Khamis, 9 Disember 2010

BILA TAK SEGAN SILU LANGGAR HUKUM ALLAH DAN NAK MEROBOH RUMAH ALLAH...MACAM MEREKA TAK PERCAYA ADANYA HARI AKHIRAT....

Tumpu kalahkan Umno BN dulu
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Semua pihak mestilah menumpukan keutamaan untuk mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu dan jangan tersasar dengan isu-isu tidak relevan dan tidak matang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam hal ini, adalah sangat tepat penegasan (Presiden PAS) Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang bahawa apa yang penting kita menang pilihan raya dan Pakatan Rakyat (PR) boleh menilai siapa pemimpin yang boleh diterima semua rakyat.

"Ada isu yang tidak relevan buat masa ini dan ada pula yang belum matang untuk diperdebatkan. Yang paling penting dan paling relevan ialah usaha habis-habisan untuk mengalahkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Mahfuz percaya, banyak perkara yang masih belum matang untuk dibangkitkan boleh diselesaikan dengan penuh hemah berdasarkan prinsip demokrasi dan perundingan yang seimbang dan bertanggungjawab.

"Bagi PAS, setiap kali kita berunding dengan mana-mana pihak pun, kita berpegang tegas dengan tujuan perjuangan kita untuk mendirikan agama dan berpolitik dengannya dan kerananya sambil memberikan pertimbangan kepada realiti semasa.

"Malah, Rasulullah s.a.w. sendiri sentiasa memberi pertimbangan kepada realiti semasa sehingga dibantah oleh sahabat-sahabat tertentu kerana menganggap baginda terlalu bertolak ansur," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz begitu yakin, pendirian tegas untuk mendirikan agama dan berpolitik dengannya dan kerananya akan membawa kesejahteraan kepada semua pihak kerana Islam bukan sahaja ajaran yang sangat rasional dalam hubungan sesama manusia malah ia adalah rahmat bagi seluruh alam.

"Apa yang penting, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuktikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dengan tingkah laku, perbuatan dan amalan politik kita dan jangan melakukan tindakan yang menyebabkan Islam dituduh akibat persepsi terhadap kita," katanya.

Presiden PAS, baru-baru ini menegaskan bahawa PR bergerak secara kolektif.

"Apa yang penting kita menang pilihan raya dan Pakatan Rakyat boleh menilai siapa pemimpin yang boleh diterima semua rakyat.

“Ketua bukan semesti PAS, bukan semesti PKR, tidak semestinya... kemungkinan ada orang Umno yang masuk PAS, ada orang Umno yang masuk PKR ada tokoh-tokoh mereka atau daripada kalangan kita sendiri yang jadi pemimpin,” katanya.



Putrajaya jatuh, Umno akan lapar
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Pemimpin Umno BN hendak mempertahankan Putrajaya bukan untuk rakyat, tetapi untuk suku sakat mereka yang sedang kehausan dan kelaparan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahu mempertahankan Putrajaya demi kepentingan rakyat dan negara di dalam taklimat strategi BN Selangor di Shah Alam hari ini.

Katanya, PAS berpandangan gesaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno sebagai bayangan kerisauan yang wujud di wajah pemimpin Umno di semua peringkat.

Menurutnya, mimpi ngeri 8 Mac 2008 masih menghantui pemimpin Umno, mereka bimbang dengan peningkatan celik maklumat di kalangan rakyat, melalui kuasa media baru, terutama di kalangan genarasi muda.

Tambahnya, mungkin pemimpin Umno boleh menipu emak bapa mereka, tetapi kerja pencerahan maklumat akan dibuat oleh anak-anak mereka yang terpelajar.

Justeru, katanya Muhyiddin sepatutnya rasa malu, kalau alasan untuk mempertahankan Putrajaya kerana kepentingan rakyat.

Tambahnya, seantero dunia sudah tahu BN yang memerintah negara ini gagal menjalankan amanah dan mengkhianat kepada rakyat selama 53 tahun.

Sekarang, ujarnya kualiti hidup rakyat semakin menurun, kuasa membeli rakyat semakin rendah, semuanya gara-gara kegagalan Umno mentadbir negara.

“Sepatutnya Timbalan Presiden Umno kena beri motivasi kepada pemimpin Umno, kita kena pertahankan Putrajaya kerana perut kita semakin kempes, kerana lubuk emas dijaga oleh manusia bukan oleh puaka,” ujarnya.

Beliau turut membidas tuduhan Muhyiddin mengatakan “kalau Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak aman, maju dan kukuh. Jangan percaya kepada janji-janji pembangkang, mereka cakap tidak serupa bikin”.

“PAS hendak sedarkan Muhyiddin beliau sedar atau tidak ucapan itu terkena kepada batang hidung Umno yang dipimpin oleh beliau bersama dengan Datuk Seri Najib.

“Bukankah pemimpin umno yang berkata pada 1 November 2010, minyak RON 95 tidak akan naik sehingga hujung tahun ini, tiba-tiba Disember 2010 RON 95 telah dinaikkan, siapa yang lidah bercabang?” soalnya.

Justeru, katanya PAS mengingatkan kepada rakyat Selangor terutamanya jangan berikan madat kepada BN dalam pilihanraya akan datang kerana jika BN menang segala bentuk kebajikan akan bertukar kepada penindasan.

Katanya, air percuma 20 meter padu setiap bulan, skim warga emas yang meninggal mendapat RM2,500 akan hilang.

Buktinya, kata beliau rakyat Terengganu sudah mengalami hari ini apabila BN memerintah Terengganu, cukai pintu di zaman PAS memerintah dikecualikan telah dikenakan kembali pada tahun 2004 apabila mereka kembali berkuasa



Anwar jamin stabilkan PKR jadi keutamaannya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menjadikan usaha untuk menstabilkan partinya sebagai keutamaan beliau sekarang ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada rakan twitter beliau Zaim90 yang membuat cadangan agar beliau memberikan tumpuan untuk menstabilkan PKR selepas berpendapat PAS dan DAP dalam keadaan stabil sekarang.

"Ya, ia menjadi keutamaan kami," kata Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh dalam twitternya.

"Saya tidak menyokong Umno-BN. Kita perlu perubahan. PAS, DAP dalam keadaan stabil, tetapi PKR tidak. Anda perlu perkasakan PKR secepat mungkin," tulis Zaim90 dalam twitternya kepada Anwar.

Pengakuan Anwar ini memberikan harapan kepada semua pihak untuk melihat parti-parti dalam Pakatan Rakyat bersiap sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan awal tahun depan.

PKR dilihat sedikit bermasalah apabila melalui proses pemilihan kepimpinan baru-baru ini. Ini kerana, sistem pemilihan terus yang dilaksanakan PKR itu adalah satu sistem yang baru dan terdedahkan kepada banyak kelemahan.

Aklibatnya, PKR kehilangan salah seorang pemimpin kanannya, Datuk Zaid Ibrahim apabila beliau keluar meninggalkan PKR kerana tidak berpuashati dengan sistem pemilihan terus itu.

Selain Zaid, PKR juga berhadapan dengan kritikan dari ahlinya yang lain. Terbaru, calon Ketua Angkatan Muda, Badrul Hisham Shahrin enggan menerima sebarang jawatan dalam PKR ekoran kekalahannya merebut jawatan itu.

"Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.

"Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataannya



SPRM akui penjawat awam Kelantan bersih
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 9 Dis: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengakui penjawat awam di negeri Kelantan begitu rendah terlibat dengan gejala rasuah jika dibandingkan dengan negeri lain.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya SPRM ( Bahagian Pengurusan ) Datuk Zakaria Jaafar, perangkaan SPRM menunjukkan dalam tahun 2010 bagi tempoh hingga Oktober tahun ini hanya seramai dua orang sahaja penjawat awam negeri yang dikenakan tindakan dari pihaknya.

"Walaupun angka ini amat kecil jika dibandingkan dengan kakitangan awam kerajaan negeri seramai lebih 7000 orang, namun sekiranya ia tidak dikawal, ia mungkin akan merebak satu hari nanti,”ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Hari Intergriti Peringkat Negeri Kelantan hari ini yang dirasmikan oleh Speaker Dun Kelantan Datuk Nassurudin Daud yang mewakili Menteri Besar Kelantan.

Zakaria juga berkata pelbagai cabaran yang perlu di atasi oleh setiap individu iaitu rasuah,khianat, birokrasi, mungkir janji, kerja bertangguh, Membuang Masa dan Hasad Dengki bagi menjadikan diri sebagai yang kukuh dengan jati diri dan penuh intergriti.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam negeri agar sentiasa mengawal diri terutamanya yang berkaitan dengan urusan rakyat dan hendaklah menjauhkan diri dari mendekati dengan unsur-unsur yang boleh membawa kepada tercalarnya integriti diri.

“Kalau kita sebagai ketua jabatan, janganlah cuba-cuba dekati orang yang ada kepentingan dan seolah-olah mengharapkan balasan dari mereka dalam sesuatu perkara,”kata beliau.

“Ada antara kita yang ada sedikit kuasa cuba memberitahu sesuatu masalah seperti kereta rosak kepada orang tertentu dan orang tu pulak akan cuba menyelesaikan masalah beliau terutamanya yang berkaitan dengan kewangan, ini juga adalah ciri-ciri yang membawa kepada berlakunya rasuah,”ujarnya lagi.

Sementara itu Speaker Dun Kelantan Datuk Nassurudin ketika merasmikan majlis tersebut berkata tokoh intergriti terkemuka ialah Rasulullah SAW yang seharusnya dijadikan contoh bagi kehidupan seharian termasuklah penjawat awam.

“Kerajaan Kelantan sentiasa menitik berat soal integriti terhadap kakitangan kerajaan dan juga pimpinan negeri, Alhamdulillah melalui tiga teras utama yang dilaksanakan di negeri ini iaitu Ubbudiyyah,Masuliyyah dan Itqan, kakitangan kerajaan dapat membendung diri darii perkara yang buruk,”ujarnya.

Nassruddin juga berharap kempen kesedaran integriti ini diteruskan dari masa ke semasa untuk kakitangan kerajaan agar sentiasa dapat dijadikan panduan semasa bekerja



Mahu ubah kuasa, fahamkan anak muda - Samad Said

Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.

Menurutnya, harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau bukan.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan politik taksub seperti kalangan dewasa.

Pak Samad berkata demikian ketika menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini kelmarin.

Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid 2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.

“Hanya melalui undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.

“Antaranya mereka perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas Samad.

Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.

Tambahnya, apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion sahaja?

Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu disegerakan.

Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan fikiran dan budaya.

“Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio budaya.

“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi rakyat.

“Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.

Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, wakil Abim dan ramai tetamu serta perwakilan dari seluruh negara termasuk luar negeri turut hadir.


Tindakan DBKL mahu roboh surau dikesali

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu merobohkan surau Madrasah Al-Falah Kampung Kerinchi, di sini yang berusia lebih 12 tahun amat dikesali oleh PAS, memandangkan tindakan itu jelas gagal memahami perasaan orang ramai terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

Pihak DBKL tidak seharusnya mengambil semudah itu, memandangkan ia melibatkan tempat ibadat umat Islam yang telah dibina sekian lama oleh penduduk tempatan dan dengan wang ringgit serta titik peluh mereka sendiri.

AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menyuarakan kekasalan itu berkata, lagikan rumah ibadat penganut agama lain termasuk Kristian, Buddha dan Hindu pun tidak boleh diperlakukan sebegitu mudah, apatah lagi dengan tempat ibadat umat Islam, sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menurut beliau, DBKL sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Jika orang ramai ternyata sudah tidak bersetuju untuk dirobohkan surau itu, pihak DBKL tidak sepatutnya merobohkannya walaupun atas tujuan pembangunan.

"Jadi dengan itu, sesiapa pun tidak boleh menyalahkan pendududuk di kawasan itu untuk mempertahankan surau itu dari dirobohkan. Mereka telah membinanya sendiri sejak sekian lama, jadi mereka memanglah berhak mempertahankannya dari dirobohkan dan dari sebarang pencerobohan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, jika hendak dirobohkan juga, ia tentunya menimbulkan tanda tanya dan kerisauan di kalangan penduduk tempatan, lebih-lebih lagi jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang jaminan kepada mereka mengenai surau yang akan menjadi gantinya, berapa lama surau yang akan menggantikan surau itu akan diperolehi dan di manakah pula mereka hendak mendirikan solat berjamaah dan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan lain sepanjang surau baru itu akan disiapkan?

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan DBKL yang mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu yang berakhir hari ini untuk tujuan pembangunan.

Ekoran notis itu, kira-kira 80 ahli kariah surau tersebut yang bimbang surau itu akan dirobohkan telah bermalam di surau itu sejak malam semalam sehingga pagi ini dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Pengerusi surau itu, Jasni Abdullah memberitahu, dua tiga hari sebelum ini, beliau telah menghubungi bahagian penguatkuasaan DBKL dan beliau telah diberikan jaminan mulut bahawa mereka tidak akan merobohkan surau itu.

"Mereka tidak memberi tempoh masa (penangguhan) dan tidak memberi (sebarang) alasan. Walaupun jaminan mulut yang diberikan, 80 ahli kariah tetap bermalam di surau ini sejak malam semalam. Pihak kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Kami juga turut menunaikan solat hajat supaya surau ini tidak dirobohkan," tegasnya.

Menurut beliau, pada mulanya, beliau berasa terkejut setelah mendapat notis sebulan yang lalu daripada DBKL untuk merobohkan surau tersebut yang telah beroperasi sejak 1998 lalu. Tambahan pula, surau tersebut mendapat bantuan pembinaan daripada DBKL termasuk perbelanjaan mengecat pada dua bulan lalu.

Berikutan penerimaan notis berkenaan, pihaknya menulis surat pada 16 dan 24 November lalu kepada DBKL memohon agar pihak berkuasa menarik balik notis itu. Namun pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.

Penduduk juga, katanya, telah menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 3 Disember lalu. Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada menteri itu. Sehingga kini, pihaknya masih lagi dalam proses rundingan dengan DBKL.

Mengulas perkara itu dengan lebih jauh, Dr Mujahid bimbang jika tindakan tersebut dilakukan oleh pihak DBKL disebabkan surau tersebut dilabel sebagai kubu penyokong PAS di kawasan itu.

"Tetapi saya harap perkara itu tidak berbangkit dan kebimbangan saya itu tidak berasas. Itulah harapan saya. Tambahan pula pengerusi surau itu sendiri pun sudah pun menafikan perkara itu," katanya.

Dalam perkembangan pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (GAMBAR) turut hadir ke surau itu untuk bersama penduduk tempatan. Beliau berharap agar pihak DBKL dan menteri berkenaan menjawab persoalan aduan daripada pihak penduduk mengapa surau itu mahu dirobohkan?

"Pihak surau telah menggunakan saluran diplomasi, tetapi surat (mereka) tidak dijawab," katanya dalam sidang media di surau berkenaan.

“Baru dua bulan DBKL sendiri mengecat bangunan (surau) ini (sehingga) cantik dan indah, malah Ketua Pengarah DBKL sendiri dilaporkan pernah hadir program pada Ramadan lalu... tiba-tiba notis ini dikeluarkan dengan mereka tidak melayan memorandum dan surat-surat ahli kariah ini," kata Nurul sekali lagi dalam sidang medianya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pihak surau ada mengadu berhubung perkara itu kepadanya, tetapi beliau meminta mereka berhubung terus dengan pihak berkuasa supaya "tidak ada elemen politik", namun beliau amat kesal kerana surat mereka tidak diendahkan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR yang telah meluangkan masa kira-kira sejam sejak 8 pagi di surau berkenaan akan menghantar surat kepada Raja Nong Chik memohon penjelasan berhubung perkara tersebut.

Kira-kira 70 orang termasuk mahasiswa dan wartawan berada di surau berkenaan. Sehingga tengah hari ini, tiada pegawai penguatkuasa DBKL hadir ke surau berkenaan. Bagaimanapun, dari pemerhatian Harakahdaily terdapat dua pegawai polis di surau itu.



Penagih paling ramai di Terengganu
Dr. Syed Azman Syed Ahmad


Amat memilukan…apabila seorang bapa yang berasal dari Hulu Terengganu sanggup bertindak menyimbah isteri, anak serta ibu mertuanya dengan asid. Suspek yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun isterinya enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid. Ujian air kecing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah amphetamine dan morfin.

Lebih malang lagi salah seorang anaknya Nurul Dahyatul Fazlina Khalid yang baru berusia 8 tahun cedera teruk di seluruh muka dan badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Kini adik Nurul berhadapan dengan kecatatan muka dan badan yang kekal buat selama-lamanya dalam hidup beliau angkara perbuatan bapanya sendiri.

Namun disebalik peristiwa yang menyanyatkan hati ini, lebih malang lagi bagi ‘negeri cantik budaya menarik ini’ kini berhadapan dengan gejala kerosakan akhlaq dan jenayah yang amat menggerunkan semua pihak. Kes rompak, curi, bunuh, peras ugut dan buang bayi yang jarang-jarang kedengaran berlaku di negeri ini lima atau sepuluh tahun yang lampau kini lebih kerap berlaku. Ini ditambah lagi dengan gejala ribuan remaja Melayu Terengganu yang terjebak dengan penagihan dadah dan HIV.

Saya terpanggil menyebut gejala dadah ini apabila Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Terengganu Supt. Roslan Abd Wahid pada sidang media di pejabatnya baru-baru ini telah mendedahkan bahawa negeri Terengganu telah mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun 2009. Malah menurut beliau berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

Beliau menambah lagi; “Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang... dan angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini,”

Katanya, rekod tangkapan pelbagai kesalahan dadah di negeri ini bagi tahun ini dari Januari hingga semalam ialah 3,791 orang, meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Malah, katanya jumlah tangkapan pengedar dan pembekal dadah pada tahun ini juga meningkat 11 peratus dengan 97 tangkapan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata lagi bahawa analisis dan kajian yang dijalankan oleh polis mendapati kebanyakan penagih dadah di negeri ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka merupakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan walaupun pelbagai program pemulihan telah dilakukan. Mereka juga menjadikan kawasan di luar bandar terutama di kawasan Felda sebagai pusat penagihan dan pengedaran dadah baru termasuk di kawasan segitiga emas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.”

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan fenomena akhir-akhir ini dimana pihak polis mendapati semakin banyak heroin bermutu tinggi dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran berikutan permintaan yang tinggi. Katanya lagi; “kebanyakan heroin yang masuk ke negeri ini adalah heroin no 4 yang lebih bermutu tinggi berbanding negeri pantai barat yang lebih banyak menggunakan dadah sintetik dan heroin no 3 ”.

Namun persoalannya siapakah yang harus kita persalahkan dalam hal ini? Apakah kita hendak menyalahkan anak-anak remaja semata-mata? Atau kita mahu menyalahkan ibu-bapa semata-mata? Bagaimana pula peranan kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said yang boleh berbelanja mewah lebih dari RM2.2 billion setahun untuk ’pembangunan’ negeri Terengganu? Ya, stadium boleh dibina, jalanraya boleh dibina, jambatan boleh di bina, malahan bangunan pencakar lagit boleh di bina di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Tetapi persoalannya untuk apa ini semua kepada rakyat Terengganu? Apakah rakyat Terengganu terlalu dahagakan ’pembangunan’ sehinggakan ’pembangunan insan’ terabai teruk tanpa siapa yang mahu mengambil tahu!

Bayangkanlah, negeri berbudaya menarik ini kini berhadapan dengan kadar penagihan dadah yang tertinggi di Malaysia dan mengatasi kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang.. Lebih malang lagi kebanyakan penagih dadah di negeri penyu bertelur ini terdiri daripada mereka yang berumur lewat 20-an hingga 40-an dan mereka ini merupakakan penagih tegar yang sukar untuk dipulihkan lagi.

Persoalannya apakah corak dan masadepan generasi baru Terengganu kite ini? Apakah gambaran generasi remaja Terengganu yang bakal menjadi pemimpin di masa yang mendatang ini? Apakah cukup dengan peruntukan puluhan juta untuk program remaja melalui budaya ’subsidi’ dan ’wang ehsan’ yang di salurkan kepada remaja seluruh Terengganu yang bermotifkan kepentingan ’politik sempit’ setiap kali datangnya musim perayaan? Apakah dengan menawarkan duit seratus, dua ratus ringgit yang di tabur kepada remaja ini boleh menyelesaikan gejala dan kemelut yang mereka sedang hadapi?

Malang, malang sungguh nasib rakyat Terengganu kite ini. Gula-gula wang ringgit dan kebendaan terus ditaburkan bagi menarik sokongan tanpa mengira kesan buruk yang berlaku. Dek kerana pitis (wang), kini maruah kebanyakan rakyat Terengganu tergadai...

-----------------------------------------------------------------
Penulis boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk



Pengganti Khir Toyo Belum Ditentukan Lagi

SHAH ALAM: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) masih belum menentukan siapakah yang bakal mengantikan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis.

Menurut Muhyiddin, sementara keputusan itu dibuat, urusan parti akan berjalan sepertimana biasa dan tidak ada sebab untuk terganggu.

"Untuk BN, kerja akan berjalan sepertimana biasa," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia, di sini, Khamis.

Muhyiddin mengingatkan seluruh anggota BN dan jentera parti bahawa ketiadaan Khir tidak bermakna kerja-kerja parti di semua peringkat perlu terhenti.

"Sudah tentulah seseorang akan kita lantik untuk mengantikan beliau," ujarnya.

Khir yang kini sedang berhadapan dengan dakwaan membeli dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini pada harga di bawah nilai pasaran iaitu RM3.5 juta (2007) sedangkan tanah itu dibeli pada asalnya dengan harga RM6.5 juta oleh Ditamas Sdn Bhd (2004).

Bekas Menteri Besar Selangor itu didakwa dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Isnin lalu yang boleh membawa kepada hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda atau kedua-duanya sekali.

Ahli Dewan Undangan Sungai Panjang itu pada Rabu telah menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai ketua pembangkang dewan undangan



Zambry bentang bajet tambah hutang
Harakahdaily
IPOH, 9 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mahu Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan kepada rakyat bagaimana perbelanjaan negeri diuruskan sehingga gagal meminima bahkan akan menambahkan hutang negeri yang sedia ada.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali dalam satu kenyataan berkata, sehingga hari ini Zambry gagal meyakinkan rakyat berhubung keupayaan kerajaan negeri untuk mempertahankan simpanan tetap negeri dari susut akibat bajet perbelanjaan yang tinggi.

"Malah apa yang lebih membimbanglan ialah ketidakmampuan Datuk Seri Dr Zambry memberi prospek jelas terhadap pendapatan kerajaan negeri hasil pelaburan asing bagi mengimbangi defisit bajet yang dibentangkan," katanya.

Ujarnya, kegagalan kerajaan menarik pelaburan asing, berikutan isu pergolakan politik kesan rampasan kuasa Barisan Nasional (BN), akan menjejaskan pendapatan kerajaan negeri ditambah dengan pembelanjaan tidak berhemah kerajaan yang pastinya mengakibatkan defisit yang lebih besar pada pembentangan bajet tahun depan.

Keadaan itu jelasnya perlu diawasi dan dipertegaskan kerana dibimbangi kemerosotan pelaburan asing ini berterusan sehingga berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

Ini kerana faktor yang akan menentukan kelicinan pentadbiran kerajaan negeri kelak banyak bergantung kepada kukuhnya keadaan ekonomi sesebuah kerajaan tersebut.

"Walaupun Datuk Seri Zambry menafikan bahawa kerajaan negeri tidak akan muflis tetapi beliau tidak mampu menolak hakikat bahawa hutang pada tahun 2011 akan bertambah dengan hanya bergantung kepada sumber air Perak sebagai punca utama pendapatan sedia ada.

"Kesan pengurusan perbendaharaan negeri yang tidak efisyen oleh kerajaan BN akan secara langsung bakal terkena kepada rakyat jika tiada langkah drastik serta telus diambil. Sudah tentu pentadbir kerajaan negeri selepas PRU 13 nanti akan berhadapan dengan kesukaran yang sengaja dicipta oleh kerajaan sekarang," katanya.


Selangor mahu LHDN turut siasat Khir Toyo
Harakahdaily

SHAH ALAM, 9 Dis: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta menyiasat bekas menteri besar Selangor kerana dakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo tidak menggambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan Menteri Besar Selangor itu.

Ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani penyakit utama negara yakni rasuah. Jauh sekali membersihkan kekotoran yang terpalit dan sebati pada Umno.

Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Langkah ini perlu, apatah lagi kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan, kata berliau dalam kenyataannya itu.

Pada 6 Disember lalu, Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Faekah, siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai.

Begitu juga dengan bayaran duti setem. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.

Rakyat, katanya, merasakan pendakwaan terhadap Mohd Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menutup salahguna kuasa yang lain.

"Pendakwaan ini lebih kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan UMNO untuk melantik Pengerusi Negeri yang baru," dakwa beliau.

Ia juga, katanya, satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti.

"Ingin ditegaskan, rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan UMNO menangani masalah rasuah," tambah beliau.

Rakyat, katanya, tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Negeri Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.

Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrup, tambah beliau.

Projek Alam Perdana pula, kata Faekah, yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.
Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran UMNO-BN. Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau.

"Mendakwa Dr Khir tidak bermakna mereka kini sedang di dalam proses pemutihan dan pemimpin yang bakal dipilih menerajui Umno Selangor harus diberikan peluang. Pilihlah sesiapapun, rakyat Selangor telah membuat keputusan," tambah beliau.

Dosa dan perbuatan rasuah mereka, katanya, terbongkar selepas Selangor diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan.

"Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari 3 tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan," tegasnya




Tiada ulasan: