Isnin, 2 Julai 2012

HUDUD MUNGKIN BOLEH DIHALANG...NYAWA KITA NAK DICABUT TAK BOLEH DIHALANG....TAK PE MEREKA TAK BAGI MASUK JANGAN ALLAH LARANG KITA NAK MASUK SYURGA...LAGI NAYA....BIAR MEREKA TIRU KEBAIKAN KITA...JANGAN KITA TIRU KEJAHATAN MEREKA....ALLAH BERSAMA DENGAN ORANG YANG BERTAQWA...DONT WORI LAH....

Hudud: Kelantan ada halangan, jika Johor dahului silakan

Harakahdaily, 02 Jul 2012
KUALA LUMPUR: “Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons setelah membaca kenyataan Adun Umno Johor di dalam Sidang Dun Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar Johor melaksanakan hudud mendahului Kelantan serta mencabar PAS menyokong hukum hudud itu walaupun datang dari Umno.

“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.

“Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga. Sekali lagi saya nyatakan, saya menyokong sepenuh hati,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS melalui Facebooknya.

Justeru, harapan beliau agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.

“Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.

“Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya,” ujarnya lagi.

Royalti minyak dinafi, bijih besi pula ditemui

M Faqih, 02 Jul 2012
KOTA BHARU: Ketika kerajaan pusat masih menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum, sebaliknya bijih besi pula ditemui di bumi negeri ini.

Bijih besi tersebut sekarang dieksport sebanyak 40,000 tan metrik setiap minggu melalui Tok Bali ke China.

Kapal dari China kini berlabuh kira-kira 1.4 batu nautika dari pantai Tok Bali bagi mengangkut bijih besi, di mana ia diangkut ke kapal menggunakan 20 tongkang dari jeti di Tok Bali.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, sebelum ini bijih besi tersebut dieksport ke China melalui pelabuhan di Kemaman dan Kuantan yang melibatkan kos agak tinggi.

“Namun sekarang bijih besi tersebut dieksport melalui pelabuhan di Tok Bali yang ternyata lebih menjimatkan kos pengangkutan,” katanya menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, hasil royalti tersebut dijangka dapat menampung kos pembinaan pembinaan lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Menurutnya daripada hasil royalti besi sekurang-kurangnya dapat menampung bayaran tertunda projek lebuh raya berkenaan yang ditetapkan dalam masa 25 tahun.

“Kita telah berusaha memecahkan benteng kongkongan dan halangan oleh kerajaan pusat sebelum ini. Idea yang dicetus Menteri Besar bagi mengamalkan konsep wakaf sebagai satu nilai tambah.

“Usaha itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan biar pun promosinya belum dilakukan secara meluas, namun dana yang disumbang secara online sekarang sebanyak RM430,000,” ujarnya.

Kata beliau kerajaan negeri akan mewujudkan dana amanah di bawah Perbendaraan Negeri bagi mengurus sumbangan orang ramai.

Malah pada 7 Julai ini artis-artis yang menyertai PAS akan mengadakan program khusus bagi menyokong projek lebuh raya rakyat.

“Pada Ramadan nanti kita juga akan lancarkan kutipan dana di Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai turut sama menyumbang,” ujarnya.

Husam juga memberitahu lapan juruukur yang mengambil alih peranan juruukur awal menyiapkan jajaran projek lebuh raya rakyat sudah berjaya menyiapkan kerja-kerja ukur sepanjang 30 km.

Kata beliau kerja-kerja mengukur jajaran jalan raya tersebut sebenarnya sudah disiapkan pada 2007, namun juruukur yang terbabit tidak dbenarkan menyerahkan laporan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut dijangka akan dimulakan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

Menurutnya jentera berat milik syarikat juga sudah berada di lokasi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Kita akan laporkan setiap minggu perkembangan projek pembinaan lebuh raya tersebut selepas ini bagi pengetahuan rakyat,” katanya.

Gempur seru gerakan mahasiswa bersatu

Muhammad Syahmi Hazim Mohd Ithnin,
Firman Allah bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan sesekali kamu berpecah-belah” (Al-Imran: 103)

Sepanjang Gempur (Gerakan Mahasiswa Pantai Timur) menyertai gerakan mahasiswa arus perdana secara langsung bermula dengan kempen ‘Academic Freedom’, demonstrasi Pendidikan Percuma, diikuti dengan Bersih 3.0, Gempur mendukung penuh setiap aksi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia dan seluruh front yang bernaung di bawahnya.

Oleh yang demikian, masyarakat melihat bahawa mahasiswa sudah mula bangkit, namun pada hakikatnya, terdapat pelbagai masalah dan konflik yang melanda peneraju utama gerakan mahasiswa ini.

Gempur khususnya sangat terkilan dan kecewa dengan majlis kepimpinan baru yang diketuai oleh Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Saudara Safwan Anang. Pemerhatian konseptual yang dilakukan oleh Gempur melihat bahawa SMM seperti sudah hilang roh perjuangan mahasiswa.

Penglibatan sebahagian besar kepimpinan SMM secara aktif di dalam ranjang politik kepartian negara dewasa ini dilihat menjadi penyumbang utama kepada lucutnya imej non partisan dari setiap batang tubuh individu yang bergelar aktivis mahasiswa.

Secara prinsipnya, Gempur menghormati hak mahasiswa terlibat secara langsung di dalam politik kepartian, namun adalah sangat tidak wajar untuk mereka mendahulukan parti politik daripada gerakan mahasiswa, dan lebih malang lagi, menunggangi gerakan untuk kepentingan sesetengah parti politik!
Perpecahan dalam gerakan mahasiswa juga kini sudah semakin membarah.

Hal ini beranjak apabila front terbesar dalam SMM, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) telah mula berkira-kira untuk mengambil keputusan keluar daripada SMM akibat konflik yang berlaku selepas demonstrasi Pendidikan Percuma, dan kesannya dapat dilihat pada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional ke 4 yang lalu apabila seluruh Persatuan Mahasiswa Islam yang bernaung di bawah Gamis bertindak seperti memulaukan kongres tersebut. Lebih parah lagi dengan kegagalan figura-figura SMM untuk turut hadir ke kongres itu.

Selain itu, masalah disiplin, komitmen dan ego adalah antara masalah yang sedang menyelubungi kepimpinan SMM kini.

Dapat dilihat secara jelas bahawa SMM sudah mula hilang fokus perjuangan dan nilai konstruktif daripada pelbagai sudut.

Hal ini dikhuatiri akan menjadi penyebab utama mahasiswa dan rakyat bertambah mual dengan perjuangan gerakan mahasiswa.

Gempur menyarankan agar SMM dapat kiranya menyelesaikan segala permasalahan dan konflik secara rasional dan bermuhasabah demi memberi imej baik kepada perjuangan gerakan mahasiswa.

Gempur bersedia dengan sepenuh tenaga dan kudrat untuk menjadi agen dan unsur penyatu dalam permasalahan ini.

Gempur menganjurkan supaya seluruh aktivis mahasiswa melupakan persengketaan antara satu sama lain dan pulang kepada konsep adab al-ikhtilaf – bekerjasama dalam urusan yang disepakati dan berkompromi dalam urusan yang dipersilihkan.

Penulis ialah Presiden Gempur.

iTR1M tiru Program Tuisyen Rakyat Selangor

Khaulah Azwar, 02 Jul 2012
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali menyelar tindakan Kerajaan Pusat yang cuba meniru Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Beliau berkata, tindakan kerajaan pusat mengadakan Program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penduduk Selangor gagal menepati sasaran.

Menurutnya program tersebut seakan meniru inisiatif Pakatan Rakyat Selangor yang memperkenalkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) telah berjalan semenjak 2009 dan mendapat sambutan yang sangat baik.

Tambahnya, tindakan Umno BN itu jelas menunjukkan program yang dijalankan oleh kerajaan negeri mendapat sambutan positif daripada rakyat Selangor.

“Mengapa PM pilih Selangor sedangkan beliau mengetahui kerajaan negeri dah lama ada Program Tuisyen Rakyat Selangor untuk pelajar negeri ini?” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau Najib boleh menyalurkan kepada negeri-negeri lain terutama negeri yang memiliki paras kemiskinan yang tinggi yang belum ada program seumpama itu.

“Tindakan kerajaan pusat yang hanya menyalurkan program itu ke Selangor menggambarkan niat sebenar BN yang tidak ikhlas, iaitu untuk merampas Selangor kembali dalam pilihan raya umum,” ujarnya.

Beliau kata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) di Shah Alam Convention Centre, hari ini, di sini.

Kerajaan negeri memberi peluang  kepada  pelajar daripada keluarga miskin yang prestasi akademiknya sederhana menghadiri kelas tambahan PTRS yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Setakat ini PTRS telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di Selangor.

Exco dilarang masuk ke sekolah kementerian

Aslani M, 02 Jul 2012
KOTA BHARU: Usaha kerajaan negeri bagi mengekang gejala sosial kurang mendapat kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) apabila anggota Exco dilarang mengadakan program di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) berkata, sebagai pengerusi Pemadam Negeri beliau tidak mendapat kerjasama PPD bagi mengadakan program di sekolah di bawah kerajaan pusat.

“Saya tidak boleh masuk ke sekolah di bawah kementerian bagi mengadakana program kempen gejala sosial. Malah PPD juga melarang guru-guru hadir pada mesyuarat agung Pemadam di Kuala Lumpur.

“Sedangkan Pemadam peringkat kebangsaan dipengerusikan Perdana Menteri. Kita hanya melaksanakan program di sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan sahaja.

“Bilangan pelajar di sekolah agama hanya sekitar 40,000 orang sahaja. Kita hendak adakan program di sekolah lain tidak boleh,” katanya menjawab soalan Mohamad Awang (PAS-Gual Periuk) pada persidangan Dun hari ini.

Sementara itu anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, mereka yang berjuang untuk mendaulatkan Islam sudah tentu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Taala.

Katanya, kenyataan yang menyebut undi PAS mendapat pahala dibuat berdasar kepada hujah-hujah daripada nas-nas al Quran dan Hadis.

“Undi mendapat pahala berdasar kepada konsep dalam agama sesuatu yang baik akan diberi ganjaran pahala,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Sebelum itu Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) mahu kerajaan negeri menjelaskan pihak yang mempersendakan konsep wakaf dalam pembinaan lebuh raya rakyat.

Mohd Amar berkata, tidak dapat dinafikan masih ada lagi anggota masyarakat yang tak faham kerana mereka dipengaruhi unsur-unsur moden yang mendakwa agama hanya urusan peribadi semata-mata.

“Sebab itulah kita tetap mempertahankan sekolah agama di bawah Yik bagi memberi kefahaman lebih mendalam mengenai agama kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Persidangan Dun hari ini juga meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan Negeri) berkaitan Suruhanjaya Perkhimatan Awam Negeri (SPN).

Rang Undang-Undang tersebut dikemukakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pindaan itu mendapat kelulusan dengan sokongan dua pertiga, di mana 34 anggota Dewan bersetuju dan sembilan tidak hadir.

Pindaan dibuat antara lain menambah bilangan anggota SPN daripada enam kepada lapan orang. Selain itu angkat sumpah pelantikan ahli hanya perlu dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dan bukan lagi Hakim Mahkamah Persekutuan.

Meneladani kejayaaan Ikhwan

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 02 Jul 2012
Tidak syak lagi bawa kekuatan tarbiyah dan pendekatan dakwah serta jihad Ikhwanul Muslimin selama 84 tahun – dengan izin Allah – menyebabkan ia mencapai kejayaan besar di Mesir apabila pemimpin Ikhwan Muhammad Morsi Isa al-Ayyat dipilih sebagai Presiden Mesir, selepas kejatuhan diktator  Hosni Mubarak Beliau yang berkelulusan jurutera dari Unversiti Southern California mewakili Freedom and Justice Party, berumur 60 tahun.
Ini sebuah sejarah gilang gemilang bukan saja bagi Ikhwan Mesir, bahkan juga gerakan Islam sedunia, termasuk PAS. Ini kerana demikian ramai pemimpin PAS semua peringkat – sejak dahulu lagi – mendapat inspirasi perjuangan dari Ikhwanul – Muslimin.
Demikian banyak buku-buku Ikhwan yang mengalir dan ditelaah oleh pendukung Abim dan PAS. Di samping itu demikian ramai pendukung PAS sejak dahulu lagi mengikuti usrah dan tamrin Ikhwan bukan saja di Mesir, bahkan di Jordan, Syria dan sebagainya.
Pemikiran Ikhwan adalah berlandaskan syariat Islam serta amal berterusan iaitu :
1. Baiki diri – 10 muwasafat
- aqidah sejahtera
- ibadah sahih
- akhlak mantap
- mampu bekerja
- berpengetahuan luas
- tubuh yang cergas
- sangat menjaga waktunya
- mujahadah li nafs
- teratur urusannya
- bermanfaat kepada orang lain
2. Baitul Muslim
– didik keluarga dgn cara Islam dan hormati fikrah Islam
-  Dahulukan hak dan Tanggungjawab
3. Bimbing Masyarakat
- kembangkan aspek dan budaya Islam dalam masyarakat
- Amar Makruf Nahi Munkar
4. Kerajaan Islam
5. Bebaskan tanah air daripada kuasa asing
6. Satukan negara-negara Islam
7. Panji-panji Islam kembali berkibar – satu suara, perpaduan ummah
Ini asas pendekatan tarbiyah dan dakwah Ikhwan sejak ditubuhkan hingga kini dan atas asas ini gerakan Islam itu mencapai kejayaan.
Ahli-ahli Ikhwan ini dididik dengan ilmu dan mencintai ilmu, justeru ilmu adalah senajata ampuh menghadapi musuh. Pernah ketika suatu, pemimpin tertinggi Ikhwan, Abd Qader Audah mengadakan tamrin untuk pendukung Ikhwan di Iskandariah, di sana dia diperkenalkan seorang demi seorang dengan ahli usrah dan mengadakan perbincangan.
Seorang pemuda, ahli usrah, berhujah dengan Abd Qader Audah di majlis itu di mana pemimpin Ikhwan itu sangat kagum dengan hujah yang dikemukakan oleh anak muda itu.
Esoknya, Abd Qader Audah pergi ke Pelabuhan Iskandariah dan merenung dari jarak yang tidak begitu jauh, seorang anak muda sedang memikul tepung gandum dari daratan ke pelabuhan untuk diangkut oleh kapal bagi dieksport ke luar negeri.
Abd Qader Audah mengenali anak muda yang memikul guni berisi gandum itu adalah ahli usrah yang berdebat dengannya malam tadi. Barulah dia tahu anak muda itu dengan kepetahan dan ilmunya, adalah hasil didikan Ikhwan di Iskandariah walaupun ia hanya buruh pelabuhan.
Inilah hasil didikan Ikhwan dalam membentuk kader-kadernya – mencintai tarbiyah dan dalam masa yang sama mengisi ilmu di dada. Inilah juga pendekatan Ikhwan di mana-manapun sejak dulu hingga kini.
Namun dengan perubahan zaman dan keadaan, Ikhwan membuat pembaharuan pendekatan untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini, namun asas perjuangan Islammya tidak berubah. Pendekatan baru seumpama inilah juga yang dilakukan oleh gerakan Islam An-Nahdah, Tunisia yang dipimpin oleh Rashad Ghanousi hingga mencapai kejayaan dalam Revolusi Jasmin yang menggulingkan diktator Zain-e-Abidin dan menyebabkan An-Nahdah mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya Tunisia tahun lalu.
Pendekatan baru Ikhwan dan An-Nahdah dengan mengadakan anggagement dengan semua golongan masyarakat, termasuk bukan Islam akhirnya menyerlahkan kejayaan besar. Gerakan Islam ini merobah wajahnya dari dilihat bengis, tanpa kompromi, terlalu eksklusif dan tiada tolak ansur kepada dasar terbuka dan lunak.
Sejak berlaku Arab Spring di Mesir, Tunisia dan lain-lain, wajah Ikhwan dan An-Nahdak berubah sama sekali dan pendekatan barunya menghasilkan kejayaan.
Di rantau sebelah sini, PAS sebagai gerakan dan parti politik Islam turut mengadakan perubahan imej dan mengadakan pendekatan baru apa yang dipanggil tahalluf-siasi, iaitu mengadakan pakatan dengan parti lain dan hasilnya sangat berjaya. Inilah perubahan dalam politik dan gerakan Islam masa kini dan PAS mempeloporinya di Nusantara ini.
Adapun kejayaan Ikhwan baru-baru ini telah dibayar dengan harga yang sangat mahal oleh pendukungnya. Ribuan yang mati syahid kerana perjuangan ini, termasuk Imam Hassan Al-Banna, Hasan Hudaibi, Abdul Qader Audah, Syed Qutb dan sebaris nama lagi yang sangat panjang.
Kerana itu apabila pendukung gerakan Islam di mana-manapun merayakan kemenangan Ikhwan Mesir ini, sebenarnya ia merayakan kemenangan gerakan Islam seluruhnya. Pendukung PAS dan Abim sejak lama dulu telah  disirami tarbiyah oleh tokoh-tokoh Ikhwan sendiri dan dalam masa yang sama mentelaah buku-buku yang ditulis oleh tokoh Ikhwan yang melimpah di negara ini sejak sekian lama.
Masih segar dalam ingatan saya dan teman-teman yang lain mengenai tarbiyah yang disampaikan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Nor, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Abdul Hadi Awang dan tokoh lain. Mereka ingin mengingatkan pendukung PAS akan erti istiqamah pada perjuangan, niat yang ikhlas, pengorbanan dan jihad.
Hari ini ketika Ikhwanul-Muslimin menyambut kemenangannya, PAS turut merasa gembira dan bersyukur kepada Ilahi. Ini sebuah kejayaan yang diperoleh dengan perjuangan panjang yang dilatari darah, keringat dan air mata. Pada pendapat saya, PAS perlu meladani perjuangan Ikhwan ini, walapun dalam suasana dan iklim berbeza.

ISA: Isteri sedih suami diseksa di Kemta

Hazayani Zakaria, 02 Jul 2012
KUALA LUMPUR, 2 Julai: Isteri kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Razali Kassan sedih dan kecewa apabila suaminya diseksa di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) walaupun ahli keluarga mengikut arahan pihak berkuasa sebelum ini.

Nunurheni Onim berkata, sebelum ini beliau dan ahli keluarga yang lain tidak bercerita mengenai penahanan suaminya kepada mana-mana pihak kerana berpegang kepada janji pihak polis.

Pihak polis Bukit Aman katanya melarang beliau menghebahkan penahanan suaminya di bawah ISA kepada media, peguam atau badan bukan kerajaan (NGO) jika mahu Razali dibebaskan segera.

"Sebelum ini saya diarahkan oleh pihak polis untuk tidak bercerita kepada peguam atau mana-mana pihak.

"Mereka kata kalau saya tak hebahkan penahanan suami saya kepada sesiapa, suami saya tidak akan diapa-apakan. Saya pegang janji mereka tapi sekarang suami saya belum dibebaskan malah dipukul dengan teruk," adu beliau di hadapan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha'ani Abdullah.

Nunurheni hadir bersama-sama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ke Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum mengenai seksaan pihak Kemta terhadap tahanan yang melakukan mogok lapar, menuntut pembebasan segera.

Dalam aduan kepada Suhakam tadi, Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata, seorang lagi tahanan, Mustawan Ahbab menceritakan bahawa Razali ditumbuk, diterajang dan diludah di muka oleh pegawai Kemta kerana melancarkan mogok lapar dan menyusahkan warden Kemta.

Menurutnya, Razali tetap dikasari oleh pegawai Kemta meskipun beliau seorang tahanan yang baik dan tidak melawan.

Memorandum itu selepas GMI mengiringi lawatan tiga keluarga tahanan ISA di Kemta semalam.

Selain isteri Razali, isteri kepada Mustawan Ahbab, Khairunizah Mohd Akhir dan juga bapa kepada Fadzullah, Abdul Razak Mohd serta isteri tahanan warga Sri Lanka, Anthony turut menyertai lawatan tersebut.

Razali kelihatan lemah dan mengakui dipukul dalam pertemuan tersebut.

Sementara itu, Khairunizah dalam aduannya pula memberitahu, tempoh pertemuan beliau dan Mustawan dipendekkan daripada satu jam kepada 25 minit sebagai denda kerana Mustawan membocorkan maklumat tahanan kepada beliau melalui telefon.

"Dalam kad kuning Kemta, saya boleh bertemu selama 45 minit dan kalau memaklumkan awal kepada pihak Kemta, boleh berjumpa sejam. Tapi bermula semalam, saya hanya dibenarkan bertemu selama 25 minit sahaja sebagai denda kepada Mustawan. Tak berbaloi saya datang dari jauh untuk pertemuan sesingkat itu," katanya.

Tempoh pertemuan keluarga dan tahanan yang mogok lapar juga turut dipendekkan dari satu jam kepada setengah jam.

Suhakam atur lawatan ke Kemta

Sha'ani dalam responsnya berkata, pihak Suhakam akan mengatur lawatan segera ke Kemta dan membawa doktor bagi memeriksa keadaan tahanan khususnya peserta mogok lapar yang masuk hari ke-12.

"Suhakam memandang berat kes pihak berkuasa mengenakan tindakan di luar batasan kepada tahanan. Mogok lapar dilakukan oleh pihak yang ditindas, yang tidak diberi peluang membela diri di mahkamah.

"Warden kata tindakan mogok lapar menyuahkan mereka, kalau susah jangan jadi warden. Itu tanggungjawab warden, bukan guna kuasa untuk tekan orang di bawah. Mereka harus menghormati hak asasi tahanan sebagai manusia," katanya.

Tegasnya juga, kerajaan seharusnya menghormati semua pihak termasuk peguam yang menjalankan tugas mereka.

"Kerajaan seharusnya menghormati pihak lain termasuk peguam. Pegawai Kemta pula harus bersikap berkecuali, hormati hak tahanan bertemu keluarga dan peguam," katanya.

Peguam dilantik Senator baru wakili Kelantan

Mohd Nor Yahya, 02 Jul 2012
KOTA BHARU: Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Khairiah Mohamed, 38, (gambar) hari ini dilantik sebagai anggota Dewan Negara baru menggantikan Mumtaz Mohd Nawi.

Khairiah sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun di MPKB BRI berasal dari Kubang Kerian, kini menetap di Kampung Sabak Pengkalan Chepa.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Syariah di Universiti Malaya. Mempunyai lima anak. Suaminya, Nik Baharom Nik Abdullah juga seorang peguam.

Namanya dicadangkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dun hari ini.

Kemudian ahli-ahli Dewan menyatakan sokongan ketika diminta undi secara lisan oleh Speaker, Datuk Nasuruddin Daud.

Khairiah ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Senator terdahulu Kalthom Ahmad, Hunaizah Mohd Nor, Siti Jamilah Ibrahim, Wan Ubaiah Omar dan Mumtaz.

“Pelantikan oleh Dewan Negeri adalah satu amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab. Insya-Allah saya akan mengenengah suara-suara rakyat Kelantan di Dewan Negara nanti.

“Malah dasar Membangun Bersama Islam dan Negara Berkebajikan yang dipopularkan di Kelantan juga akan menjadi fokus perbincangan saya.

“Saya berlatar belakang undang-undang dan syariah. Saya berhasrat mengenengahkan dasar-dasar Islam yang dilaksanakan di Kelantan sekarang ke peringkat nasional,” ujar beliau.

Sementara itu Dewan Muslimat PAS negeri merakamkan ucapan tahniah di atas kepercayaan kerajaan negeri kepada wakil muslimat kekal menduduki kerusi Senator mewakili Kelantan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Wan Ubaidah Omar berkata, pelantikan Khairiah bertepatan dengan masanya bagi menyemarakkan lagi suasana politik di Kelantan.

“Kami percaya Khairiah dapat membawa suara rakyat Kelantan ke Dewan Negara dalam pelbagai aspek berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal undang-undang,” ujar beliau.

Khairiah juga Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Negeri. Seorang lagi Senator iaitu Datuk Dr Johari Mat juga mewakili Kelantan.

Artis berhijrah dinasihat teruskan kerjaya

Salmiyah Harun, 02 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PAS sentiasa menasihatkan artis yang baru berhijrah apatah lagi bersama-sama berada di pentas PAS, agar tidak terus berhenti dari kerjaya asal mereka.

Malah, Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menasihati bekas penyanyi kumpulan Arrow, Ringgo supaya meneruskan nyayiannya walaupun sudah menjadi ahli PAS, akhirnya penyanyi berkenaan akur.

Mengulas penglibatan artis yang menyertai PAS mungkin akan memilih pentas ceramah sebagai kerjaya baru, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, A Halim Ahmad berkata, jangan mensia-siakan bakat yang mereka ada.

"Menyentuh artis yang terlibat dalam PAS tidak kira penyanyi, pelawak atau pelakon, kami selalu menasihatkan mereka jangan berhenti. Hijrah-hijrah juga bakat yang ada jangan dibiarkan hilang begitu sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya, tidak salah untuk artis-artis ini menerima tawaran penerbit di luar sana asalkan mereka meneruskan perkara yang baik, sudah tentu ianya diterima PAS.

Tegasnya, peluang yang ada perlu direbut dan jadikan penghijrahan itu sebagai platform untuk menonjolkan icon Islamik di dalam dunia hiburan atau lakonan.

"Kalau pasaran di luar sana dipelopori oleh mereka yang belum berhijrah, mereka yang berhijrah ini boleh rebut peluang untuk mengajak mereka berhijrah sama.

"Misalnya, pelakon kita Hairie 0thman pernah memberitahu beliau akan berhenti berlakon kerana faktor umur, kita kurang bersetuju sebaliknya memberi semangat untuk beliau terus berlakon," katanya.

Jelas Halim, Hairie boleh terus berlakon dan memastikan skrip-skrip yang menarik dan kena dengan jiwa asalkan tidak langgar syariat.

Bagaimanapun, katanya untuk mengelakkan artis yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan mereka ini.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Sebelum ini, seorang komposer terkenal Sham Kamikaze yang turut berhijrah bagaimanapun beliau tidak mensia-siakan bakat yang ada dengan membuka kelas belajar bermain gitar.

Pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman memberitahu yang dia akan bersara dari kerjaya yang sudah diceburi selama 20 tahun itu. Terkini, difahamkan jadual ceramah beliau sudah penuh sehingga Hari Raya Puasa nanti.

Berpecah: Pemuda Umno Johor jangan salahkan PAS

Harakahdaily, 02 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Johor peringkat bahagian-bahagian dinasihatkan jangan menyalahkan Pemuda PAS negeri bagi menutup bangkai yang busuk.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar) dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Ketua Pemuda Umno Johor Baharu Khalid Mohamad, Ketua Pemuda Umno Tebrau Syahrin Jamaluddin dan Ketua Pemuda Pagoh Ismail Mohamed  yang menafikan pergolakan dalaman Pemuda Umno negeri dan menuduh Pemuda PAS hanya mahu mencari populariti  dinasihatkan meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, Ahmad Maslan telah membuat kenyatan yang telah disiarkan oleh Sinar Harian pada 1 Julai lalu yang tidak menafikan berlakunya pergolakan dalaman Pemuda Umno Johor.

“Malah beliau menasihatkan agar Pemuda Umno Johor menyelesaikan masalahnya melalui dialog dan mesyuarat,” kata Suhaizan.

Justeru, ujarnya jika tidak ada kemelut dalam Pemuda Umno Johor masakan Ahmad Maslan menasihatkan yang sedemikian rupa.

Katanya lagi, Khairy Jamaluddin juga tidak menafikan wujudnya kemelut dalaman Pemuda Umno Johor.

“Malah beliau menyatakan Pemuda Umno Johor termasuk dalam negeri-negeri yang dipantaunya  sendiri. Suatu keputusan akan dibuat sama ada merombak atau tidak kepimpinan Umno Negeri Johor,” ujarnya lagi.

Suhaizan menambah, jika Pemuda Umno Johor tidak bergolak masakan Khairy Jamaluddin terpaksa memantaunya.

Ini, jelas beliau membuktikan wujudnya 16 Ketua Pemuda Umno bahagian di Johor yang tidak berpuas hati dengan Ketua Pemuda Umno negeri Mohd Fadil Muskon.

Beliau berkata Khairy Jamaluddin juga telah menuduh Pemuda PAS Johor cuba mengalihkan isu bagi menutup masalah sendiri.

Tambahnya, barang kali Khairy Jamaluddin tidak diberi maklumat tepat oleh kepimpinan Pemuda Umno Johor bahawa kehadiran lebih 10 ribu peserta Himpunan Hijau PAS Johor yang telah diadakan di Taman Dahlia, Kempas telah membuktikan bahawa rakyat bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat di Negeri Johor.

“Alhamdulillah Himpunan Hijau PAS ini telah mengatasi himpunan yang telah dianjurkan oleh parti politik pemerintah dan NGO yang pro pemerintah di Negeri Johor sebelum ini,” jelasnya.

Ini, ujarnya membuktikan bahawa penerimaan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin baik.

Justeru, Pemuda PAS Johor juga menasihatkan Mohd Fadil Muskon bahawa ‘budak baik’ seperti beliau tidak sesuai berada dalam Umno dan lebih sesuai berada dalam PAS.

“Kalau kita baik tetapi berkawan dengan orang jahat kita akan menjadi jahat. Sungguh pun kita jahat tetapi berkawan dengan orang baik.

“Insya Allah kita akan menjadi baik. Selamat dunia dan akhirat. Marilah berubah mulai sekarang,” katanya.

Tiada ulasan: