Khamis, 27 Jun 2013

ADIL SATU TANGGUNG JAWAB YANG PERLU DIBUAT DAN TAK BOLEH DINAFIKAN

Cabul pelakon: Pengarah drama serah diri
Wooi Kooi Cheang
Wooi Kooi Cheang
TAMPIN - Seorang pengarah drama tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini semalam.

Pengarah berusia sekitar 60-an itu hadir di IPD Tampin kira-kira 10.30 pagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan seorang pelakon wanita baru yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah rehat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.

"Setakat ini polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan insiden seorang pelakon berusia 22 tahun mendakwa jadi mangsa cabul pengarah drama berkenaan.

Kejadian itu didakwa berlaku antara Januari dan Februari lalu semasa mereka jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Berikutan itu, pelakon terbabit membuat laporan di Balai Polis Tampin, 19 Jun lalu dan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang.
Pelakon ditahan lagi miliki dadah
AMPANG - Seorang pelakon lelaki yang pernah dihukum kerana memiliki dadah pada 2009, ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, pagi semalam.

Menurut laporan akhbar tempatan, pelakon berusia 35 tahun yang juga anak kepada seorang pelakon terkenal, ditahan bersama tiga lelaki lain dan dua wanita berusia antara 27 hingga 37 dalam serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sekitar jam 11.30 pagi.

Seorang daripada wanita terbabit dipercayai teman wanita pelakon itu yang juga pernah ditahan pada 2009.

Polis menemui satu paket syabu seberat 4.7 gram dalam bilik di rumah terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil ujian awal air kencing mendapati empat lelaki itu positif dadah jenis methaphitamine manakala dua wanita terbabit negatif.

Menurutnya, sumber polis masih menyiasat termasuk mengenalpasti dari mana dadah itu diperoleh dan tujuan mereka menyimpannya sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman, katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati keenam-enam yang ditahan pernah disiasat berkaitan kes dadah.

Siasatan awal mendapati rumah dimiliki seorang daripada lelaki yang ditahan dipercayai digunakan sebagai lokasi jual beli dan menagih dadah.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap pelakon berkenaan atas kesalahan memiliki 0.24 gram syabu di rumahnya di Jalan Segambut pada Mac 2009.
Allahyarham Dr A Rahman rahsiakan penyakit
Allahyarham Dr A Rahman rahsiakan penyakit
Mohamad sedang berkata sesuatu kepada Azizah (dua, kiri) di HSNZ, semalam.
KUALA TERENGGANU – Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar disifatkan seorang perahsia oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Terengganu (Perubatan), Dr Mohamad Omar yang juga rakan sekelas beliau ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Mohamad berkata, sikap tersebut terserlah apabila penyakit yang dihidapinya tidak diceritakan kepada orang lain kecuali pakar yang merawatnya sahaja.

“Dia merahsiakan penyakit dia, hanya tiga orang sahaja yang tahu (iaitu) pakar dia. Kami, Pengarah (Kesihatan) Negeri, hospital dan pakar-pakar lain tidak tahu. Arwah seorang yang kuat perahsia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Menyifatkan kematian Dr A Rahman sebagai satu kehilangan, beliau berkata, portfolio yang disandang Dr A Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri itu telah mewujudkan satu pasukan yang kukuh dalam membangunkan perkhidmatan kesihatan negeri.

“Bila dia jadi Yang Berhormat, dia akan hubungi kita. Kita pun kalau ada isu-isu kesihatan bagi kepada dia. Dia exco Kesihatan, kalau kita nak laksanakan apa-apa akan dibantu. Kita ‘partner’ yang kukuh. Ini satu kehilangan kerana kita bersama daripada kecil. Apabila sudah besar, kita sepakat untuk majukan kesihatan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, bekas Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh yang mengenali A Rahman sejak penglibatan arwah dalam politik pada penggal lepas, menyifatkan beliau seorang yang komited menjalankan tanggungjawab sebagai Adun dan juga exco.

Beliau berkata, sikap dan peribadi arwah boleh dilihat ketika berada di sidang Dun dengan menyifatkan arwah seorang yang serius terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan.
Apa jadi sekiranya jumlah Adun Terengganu seri?
Apa jadi sekiranya jumlah Adun Terengganu seri?
Dr A Rahman bertemu penduduk di Pulau Perhentian pada kempen PRU13 yang lalu.
SHAH ALAM - Persoalan yang mula bermain di minda ramai pemerhati politik sekarang adalah situasi yang bakal terjadi di Terengganu, di mana jumlah Adun mewakili BN dan PR hampir sama.

Dengan pemergian Adun Kuala Besut dari BN, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar semalam, maka BN hilang buat sementara satu kerusi dan ini menimbulkan sebarang kemungkinan dalam politik Terengganu dan pentadbiran negeri.

Dalam PRU13 pada 5 Mei lalu, Dr A Rahman menang dengan majoriti 2,434 undi, mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail.

Bagi seluruh Terengganu, BN menang 17 kerusi Dun, sementara PR menang 15 kerusi. Kini, kedudukannya ialah 16 bagi BN, cuma satu di atas PR.

Apabila pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi Dun Kuala Besut, kedudukan BN, jika ia menang, adalah masih 17 dan PR 15. Tetapi jika PR merampas Kuala Besut, kedudukannya ialah 16-16.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ditakdirkan BN dan PR mempunyai kerusi sama banyak nanti, kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada sultan.

Berdasarkan Perlembagaan negeri, bagindalah yang akan menentukan wakil BN atau PR akan dilantik sebagai menteri besar.

“Kalau berlaku 16 BN 16 PR, yang mempunyai kuasa tentukan menteri besar adalah sultan. Sultan boleh melantik (menteri besar) yang difikirkan sesuai, berdasarkan pandangan baginda dan sokongan majoriti rakyat.

Kedua-dua parti (BN dan PR) boleh mencalonkan wakil masing-masing untuk jawatan menteri besar, tetapi keputusan bergantung kepada budi bicara sultan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sultan akan mendapatkan nasihat dan pandangan perdana menteri dan pemimpin-pemimpin politik di Terengganu.

“Memandangkan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung, dan melihat kepada majoriti lebih 2,400 yang dimenangi BN, saya rasa BN akan kekal.

“Tapi jika berlaku perubahan undi, sesuatu akan berlaku di Terengganu. Kejadian seperti ini tidak pernah terjadi (di negara ini),” katanya.
'Haruan' didakwa baham anak
'Haruan' didakwa baham anak
Tertuduh dikawal ketat anggota polis dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak gadisnya, dua minggu lalu.

Tuduhan terhadap lelaki yang berusia 33 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa merogol anak sulung dari tiga beradik yang berusia 14 tahun itu di kawasan kebun getah, Jalan Jeram Pasu, Pasir Puteh, antara jam 11 hingga 11.10 malam, 13 Jun 2013.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10.

Susulan penafiannya, Hakim, Mohd Yusuff Yunus menetapkan sebutan semula pada jam 25 Julai depan, manakala, jamin tidak dibenarkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.
Pensyarah UiTM maut nahas
Pensyarah UiTM maut nahas
Mayat mangsa ditutup dengan kain selepas anggota bomba membantu memadamkan api.
TERACHI – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, lalu terjatuh dan diseret beberapa meter di Kilometer 28.5 Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Dr. Abd Aziz Sabran, 35, dari Fakulti Pertanian dan Agroteknologi, Kampus UiTM Kuala Pilah, melecur teruk apabila motosikal jenis Kawasaki 250 cc terbakar akibat tangki petrol pecah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai dan melalui Seremban untuk ke tempat kerjanya di UiTM Beting, dekat sini.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.

"Pemandu Hilux berusia 57 tahun itu bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret atas jalan raya beberapa meter dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Dr Abd Aziz mengalami kecederaan di pipi, dada dan peha akibat disambar api sebelum anggota bomba tiba memadamkan kebaka-ran. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Perkampungan Orang Asli Langkap menuju ke Klinik Kesihatan Terachi untuk menghantar anak perempuannya ke tempat kerja.

"Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, penumpang Hilux, Rosliani Singgah, 26, berkata, sebelum kejadian, dia ternampak motosikal ditunggang mangsa meluru laju dan memotong kenderaan di hadapannya.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa kemudian bergesel dengan kenderaan dipandu bapanya, Firdaus Singgah Sulim Abdullah, 57.

"Ayah memang tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa. Motosikal mangsa terseret beberapa meter. Saya nampak percikan api pada motosikal mangsa sebelum ia terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Jamaliah Samsudin, 52, yang tinggal berdekatan kawasan kejadian berkata, dia terkejut terdengar dentuman kuat sebanyak dua kali di luar rumanya, sebelum melihat seorang penunggang motosikal terbaring.

"Saya terkejut melihat mangsa terbaring atas jalan raya. Motosikalnya terbakar dan api menyambar muka, badan dan peha mangsa. Waktu itu, saya lihat mangsa sudah tidak bergerak lagi, mungkin sudah meninggal dunia, sebelum anggota bomba tiba membantu memadamkan api," katanya.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Baharin Kasim, 34, berkata, Allahyarham Dr Abd Aziz dijadualkan akan berpindah ke Melaka, Januari tahun depan.

"Memang arwah sibuk membuat persiapan untuk pindah ke Melaka. Kami kenal arwah sejak tiga tahun lalu dan dia seorang baik. Keluarganya juga saya kenal dan kini isterinya sedang mengandung anak keempat," katanya.
Pesanan Pemuda Pas untuk Pandikar
Pandikar
SHAH ALAM – Pemuda Pas meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan adil kepada semua pihak.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, Pemuda Pas yakin semua ahli Parlimen akur dengan pelantikan beliau dalam proses pemilihan yang berlangsung semalam meskipun berlaku kekecohan.
“Beliau telah terpilih melalui undian dan suratan menentukan sekali lagi beliau menjadi Yang Di Pertua buat penggal keduanya berturut-turut.
“Dalam komposisi ahli Parlimen PR, meningkat menjadi 89 orang manakala ahli Parlimen BN merosot menjadi 133 orang, seharusnya beliau melihat semua ahli Parlimen dengan pandangan yang adil tanpa melebihkan satu-satu pihak.
“Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang berbahas mengenai sesuatu perkara dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan perlu diambil tindakan meskipun ia datangnya dari ahli Parlimen parti beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila ahli Parlimen PR mempertikaikan cara pengundian yang dilakukan bagi pemilihan jawatan itu.
Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bangun memulakan bantahan berikutan kertas undi itu memerlukan ahli Parlimen menulis nama.
Keputusan pengundian menyaksikan Pandikar memperoleh 133 undi manakala calon yang dinamakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mendapat undi penuh daripada PR sebanyak 89 undi.
Pandikar mendapat pencalonan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam perkembangan berkaitan, Riduan berkata, tugas ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada PRU13 lalu adalah berbincang dan berbahas perkara untuk kepentingan rakyat.
“Tugas Speaker pula meneutralkan keadaan dan memutuskan sesuatu perkara dengan mengambil pandangan semua pihak serta kepentingan umum.
“Rakyat tidak mahu pemimpin mereka meletakkan kepentingan diri sendiri dengan melupakan kepentingan rakyat yang mengundi mereka,” katanya.
Beliau menambah, rakyat sudah bosan dengan suasana politik kepartian yang tidak berkesudahan sehingga melupakan perkara utama yang mereka perlu perjuangkan di dalam dewan yang mulia itu.
Allahyarham mahu anak bongsu jadi doktor juga
Allahyarham mahu anak bongsu jadi doktor juga
Jenazah Dr A Rahman Mokhtar diusung ke tanah perkuburan Islam selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Teluk Bayu.
KUALA TERENGGANU – “Sebelum meninggal dunia, Allahyarham ada berpesan supaya anak bongsunya, Nurul Najihah dapat mengikut jejaknya menjadi doktor,”demikian luah isteri Adun Kuala Besut, Azizah Nik Omar.

Menurutnya, pesanan terakhir Allahyarham itu akan cuba dikotakan sebaik mungkin dan berharap Nurul Najihah, 19 tahun, yang sedang menuntut di Kolej Matrikulasi, Banting, Selangor, dalam bidang Sains, tidak menghampakan harapan arwah bapanya.

Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar meninggalkan empat cahaya mata.

Tiga lagi ialah Mohd Zaihan, 30, Mohd Razhan, 28, dan Mohd Zafuan, 27.

“Kami sedih (dengan pemergian Allahyarham), tapi reda,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Azizah, 53, berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan Allahyarham adalah sebelum beliau koma ketika dimasukkan ke Hospital Jerteh.

“Ketika di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ, keadaannya agak kritikal.

"Beliau tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan," katanya.

Menurut Azizah, suaminya pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur Mac lalu dan keadaan kesihatannya bertambah baik selepas pembedahan itu.

“Selepas PRU13, tahap kesihatannya terganggu. Bagaimanapun, beliau sempat menghadiri sidang Dun minggu lalu, sebelum meminta saya menghantarnya ke Hospital Jerteh, kerana berasa semakin tidak sihat.

“Kami pulang ke Kuala Besut dan Allahyarham minta saya menghantarnya ke Hospital Jerteh kira-kira jam 5 pagi. Selepas keadaannya semakin kritikal, beliau dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Azizah menambah, selama seminggu di ICU HSNZ, suaminya tidak sedarkan diri.

Sementara itu anak kedua Allahyarham, Mohd Razhan berkata, beliau tidak akan lupa pesanan ayahnya yang selalu ingatkannya supaya sentiasa menjaga solat.

“Saya sedih dan terkejut, tetapi saya reda dengan ketentuan ALLAH," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, punca kematian Adun Kuala Besut itu adalah masalah pernafasan.

“Ketika dimasukkan ke HSNZ, Allahyarham kritikal, kemudian stabil sebelum kembali kritikal pagi tadi (semalam).

“Sepanjang seminggu dirawat di HSNZ, Allahyarham disokong dengan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Tiada ulasan: