Ketika mengesahkan jumlah tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, semua yang ditahan itu adalah orang dewasa.
Antara mereka, kelihatan seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Amin Ahmad dibawa dengan sebuah trak bersama yang lain.
"Manakala seorang wakil rakyat ditahan polis pagi tadi telah pun dibebaskan," katanya dipercayai merujuk kepada ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu negara, beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan di Balai Polis PGA Cheras.
Menurutnya, pihak polis telah menghubungi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim jam 10.20 pagi tadi meminta supaya jangan berarak ke Istana Negara.
Pihak polis juga, katanya, akan memberi bantuan untuk menghantar memorandum tersebut ke Istana Negara.
'Sepatutnya contohi Gaps'
Zulkefli berkata, sebuah lagi kumpulan, Ggasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.00 pagi dan berjaya menyerahkan memorandum pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Pada jam 2.05 petang, polis mengiringi menteri besar Selangor itu bersama 10 anggota delegasinya untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Zulkefli juga menyuarakan rasa sedih dan kesalnya kerana penyokong baju merah yang berhimpun di Masjid Negara tidak bersurai sejurus selepas diarahkan.
"Kita permudahkan perjalanan mereka (baju merah) untuk hantar demo. Tetapi mereka tidak hargai dan kata kita berat sebelah. Saya kesal.
"Kita beri peluang pada kedua-dua belah pihak. Kita tengok Gaps, dia ikut cakap kita. Pihak Gaps setuju bila dibenarkan berhimpun dalam kumpulan kecil dan kemudian menyerahkan memorandum dan tiada perarakan ke istana.
"Itulah yang sepatutnya perlu dicontohi," kata Zulkefli.
Menurutnya, pada jam 3.05 petang, pihak polis bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.
Dihantar kembali ke masjid negara
Sebelum itu, ahli parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, mereka yang ditahan itu dibawa menaiki dua trak polis.
Mereka ditahan selepas kira-kira 300 anggota polis membuat serbuan pada jam 2.45 petang tadi apabila penyokong baju merah itu enggan bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.
Mereka yang ditangkap itu tidak sempat melarikan diri manakala yang lainnya berebut masuk ke dalam ruang solat masjid untuk berlindung.
Penyokong baju merah yang berada di masjid itu terdiri daripada mereka yang berpatah balik ketika menyertai perarakan ke Istana Negara selepas pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan merian air.
Sementara itu, difahamkan kesemua yang ditahan kini dalam proses dibawa kembali ke masjid negara, tempat mereka ditahan.
Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.
Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak
Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air di hadapan stesen lama KTM.
Manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.
Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kemudiannya, penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.
Khalid kemudiannya menyerahkan memorandum serta 150,000 tandatangan kepada wakil Istana Negara. Menurut exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, pihak polis tidak membenarkan mereka mengambil gambar.
Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang masih berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai.
Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.
Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.
Angka itu bertambah sehingga 7,000 orang sebelum berselerak sedikit demi sedikit apabila disembur meriam air dan gas pemedih mata bertalu-talu.
Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.
Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.
Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.
Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.
Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.
Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.
"Saya berjanji tidak ada sesiapa yang ditangkap sekiranya tuan-tuan beredar secara sukarela dan aman," katanya melalui pembesar suara milik kumpulan baju merah.
Dr Zulkefly dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut memainkan peranan menenangkan dan menyuraikan peserta perhimpunan itu
Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad, bekalan air untuk warga diseluruh negara dikendali dan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
JKR ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari untung. Tidak ada individu atau Datuk yang memiliki saham dalam lembaga JKR. Saham JKR dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR ini adalah harta awam. Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan orang ramai. Berkhidmat untuk kebajikan semua warga negara adalah niat dan rukun iman JKR.
Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar penswastaan adalah dasar kapitalis di mana semua hak milik rakyat yang di bawah jagaan kerajaan dijualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata di mana harta rakyat disonglap oleh para kroni.
Caranya bagini:
Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar di mana harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli saham.
Tak perlu silap mata
Cara mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang – tak perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan air yang awalnya milik orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah syarikat. Lalu Menteri Kewangan meletakan nilai terhadap saham air syarikat ini
Kementerian kewangan mengeluarkan 'pink form' atau borang merah jambu. Tertera di borang ini adalah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang kroni. Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh membawa borang ke bank. Bank dengan berbesar hati akan menyediakan pinjaman berlandaskan jumlah saham yang tertera di borang. Pinjaman dari bank ini untuk membolehkan sang kroni membeli saham yang akan diapungkan.
Sebelum ini Menteri Kewangan akan meletakan harga terhadap saham air di syarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang agak rendah. Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan borang merah jambu akan dapat dijualkan balik dengan harga yang lebih mahal. Saham ini diapungkan – kerana dinilai murah - maka apabila diapungkan ramai pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.
Maka tuan empunya borang merah jambu dan tuan empuya saham akan menjualkan saham dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan di mana kaum kerabat, kroni dan elit kawan-kawan di Umno dapat membuat – bukan mee segera tapi duit segera.
Justeru, para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak Menteri akan jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Mereka semua mendapat manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar ini hingga ke liang lahad.
Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan - memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak di siang hari?
Betul. Ini satu rompakan rasmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang diajukan oleh Umno. Rompakan ini juga menggunakan parlimen untuk menghalalkan cara merembat harta orang ramai. Inilah caranya bagaimana air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh syarikat Syabas.
Kisah rompakan
Untuk memastikan harta rompakan ini akan terus membawa keuntungan, Umno telah mengikat perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat ini. Dalam perjanjian jual beli ini Umno telah memastikan setiap dua atau tiga tahun harga air wajib dinaikkan.
Kenapa kah ini berlaku? Tidakkah sesiapa nampak akan butir isi perjanjian ini?
Rompakan ini cukup licik - orang yang merompak dan orang yang membuat perjanjian adalah malaun yang sama. Ertinya Pak Menteri yang bertanggung jawab membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam syarikat yang diswastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!
Kalau diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini bukan bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara. Semua boleh diurus. Ini dasar Malaysia boleh!
Perlu diberitahu bahawa surat perjanjian ini tidak pernah diketahui oleh orang ramai. Perjanjian antara Syabas dan kerajaan Selangor telah menjadi rahsia dan jatuh di bawah Akta Rahsia Kerajaan. Inilah cara si perompak merompak harta orang ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.
Rahsia sudah kantoi
Hanya apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul sampahkan Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat kerajaan Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia. Rahsia Syabas sudah kantoi!
Hari ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat air Syabas. Ertinya dikembalikan kepada kedudukan asal di mana air dan semua yang bersangkutan dengan air di Selangor bukan milik syarikat atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta dikembalikan untuk dijadikan hak milik orang ramai sekali lagi.
Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?
Semenjak tahun 1997 apabila air di Selangor diswastakan amat jelas ia telah merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun ini telah dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum keluarga. Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmahan. Bukti ini muncul daripada laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Tahukah warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa: bahawa gaji CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah RM5.1 juta setahun atau 425,000 ringgit sebulan. Bayangkan kalau RM5 juta ini duit lima sen - sudah tenggelam seluruh tasik air di Hulu Langat.
Perlu juga diberitahu daripada laporan audit ini, syarikat Syabas ini telah memberikan 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat kroni melalui rundingan 'sap sap sui'. Juga daripada laporan yang sama telah diketahui bagaiman RM325 juta 'tenggelam lesap' entah ke mana.
Melihatkan ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur hebat untuk mengambil alih kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini warga Selangor telah mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini diberi ketika Syabas masih lagi syarikat swasta.
Kembalikan hak rakyat
Bayangkan jika Syabas ini milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat kita sama sama rasa? Seluruh warga Selangor dapat berenang dengan duit yang telah diselamatkan dari dirompak.Apa yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta rakyat yang telah difaraidkan oleh Mahathir dan konco-konconya. Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh lagi. Api, lebuh raya, hospital, klinik - adalah di antara harta rakyat yang telah dirompak melalui dasar penswastaan.
Orang ramai – anak semua bangsa – tidak ada pilihan melainkan menolak dasar penswastaan. Amat jelas dasar ini adalah dasar yang tidak membawa kebajikan untuk orang ramai. Dasar ini hanya imembawa laba, untung, kekayaan dan kebajikan untuk pemilik saham
Selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Khalid menyatakan kekesalannya kerana "polis tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman"
“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata menteri besar.
Dalam satu kenyataan, Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan hari ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.
“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air," tambah Khalid.
Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang didakwa hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi.
Suhakam: Tugas polis bukan maki hamun
Menurut Khalid, beliau berjaya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman kira-kira jam 2.15 petang.
Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mohd Shaani Abdullah berkata, mereka mendapati polis bertindak tidak profesional menangani perhimpunan membantah kenaikan harga air di Selangor hari ini.
"Mereka (polis) perlu dilatih lagi. Tugas mereka bukan mendera atau maki hamun orang ramai. Ini tidak dilakukan dengan betul dan mereka sepatutnya profesional menanganginya.
"Ia menyebabkan orang ramai benci pada polis. Mungkin perhimpunan ini tiada permit tetapi mereka tidak patut mengeluarkan kata-kata kesat," katanya kepada pemberita di Masjid Negara selepas tamat perhimpunan baju merah itu.
Sementara itu, ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzukefly Ahmad pula menyifatkan polis bertindak keterlaluan menangani perhimpunan itu.
"Kami bercadang bangkitkan perkara ini dalam sidang parlimen yang akan datang," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan