Isnin, 24 Oktober 2011

MANUSIA MERANCANG...ALLAH MERANCANG SERTA MENETAPKAN...KITA ADA KEHENDAK MAKA KEHENDAKLAH ALLAH JADI TAKDIR

Himpun: Najib bermuka-muka | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan ‘flip flop’ Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang memuji program Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) berjalan dengan aman dan teratur berbanding himpunan Bersih 2.0 yang lalu.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan kenyataan tersebut cukup hina, berniat jahat dan menunjukkan sikap sebenar seorang Perdana Menteri yang pandai ‘bermuka-muka’ sedangkan Sekretariat Bersih 2.0 telah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk menjayakan program tersebut dengan mematuhi saranan Yang di-Pertuan Agong,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Tetapi , katanya amat malang sekali apabila pihak kerajaan dengan sewenang-wenangnya terus melabel Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, menangkap penjual dan pemakai baju kuning Bersih 2.0, menggunakan pihak polis untuk memburu dan menangkap pimpinan Bersih 2.0 dan pimpinan Pakatan Rakyat, menidakkan permit himpunan walupun diarahkan untuk memohon permit, menghalang untuk menggunakan stadium walaupun Perdana Menteri berjanji untuk menyediakan kemudahan stadium kepada himpunan Bersih 2.0.

Kata beliau, sememangnya program Himpun tidak mengganggu dan mengacau mimpi pemimpin Umno dan Barisan Nasional kerana agenda aqidah umat Islam tidak menjadi agenda utama perjuangan Umno dan tidak mampu untuk menggugat kuasa pemerintahan mereka.

Ini, ujarnya berbanding agenda Bersih 2.0 yang membabitkan perjalanan pilihanraya yang telus, bersih dan adil boleh menyebabkan Umno BN akan kehilangan kuasa pemerintahan mereka selama ini yang diperolehi dengan cara yang cukup kotor, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sehingga ke tahap ‘menjual maruah negara’.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan kenyataan Datuk Seri Najib hanyalah sebagai lakonan terbaru beliau apabila melihat kegagalan Bajet 2012 diterima oleh rakyat, penolakan sepina mahkamah untuk menjadi saksi utama kes liwat II Anwar Ibrahim, kes cincin Rosmah, tekanan tehadap perbincangan Undang-undang Hudud Negeri Kelantan dan Terengganu, penghinaan terhadap institusi beraja dan pelbagai lagi isu yang menggugat kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Barisan Nasional,” ujarnya.


Pakatan batal GST jika memerintah | Print |
Fakhri Ali

PERMATANG PAUH, 23 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra 'Sepetang Bersama Masyarakat' di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.

Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan kenaikan harga barangan.

"Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.

"Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah," ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.

Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.

"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.

"Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk dipolitikkan," tambahnya lagi.


Pakatan sertai piket MTUC 3 November | Print |
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 23 Okt: Pakatan Rakyat akan bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam piket besar-besaran serentak di seluruh negara, 3 November depan.

Piket tersebut bagi membantah Akta Kerja (Pindaan) 2000 yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

Akta ini membolehkan majikan mengambil pekerja secara kontrak melalui agensi yang dilantik sebagai orang tengah di antara majikan dan pekerja.

Agensi yang membekalkan pekerja secara kontrak akan dilembagakan dan dikitiraf kerajaan.

Bercakap pada sidang media di Pejabat PAS Selangor, dekat sini hari ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS menyokong penuh tindakan MTUC menganjurkan piket tersebut kerana nasib pekerja bawahan semakin tidak terbela apabila semakin banyak pekerja kontrak diambil.

"Penentangan MTUC memang ada asas dan PAS sokong MTUC supaya hak dan kedudukan pekerja lebih terjamin pada masa hadapan.

"Majikan lebih suka ambil pekerja secara kontrak bagi mengelak tanggungjawab dan pembekal kontrak dilembagakan dan diktiraf kerajaan," kata beliau.

Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani pula berkata, kerajaan BN mahu menghidupkan kembali perhambaan pekerja seperti pada tahun 1955 dahulu.

"Isyaratnya pindaan akta ini akan membunuh generasi akan datang.

"Umno menghalalkan perhambaan moden yang akan menyaksikan pekerja terus menjadi hamba kepada syarikat korporat.

"Sebanyak 277 agensi yang bergerak secara bebas dalam negara dan 42 peratus mereka merupakan kontrak yang bukan digajikan oleh syarikat utama, hampir 5,000 pekerja terlibat.

"Dengan adanya agensi perjanjian di antara majikan dan pekerja tidak ada yang banyak mengabaikan nasib pekerja termasuk tiada pemotongan Socso," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Piket, beliau yang juga Ahli Majlis Am MTUC, berkata di Selangor piket akan diadakan di Seksyen 15 dan Teluk Panglima Garang.

Manakala di Wilayah Persekutuan kemungkinan akan diadakan di Jalan Raja Laut.

"Ini juga termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya yang juga Ahli Paelimen Kuala Langat.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, pihaknya akan memobilisasi ahli agar turun bersama-sama pekerja dalam piket ini.

Menurutnya juga, siri penerangan kepada masyarakat akan bermula malam ini dengan ceramah di Ipoh, Perak.

Di peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan ceramah di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuiszm), Taman Melewar pada 28 Oktober.

"Kita akan bagi sokongan penuh kepada MTUC seperti piket Nation White menuntut gaji minima tahun lalu.

"Pilihan raya umum akan datang, rakyat akan memilih samaada nak pilih pemimpin yang menghambakan pekerja atau memerdekakan pekerja," katanya.


Gimik 300 sertai Umno di Tanah Merah dibongkar | Print |
M Faqih

TANAH MERAH, 23 Okt: Gimik kononnya 300 penyokong PAS di Taman Perumahan Hulu Kusial menyertai Umno terjawab apabila hanya 20 orang sahaja dikenal pasti ahli dan bekas penyokong PAS.

Selebihnya penyokong Umno menyertai Umno berkali-kali. Strategi itu sudah kerap kali diuar-uarkan di Pasir Puteh sebelum ini.

Namun impian Umno dengan diketuai Datuk Mustapa Mohamed mengumpankan bekas penyokong PAS terbabit tidak kekal lama apabila sebahagiannya mendedahkan sebagai gimik semata-mata.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Gual Ipoh, Razali Yusof berkata, sebahagian bekas penyokong PAS terbabit ketika ditemui memberi jaminan mahu kembali semula kepada perjuangan asal.

“Mereka hadir pada program penyerahan borang menyertai Umno semata-mata kerana sentimen bersifat sementara,” katanya ketika ditemui pada program ceramah sempena 160 bekas Umno dari lima kampung menyertai PAS di Gual Ipoh malam kelmarin.

Penyokong dan bekas ahli Umno itu diketuai anggota jawatankuasa Umno Cawangan Bukit Kelidang, Rustam Mustafa, 37.

Beliau menyerah borang mewakili rakan-rakannya kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada program yang diadakan di rumah Mohd Yusof Mat Zain, 62, seorang usahawan berjaya di kampung itu.

Sebelum program ceramah bermula diadakan solat hajat dan perasmian dewan terbuka di tapak ceramah milik Mohd Yusof atau lebih dikenali Abe Soh.

Pada 11 Oktober lalu media melaporkan seramai 300 penyokong setia PAS di Hulu Kusial menyertai Umno yang diketuai Zahari Mamat.

Ekoran program itu Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan mendakwa sokongan terhadap Umno semakin pulih.

Rustam yang pernah menjadi perwakilan Umno Tanah Merah ke perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur memberitahu sudah sampai masanya beliau dan rakan-rakan meninggalkan Umno kerana usahanya selama ini tidak dihargai parti itu.

Katanya, Umno hanya mengharap tenaga ketika beliau senang, dan ketika berdepan dengan kesusahan hidup mereka tinggalkan.

“Alhamdulillah Cikgu Wan dan Abe Lie banyak membantu saya memberi kesedaran baru dalam hidup,” katanya.

Hadir pada program itu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood dan Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa.

Tempat ceramah tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai biar pun hujan turun lebat pada sebelah petang.

Manakala lebih 100 lagi ahli dan penyokong Umno akan mengisytihar menyertai PAS di Dun Bukit Panau dalam masa terdekat ini.

(Ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).


Dr M, Utusan dan Zul Nordin berdepan saman | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Pensyarah Undang-Undang yang sedang digantung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengarahkan peguamnya menghantar notis tuntutan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin dan Utusan Malaysia.

Notis yang akan mula dihantar esok itu, menuntut ketiga-tiga mereka membuat permohonan maaf dan membayar pampasan berikutan pernyataan atau penerbitan mereka yang telah mencemarkan nama baik Abdul Aziz.

"Kami menerima arahan untuk menghantar notis tuntutan daripada Abdul Aziz dan kami akan menghantarnya mulai esok," katanya dipetik Malaysiakini.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, peguam Mohd Hanipa Maidin berkata profesor itu akan memfailkan saman fitnah ke atas mereka.

Dr Mahathir selepas menyempurnakan pasa satu majlis 16 Oktober lalu, dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata tindakan Abdul Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar.

Tindakan ke atas Zulkifli pula, dipercayai berkaitan kenyataan yang dikeluarkannya dalam beberapa media termasuk Utusan. Ini termasuk kerana melabelkan pensyarah itu bersifat biadab dan kurang ajar berhubung ulasannya terhadap titah Sultan Selangor.

Hanipa berkata profesor itu juga sedang mempertimbangakan mengambil tindakan undang-undang ke atas Senator Ezam Mohd Nor berikutan kenyataan beliau kepada media yang berasaskan laporan Utusan sehingga menyebabkan dirinya disoal-siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak polis.


Bunuh wanita vs ramas buah dada | Print |
http://mutaligat.blogspot.com

Riuh rendah sekelian juak-juak BN menuduh seorang budak lelaki meramas buah dada rakan sekolahnya. Budak lelaki itu pula dituduh sebagai anak kepada seorang pembesar negeri yang sudah tentu bukan negeri BN.

Namun suatu ketika dahulu tidak ada pula juak-juak BN ini beriya-iya mendesak supaya isu pembunuhan misteri perempuan asing disiasat secara telus dan adil. Sehingga kini walaupun pembunuhnya telah dijatukan hukuman, tetapi motif pembunuhan wanita itu masih menjadi tanda tanya. Apa sebab wanita asing itu dibunuh dengan kejam dan ngeri sehingga boleh dimasukkan dalam buku rekod Malaysia.

Mengapa dalam isu ramas buah dada yang didakwa dilakukan oleh budak lelaki ini mereka begitu serius sedangkan ianya tidak dibuktikan di mana-mana mahkamah pun. Kita tidak membela orang jahat, kalau betul dia meramas buah dada hukumlah budak itu. Hukumlah bekas menteri yang meraba punggung wanita suatu ketika dahulu, desaklah seorang pemimpin parti komponen BN agar meletakkan jawatan kerana sah mengaku berbuat jahat dengan seorang wanita dan videonya tersebar seantero dunia.

Mengapa mereka ini membuat gesaan ke atas kes-kes tertentu sahaja dan senyap sunyi jika ianya dilakukan oleh rakan-rakan dan kroni-kroni mereka.


Skandal IC amat membahayakan negara | Print |
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 24 Okt: Skandal kad pengenalan (IC) terutama yang membabitkan kod "71" dan pemberian kad pengenalan biru dengan mudah kepada warga asing perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia amat merbahaya keselamatan negara.

Sehubungan itu, PAS akan memberikan perhatian serius terhadap perkara itu termasuk membawanya ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan respon segera dari pihak kerajaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara tindakan segera yang dilakukan termasuk membantu Dewan Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz di bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, memorandum yang diserahkan itu bertujuan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Katanya, dalam memorandum tersebut, pihak pemuda PAS turut menyuarakan kecurigaannya dengan insiden yang berlaku di Istana Dugang Country Resort di Kajang pada 12 Oktober lalu yang membabitkan 240 orang warga asing yang akan diberikan kad pengenalan biru.

"Dalam hal ini, kami amat kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang seolah-oleh lepas tangan dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihanraya dan SPR," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Pada hal, menurut beliau, sebagai menteri yang menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hishamuddin sebenarnya boleh menjawab terus isu tersebut tanpa menunggu untuk dibawa kepada jawatankuasa berkenaan.

Katanya, kod "71" adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya.

"Walaupun terdapat kecurigaan, tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam Daftar Pemilih Induk (DPI), maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli Parlimen di negara kita," katanya.

Kini, ujarnya, bilangan mereka amat banyak sehingga jelas menunjukkan masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing yang tidak diketahui asal usulnya.

"Perkara ini amat penting bagi negara. Ia bukan perkara kecil, tetapi melibatkan keselamatan negara yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sejajar dengan itu,katanya, pihaknya akan terus membangkitkan perkara itu secara berterusan sama ada membawanya ke persidangan Dewan Rakyat dan menerusi saluran lain bagi menyedarkan pihak kerajaan agar tidak memandang sebelah mata mengenainya.

Tiada ulasan: