Khamis, 20 Jun 2013

PERKARA YANG BAIK TAK ELOK DITANGGUH2

Dua pegawai SPRM Labuan maut kemalangan

Harakahdaily, 19 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Labuan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Jalan Tun Mustafa, Labuan jam 11.30 malam tadi.

Kedua-dua mangsa, Herman Ahat, 33, dan Mohd Hafeez Bauzi, 31, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut kenyataan SPRM, dalam tragedi itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun turut meninggal dunia manakala kedua-dua ibu bapanya cedera ringan.

Ketika kemalangan Herman dan Mohd Hafeez dalam perjalanan pulang dari Pejabat SPRM Labuan selepas selesai menjalankan tugas rasmi di Lapangan Terbang Labuan.

Herman yang telah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak sedang memandu keretanya semasa kemalangan tersebut.

Pengarah SPRM Labuan, Hasbillah Mohd Salleh melahirkan rasa sedih atas pemergian serentak dua pegawainya.

"Kedua-dua mereka merupakan pegawai yang berkomited dan berdedikasi," kata beliau.

Jenazah Herman telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sagukin tengah hari tadi manakala jenazah Mohd Hafeez pula telah selamat diterbangkan untuk dikebumikan di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan.

Dalam pada itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kedua-dua mangsa berkenaan dan pemergian keduaduanya dianggap sebagai kehilangan yang besar kepada SPRM Labuan khususnya dan seluruh warga SPRM amat bersedih atas pemergian kedua-duanya.

Kemudahan kesihatan di T’ganu masih ketinggalan

Buletin Online, 19 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: PAS menggesa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan kemudahan dan khidmat kesihatan termasuk memastikan penempatan dan perjawatan para pegawai kesihatan yang mesti diselaraskan dengan kemudahan fikizal yang ada. Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (gambar) berkata, usaha yang serius mesti diambil terhadap pelbagai perkara melibatkan aspek kesihatan kerana berdasarkan data dan fakta yang ada, ia masih tidak mencapai tahap membanggakan berbanding negeri lain.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri turut membangkitkan beberapa perkara termasuk perbandingan masalah kematian anak yang baru lahir.

Ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu di Dun Terengganu semalam, beliau berkata, statistik yang dikeluarkan pada 2012 menunjukkan ramai bayi yang berumur 28 hari ke bawah yang lahir dengan selamat, meninggal dunia di negeri ini berbanding peringkat nasional.

Katanya, dalam 1,000 kelahiran melibatkan bayi yang dilahirkan hidup, hanya tiga orang bayi meninggal di peringkat nasional tetapi seramai 6.4 bayi meninggal dunia di negeri ini.

Beliau menambah, keadaan itu menunjukkan kadar kematian bayi tersebut di negeri ini lebih tinggi berbanding peringkat persekutuan dan perlu diambil langkah segera untuk memastikan keadaan lebih baik pada masa depan.

“Inilah taraf kesihatan yang ada pada kita. Dari segi kematian bayi, kematian anak yang umur setahun ke bawah, kita (negeri) mencatatkan sebanyak 9.2 perseribu lahir hidup pada tahun 2012 sedangkan Malaysia pada 2010, sudah mencapai 5.4 perseratus ribu lahir hidup.

“Ini kita masih lagi duduk separuh, 100 peratus kurang daripada peringkat persekutuan. Indikator ini menunjukkan bahawa kemudahan kesihatan di Terengganu masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam negara kita,” katanya.

Rasis: Umno sahaja yang boleh

Abdul Aziz Mustafa, 19 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kalau Cina boleh jadi Perdana Menteri sekiranya mereka membuang sifat rasis, ia bermakna Umno tidak boleh jadi Perdana Menteri kerana parti itulah yang paling rasis, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"(Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri) Shahidan (Kassim) kata, tidak boleh memimpin kalau hanya menerima kuasa kaum sendiri. Dia juga kata kalau satu hari orang-orang Cina boleh bebas dari pemikiran seperti itu, orang Cina boleh jadi perdana menteri.

"Dari cakap beliau itu, maknanya orang lain tidak boleh rasis. Umno sahaja yang boleh rasis," kata beliau.

Sedangkan, kata Mahfuz, semua orang tahu kemenangan calon-calon Umno dalam pilihan raya lalu semata-mata disebabkan kejayaan parti itu mengapi-apikan sentimen perkauman.

"(Bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengaku bahawa orang-orang Melayu mengundi Umno kerana mereka amat takut kalau-kalau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP," katanya.

Malah, katanya lagi, sikap rasis dan perbuatan mengapi-apikan perkauman adalah satu-satunya talian hayat Umno.

Mahfuz juga menyifatkan kenyataan Shahidan itu seperti meludah ke langit.

"Hakikatnya, Umnolah yang paling tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana parti itulah yang terbukti paling rasis dan dilihat rasis," katanya.

Walaupun kenyataan Shahidan itu kelihatan menolak sifat rasis, Mahfuz menyifatkan kenyataan itu memperlihatkan betapa tebalnya sifat berlagak tuan yang sudah sebati dengan Umno.

"Kenyataan itu menunjukkan Umno boleh buat apa sahaja termasuk bersifat rasis kerana mereka Umno. Mereka rasa tidak salah kerana mereka merasa diri mereka tuan dan boleh buat apa sahaja.

"Tetapi kalau orang lain buat, serta merta jadi salah, tidak boleh jadi perdana menteri dan sebagainya" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Shahidan sebelum itu menasihatkan masyarakat Cina supaya menjauhkan diri daripada apa yang didakwanya sebagai sifat perkauman yang kononnya diterapkan pembangkang dan bercampur dengan bangsa lain.

"Jika orang Cina bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, bercampur sepenuhnya dengan masyarakat pelbagai kaum Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri berbangsa Cina," katanya dalam wawancara dengan Sin Chew Daily.

Konflik berdarah Syria perlu dihentikan segera

Harakahdaily, 19 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar pemerintah Syria segera menghentikan sebarang bentuk kekerasan ke atas rakyatnya dan kembali ke meja rundingan untuk mengembalikan keamanan.

Demikian gesaan ketuanya, Nasrudin Hassan dalam surat terbuka untuk Syria, Iran dan OIC berhubung konflik yang berlaku di Syria itu.

“Kami menyokong penuh pandangan yang pernah dibuat oleh YB Tuan Guru Presiden yang dimuatkan di dalam nukilan beliau ‘Syria di Persimpangan’ yang tegas mahukan semua pihak yang bertelingkah untuk mengenali kawan dan lawan sebenar dan membuka semula ruang dialog bagi menutup peluang campur tangan asing  yang kelak lebih merugikan Islam dan umatnya,” ujarnya.

Beliau berkata, pentadbiran baru Iran di bawah Syeikh Dr. Hassan Rouhani mempunyai peluang untuk mengemukakan penyelesaian baru di dalam konflik ini dengan menghentikan bantuan ketenteraan kepada Syria dan mendesak Hizbollah Lubnan untuk menghentikan campur tangan.

Pada masa yang sama, kata beliau Iran seharusnya menawarkan kepimpinan politik bersama keanggotaan lain di dalam OIC (termasuklah Malaysia) untuk mencari konsensus baru dengan komitmen untuk mengembalikan kedamaian di bumi Syam dan mengekang campur tangan Barat.

Beliau menambah, ianya boleh dimulakan melalui cabang OIC iaitu Majma' Fiqh yang mengumpulkan ulama-ulama muktabar bagi mendapatkan kesepakatan ijtihad sebagai sandaran dan dorongan ke arah penyelesaian politik yang lebih jitu di Syria.

“Yang lebih penting, ianya akan menjadi mesej yang jelas kepada seluruh Umat Islam khususnya pihak yang berseteru di Syria bahawa konflik yang berlaku memerlukan penyelesaian politik untuk menghentikan konflik berdarah ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Adun BN 'panas' apabila PAS bangkit isu JKKK

Hazayani Zakaria, 19 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) memberi tumpuan kepada titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Beliau sewaktu membahaskan titah Tuanku Sultan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini berkata, kerajaan negeri seharusnya memberikan bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan tanpa mengira dari parti mana.

"Saya kecewa apabila berlaku ketidakadilan di peringkat kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada rakyat.

"Isu tandatangan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan tandatangan Adun sepatutnya tidak perlu dipanjangkan sehingga menjadi isu kepada masyarakat yang akhirnya menyusahkan rakyat terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan khususnya kepada anak-anak yang mahu menyambung pelajaran," kata beliau yang merupakan muka baru di Dun Terengganu.

Isnin lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Adun Rhu Rendang berkata, titah Tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas PRU13 Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.

Sewaktu Hapandi menyentuh isu tersebut, dewan sedikit kecoh apabila beberapa wakil BN 'mengganggu' antaranya Rozi Mamat ((BN-Telemong) yang kelihatan 'panas' dengan dakwaan tersebut.

Semalam, Hanafiah Mat (PAS-Chukai) memberitahu, selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu, JKKK berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, apabila ditanya kepada pihak JKKK mengapa berbuat demikian, mereka memberi alasan sudah tidak mempunyai kuasa.

Selain itu, Hapandi juga menggesa kerajaan negeri menyegerakan projek pembinaan Hospital Dungun yang sudah lama terbengkalai.

"Rakyat Dungun sangat memerlukan hospital baru kerana hospital sekarang sudah tidak dapat menampung bilangan pesakit yang ramai.

"Projek pembinaan hospital ini sudah diluluskan Kerajaan Pusat tapi sampai sekarang masih belum dibina, hanya ada tapak," katanya.

PAS kesal Maahad Tahfiz ditangguh

Harakah, 19 Jun 2013


ALOR SETAR: Alasan kerajaan BN negeri menangguhkan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) di Pulau Tuba dianggap tidak munasabah dan seolah-olah sengaja melumpuhkan pembangunan sekolah berkenaan.

Exco Agama negeri, Mohd Rawi Abd Hamid dilaporkan berkata, pelaksanaan projek MTSD di Pulau Tuba perlu dinilai semula sebelum kerja-kerja pembinaannya dibuat.

Alasan utama beliau adalah bekalan elektrik di kawasan terbabit tidak mencukupi dan perlu bergantung kepada jana kuasa, kekurangan sumber bekalan air serta teknologi yang terhad.



Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini.

Tiada ulasan: