Khamis, 20 Jun 2013

BILA BUAT SATU2 PERKARA FIKIR UNTUNG DIDUNIA...AKHIRAT BELUM TAHU LAGI

Himpunan aman Black 505 diteruskan

Muhammad Faizal, 20 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan perhimpunan aman Black 505 pada 22 Jun ini diteruskan seperti yang dirancang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat juga turut mengajak seluruh kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat, aktivis, penyokong dan rakyat jelata yang cintakan demokrasi agar bersama-sama pada perhimpunan tersebut.

Katanya lagi, walaupun terdapat bantahan dari pihak tertentu, perhimpunan tersebut akan berlangsung sepertimana yang dirancang sebelum ini iaitu di Padang Merbok pada jam 2 petang.

"Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) merupakan pilihanraya paling buruk dalam sejarah negara, ia mencatatkan jumlah aduan paling tinggi dari rakyat dan parti dengan jumlah petisyen yang paling banyak dicatat.

"Atas desakan penyelewengan dan kelemahan yang berlaku, Pakatan Rakyat mengajak seluruh penyokong dan rakyat hadir menyertai himpunan pada 22 Jun nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS.

Menurut beliau lagi, atas perkara asas yang menjadi bukti kelemahan pengendalian pilihanraya umum kali ini adalah penggunaan dakwat kekal yang dijanjikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil dari ketetapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai penambahbaikan SPR.

Jelasnya, isu dakwat kekal menjadi antara perkara pokok yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan dimaktubkan dalam Akta Pilihanraya.

Namun perkara itu telah menimbulkan persoalan apabila penggunaan dakwat kekal tidak kekal sepertimana yang telah dijanjikan sebelum ini sehingga mengakibat berlaku penyelewengan serta penipuan pada PRU13 yang lalu.

"Atas kecuaian dalam penggunaan dakwat kekal kita menuntut ke semua Ahli Suruhanjaya SPR terutamanya pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan dengan segera.

"Setelah itu perlantikan Ahli Suruhanjaya yang baru perlu dilakukan dengan menggunakan mekanisma yang lebih baik bagi memastikan ketelusan mereka yang dilantik mengendali SPR," sambung beliau.

Anwar yang turut menegaskan, persempadanan semula kawasan parlimen dihentikan sehingga Persuruhjaya SPR baru dilantik.

Beliau yang turut meminta agar pilihanraya semula di 30 Parlimen di bawah Pesuruhjaya yang baru diadakan semula.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pada sidang media yang sama memberitahu Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kenyataan 'kesal' yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPR sebelum ini mengenai dakwat kekal.

"Kita tidak boleh menerima 'kesal' dari Pengerusi SPR mengenai penggunaan dakwat kekal, jika sebelum ini beliau sentiasa menafikan apa yang kita katakan kenapa selkarang baru hendak kesal.

"Pelbagai alasan diberikan seperti kena goncang sebelum menggunakannya, masalah pembekal serta mendapat nasihat dari pihak kesihatan, ke mana hilangnya alasan-alasan tersebut," tegasnya.

Beliau yang mendesak agar Pengerusi SPR bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas apa yang berlaku terutamanya penggunaan dakwat kekal.

Dalam masa yang sama beliau juga berharap seluruh ahli PAS dapat meluangkan masa untuk hadir pada perhimpunan aman Black 505 di Padang Merbok nanti.

Sekretariat khas bantu Adun PAS Pahang

Khairil Abdul Rahim, 20 Jun 2013
TEMERLOH: Satu sekretariat khas ditubuhkan oleh Badan Perhubungan PAS Pahang di bawah Lajnah Undang-undang PAS Pahang bagi menguatkan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Pahang ke sidang Dun.
Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pahang, Yohanis Ahmad berkata, sekretariat tersebut yang dibarisi oleh peguam-peguam PAS dan tokoh-tokoh masyarakat, akan bertindak mengumpulkan semua permasalahan dan aduan rakyat kemudian disalurkan melalui tiga Adun PAS.


“Antara isu dan permasalahan yang kerap dibangkitkan rakyat ialah masalah tanah, perumahan terbengkalai serta masalah-masalah di tanah rancangan Felda.

“Pihak sekretariat akan mengumpul dan membuat kajian semua aduan rakyat yang menjadi masalah seharian mereka itu dan akan dipanjangkan ke sidang Dun Pahang atau parlimen. Sekiranya perlu pihak sekretariat akan membawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, sekretariat tersebut dinaungi Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sementara peguam Mohd Fadzli Ramly dilantik sebagai setiausaha sekretariat.

Yohanis berkata, apa yang bakal dikumpulkan oleh sekretariat berkenaan bukanlah berbentuk pembongkaran eksklusif untuk tekanan kepada kerajaan sebaliknya lebih kepada sudut undang-undang, hak asasi dan terbuka kepada seluruh rakyat Pahang.

“Usaha ini melangkaui fahaman politik kepartian dan PAS mahu seluruh rakyat memanfaatkan sekretariat ini bagi menyuarakan pandangan mereka.

“Sekretariat khas ini berpusat di Pusat Khidmat Masyarakat Adun Tanjung Lumpur bagi penduduk Pahang Timur dan Pusat Khidmat Adun Kuala Semantan bagi penduduk Pahang Barat,” jelasnya.

Bagi yang mahu menyalurkan maklumat, boleh mula menghubungi Ketua Sekretariat di talian: 0133039913.

PR cadang MP Tumpat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Muhammad Faizal, 20 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan demikian pada sidang media, percaya langkah itu sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini.

"Pada mesyuarat tadi kita telah memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita berharap bagi membantu Yang Dipertua dalam urusan mengendalikan persidangan seorang timbalan hendaklan dipilih dari kalangan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu beliau mengulangi Pakatan Rakyat juga turut bersetuju untuk menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurutnya surat cadangan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu telah dihantar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 10 Jun lalu.

"Bagi memantapkan lagi proses demokrasi negara ini dan memastikan perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Yang Dipertua.

"Cadangan ini apabila kita melihat ketelusan beliau yang tidak memihak dengan mana-mana politik atau pihak dan kami yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik pada persidangan kali ini," sambungnya.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

'Jika terpilih, saya jaga kepentingan rakyat'

Anis Nazri, 20 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar beranggapan pencalonan beliau sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dicadangkan Pakatan Rakyat sebagai satu amanah yang begitu besar untuk dilaksanakan.

Beliau, yang jelas terkejut dengan pencalonan itu, bagaimanapun berikrar akan menjalankan amanah ini dengan sebaik-baiknya demi menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan institusi parlimen itu sendiri sekiranya terpilih kelak.

"Jika saya terpilih, saya akan membawanya dengan amanah demi menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan parlimen itu sendiri dalam memainkan peranannya bagi memenuhi hasrat rakyat sebagaimana yang dipilih rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, petang ini.

Pencalonan Kamarudin, yang menjadi Ahli Parlimen Tumpat selama tiga penggal berturut-turut itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, tengah hari tadi.

Anwar percaya langkah itu sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini.

"Pada mesyuarat tadi kita telah memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita berharap bagi membantu Yang Dipertua dalam urusan mengendalikan persidangan seorang timbalan hendaklan dipilih dari kalangan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat," jelasnya.

Sidang parlimen akan bermula dengan majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.

PAS, R kesal royalti tidak dibincang dalam dewan

Hazayani Zakaria, 20 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu kesal terhadap kegagalan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan penarikan balik saman kerajaan negeri ke atas Petronas dan Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian royalti kepada negeri ini.

Adun Chukai, Hanafiah Mat berkata, Ahmad harus menjelaskan kepada rayat sebab saman itu ditarik balik.

"Kita minta Menteri Besar jawab dalam dewan adakah kerajaan negeri tarik balik saman yang dikemukakan oleh Kerajaan PAS.

"Kalau dia tarik balik apakah perjanjian dan syarat yang menyebabkan dia tarik balik," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Pada 20 Mac 2012, Ahmad mengumumkan kerajaan negeri Terengganu menarik balik saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat yang dikemukakan kerajaan negeri sebelum itu.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir memansuhkan royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

Royalti itu digantikan dengan wang ehsan dari kerajaan Pusat kepada Terengganu yang tidak lagi disalurkan kepada kerajaan negeri tetapi diberi kepada Umno atau pihak-pihak yang dikehendaki olehnya.

Tambah Hanafiah juga, Kerajaan Negeri perlu menyatakan pendirian terhadap telaga minyak di medan Bertam PM 307.

"Kalaulah isu royalti yang dituntut oleh Kerajaan Pahang diluluskan Perdana Menteri dan Pahang diberi royalti maka selepas ini Terengganu tidak akan dapat royalti.

"Jadi apa pendirian Kerajaan Terengganu dalam nak mempertahankan Bertam 307 ini," katanya yang juga Penolong Setiausaha PAS negeri.

Ahmad sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri pada Disember tahun lalu mengesahkan kawasan minyak Bertam tersebut adalah berada di kawasan perairan Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, adalah satu penghinaan kepada Sultan Terenganu apabila kedaulatannya tidak dipertahankan.

Beliau yang kecewa perkara itu tidak dibincangkan dalam dewan juga berkata, Bertam PM 307 merupakan maruah seluruh rakyat Terengganu yang mesti dipertahankan.

"Kenyataan Perdana Menteri pada tahun ini Pahang akan dapat bayaran royalti daripada Bertam PM 307. Sekali royalti diberi kepada Pahang maksudnya hak terengganu  ke atas Bertam PM 307 akan tercalar.

"Ini satu penghinaan kepada Sultan Terenganu sendiri apabila wilayahnya diserah kepada Pahang.

"Saya terkilan bagaimana Menteri Besar tak melatakkan perkara ini sebagai isu besar yang harus dibincangkan dalam dewan," katanya.

Beliau juga mendakwa Ahmad menghina sidang Dun apabila tidak meminta kelulusan Dun untuk menarik balik saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat.

"Kenapa penarikan balik saman pada Mac 2012 tidak melalui sidang dewan yang mulia?

"Kita terfikir bagaimana sebuah kerajaan boleh mengenepikan sidang dewan untuk membuat keputusan yang besar," tegasnya.

MB T'ganu 'mengamuk' isu Pasar Payang

Hazayani Zakaria, 20 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Seperti yang dijangka, isu pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang baru benar-benar menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pertama kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selepas usul berhubung isu tersebut ditolak Yang Dipertua Dewan Mohd Zubir Embong Selasa lalu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengambil peluang membangkitkannya sewaktu sesi penggulungan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, petang semalam.

Ketika Ahmad menjelaskan isu tersebut, Syed Azman bangun meminta penjelasan berhubung pemberian projek bernilai RM400 juta itu kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Saya mohon penjelasan adakah benar projek ini diberikan kepada Syarikat Gabungan Granite yang dimiliki oleh Tan Sri Datuk Abu Sahid Muhamed, Lim Chiau Woei, Law Phooi Wong dan Chan Lai Choon.

"Pasar payang ini adalah persoalan warisan Negeri Terengganu. Bukan sahaja saya yang membuat bantahan tetapi Datuk Seri Menteri Besar perlu teliti pandangan ramai (dari) dalam negeri dan luar negeri dan seorang penulis prolifik Anak Terengganu, Awang Goneng menulis dengan jelas dalam akhbar New Straits Times, kalau nak bina hotel, bina di tempat lain," kata beliau ketika bangun mencelah.

Ahmad menafikan projek tersebut mendapat bantahan ramai sebaliknya mendakwa 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi peniaga Pasar Payang supaya membantah projek tersebut.

Beliau tidak menjawab dakwaan Syed Azman berhubung pemberian projek kepada bukan anak tempatan itu.

Tidak berpuas hati, Syed Azman bangun memohon penjelasan sekali lagi.

"Saya tanya soalan yang spesifik iaitu kepada syarikat mana projek ini diberikan. Kalau saya gunakan bahasa 'jawapan bodoh' tak kena dengan dewan tapi jawapan memang jawapan bodoh," katanya.

Ahmad kemudiannya melenting dan berkata 'dah soalan bodoh, jawapan biar bodohlah. Mung (awak) mahu apa lagi?'

"RM400 juta bukan kita beri projek ini kepada kontraktor tapi kepada pemaju yang majukan. PhD apa begini tak faham?" sanggahnya lagi.

Pertikaman lidah berlarutan beberapa minit dan turut disampuk beberapa wakil BN sehingga Mohd Zubir mengarahkan mereka diam dan bertenang.

"Kalau dikatakan panas dan sesak, kenapa tak diperbaiki pasar sedia ada? Kenapa perlu dibina pasar baru sekali dengan hotel dan apartmen?" soal Syed Azman lagi.

"Baik pulih tidak memberikan erti yang besar. Kerajaan bina pasar baru untuk memberikan yang terbaik kepada peniaga dan orang ramai," jawab Ahmad.

Penumpang bas penuh musim perayaan, kenapa naik tambang

Harakahdaily, 20 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa SPAD dan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula mekanisme kenaikan tambang bas 10% bagi musim perayaan yang diumumkan kelmarin.

Setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kenaikan tersebut adalah satu jalan mudah yang diambil oleh kerajaan dengan membiarkan kenaikan kos ditanggung sepenuhnya oleh pengguna awam di kala kerajaan sering kali mencanangkan slogan ‘rakyat didahulukan’ dan gagal mengemukakan penyelesaian dengan nilaian transformasi di dalam isu itu.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan masih gagal menjelaskan pendiriannya mengenai permintaan PMBOA yang menuntut kenaikan tambang 30% setelah kenaikan yang terakhir dilakukan pada tahun 2008 sedangkan isu ini telah tertangguh sejak 2012 lagi.

Katanya, dihimpit dengan kenaikan kos dan dikekang pula dari meningkatkan perolehan, pengusaha dikhuatiri akan mengambil jalan pintas dengan menurunkan tahap pengurusan risiko jalanraya dan kualiti kepenggunaan atas alasan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Ini, kata beliau secara langsung meletakkan nyawa pengguna dalam bahaya dan meningkatkan kadar kemungkinan berlaku kemalangan yang bakal meragut nyawa pengguna.

Katanya lagi, kewajaran mekanisme kenaikan tambang 10% ketika musim perayaan yang menjadi rutin tahunan boleh dipersoalkan memandangkan syarikat bas ekspres pastinya mencatatkan kapasiti penumpang penuh dan berada pada tahap paling efisien.

Menurutnya, kenaikan tambang ketika waktu puncak sebegitu seolah-olah seperti memeras ugut pengguna yang terdesak mencari pengangkutan untuk pulang ke kampung di musim perayaan.

Justeru, ujarnya amat mendukacitakan apabila kementerian dan SPAD mengizinkan perilaku kartel sebegini tanpa sebarang kawalan.

Pada masa yang sama, kata beliau kajian semula tambang bagi penggal 5 tahun memerlukan keputusan segera.

Langkah awal, katanya ialah dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji sebarang rasional kenaikan tambang bas termasuklah menilai kesaksamaan tambang dan kualiti serta mengemukakan pelan alternatif jangka panjang bagi menangani kesan inflasi ke atas perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada masa yang sama, ujarnya SPAD digesa untuk tekad menangani isu ini dengan penuh ketelusan dengan memberikan akses kepada jawatankuasa tersebut fakta untung-rugi sub sektor pengangkutan bas ekpress bagi mengkaji dan menentusah dakwaan kenaikan kos operasi yang dijadikan alasan kepada kenaikan tambang tersebut.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, kerajaan juga perlu memikirkan strategi alternatif dan bukannya secara mudah memaksa rakyat menanggung kenaikan kos khususnya apabila terdapat polisi kerajaan yang menyumbang kepada kenaikan tersebut,” ujarnya lagi.

Antaranya, kara beliau dengan mengembalikan subsidi petrol dan diesel serta melaksanakan diskaun jalan bertol bagi bas ekpress.

Pada masa yang sama, tambahnya potongan cukai atau voucher boleh diperuntukkan kepada pengusaha bagi pembelian peralatan dan casis.

“Secara asasnya, insentif-insentif ini boleh mengurangkan kos operasi sekaligus mengurangkan tekanan untuk menaikkan tambang bas,” katanya.

Tiada ulasan: