Sabtu, 10 Julai 2010

Tazkirah Remaja Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

Sayangi ibu, bapa, mentua sama rata



2010/06/25

JIKA Allah menurunkan hidayah, segeralah bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita pernah menderhaka kepada mereka?

Maka ziarahilah pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka. Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa. Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini. Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Allah? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa? Pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita. Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Rasulullah meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya, golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua. Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggung hati ibu bapa kita. Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya? Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri. Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa kerana itu memang wajar. Sebaliknya, anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah adalah ibu bapanya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail.

Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya. Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang, Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru. Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menggambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pesanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.

Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa baginda. Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda berpesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.





Penyakit hati lebih bahaya



2010/05/28

TUAN ada penyakit ke? Kalau ada tanda demam yang kuat cepat-cepatlah pergi berjumpa doktor. Mana tahu ada apa-apa, boleh bertindak awal kerana bimbang juga dengan kedatangan gelombang kedua H1N1 sekarang.

Hari ini ramai yang sanggup berbelanja besar demi kesihatan, sebab kesihatan sangat berharga. Bila ada saja yang sakit, pasti ramai yang bersimpati. Semakin moden dan canggih dunia, semakin cepat kita dapat penyakit dan semakin cepat juga kita mengesan penularan sesuatu penyakit.


Pun begitu, semakin canggih dan prihatin manusia terhadap kesihatannya, manusia masih lupa memberi perhatian terhadap penyakit hati yang jauh lebih bahaya daripada penyakit fizikal. Penyakit hatilah yang akan merosakkan keharmonian rumah tangga. Mengganggu suami isteri orang, maka berlakulah kecurangan dan lupa tanggungjawab.


Tidak memberi nafkah akhirnya berkecai rumah tangga. Anak jadi tidak keruan dan hilang kasih sayang. Bila hati sudah berpenyakit maka akan hilang rasa takut kepada Allah, merosot serta comot integriti, tidak lagi rasa diperhati, depan orang alim tetapi di belakang menjadi "maling". Itu sekadar contoh kesan akibat penyakit hati yang terlalu banyak keburukannya. Siri kali ini penulis mahu bincangkan antara tanda penyakit hati. Kalau sudah ada tanda maka kena berhati-hatilah. Antara tanda penyakit hati tidak boleh dikesan sesiapa pun adalah:

1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa.


Kalau buat pun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54). 2) Tidak tersentuh ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyu atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya.


Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45). 3) Tidak tersentuh dengan ayat kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan". 4) Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia . 5) Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat. 6) Kemaksiatan berantai
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya. 7) Meremehkan dosa kecil
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara lagi, kita perlu faham dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan. 8) Tidak peduli sumber makanan
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dia kira sedap dan enak, selera kena tinggi. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting kaw dan kaw. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya. Rasuah, curi, seludup, ampu ke semua dibedal.


Itu antara beberapa tanda yang sempat dibicarakan dalam ruangan ini dan harapnya ia dapat menambah maklumat kita semua. Mengenai cara mengatasi dan merawatnya Insya-Allah pada masa akan datang.




Kebahagiaan tercerna daripada ketenangan jiwa

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

2010/05/21

ALANGKAH bahagianya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan. Sebaliknya, amat gelisah sekali buat seseorang yang jiwanya mengalami kebingungan serta kegoncangan.

Dalam kehidupan ini pasti kita bertemu dengan dua jenis manusia, iaitu manusia yang jiwanya tenang dan manusia yang jiwanya sering merasa gelisah.

Remaja tentu pernah mengalami saat diri terasa bingung dengan masalah menyebabkan jiwa menjadi gelisah dan tidak menentu.

Ketika itu, terasa tiada tempat untuk mengadu, hampir putus asa dalam keadaan terkapai-kapai bersendirian. Saat itu, kita amat memerlukan sesuatu yang dapat membersihkan jiwa dan fikiran.

Jika penyakit kencing manis akibat gula berlebihan, kolesterol tinggi kerana banyak lemak, stress kerana tekanan, maka jiwa yang tidak tenteram pun ada sebabnya.

Sebab utamanya adalah dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan. Berbanding dengan racun biasa yang memudaratkan anggota badan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang ditimbulkan anggota badan. Tujuh anggota badan yang paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata perlu digunakan bagi tujuan melihat perkara yang baik dan indah.
Bukannya perkara haram dan lucah. Telinga adalah untuk mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah. Perut pula mesti diisi dengan yang halal.

Yang buat kita tidak tenang juga adalah disebabkan oleh hati yang kotor. Bukan saja dengan dosa tetapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat adalah ketenangan yang dibawa, yang dimaksudkan dengan rumah adalah hati, yang dimaksudkan dengan anjing adalah sifat dan akhlak tercela.

Maknanya kalau kita ada akhlak dan sifat tercela, hati yang bertindak sebagai rumah sudah menjadi kotor dan ketenangan tidak akan menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggalnya dan menetap syaitan sebab perangai buruk ditaja syaitan.

Sifat tercela yang membuat kita risau dan sasau ialah hasad dengki iaitu tidak senang lihat orang senang, takbur, ego serta sombong dan inilah stress pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya.

Begitu juga ujub dan riak. Mereka berasa dialah yang sempurna sedangkan orang lain rendah. Selain itu mereka mengharapkan pujian dan sanjungan. Apa lagi jika seseorang itu bersifat bakhil dan kedekut pasti tidak akan pernah tenang hatinya kerana sentiasa terikat dengan harta, cinta harta.

Apa lagi cintakan kemasyhuran yang langsung tiada perasaan rendah diri sudah pasti hati akan berasa gelisah. Sifat pemarah membuat orang menjadi pendendam, hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.



Wajib sambung tugas rasul

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

2010/04/23

SETIAP kita kena berdakwah untuk mengajak manusia kepada Islam. Islam itu agama dakwah seperti Rasulullah pernah lakukan.

Kekuatan kita dan umat Islam zaman berzaman terletak di atas kesungguhan berdakwah untuk menyelamatkan orang daripada azab Allah.

Apabila kita tidak buat usaha dakwah dan sibuk dengan mencari harta dunia, maka agama lain akan datang termasuk Kristian dan agama sesat baru muncul serta menyesatkan manusia.

Kristian sebenarnya adalah agama yang sudah habis tempoh laku (expiry date). Bagaimanapun, kerana pendakwah Kristian tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan usaha mereka, agama itu seolah-olah lebih hebat dari Islam.

Apabila kita cuma amalkan Islam secara sendirian dan bukannya secara berjemaah seperti diamalkan Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya selagi itulah misi Kristianisasi akan menyerang kita.

Kita kena melihat dakwah sebagai tugas terhormat untuk kita semua menjadi mulia di sisi Allah. Dakwah, satu kalimah yang mungkin selalu kita dengar dalam kehidupan kita sehari-hari.

Mungkin ketika berbual dengan kawan di pejabat, atau dalam tazkirah di masjid dan surau. Apabila ditanya kepada masyarakat kebanyakan berkenaan pengertian dakwah, pelbagai versi pengertian dakwah akan diberi mengikut pemahaman masing-masing.

Ada yang mengertikan dakwah dengan kerja mengajak orang jadi baik saja ataupun ajak orang pergi masjid semata-mata.

Ada juga yang memberi pengertian bahawa dakwah ini adalah kerja untuk mengajak kepada yang makruf dan membanteras kemungkaran.

Ada juga yang faham dakwah adalah hak milik eksklusif ustaz yang mengajar di masjid saja, tak perlulah bukan ustaz atau bukan budak sekolah agama hendak menyibuk dalam urusan dakwah.

Ada juga yang berpendapat tidak payahlah aku ini nak penat-penat masuk kumpulan dakwah atau fikir pasal dakwah, cukuplah asal aku dan keluarga aku jadi baik, aku boleh pergi masjid lima kali sehari semalam, boleh ajar anak aku mengaji, Ramadan boleh puasa lepas tu bayar zakat dan kalau ada duit lebih sikit pergi buat haji serta umrah.

Percaya atau tidak, kebanyakan masyarakat Muslim hari ini mempunyai minda yang macam itu ataupun lebih kurang macam itu. Eh, salah ke?

Nanti dulu, kefahaman dakwah itu bukan boleh main agak-agak macam itu saja. Bukan isu remeh-temeh dan ranting, tapi dakwah ini satu tugas besar yang diwarisi daripada nabi sejak zaman-berzaman lagi.

Kalau risalah ini dibawa nabi, maknanya ia memang perkara yang sangat penting untuk kehidupan manusia. Cuba kita kaji betul-betul apa yang dibawa nabi dari dahulu sampai sekarang? Adakah sekadar hendak ajak kawan jadi baik saja?

Rasa-rasanya kalaulah risalah yang dibawa Rasulullah sekadar hendak ajak orang jadi baik saja maka tidak perlulah Rasulullah serta sahabat bersusah-payah berjuang hingga sampai kena bina negara.

Tidak berhenti setakat itu saja, risalah kemudian disampaikan ke segenap pelosok muka bumi oleh sahabat dan tabiin hingga ke China.

Dakwah adalah satu usaha secara tersusun untuk menyampaikan Islam dan menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini supaya semua manusia dapat menikmati keindahan Islam dan bebas dari perhambaan sesama manusia.

Tugas dakwah tidak terhad kepada keluarga kita semata-mata bahkan melangkau jauh sempadan geografi setiap negara.

Ia adalah tugas global apabila kita yang bertuah dilahirkan sebagai umat Islam dan setiap orang daripada kita bertanggungjawab untuk tugas dakwah terbabit.

Ia bukan tanggungjawab ustaz semata-mata, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan atas urusan berkenaan.

Mengapa kita perlu berdakwah? Sebab Islam itu adalah agama yang sempurna dan kita wajib untuk berkongsi nikmat kesempurnaan itu dengan semua manusia.

Sebab itulah kita perlu bekerja bersungguh-sungguh. Apabila Islam tertegak di atas muka bumi dan memerintah bumi ini, aman dan makmurlah segala-galanya, ekosistem kembali seimbang dan dunia akan menjadi tempat paling baik untuk didiami.

Faham tak sekarang mengapa kita perlu berdakwah? Tapi persoalannya macam mana hendak memulakan dakwah? Macam mana, kita akan bincangkan dalam artikel yang akan datang

Marilah sama-sama membabitkan diri kita bersama mereka yang dipilih Allah untuk menjadi penyambung tugas nabi.




Amalan rasuah bawa kepada syirik

Tazkirah bersama Mohd Zawawi Yusoh

2010/04/09

APA guna dipanggil moden sekiranya cara hidup, pemikiran, akhlak dan sifat mulia kemanusiaan kita makin terhakis?

Kemudahan sepatutnya menyenangkan penyebaran kebaikan, keluhuran dan kesusilaan, barulah hidup mengalami kemajuan.

Bagaimana hendak mencapai kemajuan dalam masa sama mengetepikan akhlak murni terus berciciran?

Eloklah kita menilai kembali erti kemodenan yang sedang kita impikan.
Kemodenan hakiki adalah kebebasan akal menerawang mengenali Tuhan pencipta, hidup tertakluk kepada peraturan yang sarat dengan nilai mulia sejagat, sesuai di semua tempat, hidup berpandukan peraturan yang tahan diuji sepanjang zaman.

Bukan saja bertahan lama, tetapi berjaya menyisihkan cara hidup buatan manusia yang terbatas laksana buah bermusim, sekejap ada dan sekejap tidak ada, kadang-kadang putik kadang-kadang berulat.

Adakah moden sekiranya pemikiran masih terbelenggu dengan sial terhadap sesuatu yang langsung tidak punya kuasa? Bukan sekadar terbelenggu, tetapi sudah percaya dan menjadi rujukan serta penentuan dalam membuat keputusan.

Bayangkan remaja percaya kepada nombor 13 membawa sial dan majal. Imam Bukhari pernah meriwayatkan daripada Rasulullah yang bersabda, maksudnya: "Tiada sial dan majal dalam Islam."

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, maksudnya: "Tiada kesialan pada sesuatu burung."

Malah, mempercayai sial dan majal membawa kepada syirik sebaliknya Allah menggantikan dengan konsep tawakal.

Patut atau tidak seseorang remaja bersiap untuk ke tempat temuduga tiba-tiba sampai ke tempat itu, didapatinya bilik temuduga itu bernombor 13, lalu tidak jadi masuk menghadapi temuduga dan terus pulang kerana berpendapat nombor itu membawa sial.

Berkahwin pada bulan Safar, katanya membawa sial adalah bercanggah dengan prinsip agama. Begitu juga sesetengah daripada kita tidak jadi hendak membeli rumah semata-mata kerana dianggap sial.

Dalam suasana payah hendak mendapat kerja dan pasangan, ada yang beranggapan dengan memakai gelang dia akan memberi 'semangat.'

Tidak kurang juga yang percaya kepada kuasa bunga dengan nama 'mandi bunga.'
Bunga untuk hiasan dan kecantikan bukannya ada kuasa luar biasa. Begitu juga dengan kebolehan doktor. Islam tidak pernah menolak kemajuan yang berasaskan kajian dan penemuan moden. Perubatan moden diharuskan. Pun begitu kuasa penyembuh hanyalah pada tangan Allah.
Doktor hanya merawat dan berikhtiar, tetapi yang menyembuh hanyalah Allah. Kita boleh memilih doktor mana yang serasi untuk merawat kita, tetapi bukan dia yang menyembuh. Jika betul ikhtiar dan ubat bertepatan dengan kehendak Allah akan sembuhlah apabila sampai masanya.

Menjadi kesalahan besar sekiranya seorang gadis atau wanita sanggup berbuat apa sahaja, terpaksa menyerah maruah dan diri demi menagih cinta dari kekasihnya. Fikirnya jika tidak ikut kehendak si dia nanti tidak dicintai pula dan ada risiko ditinggalkan.

Yang menentukan jodoh bukannya manusia. Manusia hanya merancang kerana yang menentukan adalah Allah. Kekolotan minda akidah remaja inilah menyebabkan berlakunya persundalan yang akhirnya mereka sendiri yang merana.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan amalan memberi rasuah membawa kepada syirik. Ia berdosa besar yang membawa kepada syirik kerana anggapan pemberi rasuah 'jika aku tidak beri, maka pasti tidak dapat.'

Ini yang merosakkan iman. Mereka menganggap pemberi rezeki sudah beralih daripada Allah kepada manusia. Bagi melariskan kedai perniagaan, ada yang menggunakan pelaris termasuk ayat seribu dinar. Peniaga mungkin terlupa bagaimana nabi menjalankan perniagaan, untung besar tetapi tidak guna pelaris.

Begitu juga sahabat nabi, Abd Rahman bin Auf buat untung besar tanpa menggantung apa-apa ayat. Sebenarnya rahsia kejayaan mereka adalah ilmu, kemahiran dan tawakal kepada Allah

Tiada ulasan: