Sabtu, 15 Oktober 2011

INI MENUNJUKKAN BUKAN SEMUA BERITA ITU BENAR...NAMPAK MENGADU DOMBA...BISING JIKA MUSUH BUAT HAL.DIA TAKPE

Utusan diarah bayar Khalid Samad RM60,000 | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan akhbar Umno, Utusan Malaysia membayar gantirugi RM60,000 kepada Khalid Samad kerana memfitnah ahli parlimen Shah Alam itu.

Keputusan itu dibuat hakim Dr Prasad Sandosham Abraham hari ini berhubung berita di muka hadapan akhbar itu bertarikh 11 Oktober 2009 yang bertajuk ' Zulkifli bidas Pak Janggut'.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin (kanan), yang mewakili Khalid berkata, selain membayar RM60,000 itu, Utusan juga diarah membayar kos perundangan.

"Mahkamah arahkan Utusan membayar RM60,000 kepada Khalid Samad sebagai gantirugi kerana memfitnah.

"Utusan juga kena bayar kos yang jumlahnya akan ditaksir kemudian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hakim juga memberi tempoh satu bulan kepada Utusan untuk mengemukakan rayuan.

Utusan pada 11 Oktober lalu melaporkan 'Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin membidas individu yang digelarnya Pak Janggut yang sanggup memutar belit ayat-ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam.'

Di dalam samannya sebelum ini Khalid (kiri) menyatakan berita fitnah itu merujuk kepada beliau meskipun nama beliau tidak disebut.

Beliau menamakan Ketua Pengarang Utusan, penerbit dan pencetak akhbar itu, sebagai defenden dalam saman tersebut.

Ini kerana sebelum berita itu diterbitkan, beliau ada menulis surat kepada penduduk Seksyen 23 di mana di dalam surat tersebut Khalid ada menukilkan ayat-ayat Al-Quran bagi menegaskan perlunya umat Islam berlaku adil dalam isu pembinaan kuil di Sekyen 23 Shah Alam.

Hakim pada perbicaraan 30 September lalu, bersetuju bahawa artikel tersebut merujuk kepada Khalid dan hakim berkata tuduhan memutar belit ayat al-Quran adalah fitnah yang serius, lebih serius dari menuduh orang Islam sebagai Abu Jahal.

Pada 11 Oktober lalu, mahkamah telah mendengar hujah peguam kedua-dua pihak berkaitan isu gantirugi.

Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Khairudin manakala Utusan diwakili peguam Mohan dari Tetuan Shafiee & Mohan.


Jangan lupa ‘road show’ Umno perkecil Raja-Raja | Print |
Fakhri Ali

SUNGEI PETANI, 14 Okt: Tidak mustahil Umno Barisan Nasional (BN) mencari jalan muslihat dan penipuan bagi memastikan kuasa yang ada tidak hilang.

Ini termasuklah penipuan dalam undi pos, sepertimana yang dibangkitkan acap kali.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata demikian ketika menyampaikan ceramah beliau di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungei Petani, malam tadi.

Menurut beliau lagi, BN menyedari undi popular yang berjaya diraih mereka di Semenanjung hanyalah sebanyak 46 peratus jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat sokongan sebanyak 52 peratus.

"Berdasarkan kepada kenyataan ini, BN terpaksa melakukan apa jua tindakan bagi memastikan kemenangan mereka berulang. Isu rasis dan agama akan menjadi topik penting untuk dipermainkan bagi meraih sokongan.

"Kita jangan lupa pada fakta dan sejarah 1993, di mana Umno membuat 'road show' dengan memperkecilkan kedudukan Raja-Raja. Begitu juga dengan fakta sejarah yang menyatakan Dr Burhanuddin Al Helmy adalah pejuang.

"Mat Indera yang mereka nafikan perjuangan beliau juga adalah antara fakta sejarah yang harus menjadi sandaran dan pemerhatian rakyat. Sejarah tidak harus dilupakan bagi membuktikan kebenaran, " ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan sumbangan skim kafalah sebanyak RM500 setiap waris keluarga warga emas yang meninggal dunia di negeri Kedah.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard serta kepimpinan PAS kawasan Sungei Petani.


Sindiket IC: Alasan 'kursus usahawan' tak munasabah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa ratusan warga asing yang ditemui di Istana Dugang Country Resort kelmarin menghadiri kursus keusahawanan disifatkan sebagai tidak munasabah.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, alasan itu sama sekali tidak dapat diterima rakyat kerana tiada keperluan mereka mengikuti kursus tersebut kerana mereka memang tidak dibenarkan berniaga di Malaysia.

"Apakah seorang warganegara asing yang datang ke negara ini atas permit pertanian dibenarkan berniaga dalam negara kita? Sejak bila pula kerajaan Malaysia membenarkan pekerja buruh daripada kalangan warga asing dibenarkan berniaga di negara kita? soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Suhaizan turut membangkitkan beberapa persoalan yang menimbulkan kecurigaan dan mengesahkan dakwaan pemuda PAS bahawa warga Indonesia, bangladesh dan Kemboja itu dibawa ke resort tersebut untuk mengambil MyKad.

Warga asing itu juga dipercayai akan didaftarkan sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13.

Katanya, layanan yang diterima mereka sangat istimewa sehingga diberikan perkhidmatan pengangkutan dan bas secara percuma.

"Tidak munasabah warga asing ini diberi layanan kelas pertama untuk menghadiri kursus keusahawanan. Mereka diberi perkhidmatan bas dan resort. Badan kerajaan mana yang begitu bermurah hati membenarkan mereka berkursus?" soalnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Apa yang lebih melucukan katanya warga asing itu datang dari Johor ke Selangor semata-mata untuk berkursus selama lima jam sahaja.

Ini kerana jelasnya, menurut perjanjian dengan pemandu bas, perkhidmatan mereka diperlukan sehingga jam 1 tengahari Rabu, sedangkan warga asing tersebut tiba di Putrajaya pada jam 6 pagi hari yang sama.

Tambahnya, jika benar mereka menghadiri kursus keusahawanan, kenapa dalam waktu yang singkat sahaja iaitu dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

"Jika benar mereka berkursus keusahawanan 5 jam sahaja dengan jarak 800 KM, pergi dan balik daripada Johor Baharu ke Putrajaya, mengapa mereka tidak berkursus di Johor Baharu sahaja. Mengapa begitu istimewa warga asing ini dilayan oleh pihak tertentu dalam negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak polis agar tidak bersubahat melindungi penyelewengan yang melibatkan kedaulatan negara.

40 ribu nama diragui, apa jadi dengan ALIS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pendedahan wujud 40,000 pemilih 'diragui' yang mahu dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada umum menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS).

ALIS iaitu satu sistem yang menghubungkan pengkalan data SPR dengan pengkalan data warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ianya digunakan bagi mengenalpasti individu yang mendaftar sebagai pemilih adalah sah sebagai warga negara.

"Sebelum ini SPR begitu berbangga kerana mempunyai sistem yang dihubungkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai ALIS (Agency Link-Up System).

"Sudah pastilah JPN mempunyai pengkalan data yang paling canggih dalam negara kita. Tapi apa sudah jadi dengan sistem ini," soal Exco Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu turut mempersoal adakah JPN tidak memiliki identiti semua warga negara Malaysia sehingga perlu dipaparkan kesemua 40 ribu pemilih yang meragukan kepada media.

Sepatutnya dengan sistem ALIS itu katanya, SPR dan JPN sudah mampu membezakan antara pengundi asli dan pengundi palsu.

"Mengapa baru sekarang SPR menyedari pemilih yang meragukan. Apakah sebelum ini SPR tidak menyedarinya?

"Kalau tidak menyedarinya bagaimana status pilihan raya ke-12 yang penuh dengan daftar pemilih yang tercemar," soalnya lagi.

Selain itu beliau turut mempersoal apakah SPR sudah tidak yakin dengan JPN kerana kelemahan sistem pengkalan datanya sehingga terpaksa dipamer kepada umum.

Ke mana hilang 10,000 lagi nama

Sementara itu, beliau mahu SPR menjelaskan ke mana hilangnya sejumlah 10,000 lagi nama yang sebelum ini didakwa sedang di siasat oleh mereka.

"Dalam kenyataan media yang terbaharu Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof telah mendedahkan bahawa terdapat 40 ribu pengundi yang diragukan.

"Sedangkan sebelum ini kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR bahawa terdapat 50 ribu pemilih yang sedang disiasat. Saya tidak tidak pasti bagaimana 10 ribu pemilih hilang secara tiba-tiba," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pun begitu, beliau turut mengucap syabas kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya,Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof kerana akhirnya akur bahawa daftar pemilih SPR perlu dibersihkan.

Beliau juga mahu usaha Pemuda PAS membongkar segala kelemahan dalam sistem pilihan raya tidak lagi diperlekeh SPR.


Hudud: Bukan Islam usah bimbang | Print |
Khairul Azlam Mohamad

MARANG, 14 Okt: Masyarakat bukan Islam sebenarnya tidak perlu gusar dan bimbang dengan isu hudud yang kini menjadi polemik Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang PAS dan Pakatan Rakyat.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran berkata, orang bukan Islam sepatutnya tidak perlu mempersoalkan isu hudud kerana ia hanya melibatkan orang Islam.

Katanya, jika ia masih timbul, mereka sebenarnya sengaja menimbulkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan diri sendiri.

“Isu hudud ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Kenapa perlu kita takut. Kita tidak perlu bimbang kerana hukum hudud hanya untuk orang Islam.

“Jika ia (hudud) masih timbul, itu (isu) sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang menjadikan hudud sebagai polemik untuk kepentingan politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersantai sempena Program Al-Falah anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, di perkarangan Pasti Merchang, Marang, kelmarin.

Menurutnya, hudud tidak menjadi isu yang ‘menakutkan’ terutama kepada ahli DHPP kerana memahami dasar tersebut.

Katanya, DHPP Terengganu menyokong semua dasar yang dibawa oleh parti itu tetapi tumpuan kepada Negara Berkebajikan lebih penting.

“Negara Berkebajikan patut dilihat sebagai satu perkara penting daripada hudud yang tidak ada kena mengena dengan kita (bukan Islam).

“Di Terengganu, perkara ini jelas dan tidak ada langsung isu berkaitan hudud dibangkitkan kerana kita memahami tujuan hudud,” tegasnya.

Justeru itu, katanya pemimpin DHPP di seluruh negara disarankan agar bersama-sama dengan PAS bagi merealisasikan agenda sebuah negara berkebajikan.

Beliau mengingatkan ahli parti termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh pihak yang menentangnya.

Sebaliknya, kata beliau semua pihak perlu memahami pelaksanaan hudud itu hanya melibatkan kesalahan dan jenayah yang dilakukan orang Islam.

Sambutan 60 tahun PAS di Pahang 26 Oktober
Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 14 Oktober: PAS akan mengadakan Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Pahang 26 Oktober di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau di sini dengan tema “Sejarah, merealisasikan langkah ke Putrajaya”.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program akan dirasmikan Timbalan Presiden Haji Mohamad Sabu dan Kerdau dipilih kerana PAS Pahang diasaskan di situ pada tahun 1955 oleh Pesuruhjayanya yang pertama Allahyarham Mohd Yassin Salleh.

"Program akan bermula daripada 25 Oktober lagi dengan pameran sejarah dan jualan serta ceramah pada sebelah malamnya oleh Salehuddin Ayub, Saifuddin Nasution dan Hishamuddin Rais.

“Keesokan harinya akan berlangsung sukan rakyat melibatka Pasti, aktiviti konvoi ARC dan motivasi kepada isteri pimpinan PAS Pahang oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

“Majlis perasmian akan bermula jam dua petang oleh Timbalan Presiden sementara Naib Presiden PAS Sallehuddin Ayub akan membentangkan satu kertas kerja selepas itu,” katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat AJK Harian PAS Pahang di pejabat PAS dekat sini semalam.

Tambahnya, pada sebelah malam akan ditayangkan pengkisahan sejarah PAS Pahang, anugerah tokoh dan anugerah jasamu dikenang kepada tokoh-tokoh terpilih.

Kemuncaknya ialah ceramah umum oleh Mohamad Sabu, beliau sendiri dan beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat.

“Matlamat sambutan yang penting ini ialah bagi mencetuskan semangat bagi menghidupkan gelombang pilihan raya umum (PRU) 13 dengan memobilisasi semua peringkat penggerak dan petugas parti,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, bagi sebarang pertanyaan untuk penyertaan, perniagaan dan sebagainya boleh menghubungi urusetia di talian: 09-2965143.

Tiada ulasan: