Manakala pihak polis memberi mereka tempoh sehingga jam 12.10 tengahari ini untuk bersurai.
Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda.
Mereka yang berpakaian hitam itu melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.
Mereka merancang untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Selangor.
Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin yang tiba kira-kira jam 12 tengahari, memberitahu bahawa mereka sedang berunding dengan pihak polis sama ada dibenarkan berarak ke Istana Negara.
Sementara itu, Hamidzun memberitahu sidang akhbar bahawa pihaknya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja dan berharap suasana di Selangor bertambah baik.Pihaknya berharap pemimpin politik dari Pakatan Rakyat dan BN supaya menumpukan perhatian kepada ekonomi negeri Selangor dan "bukan mempamerkan kehebatan politik".
Mengenai perubahan tempat mereka berkumpul ke Stadium Merdeka, Hamidzun berkata: "Kita hormati nasihat selepas berundingan dengan polis untuk pastikan keadaan terkawal dan aman".
Ditanya sama ada peserta yang hadir hari ini terdiri daripada ahli Wanita dan Pemuda Umno, beliau berkata: "Tidak sama sekali, mereka rakyat Selangor dan ahli NGO negeri Selangor".
Ditanya jangkaan 2,000 peserta yang tidak menjadi kenyataan, beliau berkata: "Ini merupakan kecemerlangan pasukan polis yang berjaya atur dengan baik".
Malah menurutnya, perjalanannya dari Shah Alam mengambil masa dua jam untuk sampai ke Stadium Merdeka.
"Ramai sahabat yang tersangkut dalam kesesakan," tambahnya.
Sementara itu, selepas berunding dengan pihak polis, tidak ada perarakan tetapi wakil Gaps menaiki dua buah kereta untuk menyerahkan memorandum tersebut ke Istana Negara
Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha agungnya, S Aruthcelvan antara tiga orang yang ditahan kerana didapati memakai baju merah.
Mereka ditahan pada kira-kira jam 11.30 pagi di sekitar KL Sentral.
Ketika ditemui, Nasir memberitahu Malaysiakini:
"Saya tak pasti (ditahan). Polis halang saya (bergerak) sebab pakai baju merah."
Apabila dihubungi setengah jam kemudiannya, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara mengesahkan mereka ditahan dan dibawa ke balai polis PGA Cheras.
"Mereka kata ianya perhimpunan haram. Tapi kami hanya tiga orang sahaja," katanya.
Dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara memberitahu semua mereka yang ditahan di KL Sentral dibebaskan setelah sejam setengah.
Katanya, polis juga tidak merekodkan sebarang kenyataan malah menghantar mereka kembali ke KL Sentaral.
Sementara itu, polis mengadakan sekatan jalan raya ekoran rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di Masjid Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah kenaikan kadar bayaran air.
Manakala di Stadium Merdeka, kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) berhimpun mulai jam 11.50 pagi tadi.
Polis kemudiannya mengarahkan mereka bersurai. Kemudian selepas berunding dengan polis, mereka menaiki dua kenderaan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mendakwa penyelewengan Kerajaan Selangor.
Sementara itu, di tempat lain di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, sekatan jalan raya diadakan untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri protes kenaikan harga air dan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Penganjurnya sebelum ini berkata, mereka akan berarak dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Menurut bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin, beberapa orang 'marsyal' telah ditahan. Beliau menggesa peserta lain supaya bertenang dan meneruskan perjalanan mereka ke Masjid Negara.
Menurut Twitter ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng SAN, seorang jurugambar TV Selangor turut ditahan.
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan
Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia
Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan
2010
Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.
Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.
Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,
Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,
Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,
Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;
Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.
1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat
Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)
Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.
3) Menghak-upayakan Rakyat
Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.
4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri
Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.
5) Menghapuskan Kronisme
Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.
Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.
Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.
Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.
Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.
Sebaliknya, tambahnya, BN perlu terus mengukuhkan setiap parti komponennya dan memastikan supaya pentadbiran Putrajaya dapat dikekalkan di bawah parti itu.
"Berbanding pilihan raya umum 2008, BN yang cuba dimomok sebagai sudah suram, Alhamdulillah kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih," katanya dalam ucapan dasar di konvensyen BN di ibunegara hari ini.
Jelasnya, kejayaan awal itu perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan.
Empat penyakit
Beliau turut mengulangi saranannya sebelum ini kepada pergerakan sayap-sayap parti Umno pada 2008 supaya menyisihkan empat penyakit utama - agar parti itu "berubah atau berisiko rebah."
"Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.
"Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri," katanya lagi.
Jelasnya, pemimpin seperti itu akan berasa khayal bahawa sokongan yang diterima akan berterusan dan juga terlupa dengan tujuan perjuangan asal.
"Penyakit inertia (pula) terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan," katanya.
Tambahnya lagi, penyakit keangkuhan merupakan sikap enggan menerima teguran daripada orang ramai.
"Sesungguhnya semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan berasa menyampah," katanya lagi.
Pertahan Putrajaya
Dalam ucapan itu juga, Najib mengingatkan anggota BN supaya mempertahankan penguasaan parti itu daripada kemaraan parti pembangkang yang "hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa."
"Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun.
"Kalau teringin sahaja tak apa, tapi teringin sangat, itu yang bahaya," katanya yang disambut ketawa sinis hadirin.
Menurut Najib lagi, "angan-angan" 16 September yang dicanang oleh Pakatan Rakyat sebagai tarikh untuk merampas Putrajaya juga kini diketahui sebagai "satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanahair."
"Walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," tambah Najib.
Kekuatan BN urus hubungan kaum
Tambahnya, kekuatan BN dalam menguruskan hubungan kaum di Malaysia merupakan satu perkara yang dibanggakan dan BN tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan sentimen perkauman.
BN juga menurutnya tidak pernah menjadikan rasisme sebagai teras pengurusan hubungan kaum di negara ini.
“Jika kita tinjau di Amerika Syarikat, kononnya sebagai negara yang dijadikan contoh kepelbagian demokrasi pun, telah mengambil masa lama yakni 87 tahun dari tarikh pengisytiharan kemerdekaan yang menyatakan 'semua manusia diciptakan sama.'
“Ia memakan tempoh 102 tahun lagi selepas itu apabila semua diskriminasi dalam pendaftaran pengundi diharamkan," katanya lagi.
Katanya lagi, BN meraih kejayaan paling besar dalam menukar titik kelemahannya kepada satu kelebihan persaingan.
"Kejayaan ini begitu mengkagumkan kerana kita tidak mengambil jalan mudah mengamalkan kaedah 'kawah pelakuran' atau melting pot dalam membina negara – perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu pula dicipta.
"Kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana-mana budaya, tidak juga pernah cuba menukar asal-usul sesiapa. Sampai sekarang ini, masing-masing bebas mengekalkan jati diri," katanya lagi.
Tindakan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail menyifatkan ketua umum parti itu sebagai satu 'anugerah Tuhan' minggu lalu, hari ini menjadi bahan ketawa di Konvensyen BN pula apabila isu tersebut disentuh dalam ucapan dasar pengerusinya,Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah Najib mengaitkannya pula dengan “drama songsang" yang dipercayai ditujukan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap kehebatan suaminya itu," kata Najib yang sengaja mengulangi dan menekankan perkataan "kehebatan" itu dalam ucapannya sehingga menyebabkan para perwakilan ketawa.
"Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu boleh dibuat?
"Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga pernyataan begini sanggup dikeluarkan?
"Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu," kata Najib lagi yang turut meminta rakyat supaya tidak dipengaruhi perkara "karut-marut" seperti itu.
'Tentang PKR habis-habisan'
Najib juga berkata PKR yang disifatkannya sebagai "Parti Keluar Ramai-ramai" merupakan parti yang kehilangan sokongan massa.
"Ramai pemimpin utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda, naib ketua pemuda... Panjang senarai ini, bagi saya minum dulu," katanya lagi
Dalam berlucu, Najib bagaimanapun tetap mengingatkan supaya anggota parti itu mengawasi tindakan para pemimpin PKR.
"Mereka ini amat-amat berbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara.
"Mereka ini anti-nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak-perandakan oleh kegiatan durjana mereka," tambahnya.
Najib berkata Pakatan Rakyat juga cuba meniru kerjasama dalam BN tetapi tidak berhasil kerana sikap talam dua muka yang ditunjukkan pemimpinnya.
"Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apa pun yang dicipta adalah hanya percubaan pembangkan yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka," katanya lagi.
Jelasnya, kerjasama di antara PAS dan DAP hanya kelihatan "seolah-olah bersatu" disebabkan wujudnya pihak ketiga.
"Kalau dulu parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih PKR. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleng rakyat," katanya lagi.
Najib turut mempertikaikan penjawatan bagi kedudukan tertinggi dalam PKR yang didakwa tidak menunjukkan demokrasi di dalam parti itu.
"Daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Orang India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorangpun perwakilan di peringkat tertinggi parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan