Isnin, 2 Julai 2012

BILA RAKYAT DAH BERUBAH ARAH...NI SEMUA KUASA ALLAH...YANG KEKAL KEKUASAAN ITU... HANYA ALLAH SAJA....

Imej Umno mulai merudum di bawah Dr Mahathir - Tamrin

Yaakub Dasan, 02 Jul 2012
PASIR MAS: Rakyat perlu menggunakan kuasa mereka bagi menyekat kerajaan yang boros daripada terus mentadbir negara ini, sekiranya tidak mahu negara hilang hala tuju pada masa akan datang.

Bekas anggota parlimen Batu Berndam, Datuk Tamrin Abdul Ghafar berkata, rakyat perlu bertindak bagi mengelakkan Malaysia terus hilang hala tujunya dalam menempuh masa depan yang gemilang.

“Perdana Menteri sekarang terlalu boros berbelanja tanpa memikirkan natijah buruk yang akan menimpa masa depan negara.

“Kekurangan ketelitian Datuk Seri Najib dalam perbelanjaan termasuk ketika melawat luar negara baru-baru ini menghabiskan RM850,000 dalam lawatan tiga malam di London.

“Dan RM1.6 juta ketika lawatan  ke New York selama empat  malam,” katanya di hadapan ribuan penduduk yang membanjiri padang Mini Stadium Pasir Mas di sini malam tadi.

Tamrin yang juga bekas anggota Exco Pemuda Umno Malaysia mempersoalkan apakah tidak boros namanya apabila berbelanja lebih RM2 juta dalam lawatan seminggu ke luar negara.

Beliau yang juga bekas Pengerusi MARA berkata, Perdana Menteri sekarang suka kepada promosi berlebihan sehingga ketika menunaikan ibadat umrah pun dibuat kenyataan media.

“Semasa pergi umrah Perdana Menteri membuat sidang akhbar sebanyak empat kali termasuk di Mekah dan Madinah,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa imej Umno mulai menurun semasa ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamed apabila bertindak menukar royalti petroleum kepada ihsan semasa PAS mentadbir Terengganu.

“Sejak itu Umno mula merosot dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara kehilangan RM200 juta. Namun sekarang keadaan lebih teruk lagi melibatkan Felda yang diasaskan Tun Abdul Razak Hussein,” katanya.

Sementara itu di pentas ceramah yang sama artis Abby Abadi melahirkan rasa bersyukur kepada Allah Taala kerana membuka pintu hatinya bersama dengan perjuangan Islam setelah beberapa kali berada di Tanah Suci Makkah.

Beliau juga melahirkan rasa terharu kedatangannya ke Kelantan dapat bertemu mata dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut menghargai perwatakannya sekarang.

“Salah satu sifat yang saya tertarik dengan Tok Guru bila mana ketika orang kata sebagai bapa kafir, beliau hanya menjawab ‘biarlah dia kata asalkan kita tidak,” ujarnya.

Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafie berkata, beliau meninggalkan Umno kerana bosan dengan pelbagai kemelut yang melanda parti itu sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah mencabar ahli Parliman Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bertanding tiga penjuru pada pilihan raya ke-13 atas nama bebas bagi melihat sejauh mana pengaruhnya.

“Dengan cara itu barulah beliau tahu seramai mana rakyat Pasir Mas menyokongnya,” kata beliau.

Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad mendedahkan ada pihak cuba mensabotajkan program ceramah tersebut dengan mengedarkan poster bertulis “Ceramah malam ini ditunda ke 6 Julai 2012”.

Presiden lancar buku 'Senyumlah' Tuan Ibrahim

Harakahdaily, 02 Jul 2012

TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan buku pertama Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertajuk 'Senyumlah' sempena Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri Pahang.

(Ustaz Hadi dan Tuan Ibrahim melihat banner pelancaran buku Senyumlah malam tadi)

Ia dilancarkan di hadapan puluhan ribu ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh Pahang yang berhimpun di Dataran Kerdau malam tadi.

Buku yang berupa motivasi untuk umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian bertujuan untuk memberikan panduan dalam menjalani hidup seharian mereka agar sentiasa ceria.

Buku yang asalnya berupa posting yang dibuat Tuan Ibrahim dalam facebooknya itu dijual dengan harga RM17 untuk Semenanjung dan RM20 untuk Sabah dan Sarawak.

Ia diterbitkan oleh VI Venture sebuah syarikat baru yang berpusat di Jalan USJ 11/1K, UEP Subang Jaya, Selangor. Mereka yang ingin mengedar buku ini boleh berhubung di Tel: +6019-2313658 atau
email: viventure2012@gmail.com.
Hukum hudud: Silakan Johor, kata Nik Aziz
Wartawan Sinar Harian
2 Julai 2012
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalu-alukan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar Kerajaan Johor melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, dalam isu  tersebut tidak perlu cabar-mencabar mana-mana pihak, sebaliknya pelaksanaan hukuman itu perlu diadakan demi kepentingan Islam.

“Saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati.

“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ayub membuat cadangan itu pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-12 Khamis lalu.

Ayub sebagai dipetik berkata, beliau mahu lihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan “hudud sebenar’ yang didakwa berbeza dengan hudud Pas.
Pengguna Islam digesa makan di premis pamer logo halal Jakim, Main

2 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta umat Islam makan hanya di premis yang mempamer logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (Main).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sikap ini akan memaksa pemilik premis, yang masih berdegil untuk memohon sijil halal Jakim atau Main, segera membuat permohonan serta tidak hanya memberi pelbagai alasan tidak berbuat demikian.

"Jika pengguna Islam sewenang-wenangnya mengunjungi premis makanan tanpa mengambil kira status halalnya, maka peniaga juga tidak melihat kepentingan untuk mereka mendapatkan pensijilan halal yang sah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata walaupun Jakim tidak mewajibkan semua premis makanan mendapatkan logo dan sijil halal, pengguna Islam perlu sentiasa mengambil tahu serta mengenali sijil halal yang benar-benar sah.

Laporan media hari ini menyebut masih ramai pengusaha restoran dan kedai makan gagal mempamer logo halal yang diiktiraf Jakim di premis masing-masing walaupun sudah diberi tempoh enam bulan untuk berbuat demikian.

Menurut laporan itu, antara alasan pengusaha ialah kelewatan Jakim mengeluarkan sijil halal yang dipohon.

Setiausaha Agung Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Nahar Md Nor pula berkata, pengguna Islam perlu mengubah sikap sambil lewa dalam memilih premis makanan untuk menjamu selera.

Beliau berkata umat Islam seharusnya memilih tempat yang tidak meragukan dan sentiasa memberi kerjasama seperti membuat laporan serta aduan terhadap mana-mana premis yang menggunakan logo dan sijil halal yang tidak diiktiraf.

"Kita negara Islam, jadi tidak semua perlukan sijil halal, contohnya

restoran di kampung yang memang terbukti status halalnya kerana pada kebiasaannya, ia dikendalikan oleh warga tempatan beragama Islam.

"Yang menjadi keutamaan untuk mempamer logo dan sijil halal Jakim adalah kepada premis makanan yang meragukan serta sering menjadi kunjungan umum, terutama masyarakat Islam seperti restoran mamak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, alasan sesetengah pengusaha makanan yang mempersoal kelewatan Jakim memproses permohonan sijil halal mereka adalah tidak munasabah.

"Abim menerima aduan daripada pengusaha mengatakan Jakim mengambil tempoh masa yang lama untuk mengeluarkan sijil halal, justeru pihak kami telah mengadakan pertemuan dengan Jakim dan mendapat maklum balas mereka (Jakim) telah menjalankan beberapa usaha untuk memendekkan tempoh berkenaan serta melantik ejen bertauliah yang bertindak sebagai hab halal.

"Oleh itu, isu tempoh masa tidak seharusnya timbul dan pengusaha itu sendiri perlu mengambil inisiatif untuk memohon sijil halal Jakim," katanya.

Beliau berkata, kerjasama bersepadu antara Jakim dan pihak berkuasa tempatan juga perlu bagi mengekang aktiviti penggunaan sijil palsu serta tidak diiktiraf, yang boleh mengelirukan pengguna Islam.

Sehubungan itu, katanya, Abim menyarankan supaya Jakim menghebahkan kepada umum senarai restoran yang tidak mematuhi syarat pensijilan halal Jakim sebagai pengajaran kepada pengusaha berkenaan, selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka. - Bernama
Felda bukan lagi kubu kuat BN
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
2 Julai 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
TEMERLOH - Barisan Nasional (BN) dan Umno diingatkansupaya tidak lagi menganggap tanah rancangan Felda sebagai kubu kuat merekauntuk menang dalam Pilihan Raya Umumke-13 (PRU13).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, halini berikutan di tanah rancangan itu ada generasi kedua yang mana pemikiranmereka lebih terbuka dan sambutan kepada Pas dan Pakaran Rakyat (PR) dilihatsemakin baik.

Menurutnya, potensi Pas dan PR untuk menang lebihbanyak kerusi dalam PRU nanti diihat lebih baik kerana melihat pada sokonganorang ramai yang sangat menggalakkan sekarang.

“Saya cukup gembira melihat sambutan rakyat Kedahdaam Himpunan Hijau beberapa hari lalu yang sangat menggerunkan kerana jumlahyang begitu ramai.

“Di Johor pula yang juga dikatakan kubu kuat Umnojuga mendapat sambutan yang begitu ramai termasuk di negeri Pahang ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita daam sidangakhbar selepas merasmikan majlis Himpunan Hijau Pas ke Putrajaya Ganti Umnoperingkat negeri Pahang, di Markas Pas, Kerdau dekat sini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Lebih 30,000 ahli Pas seluruh Pahang membanjiriTapak Markas Pas itu bagi memberi sokongan penuh menjayakan Himpunan Hijau Paske Putrajaya Ganti Umno peringkat negeri Pahang.

Hadi berkata, di Terengganu pula, majlis HimpunanHijau itu turut disertai 7,000 konvoi bermotosikal yang mana mendapat kerjasama baik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, pihak PDRM menjalankan tugas merekasebaik mungkin dan tidak ada sebarang masalah yang timbul  kerana mereka menjalakan tanggungjawab sebaikmungkin tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi gembira keranapenerimaan Pas kini sudah diterima masyarakat dalam pelbagai latar belakang dankerjaya.

“Kita lihat ramai kalangan profesional, kakitanganawam dan artis sudah mula menyertai dan bersama-sama Pas. Bagi golongan artis,mereka mempunyai peminat tersendiri dan itu merupakan salah satu faktor yangboleh menarik lebih ramai peminat mereka untuk sama-sama menyertai perjuanganPas,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Hadi turut merasmikan majlispelancaran buku berjudul ‘Senyumlah’.
Pas: Peneroka umpama bom jangka
M FEISAL NORAWI
2 Julai 2012
Pas: Peneroka umpama bom jangka
Tuan Ibrahim bersama Bendahari Pas Pahang, Musanif; Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal Timbalan Pesuruhjaya, Yusof Embong dan Ketua Pemuda Pas Pusat Nasharuddin Hassan .
TEMERLOH – Pas Pahang menganggap peneroka di negeri ini yang memendam rasa kecewa kepada kerajaan umpama ‘bom jangka’ yang akan meletup pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ramai peneroka kecewa apabila saham ditawarkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada mereka hanya 800 unit yang sepatutnya lebih daripada itu.

Bagaimanapun beliau tetap berpendirian penyenaraian tersebut satu risiko besar yang perlu ditanggung peneroka jika ia mengalami kerugian.

“Kita percaya ramai peneroka yang tidak yakin dengan penyenaraian ini akan bertindak menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita anggap ia umpama bom jangka, kerana kerajaan menganggap peneroka sebagai penyelamat mereka tetapi akan berlaku sebaliknya,” katanya sewaktu ditemui pada Himpunan Hijau Pas Peringkat Negeri Pahang, dekat Kerdau, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim berkata, momentum sokongan golongan muda yang semakin kuat kepada Pas pada masa sekarang akan terus dikekalkan.

Menurutnya, walaupun jika BN memerintah hingga hujung penggal antara Mac dan April nanti, Pas tetap yakin sokongan pengundi muda akan berterusan.

“Kita dapat lihat persaingan antara PR dan BN yang semakin hebat sekarang dan ini satu perkembangan sihat dari segi demokrasi.

“Bagi pihak Pas, kita akan kekalkan gelombang kebangkitan anak-anak muda ini yang semakin cenderung dan yakin dengan perjuangan kita,” katanya.
Fuziah sedia mohon maaf
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
2 Julai 2012
Fuziah sedia mohon maaf
Fuziah Salleh
KUANTAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sedikit pun tidak gentar dengan amaran MCA negeri yang mahu mengambil tindakan tegas sekiranya beliau terus menyebar cerita berunsur fitnah.

Menurutnya, amaran yang disebarkan melalui laman sesawang dan blog milik MCA yang mendakwa beliau membuat fitnah berkaitan isu lawatan parti itu ke Australia ditaja oleh pihak Lynas.

Fuziah berkata, beliau juga sedia memohon maaf sekiranya MCA dapat membuktikan lawatan mereka ditaja oleh Kerajaan Negeri dan bukannya pihak kilang Lynas.

“Jika betul lawatan mereka (MCA) ditaja oleh Kerajaan Negeri, sila buktikan. Kalau benar saya sedia minta maaf dan tidak gentar dengan amaran  mereka.

Menurutnya, beliau hanya bercakap mengenai kebenaran terutama kesan dan bahaya kepada penduduk setempat.

“Di dalam blog saya ada menulis tentang isu Lynas dan tidak timbul isu fitnah kerana mereka memang ada melawat kilang Lynas di Australia.

“Selepas melawat kilang Lynas di sana, mereka (MCA) pulang dengan mengatakan projek Lynas di sini juga selamat sedangkan kilang dilawati itu jauh berbeza dengan kilang di Gebeng.

“Tetapi pada hakikatnya mereka tetap mengatakan Lynas selamat sedangkan keadaan sebenar tidak seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena majlis penyampaian zink di Tanjung Punai, di sini, semalam

Sementara itu, mengulas mengenai isu ketiadaan beliau ketika pembentangan laporan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) di parlimen baru-baru ini, Fuziah menafikan cuba melarikan diri sebaliknya berada di luar negara atas urusan rasmi.

“Saya ke luar negara atas urusan rasmi berkaitan demokrasi antarabangsa dan ia dirancang lebih awal serta saya tidak tahu-menahu tentang pembentangan PSC.

“Walaupun berada di luar negara saya turut mengeluarkan pendapat mengenai Lynas dan tiada isu untuk melarikan diri atau mengelak,” katanya.

Pengangkutan cekap bukan lambakan permit dan tayar

Razali Endun, razaliendun@gmail.com, 02 Jul 2012
Ramai rakyat negara ini  keliru tentang peranan pengangkutan awam termasuk para pemimpin politik baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Industri pengangkutan awam bukanlah  sektor yang harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Industri ini selain menjana ekonomi negara, ianya juga cerminan kepada status maju mundurnya sesebuah negara itu. Pengangkutan awam bukan sekadar menyediakan kaedah atau prasarananya akan tetapi ianya perlu kepada suatu sistem yang efisen, murah, selesa dan bersepadu.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turun ke stadium Bukit Jalil pada 24 Julai lalu semata-mata mahu melakukan penyerahan baucher bernilai sebanyak RM520.00 kepada pemandu teksi, ramai melihatnya sebagai usaha untuk memenangi hati pemandu teksi dalam menghadapi pilihanraya ke-13.  Itulah persepsi umum dalam senario hangat menghadapi pilihanraya.

Himpunan pemandu teksi di Bukit Jalil adalah ekoran daripada pertemuan antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemandu teksi Lembah Kelang beberapa bulan  sebelumnya. Dalam pertemuan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan akan mengeluarkan banyak lagi permit teksi kepada individu (bukan syarikat), sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Saranan beliau mendapat sokongan daripada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas seperti kenyataan beliau, “Pemandu teksi perlukan permit, bukan tayar,” sebagai respons kepada program Datuk Najib di Bukit Jalil.

Jelas sekali kedua-dua pihak kurang arif atau mengerti peranan sebenar pengangkutan awam dalam sesebuah negara, apa lagi peri pentingnya dalam  sebuah negara maju.  Pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha pengangkutan dalam negara ini tanpa tindakan positif  pihak berwajib mungkin tidak sampai ke pengetahuan kedua-dua pemimpin ini.

Pemberian baucer untuk pembelian tayar adalah bantuan jangka pendek. Apa lagi kalau diberi ‘one-off’ sahaja. Ianya tidak membantu dalam jangka panjang, jauh sekali menyelesaikan permasalahan yang berpanjangan. Akan tetapi memberi perlindungan insuran kepada pemandu teksi adalah sesuatu yang wajar dan harus dihargai.

Namun demikian, bantuan ini tidak menjurus ke arah penyelesaian permasalahan pengangkutan awam yang semakin kalut sekarang ini, apa lagi mahu mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam yang bersepadu.

Insuran

Harus diingat  pemandu teksi yang tidak dilindungi insuran adalah terdiri daripada pemilik permit persendirian. Manakala kebanyakan  syarikat-syarikat teksi memberi perlindungan insuran percuma kepada pemandu/penyewa mereka, kecuali Socso atau  KWSP. Malah ada yang memberi tayar percuma berasaskan kepada ketepatan bayaran sewa dan prestasi pemanduan yang baik dan amanah.

Sesebuah negara bukan sahaja harus mementingkan kebajikan rakyatnya termasuk pemandu teksi, tetapi yang paling utama ialah urus tadbir yang cekap, amanah dan proaktif. Dalam konteks  pengangkutan awam, sesebuah negara harus mempunyai sistem pengangkutan awam yang  efisen, cekap dan murah.

Bayangkan negara kita yang akan meraikan hari kemerdekaan yang ke-55 tahun Ogos ini, masih belum mewujudkan sebuah dasar pengangkutan negara sebagai asas  membina sistem pengangkutan awam yang diyakini rakyat. Kalau negara ada dasar wanita, dasar sosial, dasar automobil negara dsb, kenapa tidak diwujudkan sebuah dasar pengangkutan sebagai pemacu kepada perkembangan  industri ini?

Desakan untuk mewujudkan dasar pengangkutan telah disuarakan oleh persatuan-persatuan bas, teksi dan lori semenjak 20 tahun lalu. Namun desakan atau saranan itu tidak mendapat tindak balas yang positif daripada kerajaan. Walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan sebagai usaha untuk memantau perkhidmatan industri ini, namun kewujudan SPAD tidak membawa perubahan yang diharap seperti dijangkakan.

SPAD tidak membawa apa-apa perubahan. Pengusaha masih terpaksa berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan dalam industri ini. Tidak kurang 13 agensi kerajaan terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini. Harapan pengusaha supaya sebuah agensi saja bertanggungjawab dalam pengendalian industri pengangkutan tidak menjadi kenyataan.

Sebailknya SPAD hanya menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dengan fungsi dan cara urus tadbirnya masih kekal, tanpa perubahan.  Birokrasi yang menyusahkan, kelemahan serta kepincangan urus tadbirnya masih seperti LPKP dulu. SPAD kelihatan seperti  mengganti  baju LPKP sahaja, tidak lebih daripada itu.

Tidak ada komitmen serta iltizam yang bersungguh-sungguh  daripada SPAD untuk mewujudkan sebuah dasar pengangkutan awam sebagai panduan kepada para pemain industri ini dan pihak kerajaan.

Walaupun SPAD berjanji akan mengeluarkan sebuah Pelan Induk (Master Plan) pada September 2011, namun sehingga hari ini Pelan Induk itu masih belum di umumkan. Tidak pasti sama ada Pelan Induk itu sudah siap atau masih lagi dalam perancangan untuk merangkanya.

Tanpa dasar pengangkutan yang sempurna maka berlakulah pelbagai karenah dan masalah dan ianya  terus berpanjangan tanpa penyelesaian. Sehingga ke hari ini permasalahan ini semakin menimbun dan menjadi kalut  menyebabkan terbantutnya pewujudan sistem pengangkutan awam yang cekap, sempurna, murah, selesa dan efisen. Tidak pernah wujud di negara kita suatu sistem pengangkutan awam pun, yang ada ialah kecelaruan perkhidmatan pengangkutan awam yang haru biru.

Perkhidmatan bas berhenti-henti, bas ekspres, teksi bandar, kereta sewa dan yang seumpamanya semakin hari semakin menurun prestasi mereka. Beberapa buah syarikat bas berhenti-henti telahpun memberhentikan dan menutup perniagaan mereka.

Di Melaka kesemua syarikat bas berhenti-henti telah menyerahkan perkhidmatan mereka kepada kerajaan negeri Melaka. Namun perkhidmatan di bawah kendalian kerajaan Melaka (Panorama) juga semakin teruk, tidak menunjukkan peningkatan perkhidmatan seperti diharapkan.

Kegagalan

Di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang Rapid menjalankan perkhidmatan ini, akan tetapi mutu perkhidmatannya masih jauh daripada memuaskan. Malah Rapid dan Panorama di Melaka mengalami kerugian yang bukan sedikit hasil pengendalian perkhidmatan ini.

Tanpa dasar pengangkutan yang jelas maka berlakulah lambakan permit di pasaran mengikut kehendak dan kemahuan  menteri yang berkuasa. Pengeluaran permit selalunya dilakukan mengikut kepentingan politik menteri berkenaan bukan kerana keperluan iaitu mengikut konsep ‘supply and demand.’ Tidak ada kajian atau penyelidikan secara menyeluruh dilakukan sebelum permit dikeluarkan.

LPKP tidak pernah mewujudkan bahagian R & D, (Research & Development) sebagai badan yang membuat kajian dan penyelidikan tentang keperluan dan pembangunan pengangkutan awam. Begitu juga SPAD tidak mewujudkan R & D ini dalam organasasinya.

Pengeluaran dan pemberian permit pengangkutan awam bukan seperti mengeluarkan permit kepada peniaga pasar malam dan penjual burger. Setiap pengeluaran permit pengangkutan awam mesti ada justifikasinya berdasarkan keperluan mengikut nisbah penduduk.

Faktor lain ialah pertindihan laluan, pemilikan kenderaan persendirian, dasar majlis tempatan terhadap pengangkutan awam dan persendirian dan yang berkaitan dengannya. Pengeluaran permit tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kajian; bukan berdasarkan  kuasa menteri semata-mata.

Sekarang ini terdapat sebanyak 30,000 buah teksi telah dilesenkan di Lembah Kelang. Jumlah ini jika dinisbahkan dengan penduduk di Lembah Kelang yang seramai lebih kurang 1.5 juta orang ada kewajarannya. Akan tetapi apabila diambil kira faktor lain seperti milikan kereta persendirian yang puratanya sebuah rumah memiliki 3 buah kenderaan, maka angka ini amat berlebihan daripada keperluan dan permintaan. Justeru kerana itu amat sukar bagi pemandu teksi mencari nafkah dalam keadaan teksi yang berlebihan daripada penumpang.

Teksi bersusun

Ini terbukti dengan fenomena teksi bersusun-susun menanti penumpang, tidak lagi penumpang menunggu teksi seperti 20 tahun dulu. Maka timbullah pelbagai karenah pemandu teksi yang mahu mendapat pendapatan lebih dengan memilih penumpang dan mengenakan tambang berlebihan.

Sebelum LPKP ditutup, sekitar 10,000 permit teksi lagi telah dikeluarkan kepada individu. Daripada jumlah ini bukan semua permit itu dilesenkan kerana masalah pemegang permit individu yang tidak ada modal, tidak mendapat pinjaman bank kerana disenarai hitam dan ada yang mengambil jalan mudah memajakkan permit itu kepada pihak lain.

Tidak kurang pula yang datang kepada syarikat-syarikat teksi minta pertolongan mengeluarkan teksi-teksi berkenaan dan kemudian memajaknya semula. Ramai pula di antara mereka ini yang tidak melunasi pinjaman/sewaan mereka kepada syarikat teksi, walaupun setelah dibantu.

Amat dikesali sekali ‘sweeping statement’ oleh PM Najib mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan konsep pajakan yang mengikut beliau adalah suatu ‘penghambaan moden.’ Kenyataan ini tidak tepat sekiranya kita lihat bukti yang dipaparkan di atas. Perlu diingat syarikat teksi memerlukan modal yang besar untuk dilabur dalam industri ini selain bertanggungjawab kepada pinjaman dengan institusi kewangan.

Sekiranya dilihat dari aspek penyewaan, kemungkinan sewanya amat tinggi dan berlipat ganda. Namun dalam industri ini segala kos kemungkinan seperti ‘the hidden cost’ perlu ada dalam perkiraan penyewaan kerana kebarangkalian penyewa tidak membayar sewa, membaraikan komponen teksi dan menjualkannya kepada pihak ketiga, kemalangan ‘total lost’, ‘pemandu membuat angkara seperti menggunakan teksi itu menjual dadah atau mengangkut pendatang tanpa izin, maka kerugian ini seharusnya diambil kira.

Kerajaan perlu ada suatu dasar yang jelas berkaitan pemberian permit pengangkutan awam termasuk teksi. Pada suatu ketika dulu LPKP menggunakan kadar 60% untuk syarikat teksi dan 40% diperuntukkan untuk individu.

Nisbah ini kemudian bertukar menjadi sebaliknya apabila pihak pembangkang menjanjikan pemberian permit kepada individu. Kelihatan ketetapannya tidak konsisten, tetapi menjadi pragmatik apabila berhadapan dengan isu dan kepentingan politik. Bukan berdasarkan kajian.

Dalam konteks perkhidmatan bas berhenti-henti dan ekspres kerajaan juga mesti mempunyai dasar yang jelas. Adakah kerajaan mahu terlibat secara langsung dalam bidang pengangkutan awam atau membiarkan sahaja pihak swasta mengendalikannya. Nampaknya apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan mahu melibatkan diri secara langsung dalam industri ini seperti mewujudkan Rapid KL, Rapid Penang, Panorama di Melaka dan juga agensi-agensi kerajaan seperti MARA yang menjadi salah satu pemain besar.

Rapid KL diwujudkan setelah konsep konsortium diperkenalkan yang diketuai oleh dua konglomerat iaitu Parkmay dan Intrakota gagal dalam menjayakan konsep ini. Kedua-dua syarikat itu menanggung kerugian besar tidak sampai pun lima tahun beroperasi.

Sebab utama kegagalan dua syarikat ini ialah kos pengendalian (maintenance cost) amat tinggi dan semakin meningkat hari demi hari. Harga alatganti, minyak pelicir, tayar, bateri dan sebagainya tidak dikawal oleh kerajaan.

Manakala tambang bas dan teksi di bawah kawalan pihak kerajaan. Pengusaha tidak dibenarkan menaikkan tambang  walau sesenpun meskipun harga barangan alatganti melonjak naik. Tidak ada keseimbangan dalam kenaikan ini. Setiap kali kenaikan harga alatganti, maka akan berlaku penghakisan keuntungan sehingga mengalami kerugian pula.

Selain daripada itu pada masa yang sama LPKP mengeluarkan lagi banyak permit bas berhenti-henti di Lembah Kelang. Maka konsep ‘payung’ atau konsortium ini menemui kegagalan kerana sikap penguasa sendiri.

Terbukti bukan sahaja Parkmay dan Intrakota tutup kedai kerana kerugian, malah syarikat-syarikat bas lain seperti Muar Motor Bas, Eng Hiap, beberapa syarikat bas di sebelah utara, Sarawak dan Sabah sudah gulung tikar.

Salah satu sebab utama  ialah lambakan permit dalam industri ini tanpa kawalan. Pengusaha sedia ada terpaksa bersaing dengan pengusaha baru dan bertindih laluan. Maka terjadilah pesaingan yang tidak sihat seperti berebut penumpang, berlumba-lumba dan melanggar peraturan.

Pesaingan yang tidak sihat ini menjejaskan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, maka berlakukan ketepatan masa dan jarak masa yang tidak menentu. Formula pengangkutan awam yang efisen ialah, “punctually + frequency = efffeciency. Effeciency melahirkan relaibility iaitu keyakinan atau kepercayaan.

Tanpa perkhidmatan yang efisen  maka kepercayaan orang ramai akan luntur dan menyebabkan mereka mencari kaedah pengangkutan lain seperti membeli motosikal dan kereta. Ini akan menyebabakan kekurangan penumpang menggunakan pengangkutan awam.


Apa yang didambakan oleh pengusaha pengangkutan di negara ini ialah kawalan harga alatganti, minyak pelicir, tayar dan bateri dilaksanakan. Kawalan harga itu hanya dikhusukan untuk pengusaha pengangkutan awam sahaja. Atau kerajaan memberikan subsidi kepada harga alatganti ini atau kos se kilometer (cost per kilometer) seperti yang pernah dicadangkan oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia.


Walaupun SPAD telah memberi bantuan kepada pengusaha bas berhenti-henti dalam skim terbarunya, namun bantuan itu tidak menyeluruh dan banyak birokrasinya. Ini juga merupakan bantuan jangka pendek kerana SPAD tidak mengemukakan perancangan menyeluruh penyelesaian permasalahan ini. Bantuan seperti ini, atau menaikkan tambang bukan penyelesaian sekiranya harga alatganti terus melonjak naik tanpa kawalan.

Suatu tindakan yang berkesan harus diambil sebelum banyak lagi syarikat bas gulung tikar. Bayangkan Nadi Corp, sebuah syarikat bas yang terbesar di negara ini yang memiliki lebih 1000 buah bas ekspres dan berhenti-henti pun sudah tidak boleh bertahan lebih lama lagi.

Kebarangkalian kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada syarikat-syarikat teksi mendapat permit teksi berdasarkan kroni, kemungkinan ada asasnya. Namun yang lebih parah lagi ialah syarikat-syarikat teksi bukan bumiputera memiliki lebih 1000 buah permit teksi  kerana ada ‘cable.’

Ada pengusaha bukan bumiputera yang sebelumnya tidak memiliki permit telah memperolehi 500 permit selepas berurusan di ‘pintu belakang.’ Banyak lagi syarikat teksi  memperolehi tambahan permit teksi antara 100-500 pada suatu ketika dulu.

Pemberian permit ini dikeluarkan tanpa apa-apa pun kajian dilakukan oleh pihak berkuasa. Akibatnya banyak teksi yang tersadai tanpa sesiapa menyewanya. Untuk mendapat penyewa pada masa ini amat payah sekali. Apalagi dengan lambakan permit kepada individu akan memburukkan lagi keadaan.

Rakyat perlukan suatu sistem pengangkutan awam yang bersepadu, murah, selesa dan efesien. Untuk ini sesiapa saja yang memegang tampuk kerajaan mesti berlitizam merangka dengan segera suatu sistem pengangkutan awam yang berkesan, bersepadu, selesa dan murah.

Pengangkutan awam bukan hanya melibatkan LRT atau MRT, malah ianya merangkumi pelbagai kaedah seperti beca, teksi, kereta sewa, bas ekspres dan berhenti-henti termasuk bas kilang dan sekolah. Semua kaedah pengangkutan ini perlu dikaji, disusun dan dirombak bagi menenutukan peranan masing-masing dalam industri ini. Pastikan sistemnya bersepadu iaitu berinteraksi di antara satu dengan lain bagi memudahkan penumpang.

Sistem ini akan mudah dilaksanakan sekiranya pihak penguasa mempunyai dasar pengangkutan awam yang jelas dan praktikal. Sekurang-kurangnya satu Pelan Induk dikemukakan sebagai projek jangka pendek.

Sistem pengangkutan awam menjadi faktor utama dan menjadi kayu ukur untuk mencapai kriteria sebagai negara maju. Justeru itu lambakan permit dan pemberian tayar bukan  penyelesaian, malah ianya menimbulkan lebih banyak kerumitan dan permasalahan. Oleh itu kenyataan dan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib tidak lebih daripada lemparan umpan untuk memancing undi. Rakyat perlukan pemimpin yang lebih praktikal, bukan bermain dengan retorik politik semata-mata.
--------------------------------------------------------------------
Penulis merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia, Presiden Persatuan Bas Negeri Melaka dan Pengusaha Syarikat Teksi.



Tiada ulasan: