Jumaat, 19 Ogos 2011

SEBAHAGIAN MENGAJAK MENTAATI ALLAH...DENGAR DAN PATUH...SEBAHAGIAN DENGAN CARANYA...MEMBELAKANG UNDANG2 SERTA HUKUM ALLAH.MENGAKU BENAR..RAKYAT TAHU

JK Khas Parlimen: PAS buat cadangan balas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) membuat cadangan balas agar Jawatankuasa Khas Pilihanraya dibentuk bagi mengkaji sistem pilihan raya negara agar ia diterima dan diyakini oleh rakyat.

Cadangan ini dibuat beliau untuk memberikan keyakinan kepada rakyat berbanding Jawatankuasa Khas Parlimen yang dicadangkan oleh kerajaan sekarang untuk membaikpulih sistem pilihanraya yang ada yang dianggap tidak bersih dan adil.

“Bayangkan lebih separuh daripada anggota dan ketua jawatankuasa ini terdiri daripada manusia-manusia yang merasakan sistem pilihanraya negara ini selama 54 tahun yang lepas adalah bersih, adil dan bebas, apa yang boleh rakyat harapkan daripada jawatankuasa khas ini?”

Tuan Ibrahim membuat cadangan ini sebagai reaksi terhadap pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya akan diketuai oleh seorang menteri, lima ahli parlimen BN, tiga dari PR dan seorang ahli bebas.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa tidak dinafikan rata-rata rakyat harapkan jawatankuasa ini akan berjaya mengemukakan satu cadangan konkrit bagi membentuk satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil, tapi sebelum itu jawatankuasa ini mestilah ditubuhkan secara seimbang dan adil supaya tidak didominasi mana-mana pihak, pihak pemerintah mahupun pembangkang.

“Tanpa penglibatan secara terus Bersih 2.0, ia berupa penghinaan terbaru Nazri terhadap Bersih 2.0, apabila beliau menyoal secara angkuh, “Siapa Bersih?” – susah untuk rakyat untuk menerima bahawa penubuhan jawatankuasa ini sebagai satu tindakan ikhlas daripada Barisan Nasional untuk memulihkan semula sistem pilihanraya negara yang tempang ini

"Sebab itulah, satu perubahan terhadap penubuhan jawatankuasa khas parlimen ini harus dibuat agar semua pihak boleh berpuas hati dengan keputusan kajiannya nanti,” kata beliau.

Oleh sedemikian, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mencadangkan agar jawatankuasa khas parlimen ini diubah dan dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya bagi memberi ruang keanggotaannya lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.

“Dicadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini bukanlah berbentuk jawatankuasa khas parlimen, kerana dalam bentuk ini, ianya akan menyekat keanggotaan pihak lain, seperti Bersih 2.0 dan rakyat biasa yang juga penting dalam proses pembaikan ini,” terang beliau.

Dengan melebarkan sayap jawatankuasa ini, kata beliau, maka keanggotaannya lebih terbuka bukan hanya kepada parti- parti politik bahkan ianya boleh disertai bersama oleh badan-badan NGO, Majlis Peguam, dan beberapa individu yang mewakili rakyat biasa yang difikirkan sesuai dan layak.

“Perkara yang paling penting dalam penubuhan jawatankuasa khas ini ialah badan ini mestilah diyakini mampu membuat perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil. Sekiranya ia gagal meyakinkan masyarakat, maka ianya tiada makna ditubuhkan jawatankuasa sedemikian,” tegas beliau.

Di samping itu, Tuan Ibrahim juga mencadangkan agar keanggotaan jawatankuasa ini dirombak menjadi 12 orang, dengan 3 ahli parti pemerintah, 3 ahli daripada pembangkang, 3 ahli NGO, satu wakil SPR dan satu wakil JPN dan pengerusi yang dilantik oleh jawatankuasa terbabit mestilah seseorang yang diterima baik dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai seorang yang adil dan tegas dalam isu reformasi pilihanraya, seperti wakil dari Bersih 2.0 dan juga Suhakam.

“Jawatankuasa ini mestilah diberi tempoh segera, sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan bagi menyiapkan cadangan untuk dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen. Fokus utama jawatankuasa ini ialah mewujudkan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di negara ini,” tambah beliau.

Menyatakan bahawa kredibiliti SPR dan JPN kini berada pada tahap yang amat meragukan dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sebagai menghormati hak pengundi-pengundi yang berdaulat, Tuan Ibrahim berkata sepatutnya pilihanraya umum tidak perlu dilaksanakan selagi penambahbaikan sistem pilihanraya ini belum dipulihkan.


Tindakan ganas Syria terhadap rakyat dikecam
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Kerajaan Syria di bawah pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dituntut agar melaksanakan perubahan-perubahan demokratik yang bermakna dan menghentikan tindakan keras terhadap pihak yang menuntut perubahan di negara itu.

Di antara perubahan yang dituntut oleh rakyat Syria ialah kebebasan berpolitik, bersuara dan memilih pemimpin sama ada melalui pilihanraya demokrasi atau berperlembagaan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan, Syria telah dikuasai oeh satu keluarga dan satu parti sejak 40 tahun lalu dan kini sudah tiba masanya perubahan struktur pemerintahan dan budaya politik baru diperkenalkan di Syria, sesuai dengan semangat zaman ini yang menuntut perubahan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyertai masyarakat antarabangsa mengecam keganasan pasukan keselamatan Syria terhadap orang awam dan rakyat yang sedang menuntut perubahan demokratik di negara itu.

Menurut beliau, tindakan Kerajaan Syria melalui pasukan tentera yang telah membunuh rakyatnya secara rambang bagi mempertahankan kerajaan sedia ada dengan cara yang tidak munasabah amat dikesali.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat dilaporkan, tentera Syria telah bertindak ganas seperti menggunakan kereta kebal dan senjata berat menyerang tempat-tempat awam seperti masjid, sekolah, pejabat serta kawasan perniagaan.

"Tindakan terdesak Kerajaan Syria yang sanggup menyerang masjid-masjid di Damsyik sangat mendukacitakan umat Islam di seluruh dunia," katanya seperti yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada kedutaan Syria, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menerusi memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Pusat juga menuntut masyarakat dunia agar menyedari kepentingan politik kuasa-kuasa tertentu yang kelihatan mahu melemahkan Syria disebabkan peranannya sebagai penyokong gerakan-gerakan Islam yang dimusuhi Zionis.

Dunia Islam digesa mengambil sikap sewajarnya dalam hal ini dan tidak bertindak secara terpilih, setelah dunia dipertontonkan sikap 'double standard' pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani permasalahan yang mengaitkan kumpulan-kumpulan Islam dengan perkara yang ekstrem dan ganas.

Dewan Pemuda PAS berharap agar Syria tidak dijadikan Libya kedua yang ditangani secara keras dan bertentangan dengan norma-norma antarabangsa di sebabkan kepentingan politik kuasa-kuasa besar yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu dalam hala tuju demokrasi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas solat Jumaat dan diterima oleh pegawai bahagian pentadbiran kedutaan Syria, Latt Zaifizzul Mansor untuk dipanjangkan kepada duta Syria di Malaysia.

Selain Raja Ahmad dan Nik Abduh, antara kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat lain yang turut hadir termasuk Redzuan Mohd Noor, bersama beberapa orang kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan yang antara lain termasuklah Ketua Penerangannya, Mohd Nasaie Ismail.

Sebelum itu, mereka bersama puluhan orang pemuda PAS telah mengadakan perarakan dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Syria untuk menyerahkan memorandum tersebut sebaik sahaja selesai solat Jumaat.


PMIUM, PMIUPM lancar tabung Somalia
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) hari ini melancarkan Tabung Mahasiswa Untuk Somalia bagi membantu rakyat Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran akibat musim kemarau berpanjangan.

Menurut Presiden PMIUM, Muhammad Safwan Anang @ Talib, bantuan tersebut perlu disegerakan kerana kes kematian rakyat Somalia khususnya kanak-kanak berlaku selain memerlukan keperluan-keperluan lain termasuk bekalan air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal yang memadai.

Bagi mencapai matlamat itu, PMIUM dan PMIUPM bersama-sama beberapa kumpulan mahasiswa lagi akan turun ke kawasan-kawasan umum di ibu negara untuk mengutip derma tersebut.

"Kami akan turun ke kawasan umum antaranya kawasan sekitar hentian bas, teksi dan LRT di sekitar bandaraya Kuala Lumpur seperti di Masjid Jamek, Pasar Seni, Kuala Lumpur Sentral, Hentian Puduraya dan begitu juga di kawasan-kawasan kemudahan awam yang lain. Kawasan kampus tidak menjadi tumpuan memandangkan sekarang kebanyakan IPTA masih lagi dalam fasa cuti semester dan akan kembali ke kampus bulan September nanti," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM10,000 dan kutipan akan terus berjalan sepanjang Ramadhan dan dijangka akan diteruskan pada bulan Syawal sehinggalah mencapai sasaran.

"Fokus utama kami di peringkat mahasiswa adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada rakyat Somalia. Kami sasarkan kuitipan akan mencecah RM10 000 dan kutipan ini akan terus berjalan sepanjang Ramadhan ini. Walaubagaimanapun kutipan derma Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ini akan diteruskan juga di bulan Syawal nanti dan lainnya sehinggalah mencapai sasaran yang kita letakkan.," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyambut baik usaha-usaha daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama melancarkan kutipan derma di seluruh negara yang menampakkan sikap cakna dan menunjukkan betapa prihatinnya rakyat Malaysia mengenai isu sejagat ini.

Antara kumpulan yang terlibat dalam usaha ini ialah Pro-Mahasiswa UM dan UPM, Team Elit Muslim dan Briged Putra Nasional.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih dua juta pelarian Somalia yang majoritinya beragama Islam kekurangan zat dan terdedah kepada penyakit berjangkit serta kematian pada Ramadan ini.

Daftar pemilih: 5 lagi nama untuk dijejak Sinar Harian
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Ekoran Sinar Harian berjaya menjejaki En Azhar Bin Ahmad, Pn Besah Binti Mat dan En Mansor Bin Ahmad dan mengesahkan kesahihan kad pengenalan masing-masing, Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mendedahkan lima lagi nama "jarang didengar".

Tindakan akhbar itu juga telah berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk terus bersama Pemuda PAS membongkar ruang-ruang manipulasi dalam pilihanraya di negara kita.

Sambil mengucapkan terima kasih atas usaha murni akhbar bahasa Melayu itu, Exco dewan itu Suhaizan Kaiat mahu akhbar itu menjejaki lima lagi nama yang didakwa mempunyai klon kad pengenalan.

Lima nama yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Jumaayah Bin Alus
No MyKad (pertama): 511122105834
No MyKad (kedua): 511122105754
Kedua-duanya dibezakan pada digit ke-10 dan ke-11.

2. Sainam Binti Tukisan
No MyKad (pertama): 500307105490
No MyKad (kedua): 500307105474
Kedua-duanya di bezakan pada digit ke 11 dan 12 sahaja.

3. Katimah Binti Kadni
No MyKad (pertama): 500808015282
No MyKad (kedua): 500808015290
Kedua-duanya dibezakan oleh digit ke-11 dan ke-12

4. Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi (Pengundi Pos)
No Tentera (pertama): T373594
No Tentera (kedua): T375594
Kedua-dua nombor tentera ini dibezakan pada digit ke-4 sahaja.

5. Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir (Pengundi Pos)
No Tentera (pertama): RF107781
No Tentera (kedua): RF107881
Kedua-dua nombor keanggotaan ini dibezakan pada digit ke-6.

"Oleh itu saya mohon kepada Pihak Sinar Harian dan mana-mana pihak agar membuat semakkan terhadap data tersebut," kata Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat.

Mengulas kenyataan salah seorang Besah yang dipetik akhbar itu sebagai berkata bahawa beliau kesal dengan fitnah PAS yang menuduhnya mengundi dua kali, Suhaizan berkata tidak timbul soal tuduh-menuduh itu.

Ia kerana pihak mereka sedang membuat kajian terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR seperti yang pernah di sebut oleh Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad bin Wan Omar pada 24hb Julai 2011 dalam akhbar The Star.

"Pemuda PAS tetap yakin bahawa pengundi hantu atau pengundi klon benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR. Enam data yang saya keluarkan hanyalah 6 daripada ribuan data yang dimiliki oleh Dewan Pemuda PAS.

"Kajian tahap satu telah pemuda PAS lakanakan dengan menggunakan nama yang biasa dimiliki oleh rakyat Malaysia. Maka langkah seterusnya adalah PemudaPAS mahu mengeluarkan enam data bagi nama-nama yang jarang dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya merujuk kepada nama-nama seperti telah dinyatakan di atas.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada En Azhar Bin Ahmad, Pn Besah Binti Mat dan En Mansor Bin Ahmad yang telah mengesahkan kesahihan kad pengenalan masing-masing.


Panas : Kutuk Anwar Ibrahim ialah subjek terbaru di universiti!
amenoworld
WOW..
Universiti sekarang memang berbeza dari universiti dulu ye? Adakah perkara di bawah neh ialah subjek terbaru kolej / universiti kita ?
1. Teoh beng hock <-- Belajar cara terjun bangunan ka?

2. Kugen dan aminurasyid <-- belajar cara mengelak dari kena bunuh dengan polis ka?

3. Altantuya <-- belajar cara mengelak bom ka?

4. Kes liwat dsai <-- belajar cara menfitnah dengan budak pondan ka?

5. Seks dsai <-- belajar cara buat video seks ka?

5. Interlok <-- belajar kutuk bangsa orang lain ka?

6. ISA <-- belajar ugut orang ka?

7. Bersih <-- belajar cara mengharamkan demokrasi ka?
Lihat gambar di bawah neh ;

Kisah nya begini. Pada hari ahad yang lepas berlaku satu ceramah tentang keselamatan dalam negara oleh superitendant polis kedah. Sesi ceramah yang konon nya berkaitan pasal soal keselamatan dalam negara menjadikan 7 subjek di atas daripada sub topic yang dibincangkan kepada budak2 muda yang berusia 19 hingga ke 20 an.
Dalam sesi "perbincangan" tue jelas wujud unsur2 brainswashing minda budak2 neh agar menyebelahi pihak polis + kerajaan + pihak penguatkuasa kerajaan. Pihak yang memberikan ceramah [andai boleh di anggap sebagai "ceramah" disini] ialah terdiri daripada dua individu iaitu ;
Superintendendent mohd yusri bin mohd yunus yang juga pegawai turus ancaman sosial pdrm cawangan khas kedah. <-- Siap tayang video sumpah laknat sekali tue.. woitt apa kena mengena isu kes mahkamah anwar ibrahim dengan budak2 yang baru masuk kolej neh hah?
Ybhg dato' wira othman abdul yang naib presiden mubarak malaysia. <-- dia kutuk2 pas dan bersih dalam sesi orentasi tue. Wooorr kutuk2 pas yer? Perang raih sokongan dalam universiti ka? Adil ka buat macam neh? Pakatan pun nak buat juga laa.. boleh lah yerk? Baru lah adil kan..?
Untuk rekod korang sesi ceramah pasal isu keselamatan negara neh dibuat untuk budak2 dari kolej perubatan yang aku takmo dedahkan dari mana. Budak2 yang baru masuk kolej. Lebih kurang macam sesi orentasi lah. Itu sebab dorang kena jejak ceramah neh. Benda neh dibuat di dalam salah satu universiti tempatan.
Bayangkan yerk, neh yang kita tahu. Yang kita taktahu mungkin ada banyak lagi. Mereka masuk ke kolej demi kolej, universiti demi universiti untuk brainwash minda budak2 neh agar membenci pakatan rakyat. Tapi dalam masa yang sama dorang gak pongpang2 agar jangan babitkan dan dedahkan bebudak neh denga politik. Dah tue apa pula yang dorang neh buat? Kalau bukan politik nak panggil apa pula?
Kalau rasa dah hebat dan betul sangat, kita deal aje depan2. Kutuk aje depan2. Aku teringin sangat nak tengok apa benda yang dorang bebelkan dalam sesi orentasi neh. Kalau ada di antara korang yang pernah pergi ke sesi cuci minda macam neh dan ada rakaman, minta diberikan kepada aku. Nak gak aku tahu apa yang dorang cuak sangat sampai beria2 masuk universiti sekarang neh untuk cari undi dan sokongan orang muda agar memihak mereka.
Ameno : Ini terdesak gila neh.. siyes. Betul2 terdesak giler.

Source: http://amenoworld.blogspot.com/2011/07/kutuk-anwar-ibrahim-ialah-subjek.html


Isu FBC Media: Penyelewengan wang rakyat untuk politik
Ooi Heng & KPRU
Baru-baru ini, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori SarawakReport menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat (baca: pembayar cukai) sebanyak RM57.68 juta dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah. Terdapat kemusykilan berkaitan wang rakyat dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk kepentingan politik tetapi bertopengkan nama ‘negara’.

Walaupun defisit fiskal negara kekal tinggi sejak pasca krisis kewangan 1997/98 sehingga hari ini, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berbicara mengenai keazaman kerajaan untuk mengurangkan deficsit fiskal, tetapi pendedahan demi pendedahan kes-kes tertentu masih menunjukkan bahawa kerajaan hari ini terlibat dengan pembaziran atau dakwaan penyelewengan wang rakyat untuk projek-projek yang tidak diketahui butirannya. Semuanya kononnya atas nama kepentingan negara atau pembangunan negara.

Dalam pendedahan baru-baru ini, kerajaan didakwa ‘mendahulukan rakyat’ dengan membelanjakan wang rakyat dalam kempen publisiti politik kotor. Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian,SarawakReport telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.

Kajian yang dijalankan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, terdapat sekurang-kurangnya tiga peruntukan Belanjawan Negara yang melibatkan projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ atau FBC Media. ketiga-tiga peruntukan tersebut didapati termaktub dalam Maksud B.6 yang merujuk kepada perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang menarik perhatian adalah, ketiga-tiga peruntukan tersebut bukan termaktub dalam belanjawan tahunan negara atau Akta Perbekalan tetapi termaktub dalam belanjawan tambahan atau Akta Perbekalan Tambahan.

Dengan kata lain, ketiga-tiga peruntukan tersebut termaktub dalam Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009, Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010 dan Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010. Maksud-maksud berkaitan berbunyi seperti berikut:

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2009

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM29,337,650 adalah untuk kos perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limitedbagi melaksanakan projek Global Strategic Communications tahun 2008.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2010

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM28,350,000 untuk membiayai kos perjanjian pelaksanaan projek Global Strategic Communications Campaign antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi tahun 2009.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2010) 2010

Maksud B.06 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM42,000,000 adalah dikehendaki untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Merujuk kepada kertas perintah berkenaan dengan Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009 dan Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010, RM57.68 juta telah dibayar oleh JPM antara tahun 2008 hingga 2009 kepada FBC Mediauntuk menjalankan projek ‘Global Strategic Communications Campaign’. RM29,337,650 telah dibayar pada tahun 2008 dan RM28,350,000 telah dibayar pada tahun 2009.

Merujuk kepada Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010, timbul kemusykilan berhubung kaitan antara FBC Mediadengan peruntukan sebanyak RM42,000,000 untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Ketiga-tiga kertas perintah Akta Perbekalan Tambahan di atas jelas menunjukkan jumlah perbelanjaan yang telah dipergunakan oleh pemimpin kerajaan. Projek yang melibatkan dana sebesar ini sememangnya memerlukan semakan atas prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih terbuka. Sehingga kini, kita tidak jelas akan perbelanjaan sebenar dan aktiviti yang dijalankan di bawah projek tersebut. Selanjutnya, sebuah firma komunikasi awam dan hal ehwal strategi di Amerika Syarikat, APCO Worldwide telah didedahkan berkhidmat kepada FBC Media dengan bayaran $70,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu untuk menjalankan kempen melobi di Amerika Syarikat bagi Kerajaan Malaysia.

Dengan yuran sebesar USD70,000 itu, antara perkhidmatan yang diberikan kononnya untuk mendukung dan mengangkat kempen Kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, pro-reformdan juga beberapa syor untuk menangani aktiviti pencegahan keganasan. Apakah serangan peribadi terhadap pemimpin politik negara ini juga dianggap sebagai ‘menangani aktiviti pencegahan keganasan’?

Tambahan lagi, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga didedahkan membayar FBC Mediasebanyak RM15 juta setahun untuk menjalankan kempen media secara haram memandangkan beliau sedang mengalami krisis publisiti berhubung tuduhan rasuah. SarawakReport mempunyai maklumat eksklusif yang dipersetujui antara FBC Media dan Taib Mahmud.

Dalam surat kepada Ketua Menteri pada bulan Januari, Pengerusi FBC Media, Alan Friedman, berikrar untuk berusaha menangkis ‘persepsi negatif dan kepalsuan’ yang telah merebak tidak adil mengenai perkara-perkara alam sekitar seperti Empangan Bakun, perlombongan kayu, kelapa sawit dan juga akan menentang tuduhan-tuduhan rasuah mengenai Taib Mahmud.

FBC Media kemudian akan ‘melantun kembali’ maklumat tersebut ke dalam akhbar Sarawak, pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus membawa hasil yang positif untuk rakyat Sarawak. Lantaran itu, pelbagai persoalan timbul terutamanya isu bagaimana wang rakyat telah diselewengkan untuk membaiki reputasi diri pemimpin politik atas nama ‘negara’.

Menurut laporan The Malaysian Insider pada 12 Ogos 2011 , Kerajaan Malaysia telah menamatkan kontrak denganFBC Media selepas pendedahan skandal ini. The Malaysian Insider difahamkan bahawa JPM menamatkan kontrak dengan FBC Media kerana JPM telah mempunyai orang yang cukup untuk mengendalikan publisiti di dalam dan luar Negara. Namun demikian, KPRU tidak menganggap ini sebagai kata penutup kepada skandal tersebut. Kerajaan harus memberikan penjelasan kepada rakyat.

Masih banyak persoalan yang menanti jawapan JPM khususnya Perdana Menteri (PM) Najib. Antaranya, bilakah projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media mula dilaksanakan? Berapa lama sebenarnya tempoh kontrak perkhidmatan FBC Media? Berapakah jumlah bayaran sebenar oleh JPM kepada FBC Media?

Untuk menjelaskan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang timbul, JPM harus mengumumkan segala butiran kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, termasuk juga aktiviti yang telah dijalankan oleh APCOdalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, dan pro-reform? Setelah menggunakan perkhidmatan FBC Media, sejauh mana persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia telah diperbaiki? Contohnya, apakah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia ekoran kes kematian Altantuya?

FBC Media juga didapati berhubung dengan sepasukan blogger yang dipimpin oleh Josh Trevino, kononnya menjalankan kempen publisiti untuk Kerajaan Malaysia tetapi melakukan fitnah dan serangan peribadi terhadap musuh politik rejim pemerintah di Malaysia (baca: UMNO-Barisan Nasional (BN)). Laman web bernama New Ledger di bawah penyeliaan Josh Trevino, terdapat anggotanya, Rachel Motte, Christopher Badeaux, Leon Wolf dan Brad Jackson yang ditugaskan menulis artikel fitnah dalam blog. Mereka adalah golongan yang tidak berprofil di Amerika Syarikat dan bukan kepakaran yang diiktiraf di Malaysia.

New Ledger cuba untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Amerika Syarikat. Tambahan pula, dengan mengeksploitasi prejudis dan kejahilan di Amerika Syarikat, agenda yang jelas dan sengaja telah mewujudkan ketakutan dan kebencian terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

SarawakReport telah mendapat laporan daripada orang-orang yang dekat dengan BN bahawa Josh Trevino telah ditauliahkan untuk menjalankan operasi blog yang dinyatakan dalam kontrak Media FBC dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Ini terus disokong dengan bukti daripada gambar secara online. Josh telah menunjukkan kepada dunia bagaimana beliau dan Alan Friedman dan rakan sekerja FBC, Emily Lightfoot telah berkumpul bersama-sama di Putrajaya pada bulan Jun 2008. Juga terdapat banyak bukti bahawa Josh Trevino berhubungan rapat dengan Presiden FBC Media, John Defterios.

Berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia membayar penulis-penulis blog ini melalui FBC Media yang berhubungan dengan Josh Trevino. Josh Trevino tidak lama dahulu telah menawarkan semua perbelanjaan dibayar bagi penulis blog rakan-rakannya ke Malaysia sebagai pulangan terhadap penulisan dalam blog mereka.

Skandal ini juga mempunyai kaitan dengan beberapa rangkaian penyiaran yang paling berprestij di dunia, termasuk CNBC, CNN, dan BBC World yang disokong oleh kerajaan British. Stesen-stesen tersebut telah menjalankan program-program yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada FBC Media. Selepas pendedahan oleh SarawakReport bagi kempen ‘haram’ (illegal) antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, CNBC dan BBC World telah membatalkan program FBC Media dan mengadakan penyiasatan tentang insiden ini.

Menurut undang-undang penyiaran, syarikat penyiaran seperti CNBC dan BBC harus bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa perlesenan penyiaran tentang kandungan program mereka. Justeru, bagaimana mereka boleh membenarkan program yang bersifat ‘haram’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media ditayangkan sekian lama ini? CNBC juga dipersoalkan untuk memberi kenyataan kepada awam bahawa siapa yang mentauliahkan program ‘World Business’ daripada FBC Media?

CNN adalah satu lagi syarikat yang mempunyai banyak rangkaian hubungan dengan FBC Media. CNN telah menyatakan bahawa tidak ada kandungan yang songsang etika dalam pengaturcaraan mereka. Tiada kontrak antara CNN dengan FBC Media untuk menjalankan apa-apa kandungan editorial yang berkaitan dengan Malaysia. John Defterios adalah pengurus yang mengendalikan kebanyakan program perniagaan CNN.

Peranan John Defterios amat dicurigakan, beliau juga merupakan Presiden FBC Media yang menyelia pengaturcaraan. Beliau dikatakan telah memutuskan hubungan dengan FBC Media dan bekerja sepenuh masa di CNN. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang yakin menunjukkan John Defterios memutuskan hubungan dengan FBC. Sebaliknya, beliau terus diiklankan di laman web mereka sebagai Presiden Kumpulan dan menyelia semua operasi dan beliau terus didaftarkan sebagai pengarah dan pemegang saham kedua-dua FBC Media dan syarikat induk FBC di UK. Tambahan pula, isterinya, Manuela Mirkos, kekal sebagai ahli sepenuh masa dalam syarikat itu. Terdapat dakwaan bahawa John Defterios merupakan orang yang dibayar oleh tokoh politik Malaysia dalam menjalankan program publisti ‘haram’ dalam CNN.

Kata tutupnya, KPRU berharap, JPM khususnya PM Najib tidak lagi senyap atau cuba mengetepikan isu ini. Beliau wajar memberi respons berhubung persoalan bagaimana wang rakyat dibelanjakan dalam perkara di atas. Bukankah respons PM adalah begitu penting dalam isu ini ekoran liputan luas oleh media antarabangsa berkenaan isu ini?

JK Parlimen: Pakatan tidak diajak berunding
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Pakatan Rakyat tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Beliau berkata, kenyataan itu hanyalah untuk menutup kesilapan mereka tidak memanggil Pakatan Rakyat untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

"Perkara yang paling penting untuk diingatkan ialah kita (Pakatan Rakyat) langsung tidak dirundingkan dalam penubuhan Jawatankuaasa Khas Terpilih Parlimen ini dan kita rasa bahawa kita mungkin boleh bersetuju dan mungkin tidak bersetuju untuk menyertai jawatankuasa khas ini.

"Macammana mereka kata kita bersangka buruk sedangkan kita bersedia untuk bekerjasama dan menyertai jawatankuasa Parlimen ini jika kita dipanggil untuk merundingkan perkara ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Muhyiddin semalam meminta Pakatan Rakyat menggunakan kesempatan berkenaan sebagai medium untuk mengemukakan sebarang isu yang dibangkitkan sebelum ini bagi menambah baik sistem sedia ada.

Namun sambil menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai 'penghias jendela' sahaja, Salahuddin juga berkata, jawatankuasa tersebut tidak mungkin mencapai matlamat iaitu melakukan perubahan dalam sistem pilihan raya sekiranya ia dibincangkan satu hala sahaja dan pengerusinya akan terdiri daripada pihak kerajaan sendiri.

"Apabila mereka hanya menggunakan pendekatan sehala sahaja tanpa berunding tentang penubuhan ini, apa maknanya pembaharuan pilihan raya yang mereka nak buat sedangkan tidak mungkin jawatankuasa ini akan mencapai matlamat sekiranya pengerusinya sudah pasti seorang menteri dan mereka majoriti dalam jawatankuasa ini.

"Ini hanya penghias jendela sahaja dan ini membuktikan kerajaan tidak serius menangani isu yang kita tuntut dan jawatankuasa ini sekadar melepaskan batuk di tangga dan untuk mengalih pandangan daripada isu sebenar," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bincang sertai atau tidak

Sehubungan itu beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan samaada akan menerima atau menolak jawatankuasa tersebut.

"Pakatan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan bersetuju atau tidak untuk menyertai jawatankuasa ini.

"Tapi kalau beginilah caranya kita kecewa dengan kerajaan," katanya.

Kabinet semalam memutuskan Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan dianggotai sembilan ahli Parlimen.

Mereka terdiri daripada lima wakil BN, tiga Pakatan Rakyat dan seorang ahli Parlimen Bebas.

Usul bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Oktober ini.


Kembalikan Kelab Lumba Kuda kepada rekreasi
S. M. Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri mengembalikan semula tanah Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang daripada status ‘Pembangunan Bercampur’ pada masa kini kepada status asal untuk ‘Rekreasi’ supaya tidak kehilangan tujuan tanah ini yang diberikan oleh kerajaan kepada Kelab Lumba Kuda pada harga nominal untuk menyediakan kepada orang ramai rekreasi melalui lumba kuda.

CAP juga bimbang mengenai aliran pembangunan di Pulau Pinang yang amat sedikit atau tidak memberikan perhatian terhadap kesan yang ditinggalkan ke atas alam sekitar. Inilah masanya kita melihat cara untuk memelihara warisan semula jadi dan kawasan hijau kita.

Dalam usaha untuk mencapai pelaburan yang tinggi di Pulau Pinang, projek pembangunan begitu pesat dengan pertimbangan yang sedikit bagi pemeliharaan alam sekitar dan warisan tempatan. Salah satu daripada projek itu ialah pembangunan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang oleh Berjaya Land Bhd. (Bland).

Projek perumahan yang dicadangkan di atas tanah utama pegangan bebas seluas 22.8 hektar amat mengejutkan memandangkan pencinta kawasan hijau hanya baharu merasa lega di atas penolakan cadangan pembangunan Penang Global City Centre (PGCC) di tapak yang sama pada
2008.

Memandangkan Pulau Pinang sedang bergerak ke arah memenuhi tuntutan peningkatan penduduk dan pelaburan yang tinggi, amat dikesalkan sekali apabila kawasan seperti Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang ditawarkan untuk digunakan. Keperluan untuk satu lagi projek perumahan di kawasan yang menjadi satu-satunya antara beberapa kawasan menarik yang masih kekal di pulau ini boleh dipersoalkan. Nasibnya tergantung oleh ancaman dan boleh dieksploitasi oleh pembangunan seperti lereng bukit Batu Ferringhi dan kawasan di hadapan laut Tanjung Tokong dan Jelutong.

Walaupun Bland menyuarakan minat untuk memajukan perumahan densiti rendah dan kondomium rendah dengan perhatian kepada landskap dan kawasan hijau, kesan sebarang bentuk pembinaan terhadap alam sekitar di sekeliling Kelab Lumba Kuda dan warisannya sejak 1864 tidak dapat dinafikan.

Daripada jumlah kawasan tanah yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli antara Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang dan Bland, kira-kira 16 hektar dipercayai kawasan berbukit. Usaha untuk memajukan tanah seperti itu melalui pemotongan bukit dan meratakannya akan hanya menyebabkan kemerosotan alam sekitar tetapi juga ancaman tanah runtuh.

Tambahan lagi, projek perumahan di kawasan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang akan meningkatkan bilangan penduduk baru di kawasan itu, membawa kepada kesesakan trafik sepanjang Jalan Scotland yang sibuk itu.

Dengan acara lumba kuda yang semakin kurang mendapat sambutan dalam dunia sukan hari ini, adalah sesuai bagi Kelab Lumba Pulau Pinang ditukarkan kepada kawasan rekreasi untuk kegunaan awam, dengan penekanan terhadap pemeliharaan alam sekitar. Adalah amat dialu- alukan usaha untuk mengembangkan Taman Belia, Kebun Bunga dan Bukit Bendera.


Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
No. 10 Jalan Masjid Negeri
11600 Pulau Pinang
Tel: 04 8299511 Faks: 04 8298109 Emel: idris_md@streamyx.com


Kelantan berjaya wujud pakej pelancongan Islam
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 19 Ogos: Perisytiharan ‘Kota Bharu Bandar Raya Islam’ diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya, demikian juga mereka boleh menerima gelaran Kelantan sebagai ‘Serambi Mekah’.

“Sesungguhnya Kota Bharu yang diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam, sehingga kini diterima masyarakat dengan baik tanpa persoalan.

“Ini kerana gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah dan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam oleh kerana kedua-duanya mempunyai keutamaan iaitu ‘keilmuan’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada Majlis Perasmian ‘Klinik Hukum’ di Qariah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, malam tadi.

Program dikendalikan Alumni Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir itu bertujuan menyediakan khidmat rundingan profesional dari aspek hukum hakam dalam pelbagai cabang kehidupan masyarakat.

Menyediakan khidmat kaunseling pelanggan serta menjadi rujukan kepada masyarakat dalam perkara yang membabitkan status hukum serta pertanyaan tentang fatwa di Malaysia di samping memberikan khidmatan bimbingan berlandaskan ketetapan syarak kepada semua lapisan masyarakat termasuk saudara baru.

Selain itu program tersebut bertujuan menonjolkan Alumni Mesir bukan saja sebagai sebuah persatuan mengumpulkan mahasiwa dan lepasan Mesir, bahkan turut menjadi institusi penyelidikan dalam bidang hukum syarie serta rujukan massa.

“Oleh itu program Klinik Hukum amat bertepatan dan penting wujud dalam masyarakat, bermula di Qariah Ramadhan mengambil berkat dari bulan Ramadhan ini,” kata Takiyuddin.

Selain itu, beliau memaklumkan Kelantan akan mewujudkan ‘pelancongan Islam’ di mana antara bentuknya ialah apabila para pelancong datang ke Kelantan dipromosikan program berbentuk keagamaan.

“Ini termasuk masjid-masjid tertentu di bandar Kota Bharu diisytiharkan sebagai ‘masjid yang ada solat Dhuha’ pada tiap-tiap minggu (seperti Jumaat dan Sabtu).

“Kini kita pilih Masjid Jam’iah di Jalan Putera Semerak, Kota Bharu dan Masjid Al-Baraah dekat Pasar Besar Siti Khadijah, diadakan program solat Dhuha.

“Dan di samping program itu, kita akan mempromosikan ‘Klinik Hukum’. Para pelancong mendapati tidak menemui program seperti itu di negeri lain kecuali Kelantan, dengan pakej pelancongan Islam.

“Inilah perbezaan Kelantan yang digelar Serambi Mekah yang mampu menyediakan persekitaran keislaman kepada seluruh manusia yang berkunjung ke negeri ini,” kata Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.


Keluarga anak yatim Kampung Chicha dapat rumah baru
Harakahdaily

KUBANG KERIAN, 19 Ogos: Setelah dua minggu bertungkus-lumus mencari dana, sekeluarga anak-anak yatim Kampung Chicha akhirnya boleh bersenyum apabila ahli parlimen mereka, Salahuddin Ayub berjaya mendapatkan dana yang cukup untuk membina semula rumah mereka yang musnah dalam satu kebakaran.

“Pada hari ini Khamis 18 Ramadhan / Ogos 2011 sebanyak RM20 ribu lagi sumbangan telah dapat disampaikan kepada anak-anak yatim ini.

(Salahudin bersama anak-anak yatim di tapak rumah baru mereka yang sedang dalam pembinaan. Salahudin berjaya mengumpulkan RM50,000 sehingga kini untuk anak-anak yatim ini)

"Kerja-kerja awal untuk membina semula rumah anak-anak yatim ini telah pun bermula dengan diseliakan oleh pihak Pas Kawasan Kubang Kerian,” kata Salahuddin dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Semenjak nasib malang anak-anak yatim Kampung Chicha dilaporkan di portal Harakahdaily dua minggu yang lepas, ramai pihak yang bersimpati telah memberikan derma untuk membantu melegakan kesusahan yang dialami oleh lima beradik yatim ini.

Setakad ini, Salahuddin telah menyerahkan RM40 ribu yang berjaya dikumpulkan kepada anak-anak yatim ini untuk mendirikan semula rumah mereka yang hangus akibat kebakaran.

“Setakad ini saya telah menyerahkan sebanyak RM40 ribu, sebagai menunaikan amanah dan tanggungjawab semua penderma yang sangat perihatin kepada nasib anak-anak yaim ini.

"Saya akan terus berusaha untuk menyempurnakan tanggungjawab ini insyaAllah. Saya telah menyampaikan juga salam semua penderma-penderma kepada anak-anak yatim ini dan mereka mendoakan agar penderma-penderma semua menerima ganjaran sewajarnya disisi Allah SWT,” kata Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS.


Video bercanggah dengan penjelasan pegawai gereja
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Satu video yang didakwa diambil semasa makan malan Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos yang lalu telah menunjukkan percanggahan dengan apa yang dinyatakan oleh para pegawai GMDU bahawa majlis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan agama.

Namun, video enam minit yang kini hangat tersebar di internet sejak awal minggu ini telah menunjukkan seorang lelaki yang mengatakan dirinya seorang umat Islam memberitahu para hadirin makan malam tersebut mengenai didikan Islam yang diterimanya dan bagaimana beliau telah tertarik kepada agama Kristian.

Di babak mula video tersebut, lelaki tersebut, yang nampak awal 40-am, menceritakan bagaimana beliau dan keluarganya dibesarkan dalam suasana keIslaman yang penuh berdisiplin, dengan menyatakan bahawa beliau disuruh melakukan banyak perkara ibadah Islam tambahan, tapi tidak memahami mengapa ia dilakukan, termaksud maksud al-Quran yang dibaca, termaksud yang sudah diterjemahkan.

“Jadi saya hanya baca (Quran) secara membuta-tuli tanpa memahami maksudnya sebenar,” video tersebut menunjukkan lelaki tersebut sedang memberikan ucapan di atas pentas, sementara pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba memasuki dewan makan tersebut.

“Adik-beradik saya dan seluruh ahli keluarga dibesarkan untuk menjadi umat Islam yang sangat berdisiplin, jadi kita lakukan semua perkara, solat sunat dan doa, puasa sunat, doa dan segala-galanya sunat [ketawa].

"OK yang mengenai keluarga saya ..” beliau teruskan, sebelum video memfokuskan kepada rundingan antara para pegawai Jais dengan pengelola makan malam tersebut di pintu masuk dewan.

“Tiada Muslim… saya tidak tahu”

Seorang wanita pula kelihatan menafikan bahawa terdapat beberapa umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam tersebut ketika disoal pegawai Jais.

“Ini function sebagai Muhibah… nyanyi-nyanyi lagu… Kita pun ada orang Muslims kerja di sini menyapu…” kata beliau.

“Bagaimana pula di dalam?” soal pegawai Jais.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa tiada umat Islam di dalam dewan. Semuanya Kristian,” jawab beliau.

“Sekiranya ada umat Islam, bagaimana? Boleh anda bagi jaminan?” soal pegawai Jais itu lagi, di mana wanita tersebut menjawab beliau bukan pengelola.

Pada masa ini, terdapat seorang wanita yang berpakaian baju kurung kuning dengan nama tag “Sophia” telah bersuara menjelaskan bahawa wanita terbabit adalah tetamu beliau, dan beliau adalah pengelola makan malam tersebut.

Para pegawai Jais turut menunjukkan beberapa keping kertas yang menunjukkan jadual majlis makan malam tersebut, dan menuntut untuk mengapa lagu ‘Alhamdulilah’ dan ‘Allahu Akbar’ disenaraikan.

Menjawab persoalan ini, Sophia menjawab bahawa dua perkataan tersebut hanya bermaksud, “Puji kepada Tuhan” dan “Tuhan maha berkuasa”.

Sebelum itu, Harapan Komuniti, sebuah organisasi amal, mendakwa bahawa majlis itu ialah 'makan malam kesyukuran' untuk meraikan golongan miskin dari semua kaum.

Presiden MAC (Majlis Aids Malaysia) Datuk Mohd Zaman Khan Rahim Khan, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah juga dipetik sebagai berkata majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti itu dianjurkan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengumpul dana bagi pertubuhan rakan MAC di premis itu.

Manakala, Jais yang kini diserang bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan kerana menyerbu majlis makan malam tersebut, tegas menafikan bahawa serbuan berlaku.

Sementara itu, usaha PAS untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada Jais dan GMDU juga tergendala apabila kedua-dua pihak meminta parti Islam tersebut untuk menangguhkan pertemuan tersebut.

GMDU telah meminta PAS untuk menangguhkan perjumpaan atas alasan liputan media yang terlalu meluas.


Tiada ulasan: