Sabtu, 15 Oktober 2011

BANYAK SEBAB JADI MURTAD...NI KESAN MENJAUHI DARI ILMU AGAMA....TIDAK BERAMAL...BEBAS...ASYIK BUAT MUNGKAR....UNDANG2 ALLAH DINAFIKAN..JAUH DARI ALLAH

Empat kumpulan jadi sasaran murtad

by admin

SHAH ALAM – Empat golongan dipercayai menjadi sasaran utama kumpulan pendakwah Kristian untuk memurtadkan orang Islam di negara ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, mereka ialah golongan miskin, anak muda, pesakit kronik dan golongan intelek yang berpengaruh tetapi kurang pengetahuan agama.

“Mereka menjalankan penerapan fahaman Kristian menggunakan pelbagai taktik dan strategi, termasuk menerusi pendekatan Islamik dengan cara yang sangat halus,” katanya.

Antara caranya kata Hasan ialah dengan mendekati pesakit kronik yang terlantar di hospital terutama yang diabaikan atau kurang mendapat perhatian keluarga.

“Inilah sasaran utama untuk mereka dekati, mulanya dengan cara membantu namun lama-kelamaan mereka mula mempengaruhi dan memesongkan akidah individu terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Menangani Cabaran Kristianisasi di Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Selangor, Datuk Dr Sidek Baba.

Selain itu kata Hasan, gerakan itu juga menjalankan aktiviti mengedar risalah secara terbuka di pusat beli-belah dan juga kawasan perumahan.

“Mereka mempunyai kepakaran dan strategi serta taktik yang terancang untuk mempengaruhi golongan seperti ini,” katanya.

Hasan bagaimanapun mengakui, pihaknya tidak mempunyai data mengenai bilangan individu Islam yang sudah dimurtadkan menerusi gerakan seperti itu selain berapa banyak kumpulan yang menjalankan kegiatan Kristianisasi dengan menjadikan orang Islam sebagai sasaran.

“Apa yang kita diberitahu, gerakan Kristian aliran Evangelist yang aktif dalam kegiatan ini malah mereka dilihat semakin aktif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hasan berkata, seramai 25 individu telah mendapatkan bantuan di Unit Selamatkan Akidah (USA) yang diwujudkan awal bulan lalu.

“Hampir sebulan unit ini ditubuhkan, kita berjaya membantu individu yang pernah dan sedang mendapat bantuan daripada pertubuhan Kristian.

“Kebanyakan yang datang pada kita adalah mereka yang menetap di kawasan bandar dan mengaku pernah menerima bantuan daripada gerakan itu akibat kesempitan hidup dan sukar mendapat bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sinar

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

Usah ragu terhadap Allah



IMAN adalah membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.

Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan me�ngenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada pe�nganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini.

Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis).

Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat de�ngan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.

Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.


Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib.

Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya?

Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda.

Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.



Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.
Tanya pemuda: Saya ada tiga pertanyaan.


1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya?

2. Apakah yang dinamakan takdir?

3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya?

Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya?

Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.

Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?

Jawab Pemuda: Ya.

Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu!

Jawab Pemuda: Saya tidak mampu.

Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.

Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Jawab pemuda: Tidak.

Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini?

Jawab pemuda: Tidak.

Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang.

Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda?

Jawab pemuda: Kulit.

Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa?

Jawab pemuda: Kulit.

Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya?

Jawab Pemuda: Sakit.

Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan.

Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit.

Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.


Lalai solat kerana pengaruh dunia


PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.


Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:


1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.
Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.


Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.


Dosa racuni hati, perasaan


MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.

Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.

Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.


Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.


Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )


Contohi sifat positif lebah

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihing�gapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar).

Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat berkenaan membuatnya memiliki keistimewaan dibandingkan dengan manusia lain.

Sehingga di mana pun mereka dia berada, ke mana pun mereka pergi, apa yang mereka lakukan, apa peranan dan tugas apa pun yang mereka lakukan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain.

Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah, “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”

Kehidupan ini agar menjadi indah, menyenangkan, dan sejahtera memerlukan manusia seperti itu. Menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik; apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah hal yang membuat orang lain, menjadi bahagia dan sejahtera.


Nah, sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah SAW dengan penyataan dalam hadis di atas mengisyaratkan agar kita mencontohi sifat positif yang dimiliki oleh lebah.

Tentu saja, sifat itu sendiri memang adalah ilham daripada Allah SWT seperti mana yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.

“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 68-69).

Sekarang, bandingkan apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan seorang mukmin, seperti berikut: Hinggap di tempat yang bersih dan menyerap hanya yang bersih.

Lebah hanya hinggap di tempat-tempat pilihan. Dia sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga yang terakhir amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat berbau busuk.

Tapi lebah ia hanya mendatangi bunga-bungaan atau buah-buahan atau tempat bersih lainnya yang mengandung bahan madu.

Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah Al-Baqarah ayat 168).

(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-A’raf ayat 157).

Kerananya, jika ia mendapat�kan amanah dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan sewenang-wenangnya, manipulasi, penipuan dan dusta.

Segala kekayaan hasil perbuatan tadi adalah khabaits (kebusukan). Mengeluarkan yang bersih. Siapa yang tidak kenal madu lebah. Semuanya tahu madu mempunyai khasiat kepada kesihatan manusia.

Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Dia produktif dengan kebaikan, bahkan daripada organ tubuh yang pada binatang lain hanya melahirkan sesuatu yang menjijikkan ditemukan pula produk lebah selain madu yang juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan: air liurnya!

Seorang mukmin adalah orang yang produktif dengan kebajikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Hajj ayat 77).

Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah diwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum).

Al-khair di dalam ayat itu bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan manusia dan makhluk lainnya. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan.

Hatinya jauh daripada prasang�ka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik perilakunya tidak menysahkan orang lain melainkan malah membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

Tidak pernah merosak seperti yang disebutkan dalam hadis yang sedang kita bahas ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dihinggapi.

Begitulah sifat seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun: baik material mahupun bukan material. Bahkan dia selalu melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Dia melakukan kebaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu.

Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, ia perlu membanterasnya kemudian menjauhi perilaku buruk itu. Berbalik kepada lebah, ia serangga yang kuat bekerja.

Ketika muncul pertama kali dari biliknya (menetas), lebah membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu.

Begitulah, hari-harinya penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja keras? “Maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Surah al-Insyirah ayat 7).

Kerja keras dan semangat pantang undur itu lebih dituntut lagi dalam upaya menegakkan keadilan. Meskipun memang banyak yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia kecuali yang mendapat rahmat Allah- tidak suka jika dirinya “dirugikan” dalam menegakkan keadilan.

Bekerja secara berkumpulan (jama’i) dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam kelompok besar, tidak pernah menyendiri.

Mereka pun bekerja secara kolektif dan masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ketika mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya.

Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk memanggil teman-temannya untuk membantu dirinya.

Itulah seharusnya sikap orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Ash-Shaff ayat 4).

Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang ketika terasa terganggu atau terancam.

Untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari.

Tapi jika ada, tidak lari. Itulah beberapa karakter lebah yang perlu dicontohi orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl. Allahu a’lam.


Elak riak dalam ibadat



SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah.

Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.

Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga.


Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud:

“Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain.

Baginda bersabda maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.

Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama.

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.

Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam.

Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya:

l Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri.

  • Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri.

  • Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak.

  • Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali.

  • Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid.

  • Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru.

  • Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas.

    Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

  • Luangkan masa renung hubungan dengan Pencipta



    MANUSIA sebenarnya sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita berfikir mengenai pekerjaan dan bagaimana cara untuk meningkatkan prestasi kerja.

    Kita juga berfikir mengenai cara mengatasi masalah yang dihadapi. Akhirnya kita akan berfikir mengenai cara menghasilkan prestasi terbaik.

    Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir. Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, kesempitan wang, sakit atau menghadapi kegagalan.

    Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir pernahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta?

    Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?


    Pernahkah kita berfikir untuk `menyemak’ semula batin kita? Adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa?

    Bagaimana solat kita, puasa, anak-anak, suami atau isteri kita sudahkah jelas kefahaman mereka sebagai hamba Allah? Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta?

    Sudah layakkah kita �memegang gelaran ‘khalifah Allah’ yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat? Kata orang kalau banyak sangat tanya dikatakan banyak ‘songeh’.

    Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

    Betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang diperoleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja. Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

    Fikiranlah yang mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup ditentukan.

    Malah, dengan pemikiran jugalah menjadi penentu dekatnya kita dengan Allah. Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal.

    Sesungguhnya amat mudah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya. Kata Napolean Hill: “If a man is right, his world will be right.”

    Jadi, dalam kesibukan kita mencari kebahagiaan dunia, jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu:



  • Waktu untuk bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
  • Waktu untuk bermuhasabah mengenai dirinya.
  • Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk menumpukan kepada keperluan seperti mencari makanan dan minum.


  • Kenikmatan menjadi orang Allah



    PERINTAH menunaikan solat adalah ketetapan daripada Allah. Ia bukannya datang daripada ciptaan atau direka-reka oleh manusia. Sebenarnya jika kita benar-benar fahami dan amati solat itu cukup hebat.

    Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayang�kan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya.

    Maka di situ cukup terasa kesempurnaan Allah.

    Kita boleh minta apa sahaja daripada Allah dan Dia pasti memenuhi permintaan hamba-Nya. Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.

    Dalam solat ada ubat, pil, tonik dan vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.

    Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

    Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:


    1. Rajin - Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas

    Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat. Ia mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

    Di dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita akui Allah Maha Suci, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar.

    Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

    Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.

    Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak.

    Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.

    Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.

    Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh sifat kemalasan.

    Orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.


    2. Berjiwa besar

    Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertakwa itu, Allah kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya pelbagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

    Apa janji Allah kepada orang mukmin, orang bertakwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya keselamatan, kewangan, kehidupan, kepandaian dan kemenangan.

    Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Allah boleh arah mereka bertindak.

    Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.

    Orang melihat gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.

    Tetapi dengan melihat orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

    Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.

    Dia tidak boleh tengok orang susah. Apabila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya.

    Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.

    Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.

    Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.


    Batasan pergaulan lelaki, wanita bukan mahram



    ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

    Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”

    Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’

    Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.

    Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.


    Semuanya bermula de�ngan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:

    1) Pandangan
    2) Pertemuan
    3) Percakapan
    4) Berjabat tangan
    5) Bersentuhan badan

    Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.

    Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka...”

    Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka...” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menaf�sirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.

    Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.

    Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.

    Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.

    Dalam hal ini Rasulul�lah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesung�guhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

    Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

    Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.

    Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempu�nyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.

    Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.

    Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.

    Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “...demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)

    Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana ang�gota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.

    Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguh�nya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyen�tuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”

    Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrif�kan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.


    Untuk kalahkan syaitan perlu ada ilmu



    KITA sebenarnya kuat dan boleh mengalahkan syaitan. Nak kalahkan syaitan bukan sekadar sebut sahaja, tapi kena ada ilmu dan tahu ‘sepak terajang’ syaitan kerana syaitan adalah musuh yang pelik.

    Mereka tidak pernah berputus asa daripada ranca�ngannya untuk menyesatkan manusia. Walaupun hanya sedetik; mereka sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya.

    Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya dan mencuba pelbagai cara untuk memerangkap kita. Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi.

    Taktik dan perangkap mungkin berbeza kepada seseorang kerana taktik yang digunakan bergantung kepada masa, tempat dan situasi. Makhluk yang dihalau daripada pandangan Allah itu berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir.

    Syaitan bukanlah makhluk khayalan. Setiap orang perlu berjaga-jaga dengan sebahagian ujian yang berlaku di atas muka bumi ini yang berpunca daripada syaitan.


    Ini kerana, selepas menderhaka kepada Allah syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan itu dinyatakan di dalam al-Quran.

    Perkara penting untuk diingati ialah syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya.

    Syaitan adalah makhluk Allah juga dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah. Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman.

    Syaitan hanya boleh bertindak dengan izin Allah dan apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, mereka akan dihumban ke dalam neraka bersama golongan yang disesatkan.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah S�d ayat 85).

    Maka ingatlah syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikut�nya, syaitan hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.

    Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (Surah al-Hijr ayat 39-40).

    Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah Memang benar, orang-orang beriman cenderung melakukan kesalahan tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah dan segera memohon perlindu�ngan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya.

    Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.

    Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah. (Surah an-Nahl ayat 99-100).

    Ingatlah, syaitan hendak kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan dan perkara yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu mengenai Allah tanpa ilmu.

    Mereka akan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan bahaya ini di dalam al-Quran: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Surah al-Baqarah ayat 168-169).

    Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh membuatkan manusia lupa hari kiamat.

    Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki, orang-orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 268).

    Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tipu daya ini “... dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” (Surah an-Nas ayat 4-5).

    Sebagaimana diterang�kan ayat di atas, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka:

    “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am ayat 43).

    Lebih penting lagi, hati mereka mereka dan berasa dirinya berada dalam kebenaran walaupun sebenarnya mereka sudah terpesong dan membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran.

    Dengan membelakangkan Allah mereka lebih dekat dengan syaitan, mengikuti caranya dan menjadi semakin biadab.



    Takwa penentu kejayaan dunia, akhirat



    CEPATNYA masa berlalu, kini kita berada di akhir Ramadan. Sudahkah kita mendapat takwa sebagaimana tujuan difardukan berpuasa.

    Allah s.w.t menolong kita mendapat takwa dengan mengikat syaitan. Allah tolong lagi dengan suruh kita berpuasa supaya nafsu dapat dikalahkan, Allah gandakan amalan kita supaya lagi cepat kita dengan takwa, Allah turunkan pula al-Quran supaya ada dibaca dan dijadikan panduan.

    Al-Quran diturunkan pada lailatulqadar supaya bertambah mudah dapat takwa malah yang bagusnya ada juga yang bertanya apa itu takwa?

    Betul juga dengan soalan itu. Takwa bukan sekadar melaksanakan perintah dan meninggal�kan larangan Allah s.w.t Orang melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan tidak selalu berdasarkan takwa.

    Mereka taat mungkin kerana ada sebab lain seperti mengingin�kan upah, pujian dan inginkan pengaruh. Mereka juga mening�galkan yang dilarang kerana ingin menjaga nama baik, takut dihukum, takut dihina dan takut diasingkan.


    Begitulah apabila maksud takwa di salah erti dan disempitkan. Takwa berasal dari kata waqa-yaqi-wiqayah yang ertinya memelihara.

    Hujahnya, daripada surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara kamu dan keluargamu dari api neraka”.

    Dalam al-Quran, Allah menyeru dengan kalimat ittaqu atau yattaqi. Tambahan huruf pada asal kata waqa membawa perubahan makna.

    Takwa adalah aset yang amat penting untuk dunia dan akhirat. Kemenangan, kejayaan dan keselamatan di dunia dan akhirat ditentukan oleh takwa.

    Jadi, takwa itu sangat mahal, justeru banyaklah perkara yang perlu kita ketahui. Kalau di dunia ini banyak perkara yang hendak cari, takwa adalah pencarian yang diutamakan.

    Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat takwa.” (Surah Al Baqarah ayat 197).

    Di dalam ayat di atas, sifat takwa sebagai bekalan itu tidak dikhususkan untuk bekalan akhirat tetapi dunia juga.

    Tapi ramai muallim dan tok guru menghuraikan sifat takwa itu sebagai bekalan di hari akhirat semata-mata. Walaupun akhirat itu yang terpenting tetapi banyak dalil yang membuktikan bahawa takwa itu juga bekalan untuk dunia.

    Di antara dalil sifat takwa itu bekalan untuk akhirat adalah seperti firman Allah s.w.t:

    1. “Akan tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang menga�lir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali Imran ayat 198).

    2. “Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan
    melipatgandakan pahala bagi�nya.” (Surah at-Thalaq ayat 5).

    3. “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertakwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat.” (Surah al-Baqarah ayat 212).

    4. “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf ayat 96).

    5. “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertakwa).” (Surah al-Anbiya ayat 105).

    6. “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (Surah at-Thalaq ayat 2-3).

    7. “Bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”
    (Surah al-Baqarah ayat 282).

    Takwa adalah modal paling besar dan senjata paling ampuh bagi orang mukmin di dunia. Kalau tidak ada takwa, mungkin Allah bantu juga seperti Allah bantu orang-orang kafir.

    Ertinya dapat bantuan dan pertolongan atas dasar istidraj iaitu atas dasar kutukan dan kemurkaan Tuhan. Tuhan beri dengan tidak reda. Atas kejayaan itu, mereka menjadi sombong dan angkuh dan akan melakukan maksiat di atas muka bumi.

    Orang Mukmin diberi kemena�ngan dan kejayaan atas dasar takwa. Ramadan, al-Quran, puasa, Tarawih, qiamullail, sedekah, lapar, ingat mati, taubat, doa adalah pakej takwa.

    Ya Allah, senaraikan kami dalam kumpulan muttaqin bagi Ramadan kali ini. InsyaAllah.

    Tiada ulasan: