecam tindakan Umno bertindak sebagai “big brother” dalam BN.

Kenyataan keras pemimpin parti Cina terbesar dalam BN itu terus mengundang reaksi marah pemimpin-pemimpin Umno.

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menulis dalam akhbar pro-Umno Utusan Malaysia membidas kenyataan Chua itu, yang didakwa cuba menjadi juara dalam parti dengan menunjukkan keberanian.

Kemudian, naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mengambil peluang mengulas kenyataan Chua itu dengan mengatakan ramai pemimpin Umno mencetuskan kemarahan ramai pemimpin Umno.

Hari ini, MCA membalas serangan Umno itu, apabila timbalan ketua publisitinya Loh Seng Kok dilapor berkata apa yang disebut Chua itu ialah sesuatu yang dirasakan oleh ramai pihak, dan menggesa Hishammuddin dan Puad terbuka menerima kritikan daripada orang ramai.

Malah, dalam kalangan Umno sendiri, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan penyanyi Namewee tidak melanggar undang-undang melalui lagu dan video muzik perkauman yang dihasilkan.

Nazri mencetuskan kemarahan ahli Umno yang melihat kerajaan pimpinan Najib takut atau tidak mahu bertindak terhadap individu kontroversi itu kerana menjaga hati kaum bukan Melayu demi memenangi kembali undi mereka.

Bagi ramai ahli dan penyokong Umno, yang sebahagian daripada mereka menzahirkan sentimen di blog, sensitiviti Melayu diabaikan akibat usaha memenangi hati pengundi bukan Melayu yang mereka anggap berlebihan.

Parti-parti komponen bukan Melayu juga masih tidak berpuas hati dengan keahlian terbuka BN yang diluluskan beberapa minggu lalu.

Komponen seperti Parti Gerakan mahu keahlian terus BN yang menjadikan semua ahli sama-rata dan Umno tidak lagi mendominasi.

Malah parti itu pergi jauh ke hadapan lagi apabila mencadangkan BN wujud sebagai satu parti tunggal, tindakan yang dilihat lebih berkesan menjadikan semua ahli sama-rata.

Keahlian terbuka yang diluluskan masih mengekalkan status quo kuasa Umno, dan juga parti-parti komponen. Tetapi berdasarkan realiti berasaskan kawasan pilihan raya, dominasi Umno masih kekal selepas pembukaan keahlian itu.

Tuntutan parti-parti komponen untuk mendesak slogan 1 Malaysia ditafsir dan dilaksana menurut tafsiran yang lebih liberal itu akan sentiasa wujud dan ditimbulkan dari masa ke masa.

Bagi MIC, yang bertukar pemimpin tertinggi baru-baru ini, sentimen terpinggir kelihatan masih dirasakan, ekoran kegagalan komponen itu menunjukkan prestasi yang baik dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Kes-kes ini hanyalah peristiwa terbaharu melibatkan pergeseran dalaman parti-parti komponen BN, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bersusah-payah berkempen untuk gagasan 1Malaysia diterima semua komponen.

Keadaan BN yang sukar ini boleh menjadi sesuatu yang positif kepada Pakatan Rakyat, ketika semua sedang berteka-teki tentang pilihan raya akan datang.

Tindakan Pakatan seterusnya, yang satu tanda pentingnya ialah konvensyen kedua di Pulau Pinang nanti, akan menentukan sejauh mana pergeseran dalam BN itu akan memberi manfaat kepada Pakatan



Sokongan pada Kampung Bandar Dalam

Ismail Hashim

Setelah mengisytiharkan tujuh kampung tradisional sebagai Kampung Warisan yang dimasukkan dalam Draf KL 2020, Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam menjadi lokasi himpunan sekumpulan seniman dan budayawan prihatin berkumpul menyatakan sokongan.

Penduduk Kampung Sungai Mulia, Kampung Merali, Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampung Puah Seberang dan Kampung Chubadak gembira menyaksikan himpunan seumpama itu.

(Gambar kanan: Antara seniman, budayawan dan tokoh masyarakat yang turut hadir sebagai sokong kepada perjuangan penduduk setempat.)

Draf KL 2020 itu mendapat tentangan hebat dari penduduk kampung yang rata-rata merupakan pewaris turun temurun dari nenek moyang dan ibu bapa mereka yang datang dari Indonesia sekitar tahun 1830-an dahulu termasuk menerokai Kuala Lumpur.

Antara seniman dan budayawan yang hadir adalah Seniman Negara, Datuk (Dr) A Samad Said, Sasterawan Rakyat, Azizi Haji Abdullah, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamad selain Presiden Budayawan Bertindak, (Dr) Dinsman, Penyair, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Ketua Kampung, Cikgu Ishak Surin.

Majlis yang berlangsung kelmarin itu bermula sejak petang hari hingga ke jam 11 malam. Berbagai acara seperti lagu puisi, deklamasi sajak dan pentomen turut dipersembahkan mengiringi ucapan dari tokoh yang hadir.

Datuk A Samad Said dalam ucapannya sebelum membacakan sajak Jikanya berkata, sangat malang jika kuasawan berbelang niagawan yang melihat semua kampung sebagai kantung mereka.

(Kiri: Nyanyian lagu puisi oleh Rahmat Haroun menyemarakkan suasana himpunan malam itu.)

Menurut salah seorang AJK Penganjur, penyair Pyan Habib, himpunan ini adalah perihal tujuh kampung tradisi di pinggir Kuala Lumpur, bersempadan dengan Daerah Gombak, Selangor yang terlibat dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 atau juga disebut Draf KL 2020.

“Apabila beberapa buah Kampung Melayu (terakhir) yang masih wujud dalam sekitaran kota metropolitan Kuala Lumpur ini hendak dihapus dan dipadamkan daripada peta tamadun kebanggaan kita - apakah kita sebagai manusia tidak tersentuh apa-apa?” soalnya.

Sebuah buku bertajuk Kampung Warisan Antologi Sajak 56 Penyair telah diusahakan penerbitannya sebagai tanda bertulis sokongan seniman dan budayawan terhadap perjuangan suci penduduk tujuh kampung pertahankan tanah pusaka berharga mereka.

Pada malam itu, peluncuran antologi itu telah disempurnakan oleh Syed Shahir yang turut berucap selepas ucapan Cikgu Ishak yang bersemangat dengan fakta sejarah yang tidak boleh dipertikainkan lagi.

Cikgu Ishak, lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan negara yang masih ada dan sering menjadi rujukan mereka yang memerlukan info sejarah yang benar dan tulin.

Menurutnya, keluarga mereka tinggal di tujuh kampung itu sejak sebelum negara merdeka hinggalah ke hari ini namun tidak pernah sekali pun, pihak berwajib datang untuk berbincang bagaimana hendak dibangunkan semua tujuh kampung warisan itu.

(Gambar sebelah: Budayawan, pelukis dan penulis, Prof Dr Siti Zainon Ismail sedang diwawancarai ketika sedang melukis.)

“Kerana itu, kami telah sepakat dan bermuafakat akan tetap dan terus mempertahankan kampung kami ini dari diambil atau dilupusmilik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Anak-anak muda kami di sini juga bersepakat memasang bendera berwarna hitam sebagai tanda perjuangan berkobar pertahankan hak kami dari dirampas,” tegasnya disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh.

Sementara itu, Prof Dr Siti Zainon pula berkata, jika Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menghantar memorandum Kembalikan Hak Air kepada rakyat negeri itupada 5 Disember lalu kepada Istana Negara, tidak lama lagi memo dari Kampung Warisan ini juga akan dihantar ke Parlimen untuk tujuan menarik perhatian pihak berkenaan



Eloklah ajar pencuri macam tu!
Mohd Nasir Awang

Kebanyakan media cetak edisi Terengganu pada Rabu, 8 Disember, memuatkan laporan kes seorang lelaki disyaki pencuri yang putus pergelangan tangannya ditetak pemilik rumah yang cuba dicerobohinya.

Kejadian dikatakan berlaku jam 3.30 pagi sehari sebelumnya di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan, Besut. Pemilik rumah terbabit yang bekerja menternak ikan dalam sangkar dilaporkan sedang tidur bersama enam ahli keluarganya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi tingkap rumahnya diumpil.

Selepas mengesyaki sesuatu, beliau mengambil parang dan keluar rumah melalui pintu utama tanpa disedari suspek sebelum ternampak kelibat seseorang sedang mengumpil tingkap rumahnya.

Suspek yang terkejut cuba berhadapan dengan pemilik rumah itu tetapi dia dilibas dengan parang dan terkena pergelangan tangan kirinya.

Pemuda berusia 28 tahun dari Setiu itu terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pergelangan tangannya yang putus itu terjatuh di halaman rumah.

Pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui pergelangan tangan tersebut dan menghantarnya ke Hospital Besut pada jam 5.30 pagi.

Gerakan mengesan suspek, terutama menerusi titisan darahnya, akhirnya membawa polis menemuinya dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah di sebuah chalet tidak jauh dari tempat kejadian.

Suspek dihantar ke Hospital Besut kira-kira jam 9 pagi sebelum dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangannya untuk penyambungan semula.

Seorang remaja wanita berusia 15 tahun yang turut berada bersamanya di chalet berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Beliau mendakwa isteri suspek, bagaimana pun kebanyakan akhbar menamakannya sekadar teman wanita. Di antara akhbar tersebut malah melaporkan remaja berkenaan sedang mengandung.

Secara kebetulan, lokasi kejadian dan chalet disebutkan itu terletak dalam lingkungan hanya tiga kilometer dari rumah penulis. Keadaan itu memudahkan penulis meninjau reaksi dan penilaian anggota masyarakat setempat berhubung kejadian itu.

Percayalah, kebanyakan yang ditemui tanpa teragak menyatakan amat bersetuju dengan tindakan tuan rumah itu. Ada yang berkata “padan muka (kepada suspek)”, ada yang menyebut “memang patut pun”.

Yang lain pula mengiyakan, “molek lah, ajar dia (pencuri) macam tu”. Malah ada juga yang memuji langkah pemilik rumah bertindak terlebih dahulu sebelum apa-apa kesempatan diambil suspek terhadapnya.

“Seribu satu macam kemungkinan boleh berlaku. Daripada dapat (kesempatan bertindak) kat dia (suspek), lebih baik tuan rumah bertindak dulu”, mereka mewajarkan tindakan tuan rumah terbabit.

Dalam ertikata lain, tiada pihak yang meluahkan rasa simpati terhadap suspek penjenayah itu. Kekerapan kejadian pecah rumah, termasuk antaranya melibatkan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap tuan rumah, menyebabkan anggota masyarakat semakin membenci pelaku jenayah.

Di samping berharap insiden malang sebegitu tidak menimpa mereka sendiri, masing-masing anggota masyarakat turut bersetuju akan mengambil tindakan serupa sekiranya berkesempatan mengenakan suspek jenayah.

Apatah lagi mereka seakan didedahkan dengan kefahaman bahawa tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang bagi pemilik rumah bertindak mempertahankan harta dan nyawa mereka, terutama dalam situasi genting sebegitu.

Ulasan sedemikian mengingatkan kita kembali kepada kes lebih serius yang berlaku tidak sampai sebulan lalu. Dalam kejadian pada 16 November lalu, seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun menggunakan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Media melaporkan ketika kejadian, suspek bersama rakannya bersenjatakan parang telah menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gajinya di tingkat bawah. Suspek kemudian naik ke bilik mangsa di tingkat atas sebelum terserempak dengan mangsa yang kemudian melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

Walau pun tindakan mangsa itu mengakibatkan kehilangan nyawa suspek, masyarakat umum boleh menerimanya sebagai betul, terutama di atas premis mempertahankan diri dan ahli keluarganya, serta keselamatan harta bendanya.

Maka, apabila dalam kes di Besut tadi, “hukuman” diterima suspek hanyalah melibatkan kehilangan pergelangan tangan, kebanyakan anggota masyarakat menganggapnya “hukuman” yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Malah antara mereka mengandaikan “hukuman” itu bakal menjadi pengajaran kepada suspek seumur hidupnya.

“Sampai bila-bila pun dia (suspek) akan ingat dan tak akan berani mencuri lagi bila tengok tangannya yang sebegitu,” telah mereka.

Agak menarik, secara kebetulannya “hukuman” diterima suspek itu secara zahirnya “menyamai” pendekatan terdapat dalam hukum Islam. Kita sedia maklum bahawa salah satu jenayah syariah di bawah hudud ialah mencuri. Hukuman bagi mereka yang sabit kesalahan mencuri ialah dipotong tangan.

Hukuman inilah yang sangat ditentang dan dimomokkan sebilangan pihak dalam negara kita sendiri, terutama ekoran hasrat dua kerajaan diterajui PAS (Kelantan dan Terengganu) mendaulatkan hudud dan qisas sebelum ini.

Apa yang ditakdirkan Allah berlaku di Besut itu semacam suatu kesempatan untuk kita meninjau pendapat dan penilaian masyarakat umum tentang hukuman bersesuaian untuk seorang penjenayah, khususnya pencuri.

Alhamdulillah, sebagaimana dicatatkan di atas, reaksi mereka seakan memberikan isyarat jelas bahawa hukum memotong tangan pencuri bukan suatu digeruni, sebaliknya dialu-alukan. Pengajaran utama dari sikap mereka itu ialah tiada siapa mahu bersimpati dengan penjenayah!


Tiada ulasan: