Jumaat, 19 Ogos 2011

JANGAN BUAT SILAP...SILAP2 KITA MENCAMPAKKAN DIRI KITA DALAM NERAKA...BOS MAHA BESAR IALAH ALLAH..JANGAN2 SILAP BODEK DAN KERJA..NAYA KAN DIRI SENDIRI

Anuar tiada kaitan dengan ‘Sokong Anuar Tahir’
Bashir Ishak

KANGAR, 18 Ogos: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir menegaskan beliau tidak ada kaitan sama sekali dengan laman Facebook ‘Sokong Anuar Tahir’.

Malah katanya, beliau tidak tahu-menahupun tentang kewujudan laman Facebook tersebut sehingga diberitahu oleh seorang kakitangan di Pejabat Perhubungan PAS Perlis baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam Facebook terbabit yang turut dijadikan medan untuk menghambur kata-kata kesat kepada pimpinan PAS Perlis.

"Facebook terbabit dibuat tanpa restu tuan empunya badan dan juga bukan dengan restu PAS Perlis. Amat dikesali juga kerana mereka turut menggunakan gambar saya.

"Kita menjangkakan Facebook tersebut diwujudkan oleh orang-orang terdesak yang anti-PAS dan digunakan sebagai kempen gerak saraf untuk cuba memecah-belahkan perpaduan khususnya di dalam PAS Perlis sendiri," jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Padang Besar.

Menjelang pemilihan PAS pada Jun lalu, sebuah Facebook ‘Anuar Tahir Sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis’ telah diwujudkan yang mana Mohd Anuar sendiri turut menafikan pembabitan beliau dalam Facebook terbabit.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Perlis, Mohd Sahir Abd Rahman dalam posting beliau di Facebook telah meminta agar rakan-rakan Facebook yang prihatin supaya unfriend dengan laman Facebook "Sokong Anuar Tahir".


Panglima Tentera tidak cermat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Tindakan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat.

“Saya merasa terkejut terhadap kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang telah menyalahkan Pemuda PAS kerana membuat sidang media berhubung dengan pendedahan empat orang bekas anggota tentera berkenaan undi pos di Pejabat PAS Pusat, semalam,” kata Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Mohd Adram Musa dalam satu kenyataan.

Bekas anggota tentera tersebut adalah Majer(B) Risman Mastor, Komando (B) Mohd Kamel Omar, Mohamed Nasir Ahmad dan Kamarulzaman Ibrahim.

Katanya, sebelum ini semasa Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Pemuda PAS juga telah membawa Abu Kassim di hadapan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd Yusof untuk menerangkan pengalamannya berhubung dengan undi pos.

“Zulkifeli bukan sahaja menuduh Pemuda PAS mengambil kesempatan terhadap bekas anggota tentera malah menuduh sebagai kami sebagai pengkhianat.

“Saya ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tidak pernah mempergunakan bekas anggota tentera untuk membuat pendedahan,” ujarnya.

Menurutnya, mereka datang dengan penuh sedar, insaf dan sukarela.

Katanya, mustahil bagi Pemuda PAS mampu mempergunakan bekas anggota tentera yang telah terdidik dengan disiplin dan jadi diri yang tinggi semasa dalam latihan dan perkhidmatan.

Secara tidak langsung, ujarnya Panglima Angkatan Tentera telah menghina ke atas empat anggota tentera tersebut.

Beliau penuh yakin bahawa ada lebih ramai lagi bekas anggota tentera akan tampil ke hadapan membongkar manipulasi undi pos pada masa akan datang.

Katanya lagi, Pemuda PAS memberi peluang seluas-luasnya kepada mereka.

Sepatutnya, ujar beliau selepas mendapat maklumat berkenaan manipulasi undi pos, Panglima Angkatan Tentara perlu mendapatkan maklumat secara langsung daripada ke empat-empat bekas anggota tentera terbabit.

“Kemudian tubuh satu badan penyiasat dan kemukakan satu cadangan kepada pihak kerajaan, menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sayap kepada sebuah parti politik, Pemuda PAS bertanggungjawab untuk memberikan pandangan berdasarkan pengalaman kami dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan Sibu yang melibatkan undi pos.

“Saya penuh yakin Panglima Angkatan Tentera tidak mendapat maklumat yang sebenar berhubung ruang manipulasi undi pos,” katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan ruang manipulasi dalam undi pos kepada Zulkifeli.

“Kami bukan pengkhianat. Kalau kami pengkhinat maka kami tidak perlu membuka ruang diskusi kepada pihak Panglima Angkatan Tentera,” tegasnya.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS mengharapkan semua pihak terutamanya JPN, SPR dan ATM agar mengambil tindakan yang pro aktif bagi menjayakan satu reformasi dalam pilihanraya di negara kita.

“Semoga usaha semua pihak ini akan menutup semua ruang-ruang manipulasi dalam pilihan raya,” ujarnya lagi.


JK Khas Parlimen sekadar penghias jendela
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya hanya penghias jendela dan tidak berminat untuk mewujudkan pilihan raya adil dan bersih, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu kerana ia memberikan alasan yang lebih kukuh kepada rakyat untuk menerus dan mengukuhkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu semakin membuktikan bahawa hanya perjuangan rakyat seperti yang berlaku 9 Julai lalu yang boleh diharapkan untuk mewujudkan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini," katanya sambil mengulangi supaya lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilaksanakan.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Mahfuz juga mempertikaikan kewujudan jawatankuasa itu kerana apa yang sebelum ini dituntut oleh Bersih 2.0 ialah sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menambah baik proses pilihanraya secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

"Yang dituntut ialah siasatan adil dan bebas oleh suruhanjaya tersebut dan langkah-langkah pembaikan yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan, bukannya jawatankuasa yang meragukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, antara perkara yang meragukan dalam jawatankuasa itu ialah apabila ia diketuai oleh seorang menteri.

"Menteri mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN), selain SPR, kerajaan BN juga adalah pihak yang dipertikaikan oleh rakyat yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Amat karut jika pihak yang dipersoal dan dipertikaikan menjadi pengerusi badan yang kononnya ditubuhka untuk memperbaiki amalan pilihan raya yang dipertikaikan dan dilihat tidak bersih," tegas beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan keanggotaan jawatankuasa itu.

"Keanggotaan jawatankuasa itu sepatutnya diputuskan dalam sidang Parlimen.

"Mengapa tiba-tiba menteri pula yang menetapkan keanggotaan jawatankuasa itu?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Mahfuz juga menolak tawaran Kementerian Dalam Negeri yang mahu menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh jawatankuasa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu.

"Kita bukan mahu jawapan, kita mahu perubahan ke arah pilihan raya yang adil dan bersih," tegas beliau.


'Saya dedah paderi Melayu, saya kena ISA'
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 18 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa orang ramai tidak mempercayai propaganda media Umno pada masa ini yang kononnya menampakkan kumpulan tersebut membela Islam.

Sebaliknya apa yang digembar-gemburkan sekarang hanyalah sekadar mainan isu untuk dipolitikkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Katanya, pergantungan Umno sekarang hanyalah kepada Melayu setelah mereka tidak yakin lagi untuk meraih majoriti undi bukan Melayu sebab itulah mereka mainkan isu agama dan perkauman.

“Jadi tak perlulah percaya dengan provokasi media Umno pada masa ini yang begitu agresif memainkan isu gereja dan murtad. Kenapa setelah puluhan ribu dilaporkan murtad sepanjang Umno/ N berkuasa baru sekarang tiba-tiba melenting?

“Saya masih ingat dulu saya telah berceramah tentang ada orang Melayu yang dikristiankan dan saya dedahkan ada paderi berbangsa Melayu, tapi selepas itu saya yang kena ISA.

“Saya kalau nak beritahu, Umno kalau betul-betul nak jaga Islam mereka tak tukar cuti hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang berlaku di Johor dan Perlis,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang di Darul Amin, Sungai Gau di sini semalam.

Pada program sehari suntuk itu 1,300 petugas parti di segenap peringkat hadir.

Turut memberi ucapan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sederap Menjana Kemenangan’.

Mohamad Sabu yang sebelum itu menarik perhatian peserta kerana berjalan ke pentas dengan bertongkat, berkata rakyat perlu tahu bahawa hakikatnya Umno bukan pembela Melayu tetapi sedang berpolitik dengan main sentimen Melayu.

Mengenai pilihan raya, beliau berkata Pahang merupakan negeri penting kerana mempunyai banyak kawasan Felda tetapi berpotensi untuk menang jika bekerja kuat mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung.

“Umno/BN diselamatkan di seluruh negara dengan 45 kerusi parlimen yang mempunyai undi Felda, 25 kerusi undi pos jadi mereka hanya perlu 50 kerusi lagi untuk terus berkuasa.

“Tetapi jika undi di seluruh Pahang mengalami swing sebanyak 5 peratus sahaja saya kita Pakatan Rakyat sudah banyak kerusi yang menang,” jelasnya.

Selanjutnya beliau memberitahu, fokus jentera PAS ialah merampas undi Melayu daripada Umno justeru peserta yang hadir mempunyai peranan besar untuk mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung dengan memberi penerangan PAS bersedia ganti Umno.

Tambahnya, di beberapa tempat Umno telah meletakkan banner ‘Umno kalah DAP menang’ bagi menakutkan pengudi Melayu untuk berubah.

Mengenai electroral reform yang dicanangkan oleh Perdana Mneteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dibentangkan di parlimen, beliau berkata tindakan tersebut berlaku setelah pemimpin Jerman yang akan datang lawat Malaysia telah menegur sistem pilihan raya negara ini ditambah lagi dengan asakan rakyat yang mahukan keadilan.


Air: Gangguan elektrik jadi punca utama
M Faqih

KOTA BHARU, 18 Ogos: Sudah menjadi kelaziman setiap kali berlaku gangguan bekalan air bersih, pengguna terus menunding jari kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AkSB).

Sedangkan ramai tidak tahu gangguan bekalan elektrik dikenal pasti antara faktor utama berlaku masalah penyaluran bekalan air bersih di banyak tempat di Kelantan.

Malah mungkin ramai terkejut pada Julai lalu sebanyak 96 jam 35 minit berlaku gangguan bekalan elektrik di loji rawatan air milik AKSB di seluruh Kelantan.

Jumlah gangguan tertinggi tahun ini berlaku pada Mei lalu iaitu berjumlah 171 jam 57 minit sehingga menyebabkan loji rawatan air tidak dapat beroperasi.

Pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azhari Ab Rahman berkata, gangguan bekalan elektrik boleh dikatakan berlaku di hampir kesemua loji rawatan air AKSB.

“Apabila bekalan elektrik terputus menyebabkan kompenan utama di loji rawatan air tidak dapat berfungsi antaranya pam air mentah, sand injector, pam pembacuh bahan kimir, system SCADA, flowmeter dan makmal.

“Kesan segera yang berlaku di mana berlaku kekurangan air mentah yang dihantar ke loji rawatan air.

”Selain itu risiko paip pecah kerana surge vessel tidak berfungsi dengan baik dan kemasukan pasir atau sampah ke dalam paip air mentah,” katanya di sini.

Sebelum ini persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pernah membincangkan masalah tersebut dan berusaha mencari alternatif termasuk mencadangkan mengguna generator sendiri.

Namun disebabkan kos begitu tinggi menyebabkan AKSB terpaksa bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik yang dibekalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

AKSB mencatatkan purata gangguan bekalan elektrik tahunan setiap bulan melebihi 100 jam. Jumlah gangguan pada 2009 sebanyak 1,523 jam, dan tahun lepas (1,444 jam).

Azhari berkata, kalau bekalan elektrik terputus selama sejam di loji rawatan air menyebabkan gangguan bekalan air akan berlarutan sehingga enam jam untuk pulih sepenuhnya.

”Masa lebih lama diperlukan bagi membolehkan bekalan air disalur semula kepada pengguna. Sedangkan setiap kali bekalan air terputus pengguna hanya menyalahkan AKSB,” ujarnya.

Menurutnya bagi mengatasi masalah tersebut pihak pengurusan AKSB sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan TNB.

Difahamkan juga TNB di Kelantan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga memandangkan stesen hidro elektrik di Pergau, Jeli dikatakan menyalur bekalan untuk gred nasional.

Malah TNB pernah mengemukakan cadangan untuk membina empangan di Nenggiri, Gua Musang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di Kelantan.


Tanah runtuh Cameron Highland kerana buatan manusia?
Harakahdaily

Laporan Khas Oleh Arshad Khan
CAMERON HIGHLAND, 18 Ogos: Tragedi kejadian tanah runtuh awal minggu lalu di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang telahpun meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, manakala dua lagi parah.

Dalam reaksi balasnya, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah cepat membuat kesimpulan bahawa laporan awal tragedi tanah runtuh tersebut tidak menunjukkan ia berlaku akibat pembangunan atau penerokaan tanah.

(Inilah perkampungan orang Asli Sungai Ruil yang hilang tujuh nyawa baru-baru ini. Jelas kelihatan aliran air yang turun dari bukit di atasnya.)

Adakah benar dakwaan Adnan bahawa ia adalah bencana alam semula-jadi atau ianya bencana buatan manusia?

Namun, itu adalah lumrah manusia terutamanya pihak berkuasa untuk mengaitkan bencana alam sedemikian dengan kuasa semulajadi, akan tetapi kita terlupa bahawa bencana sedemikian mungkin juga disebabkan kuasa manusia, yang tamakkan kekayaan tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Wartawan perisik Harakahdaily Arshad Khan telah melaporkan penemuan eksklusifnya ketika meninjau tempat kejadian tanah runtuh tersebut di Cameron Highland, telah menunjukkan dakwaan bahawa tragedi tanah runtuh yang menelan tujuh nyawa itu adalah hasil bencana alam semula-jadi adalah jauh meleset.

(Gambar kiri: Air yang turun ke kawasan perkampungan orang Asli telah melalui aliran yang telah gondol)

Arshad dalam tinjauannnya 10 Ogos yang lalu mendapati bahawa sememangnya terdapat aktiviti-aktiviti mengondokan bukit dan pembalakan di sekitar satu lembah kecil di hujung penempatan orang Asli yang mengumpul air dan airnya melimpah ke rumah-rumah di bawah.

“Saya menjangkakan punca tanah runtuh disebabkan buatan manusia adalah tepat. Terdapat aktiviti di bahagian lembah kecil di hujung penempatan orang Asli yang mengumpul air dan airnya melimpah ke rumah-rumah di bawah.

"Akan tetapi, mengapa ia mengambil masa yang lama (untuk kejadian berlaku) sedangkan penempatan di kawasan tersebut sudah lama? Ini bermaksud aktiviti-aktiviti di kawasan lembah kecil tersebut adalah baru,” kata Arshad.

(Longgokan tanah yang dibawa turun dari atas bukit berhampiran kawasan runtuhan)

Kata Arshad, sekiranya pokok di kawasan tersebut ditebang untuk aktiviti perkebunan kecil-kecilan, aktiviti itu sepatutnya dipantau dan langkah-langkah berjaga diambil untuk memastikan tanah tidak terlalu terdedah untuk larian air pada permukaannya.

“Tapak kejadian tanah runtuh itu kelihatan seperti laluan air semulajadi dan apa-apa halangan akan menyebabkan hakisan dan halangan kepada perembesan air. Secara keseluruhannya, lereng gunung yang tidak diteres dan disalirkan dengan baik, saya akan menyalahkan pihak berkuasa atas kegagalan, kejahilan dan ketidakupayaan ini.

"Penebangan hutan semulajadi secara total sepatutnya tidak berlaku, namun sekiranya terpaksa ia harus dilakukan secara berperingkat dengan menggantikan dengan pokok buah atau pokok yang berakar umbi dalam. Tanah di Malaysia adalah mudah, belum matang dan mudah tercabut, tidak terikat dengan kuat kerana kebanyakkan kandungan adalah pasir – penutup tanah atau akar adalah penyelesaian terbaik terhadap hakisan,” tambah Arshad.

(Jentera berat yang digunakan untuk membuat kerja-kerja tanah yang menggondolkan bukit berhampiran kawasan bencana)

Arshad juga menemui satu projek perumahan mewah berdekatan dengan kawasan kejadian (gambar) dan juga aktiviti-aktiviti perataan tanah sedang giat dijalankan.

Selain itu, tinjauan Arshad telah menemukan beliau kepada satu papan tanda yang menunjukkan aktiviti penempatan sekitar kawasan kejadian tanah runtuh telahpun giat dijalankan mulai tahun lepas.

Berdasarkan maklumat pada papan tanda tersebut, pada penghujung April 2010, kerajaan Pahang dan Menteri Besarnya Datuk Seri Adnan Yaakab telah secara bangganya melancarkan program Perkampungan Pertama 2010 untuk penduduk Kampung Sungai Ruil di Cameron Highland.

“Penempatan semula kaum Asli tidak berapa dipersetujui oleh orang Asli, dan ia amat berkait dengan orang yang berkuasa yang bermatakan kekayaan yang boleh dijana daripada hutan yang diduduki orang Asli dulu.

(Papan tanda projek mewah yang dirasmikan oleh Adnan tetapi beliau berkata kejadian ini tidak ada kaitan dengan kerakusan manusia tetapi akibat bencana alam)

"Terlalu banyak orang yang berpangkat tertinggi yang terlibat dalam rampasan hutan asal mereka, dan kini mereka telah lebih kurang menjadi golongan nomad tanpa tanah nenek moyang mereka atau seperti sesetengah di negara-negara lain, gypsies (orang yang selalu berpindahtempat atas arahan pihak atasan).

"Siapakah yang mereka boleh menjadi tempat mengadu sekarang? Tiada siapa! Mereka ini adalah orang yang sangat mudah, yang tidak mempunyai banyak prinsip dan mudah diambil hati oleh sedikit habuan yang diberikan golongan elit. Saya juga pernah melihat beberapa proksi pembalakan dan lain-lain yang mengumpan dengan memberikan 'gula-gula' untuk menipu pribumi untuk melepaskan tanah nenek moyang mereka semata-mata untuk mendapatkan berjuta-juta kayu berharga,” tambah Arshad lagi.

Dalam temuramahnya dengan seorang orang Asli yang berada di sekitar kawasan kejadian tanah runtuh, Arshad berkata orang Asli itu memberitahu semasa kejadian berlaku beliau terdengan satu bunyi guruh yang kuat dan terlihat air deras bagai ombak mengalir ke bawah lereng gunung.

(Air yang turun dengan deras di parit sebelah rumah berasal dari takungan kecil di atas bukit)

“Beliau menjerit dan menyuruh penduduk-penduduk mengosongkan rumah tapi terlambat. Hujan juga telah menenggelamkan suaranya. Bagi saya, getaran guruh itu mungkin telah memaksa keluar serpihan-serpihan yang memegang air di kawasan lembah yang kecil tersebut,” tambah Arshad.

Menjangkakan pihak berkuasa akan mencadangkan satu jawatankuasa untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh, samada semulajadi atau buatan manusia, Arshad hanya memberikan satu komen sinis untuk mengakhiri laporannnya.

“Tuhan akan sentiasa senyap dan mungkin boleh dipersalahkan. Bagaimana pihak berkuasa boleh dipersalahkan bilamana mereka tahu lebih baik dari Tuhan untuk menggerupis dengan alam semula jadi?” soal beliau.


Umno halang rakyat faham al-Quran
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa yang sangat penting kerana kitab suci itu merupakan perlembagaan kehidupan umat Islam.

Tambahnya, tanpa Al-Quran hidup manusia tidak akan terarah dan pasti akan pincang.

“Sudah 54 tahun sejak kita merdeka, Umno telah mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada mereka.

“Apa yang kita perhatikan adalah Umno telah gagal untuk melaksanakan Al-Quran dalam erti kata yang sebenar,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, di bawah pemerintahan Umno, Al-Quran hanya diperdengarkan untuk pertandingan sahaja.

Malah, ujarnya Umno telah menggunakan kuasanya untuk menghalang para alim ulamak untuk menyampaikan ajaran Al-Quran dalam erti katanya yang sebenar di rumah-rumah Allah di atas alasan kononnya tidak mahu mencampuradukkan di antara politik dan agama.

“Umnolah bertanggungjawab menghalang usaha-usaha untuk memahamkan rakyat tentang Al-Quran dalam erti kata yang sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai contoh yang diketahui umum, iaitu usaha Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran turut mendapat halangan oleh pemimpin Umno yang memerintah negara.

Umno juga, katanya turut menghalang Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu pemerintahan PAS dulu daripada melaksanakan undang-undang Islam sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran.

Justeru, katanya seluruh umat Islam di Malaysia hendaklah sedar tentang sikap sebenar Umno yang sebenar.

Oleh kerana itulah, tegasnya menjadi suatu kewajipan kepada seluruh umat Islam bangkit bangun dari lamunan yang berusia 54 tahun itu untuk mengembalikan kedaulatan Al-Quran yang telah gagal diperjuangkan oleh Umno.

“Bagaimana Umno ingin memperjuangkan Al-Quran di atas nama nasionalisme?

“Sejak dari mula lagi asasnya pun sudah tidak betul, tak mungkin benih nasionalis dan rasis akan membuahkan Al-Quran,” ujarnya.


Qazaf: Anwar mohon lucut peguam Zainul Rijal
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan melucutkan peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili kerajaan dan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam saman qazafnya.

Pemohonan itu dibuat melalui peguam yang mewakilinya, Kamar Ainiah Kamaruzaman di Mahakamah Syariah pagi tadi.

Zainul adalah peguam mewakili tiga pihak yang disaman Anwar kerana didakwa mempengaruhi keputusan keengganan Jawi meneruskan tuntutan qazaf Anwar Ibrahim ke atas pengadu kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sedang berlangsung.

Ketiga-tiga pihak tersebut adalah ketua jabatan pendakwaan JAWI, Shamsuddin Hussain, pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful didakwa mengikut qazaf.

Dengan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan Shamsuddin mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf.

Kes yang difailkan pada 2008 itu kini menjangkau lebih daripada tiga tahun tertangguh.

Dalam reaksinya, Anwar yang turut hadir di mahkamah bersama isteri hari ini berkata, campurtangan politik dalam urustadbir mahkamah Syariah merupakan faktor utama kes itu tertangguh.

Malah menurutnya, Zainul dilihat seolah-olah menjadi agen menghalang perlaksanaan Mahkamah Syariah dengan memberi alasan teknikal melibatkan Mahkamah sivil.

"Kita bangkit ialah menuntut supaya prosiding mahkamah syariah berjalan. Itu yang paling penting. Berulang kali diminta untuk dimulakan (prosiding). Tiga tahun belum mula kes dan orang yang pergi ke Suhakam termasuk Persatuan Peguam Muslim ini tidak peduli mahkamah Syariah. Dia guna tiket persatuan.

"Jadi mereka bercakap tentang keperluan menghormati Islam dan mahkamah syariah tapi mereka mengabaikan proses (Syariah) kerana alasan politik. Ia adalah arahan jelas daripada ketua politik. Dalam kes ini apa yang paling buruk adalah penyalahgunaan wang zakat," kata beliau kepada pemberita.

Zainul yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim pernah dikaitkan dengan pembayaran yuran guaman menggunakan wang zakat.

Malah perkara tersebut turut diakui oleh Timbalan Menteri pada sidang Parlimen Jun lalu.

Sementara itu, peguam Kamar Ainiah berkata tuntutan tersebut berpatutan memandangkan beberapa kenyataan Zainul kepada media sebelum ini didakwa telah menjejaskan kewibawaan dan sistem Mahkamah Syariah selain berlawanan dengan etika peguam syarie.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan Zainul tidak profesional selain wujudnya konflik berkepentingan terhadap responden.

“Zainul bertindak secara tidak profesional, tidak jujur dan berniat jahat serta bercanggah dengan menegakkan keadilan, dan melanggar kod etika peguam syarie.

"Saya tidak dapat memberitahu butiran terperinci kerana saya kena sampaikan dulu permohonan tersebut tapi antaranya beliau telah melanggar etika peguam syarie dalam perwakilan di mahkamah syariah," katanya.

Zunar terus dapat pengiktirafan antarabangsa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Kartunis Zunar telah diberi penghargaan dengan dipilih sebagai salah seorang Artists-in-Residence 2011 dalam program “Art and Censorship” (Seni dan Penapisan) anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK, iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.

Menurutnya, BilbaoArte menganjurkan program tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuangkan dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapiasan/tekanan pihak berkuasa.

Katanya, seramai 20 artis dari seluruh dunia yang merupakan pelukis, pengukir dan pencipta hasil seni yang lain dipilih untuk menyertai program ini bagi tahun ini.

“BilbaoArte BilbaoArte menyediakan geran khas kepada artis untuk mengusahakan projek khas dalam tempoh itu, dan saya memilih politik Malaysia sebagai subjek.

“Dengan menyertai program ini saya akan berada di Sepanyol dari awal Oktober hingga akhir Disember tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau juga akan mengambil bahagian dalam VI Festival Against Censorship (Festival Melawan Penapisan ke V1) yang akan diadakan dari 7 hingga 15 November juga di Bilbao.

Festival itu, ujarnya menampilkan karya-karya seni penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, pengarah filem dari seluruh dunia yang ditapis/diharamkan.

Beliau akan mempamerkan 70 karya-karya kartun editorial yang pernah dihasilkan.

“Saya juga merasa bangga kerana diberi penghormatan untuk mencipta dan mereka bentuk poster untuk festival tersebut bagi tahun ini,” katanya yang mempunyai nama sebenar Zulkiflee Anawar Ulhaque.

Menurutnya lagi, pemilihan sebagai Artists-in-Residence oleh BilbaoArte-Producciones Serrano ini bukan sahaja merupakan satu pengiktirafan kepada karya-karya kartunnya, malah merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia.

“Pengktirafan ini memberi kekuatan baru untuk saya menghasilkan karya-karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan oleh pemerintah di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menambah, ia juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan Malaysia menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap beliau dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada peminat, penyokong, pembaca, teman-teman dan semua pihak sentiasa memberi sokongan sehingga membolehkan saya mencapai ke tahap ini.


Tiada ulasan: