Isu IFF: Penulis jawab ketua '40 ulamak muda' Umno...
Oleh: Pria Malaya
Astaghfirullahal-ad'zim...apa nk jadi dengan 'ulamak muda' Umno ini...sanggup mempertahankan Rosmah Mansor semata-mata beliau adalah isteri pemimpin tertinggi parti Umno, sanggup membela (isteri) seorang pemimpin walupun jelas keterlibatan beliau dalam kemungkaran...
Kalau nak bodek pun janganlah sampai membenarkan perkara yang bathil...pada 'ulamak muda' Umno ini, sila baca artikel penuh Dr MAZA di SINI, dan Ust Zaharudin di SINI untuk lebih kefahaman..(atau masih nak salahkan pembangkang apabila kedua2 tokoh agama negara ini (neutral) turut mempertikaikan Rosmah?)
Terang-terang Rosmah terlibat dalam kes ini..utk pengetahuan ketua 'ulamak muda' Umno ini, Malaysia adalah antara 3 negara penganjur untuk IFF ini selain Jakarta dan Monte Carlo..dan 'kuasa' dan pengaruh yg ada pada Malaysia terlalu besar berbanding negara Jakarta dan Monte Carlo..buktinya boleh baca di SINI..
Kerana itulah sebagai muslim kita patut persoal dan membantah pihak penganjur (termasuklah Rosmah sebagai penaungnya), ini prinsip agama, bukan politik..soal menegur ini bukan sahaja pembangkang, malah terdapat beberapa blogger Umno turut tidak bersetuju dgn Rosmah dlm kes ini, antaranya blogger Cucu Tok Selampit:
"Berbalik kepada isu penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF), saya menyokong penuh tindakan beberapa ahli parlimen pembangkang seperti PAS MP untuk Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Ghazali, yang meminta Kerajaan supaya mengkaji semula penglibatan Malaysia di dalam IFF kerana bukan sahaja pakaian yang diperagakan ini bertentangan dengan prinsip pakaian Islam lebih malang mereka berani menghina Rasulullah SAW dengan melakarkan nama baginda di pakaian yang sedemikian secara terbalik."Kalau tak cukup seorang, penulis bawa 3 lagi blogger otai Umno yg tidak bersetuju dan mengecam keras Rosmah Mansor..boleh baca pada tajuk, "Isu IFF: "Kalau ada yang kata Rosmah tak bersalah, mereka adalah ANJING politik!" - Blogger Umno"...
Ternyata puak 'ulamak muda' ini terdesak utk mengambil hati 'tuan' mereka dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini..penulis bersetuju dengan Penarik Beca..tittle yang dipegang oleh Rosmah Mansor sebagai PENAUNG IFF cukup kuat utk menyabitkan beliau dengan perkara ini, beliau juga dikira bersubahat dan wajar dipertanggungjawabkan...
"...Adakah apabila perbuatan menghina Islam dianjurkan, penganjur sahaja yang salah? Penaung kepada penganjuran kejahatan menghina Islam itu tak salah sepenuhnya? Menaungi festival hina Islam tidak salah sepenuhnya?!! Punya nak jadi pecacai Umno, fakta pun diputarbelitkan."Dan penulis ada ulas secara terperinci kenapa Rosmah wajar bertanggungjawab dalam hal ini, sila rujuk di SINI...sila baca sehingga terakhirnya..jika salah, buktikan dan penulis sedia perbetulkan..
Akhir kalam...penulis harap berita ini disebarkan pada khalayak umum..biarkan rakyat yg menilai siapakah geng 'ulamak muda' Umno ini..siapa di pihak yg benar, siapakh yg sebaliknya...utk yg terakhirnya, suka penulis melampirkan kembali artikel seorang blogger pro-kerajaan mengulas mengenai Rosmah Mansor kononnya 'first lady' Malaysia, sila baca di SINI...wallahua'lam...
p/s: Di bawah adalah 'JAWAPAN balas' oleh wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), kenyataan rasmi Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) berkaitan IFF ini...
1. KENYATAAN GAMIS
Kenyataan balas kepada Ulama' Muda Umno
Islamic Fashion Show telah menimbulkan dan meledakkan kemarahan ummat Islam dalam Negara kita. Isu ini dibesarkan lagi bilamana diketahui bahawa isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansur adalah penaung kepada festival tersebut. Tambah menariknya bila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib sendiri yang hadir ke majlis berkenaan.
Beberapa siri bantahan dibuat oleh NGO, parti politik, dan orang ramai berkaitan isu ini. Mahsiswa juga tidak ketinggalan, namun amat mendukacitakan bila pihak polis mengambil tindakan awal untuk menghalang bantahan diperingkat mahasiswa yang diadakan semalan, bertempat di Masjid Ar-rahman Kuala Lumpur. Bilangan pihak polis cukup ramai seolah-olah kami ingin membuat rusuhan dikawasan masjid. Kenapa pihak polis dilibatkan dalam isu ini?
Mahasiswa cukup terkilan dengan hujah dangkal seorang ulama’ muda UMNO yang mempertahnkan rosmah dalam isu IFF ini. Hujah yang diberikan ialah Rosmah hanya penaung, bukan penganjur. Kalau orang kampung baca kenyataan ini pun cukup lucu kerana penaung kepada sesuatu program itu merupakan orang kuat yang menyokong dan membantu penganjuran majlis berkenaan.
Tambahan pula yang hadir dalam majlis tersebut adalah Perdana Menteri Malaysia yang kononnya boleh menjadi penasihat kepada Barack Obama dalam isu islamophobia.
Selain itu, disebutkan juga ialah soal adab menegur pemimpin. Saya nak Tanya Ulama’ muda UMNO ini, Rosmah Mansur ni pemimpin ke? Sejak bila rakyat memilih dia menjadi pemimpin dalam system demokrasi? Apa jawatan dia? Sesungguhnya dia bukanlah pemimpin kami dan mahasiswa tidak pernah mengiktiraf dia sebagai fist lady mahupun apajua pengiktirafan selain hanya seorang isteri kepada perdana menteri.
GAMIS berharap agar ulama’ muda ini berfikir panjang sebelum mengeluarkan sebarang kenyatan yang hanya menyerlahkan budaya politik ampu yang ada dalam UMNO. Ulama’ muda ini perlu selari dengan hasrat presiden UMNO yang inginkan budaya politik baru dalam parti. Kami bukan berpihak kepada mana-mana parti, namun kita menilai disiplin ilmu dan keabsahan hujah dalam menilai sesuatu isu. Renungan bersama yang kita boleh jadikan iktibar :
Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ( An-Nisa : 140)
Jelas, ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap membantu dan menjayakan lagi agenda maksiat. Maka, kehadiran, sokongan dan penyertaan ke majlis tersebut adalah ditegah oleh Allah. Inikan pula suatu pertunjukan fesyen yang jelas melanggar hukum Allah dan menghina Nabi Muhammad S.A.W yang dicintai.
Mahasiswa hanya ingin dengar permohonan maaf daripada isteri perdana menteri secara terbuka kepada semua umat Islam dan soal taubat itu hendaklah diselesaikan dengan Allah secara terus.
Ahmad Syazwan Bin Muhammad Hasan
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)
2. KENYATAAN ILMAN
Kenyataan Rasmi ILMAN Berhubung Isu Islamic Fashion Festival
"Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia baru-baru ini telah dikejutkan dengan satu penganjuran pertunjukkan fesyen yang mana secara jelas telah menghina Islam dan Rasulullah s.a.w.
Pertunjukkan fesyen ini telah menggunakan nama Islam tetapi langsung tidak menepati cara pemakaian Islam bahkan mempamerkan satu tindakan mencemarkan kesucian Islam.
Apa yang dikesalkan adalah penaung kepada pertunjukan fesyen ini yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang beragama Islam.
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan dukacitanya melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga terhadap penglibatan Datin Seri Rosmah sebagai penaung kepada IFF yang juga merupakan seorang muslimah khususnya dan kesal terhadap penganjuran program ini secara umumnya.
Adakah umat Islam belum cukup terhina dengan pelbagai siri pencemaran dan pengkhianatan barat terhadap Islam dengan terbitnya karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah s.a.w? Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam? ILMAM melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.
ILMAM dengan ini menyeru kepada seluruh umat Islam untuk membantah dan mencela IFF ini dengan apa jua cara khususnya para ilmuan Islam yang berada dalam kerajaan Malaysia atau parti pemerintah agar turut sama bangkit membantah dan tidak menjadi ‘Syaitan Bisu’. Ingatlah firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman kenapah kamu menuturkan apa yang kamu tidak lakukannya? Sungguh besar kemurkaan Allah pada kata-kata kamu yang tidak dikotakan!"(Surah As-Sof:2-3)
ILMAM juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini. Setiap individu umat Islam harus berhati-hati dalam setiap tindakan kerana kemungkinan tindakan tersebut akan dikira sebagai perkara yang membatalkan syahadah tanpa disedari walaupun apa yang dilakukan itu tidak berniat untuk menghina.
Semua pihak terutama pihak yang berkuasa haruslah insaf dan sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga agama dan kesucian aqidah Islam. Ingatlah pesanan Baginda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Islam itu berada di tempat paling tinggi dan tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.
Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)
3. KENYATAAN MPPMJ
BERKONGSI DUKA-CITA DENGAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA
Budaya berfesyen adalah tidak asing lagi dalam dunia kotemporari seperti hari ini. Bahkan fesyen sangat diperlukan demi membuktikan bahawasanya agama juga tidak bersifat ketinggalan dalam soal berpakaian. Lalu, kepelbagaian fesyen masakini tidak dinafikan telah merubah sedikit sebanyak landskap terhadap cara ‘orang kita’ berpakaian.
Ya, fesyen tidak harus dipersalahkan kerana ia seni dalam sesuatu nilai. Tetapi prinsip ‘Thabat wa murunah’ (fleksibel dan tetap) adalah sendi kepada pelaksanaannya untuk mendepani arus perdana.
Berpakaianlah selagi anda mampu berpakaian, soal mahal ataupun murah bukanlah ukuran kesempurnaan dalam etika berpakaian, tetapi di dalam Agama Islam, kayu ukurnya adalah dinilai melalui sejauh mana pakaian itu mampu menjauhkan diri pemakai daripada bahaya fitnah.
Menutup tubuh dan rambut jika tidak sesuai dengan cara Islam maka ia belum mencapai makna menutup aurat.
Saya pasti masyarakat di Malaysia masih berada dalam dilema dengan cara berpakaian mereka. Tiada panduan yang khusus atau tatatertib yang tertentu untuk memastikan etika ini dikuat kuasakan. Akhirnya muncul ijtihad jahiliyah yang kononnya mahu melakukan pembaharuan terhadap Islam melalui pakaian.
Ya, Islamic Festival Fashion (IFF).
Apabila saya membaca dan menliti setiap perkembangan program tersebut, saya turut menyatakan kekesalan. Kesalnya kerana Islam telah dicerobohi secara halus. Pakaian adalah lambang Islam yang sentiasa diperhatikan oleh agama lain, jika dari sudut itu kita sudah gagal mempamerkan Syiar tersebut, apakah terdapat aspek yang lain yang mampu dipamerkan lagi?
Pakaian itu adalah Akhlaq.
Kekesalan ini berdasarkan beberapa perkara yang telah melanggari hukum yang digariskan oleh agama. Antaranya adalah:
1. Dalam festival tersebut, pakaian yang dipamerkan tidak banyak mempamerkan ciri-ciri yang telah digariskan oleh Islam bahkan jika dilihat ia lebih tertumpu ke arah mahu memodenkan fesyen Islam.
2. Terdapat unsur-unsur penghinaan apabila secara terang-terangan menggunakan kalimah ‘Muhammad’ pada pakaian yang tiada langsung menepati prinsip Islam.
3. Menggunakan label Islam hanya untuk mendapatkan populariti. Ia seolah-oleh mengambil kesempatan terhadap nama Islam yang sedang naik dan mendapat tempat di hati masyarakat sekarang.
Saya amat pasti, sebilangan umat Islam merasa sedikit terguris dengan festival ini. Terguris akibat Islam telah ditafsirkan dengan pandangan yang salah.
APABILA ISLAM DIFAHAMKAN DENGAN AKAL SEMATA
Sekian ramai di kalangan masyarakat kita terutama di Tanah Air Malaysia mengalami sindrom kurang faham akan prinsip menutup aurat, dan mereka jarang didedahkan dengan pengetahuan seperti itu. Segelintirnya hanya difahamkan melalui cakap-cakap orang yang kebanyakkannya kurang berilmu tentangnya. Akhirnya ia ditafsirkan dengan tafsiran akal semata-mata.
Tidak hairanlah ada yang sudah menutup rambut tetapi masih lagi menjadi buruan Sang Perogol.
Kalaulah bangsa Arab itu sahaja dijadikan panduan untuk menghayati syiar Islam ia belum lagi mencukupi dan sangat jauh menyeleweng. Islam tetaplah Islam yang hakiki yang diturunkan kepada bangsa arab, tetapi bangsa arab bukanlah menjadi tafsiran kepada Islam seluruhnya. Buktinya sudah banyak kerana ramai bangsa itu musnah ditelan peredaran zaman, yang tinggal hanyalah segolongan kecil yang mengamalkan Islam yang syumul.
Al-Quran adalah garis panduan untuk segala tindak-tanduk manusia, bermula dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah kepada soal pentadbiran sebuah Negara, semua memerlukan rujukan daripadanya, kerana ALLAH taala mengetahui akal manusia tidak akan mampu untuk pergi sejauh itu. Nafsu adalah penghalang utama.
PENUTUP
Saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) menyarankan agar penganjuran program seperti ini dapat dikaji semula terutama dari sudut kesesuaiannya dengan prinsip yang digariskan oleh Islam. Bukan sahaja terhadap mekanisma pakaian, apa jua program mestilah terlebih dahulu digandingkan dengan Islam supaya tidak timbul lagi isu sensitiviti dan kemarahan umat Islam.
Badan-badan kerajaan yang ditugaskan memantau harus juga bekerjasama untuk memastikan kemaslahatan umat Islam di Negara kita lebih terpelihara dan terjamin.
Negara Malaysia sudah dikenali dengan Negara yang mengamalkan dasar Islam dalam sebahagian struktur perlembagaannya, maka tidak harus ia dicemari dengan sesuatu yang dapat menjatuhkan imej tersebut. Sewajarnya ia perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang dapat menaikkan imej agama disamping imej kenegaraan.
Semoga Agama Islam di Malaysia terus maju bersama peredaran zamannya dengan syumul.
Mohd Afiq Mohd Saleh
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
Sesi 2010/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan