Khamis, 20 Jun 2013

TUTUP AURAT BUKAN BUNGKUS AURAT

Mustapa sokong lapangan terbang dinaik taraf

Aslani M, 18 Jun 2013
KOTA BHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini menyatakan sokongan terhadap permohonan kerajaan negeri menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dun Kelantan menyokong usaha tersebut.

Sebelum itu anggota Exco, Hanifa Ahmad ketika menjawab soalan tambahan Mustapa (BN-Ayer Lanas) berharap mendapat sokongan Adun BN bagi membolehkan lapangan terbang berkenaan dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Terima kasih di atas sokongan itu. Setidak-tidaknya pada tahun hadapan penerbangan jemaah haji boleh diadakan terus dari Kota Bharu ke Jeddah.

“Jadi kita mengharap Kementerian Pengangkutan meluluskan permohonan Kelantan dengan sokongan padu Adun-Adun BN,” katanya ketika menjawab soalan asal Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) pada persidangan Dun.

Katanya, kerajaan negeri memohon landasan kapalterbang dapat dipanjangkan daripada 2,400 meter sekarang kepada 3,400 meter bagi membolehkan Boeing 747 dan Airbus mendarat.

Menurutnya juga landasan tersebut pada 2011 sudah dinaik taraf daripada 1,980 meter kepada 2,400 membabitkan kos sebanyak RM45.5 juta.

Bagaimanapun kata beliau Firefly sudah mengadakan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Singapura sebanyak empat kali seminggu bermula Ramadan lalu.

“Kerajaan negeri juga memohon bagi membolehkan diadakan penerbangan terus ke Medan, Indonesia. Namun ia bergantung kepada potensi perniagaan oleh syarikat penerbangan,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, projek pembangunan hartanah di Bandar Baru Tunjung yang diterima sekarang bernilai RM1.69 bilion.

Katanya, projek tersebut termasuk syarikat Sara Timur Sdn Bhd yang dikenali sebagai Legenda Tunjung dianggar membabitkan kos RM1.2 bilion.

Selain itu pelaburan Mydin Holdings sebanyak RM250 juta dan syarikat lain mewujudkan autocity bernilai RM40 juta.

Sebanyak tujuh projek pembangunan akan dibangunkan di Tunjung di bawah penyelarasan Tunjung Development Sdn Bhd.

“Jabatan dan agensi-agensi kerajaan pusat juga membina pejabat di Bandar Baru Tunjung,” katanya ketika menjawab soalan Rozi Muhamad (PAS-Tendong).

Kelantan bina jaringan pelaburan Islamik

Salmah Mat Husain, 18 Jun 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meningkatkan usaha misi pelaburan dengan matlamat membina jaringan pelaburan Islamik khususnya di Timur Tengah sebagai keutamaan.

Ianya selaras dengan harapan Sultan Muhammad V yang berharap Kelantan mempergiatkan usaha menarik pelabur.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata di samping mengukuhkan hubungan Jaringan Perdagangan Islam di sebelah timur, termasuk Persatuan Pedagang Muslim di Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun Kelantan petang ini.

Tegasnya, kerajaan negeri juga berhasrat membina rangkaian makanan halal dengan meningkatkan kemasukan pelabur di halal hub dan akan bekerjasama dengan pembekal makanan halal daripada negara Arab.

“Saya sendiri akan menerokai peluang bertemu pelabur Arabian Countries ini selari dengan hasrat perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Sekretariat Hubungan Kelantan-Arabian Countries.

“Menerusi kerjasama ini juga akan menarik kepakaran dalam industri pendidikan, minyak, gas serta pelancongan Islam,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, hubungan dagang itu diharap dapat dipermudahkan memandangkan beberapa orang Adun dan bekas Adun mempunyai pakar dalam hubungan dengan negara Arab.

Pada masa yang sama, Ahmad turut mendedahkan sektor pelancongan dilihat berpotensi sehingga pengusaha di negeri itu berjaya meraih RM1.8 billion bagi pengusaha berkaitan pelancongan.

Jelasnya, ia hasil kejayaan urus tadbir Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berteraskan Membangun Bersama Islam.

Selain kejayaan lain, katanya Kelantan juga turut wujud persekitaran sejahtera yang menarik minat pusat pendidikan di negeri itu.

“Selain beberapa IPTA, kita ada IPTS dan ada yang bertaraf antarabangsa seperti Universiti Lim Kok Wing,” ujarnya.

Hari ini adalah hari terakhir sidang Dun Kelantan setelah berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dun Kelantan ke-13 tahun ini disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tunjong sumbangan RM25,000 untuk lebuh raya

Salmah Mat Husain, 18 Jun 2013
KOTA BHARU: Sebagai tanda sokongan padu kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan pembinaan Lebuh raya Rakyat, Tunjong Development Corporation (TDC) Sdn Bhd telah menyumbang sejumlah RM25,000 untuk menjayakan hasrat itu.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pengurus Besar TDC, Nazri Deraman kepada Ustaz Ahmad, selepas persidangan Dun Kelantan berehat seketika di luar Bilik Gerakan Negeri.

Nazri ketika ditemui memberitahu, pihaknya bersedia memberikan sumbangan itu bukan hanya sekadar tanda sokongan kepada pembinaan lebuh raya itu sebaliknya memenuhi impian rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan khususnya anak Kelantan di perantauan begitu mengharapkan lebuh raya yang sempurna untuk memudahkan mereka pulang ke kampung masing-masing khususnya musim cuti perayaan,” ujarnya.

TDC merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Hadis palsu: Maklum balas Ikim

Harakahdaily, 18 Jun 2013
Pada 14 Jun yang lalu harakahdaily ada menyiarkan surat pembaca yang bertajuk “Minta IKIM Siasat” yakni meminta pihak Ikim menyiasat sebuah artikel yang dikaitkan dengan laman web mereka.

Hari ini, 18 Jun, pihak harakahdaily mendapat maklum balas daripada IKIM melalui emel yang dikirim oleh Sapuah Bt Haji Nawawi, Ketua Pegawai Perhubungan Korporat IKIM, Unit Perhubungan Korporat IKIM.

Dalam emelnya, Sapuan menyatakan bahawa pihak IKIM telah memberi maklum balas permintaan surat pembaca tersebut.

“MERUJUK KEPADA SURAT PEMBACA , EN SHAZMIN SULEIMAN BERTARIKH 14 JUN 2013, “MINTA IKIM SIASAT”, KAMI MENGAMBIL MAKLUM PERKARA TERSEBUT.

IKIM TELAH MENGADAKAN SIASATAN DAN MENGAMBIL KEPUTUSAN UNTUK MENGELUARKAN ARTIKEL BERKENAAN DARIPADA LAMAN WEB IKIM.

TERIMA KASIH.

SAPUAH BT HAJI NAWAWI
KETUA PEGAWAI PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
TEL: 03-62046329/326 / 11 Sya'ban 1434 H | 20 Jun 2013pr@ikim.gov.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ”

Pihak harakahdaily juga berterima kasih kepada pihak Ikim kerana kecaknaan mereka terhadap perkara ini. Adalah menjadi tanggungjawab harakahdaily khasnya dan umat Islam di Malaysia umumnya tegur-menegur dalam memelihara kesucian Islam.
Surat pembaca tersebut boleh dibaca di sini

Perjuangan baru perangi jenayah

Subky Latif, 19 Jun 2013
APA yang baru yang hendak dibuat oleh Datuk Seri Najib setelah menjadi Perdana Menteri semula?
Mula-mula menjadi Perdana Menteri empat tahun lalu ialah kata-kata hikmah transformasi berbagai lapangan. Transformasi itu dan transformasi ini. Kalau P.Ramlee ada masa ini dia akan berkata, ‘Berapa banyak transformasilaaaaa?’

Yang terbaru ini dia berkata kira-kira, menghadapi jenayah satu perjuangan. Tentu ia juga dalam rangka transformasi juga.

Kita sudah ada perjuangan membasmi kemiskinan, membasmi buta huruf, mendaulatkan bahasa, perjuangan memperkasa  penggunaan bahasa Inggeris, perjuangan meningkat pelajaran orang Melayu, membasmi rasuah, politik wang dll. Kini menghadapi jenayah pula.

Adakah ia tanda jenayah sudah jadi ancaman paling atas sekarang?

Memang jenayah sekarang menjadi-jadi. Tiada hari yang tiada laporan jenayah dalam akhbar. Bukan sekadar satu jenayah sehari, bahkan  beberapa kejadian jenayah sehari. Kalau bunuh di Amerika bukan berapa pembunuhan sehari tetapi berapa pembunuhan sejam. Sama kita pula tidak patut bertanya berapa penagih dadah sehari tetapi tanya berapa penagih baru sejam?

Dengan kempen  perjuangan anti jenayah yang sepatutnya dilancarkan segera, maka apakah kempen mencegah rasuah sudah berjaya? Rasuah masih berada di tahap yang tinggi. Mungkin tidak  setinggi Indonesia dan Filipina, tetapi boleh kita berbangga rasuah kita tidak setinggi negara-negara jiran? Tetapi jenayah rasuah kita amat teruk dibandingkan dengan pemerintahan  sebelum merdeka dulu.

Berjuang memerangi jenayah adalah baik tidak kira jenayah di peringkat rendah atau apa lagi sudah di tahap yang tinggi. Jenayah bukan saja di luar balai polis tetapi sudah berlaku dalam lokap yang  di sekitarnya tiada orang lain selain dari polis  dan suspek.

Tiada  di dunia jenayah meletup hancurkan mayat tetapi di Malaysia berlaku mayat diletup hancurkan seperti yang berlaku dalam pemerintahan Pak Lah terhadap mayat Altantuya, nyonya dari Mongolia.

Sepatut menghadapi jenayah sebagai satu pejuangan bermula dari waktu itu.  Walaupun  kejadian itu sudah hampir sepuluh tahun dan belum selesai, sekali pun terlambat, tetap tidak  terbiar langsung dengan kenyataan Perdana Menteri itu. PM sudah ada ingatan sekarang untuk memulakan perjuangan memerangi jenayah.

Tetapi jenayah yang hendak ditangani itu sekadar mencegah jenayah yang hendak berlaku selepas kempen dilancarkan, tetapi mestilah juga menangani jenayah lampau yang belum diselesaikan seperti meletupkan mayat Altantuya itu.

Dalam rangka kempen itu kerajaan, Perdana Menteri dan kempen  anti jenayah yang hendak diperjuangkan itu mesti respons terhadap tindakan mahkamah Perancis yang sedang menangani rasuah pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia dengan pengeluarnya di Perancis.

Loyar dari Perancis pernah datang ke negara ini untuk melakukan penyelidikan. Pihak berkuasa bukan sekadar tidak memberi kerjasama, tetapi menghambatnya dari negara kita.

Jika yang ini pun tidak diberi reaksi yang menggalakkan, maka yang dikatakan perjuangan terhadap  jenayah itu adalah satu propaganda murahan sama seperti kata-kata kosong yang sudah selalu didengar.

Apapun jenayah mesti ditangani oleh semua. Menjadi-jadinya jenayah itu adalah isyarat Allah kepada umat dan kerajaan negara ini, betapi jenayah itu tiada dapat diperangan dengan mana undang-undang selain  dari peraturan jenayah Islam iaitu hudud.

Isu hudud timbul dalam negara kita. Kita tolak sedang yang menolak itu adalah pemerintah dan pembesar Islam. Bila kita memilih undang-undang lain, maka jenayah tidak akan terhapus, bahkan ia menjadi-jadi.

Najib dan kerajaannya, bukan saja agak gagal dalam kempen itu kerana ia mengenepikan hudud, dan dengan segala imej yang ada padanya, kenyataannya menjadikan anti jenayah sebagai satu perjuangan adalah kata-kata kosong, malah mahu menyorokkan segala macam jenayah yang melibatkan para pembesar.

Aurat

Ariff Mustaffa Hamzah, 19 Jun 2013

I
DIA mengusap-usap kucing berwarna kuning keemasan itu. Hatinya riang. Dia mula terkenangkan Gemok, kucing peliharaannya di kampung. Sebaik sahaja sisa makanan habis dijamah, kucing itu menggesel-geselkan badan di telapak tangan Wan Syafida, meminta makanan lagi. Tiada lagi makanan untuk dikongsi. Keropok ikan itu adalah makanannya yang terakhir. Kucing itu mengiau dua, tiga kali lalu melangkah ke muka pintu bilik belajar. Dia memerhati tubuh montok kucing itu sebelum hilang dari pandangannya.

Wan Syafida meneruskan pembacaan. Helaian buku teks Pendidikan Syariah Islamiah diselak satu per satu, mencari-cari tajuk yang belum dipelajari. Di atas meja, lima buah buku pelbagai mata pelajaran tersusun bertingkat-tingkat, menunggu giliran untuk dihadam isinya. Dua orang rakannya, yang juga sama kelas dengannya, turut serta mengulang kaji pelajaran di bilik belajar yang sempit itu. Mereka tidak mengerling ke kiri kanan kerana terlalu fokus membuat latihan Matematik Tambahan. Dari wajah mereka, ada kantuk yang cuba dilawan sedaya-upaya.

Jalur-jalur mentari menerobos ke dinding bilik itu melewati jendela kaca yang berdebu. Kipas siling berputar laju. Dingin suasana meresap ke dalam batang tubuh gadis Minangkabau itu. Di luar, angin lunak duha berhembus dari belahan utara, membuai pohon-pohon yang tumbuh sebaris di tepi bangunan asrama.

Dia mengemas buku-bukunya yang bertimbun-timbun. Sudah dua jam dia menekuni naskhah  rujukan yang tebal itu. Matanya semakin berat. Mujurlah hari itu hari minggu. Tiada kelas. Dia mahu berehat sepuas-puasnya di dalam bilik.

Gadis tinggi lampai itu melangkah lesu, mendaki anak-anak tangga yang dirasakannya begitu banyak. Setibanya di kaki lima aras satu, dia terserempak dengan Zara Pinkie, si gadis kontemporari, kata orang. Fashionista, gelar orang ramai.

Zara Pinkie – entah dari rekahan bumi mana munculnya nama gelaran ini – mundar-mandir di kaki lima itu, sambil berbual mesra dengan seseorang menerusi telefon bimbit. Nadanya manja. Senyum terukir sentiasa. Barangkali sedang berbicara dengan rakan lama, getus Wan Syafida, cuba untuk husnul zhan.

Wan Syafida merenung jasad gadis kontemporari itu (kononnya) dari hujung tudung hingga ke hujung sepatu hitam, lalu menggeleng-geleng. Wangian mahal yang terbebas dari pakaian Zara bertenggek di rongga hidungnya.

Gadis kontemporari itu menyinsing tudung singkatnya sehingga menonjolkan alur bahu. Wajahnya disapu dengan solekan tebal. Mata bundarnya dicalit celak berwarna biru ikan laga. Bibirnya pula merah berkilat. Baju kurung batik yang dipakainya boleh dikira ketat kerana menampakkan bentuk tubuhnya. Wan Syafida menggeleng-geleng.

“Kau mahu ke mana?” tegur Wan Syafida memulakan bicara sebaik sahaja Zara menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan kulit jenama Gucci berwarna coklat susu.

“Adalah. Kau tak perlu tahu,” balas Zara si gadis kontemporari itu ringkas dan malas.

Wan Syafida tahu benar bagaimana ikatan hubungan mereka berdua. Hampir genap lima tahun mereka tidak sealiran pemikiran. Hampir genap lima tahun mereka bertembung fahaman. Dan hampir genap lima tahun itu jugalah, perang saraf yang terkadang hangat, terkadang dingin; tercetus.

Wan Syafida juga sedar siapa dirinya. Anak nelayan. Orang laut. Alun hidup yang tersorok dari kemewahan dan keintelektualan. Wan Syafida tahu siapa gadis genit di hadapannya. Anak tokoh korporat. Orang kelas pertengahan. Kekayaan dan keberadaan mendarah daging kehidupannya.

“Kau nak outing pakai begini? Cubalah kau pakai sopan sikit. Malu kalau dilihat orang,” soal Wan Syafida.

Wajah Zara mencuka. Masam. Dia terpukul dengan teguran langsung daripada rakan sekelasnya itu. Walaupun mereka sekelas, dan Wan Syafida memegang jawatan tertinggi dalam pertubuhan dakwah sekolah – Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) – Zara sedikitpun tidak menghormatinya. Malah, Zara tidak pernah menyantuni sesiapapun yang terlibat dengan pergerakan dakwah itu.

Pernah suatu hari, Zara bertikam lidah dengan seorang pelajar perempuan yang merupakan salah seorang ahli pertubuhan dakwah itu. Sebabnya? Hanya satu. Pelajar perempuan itu menegur Zara kerana tidak solat Subuh.

“Ada aku kacau kau? Aku nak pakai macam mana sekalipun, itu hak aku. Kau jangan menyibuk.”

“Memanglah itu hak kau, Zara. Tapi kau kena ingat, kita ni pelajar sekolah agama. Kita membawa syiar Islam. Menjadi contoh teladan kepada pelajar bukan sekolah agama. Kita menjadi dalil kepada orang awam dalam mengamalkan ajaran agama.”

“Kau beri aku nasihat sebegini, macamlah kau baik sangat. Cermin diri kau dulu sebelum kau nasihatkan aku. Kau bukannya tiada dosa. Kau bukan maksum. Kau tak sempurna. Kau juga manusia seperti aku. Entah-entah, dosa kau lebih banyak daripada aku.” Zara senyum sinis.

Wan Syafida tenang. Dia mengawal emosi. Dia tahu, dia perlu mendepani hujah itu dengan akal yang waras. Sekiranya hujah diresapi nafsu, maka tiada bezalah antara dia dengan Zara si gadis kontemporari itu.

“Aku nasihatkan kau sebagai seorang rakan. Kalau kau tidak ada asas agama, barangkali aku tidak nasihat terus begini. Tapi, sekarang ini lain halnya. Kau budak sekolah agama. Tahu batas-batas agama. Tahu asas-asas agama. Tak susahlah aku nak terangkan fasal hukum-hakam. Lagipun, selagi menjunjung akidah sebagai Muslim, wajib kita menyebarkan dakwah. Tidak kiralah baik atau jahat, dakwah tetap perlu dilaksanakan.”

“Aku tak berpakaian seksi. Aku yakin pakaian aku sudah cukup sopan. Terpulanglah kepada orang yang melihat, mahu nilai aku dengan kriteria yang bagaimana,” bela Zara.

“Seksi atau tidak, yang haram tetap haram. Aurat masih kelihatan. Berpakaian penuh sebegini bukan jaminan aurat kau terhijab. Kau hanya membalut aurat, bukan menutup aurat.”

“Hmm.. Aku seperti ini pun, hati aku tetap baik. Aku solat lima waktu sehari semalam. Kadang-kadang, solat sunat pun aku buat. Bulan Ramadan, aku puasa penuh.” Pandangannya dicampakkan ke Raudhatul Wardah -- taman bunga asrama puteri -- lalu memeluk tubuh.

“Kau yakin dengan hati yang suci,yang baik itu sudah mampu menampal dosa kerana tidak menutup aurat? Kau pasti dengan solat dan puasa sahaja, sudah cukup untuk hindari tubuh kau daripada dimamah panas neraka?”

“Tidak tutup aurat, kau kata? Aku sudah bertudung. Kau jangan tuduh sembarangan. Hati-hati dengan apa yang kau cakap. Kau siapa nak hukum amal ibadat aku? Kau malaikat Raqib dan Atidkah? Kaukah yang tulis segala amal ibadat aku? Allah yang nilai segala amalan aku, bukan kau.” Suara Zara semakin meninggi.

Aurat bukan pada rambut saja, Zara. Menurut mazhab yang kita pegangi, seluruh tubuh wanita merupakan aurat melainkan muka dan tapak tangan. Kau pun tahu, bukan? Jadi, tutuplah aurat dengan sempurna.” Lembut Wan Syafida menutur kata, cuba mengimbangi suasana.

“Sekurang-kurangnya aku tidak hipokrit.”

“Maksud kau?”

“Yalah. Orang yang bertudung labuh ni, sebenarnya mahu tunjuk alim. Mahu tunjuk baik. Mahu dipuji orang. Aku tak mahu dituduh hipokrit. Apa yang orang lihat dari penampilan aku, itulah diri aku. Yang penting, hati aku ikhlas,” hujah Zara.

“Astaghfirullah.. Zara. Menutup aurat itukan tuntutan Islam. Bukan sebab hipokrit atau dengan tujuan menunjuk-nunjuk. Cubalah tutup aurat dengan sempurna. Istiqamah. Lama-kelamaan, kau akan terbiasa dengan perkara yang betul.”

“Kau tak perlu ingatkan aku. Aku tahulah. Hmm… Suka hatilah aku mahu pakai apa sekalipun. Aku yakin aku sudah tutup aurat. Aku tak susahkan orang lain. Semua ini di antara aku dengan Allah.”

“Kau dah susahkan ahli keluarga kau sebenarnya. Kau akan tarik suami kau, ayah kau, abang kau, adik lelaki kau dan lelaki-lelaki Islam di sekeliling kau  ke lembah  neraka disebabkan kegagalan mereka mendidik kau. Memanglah urusan agama ini antara kau dengan Allah Taala. Di padang Mahsyar nanti, bolehkah kau kata begitu…”

“Cukup!” potong Zara separuh menjerit. Jari telunjuk kirinya diangkat setentang dengan matanya. Puluhan mata memancangkan pandangan ke arah mereka, tetapi tidak berani mencelah perbahasan itu.

Zara menarik nafas dalam-dalam. Dengan sedaya-upaya, dia cuba mengawal riak wajah supaya tidak dilihat telah kalah dalam menegakkan benang hujahnya yang basah.

“Sudahlah. Kau jangan sibuk hal aku. Kau dengan hal kau. Aku dengan hal aku. Kau ingat kau tudung labuh, meleret-leret sampai ke tanah tu, kau cukup suci sangatkah? Ramai lagi orang yang tudung biasa, malah yang tidak bertudung pun, lebih baik daripada orang yang bertudung labuh. Lebih baik kau pergi nasihatkan perempuan-perempuan yang bertudung labuh. Bukankah masih ramai perempuan-perempuan bertudung labuh tetapi berhati busuk. Katakan kepada mereka, janganlah berlagak alim. Allah tak suka orang yang hipokrit,” sindir Zara, disusuli ketawa mengejek.

“Astaghfirullahal ‘azim. Zara.. Istighfar, Zara. Jangan cakap begitu.” Bibir Wan Syafida bergetar. Dia tidak menyangka rakannya sanggup menghunjamkan bicara seperti itu. Raut muka Wan Syafida berubah. Zara yang merasakan dirinya mengecap kemenangan psikologi terus mencampakkan kata-kata yang berbancuh sindiran.

“Kau teruskanlah kerja dakwah kau tu, ya. Ramai lagi yang laparkan nasihat kau. Aku teringin lihat semua pelajar perempuan di sekolah ini jadi seperti kau. Bertudung labuh, berjalan menunduk kepala, tapi.. berfikiran kolot. Hehe… Aku pergi dulu ya, Ustazah Syafida. Selamat berdakwah..” Sinis. Perbualan mereka mati sebaik sahaja Zara meninggalkan Wan Syafida yang terkulat-kulat memerhatikan gerak langkahnya. Bicara akhirnya benar-benar menggegar atma Wan Syafida. Bagai ribuan jarum halus yang menikam sukma.

Wan Syafida melaungkan nama Zara, tetapi tidak diendahkan. Akhirnya Zara hilang dari pandangan mata. Tinggallah Wan Syafida seorang diri di kaki lima itu. Dia sedar, perbualan panas mereka menarik tumpuan pelajar-pelajar lain yang lalu-lalang di sekitar itu.

Raihana memandang dari jauh. Redup matanya melihat wajah sugul Wan Syafida. Dia tahu benar, hati lembut rakannya itu telah terguris. Perlahan-lahan, dia menghampiri tubuh Wan Syafida.

Wan Syafida menahan tangis. Air mata terempang di pelipis mata. Dia memandang ke dalam anak mata Raihana. Raihana merangkul tubuh kurus rakan karibnya itu. Angin pagi yang kering berpuput dingin, mengibas-ngibas tudung labuh mereka.

II
Dia menyendiri. Fikirannya, jiwanya, perasaannya; diganggu gelisah resah. Dia cuba kembali ke permukaan kesedaran.

Dia merenung seputar hidupnya. Dari kampungnya, sehinggalah ke sekolahnya. Juga, dari masa kecilnya, sehinggalah ke masa kini. Semuanya bergulir laju di kepala.

Mata dipejam. Di dalam ruangan khayalan, dia melihat dirinya dikelilingi gadis seusianya. Di sisi kanan, Zara Pinkie. Di sebelah kiri, Cacha Violet. Di bahagian belakang, Rina Bobo dan Lilie London. Di kiri kanan depan belakang; dia kenal semuanya. Rakan sekelas. Rakan sekolah. Rakan seakidah.

Sudah lama dia cuba menarik kaum hawa di sekelilingnya mengakrabi Allah, tetapi, yang benar-benar mahu menurutinya, tidak habis kiraan jari di sebelah tangan. Sesekali dia terasa mahu sahaja berputus asa, tetapi segera disusun semula segala kekuatannya agar dapat bertahan menegakkan kebenaran. Benar, dia tahu benar. Dakwah bukanlah mudah.

Dia teringat satu hadis yang sering diulang-ulang sewaktu berusrah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang menghuraikan berkenaan dua golongan ahli neraka, iaitu lelaki yang mempunyai cemeti seumpama lembu untuk memukul orang lain serta golongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang mana di atas kepala mereka seumpama bonggol unta. Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menghidu baunya.

Erti ‘berpakaian tetapi bertelanjang’ itu telah dihuraikan oleh Imam Nawawi di dalam kitab syarah Sahih Muslim, dan mempunyai tiga tafsiran. Pertama, memakai nikmat Allah Taala tetapi tidak mensyukurinya. Kedua, menutupi sebahagian badan dan membuka sebahagian yang lain untuk memperlihatkan kepada orang lain. Ketiga, memakai pakaian nipis yang memperlihatkan warna badannya.

Dia tahu, definisi aurat telah disalah erti oleh masyarakat, terutamanya warga awam. Aurat menjadi sesuatu yang ringan di mata manusia, sedangkan Islam memandang berat perihal ini. Aurat itu, diletakkan pengertian oleh manusia dengan pelbagai erti. Pada satu belahan pemikiran mengatakan aurat itu ialah seluruh anggota badan, melainkan muka, tapak tangan dan rambut. Maka, tercipta satu etika pemakaian, yang kononnya menepati syarak; iaitu berpakaian sopan, tidak ketat, sejuk mata memandang, walaupun rambut dibiarkan bebas sudah dikira sebagai memenuhi tuntutan Islam.

Pada satu belahan pemikiran yang lain pula menganggap dan mendefinisikan menutup aurat itu ialah menutup seluruh tubuh dan memakai tudung semata-mata, sedangkan bahagian lain terdedah di sini sana. Maka, tercetus pula gaya berfesyen yang rencam di dunia Islam, yang kononnya, selari dengan syariat. Bertudung, tetapi berpakaian ketat. Bertudung, tetapi mempamerkan bentuk dada. Bertudung, tetapi singkat. Bertudung, tetapi itu ini.

Padahal, pendefinisian aurat itu sudah diperbahaskan oleh Islam, lama dahulu. Aurat perempuan, menurut kebanyakan ulama, ialah keseluruhan badan, kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dia yakin, semua orang sudah maklum hal ini. Sejak sekolah rendah lagi, aurat sudah diterangkan oleh ustaz ustazah secara terperinci.

Dia mencari semula simpanan ilmu yang tersusun di ingatan. Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh kaum perempuan yang mengaku Islam ketika berada di luar rumah. Pakaian menutup seluruh aurat. Pakaian perlulah tebal. Pakaian perlulah longgar. Pakaian tidak disertai wangi-wangian. Pakaian itu bukan pakaian untuk menarik perhatian serta untuk membangga diri. Pakaian yang menutup aurat bukan perhiasan. Pakaian tidak menyerupai pakaian perempuan kafir. Pakaian tidak menyamai pakaian khusus bagi lelaki. Lapan. Ada lapan syarat semuanya.

Bagi sesetengah perempuan, mereka melihat syarat yang digariskan ini begitu mengikat kaki mereka. Membelenggu tengkuk mereka. Memotong sayap kebebasan mereka. Sebagai makhluk yang menggelarkan diri sebagai pemeluk ajaran agama yang benar, tidak patut berfikiran sedemikian. Islam hadir bukan untuk memberatkan. Bukan juga untuk mengikat penganutnya. Islam itu mudah. Tetapi, jangan pula mengambil mudah dan mempermudahkan ajaran Islam.

Allah SWT telah mengukir kata-kata agung-Nya di dalam surah Al-Hajj ayat 78 bahawa Dia sesekali tidak menjadikan terhadap hamba-Nya dalam beragama suatu kesempitan.

Firman itu jelas menjernihkan keraguan manusia yang mengatakan Islam sebuah agama yang membebankan. Allah SWT tahu dan faham kehendak dan kemampuan ciptaan-Nya, maka disebabkan itulah Dia merangka Islam ini sesuai dengan fitrah manusia.

Barangkali ada yang bangkit mempersoalkan mengapa Islam tidak berlaku adil dalam menyamaratakan hak lelaki dan wanita. Mengapa Islam memerintahkan wanita menutup aurat sedangkan lelaki bebas berpakaian. Hal ini sudah lama diperdebat oleh ulama. Dia biarkan sahaja persoalan itu.

Dia merenung jauh. Seingatnya, hal-hal syariat tidak perlulah dipersoal dan ditagih hujah dari aspek saintifik dan logik. Syariatullah merupakan rahsia Allah SWT.

Dia mengerti, wanita sekarang sudah lemas dalam fana dunia. Dunia sekarang sebenarnya dihiasi dengan perkara-perkara mungkar yang tampak indah. Kebobrokan dunia ditamsilkan dengan keindahan syurga. Mereka, para pembenci Islam itu, dengan sedaya upaya cuba memesongkan akidah umat Habibullah Nabi Muhammad SAW. Itu suatu yang pasti.

Telah tercatat sebuah hadis di dalam riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad, yang bermaksud : ‘Sesungguhnya kamu akan menurut jejak langkah umat-umat sebelummu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan kalau mereka memasuki lubang biawak pasir sekalipun nescaya kamu akan memasukinya. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah umat yang dimaksudkan itu golongan Yahudi dan Nasrani?” Rasulullah menjawab, “(Kalau bukan Yahudi dan Nasrani) maka siapa lagi?”

Dia memerhati kaum wanita sekarang. Dia sering kali memerhatikan mereka. Dia tidak alpa daripada memikirkan perihal kaumnya. Wanita yang mengaku Islam pada waktu sekarang, berlumba-lumba untuk memiliki pakaian ala barat, walaupun nilainya mencecah ratusan, malah ribuan ringgit. Yahudi, golongan kafir jahanam itu mencipta dan mereka rencam bentuk fesyen alaf baharu – kontemporari dan moden, menurut mereka – dengan corak dan rupa yang menggugat nafsu, supaya dibeli dan dibalut ke tubuh wanita yang mengaku Islam. Dia terfikir, bukankah lebih baik wang yang ditaburkan untuk membeli pakaian barat itu dilaburkan untuk membangunkan dan mendaulatkan khilafah Islamiyah?

Di dalam ruangan khayalannya, dia kembali dikerumuni rakan-rakan perempuannya. Kiri kanan depan belakang. Dia dicemuh. Dia diejek. Dia dicaci. Dia dikutuk.

Dia tidak pernah menyimpan benci dan kesumat terhadap mereka. Dia tahu, rakan-rakannya itu tidak faham. Mereka dengan relanya memerosokkan diri ke dalam lubang kerosakan. Dia tahu, rakan-rakannya itu masih jahil tentang agama. Disebabkan jahil itulah, mereka longlai dipermainkan oleh dunia. Dan, tanggungjawabnya ialah menarik mereka keluar dari lingkungan jahiliyyah moden itu.

Bukan sekadar hal aurat yang menjadi permasalahan wanita zaman kini. Masalah-masalah fiqh berkaitan wanita masih banyak yang tidak diperdalami oleh golongan wanita sendiri.

Masih ada yang tidak mengerti fiqh wanita. Masih ada yang tidak tahu membezakan di antara darah haid dan darah istihadhah. Masih ada yang tidak faham apa itu mutahayyirah. Masih ada yang tidak tahu tempoh suci antara haid. Malah, lebih teruk lagi, masih ada yang tidak tahu cara untuk mengangkat hadas besar.

Memang. Kesalahan tidak tahu dan tidak faham itu -- atau dalam erti kata yang lebih mudah, jahil - tidak boleh diletakkan secara total ke atas kepala para wanita. Harus dipersoalkan, di mana peranan bapa mereka? Di mana tanggungjawab abang dan adik lelaki mereka? Di mana tugas lelaki yang menikahi mereka? Di mana lelaki-lelaki gagah di sekeliling mereka? Sanggup benar mereka membiarkan kaum wanita terkapai-kapai dalam segara kejahilan tanpa asuhan Islam.

Dia sedar, dunia sudah berada di penghujung waktunya. Bila-bila masa sahaja, bumi akan terbelah, langit akan runtuh. Bila-bila masa sahaja, setiap makhluk akan musnah binasa. Hari itu, hari kiamat yang bakal menggulung usia manusia. Sebelum sampai detik itu, banyak tanda yang muncul. Dan, tanda-tanda kecilnya sudah terlalu banyak yang menjengah dunia. Salah satunya, ini. Fitnah wanita. Di teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, yang mengatakan bahawa fitnah terburuk selepas kewafatan Rasulullah SAW ialah fitnah wanita.

Benar sekali peringatan yang diucapkan oleh Rasulullah SAW. Fitnah wanita terlalu besar. Godaan dan pujuk rayu wanita mampu menghancurleburkan dinding iman lelaki. Namun, tidak bermaksud semua punca harus dituding jari kepada wanita semata-mata. Lelaki juga bersalah kerana mudah terpedaya. Mudah menjadi hamba kepada wanita. Lelaki menjadi punca kerosakan wanita. Lelaki tidak ambil tahu tentang tanggungjawab dan peranannya terhadap wanita.
Dia mengeluh panjang.

III
Mentari hampir sepenuhnya menyorok di horizontal barat, tetapi masih melampiaskan warna jingga pada bentangan langit. Wan Syafida siaga untuk pergi ke surau. Beg sandangnya disumbat dengan buku-buku dan alat tulis.

Kelihatan para pelajar perlahan-lahan meninggalkan asrama puteri. Senja itu, tiada warden yang menghambat mereka ke surau. Suasana sedikit tenang. Yang kedengaran hanyalah bualan pelajar dan derapan tapak kasut mereka.

Wan Syafida melewati sebuah dorm. ‘E12’ tercatat pada daun pintu. Gegendang telinganya menangkap gemersik suara esakan seorang gadis. Dia kenal benar pemilik suara itu.

Dia melangkah masuk. Sekujur jasad sedang terbungkam di atas katil, sambil mukanya ditekup pada bantal. Esak tangisnya semakin jelas.

“Zara? Kenapa ni?”

Senyap. Tiada jawapan.

Wan Syafida merapatinya, cuba memujuk. Tangannya diletakkan ke atas bahu Zara, tetapi segera ditempis.

“Pergi! Jangan ganggu aku.. Pergi! Aku tak percaya lelaki. Lelaki penipu. Aku benci lelaki!” teriak Zara.

Wan Syafida gamam. Lama dia memerhati Zara, sebelum kakinya melangkah pergi meninggalkan gadis kontemporari itu melayan emosinya. Dalam fikirannya, terjelma beberapa tebakan. Namun, dia cuba bersangka baik.

Azan bergema. Kalimah pujian-pujian kepada Allah Azza Wa Jalla menyulam suasana maghrib yang bening dan hening.

-TAMAT-

Tiada ulasan: