Ahad, 16 Oktober 2011

HIDUP PUN...BUKAN TUJUAN UNTUK MAIN2...MALAH UNTUK BERIBADAH KEPADA ALLAH...BERSYUKUR KERANA TELAH DIHIDUPKAN...

Tanah: PAS terpaksa tanggung kerakusan Umno | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Okt: PAS Kedah bersikap terbuka terhadap segala kritikan dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat, namun tidak adil apabila segala beban yang ditinggalkan Kerajaan BN terdahulu terpaksa ditanggung mereka.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata demikian merujuk kepada kes tanah penduduk di Padang Sanai, yang diterokai sejak 70-an diceroboh oleh syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha membantu penduduk walaupun sebenarnya ia berpunca daripada kerakusan BN suatu masa dahulu.

Namun katanya, Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim secara tiba-tiba menuduh Kerajaan Negeri termasuk beliau tidak menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah penduduk sehingga mengetuai sekumpulan penduduk mengadakan demonstrasi akhir September lalu.

"Apa yang cuba diperjuangkan oleh Pemuda Umno Kedah itu ibarat "dia yang kentut, tetapi tuduh orang lain kerana ingin menyembunyikan malu".

"Tidak tepat membuat tuduhan rambang tiada tindakan pihak saya. Pihak saya telah mengambil daya usaha, untuk bertemu dengan banyak pihak termasuklah pejabat tanah, kerajaan negeri serta agensi terbabit. Malah, saya berbahas di Parlimen mengenai masalah tanah ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jumaat lalu, penduduk terbabit yang menubuhkan Gabungan Generasi Hilang Tanah (Gagah) mahu Kerajaan Negeri Kedah mengambil tanggungjawab menyelesaikan dilema mereka.

Mereka bercadang mengadakan perhimpunan aman di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pada 30 Oktober ini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Nasir berkata, pemimpin PAS menentang keras apabila Kerajaan Negeri yang diketuai Menteri Besar daripada Umno, Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin pada 1973 memberi kebenaran kepada Syarikat Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPT) beroperasi dengan tanaman tebu.

Pimpinan PAS ketika itu mengingatkan penduduk kampung agar tidak terpedaya dengan janji manis kerajaan iaitu mereka akan diberikan pampasan yang besar dan projek tersebut akan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Namun ada penduduk yang terpedaya dan merelakan tanah mereka diambil dan menerima pampasan.

Tanah yang didakwa dimiliki Syarikat Gula Padang Terap yang sekarang dikuasai oleh Tradewind, didapati tiada peta yang jelas dan ianya menimbulkan kekeliruan sempadan tanah sebenar.

Hal ini berlaku kerana Kerajaan negeri di bawah Umno ketika itu menyerahkan tanah tersebut kepada anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Akhirnya berlaku pajakan kecil yang bermula sejak 1995 dan akan berakhir 2055.

"Sudah tentu keputusan ini dibuat oleh pemimpin Umno. Peliknya orang lain yang dituduh. Kenapa tidak dipersoalkan pengkhiatan jelas itu?" soalnya yang telah beberapa kali mengadakan sesi dialog dengan penduduk bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.


Akta Kerja: Kerajaan terus bermusuh dengan MTUC? | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Okt: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta kerajaan mendengar keluhan serta pandangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang membantah pindaan Akta Kerja 1955.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar berkata, MTUC mempunyai asas yang kukuh membantah Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang telah dibentang dan diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

“LPAS berpendapat kerajaan sepatutnya berbincang dahulu dengan pelbagai peringkat terutama golongan pekerja serta kesatuan sekerja bagi mendapatkan pandangan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kerja. Ini kerana ia melibatkan hak dan kepentingan golongan ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai berkata, jika benar kerajaan prihatin terhadap rakyat, golongan pekerja mestilah antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian.

MTUC dalam satu kenyataannya menegaskan pihak mereka menentang Rang Undang-Undang Akta Kerja 1955 kerana ia menghapuskan sistem perlindungan, yang secara langsung akan menjadikan sistem ‘hamba’.

Mereka menentang sistem kontraktor tenaga buruh pihak ketiga kerana kesannya akan menjadikan soal kebajikan pekerja tidak dipedulikan.

Katanya, kesan jangka panjang pula adalah menjadikan jurang pendapatan semakin meningkat dan tekanan ke atas hak-hak pekerja yang boleh menyebabkan kesan buruk ke atas sistem ekonomi, sosial dan politik di negara ini.

Dalam hal ini, ujarnya LPAS mempersoalkan bagaimanakah khidmat nasihat yang diterima oleh kerajaan sehingga pindaan Rang Undang-Undang ini menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya golongan kesatuan sekerja.

“Mungkinkah kerajaan mendapat nasihat yang salah, atau maklumat yang tidak tepat sehingga sanggup menegepikan golongan pekerja?” soalnya.

Tambahnya, LPAS mengingatkan kerajaan betapa banyak keputusan kerajaan yang dibuat dalam keadaan terburu-buru dan tidak tepat.

Katanya lagi, orang Melayu baru kehilangan Kampung Baru ekoran Rang Undnag-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang dibentang dan diluluskan baru-baru ini dalam keadaan yang sangat tergesa-gesa.

Kata beliau lagi, kerajaan pula sengaja mahu mencari permusuhan berpanjangan dengan MTUC dan kesatuan sekerja yang lain kerana sanggup membentangkan akta itu dan diluluskan pula beberapa jam kemudiannya.

Justeru, katanya LPAS juga meminta kerajaan melayan tuntutan MTUC dengan baik dalam piket yang akan mereka anjurkan nanti.

Tambahnya, negara demokrasi seperti Malaysia membenarkan hak berhimpun dan menyatakan suara hati mereka, justeru LPAS meminta jaminan kerajaan agar jangan mengambil tindakan terhadap mereka selama mana piket berlangsung dengan aman.


Tegak Islam bukan kerja main-main | Print |
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 16 Okt: PAS mengingatkan orang Melayu Islam di negara ini agar berpegang kepada kerajaan yang berasaskan ajaran Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan orang Melayu yang beragama Islam mesti berpegang kepada ajaran Islam.

Justeru, katanya kerja-kerja menegakkan Islam serta ajarannya bukan suatu kerja ‘main-main’.

"Kerja (tegak Islam) ini bukan kerja main-main, kerja ini kerja tuntutan daripada Allah SWT. Allah memerintahkan manusia jalankan keadilan," jelasnya.

Menurutnya, al-Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad sejak 1,400 tahun lalu merupakan pegangan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja tetapi seluruh manusia.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan yang memerintah mampu melaksanakan Islam.

Oleh itu, katanya Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi Perdana Menteri ketika memerintah Madinah sekaligus menolak dakwaan Umno yang memisahkan politik daripada agama.

"Nabi Muhammad s.a.w. meninggal ribu-ribu tahun dulu, yang tinggal al-Quran. Al-Quran menjadi pegangan hidup manusia, bukan sahaja hidup Melayu.

“Melayu ke dia, Cina ke dia, Inggeris ke dia, asalkan dia manusia bukan kayu, batu, bukan haiwan wajib ke atas dia dari segi agama kena ikut Quran.

"Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Perdana Menteri waktu sampai ke Madinah. Umno kata agama lain politik lain, cuba tanya Umno, siapa yang memegang kerajaan di Madinah jika tidak Nabi Muhamad s.a.w.," ujarnya kepada media selepas merasmikan Himpunan PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Pantai Pandak Chendering, dekat sini, semalam.

Justeru, kata beliau kerajaan yang mengambil bukan Islam dan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, bukan daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.


Pusat digesa bayar hutang Kelantan RM9.4 bilion | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan menggesa Pusat segera menjelaskan hutang tertunggak RM9.4 bilion kepada negeri itu.

Menurut Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, anggaran hutang merangkumi RM7 bilion bagi hasil royalti minyak dan RM2.4 bilion bagi pampasan kawasan Taman Negara.

"Jumlah itu besar dan Kerajaan Pusat sepatutnya bertanggungjawab dengan perkara ini," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau dilapor berkata demikian semasa menjadi berucap di Majlis Forum Rakyat di Balai Islam di Kota Bharu, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, tuntutan di Taman Negara melibatkan kawasan 1,043 kilometer persegi termasuk kawasan hutan.

"Berdasarkan kajian awal tuntutan itu ada asas, berikutan kerajaan kehilangan nilai sewa ekonomi terlepas kerana hutan balak daripada hutan kekal tidak dibenarkan dengan nilai bersih terkini iaitu RM1.2 bilion.

"Asas kedua adalah pulangan terlepas bagi menerokai sektor perladangan kelapa sawit dengan nilai bersih terkini RM585 juta seluruh kawasan.

"Manakala, bagi komoditi getah untuk lateks dan balak pula, kerajaan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM353 juta, manakala ladang getah hutan kini bernilai RM242 juta," katanya di hadapan 1,000 penyokong Pakatan Rakyat.


PAS Terengganu lancar manifesto berkebajikan | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Okt: Sebagai tanda sudah bersedia berdepan Pilihan Raya Umum ke-13, PAS Terengganu malam tadi melancarkan manifesto mereka bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan".

Pelancaran itu disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno ke-3 di Pantai Pandak, Cendering, Terengganu.

Lima perkara awal antara yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah:

- Melaksanakan pengecualian cukai kediaman

- Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN

- Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami

- Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan

- Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam ucapannya berkata, sebuah kerajaan yang diberi amanah memerintah perlu menunaikan tiga tanggungjawab utama iaitu menjadi kerajaan yang memperhambakan diri pada tuhan, memberi makan kepada rakyat sehingga rakyat tidak lapar dan menjaga keselamatan dalam negara.

Mengulas Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib 16 Oktober lalu, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kenaikan gaji yang diumum kerajaan tidak membantu rakyat kerana pada masa yang sama harga barang juga dinaikkan.

Pemberian yang disifatkan sebagai one-off itu katanya hanya akan memberi kesenangan sementara lebih-lebih lagi dalam usaha BN memancing undi untuk PRU ke-13 tidak lama lagi.

Namun selepas itu katanya, rakyat akan terus terbeban dengan perlaksanaan cukai khususnya barangan perkhidmatan (GST) yang hampir pasti dilaksanakan jika BN terus diberi kepercayaan memerintah negara.


Pemuda PAS Perak himpun jentera PRU-13 | Print |
Harakahdaily

IPOH, 16 Okt: Bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 pada bila-bila masa, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak akan mengadakan Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2011 pada 27 November ini.

Himpunan yang akan diadakan di Parit Buntar itu akan mengumpulkan seluruh jentera pilihanraya Pemuda PAS Perak seluruh negeri yang bertemakan 'Gelombang Kuning' bagi menyediakan petugas Pemuda PAS kelak.

Untuk persiapan rapi, Pemuda PAS Perak telah melancarkan Tabung Khas Dana HEMPAP 2011 yang telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak Ustaz Shuib Din, di dalam program Liqa' Fikri Pemuda PAS Perak hari ini.

Hadir sama bagi melancarkan tabung khas ini ialah Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan, Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Khairie Jamaludin dan Setiausaha Pemuda PAS Perak yang juga Pengarah HEMPAP 2011, Salman Saleh.

Himpunan besar ini mensasarkan peserta lebih 10,000 orang Pemuda PAS Perak yang turut dihadiri pimpinan tertinggi parti.

Sebarang sumbangan untuk HEMPAP 2011 ini bagi meringankan kos bagi himpunan tersebut, boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama 'Perak Care' no akuan 5580 1500 1720.


Dewan Pemuda, CAP jalin kerjasama | Print |
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 15 Okt:

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat melangkah setapak lagi kehadapan apabila menjalinkan kerjasama dua hala dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Kerjasama itu bagi tujuan merangka usaha memupuk jiwa rakyat terutamanya umat Islam di negara ini berhubung kepentingan kepenggunaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Ketuanya, Firdaus Mohd Jaafar berkata, selama ini isu berkaitan kepenggunaan dan alam sekitar dianggap 'isu sampingan' oleh sesetengah pihak sehinggakan ia tidak menjadi satu daya tarikan untuk rakyat bangunkan kesedaran bersama.

"Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama lajnah diperingkat Pemuda negeri cuba bangkitkan kesedaran supaya rakyat pandang serius isu berkenaan pengguna serta alam sekitar yang kini berada pada situasi yang membimbangkan," jelasnya ketika pertemuan dengan Presiden CAP, S.M Mohamed Idris di pejabatnya semalam.

Oleh itu lajnah akan memantapkan gerakan ke arah itu dengan mewujudkan satu kumpulan yang diberi nama Tunas, yang tahu secara mendalam sebagaimana yang dibuat oleh CAP.

Setelah pendaftaran 'Tunas' berjaya nanti sambung Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai, beliau akan memastikan setiap negeri memilih sekurang-kurangnya dua orang untuk dihantar bekerja dan tinggal dengan CAP bagi menangani isu pengguna dan alam sekitar.

"Kita sedang berusaha mewujudkan 'Tunas' yang mana nanti mereka yang terlibat denganya akan mendapatkan khidmat nasihat, bekerja dan tinggal dengan CAP untuk latihan selama sebulan dua supaya bila bergerak atas nama Tunas nanti dapat membantu CAP untuk tangani isu berkaitan. TIdaklah CAP berseorangan sebagaimana hari ini, " ujarnya.

Turut hadir pada pertemuan sebelum itu semalam ialah Ketua dan Setiausaha Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Negeri, Saudara Abu Firdaus dan Saudara Osman, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Presiden CAP, Muhideen Abdul Kader.


Puji Kelantan, laporan audit tidak dibentang? | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU,16 Okt: Ekoran memuji pemerintahan Kelantan, Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentang di Dewan Rakyat sebelum pembentangan Bajet 2012.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa, selain faktor itu laporan audit itu juga tidak dibentang kerana prestasi pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat lebih baik berbanding negeri yang diperintah BN yang biasanya defisit.

"Kita amat terkejut bila mana (laporan audit) tak dibentangkan sebelum belanjawan dibentangkan di Parlimen, kerana selalunya diberi dahulu supaya boleh dibawa bersama dalam sebarang perbahasan.

"Ada ura-ura menyatakan bahawa salah satu sebab utama ialah kerana prestasi pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan dipuji dalam Laporan Ketua Audit Negara itu bagi tahun 2010," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyertai Forum Rakyat di Balai Islam, Lundang dekat sini semalam, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau yang juga naib presiden PKR berpendapat, ahli parlimen wajib diberikan salinan buku laporan itu supaya mereka dapat menilai sendiri prestasi kerajaan negeri di bawah BN yang selalunya defisit berbanding dengan prestasi negeri ditadbir Pakatan Rakyat.

14 parlimen Kelantan perlu menang

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelnatan Datuk Husam Musa pula menyeru semua pihak khususnya penyokong PAS dan Pakatan Rakyat supaya tidak hilang ‘fokus’ dalam perjuangan menuju Putrajaya.

Katanya, 14 kerusi parlimen di Kelantan mesti dimenangi Pakatan Rakyat bagi memastikan peluang ke Putrajaya lebih cerah sekaligus dapat memastikan hak royalti Kelantan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Dan Pakatan Rakyat mesti berjanji kepada rakyat Kelantan bahawa Kerajaan didominasi Umno BN mesti membayar royalti kepada Kelantan.

"Kita juga menuntut supaya royalti itu dinaikkan daripada lima peratus keapda 20 peratus, ini kerana mejoriti negeri pengeluar minyak adalah miskin seperti Sawarak, Trengganu dan Kelantan," katanya.

Mengulas langkah pihak tertentu membawa mendftarkan warga asing sebagai pengundi, beliau menyeru semua pihak berdoa agar mereka mengundi Pakatan Rakyat.

"Kita nak buang dah tak boleh dah kerana BN memang dah ‘masukkan, Parti Umno pun sudah ditukar kepada 'United Myanmar and Nepal Organisation'," dakwanya, berseloroh sinis.

"Berdoa kepada Allah swt agar mereka boleh mengundi Pakatan Rakyat, sekali pun yang ‘mendaftar’ itu adalah Umno BN," tambahnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, terbaru di Kota Bharu sendiri 65 orang pendatang dikesan didaftarkan sebagai pemilih di Pasir Pekan.

"Kita mesti ada dua strategi, strategi pertama membantah, kedua mesti kenal pasti orang itu dan kita kena kempen memberi kesedaran kepada mereka," katanya.

Demokrasi Kotor

Sementara Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) mendakwa sistem demokrasi negara khususnya pilihan raya masih lagi kotor dan perlu dibersihkan.

Beliau merujuk isu sama, iaitu tindakan pihak tertentu yang sanggup menggadaikan maruah negara dengan mendaftarkan warga asing sebagai pengundi.

"Bagi saya, itu (daftar warga asing) harus dibatalkan, sebab kalau kita biarkan, kita memulakan budaya baru di mana untuk mengalahkan lawan, kita ambil siapa saja yang kita boleh mudahkan mereka untuk menjadi warganegara.

"Itu saya fikir demokrasi yang tidak bersih. Jadi harus dibersihkan itu dahulu," katanya.

Tiada ulasan: