Selasa, 7 Disember 2010

BERPADU LAH DALAM MENTAKWA DIRI....DAN SEDAR KITA MAKHLUK ALLAH YANG AKAN MATI...BERPADU DALAM MENCEGAH MUNGKAR DAN MENGAJAK AMAL MAKRUF.....

Agong: Jangan runtuhkan perpaduan
Dis 7, 10 2:34pm


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah baginda pada sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah.

"Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah satu yang mudah, dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Baginda bertitah, semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara.

"Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara yang tercinta ini atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah ini dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu wata'ala," titah baginda.

Menyentuh mengenai peristiwa Hijrah, Tuanku Mizan bertitah peristiwa itu telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam dan telah menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan usaha yang gigih dalam mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Umat Islam perlu mengambil contoh golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi Islam, titah baginda.

Baginda bertitah, semua pengajaran ini akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya "kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan."

Baginda juga berharap rakyat Malaysia dapat sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan di negara ini, dan bagi umat Islam turut menghayati tema sambutan Ma'al Hijrah tahun ini iaitu "1Malaysia, 1Ummah."

Seri Paduka turut menyarankan semua pihak, terutama agensi kerajaan dan sektor swasta supaya meningkatkan lagi program penghayatan nilai berteraskan tuntutan agama bagi melahirkan modal insan berintegriti tinggi.

- Bernama

'Umno S'gor tidak ketandusan pemimpin'
Abdul Rahim Sabri
Dis 7, 10
3:25pm


Umno Selangor tidak ketandusan tokoh untuk memimpin parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah semalam.

Malah, ahli jawatankuasa Umno negeri Datuk Amiruddin Setro berkata kekuatan Umno di negeri itu "bukan bergantung kepada individu tertentu kerana kekuatan parti perlu dinilai secara keseluruhan".

"Sejarah sebelum ini menunjukkan terdapat tokoh Umno di negeri ini yang masuk penjara, tetapi kekuatan Umno tetap utuh," katanya merujuk kepada kes bekas menteri besar Datuk Harun Idris suatu ketika dahulu.

"Ini (dakwaan ke atas Dr Mohd Khir di mahkamah) satu ujian untuk menggerakkan jentera kita bagi pilihan raya umum ke-13.

"Perkara itu tidak menjejaskan apa-apa (terhadap jentera Umno negeri). (Lebih penting) adalah penyatuan dalam parti," katanya kepada Malaysiakini pagi ini

Amiruddin mengulas berhubung kedudukan Umno negeri dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 ekoran Dr Mohd Khir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan rasuah.

Dr Mohd Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

ADUN Sungai Panjang itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Amiruddin turut memuji sikap Dr Mohd Khir yang "gentleman" melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang DUN Selangor bagi membolehlan siasatan menyeluruh dilakukan tanpa menjejaskan imej Umno

Amiruddin yang juga ADUN Jeram turut menyangkal dakwaan bahawa Dr Mohd Khir dihadap ke mahkamah bagi membuktikan desas-desus akan berlaku rombakan dalam kepimpinan Umno di negeri itu.

"Ia tidak ada kaitan. Selagi tidak ada pengumuman rasmi, ia adalah desas-desus semata-mata," katanya sambil mengakui ada mendengar desas-desus mengenai rombakan tersebut.

Sementara itu, ketua Umno bahagian Kapar Datuk Abdul Rahman Palil turut sependapat dengan Amiruddin bahawa jentera parti tidak lemah ekoran Dr Mohd Khir didakwa di mahkamah.

"Umno tetap utuh. Parti dan jentera bekerja seperti biasa. (Jentera) kita bergerak sebagai satu pasukan dan tiada kumpulan-kumpulan tertentu," katanya.

Beliau berkata, Dr Mohd Khir juga belum dihukum bersalah oleh mahkamah dan menyerahkan kepada mahkamah bagi memutuskan berhubung pertuduhan terhadap bekas menteri besar Selangor itu.

"Undang-undang tetap undang-undang. Kita tidak pilih bulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Rahman yang juga ADUN Sementa berkata pihaknya akan memberi penerangan kepada akar umbi berhubung perkara tersebut sekiranya Pakatan Rakyat menimbulkannya.

"Takkan kerana seorang, kita nak hancurkan parti kita. Biar proses mahkamah menentukannya," katanya



PR perlu 'gelombang rakyat' untuk tumbangkan BN
Dis 7, 10 10:14am


Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

NONEJusteru, Guan Eng berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,

“Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, BN semakin rakus membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95, diesel, harga gas asli cecair (LPG) dan harga gula.

Yang peliknya, kata beliau, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia, umpamanya, terus menikmati subsidi gas.

Konvensyen kali kedua itu akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dan dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan.

Mereka termasuk pimpinan utama Pakatan seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penasihat DAP, Lim Kit Siang; presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, serta beberapa perwakilan asing.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan terus menerima asakan dan tohmahan Umno dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersamanya.

Katanya, ini kerana rakyat tahu bahawa kerajaan negeri Pakatan sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, berakauntabiliti dan telus.

“Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain sepertimana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), ” tambahnya.



Itu pandangan peribadi Ku Li, kata pengelola istana
Dis 7, 10 2:29pm


Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan tokoh politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Saya juga tidak dititahkan untuk membuat kenyataan berhubung kenyataan (Tengku Razaleigh) itu. Barangkali ia perlu dikaji oleh pakar yang berkaitan undang-undang,” katanya.

Abdul Halim memberitahu pemberita demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan Sultan Muhammad V, di Kota Bharu malam tadi.

Menurutnya, beliau perlu mendapat titah daripada Sultan sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Bekas menteri kewangan itu, dalam kenyataan kepada media semalam masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Disember, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

- Bernama


Sultan Perak tegur Melayu pertikai status keistimewaan
Dis 7, 10 5:47pm


Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Baginda menegaskan jika perkara itu dilakukan di kalangan orang Melayu sendiri maka mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan dan derhaka kepada bangsanya sendiri.

"Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggung jawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.

Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit, takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air," titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di Kuala Kangsar hari ini.

Titahnya, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

Sebaliknya, titah baginda, jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.

"Barang dijauhkan Ilahi daripada berlaku...oleh itu wajib dijadikan pengajaran daripada peristiwa kejatuhan empayar dan sejarah keruntuhan pemerintahan Islam. Begitu juga kisah-kisah ketewasan tentera Islam dalam pelbagai peperangan...belajarlah daripada nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat daripada perpecahan," titahnya.

Baginda menegaskan keistimewaan yang dinikmati umat Islam ini bukannya pipih datang melayang atau bulat datang menggolek kerana status agama Islam di negara ini mempunyai sejarah lama dan ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan daripada aqidah Islam adalah kerana telah dibina mekanisme-mekanisme secara perundangan untuk melindungi umat Islam daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.

"Sedarilah! Bahawa segala keistimewaan yang dimiliki oleh umat Islam di negara ini, adalah hasil daripada pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan bahawa umat Islam akan sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan sahaja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara, "titah Sultan Azlan.

Baginda bertitah keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan daripada segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan
umat Islam dari seluruh pelusok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

Titah baginda, pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci yang meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam dari sebarang usaha pemesongan.

Demikian tahap kejayaan perjuangan yang dapat dicapai melalui perpaduan ummah iatu perpaduan yang tidak dipisahkan oleh sempadan negeri, ideologi, profesion, disiplin pengajian atau status sosial mahupun status ekonomi, titahnya.

"Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung," tegas baginda.

Baginda turut berpesan agar sambutan Maal Hijrah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan, dapat bertawaduk untuk merendahkan ego diri serta sama-sama memohon Nur Illahi mencari jalan yang diredai.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak 1432 kepada Megat Riduan Megat Taib, 76.

Megat Riduan adalah kekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak dan pernah menjadi tenaga utama dalam menubuhkan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi dengan Sekolah Agama Rakyat di negeri ini.

- Bernama

Tiada ulasan: