Jumaat, 14 Oktober 2011

BILA ALLAH ALLAH MENGHUKUM....ALLAH BOLEH BUAT APA SAJA....

Empangan punca Thailand ditenggelami air



AYUTTHAYA merupakan bekas ibu negara Thailand, pernah ditawan askar Burma dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1767.

Kali ini bandar raya yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Bangkok itu sekali lagi ditawan, namun bukan disebabkan peperangan tetapi air.

Sejak seminggu lalu, keseluruhan bandar di wilayah itu kini ditenggelami air berikutan Sungai Chao Phraya yang mengelilinginya melimpah, melepasi benteng penghadang banjir yang dibina.

Situasi itu menyebabkan pelbagai khazanah berharga di Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu kini dalam bahaya.

Seorang penduduk tempatan, Somchit Nawangmuang memberitahu, dia telah kehilangan segala-galanya dalam kejadian itu.

"Banjir telah merampas segala-gala yang saya ada," kata bapa kepada enam orang anak itu yang rumahnya terletak di tebing Sungai Chao Phraya.

Dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka pagi Ahad lalu selepas paras air sungai melimpah, menenggelamkan rumah dan memaksa mereka tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Paras air meningkat sehingga lima meter mencecah siling rumah kami," katanya. Dia bersama ratusan pelarian kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di bandar itu yang menyediakan kemudahan penginapan sementara dan makanan.

Kilang ditutup


TENGGELAM. Banjir menyebabkan tapak warisan dunia, Kuil Chaiwatthanaram di Ayutthaya ini hampir hilang dari pandangan.


Timbalan Gabenor Ayutthaya, Thawi Naritsirikun berkata, sebanyak 1,200 hektar kawasan perindustrian di wilayah itu termasuk 200 kilang terpaksa ditutup akibat banjir. Antaranya beberapa syarikat gergasi, Honda Motor Co, Toyota Motor, Canon Inc. dan Nikon Corp.

Musim monsun pada tahun ini yang lazimnya bermula antara bulan Ogos hingga Oktober berlaku agak panjang dan menghasilkan hujan lebat yang luar biasa di sekitar Asia Tenggara. Situasi yang sama turut dirasai oleh beberapa negara jirannya seperti Vietnam, Kemboja dan Laos. Lebih menyedihkan, banjir tersebut telah menelan ratusan korban dan menyebabkan kerugian berbilion-bilon dolar.

Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand melaporkan seramai 270 penduduk telah disahkan terbunuh manakala lebih 2.4 juta penduduk turut terjejas ekoran banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 50 tahun.


MASYARAKAT Islam Kemboja yang menunaikan solat di masjid Kampung Doung terpaksa menaiki sampan apabila negara mereka terkena tempias banjir yang melanda Thailand.


Dianggarkan sebanyak 58 daripada 77 wilayah dilaporkan terjejas, manakala 27 daripadanya telah ditenggelami air.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertanian menganggarkan kira-kira 1.4 juta hektar kawasan pertanian di negara itu kini ditenggelami air iaitu menyamai 13 kali ganda keluasan negara Hong Kong.

Secara keseluruhan, kerajaan mengganggarkan banjir yang bermula sejak bulan Julai lalu telah mengakibatkan kerugian antara AS$1.91 bilion hingga AS$2.61 bilion (RM5.9 bilion hingga RM8 bilion).

Selain Ayutthaya, beberapa wilayah lain yang terjejas ialah Nakhon Sawan, Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Angthong, Lop Buri, Pathum Thani, Nonthaburi dan Chacheongsao.

Seorang penduduk di Pathum Thani, Wanpen Suanmakam memberitahu, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan paras air sungai berhampiran rumahnya meningkat sehingga dua meter.

Fenomena luar biasa


MANGSA banjir di wilayah Ayutthaya dipindahkan ke tempat yang selamat.


"Saya tidak pernah menjangkakan banjir pada tahun ini begitu buruk. Air naik dengan begitu pantas, kami tidak sempat berbuat apa-apa.

"Rumah saya kini ditenggelami air, begitu juga sawah padi yang diusahakan. Saya kini tidak mempunyai apa-apa lagi, semuanya telah musnah akibat banjir," kata lelaki berusia 62 tahun itu ketika ditemui di sebuah pusat pemindahan banjir di wilayah itu.

Fenomena luar biasa kali ini turut dikaitkan dengan faktor manusia. Ramai yang menyalahkan kelemahan pengurusan air di negara itu terutama di beberapa empangan besar seperti Bhumibol dan Sirikit di utara yang mengairi Chao Phraya.

"Mereka menyimpan terlalu banyak air di empangan pada awal musim monsun, oleh itu ia tidak dapat menampung jumlah hujan yang berterusan ketika ini," kata Ketua Yayasan Amaran Bencana Alam, Smith Dharmasaroja.


BEG-BEG pasir yang disusun menjadi benteng antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan Thailand untuk membendung banjir.


"Saya rasa lebih 80 peratus punca banjir ini disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunakan," katanya yang juga merupakan seorang ahli kaji cuaca.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa telah dipaksa untuk melepaskan air dari takungan empangan Bhumibol dan Sirikit, yang berada dalam kapasiti penuh. Situasi itu sekali gus menyebabkan aliran Chao Phraya meningkat dan seterusnya mengalir ke ibu negara itu, Bangkok.

Penganalisis sebelum ini berpendapat, Bangkok yang kini beransur-ansur tenggelam berikutan peningkatan paras air di delta Chao Phraya dan terletak hanya dua meter di atas paras laut akan lumpuh sekiranya berlaku banjir.

Amaran banjir turut menimbulkan suasana panik bagi lebih 12 juta penduduk di bandar raya itu yang berebut-rebut menyimpan bekalan makanan dan air bersih.

Kebanyakan pasar raya sesak sejak Sabtu lalu, apabila orang ramai menyerbu dan membeli bekalan masing-masing untuk keperluan dan untuk didermakan kepada mangsa-mangsa banjir.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra kini dilihat berdepan tugas getir dalam menyelesaikan krisis pertamanya selepas dilantik menjawat jawatan itu kira-kira dua bulan lalu.

Tangani krisis


PEMANDANGAN dari atas yang menunjukkan air Sungai Chao Phraya dipenuhi air dan melimpah keluar ke darat.


"Kami mengaku banjir yang berlaku kali ini lebih buruk berbanding sebelumnya," kata Yingluck dalam ucapan yang disiarkan dalam siaran televisyen di negara itu pada 7 Oktober lalu.

"Kerajaan hari ini baru berusia beberapa bulan dan adalah sukar untuk berhadapan dengan situasi ini memandangkan hujan lebat kali ini agak luar biasa."

Kesungguhan Yingluck dalam menangani krisis yang berlaku menyebabkan beliau membatalkan lawatan rasmi ke Singapura dan Malaysia yang dijadualkan pada minggu ini.

Dalam satu telepersidangan dengan gabenor wilayah-wilayah yang terlibat sebelum ini, beliau menganggarkan sebanyak AS$1.2 bilion (RM3.75 bilion) akan digunakan untuk membina sistem penghalang banjir di seluruh negara itu pada masa hadapan.

Pada masa yang sama semasa pertemuan di Pusat Operasi Bantuan Banjir baru-baru ini, Yingluck turut mengarahkan agensi-agensi kerajaan bersedia untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Mengikut perjanjian itu, tentera akan mengambil alih melindungi penduduk dan beberapa wilayah yang terjejas teruk seperti Ayutthaya, Lop Buri dan Nakhon Sawan.

Sementara itu, pada Isnin lalu, Yingluck telah mengarahkan melaksanakan kerja-kerja mengorek terusan dan pengukuhan benteng pencegahan banjir di utara dan barat Bangkok bertujuan mengurangkan impak banjir yang melanda.

Setakat ini, tiga benteng penahan banjir baharu telah dibina di dua lokasi iaitu di Rangsit Khlong 5 dan Taling Chan.

Sementara itu, jurucakap agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kirten Mildren berkata, kerajaan kini giat melakukan pelbagai usaha bagi menghalang banjir daripada menenggelamkan bandar raya itu.

"Kami tahu banyak aliran air dari utara yang turun ke selatan," katanya.

"Kerajaaan kini sedang membina terusan di sekeliling bandar raya. Terdapat timbunan beg-beg pasir di merata-rata tempat. Mereka sedang melakukan apa saja untuk menghalang banjir, biarpun ia semakin hampir setiap hari."



Memulih rumah terbengkalai


PEMBELI rumah di Taman Prima Hijau di Rawang menderita selama sedekad kerana rumah mereka terbengkalai.


BAGI Yee Poo Yoon, 40, 26 September 2011 adalah tarikh yang sukar dilupakan dalam hidupnya. Selepas penat lelah selama dua tahun berusaha menghidupkan kembali projek Taman Prima Hijau yang terbengkalai akhirnya projek itu dapat dipulihkan dan menerima Sijil Layak Menduduki (CFO).

"Saya mula bertindak sebagai wakil penduduk taman itu pada bulan Mei 2009 dan tidak dinafikan pada mulanya saya menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan bantuan.

"Ada juga pembeli yang tidak percaya dengan kemampuan saya untuk membantu agar projek ini diteruskan," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Taman Prima Hijau, Rawang, Selangor baru-baru ini.


PARA pembeli rumah terpaksa berjuang untuk mendapatkan hak mereka.


Kisah Poo Yoon adalah antara kejayaan Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai Jabatan Perumahan Negara menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai di negara ini.

Poo Yoon merupakan antara 33,000 pembeli rumah yang kecewa apabila projek perumahan yang terlibat menghadapi masalah dan terbengkalai.

Pengarah Bahagian Pemulihan jabatan itu, M.Jana Santhiran berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai di negara ini.

Namun proses pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai biasanya memakan masa yang agak lama disebabkan oleh kekangan yang dihadapi oleh jabatan itu.

"Antara kesukaran yang dihadapi ialah mendapatkan butiran projek seperti Kelulusan Projek dan Pelan Bangunan serta lukisan teknikal yang berkaitan," katanya.

Rekod pembeli


FLAT Prima Hijau kini boleh diduduki selepas hampir sedekad terbengkalai.


Jana Santhiran berkata, ketiadaan rekod pembeli turut menyukarkan pihak jabatan mempercepatkan proses pemulihan rumah terbengkalai.

"Jika ada pun rekod pembeli, ia tidak lengkap dan masih sukar untuk jabatan menghubungi pembeli sesuatu projek terbabit," katanya.

Jana Santhiran menambah, kadangkala jabatan turut menghadapi masalah dengan tuan tanah yang enggan ataupun gagal memberikan kerjasama.

"Kesannya, pembeli ataupun pemiutang terpaksa membawa kes berkaitan ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian yang berkaitan dengan tuan tanah," katanya.

Jana Santhiran berkata, ketika ini pihaknya sedang memantau secara talian kira-kira 3,000 projek perumahan di seluruh negara.

"Pihak pemaju diwajib menghantar laporan kemajuan projek masing-masing setiap tiga bulan," katanya.

Dengan kesedaran yang amat tinggi dalam kalangan pembeli akan hak mereka, pembeli sedia bekerjasama dengan jabatan itu dalam menghidupkan semula projek selain pihak bank memantau perjalanan projek perumahan yang mereka beli.


MENTERI Perumahan dan Kerajaan tempatan, Datuk Wira Chor Chee Hueng melihat kawasan sekitar dari tingkat lapan rumah Flat Taman Prima Hijau selepas majlis penyerahan kunci.


Sehingga ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti 167 projek rumah terbengkalai di seluruh negara, membabitkan 50,605 buah rumah dan 32,848 pembeli.

Sehingga 31 Ogos 2011, kementerian dengan kerjasama semua pihak dapat memulihkan 82 projek perumahan terbengkalai.

Ini melibatkan 9,231 pembeli yang mendapat manfaat daripada usaha pemulihan ini, manakala sebanyak 54 projek lagi sedang dipulihkan dan berada di pelbagai peringkat kemajuan.

Deposit lesen

Beliau berkata, baki 31 projek lagi dalam perancangan untuk dipulihkan.

Pelbagai usaha sedang diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani gejala projek perumahan terbengkalai.

Antaranya, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mengesyorkan supaya deposit lesen pemaju perumahan dinaikkan selain pemaju menerima pakai konsep bina dan jual.

Pemudah juga mahu Tribunal Pembeli Rumah diberi lebih banyak kuasa untuk menangani masalah yang berkaitan antara pembeli dan pemaju.

Sementara pada pihak pemaju pula, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) telah meminta pindaan kepada Akta Pembangunan Perumahan untuk membantu pemaju memastikan projek perumahan tidak terbengkalai.

Antara pindaan yang disyorkan adalah deposit yang lebih tinggi dikenakan mengikut kemampuan pemaju untuk mendapatkan lesen pemaju berbanding RM200,000 pada masa kini. - Bernama


Kaum Adam lebih selesa kunci mulut



BUKAN mudah untuk mengajak seorang lelaki yang menghidap kanser payudara berkongsi ceritanya. Justeru tidak hairanlah, tidak banyak kisah pengakuan dapat kita baca di akhbar-akhbar atau disiarkan di televisyen.

Dalam perjalanan menyiapkan artikel ini, penulis berjumpa dengan seorang doktor pakar kanser payudara di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sebulan lalu. Dia berkongsi kisahnya menguruskan tiga kes membabitkan kanser payudara dalam kalangan lelaki.

Malangnya ketika penulis ingin mendapatkan temu bual dengan pesakit-pesakit tersebut, dua daripadanya telah meninggal dunia akibat lambat mendapatkan rawatan kerana dikesan selepas berada di peringkat serius.

Seorang lagi pesakit yang sudah sihat, bagaimanapun menolak untuk ditemu bual. Kisah benar ini memberi kita dua senario iaitu pertama betapa kanser dalam kalangan lelaki sebenarnya bukanlah lagi kes terpencil, manakala keduanya di sebalik angka yang semakin meningkat itu kanser payudara masih terlalu tabu dalam kalangan lelaki untuk dibicarakan.

Lelaki lebih sukar dikesan

"Di Malaysia kes kanser payudara dalam kalangan lelaki tidak disebarkan sebagaimana kes kanser payudara wanita. Mungkin mereka malu kerana penyakit ini selalunya hanya menyerang wanita.

"Kebarangkalian untuk ia menyerang kaum lelaki hanya satu daripada seratus lelaki tetapi, risiko itu tetap ada," jelas doktor berkenaan yang juga Pakar Bedah Endoktrin dan Konsultan Payudara, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr. Harjit Kaur.

Katanya, walaupun kes kanser payudara dalam kalangan lelaki di Malaysia masih amat kecil tetapi, penting untuk diberi perhatian kerana ia ialah kanser yang membunuh.


HARJIT mahu semua lelaki sentiasa memeriksa payudara mereka bagi mengesan sebarang keganjilan.


"Tidak seperti wanita, simptom kanser payudara sukar dikesan dalam kalangan lelaki kerana payudara mereka amat kecil. Justeru mereka perlu lebih peka mengenai sebarang keganjilan pada payudara mereka.

"Kadang-kadang mereka mengabaikan tanda-tanda seperti bintik-bintik di sekitar aerola dan memicitnya kerana menganggap ia sebagai jerawat biasa," katanya.

Sekiranya dibiarkan katanya, kanser payudara yang semakin parah atau masuk ke peringkat tiga dan empat berisiko tinggi menyebabkan kematian.

"Simptom yang menunjukkan kanser payudara masuk ke tahap serius ialah benjolan di belakang puting payudara semakin membesar, puting mengeluarkan cecair atau kulit payudara dan puting susu tertarik ke dalam.

"Lebih buruk lagi, kanser ini cepat merebak melalui salur darah dan salur limfa kerana lelaki mempunyai tisu lemak payudara yang kecil berbanding wanita," katanya.

Harjit memberitahu, rawatan kanser payudara lelaki adalah sama seperti rawatan ke atas pesakit wanita seperti pembedahan mastektomi bagi membuang keseluruhan payudara yang dijangkiti dengan cara membuang tisu termasuk lobul, liang, tisu lemak dan bahagian kulit termasuk puting serta aerola.

"Begitu juga dengan pembedahan lumpectomy bagi membuang bahagian yang dijangkiti sahaja sekiranya kanser payudara dikesan awal," katanya.

Tambahnya, rawatan selepas pembedahan iaitu radioterapi dan kemoterapi juga adalah sama.

"Justeru, amat penting untuk membuat pemeriksaan sendiri disusuli pemeriksaan dengan pakar melalui pemeriksaan ultrasound kerana sekiranya lelaki itu menghidap kanser payudara, ketulan akan dapat dilihat dengan jelas," katanya sambil mengakui lelaki yang mempunyai ahli keluarga menghidapi kanser payudara berisiko lebih tinggi diserang dengan penyakit itu.

Pengakuan pesakit

Dalam pada itu, seorang Pesuruhjaya Daerah Okaloosa di Florida, Amerika Syarikat (AS), Dave Parisot berkongsi kisahnya selepas selamat dalam pembedahan membuang sel kanser payudaranya.

"Saya memberitahu kisah ini kerana saya tahu perlunya memberi kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan lelaki," katanya di dalam Akhbar Florida Freedom awal bulan ini.

Pada Februari 2010, Parisot menjalani pembedahan pintasan gastrik untuk membantu proses pengurangan berat badan, tetapi melalui pembedahan itu ia telah menyelamatkan nyawanya.


LELAKI perlu menepis perasaan malu membincangkan mengenai kanser payudara yang boleh mengancam nyawa mereka.


"Ini kerana pada bulan Julai 2010, selepas saya kehilangan berat sebanyak 34 kilogram, saya temui ketulan di dada saya. Oleh kerana kakak juga merupakan penghidap kanser payudara, saya mungkin berisiko dijangkiti penyakit sama," katanya.

Doktor yang merawat Parisot di Hospital Pangkalan Tentera Udara Eglin melakukan ujian ultrasound dan menemui ketulan sebesar dua sentimeter yang menunjukkan dia menghidap kanser payudara tahap dua.

Pada Ogos 2010, dia menjalani biopsi dan doktor memberitahu bahawa mereka yakin dia akan sihat selepas ketulan itu dibuang.

Mereka kemudiannya mengatur pembedahan mastektomi payudara kiri dan memeriksa nod sentinal limfa pertamanya yang menghampiri sel kanser daripada tumor utama, tetapi kanser tidak merebak ke situ dan berjaya dibuang sepenuhnya.

Parisot terselamat kerana ketulan itu disedari selepas Parisot kehilangan banyak berat badan.

"Lelaki perlu peka akan kemungkinan dijangkiti kanser payudara.

"Mereka perlu tahu simptom-simptomnya, melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat tanda-tanda mencurigakan oleh doktor pakar dan sekiranya ada, buang kanser itu secepat mungkin," katanya.

Teknologi semakin maju

Sementara itu, Konsultan Radiologi PCMC, Dr. Sumitra Ranganathan memberitahu, kemajuan teknologi dapat mengesan sel kanser dengan lebih tepat dan membantu survival pesakit secara tidak langsung.

"Kemajuan dalam proses pengimejan payudara pesakit kanser payudara lelaki dan wanita boleh dilihat melalui teknologi digital tomosintesis, mamografi laser berkomputer, termografi dan pengimejan payudara molekular.

"Melalui mamografi laser berkomputer, pesakit tidak akan berasa sakit seperti proses mamogram biasa tetapi, ia dapat memberikan keputusan sama apabila mengesan aliran darah yang ditingkatkan ke tisu kanser dan membekalkan imej 3D," katanya.

Pemeriksaan termografi pula katanya, menggunakan kamera khas untuk mengira suhu di permukaan kulit payudara.

"Sel kanser membiak dengan cepat menjadikan aliran darah dan metabolisma adalah lebih tinggi di kawasan kanser.

"Proses ini selamat kerana tidak menggunakan sebarang radiasi," katanya.

Pengimejan payudara molekular pula adalah teknologi baharu di mana bahan radioaktif disuntik ke dalam payudara dan molekulnya diserap oleh kanser yang dikesan melalui kamera.

"Proses ini berjaya dalam kebanyakan kes tetapi,penggunaan dos radiasi yang kecil mungkin memberi kesan sampingan kepada pesakit," katanya.

Konsultan dan Pakar Onkologi Klinikal, PCMC, Dr. M. Azrif pula memberitahu, terapi selepas pembedahan merupakan rawatan penting untuk membantu survival.


KANSER lebih cepat merebak bagi pesakit lelaki kerana tisu lemak mereka jauh lebih kecil.


"Rawatan radioterapi, kemoterapi, terapi antiestrogan dan terapi sasaran yang semakin maju merupakan pilihan rawatan yang meningkatkan jangka hayat pesakit terutama mereka yang menjalani pembedahan selepas dikesan pada peringkat serius," katanya.

M. Azrif berkata, rawatan selepas pembedahan perlu walaupun sel kanser di dalam payudara pesakit telah pun dibuang.

"Ini kerana, sel kanser kemungkinan telah merebak melalui salur darah dan membiak di kawasan lain dalam badan terutama organ-organ berdekatan dengan payudara.

"Rawatan susulan ini telah dibuktikan dapat mengurangkan risiko untuk kanser berulang dan meningkatkan potensi survival.

Menurut beliau, di negara-negara Barat, statistik kes kanser payudara menurun saban tahun ekoran peningkatan kemajuan teknologi dalam mengesan dan merawat kanser berkenaan.

"Penurunan statistik juga dipercayai disebabkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan lelaki dan wanita yang semakin meningkat," katanya.

Bali digegarkan gempa bumi kuat, 44 cedera

AP
SEORANG lelaki menolak motosikalnya di sebalik kesan runtuhan bangunan di Kuta, Bali, Indonesia semalam.


KUTA, Indonesia - Satu gempa bumi kuat melanda pulau Bali semalam, menyebabkan 44 orang cedera selain mencetuskan situasi panik apabila ratusan pelancong bertempiaran lari meninggalkan bangunan-bangunan yang bergegar.

Pegawai daripada Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia di Bali, Endro Tjahjono berkata, gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter itu menggegarkan daerah pelancongan utama, Kuta selama beberapa minit.

"Situasi panik berlaku. Semua orang berlari keluar dari bangunan-bangunan. Apabila kami kembali ke pejabat, kami mendapati beberapa rekahan pada dinding bangunan dan plaster dinding tercabut," kata Tjahjono.

Agensi Kaji Selidik Geologi AS (USGS) menyatakan, pusat gempa bertempat di lautan di kawasan selatan ibu negeri pulau Bali, Denpasar. Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang beribu pejabat di Hawaii memberitahu, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa tersebut.

Beberapa buah hospital, tiga buah sekolah dan dua bangunan pentadbiran mengalami kerosakan dalam bencana alam tersebut.

Gempa itu turut dirasai di beberapa kawasan berdekatan termasuk bandar Surabaya, Blitar dan Malang di Jawa Timur. - AFP


Bangkok siap sedia hadapi banjir


AFP
KEADAAN wat Chaiwattanaram di bandar Ayutthaya yang terletak 80 kilometer di utara Bangkok yang ditenggelami air kelmarin.


BANGKOK - Para pekerja dan anggota tentera Thailand bertungkus-lumus membina tembok-tembok penghadang di sini semalam berikutan banjir yang menenggelami sekitar satu pertiga negara berkenaan kini mengancam ibu negara Thailand tersebut.

Sekurang-kurangnya 238 orang terkorban di Thailand akibat hujan lebat, banjir dan banjir lumpur sejak akhir Julai lalu. Situasi bertambah buruk sejak beberapa minggu lalu apabila beberapa kawasan industri besar telah ditenggelami air, sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

Selepas mengadakan pertemuan dengan barisan menteri, Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha memberitahu wartawan bahawa tembok penghadang di tiga kawasan paling berisiko dilanda banjir di sini sudah hampir siap dibina.

"Kami berbincang mengenai pelan perpindahan untuk membantu penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Chao Phraya. Kami sedia untuk bertindak sekiranya berlaku kecemasan.

"Apa yang membimbangkan ialah air pasang besar akan berlaku bermula hari ini hingga 19 Oktober depan. Kami perlu mengalirkan air banjir ke laut secepat mungkin," jelas Chan-ocha.

Air banjir dari utara Thailand diramal tiba di bandar raya itu pada hujung minggu ini bersama air pasang. Keadaan pasti diburukkan lagi dengan ramalan ribut dan hujan lebat sepanjang tempoh tersebut.

Bangkok menyumbang sekitar 41 peratus ekonomi Thailand. Sebarang gangguan serius terhadap kehidupan di ibu kota berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, wilayah Ayutthaya di utara bandar raya itu teruk dilanda banjir dengan sekurang-kurangnya tiga tapak industri besar terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Sebuah kilang kamera digital SLR milik Nikon Corp dan kilang pemasangan kereta Honda Motor Co. Ltd. di lokasi tersebut telah ditutup.

Setakat ini, pengarah jabatan saliran dan pembentungan Bangkok, Sanya Cheenimit berkata, banjir di tiga daerah timur bandar raya ini kebanyakannya berlaku di kawasan pertanian.

"Saya ingin menyatakan bahawa situasi banjir di sini masih terkawal.

"Semua 50 daerah di sini bersedia dengan pelan perpindahan tetapi setakat ini, tiada tanda-tanda bahawa kita perlu berpindah," katanya.

Lebih dua juta penduduk terjejas dalam banjir di seluruh Thailand dengan bekalan asas di beberapa kawasan turut berkurangan ekoran banyak jalan raya ditenggelami air. - Reuters

Tiada ulasan: