Sabtu, 4 Disember 2010

CADANGLAH...ASALKAN TAK LANGGAR SYARIAT ISLAM DAN MENGUNTUNG SEBELAH PIHAK SAJA....INI TIDAK ADIL DAN ZALIM...

Sekumpulan anggota Bomba dan Penyelamat berbincang sesuatu semasa memeriksa kereta Perodua Myvy yang hangus terbakar selepas merempuh sebuah trelar panjang di Kilometer 241.1 berhampiran plaza tol Pedas-Linggi menghala ke utara pada pukul 6 pagi tadi. Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan dua penumpang turut rentung dan identiti serta jantina mereka belum dikenalpasti. Foto BERNAMA


Tiga Rentung Kereta Rempuh Treler Di Rembau

REMBAU: Dua penumpang dan seorang pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi mati terbakar apabila kenderaan mereka dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Km 241.1 berhampiran plaza tol Pedas-Linggi menghala ke utara pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Yusof Samad berkata kereta terbabit yang datang dari arah Melaka dikatakan melanggar belakang treler panjang itu yang sedang bergerak perlahan di lorong sebelah kiri ketika membawa jengkaut.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit terbakar dan mangsa-mangsa mati rentung. Kita mengeluarkan dua mayat yang sudah rentung di bahagian hadapan serta satu lagi di tempat duduk belakang kereta berkenaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.09 pagi mengenai kemalangan itu sebelum mengejarkan sebuah jentera bersama sembilan anggota ke tempat kejadian.

Mayat mangsa yang belum dikenali dihantar ke Hospital Seremban.

Pemandu treler terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Pie yang berusia dalam lingkungan 40-an memberitahu, dia sedang dalam perjalanan dari Johor Baharu untuk menghantar jengkaut ke Banting, Selangor.

"Ketika itu keadaan masih gelap dan tidak ada lampu jalan di kawasan sekitar. Tiba-tiba saya rasa ada letupan, saya fikir tayar belakang treler saya meletup. Saya kemudiannya bergerak ke arah lorong kecemasan.

"Sebaik turun dari treler, saya lihat sebuah kereta Myvi sedang melekat di belakang treler saya. Mungkin saya terheret kereta itu ketika saya membawa treler saya ke lorong kecemasan.

"Saya juga lihat asap naik berkepul-kepul. Ketika saya sedang mengundur treler saya, tiba-tiba api menyala dan membakar keseluruhan kereta itu dan saya tidak mendengar sebarang jeritan dari mereka di dalam kereta itu," kata Pie.

Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati kereta berkenaan yang mempunyai plat pendaftaran MBE 5834 telah dibeli oleh seorang anggota polis di Melaka, namun anggota berkenaan dipercayai sedang berada di pantai timur.

Polis sedang mengesan pemandu sebenar kereta itu, katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-685 1999 atau 06-685 2222 untuk membantu siasatan kes kemalangan berkenaan. - BERNAMA




Ketuanan Melayu: Penasihat Undang-Undang UMNO Saran ISA Diguna Pakai

KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai dalam isu berhubung kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai "ketuanan Melayu" semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lepas.

Beliau berkata kenyataan itu sekali lagi mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah bahawa ketuanan Melayu harus 'dibakulsampahkan' merupakan satu bentuk cabaran secara khusus kepada peruntukan undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ia bukanlah satu hak kebebasan untuk bersuara.

Memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa jangan dipersoalkan hak keistimewaan Melayu dan ini disambut oleh pemimpin-pemimpin daripada badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pakar-pakar perundangan, beliau menyarankan supaya ISA diguna pakai dalam menangani isu itu.

"ISA perlu dilakukan terhadap pemain-pemain utama dalam PKR, DAP ataupun PAS yang masih lagi terus mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu kerana terbukti mereka cuba mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu disebabkan hak-hak istimewa ini," katanya dalam wawancara dengan UMNO-online.com.

Beliau berkata apabila kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa juga yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka, apatah lagi dalam satu kongres yang turut dihadiri bukan Melayu, ia bukan lagi berbentuk cabaran tetapi lebih kepada memperlekehkan kedudukan, status hak orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

"Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk 'entrenched' yang mana ia adalah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan," katanya.

Artikel 152 ialah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan manakala Artikel 153 khusus kepada hak keistimewaan orang Melayu iaitu kedudukannya daripada segi permit, biasiswa dan sebagainya dan Perkara 181 pula berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Maka, dengan ini satu laporan polis dengan mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telahpun dilakukan iaitu di bawah seksyen 3 (1) (f) dan boleh dihukum sekiranya disabitkan hukuman mengikut seksyen 4 pada Akta Hasutan 1948," katanya.

Mohd Hafarizam berkata perkara kedua yang boleh didakwa ke atas Dr Wan Azizah ialah kenyataannya bahawa ini bukanlah berbentuk kebebasan bersuara seperti mana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, kerana artikel ini ada kekangan atau sekatannya, melainkan ada undang-undang lain yang mengecilkan skop Artikel 10 iaitu walaupun ada hak untuk bersuara tetapi termaktub dalam Akta Hasutan 1948.

Perkara ketiga yang perlu diketengahkan dalam laporan polis ialah dengan mengatakan bahawa PKR telah secara zahir bersekongkol bersama dengan merelakan perbuatan oleh orang yang tidak lain tetapi Presidennya.

"Untuk itu, perlu juga satu laporan dibuat bersekali atau dalam laporan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan bagi melihat kedudukan PKR kerana telah nyata bahawa mereka memupuk semangat kebencian, prasangka antara kaum dan perlu diambil tindakan yang mana salah satu tindakannya ialah dibatalkan pendaftaran PKR ini," katanya.

Beliau turut menggesa Pendaftar Pertubuhan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan mengawal selia pertubuhan politik dan bukan politik melihat dengan teliti kuasa yang ada padanya agar PKR diambil tindakan.

"Malah, Umno sendiri pernah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1987 dan mengapa PKR perlu mendapat keistimewaan seolah-olah mereka kebal," katanya. -BERNAMA



Pemuda Gerakan Mahu Remaja 18 Tahun Diberi Peluang Untuk Mengundi

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta supaya mengkaji menurunkan untuk umur pengundi mulai umur 21 tahun kepada 18 tahun memandangkan mereka yang berumur 18 tahun kini sudah mampu membuat keputusan yang matang.

Ini adalah antara 12 resolusi yang merangkumi aspek pentadbiran negara, pendidikan, politik dan ekonomi yang diluluskan oleh Persidangan Perwakilan Nasional Pemuda Gerakan, di sini, Sabtu.

Pemuda Gerakan juga mencadangkan supaya pendaftaran secara automotik dilakukan ke atas warganegara yang mencapai usia untuk mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengenai soal pendidikan, pergerakan itu mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menubuhkan Majlis Perundingan yang bertanggungjawab untuk memantau, merancang dan memberi cadangan kepada kementerian itu mengenai pengurusan dan penambahbaikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang didakwa sering dipinggirkan.

Selain itu Pemuda Gerakan mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa bergiat dalam politik memandangkan mereka menpunyai kematangan untuk membahagikan masa antara belajar dan bergiat dalam politik.

Pergerakan Wanita Gerakan yang mengadakan persidangan perwakilan serentak dengan pergerakan Pemuda di Menara PGRM di sini meluluskan empat resolusi yang merangkumi 16 perkara antaranya menyarankan supaya kerajaan memansuhkan perkatan "kaum" dalam semua jenis borang permohonan.

Selain itu, mereka menyarankan supaya kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja, termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli politik, pengawai kerajaan dan pemimpin masyarakat yang membangkitkan isu-isu sensitif seperti agama dan kaum yang boleh menimbulkan ketidakpuasan, kesalahfahaman atau kemarahan antara rakyat.

Dalam memperjuangkan hak keselamatan kaum wanita pula, pergerakan itu mencadangkan supaya kerajaan menggubal hukuman yang lebih berat bagi pesalah dalam kes keganasan terhadap wanita.

Bagi menggalakkan supaya wanita terlibat dengan lebih aktif dalam politik, Wanita Gerakan juga sebulat suara menyeru supaya kerajaan mengambil langkah-langkah bagi mengalak dan mengurangkan rintangan bagi wanita untuk menceburi dalam bidang tersebut serta memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang. - BERNAMA



Wanita Gerakan Syor Wang Caruman Untuk Isteri

KUALA LUMPUR: Wanita Gerakan menyarankan supaya kerajaan mewajibkan suami mencarum kepada kumpulan wang simpanan isteri sebagai mengatasi masalah kewangan bila berlaku penceraian.

Ketua Wanitanya Datuk Tan Lian Ho berkata tabungan itu perlu diwujudkan memandangkan jumlah penceraian di negara ini semakin membimbangkan dan sebilangan bekas suami enggan menunaikan tanggungjawab menanggung nafkah anak-anak mereka.

"Wanita (Gerakan) juga mencadangkan supaya suami yang enggan membayar nafkah anak-anak selepas bercerai dikenakan hukuman penjara atas ketidak kebertanggungjawapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan tahunan Wanita Gerakan di sini, Sabtu.

Tan berkata bekas suami diwajibkan membuat caruman kepada tabung itu sehingga anak-anak mereka sudah bekerja.

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan supaya tindakan tegas, termasuk buang kerja diambil ke atas mana-mana pihak yang menggunakan isu perkauman dan pilih kasih dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

"Selagi isu ini tidak ditangani dengan baik dan secara bijak, selagi itulah rakyat tidak akan berpuas hati dengan pihak kerajaan. Rakyat hari ini hanya ingin melihat keadilan dan ketelusan dalam tadbir urus negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Lim Si Pin dalam ucapan dasar pada persidangan tahunan sayap itu, mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Tabung Unit Amanah Bumiputera bagi memastikan 30 peratus ekuiti perniagaan bagi kaum itu dilindungi.

Katanya tabung itu boleh bertindak dengan membeli balik saham yang dijual oleh mana-mana syarikat tersenarai atau individu yang ingin menjual balik saham masing-masing.

"Dengan cara ini, peratusan ekuiti kekal sama," jelasnya.

Beliau juga menggesa pemaju hartanah memansuhkan diskaun lima peratus kepada pembeli Bumiputera yang membeli rumah bernilai lebih RM500,000.

Sebaliknya, Lim berkata keistimewaan itu harus digunakan sebagai subsidi bagi golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah kos rendah.

Beliau juga meminta ahli sayap itu supaya kembali menghayati perjuangan dan idealogi bekas presiden mendiang Tun Dr Lim Chong Eu dalam membantu membela nasib rakyat. - BERNAMA



Pro-Canselor UiTM Saran Sumbangan Bulanan RM10 Dari Setiap Siswazahnya

SHAH ALAM: Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub pada Sabtu menyarankan sumbangan bulanan RM10 dari tiap seorang daripada lebih 400,000 siswazah yang telah dilahirkan oleh universiti itu setakat ini bagi mengurangkan pergantungannya pada bajet kerajaan.

Ketika membuat saranan itu, Arshad merayu kepada siswazah UiTM agar mula membuat sumbangan token "membalas jasa" kepada tempat pengajian mereka agar ia dapat memperkenalkan lebih banyak program ijazah atau diploma, malahan membolehkan lebih ramai pelajar dari keluarga miskin melanjutkan pengajian di universiti itu.

"Jika setiap daripada anda dapat menghulurkan RM10 saja sebulan, ini bererti UiTM dapat mengumpulkan lebih RM40 juta setahun.

"Sekarang kita terpaksa memohon kepada kerajaan untuk segalanya bagi mengelola universiti," kata beliau dalam ucapannya di majlis konvokesyen ke-73 UiTM di sini. Sejumlah 881 pelajar menerima ijazah dan diploma kejuruteraan daripada Arshad pada majlis itu.

Arshad berkata: "Bagi perokok di kalangan alumni UiTM, RM10 bererti anda hanya kekurangan sekotak rokok sebulan. Ini masanya anda membalas budi kepada kerajaan atas segala yang telah dilakukan bagi membiayai pengajian anda".

Beliau berkata kerajaan menanggung kos RM1.5 bilion setahun bagi mengendali UiTM dan ini dijangka meningkat kepada RM1.6 bilion tahun depan.

Arshad, pengarah perintis universiti itu ketika ia masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum ini, berkata UiTM amat bangga dengan kursus ijazah kejuruteraannya kerana ia mendapat pengiktirafan hingga di peringkat antarabangsa.

Beliau memberitahu siswazah itu bahawa mendapatkan ijazah dan diploma hanya permulaan dalam kehidupan pasca universiti dan cabaran sebenar adalah bagi mereka membuktikan nilai diri dalam pasaran kerja.

"Jangan berhenti belajar hanya kerana anda telah lulus. Belajar adalah proses sepanjang hayat dalam urusan setiap minit, setiap jam, dan setiap hari," ujarnya.

Arshad juga mengingatkan siswazah agar memberi keutamaan kepada menguasai bahasa Inggeris oleh kerana bahasa itu adalah kunci sebenar untuk menimba ilmu.

"Sepanjang anda menuntut di UiTM, menguasai Inggeris telah diberi penekanan. Saya terkilan jika anda telah tidak menggunakan masa anda dengan sebaik-baiknya untuk menguasai bahasa yang penting ini," kata beliau. - BERNAMA



Rang Undang-undang Perubatan Tradisional Dibentang Di Parlimen Awal Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang memuktamadkan Rang Undang-undang mengenai Perubatan Sokongan Tradisional (PST) yang dijangka dibentangkan di Parlimen awal tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kini ia di peringkat pengumpulan input dan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

"Kami sepatutnya menyiapkannya (Rang Undang-undang) tahun ini, tapi masih mendapatkan pandangan daripada Majlis PST, pertubuhan dan pengamal mengenai perkara berkaitan hukuman dan pendaftaran," katanya.

Liow berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Perubatan dan Kiropraktik Cina 2010 dan Pusat Penjagaan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) di sini, Sabtu.

Katanya ada pengamal bimbang kerajaan akan mengenakan kawalan terhadap pengamal penggunaan rawatan tradisional apabila peraturan itu dilaksanakan kelak.

Beliau berkata Majlis PST dianggotai pengamal perubatan tradisional dan telah mendaftarkan kira-kira 10,000 pengamal dari seluruh negara.

Katanya Malaysia bekerjasama dengan China daripada segi latihan dan rawatan serta penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan tradisional.

Kata Liow enam kolej dan universiti swasta di negara ini menawarkan program perubatan tradisional dan sokongan.

Mereka ialah Kolej Perubatan Sokongan di Melaka, INTI International University College (Nilai, Negeri Sembilan), Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (Cyberjaya), Universiti Pengurusan dan Sains (Shah Alam, Selangor), Universiti Perubatan Antarabangsa (Bukit Jalil, Kuala Lumpur) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Kampar, Perak).

Terdahulu, dalam ucapannya, Liow berkata dua lagi unit PST akan disiapkan sebelum akhir tahun ini iaitu di Hospital Port Dickson dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Tahun depan, kami akan memperluaskan konsep hospital bersepadu ke lebih banyak hospital, termasuk ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu," kata Liow.

Beliau berkata kini terdapat enam hospital bersepadu di Malaysia - di Kepala Batas, Putrajaya, Pandan Mewah (Kuala Lumpur), Kuala Terengganu, Sandakan dan Kuching.

Seminar tersebut memberi fokus terhadap kesihatan holistik pesakit, di samping penyediaan konsep bersepadu dalam bidang penjagaan kesihatan yang menggabungkan perubatan barat dan tradisional serta perubatan sokongan di bawah satu bumbung.

Seminar dua hari itu mempertemukan penceramah dari Malaysia, China dan Australia untuk memperkatakan tentang idea, maklumat dan pengetahuan terkini dalam bidang perubatan sokongan dan tradisional. - BERNAMA



Mungkinkah Anggota BN Lain Turut Tangguhkan Pemilihan?

KUALA LUMPUR: Selepas UMNO, parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN), memutuskan untuk menangguhkan pemilihannya yang dijadualkan tahun depan hingga selama 18 bulan, banyak pihak menjangka beberapa parti komponen B Nlain akan turut menjejak langkah yang sama.

Antaranya parti Gerakan, yang sepatutnya mengadakan pemilihannya tahun depan.

"CC (Jawatankuasa Pusat Gerakan) akan bermesyuarat pada 18 Dis ini untuk membincangkan perkara itu. Sebelum itu, CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) juga akan membincangkan perkara serupa," kata timbalan presidennya Datuk Chang Ko Youn kepada Bernama.

Beliau berkata Gerakan pernah menangguhkan pemilihannya pada 2007 berikutan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada awal Mac 2008 dan mengadakannya selepas itu.

"Terdapat pelbagai pandangan tentang perkara ini, tapi secara umumnya, beberapa pemimpin berpendapat lebih baik parti itu menangguhkan pemilihannya untuk mengurangkan perbalahan dalaman. Sekiranya pemlihan diadakan tahun depan, semua orang akan merebut jawatan, dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat nasional.

"Sebab itulah, kami percaya, lebih baik kami tangguhkan pemilihan parti supaya setiap orang boleh memberi tumpuan terhadap pilihan raya umum yang amat penting bagi kelangsungan hidup parti," katanya.

Bagi MCA, anggota kedua terbesar dalam BN, pemilihannya pada tahun depan akan diadakan seperti yang dijadualkan, melainkan jawatankuasa pusat (CC) parti itu membuat keputusan sebaliknya.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata: "Pemilihan parti tetap diadakan mengikut jadual...setakat ini belum ada rancangan untuk menangguhkannya.

"Kalau kami menangguhkan pemilihan parti, ada syarat tertentu yang perlu kami penuhi terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian," katanya.

Datuk Ti Lian Ker, seorang anggota CC, berkata mengikut perlembagaan parti itu, MCA hanya boleh menangguhkan pemilihan jika ada pilihan raya umum dan itupun, ia hanya boleh ditangguhkan untuk tempoh tertentu sahaja.

"Lagipun, mengikut perlembagaan, kami tak boleh sewenang-wenangnya menangguhkan pemilihan parti kerana terdapat syarat tertentu yang menyatakan bahawa ia hanya boleh ditangguhkan selepas tiga tahun setengah pilihan raya umum terakhir diadakan. Daripada segi teknikal, kami hanya boleh berbuat demikian menjelang September," katanya.

Ti berkata walaupun masih terlalu awal bagi kepimpinan parti itu membuat keputusan tentang perkara berkenaan, tetapi beberapa anggotanya percaya mesyuarat CC pada 13 Dis ini akan memberi beberapa petunjuk mengenainya walaupun perkara ini telah disuarakan pada mesyuarat sebelum ini.

Pada 2007, MCA menangguhkan pemilihannya di semua bahagian hingga selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, yang menyaksikan Datuk Seri Ong Tee Keat dipilih sebagai presiden dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan beliau.

Bagaimanapun, parti itu kemudiannya dilanda krisis dalaman hingga memerlukan pemilihan baru bagi jawatan tertinggi atau barisan kepimpinan di peringkat pusat diadakan pada Mac tahun ini yang membawa kepada pemilihan Dr Chua sebagai presidennya yang baru.

MCA perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat untuk memilih penyandang jawatan bagi penggal tiga tahun kerana pemilihan yang diadakan pada Mac tahun ini untuk barisan kepimpinan tertingginya, hanya meliputi baki tempoh semasa yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.

Bagaimanapun, perkara ini tidak menjadi isu bagi kebanyakan parti komponen BN lain, khususnya dari Sabah dan Sarawak kerana mereka telah mengadakan pemilihan masing-masing pada tahun ini, kecuali Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang dijadualkan mengadakan pemilihannya pada akhir tahun depan.

"Kami tak ada rancangan untuk menangguhkannya. Tidak menjadi masalah bagi kami kerana pilihan raya negeri perlu diadakan sebelum Julai tahun depan.Pemilihan dalam parti kami, terutama di peringkat cawangan, hanya akan bermula selepas itu. Ia tidak begitu menjejaskan kami," kata Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Bernama di sini.

Tiada ulasan: