Khamis, 15 Julai 2010

TAHNIAH YANG UNTUNG DAN TAKZIAH YANG RUGI SERTA BERPENDAPATAN RENDAH ,,,,MAASALLAH...



5-dalam-1: Harga petrol, diesel, gula dan gas naik
Jul 15, 10 6:26pm
Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

  • Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
  • Diesel - RM1.75 seliter.
  • Gula - RM1.70 sekilogram
  • Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

  • Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
  • Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
  • Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.



5 naik serentak, rakyat tanggung beban
Dr Azman Ibrahim

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan.

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji.

Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.

Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.

Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.

Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Terengganu.


Editor diarah elakkan perkataan 'barang naik'
Jul 16, 10 4:50pm
Dalam usaha mengelakkan kecaman rakyat terhadap pengumuman kenaikan 5-dalam-1 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, semua media yang dikawal kerajaan diingatkan supaya tidak menggunakan perkatan 'barang naik' dalam laporan mereka.

Ketika taklimat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, petang semalam, pengarang berkali-kali diingatkan agar perkataan "barang naik" itu perlu dielakkan.

Sebaliknya, mereka diberitahu supaya menggunakan “pelarasan harga” atau “rasionalisasi subsidi”.

Taklimat berkenaan dikendalikan oleh penasihat media perdana menteri dan editor berkenaan memberitahu Malaysiakini ia dijalankan dalam suasana yang mesra.

"Mereka secara hormat memohon kita supaya bekerjasama tetapi permintaan seperti itu sukar jika tidak dilayan,” kata seorang daripada editor itu.

Media juga digalakkan oleh penasihat berkenaan supaya menjelaskan “rasional pengurangan subsidi" dalam laporan berita mereka dan juga menekankan bahawa harga gula dan bahanapi di Malaysia masih yang terendah di rantau ini.

Jangan buat tinjauan rambang

Mereka juga diingatkan supaya tidak membuat tinjauan rambang di kalangan rakyat berhubung kenaikkan harga itu dan beberapa media 'diminta' mendapatkan pandangan daripada NGO dan persatuan pengguna yang mesra dengan kerajaan.

Yang menarik, penasihat media perdana menteri juga mengarahkan akhbar supaya tidak menganggap pengurangan subsidi itu sebagai “penjimatan kerajaan” dalam laporan mereka.

"Menurut pegawai berkenaan, perkataan seumpama itu akan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat - ke mana penjimatan dibelanjakan. Tumpuan adalah memberikan penekanan kepada pengurangan perbelanjaan dan bukannya penjimatan,” kata sumber itu.

Pada 2005, pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa pengurangan subsidi untuk air, tenaga dan bahanapi membantu kerajaan berjimat RM4.6 bilion.

Abdullah berjanji “penjimatan” akan dibelanjakan bagi memperbaiki pengangkutan awam tetapi pengkritik mendakwa tiada bukti wang berkenaan dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Puji 'keberanian' Najib

Seorang penasihat media itu juga mencadangkan supaya akhbar juga memuji 'keberanian' Najib dalam mengurangkan subsidi.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kenaikkan harga barangan kali ini dirancang dengan teliti agar rakyat tidak berang apabila harga bahanapi, gula dan gas dinaikkan serentak.

Alasan yang diberikan juga dirancang dengan teliti - menurut Najib tindakan itu perlu bagi menangani defisit kerajaan, membanteras penyeludupan dan menggalakan rakyat hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula.

Katanya, wang berkenaan akan dibelanjakan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

Walaupun pengarang diberi taklimat pada jam 4 petang, mereka diarahkan supaya mematuhi embargo, termasuk edisi online - sehingga kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 8 malam.

Tinjauan mendapati akhbar-akhbar dan juga stesyen televisyen semuanya mematuhi arahan kerajaan itu.

Media patuhi arahan

Semua stesen televisyen umpamanya tidak memaparkan berita itu sebagai berita pertama mereka.

Akhbar-akhbar arus perdana juga patuh pada garis panduan berkenaan dan tidak memperbesarkan isu berkenaan.

Berita Harian memilih “harga baru” manakala Utusan Malaysia pula dengan tajuknya “subsidi diselaras”

Sinar Harian yang baru-baru ini dirasmikan oleh Najib pula memilih menyiarkan laporan itu hanya di muka surat 4 akhbar itu.

Akhbar Cina yang lazimnya dilihat lebih berkecuali juga patuh dengan arahan itu.

Hanya satu sahaja yang menggunakan perkataan “harga naik' di muka depan manakala lima akhbar Cina yang berpangkalan di Semenanjung melaporkan kenaikkan itu sebagai “harga baru”.

Harian NST juga tidak menyiarkan berita itu di halaman utamanya tetapi memilih tajuk kecil “antara yang terendah di rantau ini”.

Harian milik MCA, The Star memaparkan tajuk “Gov't bold move will have minimal impact on people, says PM”.

Harian Tamil Makkal Osai dan Tamil Nesan (yang dimiliki MIC) langsung tidak menyiarkan berita kenaikkan harga itu



Kesan 'berantai', harga barangan lain mungkin naik
Jul 16, 10 3:44pm
F&N Dairies (M) Sdn Bhd kemungkinan menaikkan harga produknya berikutan kenaikan harga gula dan bahan bakar yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Tenusu), Tony Lee, bagaimanapun berkata kumpulan itu belum membuat keputusan bila semakan kenaikan harga itu akan berkuat kuasa.

"Memand
angkan susu pekat mengandungi banyak gula, kenaikan 25 sen sekilogram harga gula pasti memberi kesan yang besar kepada pengeluaran itu.

"Oleh kerana pengumuman rasionalisasi peningkatan harga dibuat hanya semalam, kami perlu membuat penilaian impaknya sebelum kami memutuskan untuk menaikkan harga.

"Harga produk tenusu mungkin meningat 10 sen," katanya kepada pemberita selepas pelancaran imej baharu jenama "TEA POT" hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan subsidi kerajaan bagi petrol, diesel, gas petroleum secair dan gula akan dikurangkan mulai hari ini sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat.

Susulan pengurangan itu, harga gula naik 25 sen sekilogram kepada RM1.90 berbanding RM1.65 sebelum.



Harga teh tarik naik 1.25 sen?
Jul 16, 10 12:01am
Harga bagi teh tarik - minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

"Ini adalah anggaran sahaja - perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain," kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing


Barang naik: Benar dakwaan Idris Jala
Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 16 Julai: Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikan harga minyak dan gula mulai semalam mengesahkan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala bahawa negara boleh 'bankap' pada tahun 2019 sekiranya kerajaan tidak bertindak cepat memotong subsidi beberapa barangan keperluan rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau PInang, Rosidi Husein berkata langkah drastik itu terpaksa dibuat kerajaan Umno BN demi menyelamatkan keadaan ekonomi negara yang kian mengucup walaupun ada menteri masih mempertahankan ekonomi negara berkembang ke tahap yang menyakinkan.

"Apa yang diperkatakan oleh Idris Jala betul dan tidak boleh dinafikan. Untuk mengelak daripada berlaku kejadian yang buruk itu kerajaan terpaksa melakukanya mulai sekarang bukan menanti saat mencemaskan," ujarnya ketika diminta mengulas kenaikan barangan terpenting itu.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak juga kelihatan tidak berani memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk berbahas mengenai isu kenaikan harga minyak dan barangan lain sebaliknya mengistiharkan kenaikan selepas sahaja persidangan Parlimen selesai.

Sikap itu membuktikan apa saja yang kerajaan buat akhirnya untuk menyelamatkan kroni tanpa mengambil tahu kemarahan rakyat di peringkat akar umbi.

"Rakyat harus memikirkan kenaikan tersebut kerana kenaikan harga minyak pasti membuatkan harga keseluruhan barangan keperluan seharian termasuk harga makanan akan meningkat, " jelasnya.

Lazimnya menteri akan bercakap kenaikan harga minyak masih rendah berbanding harga di negara membangun lain termasuk Asean.

Manakala setiap kali ura-ura kenaikan berlaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ismail Sabri Yaacob akan memberi jaminan kepada rakyat kenaikan tidak akan berlaku tetapi bila jadi kenyataan beliau sendiri lepas tangan dengan kenyataan lain pula.

Semalam kerajaan mengistiharkan kenaikan harga gula kepada 25 sen sekilogram, petro RON95 dan Diesel naik 5 sen dan gas LPG sepuluh sen sekilogram




Kerajaan berkira, sanggup rampas 5 sen duit rakyat
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Julai: "Apa punya kerajaan, terlalu berkira dan sanggup rampas 5 sen dengan curi dari poket rakyat," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Kecaman demikian itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran pengumuman menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 5 sen bermula tengah malam tadi.

Selain mengecam kenaikan harga minyak, beliau turut menjelaskan bahawa langkah menaikkan harga lima hingga enam barang keperluan asasi yang lain bukanlah langkah mengurangkan subsidi.

Sebaliknya, langkah tersebut menurut beliau, patut dilihat sebagai tindakan kerajaan menaikkan harga barang serta membebankan rakyat.

"Jangan terkeliru dengan pembohongan Najib kononnya kerajaan kurang subsidi, sebenarnya kerajaan naikkan harga barang-barang ini.

"Naik harga maknanya naik kos sara hidup, naik kos sara hidup maknanya membebankan rakyat," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menganggap Najib menghina rakyat dan institusi rakyat, iaitu Parlimen kerana Najib membuat pengumuman sejurus selesai sesi parlimen, petang semalam.

"Elok-elok selesai sesi Dewan Rakyat, baru dia (Najib) buat pengumuman tanpa membawa isu kenaikan ini dalam dewan.

"Dia hina rakyat, dia hina wakil-wakil rakyat, dia hina Parlimen, dia bohong kita semua kononnya dia sudah mendapat maklum balas positif tentang kenaikan ini," ujarnya lagi sambil mencabar Najib menjelaskan inti maklum balas sebenar rakyat seperti yang diumumkan semalam.

Beliau turut mempertikai alasan Najib kononnya kerajaan berjaya menjimatkan RM750 juta tahun ini dengan kenaikan beberapa bahan keperluan itu.

"Kalau RM750 juta itu satu langkah penjimatan, kenapa rakyat ditimpa rugi dari impak kenaikan harga barang-barang ini.

"Najib suruh rakyat berjimat cermat, sedangkan kerajaan sendiri masih laksanakan tender langsung, melalui Perimekar dapat komisyen RM570 juta beli Scorpene," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mencabar Pemuda Umno Malaysia untuk menyatakan protes berhubung isu yang membabitkan kepentingan rakyat itu.

"Kenaikan-kenaikan ini umumnya lebih kurang RM4 sebab semua barang terbabit digunakan kita semua, Pemuda Umno bersukaria atau sedia terima cabaran menentang Najib.

"Pemuda PAS jelas menentang ini semua, pemuda Umno takkan sokong langkah bodoh ini," ujar beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Dengan kenaikan beberapa harga barangan keperluan itu, katanya lagi, wajar menjadi motivasi kepada anak muda untuk giat mendaftar diri sebagai pengundi.

Dengan berbuat demikian, tambahnya lagi, mempu mengukuhkan sokongan rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

"Sokongan yang ada pun Umno takut, kena cepat-cepat daftar (pengundi) supaya kita makin kukuh untuk tolak kabinet Najib nanti," ujarnya lagi.






Tiada ulasan: