Isnin, 22 Ogos 2011

SEMUA PATUT INGAT MATI...SYURGA DAN NERAKA...NERACA DAN PERHITUNGAN...HARI HISAB...NERAKALAH TEMPAT BAGI ORANG MENZALIMI...BUAT FITNAH ..LAWAN ALLAH.

Saya tidak minta maaf, jumpa di mahkamah - Mustafa
Harakahdaily

MAKKAH, 22 Ogos: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan segala bukti penglibatan Umno di belakang isu pemeriksaan Jais ke atas gereja methodist Damansara Utama apabila beliau di saman oleh Umno nanti.

Sehubungan itu, beliau tidak bercadang untuk meminta maaf kepada Umno dan akan bertemu dengan mereka di mahkamah nanti, kata Mustafa yang bercakap dengan Harakahdaily dari Makkah.

"Saya tidak akan minta maaf dan akan serahkan bukti yang saya ada dalam mahkamah nanti," kata Mustafa.

Mustafa yang sedang menunaikan umrah sehingga Aidil Fitri ini didesak memohon maaf oleh Umno ekoran dakwaannya bahawa Umno terlibat di belakang Jais dalam pemeriksaannya ke atas gereja itu.

Umno Selangor dilaporkan akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa Ali berhubung dakwaan kononnya parti Melayu itu memainkan peranan dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

“Kita akan memulakan langkah permulaan saman iaitu saman tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap fitnah yang dibuat Datuk Mustafa Ali terhadap Umno Selangor dengan jumlah RM10 juta.

“Ini adalah tindakan yang terpaksa dilakukan demi mempertahankan maruah dan hak, kami akan hantar notis kepada beliau dan pihak-pihak tertentu dan jika tiada jawapan, kita akan failkan saman selepas Aidilfitri,” kata Mohd Zin pada sidang media di sini.

Menurut Mustafa, pada asalnya beliau bercadang untuk memberikan bukti yang beliau ada kepada Pengarah Jais, namun oleh kerana Jais tidak mahu bertemu dengan PAS, maka bukti itu akan diserahkannya kepada mahkamah nanti.

PAS telah mengambil keputusan bertemu dengan Jais dan GMDU sebelum mengambil sebarang pendirian berhubung dengan isu pemeriksaan Jais ke atas GMDU itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu, PAS telah menghantar surat kepada kedua-duanya.

Jais dari awal lagi menolak permohonan PAS untuk bertemu dengan pihaknya dengan alasan nasihat Baginda Sultan Selangor.

GMDU pada awalnya bersedia untuk bertemu pada 16 Ogos lalu namun membatalkannya sehari sebelum itu dengan alasan isu ini sudah terlalu panas.

Mustafa pula dalam sidang medianya di Kuala Terengganu telah meminta para ahli dan pemimpin PAS tidak terperangkap dalam isu itu kerana beliau mempunyai bukti Umno terlibat di belakang tindakan Jais itu.


Konspirasi Najib untuk penjarakan saya - Anwar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: "Semua proses ini tiada apa-apa melainkan satu konspirasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyekat aktiviti politik saya dengan sekali lagi cuba memenjarakan saya.

"Oleh itu, saya mengisytiharkan tidak ada kepercayaan langsung terhadap apa saja keputusan mahkamah ini walaupun usaha terbaik telah dibuat oleh para peguam saya."

(Anwar dengan ditemani isteri dan anaknya di mahkamah tinggi hari ini)

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar dalam kenyataannya di mahkamah tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi membela diri beliau.

Anwar menegaskan sekali lagi, ini bukannya perbicaraan jenayah.

"Ini adalah pentas kuasa oleh pihak berkuasa yang dikenakan ke atas saya untuk mengekalkan kuasanya," tegas Anwar lagi.

Kenyataan ini, kata Anwar dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam kes ini berdasar-kan bukti-bukti yang beliau ada dan cara pihak pendakwa mengendalikan kes ini.

Pihak pembelaan akan menyampaikan sepina kepada tujuh saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut akan disepina adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof.

Sebelum ini semasa sesi perjumpaan dengan peguam Anwar, minggu lalu, keempat-kempat mereka tidak mahu ditemubual.

Najib dan Rosmah juga memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang itu bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Bela diri dari kandang tertuduh

Anwar hari ini memilih untuk memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan kenyataannya tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah sebelum itu memberitahu Anwar, beliau mempunyai tiga pilihan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiga pilihan itu adalah pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Walaupun Anwar memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh, dia masih duduk di atas bangku peguam yang mempunyai kelengkapan sebuah mikrofon, lapor Malaysiakini.

Menurut Hakim Zabidin walaupun tertuduh duduk di kalangan peguamnya, tindakan itu masih dianggap sebagai kenyataan daripada kandang (dok).

Jika Anwar memilih memberi keterangan dari kandang saksi, beliau boleh disoal-balas oleh pihak pendakwaan dan keterangan itu dianggap lebih berwibawa.

Pada kes perbicaraan kes salah guna kuasa dan liwat pertama yang dihadapinya 10 tahun lalu, Anwar membela diri dari kandang saksi.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.


P'raya: Suruhanjaya Diraja, bukan JK Khas Parlimen
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) tetap berpendirian penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah langkah terbaik untuk membaik pulih sistem pilihan raya di Malaysia.

Beliau berkata, berbanding Jawatankuasa Khas Parlimen yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini, Suruhanjaya Diraja boleh disertai oleh banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Kalau Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, ia boleh membabitkan pelbagai pihak, bukan hanya ahli Parlimen sahaja.

"Jawatankuasa Khas terhad kepada ahli parlimen sahaja, NGO seperti Bersih tak boleh sertai, tak boleh bawa pakar-pakar perlembagaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya sedang bersidang, beliau berkata jawatankuasa khas itu tidak membawa sebarang makna.

"Bila kerajaan nak tubuh jawatankuasa khas ini (mereka) kena hormatlah. Maksudnya kena tunggu jawatankuasa ini selesaikan perbincangan mereka kemudian mengemukakan cadangan kepada kerajaan dan kerajaan perlu mematuhi cadangan yang dibuat jawatankuasa ini sebagai menghormati Parlimen," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Namun katanya, kerajaan seolah-olah hanya mahu 'menurunkan suhu politik' yang panas dengan tuntutan rakyat melalui cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu.

"Bila Najib kata kerajaan tidak terikat dan boleh bubar Parlimen bila-bila masa bermakna jawatankuasa itu hanya ditubuhkan untuk menurunkan suhu politik yang menunjukkan kemarahan rakyat terhadap isu yang berkaitan pilihan raya ini.

"Tapi bila tubuh, Parlimen bubar, hilanglah fugsi jawatankuasa itu untuk kemukakan cadangan untuk kebaikan pilihan raya," katanya.

Nazri hina Parlimen

Sementara itu, beliau turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menghina Parlimen apabila mengeluarkan kenyataan mendahului Parlimen mengenai jumlah ahli Parlimen yang akan menganggotai jawatankuasa khas tersebut.

"Tak wajar menteri yang menjga hal ehwal Parlimen membuat kenyataan mendahului Parlimen dengan buat kenyataan jumlah anggota jawatankuasa berapa daripada BN dan Pakatan Rakyat.

"Dia yang tentukan siapa yang akan menjadi pengerusi.Menteri sendiri menghina dan tidak menghormati Parlimen," katanya.

Tambahnya adalah sesuatu yang lucu apabila pihak yang dipertikaikan ketelusannya yang akan menjadi pengerusi jawatankuasa khas yang akan dibawa ke Parlimen Oktober ini.

"Sedangkan yang dipertikaikan dalam sistem pilihan raya ialah kerajaan tapi tiba-tiba kerajaan jadi pengerusi," katanya.

Justeru Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu ini bagi memutuskan sama ada akan menyertai jawatankuasa tersebut atau sebaliknya.


Majlis Syura dibentuk kaji pemeriksaan Jais di gereja
Harakahdaily

SHAH ALAM, 22 Ogos: Kerajaan Selangor akan menubuhkan Majlis Syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

Majlis Penasihat Syura ini akan dianggotai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar), Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

“Idea penubuhan Majlis Penasihat Syura ini dicadangkan oleh DYMM Sultan Selangor ketika kami mengadakan perbincangan pada minggu lalu. Saya menghargai nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan,” kata Menteri Besar.

“Saya juga telah berjumpa dengan Mufti Negeri Selangor dan kami telah merumuskan formula untuk dirujuk oleh Majlis Syura,” kata beliau lagi.

Majlis ini akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.

Menteri Besar juga berkata majlis ini akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam itu, Harapan Komuniti. Sekiranya perlu.

Majlis Syura juga akan memanggil DUMC dan 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan.

Majlis ini juga akan mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

“Keutamaan Kerajaan Selangor ialah memastikan setiap aspek pentadbiran mematuhi prinsip keadilan, telus, amalan pentadbiran yang baik dan berintegriti,” kata Menteri Besar.

Kerajaan Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Akta Murtad: Pemuda PAS Perak sokong Harussani
Harakahdaily

IPOH, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan sokongan terhadap cadangan mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) agar menyegerakan Akta Murtad baru-baru ini.

“Kami yakin usaha untuk memelihara akidah umat Islam perlu kepada penegasan agar tindakan untuk memesongkan umat Islam terjebak kepada gejala murtad dapat diatasi,” ujar setiausahanya, Salman Saleh dalam surat yang diemelkan kepada Harussani, hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS negeri berharap cadangan tersebut dapat dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Perak dan mereka juga mencadangkan agar semua parti politik menyatakan sokongan secara terbuka demi memelihara akidah umat Islam.

Tambahnya, adalah menjadi harapan Pemuda PAS negeri juga untuk membincangkan dengan lebih lanjut lagi perkara tersebut dan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Harussani dalam tempoh yang terdekat ini.

“Kami bersedia membincangkan isu yang semakin parah buat umat Islam ini dan berharap ianya dapat dijayakan dengan kadar segera,” ujarnya.


Azizi yang saya kenali
Mohd Sabri Said

Allahyarham Haji Azizi Haji Abdullah bertubuh kecil tetapi mempunyai jiwa yang besar, pandangan yang tajam, kritikan yang pedas terhadap sesiapa yang makan cili terutamanya kepada pemerintah yang jelas tidak mahu melakukan kebaikan bahkan terus angkuh dengan kezaliman.

Walaupun namanya 'gah' dipesada seni sebagai novelis sebaris dengan Sasterawan Negara namun hidupnya tetap sederhana. Tidak mempunyai rumah mewah atau kenderaan mewah sekadar ala kadar untuk berurusan membantu rakyat yang cintakan kedamaian.

Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik beliau yang tidak jemu-jemu berkarya menabur bakti pula sebagai pengarang di Utusan Pengguna keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang diterajui oleh Presidenya, SM Mohamad Idris.

Memang tidak dinafikan, novel bertajuk 'Seorang Tua Di Kaki Gunung' menaikan nama Allahyarham Azizi Haji Abdullah malahan mengangkat jiwa seninya ke tahap yang lebih matang apabila terus berkarya dengan menerapkan unsur nasihat.

Allahyarham Haji Azizi walaupun saya tidak mengenalinya secara dekat tetapi setiap kali bertemu di majlis ceramah politik sering bertanyakan macamana kerja dengan "Harakah' serta memberikan semangat kepada saya untuk terus bertahan di Harakah selama ini. Bukan itu kadang-kadang terkeluar juga ketidak puasan hatinya terhadap Harakah kerana tidak siar apa yang dihantar.

Memang jika hendak diukuran dari segi pendapatan di Harakah tidaklah setinggi mana tambahan lagi sebagai pemberita negeri tetapi kerana mahu mendaulatkan sinar Islam dan bersama kepimpinan yang sah menyanjung Islam saya terus kekal sehingga kini.

Sewaktu Pejabat Harakah beroperasi di No 6, Tingkat 2, Jalan Todak, Bandar Sunway, Seberang Jaya kerap juga terserempak denganya terutamanya sebelah petang kerana beliau sering juga bermalam di ruang hadapan iaitu bilik yang boleh diibaratkan rumah persinggahan tuan punya bangunan tiga tingkat yang Harakah menyewa.

Pemiliknya ialah 'Bos Petronas' iaitu Haji Sidek yang baik hati orangnya. Beliau sanggup memberikan Harakah menyewa dengan kadar Rm350.00 sahaja sebulan sedangkan harga pasaran boleh mencecah sehingga RM600.00 sebulan.

Tetapi, kerana mahukan Harakah bertapak di situ beliau sanggup melupakan nilaian wang ringgit asalkan pejabat berkenaan mesti dalam keadaan bersih terutamanya jalan ke pintu masuk dan tandas kerana baginya Islam itu mementingkan kebersihan.

Berbalik kepada cerita Allahyarham Azizi di situlah kadang-kadang dia tidur bermalam untuk mencari idea untuk novel beliau seterusnya kerana di rumah bukan tempat yang sesuai untuk berkarya.

Pernah Allahyarham Azizi berkata kepada saya dia tidak boleh mengarang dalam keadaan bising atau isteri suruh itu dan ini. Dia lebih tenang dan sanggup menyewa hotel semata-mata mengarang atau menghilangkan diri seketika untuk tujuan tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap novel 'Sanggtha'.

Mengikut ceritanya ketika melancarkan novel tersebut di Perbadanan Perpustakaan Negeri di Seberang Jaya beliau mendapat ilham semasa melalui satu jalan berdekatan Pekan Kulim iaitu sebuah rumah lama yang pernah diduduki oleh orang putih kemudianya pula diduduki keluarga India.

Kali terakhir saya bertemunya ialah ketika bersama Pengarang Harakah, Taufek Yahya turun ke Pulau Pinang untuk wawancara dengan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Presiden CAP, SM Mohamad Idris serta pertemuan dengan Pengerusi Badan Bertindak Tanjung Tokong, Mohd Saleh Yahya di Masjid Negeri.

(Taufek Yahya bergambar dengan Azizi di depan pejabat CAP)
Setelah mendapat talipon daripada Taufek saya terus menalipon Azizi kerana denganya senang berbicara walaupun kadang-kadang ayat yang diucapkan pedih bagi orang yang tidak biasa dengan gelagatnya.

Memang senang, sekali talipon sahaja beliau terus mendapatkan temujanji dengan bosnya. Setelah mengambil Taufek di Lapangan Terbang Bayan Lepas kami terus ke CAP bertemu SM Mohamad Idris diiringi bersama peguam Mohideen Kader, Setiausaha CAP serta Azizi sendiri.

Bukan itu sahaja setelah selesai berbincang seperti biasa SM Mohamad Idris menyuruh Azizi membawa kami makan tengahari di kedai Makan Ikan Sembilang berdekatan terowong Lebuhraya Jelutong.

Saya masih ingat lagi, dia kalut cari gulai ikan sembilang untuk dijamukan pada kami. Akhirnya gagal kerana ikan tersebut habis diambil orang. Maklumlah kedai berkenaan ramai pelanggan.

Sambil makan beliau bercerita sebenarnya doktor menasihatinya supaya jangan makan makanan yang berlemak tetapi apakah daya di sebabkan makanan sedap lazimnya nasihat doktor sekadar pengingatan.

Sejak pertemuan di pejabat CAP dan belanja makan saya sendiri tidak pernah bertemunya lagi cuma pada suatu hari saya mendapat panggilan daripada Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman bertanyakan saya tentang kesihatan Azizi yang dikatakan tenat di Hospital Besar Pulau Pinang.

Saya terus menghubungi talian talipon miliknya tetapi anak perempuanya yang angkat dan mengesahkan kesihatan ayahnya tidak stabil ekoran terasa sakit di bahagian dada ketika bersiap-siap ke tempat kerja.

Memandangkan kesihatanya makin serius beliau terus dimasukan ke wad dan selang beberapa minggu kemudian dia kembali pulih tetapi doktor melarang orang ramai melawat sebab bimbang dijangkiti kuman.

Saya teruskan buat berita ringkas mengatakan kesihatanya makin pulih walaupun tidak sempat bertemu bertanyakan sendiri.

Cuma pada hari Ahad lepas 21 Ogos 2011 sekali lagi Ahmad Lufti menghubungi saya bertanyakan adakah benar Azizi meninggal lantas saya pun menghubungi Zulkifli Yusuf yang bertugas di bahagian Luar Bandar di CAP dan beliau akhirnya mengesahkan berita berkenaan.

Ketika menghubungi Penolong Pengarang Utusan Pengguna, Saudara Mohd Ridzuan Mohamad beliau berkata kehilanganya amat dirasai kerana beliau seorang yang gigih bekerja untuk menyebarkan info kepada rakyat.

Menurutnya, Azizi banyak menghasilkan buku yang menceritakan masalah sosial untuk CAP seperti 'Jiwa Hamba, Luka Rakyat dan Mustaafin yang tertindas'. Semuanya menceritakan pergelutan masyarakat terhadap sosial yang melanda masa kini.

"Kehilangan Azizi satu kehilangan besar terhadap bidang penulisan dan kesasteraan. Buku terbarunya bertajuk Badai Cinta dan Anak Belantara' merupakan apisod terakhir penulisan yang diterjemahkan melalui penulisan kreatif, " jelasnya.


Ragui ayam sembelih, jangan pengguna 'disembelih'
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS) memandang serius laporan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang mendapati kira-kira 60,000 ekor ayam segar atau 30 peratus daripada bekalan ayam segar di negeri Johor diragui status halal dan kesuciannya.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, LaPAS difahamkan ia berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

“LaPAS mengucapkan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Johor yang berjaya mengesan dan membuat serbuan ke atas premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi LaPAS, katanya isu sembelihan ayam halal adalah isu yang sangat penting kepada umat Islam.

Ujarnya, LaPAS percaya umat Islam tidak rela makanan yang masuk ke tubuh badan mereka dan menjadi darah daging berpunca dari sumber yang haram.

“Adalah diharapkan agar JAIJ dan kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi kawalan syariah dengan menghentikan operasi perniagaan mereka, menyita premis serta membekukan lesen perniagaan,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Katanya, pengusaha seperti itu tidak layak untuk menjalalankan perniagaan mereka kerana tidak menjaga amanah umat Islam bagi menjaga halal dan haram pada makanan yang mereka usahakan.

Ini juga, tambahnya sebagai peringatan keras agar pengusaha dan pembekal makanan bersikap lebih berhati-hati dengan mematuhi segala prosedur halal yang ditetapkan.

Beliau berkata, LaPAS turut mengharapkan agar Jabatan Agama Islam di negeri-negeri lain mengambil tindakan sama dengan menjejaki, mengesan, memantau serta menyiasat pembekal atau pengusaha pusat penyembelihan yang tidak mematuhi prosedur penyembelihan dengan betul.

Selain itu, ujarnya LaPAS meminta agar kerajaan memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat menjelang Aidilfiitri.

Ini, katanya bagi mengelakkan sesetengah pengusaha atau penjual mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati mereka.

Katanya, kawalan harga bagi ayam dan barang-barang keperluan amat penting bagi melindungi hak pengguna.

“Pengguna tidak rela mereka membeli makanan dan barang keperluan lainnya di musim perayaan ini dalam keadaan mereka pula ‘disembelih’ oleh penjual yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.


Pemergian Azizi kehilangan besar buat PAS
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Pemergian novelis terkemuka tanah air, Azizi Abdullah (gambar) ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar kepada PAS khususnya dan seluruh masyarakat Malaysia amnya.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham bukan sekadar berjasa besar sebagai tokoh PAS yang terlibat secara langsung menggerakkan PAS di pelbagai peringkat, termasuk menjadi calon PAS dalam pilihan raya, tetapi juga tokoh milik masyarakat melalui aktiviti penulisannya yang cukup berkesan.

Katanya, dengan jasa dan penglibatannya itu, sudah tentu pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar kepada PAS khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allayarham Azizi Haji Abdullah di atas pemergian beliau ke rahmatullah.

"Kita berdoa kepada Allah SWT semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan mendapat keampunan Allah," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Perutusan takziah beliau itu disampaikan menerusi setiausaha akhbar beliau, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Allahyarham Azizi, 69, meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang kira-kira jam 7.50 pagi semalam akibat komplikasi buah pinggang dan sakit jantung. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut sejak 26 Mac lalu dan menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.

Semasa hayatnya, Allahyarham yang tinggal di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim merupakan seorang novelis hebat, peka dan tajam penanya terhadap isu semasa yang melanda masyarakat.

Beliau juga terkenal sebagai seorang penulis yang berdisiplin, berdedikasi dalam penulisan dan kritis dalam mengutarakan idea, sehingga mampu dijadikan contoh oleh generasai muda hari ini dalam menekuni bidang penulisan dan kesusasteraan.

Beliau yang pernah memenangi anugerah SEA Write Award pada 1988 itu meninggalkan banyak karya bermutu untuk bacaan orang ramai. Antara karya besarnya termasuklah novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.


Kerajaan campur aduk subsidi, tanggungjawab
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan BN tidak tahu membezakan di antara tanggungjawab sosial dan pemberian subsidi kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan silap apabila mencampur adukkan soal tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi untuk mengurangkan beban rakyat.

Ini katanya dapat dilihat dalam pengagihan subsidi yang dilakukan kerajaan sejumlah RM74 bilion iaitu RM42 bilion dalam bidang sosial, RM23.5 bilion dalam bidang tenaga dan bahan api, RM4.8 bilion untuk infrastruktur dan RM3.4 bilion untuk makanan.

"Kerajaan selalu berhujah mereka terlalu banyak menampung subsidi iaitu sebanyak 74 bilion setahun yang menyebabkan kerajaan kata terpaksa mengurangkan subsidi.

"RM3.4 bilion untuk makanan berbanding perkara lain, ini terlalu kecil umpamanya RM42 bilion dalam bidang sosial, kerajaan tidak boleh menganggap ini sebagai subsidi tetapi sebaliknya ini tanggungjawab sosial kerajaan, sama juga soal pendidikan dan kesihatan.

"Isunya ialah adakah kerajaan nak mengatakan RM42 bilion itu tanggungan yang besar lalu kerajaan terpaksa tarik subsidi dalam bidang lain yang lebih penting?

"Kerajaan sudah menggabungkan tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi. Ini tidak wajar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.

Sebaliknya beliau berkata kenaikan harga barang ditentukan oleh pasaran dunia.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas penubuhan Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) oleh PAS Sabtu lalu.

Mahfuz yang juga Pengerusi Protes BN kecewa dengan kenyataan demikian yang dianggap sebagai cuba melarikan diri daripada isu sebenar.

"Saya terkejut seorang menteri boleh keluarkan kenyataan sebegini rupa yang hanya melihat kepada satu faktor iaitu kenaikan harga pasaran dunia.

"Saya tak tahulah yang dimaksudkan harga pasaran dunia termasuk juga dengan kangkung, dengan halia yang menyebabkan berlaku kenaikan harga," katanya berseloroh.

Ujar Mahfuz, meskipun kenaikan harga pasaran duni menjadi salah satu faktor kenaikan harga barang, namun ianya boleh dikawal sekiranya kerajaan bijak menguruskan ekonomi negara dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban rakyat.

"Sepatutnya menteri dapat fahami kenapa PAS tubuhkan kelab protes BN ini. Kita bukan hanya melihat kepada harga barang naik tapi peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

"Kalau pun berlaku kenaikan harga barang di peringkat global tapi kalau kerajaan bijak menguruskan ekonomi dan kewangan dan berhasrat membantu rakyat mereka dapat menambah pemberian subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga barang," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, dalam apa jua keadaan, rakyat sentiasa menjadi mangsa sedangkan syarikat-syarikat besar terus mengumpul kekayaan.

"Kerajaan selalu gunakan alasan bila berlaku kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa kerajaan kata tak ada jalan lain melainkan menaikan harga kerana tak mampu menanggung beban subsidi yang berlebihan.

"Tapi bila harga pasaran turun kerajaan kata harus perlu menstabilkan harga akhirnya rakyat terus jadi mangsa dalam apa keadaan sekalipun," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kempen Protes BN akan diteruskan dan mengalu-alukan penyertaan rakyat.


Anwar pilih beri keterangan dari kandang tertuduh
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memilih untuk memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan kenyataannya tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah sebelum itu memberitahu Anwar, beliau mempunyai tiga pilihan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiga pilihan itu adalah pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Walaupun Anwar memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh, dia masih duduk di atas bangku peguam yang mempunyai kelengkapan sebuah mikrofon, lapor Malaysiakini.

Menurut Hakim Zabidin walaupun tertuduh duduk di kalangan peguamnya, tindakan itu masih dianggap sebagai kenyataan daripada kandang (dok).

Jika Anwar memilih memberi keterangan dari kandang saksi, beliau boleh disoal-balas oleh pihak pendakwaan dan keterangan itu dianggap lebih berwibawa.

Pada kes perbicaraan kes salah guna kuasa dan liwat pertama yang dihadapinya 10 tahun lalu, Anwar membela diri dari kandang saksi.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Anggota ATM perlu berkecuali
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: PAS menegaskan menteri atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab terhadap dakwaan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa mereka diarahkan 'memangkah' undi pos untuk BN.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, dakwaan tersebut tidak seharusnya dijawab oleh ATM sendiri, pasukan beruniform yang berkecuali daripada politik kepartian.

"Saya tegaskan bahawa sepatutnya yang respon itu ialah menteri atau SPR, bukan yang beruniform.

"Kita mahu ATM terus bersikap berkecuali, tidak terlibat dalam politik kepartian kerana mereka berkhidmat di bawah Yang Di-Pertuan Agong," kata beliau sewaktu berucap di majlis Pelancaran Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa, Kampung Baru, petang kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyangkal dakwaan empat bekas tentera minggu lalu bahawa wujud penyelewengan undi pos di kalangan anggota tentera.

Zulkifli sebaliknya mendakwa Pemuda PAS menggunakan bekas anggota tentera untuk memburuk-burukkan BN.

Mohamad berkata, anggota ATM harus kekal bersikap berkecuali dan hanya setia kepada Yang Di-Pertuan Agong serta tidak lagi muncul membuat kenyataan dalam isu membabitkan pilihan raya.

"Sebarang usaha membawa ATM terlibat dalam politik kepartian akan membawa bahaya kepada keselamatan negara dan kecelaruan politik pada masa akan datang.

"Kita harap kemunculan pasukan beruniform menjawab dalam hal pilihan raya itulah pertama dan terakhir, jangan diulangi lagi dan (Datuk Seri) Najib (Razak) kena hentikan perkara ini kerana kalau tentera terlibat dalam poilitik kepartian akan membawa keburukan daripada kejernihan

"Khidmat cemerlang ATM diakui rakyat daripada merdeka hingga searang dan mereka mesti kekalkan prestasi itu sampai bila-bila," katanya.

Minggu lalu, empat bekas tentera muncul membuat pendedahan bahawa merekia diarahkan memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai atasan ATM.

Tiada ulasan: