Sabtu, 10 Julai 2010

Bersama Mohd Zawawi Yusoh 2

Seronok beribadat tanda dapat rahmat

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

2009/12/30

RAMADAN bulan rahmat. Semua kita tahu mengenainya, malah hadis Rasulullah s.a.w bermaksudnya: "Awal Ramadan adalah rahmat, di tengahnya keampunan dan akhirnya selamat daripada api neraka."

RAMADAN bulan rahmat. Semua kita tahu mengenainya, malah hadis Rasulullah s.a.w bermaksudnya: "Awal Ramadan adalah rahmat, di tengahnya keampunan dan akhirnya selamat daripada api neraka."

Kita biasa mengungkap perkataan rahmat dan ada orang yang memahaminya manakala yang lain tidak faham. Kesempatan bulan rahmat ini mari kita menyelami makna rahmat bersama.

Dalam bahasa Arab makna rahmat antaranya merujuk kepada lembut hati, lembutnya laksana tanah yang lembut mudah menyerap air dan kemudian membekalkannya kepada

tumbuhan untuk hidup subur.

Begitulah bandingannya orang yang mendapat rahmat, hati yang lembut menjadi subur menerima benih iman kemudian tumbuh daripadanya pokok takwa yang buahnya ialah ibadat dan amal soleh serta akhlak terpuji.

Rahmat juga bermaksud melakukan kebaikan lebih banyak daripada apa yang kita dapat. Orang yang mendapat rahmat bukan saja berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepadanya, malah berbuat baik juga kepada mereka yang buat jahat.

Orang yang macam mana mendapat rahmat? Orang yang mendapat rahmat ialah orang yang pandai bersyukur.

Perkataan rahmat pula disebut 113 kali dalam al-Quran dan tujuan kedatangan rasul 'rahmatan lil alamin' iaitu memberikan rahmat kepada seluruh isi alam.

Hati yang mendapat rahmat ialah hati yang mencintai Allah. Apabila Allah sudah dicintai, segala suruhan-Nya akan dilakukan dengan mudah.

Bukankah begitu? Orang, kalau dah bercinta yang seronok memanglah seronok, tetapi yang kurang seronok pun akan menjadi seronok juga. Itulah ajaibnya cinta.

Solat menjadi seronok, puasa walaupun laparnya luar biasa, tetapi dilakukan dengan tabah. Itulah tanda mendapat rahmat.

Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran. Dalam al-Quran perkataan rahmat juga sering digandingkan dengan al-Quran.

Jadi, untuk mendapat rahmat juga kita sepatutnya mendampingi al-Quran dengan membaca, meneliti dan memahami, kemudian melaksanakannya.

Bagaimana hendak mendapat rahmat, kalau baca pun kita tidak suka, cepat jemu dan kalau baca pun banyak salah? Jika baca betul, belum tentu faham. Kalau faham,

tafsirnya pula tidak tahu. Sudah faham, tetapi kadangkala tidak ikut pula.

Tanda lain untuk mendapat rahmat ialah mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa. Caranya ialah mentaati perintah mereka, gembirakan mereka, tunaikan segala hajat mereka selagi termampu dan penuhi keperluan mereka.

Jangan sesekali menyakiti mereka, baik perasaan atau fizikal, malah sentiasa berdoa sewaktu mereka hidup atau mati.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Reda Allah akan bersama dengan reda ibu bapa."

Pendek kata rahmat ialah segala kebaikan dan daripada kebaikan itu lahirlah ketaatan. Pada bulan yang mulia ini marilah beramal dengan sebaiknya agar apabila berlalu Ramadan kita mendapat takwa yang menjadi mercu tanda ikhlas.






Cakap, amalan gambaran hati


2010/01/08


Apabila kita lupa Allah, apa saja dibuat dalam hidup serba tak kena
ADA frasa menyebut antara maknanya: 'Sesiapa yang banyak ingat sesuatu, dia akan banyak menyebut yang diingatinya'. Contohnya remaja, kalau dia ingat kerja, selepas tamat pengajian mereka akan mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan bagi membantu menyara kehidupan diri serta keluarga.


Mereka akan banyak bercakap berkenaan kerja, jenis serta gaji. Orang miskin pula apabila kekurangan belanja akan memikirkan bagaimana untuk mengatasinya. Orang kaya dan berharta sentiasa membayangkan harta dan kekayaannya. Mereka akan bercakap soal projek dan bagaimana mengatur strategi bagi menambah kekayaan.


Seorang pendakwah fikirannya sentiasa berlegar terhadap masalah umat dan cara memperbaiki serta menyampaikannya. Mereka sentiasa berbicara bagaimana dakwahnya boleh sampai ke telinga mereka yang masih tidak dapat menerimanya.


Seorang yang sentiasa hidup memburu nafsu akan mencari kawan sealiran dengan mereka untuk berseronok. Seorang yang sedang bercinta akan suka bercakap dengan kekasihnya hingga ia terbawa-bawa di dalam mimpi disebabkan terlalu banyak mengingatinya.


Apa yang kita cakap dan lakukan selama ini mencerminkan apa yang ada di dalam hati kita. Apa yang diutarakan ini nampak seperti berbelit-belit tetapi sebenarnya yang lebih ditakuti, jika kita terbelit dengan fikiran dan tindakan yang tidak berasaskan ingatan terhadap Allah s.w.t. Kita banyak berfikir terhadap hal keduniaan tetapi kita tidak berapa mengingati kepada yang lebih agung iaitu Allah yang mencipta seluruh kejadian di muka bumi ini. Kita banyak memikirkan ciptaan Allah s.w.t tetapi kita lupa kepada penciptanya.


Kalau kita bercakap pun kurang, apatah lagi amalan kita. Kalau yang kita cakap itu pun belum tentu dibuat, apatah lagi yang tidak bercakap langsung, malah lebih parah terlintas di fikiran pun tidak.


Bayangkan kalau tidak terlintas sedikit pun mahu melaksanakan perintah beribadat, bersyukur, berzikir serta memperjuangkan kalimah Allah. Itulah yang membawa kepada segala gejala. Sebenarnya gejala sosial bermula apabila kita 'bermasalah' dengan Allah.


Pendek kata, punca segala yang tidak kena dengan kehidupan kita apabila kita melupakan Allah s.w.t. Kalau menyebut pun sudah jarang-jarang, bagaimana pula hendak berjuang serta mempertahankannya? Dalam suasana orang kita bercakap polemik kalimah Allah ditulis di gereja, sebahagian kita baru tersentak yang mana satu betul. Masa ini baru hendak ambil pusing nama Allah yang dulunya banyak 'terpusing' dengan putaran dunia. Solat dan zakat serta haji entah ke mana, malah semuanya tidak ke mana. Kita bukan hanya perlu memperjuangkan kalimah Allah s.w.t yang Maha Agung semata-mata tetapi hendak hidup dan mati dengan 'skrip' Allah melalui al-Quran dan hadis.


Apa ertinya kita pertahankan nama Allah tetapi hidup menyusahkan Islam dan membuat fitnah terhadap agama gara-gara perilaku kita.


Sama juga kita bermati-matian mempertahankan identiti seorang mualaf yang mati supaya dikebumikan di kubur orang Islam. Tetapi ketika hidupnya, kita tidak prihatin untuk menyampaikan dakwah dan tidak ambil tahu kehidupan agamanya

Kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin dan ulama supaya kita dapat menyelesaikan isu kalimah Allah yang hendak ditulis di gereja ini.


Sebagai penutup bicara, elok kita meneliti di peringkat mana hati dan ingatan kita terhadap Allah s.w.t agar selepas ini, kita lebih prihatin dengan keadaan umat Islam serta hubungan kita dengan Allah s.w.t.


Cuba perhatikan senarai berikut, di mana kedudukan kita? 1. Hati yang lalai kepada Allah.


2. Hati yang ingat Allah bila susah dan bermasalah

3. Hati yang asyik dengan Allah.


4. Hati yang makrifat kepada Allah Kedudukan hati di peringkat pertama dan kedua, kita belum selamat dan tidak boleh diharap menjadi penyelamat serta pembela kepada diri, keluarga serta masyarakat. Usahakan semoga kita dapat naik ke peringkat ketiga kerana pada peringkat itu kita mulai selamat dan menyelamat manakala peringkat keempat adalah peringkat pejuang serta pemenang dunia dan akhirat.





Enam sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah


2010/07/02
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KETIKA Rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa.
Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan sehingga melalaikan itu merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Kadang kala ada orang melepak sehingga lupa menunaikan solat.

Mereka bermain bola di waktu petang tanpa perasaan malu ketika azan berkumandang. Sudahlah begitu, padang bola pula sebelah masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita kadangkala asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi

Waktu kerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Kadang kala ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadah? Sibuk. Kalau sempat buatlah, jika tidak sempat qada saja

Justeru, remaja perlu memahami mengapa dan alasan mengapa kita beribadah. Di sana ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah.

Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau sesibuk mana sekalipun kita.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud: "Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku."

Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadah lebih utama lagi.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Pada hujung bulan bil elektrik, bil telefon perlu dibayar, jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan jika kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat, matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah mengingatkan kita di dalam Surah al-A'raaf ayat 72 yang bermaksud: "... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul."

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul adalah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat apa lagi kita.

Firman Allah yang bermaksud: "...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (Surah an-Nahl ayat 36).

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka kepada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah sesungguhnya aku amat takut, jika aku menderhakai Tuhanku akan azab hari kiamat." (Surah al-Anaam ayat 15)

Tiada ulasan: