Rabu, 8 Disember 2010

ADIL MENYEBABKAN RAKYAT RESPECT....JIKA SEBALIKNYA.....HUKUM ISLAM PUN DAH SALAH _HUKUM BUDAYA PUN DAH SALAH..AKHIR KETIDAK ADILAN ITU MEMBAWA MUSIBAH

Saya tak mahu Speaker Dewan dibeli Umno BN
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar meminta penjelasan berhubung hasrat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa diberi peluang membela diri.

Usul di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) itu dibawa oleh Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Beliau dalam sidang media sejurus keluar dari dewan, mempersoal keputusan Pandikar yang didakwa bercanggah dengan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 22 April lalu.

"Keputusan Tan Sri Speaker ini melanggar keputusan yang dibuat beliau sendiri pada 22 April 2010 dalam hansard di mana Tan Sri Speaker menegaskan bahawa seseorang yang dirujuk ke jawatankuasa akan diberikan hak untuk memberikan keterangan dan memanggil saksi-saksi.

"Ini adalah keterangan yang dibuat oleh speaker sendiri dalam Dewan Rakyat namun keputusan ini pun dilanggar oleh Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR.

Menurutnya juga, beliau berhak meminta penjelasan berhubung keputusan itu memandangkan Anwar dan saksi-saksi langsung tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.

Yang paling mengejutkan kami ialah apabila Tan Sri Speaker menggunakan peraturan mesyuarat 83 (11) di mana berbunyi, jawatankuasa itu jika baik pada timbangannya boleh enggan mendengar apa-apa keterangan yang tiada perkaitan sedangkan keterangan yang akan diberikan oleh Permatang Pauh berkaitan terus dengan pertuduhan yang dibuat ke atas beliau.

"Bagaimana tafsirannya boleh begitu jauh menyimpang daripada apa yang ditetapkan oleh peraturan mesyuarat dan berkata mendengar cakap saksi yang degil sedangkan belum pun tertuduh dan saksi dipanggil untuk memberi keterangan tetapi jawatankuasa telah menghukum bahawa keterangan itu tidak relevan," katanya lagi.

Sementara itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berkata, berlaku 'conflict of interest' dalam perkara berkenaan kerana Pandikar yang merupakan speaker sendiri yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pula menyifatkan keputusan itu sebagai mencemar nama baik Parlimen.

"Sepatutnya jawatankuasa perlu memperlihatkan satu prinsip demokratik. Bukan menghukum Anwar tanpa memanggil beliau memberi keterangan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Azmin di dalam dewan sebelum itu membidas Pandikar kerana menolak saksi, bukti dan dokumen yang membantu Anwar membela dirinya di Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Katanya, Dewan Rakyat sama-sekali tidak boleh bersetuju dengan tindakan jawatankuasa yang sengaja melanggar prosedur dan prinsip 'natural justice'.

"Kalau hakim boleh dibeli, doktor boleh dibeli beri keterangan palsu, saya tidak mahu Speaker Dewan dibeli oleh Umno Barisan Nasional," kata Azmin yang menimbulkan kekecohan apabila wakil Barisan Nasional meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Kekecohan itu menyebabkan lima wakil Pakatan digantung dari persidangan sehingga jam 2.30 petang.

Selain Azmin mereka ialah Tian Chua (PKR-Batu), Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau), Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota).

Minggu lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dilaporkan tidak akan mendengar lagi keterangan saksi, termasuk dari Anwar dan akan membuat rumusan berdasarkan sepucuk surat penjelasan oleh firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide.

Kerajaan pada April lalu mendesak tindakan diambil ke atas Anwar kerana membidas slogan 'Satu Malaysia' yang diilhamkan oleh Apco, diodakwanya ditiru dari konsep 'One Israel' yang digunakan oleh perdana menteri Israel, Ehud Barak pada 1999.

Pada 3 Disember lalu, Karpal yang juga anggota jawatankuasa itu berkata ahli-ahlinya diberikan sepucuk surat dari Apco bertarikh 19 Ogos dan memutuskan telah membuat rumusan mereka.



Nik Aziz sakit tenat, fitnah
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 8 Dis: "Selesai mengerjakan solat Zohor berjemaah di pejabat. Insya Allah sekejap lagi akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian Projek Nukleus Green Valley Lojing di Langgar," tulis Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman twitter kira-kira jam 2.00 petang ini.

Katanya, perjanjian itu antara Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad dengan Fresh Momentum Sdn Bhd.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof, menafikan khabar angin yang mendakwa Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sakit tenat.

Beliau yang menghubungi HarakahDaily pagi tadi memberitahu, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, sebaliknya berunsur fitnah.

Menurutnya, Tuan Guru Menteri Besar Kelantan hanya kepenatan selepas menghadiri majlis besar dua hari berturut-turut ditambah pula sejak pulang dari Makkah menunaikan fardu haji baru-baru ini beliau belum berehat.

“Kerana itu beliau kepenatan, dakwaan mengatakan beliau ke hospital malam tadi kerana sakit tenat dan dikejarkan dengan ambulans hanya palsu semata-mata,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pagi tadi Tuan Guru menunaikan solat Subuh di Masjid Pulau Melaka sebagaimana biasa.

Wan Nik seterusnya berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Khas MB, Rushdi bahawa Tuan Guru ingin ke pejabat hari ini sebagaimana biasa, apa lagi dua majlis sedang menunggu beliau.

“Bagaimanapun, beliau dinasihatkan supaya berehat di rumah sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai bertenang dan jangan menelan bulat-bulat khabar angin tersebut.



Kes pelajar UM untuk alih isu harga barang naik

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Gerakan Solidariti Mahasiswa (SMM) sekali lagi mempersoal motif pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen berhubung kes 'Rosmah Puaka' membabitkan lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Menurut peguam salah seorang responden, Razlan Jalaludin, kes rayuan tersebut ditetapkan hari ini namun nota kehakiman belum diterima dan mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk mendengar kes tersebut.

Presiden SMM, Shazni Munir yang merupakan salah seorang responden berkata, pihak peguam negara seolah-olah menerima tekanan untuk membuka kembali kes tersebut yang keputusannya telah dibuat Mahkamah Sesyen.

Beliau juga mempersoal mahkamah yang hanya memanggil semula tiga daripada kesemua mereka yang sebelum ini didakwa atas kesalahan cubaan melakukan perbuatan khianat, pencerobohan jenayah dan vandalisme.

"Kita amat kecewa dengan keputusan ini dan seolah-olah di peringkat peguam negara menerima tekanan dariapda pihak-pihak tertentu untuk membuka kembali kes ini," kata beliau dalam sidang media di lobi mahkamah pagi tadi (gambar).

Mereka yang dipanggil semula ialah Shazni Munir Mohd Ithnin (22 tahun), Muhammad Aizat Roslan (21), Muhammad Saufi Jelani (21) manakala Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini (21) dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli (21) masih belum menerima sebarang perintah dari mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozana Ali Yusoff pada 24 September lalu yang membebaskan lima mahasiswa terbabit daripada pertuduhan jenayah di bawah Seksyen 427, 436, dan 447 Kanun Keseksaan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim memutuskan demikian setelah mendapati tiada bukti keraguan (prima facie) yang menunjukkan lima pelajar itu terbabit dalam kejadian tersebut.

Shazni juga tidak menolak kemungkinan kes itu sengaja dibuka kembali untuk mengalihkan pandangan mahasiswa daripada isu-isu semasa yang berlaku dalam negara seperti kenaikan harga minyak dan barang keperluan yang lain.

"SMM berharap mahasiswa tidak terlalu menumpukan kepada kes ini sehingga tidak peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku dalam negara," katanya.

Beliau turut menegaskan, mahasiswa khususnya mereka yang dipanggil semula tiak akan mengaku kalah dan akan berjuang habis-habisan membela diri yang disifatkan menjadi mangsa keadaan.

"Kalau pihak pendakwaraya bersungguh-sungguh mahu lawan kita dalam kes ini, kita juga bermati-matian akan melawan bagi memastikan nasib kami terbela," katanya



Demokrasi tidak wujud dalam Umno BN
Fakhri Ali

GEORGETOWN, 8 Dis: Malaysia belum mengamalkan demokrasi sepenuhnya jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang sudah lama melaksanakan amalan tersebut.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata demikian semasa menyampaikan pandangan beliau dalam majlis Forum Bersih 2.0 anjuran Suaram di sini, semalam.

Katanya lagi, amalan demokrasi juga tidak pernah wujud dalam parti pemerintah seperti Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, walaupun kita diberi pandangan negatif oleh media arus perdana milik Umno dan BN, tetapi PKR mengamalkan demokrasi secara menyeluruh.

"Semua ahli diberi peluang untuk memilih siapa sahaja pimpinan yang mereka rasakan layak untuk memimpin. Bermula dari akar umbi sehinggalah kepada pimpinan tertinggi parti, semua ahli dibenarkan memilih pimpinan mereka," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menggesa Umno dan BN membuktikan mereka juga mengamalkan demokrasi secara sepenuhnya dengan memberi ruang kepada ahli untuk memilih pucuk pimpinan.

Tegasnya lagi, Umno dan BN tidak mampu untuk melaksanakan pemilihan secara demokrasi sepertimana yang dilaksanakan oleh PKR kerana tidak yakin dengan sistem demokrasi yang sebenar.

Dalam forum tersebut juga para peserta menzahirkan luahan rasa mereka dengan menuntut supaya pihak kerajaan membuat reformasi dalam sistem pilihan raya yang sedang diamalkan dalam negara.



Isu daftar pemilih belum selesai
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Adakah pembersihan daftar pemilih sudah dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai PR? Tidak bolehkah kita mewujudkan pangkalan data sendiri di setiap UPU yang sentiasa dikemaskini alamat, jumlah pengundi dalam isi rumah dan sebagainya supaya memudahkan kerja jentera parti untuk kemaskini pengundi yang perlu dibuat bantahan dalam daftar hantu SPR?

Daftar pemilih merupakan persoalan besar dalam sistem pilihanraya Malaysia, dan beberapa isu utama yang berlegar dalam isu daftar pemilih masih belum selesai.

Ini termasuklah isu pengundi pos, ahli keluarga anggota tentera yang juga dikategorikan sebagai pengundi pos, isu pemindahan pengundi, penggundi yang bertindan dan sebagainya. Soal pembersihan daftar pemilih sentiasa dibuat. Ia dilakukan bilamana rang suku tahun dibentangkan untuk semakan dan bantahan.

Namun, ada dua isu utama di sini, iaitu tempoh bantahan yang sangat terhad, biasanya dua minggu untuk semakan dan bantahan sedangkan senarai rang daftar pemilih tersebut mengambil masa untuk diperolehi, menyebabkan sebahagian nama yang tersenarai tidak dapat disemak dan dibuat pembersihan.

Daftar pemilih yang akan digunapakai dalam sesuatu pilihanraya ialah senarai yang dibekalkan oleh SPR setelah selesai penamaan calon; seandainya terdapat beberapa nama yang dicurigai dalam senarai tersebut, maka parti tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mengeluarkan senarai nama yang ada dan bantahan yang dibuat umumnya tidak akan dilayan.

Pangkalan data lengkap telahpun diwujudkan bagi semua pengundi di UPU telahpun ada, dan sistem SISPRO yang diguna telahpun memadai untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki; namun tidak semua daftar isi rumah dapat diperolehi, terutama kawasan bandar dan pengundi yang bertukar alamat.

Walaupun pilihanraya umum sudah hampir, pengenalan calon-calon yang bakal bertanding di setiap kawasan parlimen dan DUN belum berlaku.

Calon mesti diuji untuk kerja-kerja parti jauh sebelum pilihanraya dan mengutip input kehendak rakyat sesuatu kawasan bagi memastikan perkara yang akan terkandung dalam manifesto musim pilihanraya adalah suara rakyat.

Penduduk di kawasan pedalaman sukar faham manifesto peringkat nasional tentang keburukan pemimpin BN dan kaitan dengan mereka tetapi faham jika kita bekerja untuk membina jambatan,jalan tar dan sebagainya.

Bagaimana PAS sedang menyiapkan diri ke arah itu?

Isu calon untuk diketengahkan lebih awal adalah isu lama yang sentiasa dibincangkan. Ada pelbagai pandangan pro dan kontra nya. Ada pihak menganggap calon adalah strategi dalam pilihanraya, dengan anggapan musuh akan menyusun pelbagai bentuk serangan ke atas peribadi calon, seandainya calon diketahui lebih awal.

Saya setuju agar bakal bakal calon dapat diturunkan dalam masyarakat lebih awal, duduk dan bergaul dengan masyarakat, bahkan inilah yang sepatutnya dimainkan.

Namun untuk war-warkan ‘bakal’ calon adalah sesuatu yang sangat sensitive, kerana ia akan mengundang pelbagai kemungkinan, seperti bantahan beberapa ahli, digugurkan, ditolak oleh kepimpinan parti dan sebagainya.

Akan tetapi, saya lebih suka agar pimpinan parti melaksanakan tanggungjawab peribadi untuk mendekatkan dirinya sebagai pendakwah untuk membantu dan bergelumang dalam masyarakat; bukan calon ‘payung terjun’ yang hanya turun di musim pilihanraya.

Isu merokok sering timbul bila pemilihan calon dalam PRK/PRU. Sejauh manakah ini menjadi satu isu kepada parti dan jamaah kerana masih ada pimpinan PAS yang merokok?

Isu merokok adalah isu akhlak, ia menjadi kayu ukur asas bagi individu Muslim untuk beramal dengan nilai-nilai murni dalam ajaran Islam.

Ia bukanlah masalah utama, dan lebih bersifat mendidik dalam isu pemilihan calon yang seringkali ia ditimbulkan.

Al-hamdulillah, sudah ada perubahan semakin ketara dalam parti, khususnya pimpinan yang ada, kesemuanya hampir tidak ada yang merokok. Ini adalah kejayaan kita dalam usaha membina generasi pimpinan yang meninggalkan perkara yang tidak baik untuk diri dan persekitaran mereka



'Khir Toyo' hanya 'gincu' PRU13...alahai
http://al-brangionline.blogspot.com/

Pepagi buta selepas solat subuh bekejar ke Melaka hantar anak. Entah apa sengal tempat dia praktikal suruh datang bekerja hari ni. Dia orang ni tahu tak pasal Maal Hijrah? Kan hari ini satu negara cuti am?

Syarikat itu nak siapkan cepat dokumen 'persijilan Halal'.....anak saya jadi mangsa.....tempias pada saya sekeluarga sekali.....terpaksa bertolak dari Bangi tanpa sarapan.

Dalam perjalanan balik kami bersarapan di warung.....entah apa nama kampong tu.

Pelanggan tak berapa ramai kerana hari ini cuti am. Mereka semua menoleh pada kami kerana mereka dapat camkan kami orang luar.

Ketika kami sedang asyik makan nasi lemak.....salah sorang menyapa kami, "Encik dari mana?"

Saya menjawap, "Kami dari Bangi.....hantar anak ke Halal Hub Serkam."

Pelanggan lain dengan penuh khusyuk membaca.....'Al-Quran?'.....oooppps...mintak maaf, apa lagi surat khabar merekalah.

Saya tahu kampong tu memang pure biru punya. Saya harus berhati-hati mengawal perasaan.

Pak Cik tu cuba men'jolok' sarang tebuan lagi, "Melaka sekarang dah maju. Bersyukur banyak-banyak."

Dalam hati saya bersungut, 'so what?'.

Dia sambung lagi, "Bangi pun maju jugak.....tapi itu semua zaman Khir Toyo. Tapi dia jadi mangsa.....ye mangsa macam arwah Dato' Harun Idris dulu"

Sebelum saya menjawap.....saya pastikan isteri dan anak-anak dah habiskan nasi lemak dan teh.

Saya panggil tuan kedai, "Berapa Bang?"

Setelah saya bayar barulah saya akan "hentakkan tukul besi" kalau tidak nanti dia 'sembelih' harga yang bukan-bukan.

Sambil isteri dan anak-anak menuju ke kereta saya pun apa lagi terus jawap 'baik punyer', "Alah dia dikorbankan untuk basuh taik yang lain-lain. Kalau dia sangkut pun......apa Pak Cik nak susahkan.....lainlah 'Istana kita lebih besar dari Istana dia. Itu gincu PRU13 je"

Sambil saya melangkah keluar.....sempat saya perasan semacam semua orang dalam warung itu nak menerkam saya.

Alah.....apa nak dirisaukan...Bukankah Allah bersama-sama dengan Orang-Orang yang Hendakkan Hijrah dan Orang-Orang yang Sedang BerHijrah?



Semua rakyat jadi pengundi pos
Fadhil Osman

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

DPPWP berpendapat, menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional ini menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

DPPWP menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan UMNO-BN. Cadangan SPR seakan mahu menambah lagi jangka hayat pemimpin UMNO-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan UMNO-BN dalam PRU ke 13?

Sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat. Apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka?

Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh diserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli belah. Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan.

Hampir setiap pilihanraya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang. Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?

Dalam kes anggota tentera, DPPWP mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian. Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain.

Alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional ini sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima. Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.

DPPWP tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas. Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos.

Dalam hal ini, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi.

Sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, DPPWP mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.

Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi. Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke 13 akan datang!

Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan




Rasis: Najib perlu bertindak pada Muhyiddin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Datuk Seri Najib Razak seharusnya menasihati timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat bermuhasabah diri atau melakukan introspeksi terhadap kelemahan diri, seperti yang disarankan dalam ucapannya di Konvensyen Barisan Nasional, Ahad lepas.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap Muhyiddin yang jelas seorang anti nasional kerana sering kali membuat kenyataan berunsur rasis dan menimbulkan amarah dan kebencian rakyat.

Justeru, katanya dakwaan Najib yang sewenangnya menyelar pemimpin Pakatan Rakyat sebagai “sangat merbahaya dan anti nasional” sewaktu konvensyen itu adalah suatu tindakan yang biadap dan tidak mencerminkan ketokohannya sebagai seorang Perdana Menteri.

Menurutnya, hasutan dan fitnah yang dilemparkan sama sekali tidak berasas kerana telah dibuktikan dalam Deklarasi Pakatan Rakyat bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisma sebagai elemen utama perjuangan.

“Sebagai pentadbir nombor 1 negara, PM seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, Najib asyik bermain retorik dan fitnah dengan harapan agar rakyat akan lupa pada segala perlakuan sumbang dan penindasan Umno BN selama ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siri fitnah PM itu adalah suatu strategi desperado PM bagi mengalih tumpuan dari kemarahan rakyat akibat ‘pakej kenaikan harga 4 dalam 1 PM Najib Razak” (Air, Gula, Ron 97, Ron 95) dan isu dalamannya sendiri, seperti konspirasi penangguhan pemilihan Umno dan rombakan Kabinet yang akan berlaku tidak lama lagi.

Tambahnya, penghinaan kepada kapasiti rakyat sebagai pendukung kerajaan apabila PM sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata.

Baginya, ingatan Najib kepada empat "penyakit" yang sering melanda parti yang sudah lama berkuasa, iaitu khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan adalah suatu pendedahan dan pengakuan kepada kebobrokan dan kepincangan Umno BN selama ini.

“Andai benar ini petanda awal kepada tarikh Pilihanraya Umum Ke-13, pemimpin Pakatan Rakyat akan bersedia untuk menghadapinya, kerana nampaknya Najib sendiri sudah sedar bahawa rakyat semakin membenci Umno-BN dan keyakinan pada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat terus meningkat.

“Lebih lama Umno BN di Putrajaya, lebih banyak rasuah, kronisme dan salah guna akan berlaku,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.


Wajib tolak BN
http://dragsuperstar.blogspot.com

Sesebuah negara jika mahu terus maju ke depan harus sentiasa melakukan perubahan. Perubahan yang semestinya menguntungkan rakyat. Tapi jika sesebuah kerajaan itu tidak mahu berubah. Terus-menerus merompak hasil rakyat, menaikkan harga barang sesuka hati maka bersiap - sedialah untuk kita menyaksikan kejatuhan negara tersebut.

Kita rakyat Malaysia harus mahu tidak mahu menolak BN pada pilihanraya umum nanti. Kita tolak bukan kerana kita percayakan Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR). Kita WAJIB menolak BN kerana bebanan yang mereka letakkan keatas bahu kita semakin lama semakin banyak. Kita yang bekerja penat - lelah, siang dan malam dan bersabung nyawa untuk sesuap nasi namun mereka yang bergelar MENTERI dan PERDANA MENTERI yang mendapat segala macam keistimewaan. Dari mekap isteri hingga ke sesuap nasi, SEMUANYA SUBSIDI. Kita rakyat? Subsidi ditarik atas nama pembangunan ekonomi.

Zaman sistem khalifah masih berada di dalam muka bumi ini. Dari sudut buku sejarah ramai Khalifah - khalifah agung yang menggunakan duit sendiri untuk membantu rakyat. Mereka tidak pernah sesekali menggunakan duit yang wajib menjadi hak rakyat untuk kepentingan mereka. Lihatlah sejarah Aurangzeb, Salahudin Al-Ayubi, Harun Al-Rasyid, Sultan Muhammad Fatih dan sebagainya. Mereka begitu amanah dalam menunaikan kewajiban mereka sebagai pemimpin. Mereka cukup takut untuk menggunakan dana negara untuk tujuan keraian diri mereka sendiri. Lihat sahaja sejarah Harun Al-Rasyid.

Namun Perdana Menteri dan para menteri BN cukup rakus menggunakan duit rakyat. Perbelanjaan Rosmah ke luar negara sahaja sudah mencecah puluhan juta. Alat soleknya mencecah ratusan ribu. Semuanya menggunakan wang rakyat. Mana mungkin mereka mampu membeli dan memperolehinya dengan sekadar wang gaji yang mereka perolehi. Semuanya dengan hasil pengutipan cukai yang tinggi dari rakyat. Mereka berseronok ke luar negara dengan hasil titik - peluh rakyat yang bekerja siang malam.

Di saat rakyat semakin terhimpit dengan masalah kewangan, BN terus menaikkan harga barang. Subsidi minyak petrol, gula, susu, tepung dan lain - lain telah ditarik. Semuanya atas nama pembangunan. Pernahkah mereka terfikir untuk memotong gaji para menteri. Jika menteri dan PERDANA MENTERI benar berjiwa rakyat, merekalah yang harus ke depan menjadi contoh dalam menangani duit negara yang semakin mengecil ini. Jika benar mereka mahu melakukan pembangunan untuk kepentingan rakyat, subsidi merekalah yang harus dipotong terlebih dahulu. Bukannya subsidi rakyat. Bukan subsidi barang keperluan rakyat.

Sekarang rakyat terpaksa menanggung perbelanjaan negara. Kita yang dipaksa membayar lebih untuk membangunkan negara. Sedangkan pemimpin BN bersenang - lenang. Mereka kaya dan kaya dan terus kaya. Harta berjuta di dalam dan di luar negara. Mereka tidak pernah merasakan kesusahan yang kita hadapi. Mereka dari minyak petrol hingga ke bil eletrik semuanya dibayar. Lantaklah harga petrol nak naik berapa banyak sekalipun, mereka tidak peduli. Kerana mereka tidak perlu membayarnya. RAKYAT YANG BAYAR BUAT MEREKA. Lantaklah harga tepung nak naik. Mereka tidak perlu ambil pusing kerana RAKYAT YANG AKAN MEMBAYAR DUIT TEPUNG TERSEBUT.

Adakah ini adil buat kita. Kita dipaksa berkorban sedangkan mereka tidak. Adilkah kah? Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain.

Mahukah kita terus dipergunakan seperti KELDAI. Mahukah kita terus dibodohkan? Bangunlah rakyat. TUNJUKKAN SIAPA KITA SEBENARNYA!!


Langkah awal kerajaan sekat mahasiswa
Muhammad Safwan Anang@Talib

Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, gerakan mahasiswa dilihat lesu dan tidak lagi lantang dalam mendepani isu-isu di peringkat kampus dan nasional.

Namun, khabar-khabar angin tersebut dengan sendiri terpadam apabila melihat partisipasi anak muda khususnya mahasiswa dalam perhimpunan membantah kenaikan kadar tarif air di Selangor, ahad lalu.

Partisipasi golongan yang menjadi third force dalam negara dalam siri-siri perhimpunan yang melumpuhkan kota Kuala Lumpur sebenarnya dinanti-nantikan. Maka, kehadiran anak muda yang mengujakan pada perhimpunan lalu menjentik rasa sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan.

Apabila bahang pilihanraya umum ke-13 kian terasa, dibuktikan dengan kemunculan isu-isu tradisi yang menjadi modal pihak tertentu seperti isu ketuanan Melayu, isu rasis dan isu kenaikan harga barang yang kembali dimainkan, maka mahasiswa juga turut tidak terlepas.

Golongan mahasiswa, yang memegang kuasa ‘undi termahal’ tidak terlepas diperhati. Bagi pihak-pihak tertentu, golongan ini tidak boleh dibiarkan mengacau-bilau strategi yang telah diatur bagi memenangi pilihanraya akan datang.

Justeru, tidak hairanlah timbulnya sekatan-sekatan terhadap mahasiswa yang sengaja dibuat, khususnya kepada aktivis gerakan yang dilihat semakin ‘garang’.

Terbaru, isu Kes Rosmah Puaka yang melibatkan lima mahasiswa Universiti Malaya yang awalnya dibebaskan, namun kembali diheret ke mahkamah. Bagi aktivis gerakan mahasiswa, sebenarnya ia bukanlah suatu kejutan baru. Namun, ia harus difahami sebagai langkah awal mereka menuju kemenangan.

Bagi gerakan mahasiswa, perjuangan yang tidak berlandaskan kepentingan individu dan mengharapkan balasan ini akan terus bertahan. Perjuangan menegakkan keadilan dan meruntuhkan benteng kezaliman tidak akan selesai.

Mahasiswa, sebagai agen perubah negara berikrar tidak akan sesekali berundur walaupun dihadapkan dengan gergasi pengkhianat ummah dan masyarakat. Hidup mahasiswa!

* Penulis merupakan mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Malaya merangkap aktivis gerakan mahasiswa nasional.

Tiada ulasan: