Khamis, 9 Disember 2010

FAHAMILAH POLITIK DI MALAYSIA...KITA KENA FAHAM SAPE PENIPU SERTA PEMBOHONG..ZALIM..DAN TIDAK ADIL...SERTA TIDAK MENGUTAMAKAN HUKUM ALLAH...

Mengutamakan sasaran Pakatan Rakyat
Wan Hamidi Hamid


Walau dilanda kemelut politik dalaman, Pakatan Rakyat dilihat tetap utuh dan bersatu dalam usaha menggembleng tenaga bagi mengembalikan semula semangat persaudaraan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kemelut dalaman yang tak seberapa tetapi telah digembar-gemburkan oleh media arus perdana milik langsung dan tidak langsung Umno serta BN tidak banyak menggugat hati sanubari ahli serta penyokong Pakatan.

Malah, pengembalian semangat tsunami politik 2008 dijangka memberi nafas baru kepada Pakatan, terutamanya apabila Umno dan BN menyedari mereka juga mengalami masalah yang lebih besar.

Penyakit BN

Perdana Menteri sendiri tidak dapat lagi menutup pekung politiknya apabila terpaksa membuat pengakuan terbuka dalam konvensyen BN di ibu negara pada 5 Disember lalu dengan mendedahkan empat penyakit politik yang melanda gabungan pemerintah pusat itu.

Menurut pengakuan Datuk Seri Najib Razak, penyakit khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan telah melanda BN sebagai gabungan parti-parti yang sudah terlalu lama memerintah dan gagal muhasabah kelemahan diri.

Walau pun Pakatan tidak sepatutnya mengharapkan kelemahan musuh politik dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat, ia perlu menjadi hebahan kepada para pengundi yang selama ini dibekalkan dengan berita-berita berat sebelah dari media arus perdana.

Ini adalah kerana “keikhlasan” Najib dijangka tidak akan popular di kalangan para pemimpin Umno khususnya yang tidak pernah mengakui kelemahan diri dan sentiasa mencari alasan untuk menyalahkan orang lain apabila gagal memenuhi janji kepada rakyat, khususnya kepada orang Melayu.

Kesempatan ini perlu diambil oleh para pemimpin dan penyokong Pakatan untuk menyampaikan kebenaran kepada rakyat. Apatah lagi, sewaktu konvensyen BN diadakan, pihak polis – untuk kesekian kalinya tanpa budi bicara – telah menghambur gas dan air pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan aman beribu-ribu rakyat di ibu kota yang menuntut hak air.

Kenaikan harga barang

Di sebalik janji-janji pembangunan dan projek besar untuk rakyat, kerajaan BN terus membiarkan harga petrol, gas dan diesel naik manakala gula yang menjadi keperluan harian juga melambung harganya. Alasan untuk memansuhkan subsidi sukar diterima kerana berbilion ringgit subsidi masih dikekalkan untuk membela kroni-kroni seperti syarikat-syarikat memonopoli industri-industri tertentu termasuk korporat pengeluar tenaga bebas.

Tanpa segan-silu, pucuk pimpinan BN masih mewarwarkan program ETP, GTP, PTP dan Model Ekonomi Baru yang kelihatan indah dan gah termpampang di muka-muka akhbar untuk memulihkan ekonomi negara.

Yang menjadi persoalan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama: mengapa program-program gergasi bernilai berbilion ringgit itu dicanangkan sebagai usaha pusat untuk rakyat sedangkan BN tidak mampu untuk menangani kenaikan harga barang-barang keperluan harian? Persoalan ini bukan sahaja timbul di kalangan penyokong Pakatan, malah ia menjadi tanda tanya di kalangan akar umbi di pihak Umno dan BN.

Sikap pelampau kaum

Malah, tindakan-tindakan melampau kumpulan ultra kaum yang berkait rapat dengan Umno juga menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin dan penyokong komponen BN. Walau pun pemimpin mereka takut-takut untuk bersuara, di kalangan akar umbi komponen BN, mereka semakin meluat dengan sikap perkauman yang dibiarkan oleh Umno sebagai parti tunjang.

Sedangkan di pihak Pakatan, jelas kesepakatan – walau pun belum dalam konteks kebulatan suara – semakin terserlah apabila pimpinan dengan terang menolak perkauman dan ketuanan kaum. Sekali lagi, kelebihan berada di pihak Pakatan.

Di sini Pakatan Rakyat perlu menghimpun semula segala kekuatan intelek dan fizikal yang ada untuk mendepani isu-isu semasa di samping dasar-dasar jangka pendek dan panjang.

Dua keutamaan Konvensyen Pakatan

Dua perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Memahami dan menangani masalah-masalah ciptaan BN yang membebankan rakyat dengan cara yang terbaik mungkin; dan
  • Berusaha untuk bertaut semula di kalangan kepimpinan parti-parti komponen yang sedikit-sebanyak terjejas dek pemilihan-pemilihan parti baru-baru ini.

Sebagaimana yang dipersetujui pucuk pimpinan Pakatan pada bulan November lalu, perkara-perkara ini akan dihalusi dan dicapai kata sepakat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang kedua yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu-isu yang akan dibincangkan termasuk soal air, tol, pelaburan, masalah pekerja, tanah Felda, Felcra dan tanah adat serta isu-isu hak Sabah dan Sarawak.

Perancangan Pakatan setakat ini berjalan lancar apabila Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat pada 29 November di Selangor telah mencapai kata sepakat menerusi tema “Meneruskan Cita-Cita rakyat” dengan menggariskan usaha-usaha jelas bagi memenuhi matlamat yang ditetapkan.

Iltizam negeri-negeri Pakatan

Tanpa menggunakan bahasa yang kabur, persidangan ketua-ketua negeri Pakatan itu telah beriltizam untuk:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat negeri dan daerah;
  • Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak;
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya Kerajaan Tempatan menjadi kenyataan; dan
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Mungkin ada hikmahnya apabila Kerajaan Pusat menghadkan sumbangan kepada negeri-negeri Pakatan serta menyekat bantuan-bantuan yang biasa diberikan kepada negeri-negeri di bawah pentabdiran BN kerana ini memaksa kerajaan negeri Pakatan berhemah dan berhati-hati dalam belanjawan masing-masing. Malah, tidak ada sebab untuk kepimpinan negeri membazir atau menyalahgunakan kuasa kerana sumber kewangan yang amat terhad.

Begitu juga, jika selama ini Pakatan Rakyat dihamburkan dengan kritikan tidak ada kejelasan perjuangan, kini komitmen yang diberikan oleh ketua-ketua negeri itu sedikit-sebanyak telah menjawab kecaman dengan mengemukakan perancangan untuk rakyat dalam masa yang terdekat ini.

Tidak mustahil komitmen itu bakal menjadi asas kepada manifesto Pakatan melalui komponen-komponennya PKR, PAS dan DAP dalam PRU akan datang. Tidak perlu menjanjikan projek-projek mega kerana rakyat lebih mudah yakin dengan perancangan dan jaminan yang pragmatik dan sederhana serta mampu dilaksanakan.

Bagi Konvensyen Pakatan Rakyat nanti, iltizam ketua-ketua negeri itu perlu diperjelaskan lagi untuk memudahkan kesinambungan kefahaman di kalangan rakyat, malah termasuk untuk mereka yang masih menyokong BN atau mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan Pakatan.

Jangan buang masa

Paling penting, konvensyen itu nanti tidak perlu membuang masa dengan amalan ritual politik lama yang penuh dengan ucapan dan perbahasan berbunga-bunga penuh jerit-pekik yang hanya mengandungi retorika politik kosong.

Masa untuk syok sendiri sudah lama berlalu apabila tsunami politik 2008 tidak lagi menjadi kayu ukur semasa. Pergolakan politik dalaman dan luaran Pakatan harus menjadi teladan kepada para pemimpin, sama ada di peringkat atas atau akar umbi, untuk kembali melihat kumpulan sasar yang sebenar, iaitu pengundi.

Pemimpin dan bakal pemimpin yang mudah jatuh cinta dengan suara dan wajah sendiri akan turut terperangkap dalam penyakit yang dialami Umno dan BN sekarang - khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan.

Sasaran utama Pakatan

Sasaran utama – pengundi - perlu menjadi keutamaan. Bukan sahaja untuk mengembalikan keyakinan pengundi yang memilih Pakatan pada 2008 tetapi juga menarik sokongan pengundi baru serta mereka yang sudah mula gusar dengan Umno dan BN.

Jika sasaran ini dipaparkan dengan jelas dalam konvensyen Pakatan nanti, ia akan menjadi petanda positif ke arah persediaan rapi untuk menghadapi PRU yang dikatakan akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.

Ini amat penting kerana Pakatan Rakyat telah giat berkempen dan berjaya mendaftarkan begitu ramai pengundi baru dalam masa tiga tahun lalu. Sebagai sasaran, pengundi memerlukan maklumat yang lengkap dan fakta yang benar untuk membuat keputusan penting dalam menentukan masa depan negara.

TULISAN MENJELANG KONVENSYEN PAKATAN SEBELUM INI

Harapan kepada Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat

Mempersiapkan media untuk Pakatan



13 Mei: Siapa yang gatal mahu diabadi?
Subky Latif

SIAPA yang gatal mengesyorkan supaya peristiwa tragedi 13 Mei, 1969 diabadikan sebagai hari bersejarah, dijadikan cuti umum, diperingati dan tentunya diikuti dengan acara pensejaraanya?

Kononnya untuk meneladani Singapura yang memperingati hari kejadian rusuhan

Hingga disedarinya atau tidak, terlatah atau tidak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ikut terperangkap, menyatakan sedia menimbangkan untuk memuliakan hari 13 Mei itu kiranya ada cadangan.

Kalaulah ketika idea itu ditimbulkan sang TPM sudah menjadi Perdana Menteri, ada kemungkinan ia akan ditimbangkan bagi dijadikan hari mulia tahunan jika ada cadangan.

Cadangan itu sudah ada. Ketika tidak sesiapapun memikirkannya telah ada akhbar yang gatal memuatkan syor itu. Akhbar yang dibaca oleh berjuta orang itu adalah pembuka dan mengetuk pintu hati masyarakat memikirkannya. Jika ia diikuti oleh beberapa sahutan yang menyukainya, nescaya boleh dibentangkan di kabinet.

Saya terbuka. Dibiar begitu saja tidak mengapa dan dimartabatkan pun tidak mengapa.

Apapun ia tetap satu sejarah, seperti kisah Jebat derhaka. Kejadian Hang Jebat bangkit itu memang berlaku dengan sebab-sebab yang diketahui. Bangsa Melayu umumnya tidak menjadikan pensejarahannya diperkatakan dari semasa ke semasa. Walau pun ada usaha menilainya semula, tetapi masyarakat menggalakkan kebebasan menyatakan pandangan mendiam saja kejadian itu.

Ketika kejadian 13 Mei itu dicadangkan untuk dinilai, saya menunggu saja apa reaksi Perdana Menteri Najib? Reaksi TPM Muhyiddin sudah ada. Tidak diketahui dia bersungguh atau dia pun tidak sedar apa yang dinyatakannya.

Najib yang baru pulih dari sakit yang melibatkan kulit menunjukkan kedewasaannya menolak cetusan idea itu. Padanya tiada apa yang perlu dijadikan sejarah rasmi.

Bukan tidak ada yang hendak diperkatakan tentangnya. Malah banyak yang boleh diperkatakan seperti memperkatakan kisah Jebat derhaka.

Cadangan supaya negara menilai kejadian itu adalah perangkap besar buat Perdana Menteri Najib. Jika Najib jadi seperti Muhyiddin, nescaya ia masuk perangkap. Muhyiddin tidak akan menanggung natijah sebesar Najib jika hari itu dijadi satu hari cuti nasional.

Jika kerajaan bersetuju dengan cetusan idea itu, maka ia tidak sekadar dijadikan hari cuti nasional, tetapi ia akan membuka ruang untuk memperkatakan isu itu secara bebas, akademik dan berterus terang.

Kampus-kampus bukan sekadar boleh mengadakan forum dan seminar, bahkan mengadakan peruntukan untuk membuat kajian.

Watak besar dalam kejadian 13 Mei itu adalah Tun Razak, ayahanda Perdana Menteri Najib. Walaupun kejadian itu berlaku semasa Tunku Abdul Rahman Putra masih menjadi Perdana Menteri, tetapi dia tidak menjadi pelakun utama dalam episod itu.

Maka peranan Tun Razak sebelum, ketika dan selepas kejadian itu akan dikaji. Memorial Tun Razak akan diserbu oleh sekalian sang pengkaji dan sang penyelidik bagi menyungkil apa yang terpendam dan apa yang terserlah.

Tun Rahah, balu Tun Razak sebagai orang paling rapat dengan suaminya tidak akan dapat untuk ditanya apa yang diketahui tentang kejadian itu. Apabila ia dijadikan sejarah nasional, maka negara menggalakkan semua pihak termasuk Tun Rahah untuk tampil menyatakan apa yang diketahui kepada umum.

Iparnya, Tan Sri Hamzah Abu Samah, menteri masa itu yang ada peranan semasa kejadian, yang masih ada sekarang, adalah saksi penting yang dapat menerangkan banyak perkara.

Ramai orang penting masa itu sudah mati. Tun Dr. Mahathir belum jadi menteri. Tetapi dia tidak serapat Tun Musa Hitam yang menjadi Setiausaha Kerja Umno menjelang kejadian itu. Begitu juga Tengku Razaleigh. Maka mereka kena bersedia menyatakan sejarah itu.

Apakah versi yang ahli sejarah Khoo Kay Kim hendak kata tentang perkara yang diberi nilai baru itu?

Dalam menyatakan kebenaran atas perkara banyak hal yang tidak diketahui akan diketahui, dan yang tidak patut tahu akan diketahui. Semua yang elok dan yang tidak elok akan keluar.

Najib terpaksa mendengarnya. Yang baik disukai oleh semua. Tetapi yang tidak baik itu terdayakah mendengarnya. Muhyiddin tidak banyak risiko yang hendak didengar. Tetapi risiko untuk Najib lebih besar.

Najib telah bertindak bijak menolak perangkap itu. Apa pun cadangan itu sudah pun menyusahkannya.



BN tempang tetapi Pakatan juga masih lemah
Ahmad Lutfi Othman
Penangguhan pemilihan Umno yang dijadual diadakan akhir tahun depan, selama 18 bulan, seperti diumumkan presidennya, Najib Razak baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia sudah dilakukan beberapa kali sebelum ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Soalnya, apakah kita sudah berada di ambang kempen Pilihan Raya Umum ke-13, yang dijangka paling sengit pernah diadakan tetapi sukar ditelah keputusannya nanti? Pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam Umno sering membawa petaka dahsyat, seperti berlaku pada April 1987, yang akhirnya menyebabkan ia diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno, seterusnya daripada semua jawatan dalam kerajaan dan parti, pada September 1998 juga merupakan langkah drastik Dr Mahathir Mohamad bagi mengelak jawatannya sebagai Presiden Umno dicabar.

Setiap kali pemilihan sengit berlaku dalam Umno, kekuatan parti itu semakin merosot dan secara automatik saingannya dilihat mendapat kelebihan. Justeru, kini, Najib pastinya tidak mahu mengambil sebarang risiko, apatah lagi pilihan raya umum ini menentukan "hidup-mati" kerjaya politiknya. Sepanjang sejarah, tidak pernah BN dicabar sebegini sengit.

Rakyat kini memang mempunyai pilihan yang lebih berwibawa bagi menggantikan pemerintah yang terbukti mengkhianati amanah kepemimpinan dengan melakukan pelbagai skandal, salahguna kuasa dan penyelewengan bertaraf mega.

Namun begitu, di pihak Pakatan Rakyat sendiri, ia tidak semudah melafazkan ikrar bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan. Laluannya bukan mudah, malah lebih sukar dan seringkali tidak terduga cabarannya.

Umno-BN yang masih berkuku terus menguasai segala peralatan dan kemudahan kerajaan untuk mencengkam kebebasan dan melunakkan penentangan rakyat, bagi mengekalkan status-quo, selain mengukuhkan lagi kongkongan terhadap media.

Walaupun hanya mendapat majoriti mudah di Parlimen dalam pilihan raya umum lalu, dan tewas di lima negeri, namun kuasa yang masih dimiliki BN tidak boleh diremehkan atau dipandang rendah. Agensi penting pemerintahan, seperti polis, tentera, badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, media dan jentera kerajaan secara keseluruhannya, sentiasa menjadi perkakas dan senjata utama bagi BN mempertahankan sisa-sisa kuasanya.

Pastinya jentera kempen BN kali ini akan melakukan apa jua usaha, strategi dan konspirasi bagi memastikan teraju kuasa tidak terlepas. Sering diulang bahawa Umno-BN tanpa kuasa akan hilang segala-galanya. Semangat, komitmen, daya juang apatah lagi pengorbanan pendokong dan penyokongnya akan lumpuh teruk jika kuasa terlucut dalam pilihan raya akan datang.

Pemimpin Umno amat arif tentang realiti ini, justeru mereka pasti berusaha sedaya mungkin bagi memastikan kuasa - terutama di peringkat persekutuan - tidak terlucut walaupun untuk seketika. Tanpa kuasa, Umno sebagai tonggak BN akan menjadi kerdil, layu dan tidak bermaya. Sandarannya terhadap kuasa umpama kembar siam, yang tidak boleh bercerai tanggal walaupun seketika.

Walau bagaimanapun, realitinya Umno masih berkuku di atas singgahsana kuasa, biarpun nampak tempang. Dengan apa jua kos yang terpaksa dihanguskannya, saki-baki kuasa itu akan dipertahankan. Umno-BN lebih memahami betapa peritnya kehilangan kuasa. Maka, sedaya upaya pemimpinnya akan mencari jalan, tanpa memperhitung nilai moral lagi, bagi mengelak bertembung dengan situasi paling digeruni itu.

Benar, sebelum ini ia pernah kalah beberapa kali di peringkat negeri, seperti Kelantan, Terengganu, Sabah, Perak dan kini Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Namun keperitan terlepas kawalan di peringkat persekutuan belum pernah dirasainya dan para pemimpinnya sedar bahawa ahli-ahli Umno tidak mampu berdepan dengan kekalahan dahsyat seperti itu.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana semangat dan moral aktivis parti itu mampu dipulihkan jika mereka benar-benar hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Maka, selagi kuasa masih berbaki di tangan, maka apa jua usaha, manipulasi dan taktik pasti akan digunakan bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat.

Soalnya, apakah Pakatan Rakyat kini benar-benar berada di atas landasan yang betul, dengan "kelajuan" munasabah, dalam laluannya ke Putrajaya? Sudahkah dibereskan segala kelemahan asasi yang masih menyelimutinya?

Bagaimana dengan persiapan bagi menghadapi rintangan dan hambatan dalam perjalanan berliku itu? Kesatuan dan persefahaman sesama anggota Pakatan Rakyat, bagaimana ya? Apakah ia mudah dirobek-robekkan seperti berlaku kepada Barisan Alternatif sebelum ini? Musuh yang menghalang bukan sahaja tampil dalam bentuk nyata seperti dijangka, malah kerap menerpa dalam situasi tidak terduga.

Sering saya ulangi, disebabkan pilihan raya kali ini bukan lagi untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, maka keadaannya menjadi lebih sulit. Kedua-duanya, kewibawaan (juga kelemahan) Pakatan dan BN akan diperhati, disemak, diteliti dan ditimbang semasak-masaknya. Dahulu, jika pengundi hanya bermotif mewujudkan pembangkang yang kuat, keadaan tidak sesulit sekarang apabila rakyat mahu memilih pemerintah yang terbaik bagi pandangan mereka.

Budaya politik baru yang dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat bukan jaminan BN akan ditolak dalam pilihan raya akan datang. Kini pengundi lebih kritis dan ramai di antara mereka tidak mahu diidentifikasikan dengan mana-mana parti. Mereka lebih bebas untuk membuat pilihan dan tidak mudah terikat dengan sebarang sentimen. Malangnya, dalam masa sama, Pakatan juga masih dilihat meneruskan saki-baki "politik usang" yang boleh menikam diri.

Namun, "jiwa hamba" dan "pemikiran yang terkurung" di kalangan sebahagian besar rakyat belum dapat dibebaskan sepenuhnya lagi. Tanpa usaha gigih, perancangan sistematik, dan daya kreativiti yang tinggi di kalangan aktivis dan jentera Pakatan, segala kongkongan warisan Umno itu masih menebal dan sukar dikikis dalam waktu singkat. Dengan itu, ia masih dilihat memberi kelebihan buat BN.

Umno memang cuba menyembunyikan pergolakan dalamannya terutama apabila berdepan pilihan raya umum. Soalnya, apakah parti-parti dalam Pakatan jua tidak menghadapi masalah yang hampir sama, yang boleh melunturkan kekuatan yang baru dibina ini?

Sekurang-kurangnya di peringkat ini, saya masih meletakkan kekuatan (juga kelemahan) di antara Pakatan dan BN hampir berada pada kedudukan sama. Tiada siapa boleh mendabik dada dapat mengungguli pertandingan paling sengit ini. Perjalanan masih terlalu awal untuk diramalkan



Kenali ketuanan Melayu ala Umno
Idris Ahmad

Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.

Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan umno juara melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan melayu ala umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah umno sahaja yang mempertahankan ketuanan melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno?

Faktanya ketuanan melayu umno telah merugikan orang melayu, bukan mengangkat martabat melayu di negara ini.

- Ketuanan melayu umno menjadikan taraf hidup orang melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan melayu umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak

- Ketuanan melayu umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat di sekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?

- Ketuanan Melayu umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar umno. Sewaktu mereka dihalau batang hidung pemimpin umno tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada Pas, Pkr, Dap dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin umno yang hendak menegakkan ketuanan melayu ketika penyokong mereka dihalau.

- Ketuanan melayu umno menyebabkan orang melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman China 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.

- Ketuanan melayu umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan umno telah mengkhianat orang melayu-Islam semata-mata untuk melawan Pas. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.

- Ketuanan melayu umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.

- Ketuanan melayu umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.

- Ketuanan melayu umno sehingga sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada umno.

- Ketuanan melayu umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh Profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah


Tiada ulasan: