Rabu, 26 Oktober 2011

BILA ORANG DAH TAK PERCAYA LAGI...MAKA APA KITA BUAT JADI SIA2...UNTUK PERCAYA KEMBALI...AMATLAH SUKAR...

Negara berkebajikan bukti PAS bela semua kaum | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Seluruh rakyat negara ini diseru menyertai kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan terhadap kepimpinan negara.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, masa kepada politik perkauman di negara ini sudah berakhir.

Menurut beliau, sebaliknya, seluruh rakyat negara ini mesti dikenali sebagai rakyat Malaysia dan bukan lagi dari latar belakang kaum dan agama.

Katanya, sejajar dengan itu, PAS yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu sudah lama mengamalkan konsep menghormati antara satu sama lain demi kemanusiaan.

"Sehubungan itulah, PAS tidak mengira kaum atau agama dalam memberikan sumbangan, apatah lagi dengan konsep negara berkebajikan menjadikan PAS lebih bersungguh-sungguh membela semua kaum," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Barit Buntar mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada para penganut agama Hindu di negara ini.

"Selamat Menyambut Hari Deepavali untuk penganut Hindu semoga sambutan cahaya ini menyinari usaha perubahan yang kita lakukan," katanya.

Kelmarin, beliau turut menghadiri satu program sumbangan kepada fakir miskin bagi kaum India yang berlangsung di Telok Intan.

Program anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan PAS Kawasan Telok Intan itu membabitkan sumbangan kepada 240 orang fakir miskin di kawasan itu.

Turut hadir pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Annuar Sudin yang turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin terbabit dan Pengerusi DHPP Kawasan, Archaran Singh.

Sementara itu, Archaran dalam ucapannya mengharapkan program tersebut akan lebih meriah pada tahun-tahun akan datang.

Masyarakat India masih tercicir

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada penganut Hindu.

Beliau bagaimanapun kesal kerana sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir.

“Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif. Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan, keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati.

“Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan Keadilan sejak penubuhannya,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya masyarakat India tidak boleh dibiarkan terkebelakangan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat negara menjadi tidak seimbang.

Ujarnya, inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan dan PKR tidak memandang sambil lewa hal itu.

“Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan, dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura,” ujarnya.


Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.

Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN.

“Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.


Nasionalis punca murtad – Nik Aziz | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan gejala murtad yang berlaku di negara ini adalah akibat tidak melaksanakan pemerintahan Islam.

Menurutnya, dengan mengambil fahaman nasionalis, menyebabkan manusia akan merasa lekeh kepada Islam dan akan mengagung-agungkan fahaman kebangsaan.

"Di Malaysia ni punca murtad adalah kerana nasionalis. Golongan nasionalis ini buat manusia rasa lekeh kepada Islam kerana mereka tolak Islam ambik kebangsaan.

"Daripada rasa lekeh ini lah timbul masalah menggelongsor luruh daripada Islam. Ini kita panggil murtad," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS adalah parti pertama di negara ini yang memperjuangkan Islam.

Jika ada pihak yang mendakwa PAS tidak berusaha menentang murtad, beliau berkata tomahan itu salah kerana penubuhan PAS itu sendiri mahu mempertahankan Islam.

"PAS orang pertama mempertahan Islam.

"Bila Islam itu diperjuangkan maka segala perkara membawa manusia kepada Islam kita akan gunakan dan segala perkara yang memberi mudarat kepada Islam, PAS akan tentang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan pendakwah di negara ini agar jangan hanya melihat tugas dakwah sekadar menyeru masyarakat memakai serban dan jubah, malah lebih penting katanya adalah menegakkan pemerintahan Islam secara keseluruhan.

"Sekarang ini golongan pendakwah banyak, tetapi mereka berkisar hanya pada pakai seban sunnah nabi, berjanggut sunnah nabi dan berjubah sunnah nabi.

"Kita tinggal perkara paling penting sekali iaitu memerintah dengan Islam yang juga sunnah nabi. Ekonomi cara Islam, budaya cara Islam, sosial cara Islam dan politik cara Islam," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS konsisten memperjuangkan isu murtad sejak dahulu lagi.

Katanya, sejak 1990, sudah tiga kali PAS membawa undang-undang persendirian mengawal murtad di parlimen.

Bagaimanapun usul yang memerlukan cadangan daripada anggota kabinet itu tidak diangkat sehingga sidang parlimen habis.

Selain itu, ketika isu murtad Noraishah Bukhari, Lina Joy dan Hartina Kamarudin, PAS adalah parti paling hadapan melawan isu itu pada ketika itu bukannya Umno atau mana-mana NGO.

[Lihat VIDEO]


Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

“Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan Umno Barisan Nasional,” kata ketua penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli sebagai respons kepada pengumuman Najib dan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengenai penggantungan itu ditarik balik.

Namun demikian, katanya adalah malang apabila siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tetap diteruskan.

Malah, ujarnya komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau.

“Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Mahasiswa AMK Malaysia kepada Harakahdaily.

Menurutnya, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ia adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda negara.

Tegasnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah Umno Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu itu.

Sehubungan itu, katanya AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada profesor terkemuka undang-undang negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.


PAS ucap tahniah kepada an-Nahdah Tunisia | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia semalam.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) juga berharap kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Sebenarnya, kata beliau An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi.

“Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan an-Nahdah itu.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Parti An-Nahdhah di Tunisia di dalam pilihanraya umum semalam. Semoga dengan kemenangan ini, Islam lebih bersinar di bumi Tunisia," ujarnya melalui twitter.

Paling penting, katanya keadilan dan kebajikan rakyat terbela di bawah pemerintahan yang adil berteraskan syariat Islam.

"Sesungguhnya di mana saja berlakunya kepekatan malam, akan tiba juga fajar yang menyinsing," ujarnya.

Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP.

"Keputusan pertama yang disahkan menunjukkan al-Nahda telah mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan di kebanyakan daerah," kata pengurus kempen parti al-nahda, Abelhamid Jlassi, pada sidang akhbar, memetik laporan sendiri pemerhati pilihan raya al-Nahdah.

Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak berhaluan kiri, Parti Kongres Republik (CPR) dan Ettakol, berkata, mereka berjuang untuk tempat kedua, manakala pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mengakui kekalahan pada petang Isnin.

"Al-Nahda pastinya majoriti, tetapi terdapat dua entiti demokratik lain, Ettakatol dan CPR, yang lemah pada permulaan tetapi kini mendapati diri mereka dalam kedudukan untuk menyumbang kepada kehidupan politik dan menyambut kemodenan rasional dalam Arab-Islam negara, "kata Khalil Zaouia, pemimpin nombor dua parti Ettakatol.

Samir Dilou, ahli biro politik al-Nahda, berkata bahawa partinya telah memenangi tidak jauh daripada 40 peratus undi.

Pada hari mengundi pilihan raya bebas pertama Tunisia kelihatan orang ramai menunjuk-nunjuk jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal berwarna biru mereka selepas membuang undi, menunjukkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikutan kemenangan Parti An-Nahdah dalam pilihan raya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ganouchi.

Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi sendiri.

Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ganouchi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Sedunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat.

Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding.

Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti.

Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah.

Ini kerana mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan.

Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.


Mahasiswa tetap berhimpun di UIA malam ini | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memuji tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berani menarik balik penggantungan Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarahnya.

SMM berpandangan, tindakan itu membuktikan UIA menghormati kehendak banyak pihak khususnya mahasiswa yang mahu isu ini diselesaikan segera.

Namun, menurut Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab, mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan menyambut kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di UIA malam ini seperti yang dirancang.

Tegasnya, himpunan ini bagi memberi petunjuk kepada rakyat bahawa mahasiswa bukan sekadar mempertahankan Aziz namun mempertahankan kebebasan akademik.

"SMM masih berpendirian untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kebebasan akademik. Perjuangan SMM adalah mempertahankan kebebasan akademik dan bukan hanya mempertahankan Prof Dr Aziz Bari," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, SMM turut menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan lawatannya ke UIA malam ini.

"SMM menyifatkan bahawa tindakan Perdana Menteri membatalkan lawatan itu adalah atas dasar takut untuk berdepan dengan mahasiswa," katanya sambil berkata memorandum akan tetap diserahkan keapda Hishammuddin.

Semalam, UIA menarik balik penggantungan Aziz dan meminta beliau melapor diri keapda Dekan Fakulti Undang-Undang hari ini.

Bagaimanapun, siasatan terhadap Aziz masih berjalan kerana universiti perlu masa menimbangkan dengan teliti jawapan kepada surat tunjuk sebab.


SPR sudah tak percayakan JPN? | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Biarpun menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mempamerkan 40,000 nama pemilih diragui, Dewan Pemuda PAS tetap mempersoal data Jabatan Pendaftaran Negra (JPN).

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kayat mempersoal "apa sudah jadi" dengan data JPN sehingga SPR tidak boleh mengesahkan nama-nama tersebut dengan JPN.

Sedangkan katanya, JPN adalah satu-satunya jabatan yang mempunyai rekod setiap rakyat di negara ini.

"Kenapa tak boleh clarify dengan JPN, atau sebenarnya SPR sudah tak percaya dengan JPN.

"Atau JPN sendiri tak ada data tersebut sehingga SPR kena dapatkan pengesahan dari ground," soalnya ketika ditanya Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPR yang akan mula mempamerkan senarai 40,000 nama pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya Khamis ini.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, selama ini SPR tidak dapat mengeluarkan nama-nama yang diragui itu sebab maklumat yang diterima daripada JPN menunjukkan butiran terbabit adalah sahih.

Katanya, jika tiada pengesahan daripada mana-mana pihak selepas pameran seminggu itu berakhir, nama-nama yang diragui akan dikeluarkan daripada daftar pemilih induk.

Mengulas lanjut, Suhaizan sekali lagi mempersoal apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS) JPN yang diguna bagi membersihkan daftar pemilih.

"Ini SPR tak pernah jawab, JPN pun tak pernah jawab.

"Kita juga mahu satu sistem di mana rakyat boleh menyemak status dan maklumat MyKad kerana sistem yang ada sekarang ini dah tak boleh semak," katanya.

Tiada ulasan: