Selasa, 7 Disember 2010

BERHIJRAH...DARI AMBIL SAMBIL LEWA TENTANG ISLAM ...DAKWAH SERTA TAQWA.....KEPADA AMBIK BERAT DAN BUAT FULLTIME SERTA DENGAN SESUNGGUHNYA

Pemimpin patut berlapar kerana rakyat
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 7 Dis: "Pemimpin sepatutnya berlapar kerana rakyat bukan rakyat berlapar kerana pemimpin," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Ahmad Bashir Abdul Aziz.

Beliau menyatakan ketika menyampaikan ceramah pada Sambutan Maal Hijrah 1432H Peringkat Negeri Pualu Pinang di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, malam tadi.

Menurutnya, pemimpin hari ini wajar meniru apa yang Rasullulah s.a.w lakukan sewaktu berusaha mengorek parit ketika menghadapi perang Khandak yang mana Baginda turut bersama sahabat bertungkus lumus bekerja mengorek parit untuk menghalang kemaraan tentara kafir.

Tetapi, katanya hari ini orang kenyang dengan makanan sehingga tidak menghiraukan Islam serta membiarkan rakyat menderita dengan masalah.

Hari ini, katanya ada juga rakyat terpaksa meletakkan batu di atas perut bukan kerana menahan lapar sebaliknya kerana terlalu kenyang atau kata lain 'mengah' dengan tujuan membuang angin.

Ketika Baginda sedang menahan lapar rupa-rupanya Abdullah bin Jabir sedang melihat kelakuan Baginda, maka terus menghampiri untuk mengajak Baginda makan kerana ada sedikit makanan di rumahnya.

Selepas diberitahu sambungnya, Rasullulah s.a.w memanggil semua sahabat dan petugas yang begitu ramai untuk bersama menikmati makanan yang ada di rumah Abdullah bin Jabir.

"Sekali lagi menyaksikan Baginda s.a.w bukan orang yang tamak atau mementingkan diri sebaliknya mementingkan rakyat untuk bersama menikmati makanan yang ada.

“Jika kita, yang penting sapu dulu baru bagi tahu orang," ujarnya diiringi ketawa orang ramai.

Beliau menambah, apabila Rasullulah tiba di rumah Abdullah, Baginda berpesan agar isterinya tidak mengangkat makanan daripada dapur apabila siap masak dan meletakkan tangan di atas makanan serta berdoa.

Akhirnya, makanan yang boleh dimakan dua hingga tiga orang dapat dinikmati oleh ribuan sahabat yang lain.

“Kalau hari ini ramai orang hilang tanggungjawab untuk menjaga kepentingan umum sebaliknya lebih kepada mengutamakan dirinya,” ujarnya.

Walaupun Baginda s.a.w berhadapan dengan adu domba, fitnah, provokasi dan cabaran yang teruk tetapi Baginda menghadapinya dengan baik dan dilihat mampu merealisasikan apa yang diinginkan oleh Islam.

Justeru itu, katanya sikap tamak, kepentingan diri, bongkah dan berbangga diri hendaklah dibuang jauh sempena Maal Hijrah mudah-mudahan apa yang dilakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Turut sama mendengar ceramah beliau ialah Tun Dr Abdul Rahman Abas, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, timbalannya, Dr Mansor Othman, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria, ketua-ketua jabatan dan orang ramai.

Sambutan kali ini juga menyaksikan Profr Madya Dr Radzi Othman dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah. Manakala Tokoh Saudara Kita diberikan kepada Muhamad Asyraf Tan Abdullah, Ibu Mithali Puan Juriah, Bapa Mithali Haji Abdul Razak Zakaria dan Tokok Pendakwah dianugerahkan kepada Ustaz Roslan Che Ros



Berundur: Samy Vellu 'sudah terlambat'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Biarpun bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur awal tiga bulan dari perancangan asal, namun ianya tetap dianggap 'sudah terlambat' untuk meyakinkan masyarakat India kembali semula kepada perjuangan parti itu.

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Balendran berkata, Samy Vellu sepatutnya berundur sejurus Pilihan Raya Umum 2008 lagi jika mahukan semula sokongan masyarakat India.

Namun katanya, keadaan itu sangat sukar untuk berlaku sekarang ini kerana masyarakat India sudah selesa dan yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat itu sendiri.

"Dia (Samy Vellu) sepatutnya meletak jawatan lepas PRU 2008 lagi.

"Sekarang ini sudah terlambat apabila Pakatan Rakyat sudah meyakinkan masyarakat India dengan pentadbiran berkebajikan mereka di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang," katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu juga, beliau yakin, pengunduran Samy Vellu itu tidak memberi banyak kesan kepada politik masyarakat India yang masih dibelenggu kebencian, bukan sahaja terhadap peribadi bekas Menteri Kerja Raya itu, malah juga kepada MIC itu sendiri.

Datuk G Palanivel yang menggantikan Samy Vellu sebagai Presiden MIC ke-8 pula katanya, masih dilihat dari kumpulan sama, dan masyarakat India pula tidak ramai mengenalinya.

"Masyarakat India secara umumnya tak kenal Palanivel.

"Palanivel mungkin akan tarik semula ahli MIC yang dulu, tapi saya yakin hanya sedikit akan kembali semula ke pangkuan MIC, itu pun atas sebab mahukan jawatan tertentu," katanya lagi.

Biarpun begitu, Pemuda DHPP katanya akan turun padang memberi penjelasan kepada masyarakat India untuk terus bersama Pakatan Rakyat menjelang PRU ke-13 yang disebut-sebut akan berlangsung tahun hadapan.

Mereka kini mensasarkan 60 parlimen yang ditandingi PAS yang berpotensi untuk menang pada PRU 13 nanti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Samy Vellu semalam yang melepaskan jawatan Presiden MIC kepada Palanivel setelah memegangnya selama 31 tahun.

Manakala setiausaha agung, Datuk Dr S Subramaniam pula dinaikkan pangkat menjadi timbalan presiden.

Samy Vellu, 74, pada mulanya akan terus memegang jawatan presiden sehingga bulan Mac 2012.

Bagaimanapun, terdapat gesaan supaya beliau berundur lebih awal dan menyerahkan jawatan itu kepada Palanivel untuk membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

MIC kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008 yang turut menyaksikan Samy Vellu sendiri tewas di kubu kuatnya di Sungai Siput



Wujudkah ‘tangan ghaib’ dalam kes pelajar UM?
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Rayuan pihak pendakwaraya berhubung kes 'Rosmah Puaka' membabitkan lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) akan didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur, esok.

Rayuan itu ekoran keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozana Ali Yusoff pada 24 September lalu yang membebaskan lima mahasiswa terbabit daripada pertuduhan jenayah di bawah Seksyen 427, 436, dan 447 Kanun Keseksaan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim memutuskan demikian setelah mendapati tiada bukti keraguan (prima facie) yang menunjukkan lima pelajar itu terbabit dalam kejadian tersebut.

Shazni Munir Mohd Ithnin (22 tahun), Muhammad Aizat Roslan (21), Muhammad Saufi Jelani (21), Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini (21) dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli (21) sebelum ini didakwa atas kesalahan cubaan melakukan perbuatan khianat, pencerobohan jenayah dan vandalisme.

Rozana dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaraya gagal membuktikan premis penting dalam pertuduhan yang boleh mengaitkan semua tertuduh melakukan khianat dan mempunyai niat yang sama.

Sehubungan itu, Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap agar mahkamah sekali lagi dapat memberikan keadilan kepada kelima-lima mereka seperti yang ditunjukkan pada 24 September lalu.

Menurut setiausahanya, Mohd Ridzuan Othman, mahasiswa menyokong penuh prosedur yang dijalankan mahkamah namun ia mestilah mempunyai hujah yang kuat sehingga membawa kepada rayuan kes tersebut.

"Di peringkat mahasiswa kita (mahasiswa) masih menaruh harapan besar di atas keadilan mahkamah di dalam kes ini sepertimana keadilan yang telah ditunjukkan setelah 5 mahasiswa ini dibebaskan 24 September lalu.

"Kita akur dengan prosedur mahkamah yang mana pihak pendakwaraya boleh menfailkan rayuan terhadap kes ke mahkamah yang lebih tinggi tetapi keadilan yang sewajarnya kita harapkan di dalam kes ini," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, SMM tidak menafikan kemungkinan wujudnya 'tangan-tangan ghaib' yang mengarahkan keputusan kes itu dirayu.

"Saya mempersoalkan adakah wujud tangan-tangan ghaib yang membuat rayuan ini semula sedangkan penghakiman yang telah dibuat oleh hakim Rozana jelas menunjukkan pendakwaraya gagal membuktikan tertuduh?

"Saya bimbang jika ada pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin mengenakan kelima-lima tertuduh ini. Namun saya yakin masyarakat telah membuka mata dan melihat kes ini dengan memberikan keadilan terhadap mereka yang terlibat," katanya lagi.

Namun tegasnya, SMM akan terus bersama mereka dalam menuntut keadilan bagi kelima-lima mereka dan menyeru seluruh mahasiswa hadir memberikan sokongan pada hari perbicaraan nanti.

"Walaupun begitu, seluruh mahasiswa akan bersama di dalam menuntut keadilan kepada lima mahasiswa UM ini dan mahasiswa akan terus memperjuangkan isu ini sehingga nama mereka dibersihkan segera dalam semua pertuduhan ini.

"Saya juga menggesa dan meminta seluruh mahasiswa bersama pada hari perbicaraan tersebut tanda sokongan dan keadilan kepada 5 mahasiswa UM ini," katanya



Dakwa Khir gimik pilihan raya
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Dakwaan ke atas Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo membuktikan keengganan kerajaan memerangi rasuah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun bekas Menteri Besar Selangor didakwa atas tuduhan rasuah, ia hakikatnya membuktikan keengganan kerajaan memerangi rasuah.

"Tuduhan ke atas Khir adalah yang paling lemah dari begitu banyak pendedahan kes rasuah ke atasnya.

"Ia hanya gimik (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang kelihatan sedang mencari-cari waktu yang memberi kelebihan kepadanya untuk mengadakan pilihan raya," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, keengganan kerajaan Najib memberi jalan supaya siasatan dapat dibuat ke atas pelbagai kes lain menguatkan lagi keyakinan bahawa ia bukan sahaja tidak mahu memerangi rasuah malah begitu selesa dengan rasuah.

"Sekatan apa yang dibuat oleh pihak kerajaan sehingga tidak boleh disiasat kes-kes seperti penyalahgunaan kuasa dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu, penyerahan medan minyak Blok L dan M, pembelian senjata dengan harga yang luar biasa mahal di Kementerian Pertahanan, penggunaan wang ihsan kepada Terengganu dari 2004 hingga 2008 dan terlalu banyak kes lain kalau disenaraikan sepenuhnya," kata Mahfuz.

Malah, katanya, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau lebih berani bertindak walaupun pemerintahannya disepakati sebagai paling buruk termasuk oleh sebahagian besar orang-orang Umno sendiri.

"Sekurang-kurangnya di zaman Abdullah, mata yang diperolehi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak merudum ke peringkat paling buruk dan beliau berani bertindak ke atas mereka yang masih berkuasa dan memegang jawatan tinggi seperti Tan Sri Kasitah Gadam.

"Najib hanya berani memperalatkan orang yang tidak ada kuasa seperti Khir untuk menunjuk-nunjuk kepada rakyat kononnya beliau juga bertindak ke atas kes rasuah.

"Setakat itu sahaja keberanian Najib untuk gimik pilihan raya," kata beliau.

Khir sendiri tidak menolak tindakan terhadapnya itu ada kaitan dengan pilihan raya.

"Saya tidak tahu, sebagai seorang ahli politik, saya mungkin berfikir begitu," kata bekas Menteri Besar Selangor itu.

Mahfuz juga mempersoalkan adakah sudah ada "kira-bicara" dibuat sebelum Khir didakwa di mahakmah memandangkan beliau begitu yakin perbicaraan di mahkamah nanti akan membersihkan namanya.

Khir berkata, kes mahkamah terhadapnya akan dapat membersihkan namanya berhubung isu kediaman mewahnya di Shah Alam



Semarakkan kemarahan rakyat atas kain rentang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad mengharapkan rakyat dapat “sekolahkan” pemimpin BN melalui kuasa politik.

“Pemimpin yang tidak memperdulikan rakyat ini hanya takut dengan azab dunia iaitu apabila kuasa mereka ditumbangkan oleh rakyat,” ujarnya.

Katanya, setelah mereka merasakan rakyat bertambah yakin melalui peti undi pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi, maka mereka sudah lupa kepada rakyat dan tidak mahu mengambil tahu tentang derita rakyat.

Tambahnya, kenaikan harga barang 4 dalam 1 pada 4 Disember lepas, memang tidak boleh diterima oleh akal.

Petrol RON 95 naik 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80, gas naik 5 sen menjadi RM1.90 sekilogram dan gula naik 20 sen menjadi RM2.10.

Katanya, biasalah hujah yang membodohkan rakyat dengan ungkapan penyelarasan dan subsidi dikurangkan, negara Singapura masih mahal berbanding dengan Malaysia.

“Kenapa tidak ambil contoh Brunei dan negeri yang ada minyak?” soalnya.

Katanya, Singapura walaupun mahal tetapi kuasa membeli rakyatnya tetap tinggi dan Singapura bukan negeri pengeluar minyak.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mengharapkan seluruh jentera penerangan parti dan Pakatan Rakyat mesti bangkit untuk menimbulkan kesedaran politik di kalangan rakyat terutama mereka yang tidak banyak menggunakan media baru.

Justeru itu, tambahnya semua cawangan PAS mesti menaikkan kain rentang di setiap kampung terutamanya, untuk membangkitkan kesedaran bahawa negara di dalam bahaya apabila diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tanamkan kesedaran kerajaan mesti ditukar kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, antara perkataan yang boleh ditulis di kain rentang dan diletakkan di tempat yang strategik dengan huruf yang besar dan ditukar dua minggu sekali untuk memaklumkan kepada rakyat supaya wajib menolak BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau mencadangkan antara ungkapan yang boleh ditulis iaitu “Terima Kasih BN Kerana Naik Harga Petrol, Diesel, Gas dan Gula, Barang Naik”, “Rakyat Kena Dulu”, ”Beri Kuasa Pada PR Kalau Tidak Boleh Jaga Rakyat”, “Kerajaan PR Teruji Dan Terbukti Membela Rakyat”, ”Pemimpin Kaya Rakyat Terseksa”, ”Pemimpin Joli Rakyat Tidak Dipeduli”, ”Jangan Biarkan Anak Cucu Kita Melarat”, ”Tolak BN Anda Mampu Mengubahnya”, ”Kami Rakyat Bermaruah Akan Tolak BN”, “Barang Naik, BN Tidak Pandai Memerintah”, “Tugas Kerajaan Jaga kebajikan, Bukan Tekan Rakyat”, “Selamatkan Negara Daripada Muflis”, ”Mana Wang Petronas Dihabiskan”, ”Negara Malaysia Bukan Padang Pasir Yang Tidak Ada Hasil”, ”Ke mana Hasil Balak, Kelapa Sawit,Getah, Mutiara, Pasir Dihabiskan?”, ”Pemimpin BN Bela Kroni Dan Anak Bini”, ”Anda Sayang Keluarga,Bangkit Tolak BN”.




Khir Toyo: Mana bulu merak, mana bulu ketiak
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Berkokoklah hulubalang UMNO dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak memilih bulu. SPRM juga mendakwa Khir Toyo meskipun beliau adalah pemimpin UMNO. Inilah lawak bodoh UMNO-BN. Khususnya para bloggers dan media pengampu UMNO. Sememangnya UMNO nak mendakwa ni semestinya memilih bulu. SPRM hanya pak angguk aje. Itu pasal kena tunggu lama. Kes penjualan tanah tersebut telah berlaku tahun 2004. Kenapa sekarang? Pilih bulu le tu.

Masa tu Datuk Khir Toyo adalah bulu merak. Bulu yang wangi lagi bertatahkan emas. Selaku MB Selangor menjadi kesayangan UMNO. SPRM haram tak boleh sentuh. Tetapi kini, Khir Toyo dah jadi bulu ketiak UMNO, dah le busuk, hangit lagi. Meskipun pipinya dan wajahnya dah gebu melecun, tapi politik beliau dah mula gelunsur. Bak pernah duduk di kemuncak bukit. sekarang ni dah berguling turun. Ini berlaku selepas PR berjaya menumbangkan BN di Selangor dan Khir Toyo hanya layak menjadi ketua pembangkang sahaja. Apatah lagi krisis dalaman negeri Selangor makin memuncak apabila perebutan antara team Datuk Khir Toyo dan Datuk Noh Omar. Tu tak masuk lagi Team Satim Diman. Masing-masing ada fail masing-masing. Peteh memeteh ni kerja UMNO. SPRM sentiasa berlampu kuning. Cuma tunggu green-light sahaja.. nak dakwa bila. Tunggu signal aje dari dewa-dewa diatas kayangan. Hah sekarang masa yang tepat!

Kini Datuk Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah melibatkan dua lot tanah dan istana mewah beliau yang pernah kontreversi dahulunya kerana melibatkan pembinaan ala Bali yang dikatakan mencecah nilaian RM20j. Kita tengoklah jengkal siapa yang lebih panjang. Nyawa siapa yang lepas. Siapa yang ternobat sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor nanti.

Sebagai rakyat kita jangan terpana dengan wayang kulit mainan UMNO ni. Jangan anda lupa ketika krisis MB Terengganu. Apabila Derih Jusoh disingkirkan kerana derhaka kepada Sultan Terengganu, lalu Mat Said hendak ditabalkan sebagai MB Terengganu. Fuhhh!!! SPRM menghambat Mat Said macam koboi Rodeo menghambat lembu jantan. Mat Said tak berani tidur kat rumah kerana takut ditahan BPR masa tu. Hari esok beliau handak menerima watikah dari pihak istana. Kalau ditahan, tamat le riwayat Mat Said selaku gedebe UMNO. Rupanya jengkal beliau lebih panjang dari jengkal Derih Jusoh. Kini Mat Said selesa bersemayam di banglo mewahnya di Kijal.

Pada 22 Mac tahun 2008, ketika kemelut memuncak, TV3 telah menyiarkan berita, ADUN Kijal yang disebut-sebut akan dilantik sebagai MB, disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR). Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek iaitu:-

1. Projek Roller Coaster di Kemaman pada 1995

2. Projek Pembinaan Dewan Besar Seri Amar Chukai, Kemaman pada 2007

3. Projek Mercu Tanda Daerah Kemaman di Bandar Chukai pada 2006

4. Projek Tambun Tanah di Kijal pada 2008 (3 kes)

Bayangkan Pembinaan Mercu Tanda Kemaman sejemput tu aje diberi kepada syarikat kroni dengan harga RM3,996,928.00 pada 13 November, 2005 dan kini sudah sekian lama rosak tak terpakai. Buat malu orang Kemaman aje. Air tak memancut lagi, batang tiang dah tak bertukar warna, batu globe mat said pun dah dah expired.?tak berpusing dan skrin tanpa tulisan, dah jadi hitam legam… Ibarat dah mandul pe!!!

Kini setelah Datuk Ahmad Said masih lagi duduk di tampuk empuk MB Terengganu timbul pula pelbagai isu penyelewengan baru. Isu wang ehsan yang tak kesudahan yang disalah-gunakan untuk kepentingan UMNO-BN di Terengganu. Isu penyelwengan RM300j untuk membangunkan pulau-pulau di Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba dan sebagainya. Isu penyelwengan dan anugerah balak kepada golongan kroni dan orang istana tertentu dan bermacam-macam lagi. Tapia pa SPRM peduli??? Datuk Mat Said kini bak bulu merak bersalut emas.

Beberapa ketika dulu berbunyi jugak isu SPRM nak menyiasat Datuk Idris Jusoh selepas pelucutan beliau dari tampuk MB Terengganu. Antara penyelewengan yang dilaporkan termasuklah tuntutan VO (Variation Order) Masjid Kristal yang asalnya RM80 juta menjadi RM200 juta lebih. Juga turut didakwa adalah tuntutan VO stadium dari RM180 juta menjadi hampir RM300 juta. Semua wang tuntutan ini difahamkan telah diselewengkan untuk pribadi disebalik kononnya untuk “Political Fund” yang diletakkan atas nama proksi dan kroni. Siasatan kes projek Taman Tamadun Islam dan penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyung, juga turut didakwa berlaku penyelewengan.

Bayangkan bukan sedikit royalti Petronas yang telah membuat bayaran sebanyak RM7.3 bilion kepada negeri Terengganu itu sejak empat tahun selepas Umno kembali memerintah Terengganu. Tetapi kemana duit itu ghuyub? Sekarang sudah 2 tahun pulak Mat Said jadi MB. Entah kemana fail dah hilang.

Habis apa SPRM buat? Buat apa lagi kalau duk tengah pilih bulu le tu. Agak-agak mana dia bulu merak, mana dia bulu ketiak? Tapi kalau pimpinan PR yang dikatakan ada terlibat dengan rasuah, tak bertangga dikejarnya… yelahh… bulu ari-ari. Cepat le pergi chek!!!



ISAkan Datin Seri Wan Azizah: Tragedi Sebuah Transformasi
Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Asyik-asyik ISA! UMNO ni dah kehabisan hujjah ker? Hujjah hanya menyusun kata. Modalnya ilmu dan air liur, kenapa sampai mahu menggunakan ISA? Tangkap melulu tanpa bukti dan beri peluang membela? Saya jangka transformasi merubah segalanya, rupanya sekadar indah khabar dari rupa.

2. Datuk Hafarizam Haruni ni Penasihat Undang-undang UMNO. Sepatutnya sebagai pengamal undang-undang beliau tahu benar bahawa ISA ini adalah undang-undang jakun, primitif, barbarian dan ketinggalan zaman. Tidak sepatutnya diguna pakai dalam negara kita yang dijolok sebagai negara membangun dan menuju majunya pada 2020.

3. Letih saya dengan sikap UMNO nih! dah kata nak berubah, sudah-sudahlah dengan perangai dan sikap lama tu. Berlapang dadalah dengan pandangan orang lain sekalipun tidak serupa. kalau tidak setuju, hujjah dilawan dengan hujjah. Kenapa pula Datin Seri Wan Azizah mahu dihadapkan dengan akta sezalim itu.

4. Tidak setuju dengan Datin Seri Wan Azizah kerana beliau tidak setuju dengan Ketuanan Melayu? Masaalahnya bukan Datin Seri Wan Azizah sahaja yang tidak setuju! Saya pun tidak setuju, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun tidak setuju dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi pun tidak setuju. Malah ribuan lagi dan mungkin jutaan rakyat yang tidak setuju dengan ketuanan melayu itu, apakah mereka juga akan di ISAkan? Aduss, letih tengok cara UMNO berfikir dan bertindak. Ada berapa hektar luasnya kandang ISA itu? atau UMNO sudah hilang aqal?

5. Saya tidak mahu berkasar dengan UMNO ni , kerana mereka punya segalanya. Mereka ada cota, ada gari, ada water canon, ada gas pemedih mata, ada PDRM, ada penjara dan menteri! Saya hanya ada gigi dan lidah. kalau UMNO tidak mahu berhujjah menggunakan lidah, apa boleh saya buat? Tapi saya tegas ingin nyatakan rasa tidak bersetuju dengan penggunaan ISA sebagaimana saya juga tidak bersetuju dengan Ketuanan Melayu yang dipertahankan oleh UMNO. Maka UMNO kena ajak orang yang tidak bersetuju dengan mereka berhujjah, bukannya ajak gaduh. Kata UMNO bersikap terbuka? Transformasi konon!

6. Sebab saya lihat, sudah 53 tahun rakyat beri mandat pada UMNO dan BN untuk berdaulat. Sehingga kini Melayu tidak menjadi tuan pun? Mereka pertahankan ketuanan Melayu itu untuk apa? Oh ya! Mereka kata menentang ketuanan Melayu membuatkan Melayu terancam. Rasanya tidak munasabah Datin Seri Wan Azizah mahu mengancam diri sendiri sebab dia juga Melayu. Saya pun begitu. Apabila saya tidak setuju dengan ketuanan Melayu, saya tidak terancam pun? Rasanya UMNO yang terancam sebab ketuanan Melayu selama ini adalah batu loncatan mereka untuk mereka meloncat naik ke takhta kuasa serta membolot harta negara agar menjadi kaya raya. Kata rakyat didahulukan? kalau begini, rakyat kena dulu. Transformasi konon!

7. Ramai Melayu miskin tidak terbela. Rakyat Kelantan dinafikan hak sejak 20 tahun lalu semata-mata kerana negeri itu diperintah oleh PAS sedang rata- ata penduduk Kelantan adalah melayu malah pemimpinnya juga Melayu. Kenapa mereka sekat, halang dan tekan rakyat Kelantan kalau mereka perjuangkan ketuanan Melayu. Sejak RMK ke 6, ada 118 projek yang sepatutnya boleh membangunkan negeri Kelantan dengan lebih hebat di halang dan disekat oleh kerajaan yang sekarang mempertahankan ketuanan melayu. Tok Guru Nik Aziz tu tidak cukup Melayu kah untuk dibantu? Sekarang mereka sekat Royalti minyak petroleum pula. Transformasi konon!

8. Janganlah guna ISA nanti rakyat akan meluat dan bertambah benci kepada kamu! Setakat isu ketuanan Melayu dan kamu tidak bersetuju dengan Datin Seri Wan Azizah, takkanlah kamu hilang kewarasan dengan terus mencadangkan agar beliau ditahan dibawah ISA? Sudahlah kamu zalimi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sedemikian rupa. Kamu ni macam tidak ada perut pedal! Rakyat marah tau! Tidak percaya, cuba lah! Transformasi konon!

9. Saya pun tidak bersetuju dengan Datin Seri Wan Azizah apabila beliau tolak ketuanan Melayu lantas mencadangkan agar ketuanan rakyat diperjuangkan, sebab saya mahu Ketuanan Islam itu diperjuangkan justeru Islam itu adil untuk semua sekalipun terhadap non muslim. Panjanglah hujjahnya, kita boleh bincang dilain masa, tapi janganlah nak tangkap dia. Inilah penyakit orang berkuasa dan angkuh dengan kuasa yang dimiliki. tangkap tangkap tangkap... yang hendak ditangkap hanya lawan politik mereka, sedang penjenayah berleluasa, bermaharajalela dan semakin ketara. Negara tidak aman dan selamat. Saban hari ramai yang jadi mangsa jenayah kejam ini. Malangnya fokus orang politik yang diberi mandat memerintah ini, hanya kepada lawan politik mereka. Kata dokong demokrasi... Transformasi konon!

10.Yakinlah, rakyat masih benci UMNO kalau begini cara UMNO. Mereka buat Konvensyen Barisan Nasional menghimpun ribuan anggota untuk disuntik semangat, nyata ribuan juga rakyat diluar hadir tanpa sebarang upah untuk mengadakan demonstrasi, membantah, menolak dan menentang kezaliman. kalau naik tarif air rakyat marah, apakah UMNO jangka rakkyat tidak marah apabila mereka gunakan ISA? Macam mana UMNO boleh miliki penasihat undang-undang seperti itu? ermmm, Tragedi sebuah Transformasi.



Sultan gesa bersatu atas kalimah tauhid
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 7 Dis: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa umat Islam khususnya rakyat di negeri ini supaya menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam bersatu padu atas ‘kalimah tauhid’.

Ini penting bagi merealisasikan status umat Islam sebagai ‘khaira ummah’ dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang di akhirat kelak.

Baginda mengajak umat Islam supaya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar itu tidak akan berjaya dicapai tanpa perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummah.

“Sudah tiba masanya kita sebagai satu ummah melaksanakan muhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan yang diamalkan di kalangan umat Islam pada hari ini, sekaligus melakukan anjakan perubahan atau ‘penghijrahan’ ke arah suatu tahap yang lebih baik dalam aspek hubungan sesama manusia,” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1432 Hijriah di Balai Islam, Lundang dekat sini, malam tadi.

Baginda mengajak rakyat dan umat Islam supaya sama-sama menghayati ruh dan semangat perjuangan ‘hijrah’ yang telah diteladani dari Junjungan Besar Nabi Muhammad khususnya dalam aspek perhubungan dan persaudaraan sesama Islam dan masyarakat bukan Islam.

“Sejarah Hijratul Rasul sendiri telah membuktikan kejayaan kita menempa kegemilangan hasil kerjasama erat antara kaum Ansar dan Muhajirin.

“Di hadapan kita terbentang masa depan yang tidak diketahui untung nasibnya, bergantung kepada fungsi dan peranan masing-masing. Kita semua bakal mencorakkan wajah kejatuhan atau kebangkitan semula umat Islam,” titah baginda.

Pada sambutan Hijratul Rasul bertema “Satu Ummah, Satu Matlamat” itu, baginda turut menekankan komitmen ummah dalam amalan sunnah yang merupakan kunci kekuatan dan kejayaan dalam mendidik ruh dan hati supaya menjadi baik, tenang dan bersangka baik.

Bagi menjunjung kegemilangan Islam, baginda menaruh penuh harapan agar umat Islam sama-sama berusaha mengembalikan kemuliaan umat Islam dan bangsa dengan bertaqwa kepada Allah.

“Dengan semangat Hijrah untuk memartabatkan umat Islam di negeri Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya, marilah kita membangunkan masyarakat dengan budaya Islam yang unggul iaitu ‘faqiihan’, ‘rahiiman’, ‘ilman’ dan ‘salaaman’ dalam menelunsuri kehidupan masa depan kita yang kian mencabar,” titah baginda



Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.

"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi


Tiada ulasan: