Rabu, 26 Jun 2013

Almarhum Ustaz Fadzil Noor

Almarhum Ustaz Fadzil Noor - 11 tahun berlalu

http://pondoktauhid.blogspot.com, 26 Jun 2013

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Kenangan - 11 Tahun telah berlalu

Latar Belakang Almarhum Ustaz Fadzil Noor (1937-2002)





Latar Belakang Almarhum Ustaz Fadzil Noor

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir. Beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah Illahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir Illahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu. Beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanahair.

Perkahwinan


Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.

Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. (Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu ).

Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau:

"Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda.
Rasulullah menyebut dalam hadisnya : "Golongan mudalah yang membantu perjuangan dakwah"

Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan, mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan.

Inilah cita-cita kaum Quraisy, dalam kebingungan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan.

Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini, ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda. Inilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.

Russia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ustaz Fadzil menyedari ulama mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.

" Peranan ulama seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.

Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam."

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi

Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah dimana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS.

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan , beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu.

Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar.

Perjalanan akhir yang memilukan

Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.
Dicatat oleh di 5:12 PM

Shura pertahan kenyataan Husam mengenai syahid

Harakah, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (gambar) mempertahankan kenyataan Datuk Husam Musa tentang syahid dalam menentang kemungkaran.

Bagi beliau, perjuangan untuk menegakkan keadilan, mencegah mungkar sememangnya amat dituntut dalam Islam, sehingga sesiapa yang mati dalam perjuangan itu, matinya adalah syahid.

Ustaz Abdul Ghani berkata, kenyataan Naib Presiden PAS mengenai orang yang gugur syahid dalam perjuangan seperti itu tidak sepatutnya disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Ikuti laporan penuh dalam Harakah cetak edisi Jumaat ini.

Cari alternatif dekati golongan wanita

Harakah, 26 Jun 2013
ALOR SETAR: “Muslimat pernah bekerja di kala kita belum menang, muslimat juga pernah bekerja ketika kita menang dan kini kita perlu meneruskan kerja kita dalam situasi kita kalah,” ucap Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Datuk Ustazah Siti Ashah Ghazali di hadapan kira-kira 600 aktivis Dewan Muslimat PAS negeri, dekat sini, baru-baru ini.


(Ustaz Siti Ashah sedang berucap)

Menurut beliau, walaupun Muslimat PAS telah bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjaran, namun mereka mungkin terlepas pandang beberapa perkara yang dianggap remeh tetapi penting bagi menawan hati rakyat.

“Kita melihat gelombang kemenangan pada PRU ke-13 memihak kepada kita namun terlupa bahawa BN juga membina kekuatan untuk mengambil semula Kedah daripada kita,” kata beliau pada Majlis Muhasabah dan Kesyukuran PRU13.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mencari alternatif baru dalam mendekati golongan wanita.


Ikuti laporan penuh dalam Harakah cetah edisi Jumaat ini.

Bicara rayuan kes Altantuya semakin mendebarkan

Harakah, 26 Jun 2013
PUTRAJAYA: Perbicaraan rayuan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang memasuki hari kedua pada 25 Jun lalu di Mahkamah Rayuan di sini semakin mendebarkan dengan pendedahan terbaharu.

Peguam pembela kepada kedua-dua tertuduh membangkitkan pelbagai isu untuk dijelaskan termasuk isu kegagalan pihak pendakwa memanggil saksi penting dalam kes ini iaitu pegawai keselamatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu,  DSP Musa Safri.

Fakta bahawa bahan letupan C4 yang tidak ada dalam milikan polis juga perlu diperjelaskan dari mana datangnya bahan letupan itu ketika digunakan untuk meletup badan mangsa Altantuya Shariibuu.

Ikuti laporan penuh dalam Harakah cetak edisi Jumaat ini.

Kecederaan Adun Tanjung Sepat tidak serius

Salmiyah Harun, 26 Jun 2013

Mohd Haslin melawat jeti nelayan semalam.

KUALA LUMPUR: Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan yang dilaporkan terjatuh ekoran jeti runtuh semalam memaklumkan beliau tidak mengalami kecederaan serius.

Beliau yang dibenarkan keluar hospital jam 9.45 malam tadi, bagaimanapun kecederaan itu menyebabkan beliau tidak boleh rukuk, sujud dan melangkah kaki dengan sempurna.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyatnya yang membantu, prihatin yang menziarahi serta mendoakan kesihatannya.

"Beliau redha kerana itu Ilahi mungkin untuk menghapuskan dosa-dosa atau mungkin untuk rehat bersama keluarga seketika," katanya di laman Facebooknya.

Katanya sebaik sahaja berita kejadian yang menimpanya, beliau mengambil sikap untuk tidak memberitahu keadaannya sebenar sehinggalah beliau dijelaskan serba sedikit oleh doktor berhubung kecederaan yang dialaminya.

"Sesungguhnya saya harus sujud syukur kerana Allah masih beri peluang menikmati hujan yang membasahi udara jerebu, lantas insaf terhadap tugasan di bahu agar diurus dan ditangani sebaik mungkin," katanya.

Semalam kira-kira jam 2 petang Adun PAS itu jatuh apabila jambatan konkrit sepanjang 300 meter dari laut ke jeti Tanjung Sepat runtuh ketika beliau bersama jawatakuasa nelayan membuat lawatan ke kawasan terbabit.

Ekoran itu beliau telah dikejarkan ke Hospital Banting.

Dalam kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung, Tan Hoo Chong turut mengalami kecederaan ringan manakala seorang nelayan patah kaki.

Difahamkan ahli jawatankuasa sudah memanjangkan masalah jeti yang sudah usang itu kepada pihak berwajib dan meminta peruntukan untuk membaiki kerosakan terbabit tetapi tiada tindakan diambil.

Silver nitrate dan dakwat pilihan raya

Abdul Hamid Othman, 26 Jun 2013
Selepas PRU13, pelbagai komen daripada pihak bertanggungjawab/berkuasa mengenai dakwat pilihan raya  atau dakwat kekal yang tidak kekal.

“In overseas, indelible ink does not have to comply to halal status for Muslims,” EC chairman Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof told reporters here.

Saya difahamkan, Afghanistan telah menggunakan dakwat kekal untuk pilihan rayanya pada tahun 2004, Bukankah Afghanistan Negara Islam, adakah ia tak perlu “comply to halal status for Muslim”?

“At the same time, an official letter from the Ministry of Health stated that the content of silver nitrate must not exceed one per cent.” (1 % = 10,000 ppm, parts per million)

Perkara ini telah dinafikan oleh Kementerian Kesihatan. Pada pendapat saya KKM lebih mengetahui farmakologi atau chemistry argentum nitrate berbanding SPR.

“A higher content of silver nitrate would cause internal organ failure, so it has been replaced by herbal ingredients, he said. “


Daripada pelbagai kenyataan di atas, dakwat yang digunakan dalam PRU13 juga dikatakan tidak  mengandungi argentum nitrate yang telah digantikan dengan “herbal ingredients”.

Oleh itu, kita boleh buat kesimpulan bahawa bahan herba yang digunakan boleh menggantikan fungsi argentum nitrate, iaitu mengekalkan warna untuk masa yang lebih lama. Adakah kesimpulan ini benar? Tentu sekali tidak. Berdasarkan pengalaman semasa mengundi, dakwat yang dicat dijari hilang dalam beberapa jam sahaja.

Lazimnya, dakwat yang digunakan mengandungi dye (perwarna) (lebih baik daripada pigment).  Dye lazimnya larut dalam air (seperti yang digunakan pencetak kain batik).

Yang anih ialah kenyataan yang silver nitrate boleh menyebabkan “internal organ failure”. Semasa di tingkatan dua, saya percaya semua pelajar Sains Am didedahkan kepada penggunaan argentum nitrate sebagai bahan menguji kewujudan ion klorida dalam larutan. Dan kemungkinan besar AgNO3 ini terkena pada baju atau tangan kita, kesannya dapat dilihat seperti gambar di bawah.

Warna hitam/gray ini tidak akan hilang sehingga sel kulit berkenaan gugur atau terhakis, dan sel kulit baru tumbuh (5 – 7 hari). Setelah 60 tahun merdeka banyak pelajar yang terdedah kepada argentum nitrate, kita tidak pernah dengar laporan kegagalan organ dalaman disebabkan oleh silver nitrate, tetapi jika disebabkan oleh meminum arak memang ada.

Di bawah adalah petikan berkenaan penggunaan Silver nitrate untuk nyahjangkit (disinfect) air. (2009) [silver (argentum) adalah sejenis logam, perak dalam BM, dan silver nitrate adalah bahan kima yang larut dalam air]

“Silver nitrate is currently unregulated in water sources by the Environmental Protection Agency. However, if more than 1 gram of silver is accumulated in the body, a condition called argyria may develop. Argyria is a permanent cosmetic condition in which the skin and internal organs turn a blue-gray color. The United States Environmental Protection Agency used to have a maximum contaminant limit for silver in water until 1990, when it was determined that argyria did not impact the function of any affected organs.

Argyria is more often associated with the consumption of colloidal silver solutions rather than with silver nitrate, since it is only used at extremely low concentrations to disinfect the water. However, it is still important to be wary before ingesting any sort of silver-ion solution.”

Kenyataan dalam sebuah laman web tempatan berkenaan “internal organ failure” mungkin adalah apa yang dikatakan Argyria, suatu keadaan iaitu kulit dan organ dalaman akan berwarna blue-gray. Tetapi pada tahun 1990 didapati argyria tidak mendatangkan kesan kepada fungsi organ dalaman, sebaliknya colloidal silver yang lebih berkaitan dengan  argyria. Namun, Argyra adalah satu keadaan kosmetik (kecantikan) dan bukan barah.

[Colloidal silver is a suspension of submicroscopic metallic silver particles in a colloidal base]

Yang harus kita perhatikan daripada kenyataan ini adalah silver (sama ada silver nitrat atau colloidal silver) perlu di “consume”, atau dimakan, minum atau disuntik ke dalam badan manusia (penghadaman), dan bukan dengan mencalit dakwat mengandungi silver nitrat pada hujung jari sahaja, lagipun sekali dalam 5 tahun; mungkin dua kali dalam 5 tahun kalau ada by-election.

Silver nitrate mempunyai kesan yang terhad dengan sendiri (self-limiting). Apabila ia dikenakan (disapu) pada kulit ia membentuk lapisan putih (protein precipitant), Lapisan ini akan menghalang kemasukan bahan kimia seterusnya, iaitu mengehad dengan sendiri. Lapisan atasan akan membentuk plak warna hitam (silver klorida) yang akan hilang dengan sendiri apabila sel dalam lapisan berkenaan terhakis atau gugur.

Satu lagi petikan yang menyatakan  sebatian silver tidaklah sampai mengugat nyawa (itupun jika dimakan) adalah seperti berikut.

“Dr Alan BG Lansdown, Honorary Senior Research Fellow and Senior Lecturer in Chemical Pathology, Clinical Chemistry and Investigative Sciences at Imperial College London, states that "Chronic ingestion or inhalation of silver preparations (especially colloidal silver) can lead to deposition of silver metal/silver sulphide particles in the skin (argyria), eye (argyrosis) and other organs. These are not life-threatening conditions but cosmetically undesirable.” This view is supported by the Agency for Toxic Substances and Disease Registry (ATSDR) and other authorities.”


Sebaliknya ada syarikat yang menjual silver sebagai bahan untuk kesihatan, Sila rujuk www.nutrasilver.com/myths.

Untuk maklumat pembaca Business Today (India) April (2009) melaporkan berikut “Mysore Paints & Varnish Ltd., the world’s oldest maker of indelible ink and the only one in India. This year, it exported the ink to Ghana, Mongolia, Malaysia, Nepal, South Africa and the Maldives. In 2004 used in Afghanistan”

Saya harap artikel ini dapat memperkayakan ilmu pembaca khasnya dan rakyat Malaysia amnya dan pada masa depan tidak ada lagi cerita hikayat mengenai silver nitrate dalam dakwat piliha raya akan timbul lagi.

Pepatah Melayu mengatakan bahawa “Segan mengayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan.”

Adun Kuala Besut meninggal, pilihan raya kecil pertama

Anis Nazri, 26 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak minggu lalu, meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

PAS rakam takziah

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar keluarganya bersabar dengan ujian yang dihadapi ini.

"Saya berharap keluarga Allahyarham bersabar dan menerima hakikat setiap manusia akan berakhir dengan kematian, termasuk kita. Mudah-mudahan Allahyarham ditempatkan ditempatkan di kedudukan yang terbaik di sisi-Nya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan PAS akan mengadakan ziarah, hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang agak 'friendly' dan tidak terlalu protokol dengan masyarakat.

"Ada kelebihan bagi batang tubuh Allahyarham, di mana tidak terlalu protokol dengan masyarakat dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.  Moga-moga segala khidmat beliau itu mendapat ganjaran sebaiknya," kata beliau lagi.

Pilihan raya kecil

Sementara itu, selepas dimaklumkan secara rasmi oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam masa 60 hari.

Pilihan raya kecil ini amat kritikal untuk kerajaan negeri Terengganu kerana kini BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 kerusi. Dengan kematian Dr Rahman, jumlah kerusi adalah BN 16 dan Pakatan 15.

Jika Pakatan menang dalam  pilihan raya kecil ini nanti bermakna DUN Terengganu akan mempunyai bilangan ahli yang sama antara BN dan Pakatan.

Jika itu berlaku, apa akan berlaku kepada kerajaan negeri Terengganu tidak dapat diramalkan.

Sejarah telah dicatatkan dalam penggal lepas apabila pilihan raya kecil paling banyak diadakan selepas pilihan raya umum ke 12 iaitu enam kerusi Parlimen dan 10 lagi untuk kerusi DUN.

Kerusi-kerusi itu adalah Parlimen Kuala Terengganu (PAS menang), Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Hulu Selangor (BN), Sibu (DAP) dan Batu Sapi (BN).

Kerusi DUN adalah Galas (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Air (BN), Penanti (PKR),  Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), Bagan Pinang (BN), Tenang (BN), Merlimau (BN), Kerdau (BN).

Tiada ulasan: