Isnin, 22 Ogos 2011

BAB IKHLAS NI...YANG AKU BELAJAQ...KATA ALLAH DALAM HADIS QUDSI..'IKHLAS RAHSIA DALAM RAHSIAKU'..MAKSUD HADIS...NI SENDIRI BOLEH TAU...PELIK

PEMANDU kaji bantu golongan berpendapatan bawah RM3,000
Ogos 21, 11 7:52pm

Kerajaan mengarahkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mengkaji langkah membantu golongan berpendapatan di bawah paras RM3,000 untuk berdepan masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keputusan itu diambil pada perbincangan Kabinet baru-baru ini, yang berpendapat satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membantu golongan tersebut.

"Sehingga kini Pemandu sedang memperincikan kajian ini untuk dirumuskan dalam satu pangkalan data menerusi sebuah makmal khusus yang ditubuhkan bagi tujuan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Teman 1Azam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta penyampaian
bantuan sempena Aidil Fitri hari ini.

Beliau berkata makmal itu akan mengemukakan rumusan kajian dalam tempoh dua minggu, dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum diperincikan semula untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2012.

Katanya, apa yang penting, inisiatif itu akan mencapai matlamat membantu golongan sasar mengurangkan beban mereka, dan kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana Kabinet mendapati rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 menerima kesan besar ekoran kenaikan harga barang.

- Bernama


JK p'raya: Jangan sangsi keikhlasan kami, kata PM
Ogos 21, 11 9:18pm

Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) merupakan komitmen oleh kerajaan untuk menjadikan sistem pilihan raya negara lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya harap inisiatif kami mengenai jawatankuasa tersebut menunjukkan keikhlasan kami. Ini tidak bermakna kami percaya wujud manipulasi dalam sistem itu tetapi kami mahu menambahbaik lagi sistem itu.

"Jangan sangsi dengan keikhlasan kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia yang kedua di Bandar Tun Razak di ibunegara hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas dakwaan beberapa pihak tertentu bahawa JTP adalah tidak bermakna sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan tanpa melakukan reformasi sistem pilihanraya.

"Tarik pilihanraya adalah prerogatif kami tetapi kami komited untuk penambahbaikan sistem pilihanraya," katanya.

Rabu lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas parlimen dengan usul cadangan penubuhan itu dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Jawatankuasa itu diketuai oleh seorang menteri dan akan dianggotai sembilan wakil rakyat iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

- Bernama


Jururawat dan bayi dalam kandungan maut
Ogos 21, 11 2:56pm

Kemeriahan Aidilfitri mungkin tidak akan dirasai oleh seorang pegawai polis apabila beliau kehilangan isteri bersama anak dalam kandungan berusia tujuh bulan, dalam satu kemalangan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam.

Insp Mohd Nor Idham Ali Mat Nor, 27 dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan kehilangan isteri Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah ibu suaminya di Taman Sri Kluang, Johor pada pukul 3.30 petang.

Hasrat Noor Edlina yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kota Bharu untuk berbuka puasa dan bercuti bersama keluarga mentuanya itu bagaimanapun musnah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd Nor Idham terbabas ketika tiba di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas ke bahagian kiri jalan akibat hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.

Katanya kereta itu kemudiannya masuk kembali ke jalan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti akibat terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata kesan hentaman yang kuat akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Myvi hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu masih dalam siasatan manakala mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya di Hospital Pekan awal pagi tadi," kata Yahaya kepada pemberita di Pekan.

Sementara itu, ibu mentua mangsa, Salbiah Abdullah, 50, berkata beliau tidak mengetahui tentang kepulangan anak dan menantunya itu kerana mereka mahu membuat kejutan kepadanya memandangkan panggilan telefon daripada Mohd Nor Idham beberapa hari lepas memaklumkan bahawa hanya beliau sahaja dapat bercuti bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

"Saya meminta agar dia pulang bersama-sama isterinya pada hari mereka cuti bekerja dan tidak kisah jika mereka sampai ke kampung walaupun selepas hari raya pertama bagi mengelak mereka terburu-buru," katanya.

"Anak saya juga masih trauma atas pemergian isteri yang baru dinikahinya Febuari lalu dan bakal cahaya mata pertama yang masih berada dalam kandungan di depan matanya sendiri," katanya.

- Bernama


Orang muda calon BN Kelantan untuk PRU
Ogos 20, 11 3:25pm
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata simulasi pilihan raya di negeri ini akan berlangsung dari 16 hingga 30 September.

Beliau berkata sebagai persediaan, pihaknya kini mengadakan taklimat secara berperingkat kepada semua ketua peti undi dan cawangan parti itu.

"Sehingga kini, saya nampak semangat ahli Umno semakin tinggi dengan kerja yang dilakukan di peringkat akar umbi, dan kita amat berharap simulasi ini dapat sambutan baik dengan semua jentera parti bergerak cergas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat kepada anak yatim di Parlimen Ketereh, Kota Baharu hari ini.

Simulasi pilihan raya itu adalah susulan daripada arahan Umno pusat selepas Majlis Tertinggi parti pada 27 Mei memutuskan langkah tersebut perlu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata 'orang muda' merupakan antara calon yang bakal disenaraikan BN untuk bertanding di Kelantan pada PRU akan datang.

Beliau berkata muka baru perlu diberi peluang untuk bertanding sebagai nilai tambah bagi membantu parti meraih kejayaan pada PRU akan datang.

"Secara umumnya, orang muda lebih memahami kehendak dan keperluan pengundi muda, justeru harus ada sebilangan golongan muda dalam senarai calon yang akan bertanding," katanya.

Mustapa berkata bakal calon daripada golongan muda perlu memenuhi kriteria pemilihan, termasuk memperlihatkan ciri 'calon menang' yang disenangi rakyat.

Beliau menjangkakan calon PRU kali ini sebahagiannya mungkin terdiri daripada anggota badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, pesara, tokoh agama atau ahli akademik.

Katanya, pertikaian berhubung calon yang dipilih pucuk pimpinan serta budaya 'cah keting' perlu dihindari kerana ia tidak menguntungkan parti.

--Bernama

Tiada ulasan: