Jumaat, 14 Oktober 2011

INI ZAMAN KARUT MARUT...ZAMAN MEMBUAT PERKARA2 MEMYESATKAN...NI KERJA2 SYAITAN...TAK PERNAH DUK DIAM...MAKA YANG TAK IKHLAS MUDAH DIGODA....

PR diberi MyKad: PAS tuntut penjelasan KDN | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kewujudan lebih 200 warga asing dari Johor di sebuah resort berhampiran Putrajaya, semalam.

Pemuda PAS dengan bantuan pasukan risikannya berjaya mengesan kehadiran mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Kemboja dan Bangladesh, dibawa menaiki enam buah bas.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di lobi Parlimen hari ini berkata, KDN harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana pihaknya mengesyaki kehadiran mereka ada kaitan dengan operasi pemberian MyKad kepada warga asing bagi membolehkan mereka menjadi pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita desak beberapa kementerian bertanggungjawab khususnya KDN memberikan penjelasan konkrit berhubung apa yang berlaku semalam.

"Ini kerana dalam masa beberapa bulan ini, PAS telah membawa isu pendaftaran warga asing yang dimasukkan dalam daftar pemilih ini.

"Ini isu penting, bukan andaian atau rekaan tapi telah dibuktikan dengan pendedahan sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, wakil Pakatan Rakyat yang terlibat dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini akan membangkitkan perkara tersebut.

"Wakil PR akan membangkitkan perkara ini agar KDN memberikan penjelasan segera," katanya sambil menunjukkan gambar warga asing yang sempat diambil semalam.

Maklumat bercanggah

Sementara itu, Timbalan Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa pada sidang media sama berkata, maklumat warga asing yang bercanggah di antara satu sama lain itu semakin menambahkan rasa curiga mereka.

"Saya sebagai salah seorang saksi semalam masuk ke dalam resort dan bertanya kepada mereka sendiri.

"Bila ditanya apa mereka buat di situ, ada yang jawab datang kursus keusahawanan dan ada yang terus-terang jawab mereka datang untuk ambil MyKad. Pihak pengusaha resort pula kata tempat itu sudah ditempah awal pagi. Ini sangat menimbulkan kecurigaan," katanya.

Menurutnya juga, terdapat juga pegawai kesihatan mengiringi mereka.

Adram juga berkata, perkara tersebut turut berlaku di Paya Jaras, Selangor dan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat terperinci.

Kira-kira jam 7 pagi semalam, pihak perisikan Pemuda PAS menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sana.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

Ekoran itu, mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.


21 tahun: Kelantan anjur pertandingan kreatif | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 13 Okt: Sempena sambutan 21 tahun pemerintahan PAS di Kelantan pada 21 Oktober ini, kerajaan negeri itu akan menganjurkan pertandingan fotografi, klip video dan poster kreatif berkisar tentang 'Kelantan'.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Ahmad Baihaki Atiqullah berkata pertandingan itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia termasuk anak Kelantan menggunakan kreativiti masing-masing bagi menggambarkan suasana pemerintahan yang diasaskan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pertandingan bermula sekarang dan tarikh tutupnya pada 3 November 2011, manakala majlis penganugerahan kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar dijangka diadakan pada 19 November 2011,” katanya yang juga Pengarah Program.

Mengulas lanjut, Ahmad Baihaki berkata pertandingan itu keseluruhannya berkaitan dengan ‘Kelantan’.

“Kita mengharapkan penyertaan dari semua kaum.

“Kita tidak mahu satu bangsa (Melayu saja) yang menyertai pertandingan, bahkan penyertaan semua kaum asalkan mereka mampu ‘menggambarkan Kelantan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media khas sempena pelancaran pertandingan itu di sebuah restoran di sini semalam.

Menurutnya, borang penyertaan boleh didownload di laman web kelantankreatif.com dan di facebook.com/Kelantan kreatif.

Beberapa tema ditetapkan termasuklah Membangun Bersama Islam, Kelantan Menerajui Perubahan, Kelantan Negeri Berkebajikan, Anak Muda Kelantan Bermaruah dan Spirit Of New Generation Revolution.

Bagi kategori Fotografi, tempat pertama RM700 berserta iPad dan hadiah iringan. Tempat kedua, RM500, ketiga RM400 dan 10 saguhati (10 orang) RM100 setiap peserta.

Kategori Klip Video, tempat pertama RM1,000 berserta iPad dan hadiah iringan, tempat kedua RM800, ketiga RM500 dan lima saguhati (lima orang) RM200 setiap peserta.

Bagi hadiah kategori Poster Kreatif pula, tempat pertama RM500 berserta iPad dan hadiah iringan. Tempat kedua RM400, ketiga RM300 dan 10 saguhati (10 orang) RM100 setiap peserta.


Ahli KPF, peneroka lapor polis terhadap Isa Samad | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 13 Oktober: Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di sini semalam oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan dakwaan bahawa Isa telah menyalahgunakan kuasa serta ‘merampas’ jawatan Pengerusi Permodalan Felda Berhad daripada pemegang jawatannya Datuk Dzulkifli Wahab, secara tidak sah semasa Dzulkifli berada di tanah suci Mekah menunaikan Umrah.

Mereka ditemani peguam Suhaimi Said yang juga Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat.

Menurut Suhaimi, semasa ketiadaan Datuk Dzulkifli Wahab yang juga Pengarah Besar Felda, Isa telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah KPF pada 25 Ogos 2011 dan berbekalkan surat daripada Perdana Menteri, Isa telah melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF.

“Ini bertentangan dengan Undang-Undang di bawah Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) Akta 502, dan telah menyalahgunakan kuasa kerana mengangkat dirinya sendiri sebagai Pengerusi baru kepada KPF, mengambil alih jawatan yang disandang oleh Datuk Dzulkifli Wahab semasa beliau menunaikan Umrah di Mekah.

“KPF telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 dibawah Ordinan Koperasi 1948 bertujuan untuk menjadikan KPF sebagai wadah simpanan dan pelaburan anggota Felda.

“Penubuhan KPF ini telah menyerlahkan hasrat murni Felda untuk memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melalui KPF, juga merupakan suatu wawasan dan prihatin Felda untuk kemajuan warga Felda,” tambahnya.

Menurut Suhaimi, Isa Samad tidak layak memegang jawatan selaku Pengerusi KPF kerana beliau tidak layak menjadi ahli kepada KPF yang membuka keahliannya hanya kepada Peneroka Felda, anak peneroka atau kakitangan tetap Felda.

Tambahnya, kedudukan Isa hanyalah bertaraf kontrak justeru pelantikan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah bertentangan dengan undang-undang koperasi dan menyalahgunakan kuasa dengan membuat perlantikan ke atas dirinya sendiri.

“KPF merupakan salah sebuah daripada 10 koperasi cemerlang yang menjadi contoh koperasi yang berjaya memberikan dividen yang tinggi atas kadar 15% setahun dan ini membuktikan bahawa KPF telah dikelolakan dan diselenggarakan dengan baik oleh Datuk Dzulkifli dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

“Pengambilalihan jawatan Pengerusi dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang koperasi ini adalah pengkhianatan kepada KPF dan laporan dibuat supaya Isa disiasat kerana melanggar undang-undang dan menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.

Tambah Suhaimi, laporan yang sama telah dibuat serentak di balai-balai polis utama di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak.


Beri wang: Pakatan guna lebihan bajet, BN berhutang | Print |
Harakahdaily

GEORGETOWN, 13 Okt: Yang membezakan negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional ialah Pakatan tidak meminjam duit untuk diberikan kepada rakyat, sebaliknya menggunakan lebihan Bajet untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sikap Kerajaan Persekutuan yang boros berbelanja dan meminjam semata-mata untuk meraih undi merupakan punca rakyat telah menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang banyak berhutang, lapor Roketkini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian dengan merujuk kepada Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah kedua tertinggi selepas Korea Selatan.

“Laporan itu mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir tahun 2010 adalah sebanyak RM581 bilion atau 76 peratus daripada KDNK,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, nisbah bayaran hutang isi rumah rakyat Malaysia pada 2010 adalah 47.8 peratus, bermakna hampir separuh pendapatan isi rumah rakyat Malaysia digunakan untuk membayar hutang.

“Jelas rakyat Malaysia telah membentuk negara yang banyak berhutang, terutamanya apabila kerajaan persekutuan memberikan wang yang diperolehi daripada pinjaman,” katanya.

Beliau menjelaskan, negeri-negeri Pakatan Rakyat lebih jujur dengan memberikan bantuan tunai kepada golongan miskin berdasarkan hasil dari lebihan bajet, berbanding BN yang turut menawarkan bantuan yang sama tetapi dengan bergantung pada lebihan defisit perbelanjaan dan pinjaman kewangan.

Jelas beliau lagi, ramai pakar ekonomi telah memberi amaran bahawa risiko Bajet 2012 BN akan membawa negara kepada perbelanjaan yang tidak mampan kerana tidak sesuai dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kemelesetan.

“Dr Marie-Aimee Tourres, felo penyelidik kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya menyatakan bahawa bajet ‘buah tangan’ BN ini tidak dikaitkan dengan mana-mana komitmen produktiviti.

“Jelas bajet pilihan raya ini direka untuk meraih pengundi dan dalam masa sama, DAP tidak nampak sebarang usaha (BN) untuk memerangi rasuah atau pun ketirisan dalam pengurusan sumber negara,” katanya.

Oleh itu, Guan Eng yang juga Adun Air Puteh tidak yakin bahawa sasaran Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan defisit akan dapat dicapai menjelang tahun hadapan.

“Pungutan hasil adalah terlalu optimistik dan boleh menyebabkan peningkatan hutang kerajaan persekutuan untuk membiayai perbelanjaan defisit ini,” katanya.

Kerajaan BN pada sesi pembentangan Bajet 2012 Jumaat lalu menyasarkan defisit bajet dapat dikurangkan dari 5.4 peratus kepada 4.7 peratus daripada KDNK, iaitu bersamaan RM45.5 bilion untuk tahun ini kepada RM43 bilion menjelang 2012. – Roketkini.com


Singkir MB Selangor cerita karut | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Desas desus mengatakan hubungan antara Adun Selangor dengan Menteri Besarnya semakin rapuh merupakan cerita mengarut dan tidak berasas, kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Beliau merujuk laporan portal berita Antarapos.com, kononnya terdapat kumpulan wakil rakyat parti itu yang mendesak pimpinan parti memecat Tan Sri Khalid Ibrahim, lapor KeadilanDaily.

Kata Shuhaimi, hubungan antara Adun Selangor dengan Khalid bukan sahaja baik, malah mereka juga menyatakan sokongan dan ikrar taat setia untuk mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor.

“Kita akan mempertahankan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor sehingga selesai term (tempoh) lima tahun, sehingga parlimen dibubarkan atau Dun dibubarkan.

“Kita akan mempertahankan beliau habis-habisan kerana beliau pemimpin yang begitu transparen, berkualiti dan bertanggungjawab.

“Di peringkat Majlis Pimpinan Negeri Selangor, kita akan bersama dengan Tan Sri Khalid untuk mendepani rakyat, membawa isu rakyat dan memastikan BN terus kempunan untuk mengambil alih Selangor,” tegasnya.

Menyifatkan laporan Antarapos itu sebagai tidak berasas, beliau juga mengingatkan isu itu sengaja direka bagi mengadu domba KEADILAN serta parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

“Ini lebih kepada adu domba dan perang saraf yang dilakukan oleh pihak musuh politik (Umno),”ujarnya yang juga Adun Seri Muda.

Beliau turut menafikan bahawa Adun Pakatan di Selangor tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid, sebaliknya berkata dari segi standard pengurusan, Khalid lebih baik berbanding menteri pusat dan menteri-menteri besar BN yang lain.

“Prestasi Tan Sri Khalid tidak ada cacat celanya. Dari segi pengurusan kerajaan negeri, standardnya lebih baik daripada menteri di peringkat pusat dan MB dari BN. Standardnya mencecah antarabangsa, dari segi ketelusannya, kecekapan dan kebertanggungjawaban.

“Sebagai sebuah organisasi, sudah pasti ada pro dan kontra dalam pentadbiran, tetapi kita ambil pendekatan secara bersama untuk semua isu, memantapkan pengurusan bagi memastikan pentadbiran mencakupi semua keperluan rakyat,”

“Bukan mudah menjadi Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya.

Ketika ditanya tentang memorandum yang dikatakan dihantar oleh wakil Rakyat PKR Selangor kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu, Shuhaimi berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“KEADILAN amalkan budaya bercakap secara imliah di dalam bilik mesyuarat. Sebarang cakap-cakap di luar itu kita tidak ambil kira.

“Kita tak mahu dengar cerita kedai kopi yang remeh temeh,” tambah beliau.

Tiada ulasan: