Ahad, 30 Oktober 2011

MENIPU..RASUAH...ZALIM SEKALI PANDANG@RASA ..SYOK@SERONOK DIDUNIA...BAGI DIAKHIRAT SYOK ATAU SENGSARA...FIKIR2KAN...JANGAN MENYESAL...BERTAUBATLAH

Nasib Orang Asli di pedalaman Kelantan terbela | Print |
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 30 Okt: Sebelum ini ada pihak mendakwa masyarakat Orang Asli di Kelantan tersisih, sedangkan pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi membela nasib mereka.

Pada tahun lepas 75 keluarga masyarakat Orang Asli di Pos Sendrop menerima sijil penempatan berkelompok, di mana setiap keluarga mendapat dua ekar.

Malah sejak 1990 sehingga sekarang pemimpin masyarakat Orang Asli dilantik sebagai ahli majlis Majlis Daerah Gua Musang dan penghulu tanpa mukim.

Dan terbaru kawasan seluas 606.6 ekar di penempatan Orang Asli di Pos Jerdip akan diisytiharkan sebagai Rizab Penempatan Orang Asli, Selasa ini.

Pos tersebut terletak kira-kira 30 km dari Bandar Gua Musang, berada di lokasi strategik antara Kawasan Perancangan Pusat Pentadbiran Broke dan Bandar Peranginan Sigar.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kawasan tersebut akan dibahagikan kepada pembangunan kediaman dan kawasan lapang seluas 97 ekar, pertanian dusun dan ladang (212 ekar).

Selain itu kemudahan pusat pengumpulan, surau dan lain-lain (6 ekar), infrastruktur jalan, saliran dan pelbagai utiliti (48.5 ekar) dan pengekalan hutan (242.6 ekar).

“Penyerahan watikah pengisytiharan Pos Jedip sebagai Rizab Penempatan Orang Asli akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia Kelantan/Terengganu,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menyediakan Pusat Latihan Pertanian Belia Orang Asli di kawasan seluas 157 ekar yang bakal dibina berhampiran Pusat Pentadbiran Brooke.

Kata beliau pusat tersebut akan menyediakan tempat pertanian dan latihan.

“Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diamanahkan mengurus pusat latihan tersebut dan peringkat awal peserta program itu terdiri daripada belia Orang Asli,” ujar beliau.


Mana peruntukan tebatan banjir Sungai Golok | Print |
Rizal Tahir

RANTAU PANJANG, 30 Okt: Peruntukan sebanyak RM20 juta diumum diluluskan kerajaan pusat bagi mengatasi masalah limpahan Sungai Golok, namun sehingga hari ini projek itu belum kelihatan.

Lebih mendebarkan lagi musim banjir makin menjelma. Hujan yang turun sekali sekala lebat sehari dua ini membuatkan paras air di sungai utama di Kelantan mulai meningkat.

Angota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, lebih mendukacitakan lagi projek tebatan banjir di Sungai Golok difahamkan sudah disenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-7.

”Tetapi mengapa sehingga sekarang projek tersebut belum lagi kelihatan. Dan baru-baru ini sekali lagi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memberitahu peruntukan sebanyak RM20 juta dilulus.

“Rakyat di sini hendak tanya bila projek hendak dimulakan, lagi pun sekarang sudah masuk musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan masyarakat Siam Kampung Degong, Gual Periuk semalam.

Baru-baru ini Pengarah JPP, Makhtar Mustapha dilaporkan berkata, kerajaan pusat melulus peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membaik pulih tebing Sungai Golok untuk mengelak limpahan banjir dari negara jiran.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengumumkan projek tebatan banjir bernilai lebih RM2 bilion di Kelantan.

Pekan Rantau Panjang yang menempatkan kawasan bebas cukai hampir setiap tahun ditenggelami air bah pada musim tengkujuh ekoran limpahan air Sungai Golok.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berharap kerajaan pusat melalui pelbagai agensi yang terdapat di Kelantan dapat menyediakan bot bagi kegunaan masyarakat Siam dan Melayu yang tinggal di kawasan yang sering ditenggelami banjir.

”Biar pun pasukan Bomba dan Penyelamat dan agensi lain membantu mangsa-mangsa banjir, namun belum mencukupi terutamanya di Kampung Kubang Siput dan kawasan sekitarnya.

“Saya berharap bantuan kemudahan bot dapat disediakan sebelum banjir melanda tahun ini,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 40 penduduk keturunan Siam. Program itu diadakan di perkarangan Wakaf Muhibbah.


300 tinggalkan Umno dalam tempoh seminggu | Print |
Aslani M

TANAH MERAH, 30 Okt: Dalam tempoh seminggu lebih 300 ahli dan penyokong Umno meninggalkan parti itu di bahagian Tanah Merah.

Ini secara tidak langsung memberi cabaran kepada ketua bahagian, Datuk Ikmal Hisyam Aziz yang sebelum ini mengimpikan laluan mudah di kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Bagaimanapun kemenangannya pada pertandingan merebut jawatan ketua bahagian dua tahun lalu dipertikai ahli Umno atas dakwaan cawangannya dianggap tidak sah.

Bekas Setiausaha Umno Tanah Merah, Amran Abdul Rahman sebelum ini membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun ekoran tindakan itu Amran dilucut keahlian Umno pada 1 Mac 2010.

Ikmal Hisyam bukan sahaja terpaksa berdepan dengan Amran, malah bekas anggota parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan kini dikatakan berganding bahu dengan abangnya, Datuk Ismail, seorang tokoh korporat menggugatkan kedudukannya.

Kemelut yang tidak sudah berpenghujung dalam Umno di Tanah Merah menyebabkan sebahagian ahli dan penyokong Umno di peringkat akar umbi semakin bosan.

Maka sebahagian daripada mereka mengambil jalan pintas keluar daripada parti itu dan menyertai PAS beramai-ramai. Pada 21 Oktober lalu seramai 160 ahli dan penyokong Umno dari lima kampung di Dun Gual Ipoh keluar daripada parti itu.

Mereka diketuai Rustam Musfafa daripada Cawangan Umno Bukit Kelidang mewakili rakan-rakan menyerah borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dan selang tiga hari kemudian seramai 155 lagi bekas ahli Umno di Kampung Bechah Peleting di Dun Bukit Panau diketuai Mohd Saidi Abdul Rahman, 39 mengisytihar secara terbuka menyertai PAS.

Mohd Saidi bekas anggota tentera yang kini berniaga berkata, banyak peristiwa yang berlaku ke atas dirinya membawa beliau mengambil keputusan meninggalkan Umno.

“Kalau sebelum ini kita pernah mendengar di Tanah Merah ada tukang kebun sekolah yang boleh mendesak guru sekolah ditukar kerana kedudukannya dalam Umno di peringkat bahagian.

“Semua perkara yang tidak masuk akal boleh berlaku kerana Umno mahu mempamerkan kuasa politik mereka. Inilah membuat saya semakin muak dengan Umno,” katanya ketika ditemui selepas menyerah borang menyertai PAS kepada Menteri Besar.

Hadir sama di program ceramah tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan Adun Bukit Panau, Abdul Fattah Mahmood.

Beliau juga mendedahkan ketika berkhidmat sebagai anggota tentera pernah diarah pegawai atasan memangkah kertas undi milik anggota tentera lain.

Menurutnya beliau melakukan perkara itu tanpa kerelaan hatinya biar pun tahu menyalahi peraturan SPR.

Bechah Peleting sebelum ini merupakan kubu kuat Umno dan sukar ditembusi PAS. (Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).


Strategi Umno jahilkan Melayu | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 30 Okt: Umno BN berjaya mencapai kemenangan dalam pilihanraya-pilihanraya lalu disebabkan perlaksanaan 21 strateginya sejak dulu yang terus meletakkan rakyat terutama orang-orang Melayu berada dalam kejahilan.

21 strategi tersebut merupakan perlaksanaan dasar-dasar yang tidak islamik termasuk dasar pendidikan kebangsaan yang berasaskan sekularisme.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, selain itu, Umno BN turut meletakkan orang-orang Melayu terus dalam kejahilan menerusi perlaksanaan sistem ekonomi yang tidak islamik.

Menurut beliau, manakala antara dasar-dasar lain pula termasuklah perlaksanaan dasar pelancongan, hiburan yang melalaikan dan sosial.

Katanya, keadaan itu ditambah lagi dengan penguasaan Umno BN terhadap media sehingga menyebabkan rakyat gagal mendapat maklumat yang benar dan adil.

"Itulah strategi Umno yang telah kita kenal pasti. Menerusi dasar-dasar itu, Umno turut berjaya mengikat para pegawai kerajaan agar terus menyokongnya.

"Fokus kita pula adalah dakwah. Tapi bagaimana nak buat kalau ilmu dan kebenaran tak boleh disebarkan dalam masyarakat," katanya pada Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Landskap Politik Semasa di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, semalam.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel pada forum itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, manakala moderatornya Pengarah Akademik Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, Nazri Chik yang juga Exco dewan tersebut.

Forom tersebut diadakan sempena Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung selama 3 hari bermula semalam, dengan disertai ribuan pemimpin pemuda PAS termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.

Menurut beliau, walaupun begitu, PAS mesti terus bangkit untuk mengatasi masalah itu demi mendaulatkan Islam di tanah air dan bagi kepentingan seluruh akyat negara ini.

Katanya, matlamat perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di negara ini sejajar dengan kedudukannya sebagai gerakan Islam, manakala perjuangan PAS pula menerusi dakwah dan politik.

"Gerakan dakwah PAS adalah untuk membawa orang ramai khususnya yang bukan Islam mengenali tauhid, manakala kepada sesama umat Islam pula supaya mengenali syariat Islam," katanya.

Usaha tersebut, tegasnya, mestilah dilakukan secara berterusan tanpa mempedulikan segala halangan yang dibuat oleh Umno BN bagi menyekat perkembangan Islam di negara ini.

Menurutnya, sehubungan itu, PAS perlu menyusun strategi tersendiri untuk mengatasi segala halangan itu seiringan dengan perjuangan politiknya termasuk dengan mengadakan "Tahaluf Siyasi" dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Pihak mmusuh tidak akan berhenti untuk melemahkan gerakan Islam. Gerakan kita mestilah ada pertimbangan untuk menghadapi segala tekanannya," katanya.

Jika PAS, tegasnya, hanya memfokuskan kepada gerakan dakwah sahaja seperti yang dilakukan oleh sesetengah gerakan Islam lain sama ada di tanah air dan di seluruh dunia, ia pasti tidak berkesan.

"Sekiranya kita hanya memfokuskan kepada gerakan politik sahaja seperti juga yang dilakukan oleh sesetengah gerakan Islam lain di tanah air dan di seluruh dinia serta hanya bersendirian, nasib kita nanti samalah seperti Taliban," katanya.


Sistem 2 parti lebih mudah kalahkan BN | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS merumuskan sistem dua parti pasti akan berlaku juga di negara ini suatu masa nanti dengan jangkaan sekitar lima tahun lagi dan paling lewat 10 tahun dari sekarang.

Kewujudan sistem itu berdasarkan perkembangan dan tuntutan semasa, tetapi bergantung kepada kesediaan ahli-ahli PAS sendiri untuk menerimanya setelah mereka memahami dengan jelas mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keadaan sekarang masih tidak mengizinkan untuk diwujudkan sistem itu kerana masih terdapat di kalangan ahli PAS sendiri yang tidak bersedia untuk menerimanya.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku disebabkan sesetengah ahli PAS masih tidak memahami keperluan sistem 2 parti, ekoran kegagalan mereka memahami "Tahaluf Siyasi" antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, sungguhpun begitu, perkembangan ke arah kewujudan sistem 2 parti telah pun berlaku di negara kita sekarang dan ia tercetus hasil kerjasama politik antara PAS dan parti S46 beberapa tahun lalu.

"Sistem 2 parti merupakan perkara penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat kerana dengan itu akan lebih memudahkan usaha bersama untuk mengalahkan BN dalam pilihanraya.

"Dengan adanya sistem 2 parti barulah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat boleh menggunakan lambang satu parti seperti yang dilakukan oleh parti-parti dalam BN yang hanya menggunakan lambang BN ketika menghadapi pilihanraya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Landskap Politik Semasa di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel pada forum itu Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, manakala moderatornya Pengarah Akademik Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, Nazri Chik yang juga Exco dewan tersebut.

Forum tersebut diadakan sempena Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung selama 3 hari bermula semalam, dengan disertai ribuan pemimpin pemuda PAS termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.

Sebelum itu, Mustafa berkata, kerjasama politik atau "Tahaluf Siyasi" antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak seharusnya menjadi pertikaian ahli-ahli PAS kerana ia berasaskan hukum syarak.

"Sebelum diadakan kerjasama itu, pucuk kepimpinan tertinggi PAS telah pun "bermerah mata" membincangkannya secara mendalam berhari-hari, termasuk membawa kepada perbincangan bersama ulama-ulama Islam di seluruh dunia yang berada dalam gerakan Islam," katanya.

Konsep "Tahaluf Siyasi, tegasnya, adalah salah satu strategi atau pendekatan yang diambil oleh PAS dalam politik untuk menang dalam pilihanraya dan ia berbeza sama sekali dengan dasar perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Perkara itu perlu difahami dengan mendalam oleh setiap ahli PAS agar tidak menimbulkan kekeliruan mengenainya, apatah lagi sehingga boleh melemahkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.

"Tapi walaupun tidak faham, ahli-ahli PAS tetap juga wala' dengan pemimpin. Itulah sifat terpuji yang ada pada ahli-ahli PAS. Sungguhpun begitu, jika tidak faham kenalah bertanya kepada pemimpin. Paling tidak, bertanyalah kepada pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengarahkan bahagian penerangan PAS untuk menerangkan perkara itu kepada ahli-ahli parti, bagi membolehkan konsep "Tahaluf Siyasi" yang dilakukan itu difahami oleh ahli-ahli PAS di segenap peringkat.


Pembangunan: Penduduk mesti diutamakan | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 hari ini berakhir dengan beberapa resolusi yang dicapai hasil pembentangan kertas kerja dan sesi dialog dengan wakil-wakil penduduk.

Resolusi yang dibacakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di akhir konvensyen di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu mengandungi beberapa desakan terhadap kerajaan untuk mengutamakan penduduk dalam setiap pembangunan yang dilakukan khususnya melibatkan kampung tradisi Melayu.

Penduduk harus diletakkan sebagai keutamaan dan pembangunan yang dirancang pula perlu bersifat menjaga kebajikan serta kualiti kehidupan penduduk.

Ia termasuk juga mewujudkan kampung tradisi khususnya di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar yang lain bagi mengelakkan kampung tradisi Melayu hilang ditelan pembangunan dan pemodenan.

Kerajaan juga perlu memberi hak milik kekal kepada penduduk yang mendiami perkampungan tradisi sebagai memastikan kawasan tersebut kekal terpelihara dan tanah rezab Melayu sekitar mesti dikekalkan.

"Perkampungan tradisi Kuala Lumpur perlu diisytiharkan sebagai perkampungan Warisan Melayu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membentuk sebuah jawatankuasa yang dipertangungjawabkan untuk merancang pembangunan kampung tradisi bersama wakil penduduk," katanya beliau sewaktu membacakan resolusi tersebut.

Selain itu, kerajaan diminta meningkatkan kualiti pengangkutan dan infrastruktur awam di pusat bandar dan pinggir bandar yang kini didiami sebahagian mereka yang bekerja di ibu kota.

"Hasrat kerajaan untuk menambah kapasiti penduduk kota kepada 2.2 juta menjelang 2020 perlu dihentikan selagi mana aspek pengangkutan dan infrastruktur awam yang memainkan peranan penting dalam konteks kepadatan ibu kota tidak diberi penambahbaikan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan juga perlu merangka satu agenda untuk membolehkan kampung tradisi dikekalkan dan bagi projek perumahan rakyat (PPR) yang disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah, perlu dilaksanakan polisi sewa beli untuk penduduk tanpa syarat yang terlalu ketat dan membebankan.

Manakala caj perlu dikenakan kepada pemaju yang gagal menyelenggaraan projek PPR dan diambil alih oleh DBKL.

Badan amanah Kampung Baru

Sementara itu, mereka mencadangkan satu badan amanah yang diwakili penduduk yang berkepentingan secara langsung ditubuhkan selain memastikan proses pembangunannya dilakukan dengan telus.

"Penubuhan tabung amanah akan mewujudkan kedua-dua jenis saham melibatkan saham tanah dan saham sewa. Ia alternatif terbaik menjadikan kawasan kekal hak milik Melayu sepenuhnya," jelasnya.

Penduduk juga mahu tanah lombong dan belukar yang belum dibangunkan dijadikan pusat kemudahan awam supaya boleh dibangunkan sebagai tanah kediaman untuk kawasan setinggan yang masih kekal.

Selain itu, kawasan kediaman sedia ada tidak perlu ditukar kepada kawasan perdagangan sebaliknya hanya memfokuskan kepada kawasan yang belum dibangunkan bagi mengelakkan terjejasnya tanah penduduk.


Suruhanjaya Diraja perlu siasat penyelewengan IC | Print |
Nasrudin Hassan at-Tantawi
Berikutan daripada kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada Rabu 12hb Oktober 2011, Pemuda PAS Malaysia telah mencurigai perkara-perkara berikut:

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman telah menyatakan bahawa warga asing yang berkubu di Istana Dugang Country Resort adalah bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi. Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dalam resort tersebut. Warga asing tersebut hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian. Kedua, tidak ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 km pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing. Ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini. Justeru pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku ini.

Berdasarkan kepada maklumbalas daripada warga asing tujuan mereka berada Putrajaya kemudian dipindahkan ke Istana Dugang Country Resort adalah untuk mengambil kad pengenalan biru.

Menurut saksi kejadian terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa mengunakan microfon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan dan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.

Menurut saksi kejadian terdapat seorang wanita yang memakai jaket Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) telah menaiki bas daripada hentian Rawat & Rehat, Kulai. Beliau telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon. Tetapi beliau tidak bersama kumpulan warga asing ini semasa di Istana Dugang Country Resort.

Menurut saksi kejadian arah perjalanan warga asing ini sering berubah-ubah. Mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya. Kemudian ada uru-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor. Apabila sampai di Putrajaya mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke Istana Dugang Country Resort.

Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussien seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR. Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara. Menteri Dalam Negeri juga tidak mengetahui apa tujuan 240 orang warga asing tersebut berada di Istana Dugang Country Resort sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ kononnya menghadiri kursus keusahawanan. Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu.

Berdasarkan kepada penyatan-penyataan di atas maka Pemuda PAS sangat khuatir bahawa terdapatnya aktiviti memudahkan pemberian hak kewarganegaraan kepada warga asing di negara ini untuk tujuan tertentu.

ISU KOD NEGARA “71”

Pemuda PAS Malaysia mempunyai bukti yang kukuh bahawa terdapat 170,818 dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke dua 2011 SPR yang mempunyai kod negara “71”. Berdasarkan kepada semakkan laman web JPN, tiada kod “71” disenaraikan sebagai kod rasminya. Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya. Walaupun terdapat kecurigaan tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam DPI maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli Parlimen di negara kita.

42.33 % atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23). 17.33 % atau 29,605 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistani (328), Tamil (324), Tamil Sri Langka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangledeshi (10). Bangsa Bangledeshi adalah bangsa yang paling sedikit sekali menjadi pengundi di negara kita.

Menariknya bagi rumpun bangsa Indonesia yang pernah memanaskan negara dengan Isu Mismah suatu ketika dulu hanya meliputi 4.37 % atau 7,468. Mismah memiliki kod negara “71” dan telah menjadi warganegara pada 31 Januari 2011. Pengundi daripada bangsa Indonesia yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini dipecahkan kepada bangsa Indonesian (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872), Banjar(240) dan Boyan (58).

Bagi pecahan agama daripada pengundi warganegara tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah Islam 37.7 % ataua 64,400 orang sahaja menakala 62.30 % atau 106,418 pengundi bukan beragama Islam. Pecahan bukan beragama Islam adalah seperti berikut Buddha (50,842), Tiada Maklumat (22,595), Hindu (12,698), Tiada Ugama (9,726), Kristian (8,437), Sikhism (2,037) dan lain-lain (83). Menariknya bagaimana mereka yang tidak mempunyai makumat agama meliputi 13.22 % atau 22,595. Suatu jumlah yang sangat luar biasa.

Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula adalah Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941) . Ini bermakna bahawa negeri Pakatan Rakyat (PR) termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 % atau 97,923 orang. Suatu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah.

Bilangan 170,818 adalah tidak termasuk nama Mismah dan senarai yang dibantah oleh PAS Selangor serta Pakatan Rakyat (PR) berjumlah 1,597 orang. Pemuda PAS Malaysia menjangkakan bahawa terdapat lebih ramai lagi pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran ini dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke-3 2011. Dijangka DPI suku ke-3 2011 ini akan digunakan untuk pilihanraya akan datang.

Dalam jawapan yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) pada 5hb Oktober 2011 dinyatakan bahawa kod “71” adalah kelahiran warganegara Malaysia di luar negara dan Pemastautin Tetap Malaysia. Mulai tahun 2001 JPN baru mewujudkan kod-kod Negara luar secara khusus mengikut negara kelahiran masing-masing

Walaubagaimana pun kewujudan warga negara yang mempunyai kod “71” pada waktu ini adalah terlalu ramai dan mencurigakan kerana JPN terlalu lewat memperkenalkan kod-kod kelahiran mengikut negeri sejak tahun 2001. JPN bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat Malaysia:

Berapakah jumlah pecahan mengikut negara asal kelahiran bagi semua kod “71” ?

Berapakah bilangan warga negera yang lahir di luar negara dan menggunakan kod “71” ?

ISU KAD BERKEMBER DALAM DAFTAR PEMILIH INDUK (DPI) SPR

Pemuda PAS Malaysia telah membuat siri-siri pendedahan manipulasi pilihanraya selama dua bulan kepada pihak media. Hasilnya, kami dapat mengenalpasti bahawa terdapat ribuan kes kad pengenalan yang berkembar. Buktinya, pertama yang paling jelas adalah melalui kenyataan dalam media The Star pada 24 Julai 2011 dimana Dato Wan Ahmad Bin Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR. Bukti kedua adalah melalui data yang telah dikeluarkan oleh SPR daripada Daftar Pemilih Induk (DPI). SPR memberi alasan punca utama mereka mengeluarkan data tersebut adalah kerana data tersebut tidak ada dalam rekod JPN. Isunya adalah bagaimana nombor kad pengenalan tersebut pernah diwartakan sebagai pengundi yang sah. Bukti ketiga adalah terdapat dua jenis data yang telah dibongkar oleh Dewan Pemuda iaitu pertamanya isu dua nama yang sama memiliki no kad pengenalan yang hampir sama dan keduanya isu satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu. Kedua-dua kad pengenalan ini sangat mencurigakan. Bersama ini Pemuda PAS menyediakan satu lampiran contoh-contoh nombor kad pengenalan yang berkembar.

DESAKAN

Bukti-bukti yang Pemuda PAS bangkitkan adalah melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN. Kelemahan ini mungkin telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memanipulasi data-data JPN. Kami penuh yakin terdapat dalang disebalik masalah yang berlaku. Kami akan mendesak kepada pihak atasan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Tiada ulasan: