Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff
SHAH ALAM - Keputusan sama ada dakwat kekal akan digunakan dalam PRK Kuala Besut, hanya akan diketahui minggu depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

"Rasanya minggu depan, tak pasti lagi," ujarnya pada Sinar Harian Online.

SPR hari ini menerima surat pemakluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut selepas kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar semalam.

Ia diserahkan oleh Speaker Dun Terengganu, Mohd Zubir Embong kepada Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab Wahab di Wisma Darul Iman.

Fakhrul berkata, dengan pemakluman itu, pilihan raya kecil Dun Kuala Besut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari atau sebelum 27 Ogos ini.

Dr A Rahman meninggal dunia jam 10.18 pagi semalam akibat kegagalan pernafasan disebabkan masalah paru-paru.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini memberitahu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Besut apabila menerima makluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu.

Pada PRU13 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas Napisah Ismail.
 
Pada pilihan raya umum lepas BN Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.